TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

HEBAT TAK BLOG SAYA?



KENAPA SAYA BLOGGING?

Rentetan entri saya yang pertama (klik) bertajuk "DAKWAH MELALUI POSTER", telah saya kupas bagaimana dan mengapa saya menggunakan serangan dakwah melalui medium poster. Kini, dengan kesegaran nafas setelah hampir sebulan bergelumang, saya perlu buat SWOT (postmortem) sejauh mana keberhasilan tenaga, masa dan buah fikiran yang telah saya laburkan.

Anda rasa bagaimana? Hebat?
Di mana hebatnya? Apakah indikatornya? KPI?

Saya tidak kisah pengunjung blog saya hanya seorang dalam sehari atau TIDAK ada seorang pun.
Saya tidak kisah followers blog saya tidak mencecah beratus-ratus
Saya tidak kisah hasil kerja saya dikritik mahupun tidak dipuji
Saya tidak kisah masa saya terbuang banyak di sini

Bukannya saya dapat duit atau sebarang habuan. Namun saya kisah jika dalam sehari tidak ada seorang pun yang membaca tazkirah (peringatan) walau dalam masa kurang 5 minit.

Saya risau jika saya tidak menulis ilmu dan pengalaman yang telah saya timba selama ini telah hanyut dek ditelan kesibukan perubatan.
Saya risau jika saya tidak berkarya tahap imaginasi saya tidak sekreatif dahulu.
Dan paling saya risau adalah....


Andai kata Tuhan mahu cabut nyawa saya sekarang, saya tidak ada apa-apa bekalan yang boleh saya bawa.
Saya hanya sehelai sepinggang. Apa yang saya ada? Tidakkah saya tergolong dalam kalangan orang yang rugi dan tercela?

Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi ada berkata:

"Manusia tidak boleh dinilai daripada banyak bilangannya atau besar ukuran tubuhnya. Maka begitu jugalah umur manusia, tidak seharusnya dipandang daripada panjangnya (hidup) kerana kadang-kadang manusia diberi umur panjang tetapi tidak ada berkatnya. Manakala ada orang yang singkat usianya tetapi dapat berbuat banyak, melakukan pelbagai kebajikan, dan malah melakukan amal yang terbaik."

Nabi kita juga ada berpesan :

"Sebaik-baik manusia, yang panjang usianya dan baik amalnya. Bermakna, ada orang yang singkat umurnya tetapi dari segi kualiti amalannya cukup baik.




APA YANG ADA?

Ilmu perubatan yang saya belajar ini belum lagi saya gunakan sepenuhnya untuk berbakti pada masyarakat dan agama.
Malah ilmu-ilmu di dada masih tersemat kemas, tidak terusik untuk saya kongsikan demi kemajuan ummah.
Karya saya yang pernah dianugerahkan paling kreatif dan kritis satu masa dahulu tidak setajam lagi
Potensi, kemahiran diri dan kelebihan belum lagi saya salurkan seoptimanya di jalan Allah

Sudahlah bakat dan minat saya dalam dunia pidato ditanam hidup-hidup untuk pengorbanan masa pengajian. Mahu bercakap di hadapan sekarang pun tidak selantang dahulu. Tidak secergas dahulu. Tidak seagresif dahulu. Pendek kata, saya tidak seaktif dahulu.

Semuanya semakin pudar, berkurangan sejajar masa tua saya. Ya , saya semakin tua. Saya tidak semuda dahulu.




MASIHKAH ADA HARAPAN?


Saya hanya berharap dengan sedikit perkongsian di dalam blog comot ini dapat dijadikan "ole-ole" saya dalam penghijrahan ke destinasi terakhir nanti. Saya tidak mengharapkan lebih, cuma secebis doa agar apa yang saya tulis, apa saya usahakan dapat membuka hati kita semua. Mungkin mudah untuk menulis atau berkata tapi amat payah untuk berpraktikal.

Memang sukar sekali untuk berubah. Apatah lagi mengetuk pintu hati seorang manusia. Ia perlu daya tarikan. Lain daripada yang lain. Selalu dimekap dengan hembusan nafas yang segar supaya mudah "masuk kepala" dan senang nak faham.

Dalam kesuntukan masa, saya cuba untuk semarakkan lagi medium poster ini. Alhamdulillah ada sorang 2 bertanyakan bagaimana mahu membuat poster seperti saya. Saya puji mereka.

Saya berjanji akan berkongsi cuma mahu mencari masa. Biasanya menulis entri bagi saya tak sampai 10 minit namun mahu sediakan entri tutorial perlukan lebihan masa sebab nak mengajar orang supaya mudah faham. Kalau secara live tak mengapa juga.

Di sini, saya hanya kongsikan rahsia saya buat banyak poster. Bagi saya, personally, saya perlukan situasi yang tenang dan mendamaikan jiwa sehinggakan saya bersemangat membuatnya lebih daripada 10 poster dalam sesuatu masa. Selalunya saya buat di rumah, memang kena kuat bermujahadah untuk tidak leka buat kerja tidak berfaedah.

Selain itu untuk menulis entri/post saya buat waktu pagi-pagi. Alhamdulillah sepanjang bulan rejab saya rajin bangun malam untuk bersahur dan sebagainya, mungkin kesedaran tentang "kematian itu semakin hampir" bila Allah beri pengalaman "nyawa di hujung tanduk" apabila accident teruk baru-baru ini.

Banyak lagi cara dan tips yang bakal saya kongsikan.

Akhir sekali, apa yang boleh saya kongsikan dalam versi saya menaikkan semangat diri  :

"Manusia akan mati. Pidatonya akan mati. Tetapi penulisannya kekal hidup. Karyanya tetap bernafas walau ditelan zaman"
Begitulah warisan imam-imam kita, juga tidak terkecuali pemidato terhebat dari Indonesia Pak Suharto, walaupun tubuh badan mereka sudah reput dimakan anai-anai dan serangga, namun karya-karya serta corak pemikiran mereka masih hidup dan digali untuk diberi nafas baru supaya serasi dengan selera generasi baru

Benar. Jika anda minat pidato Pak Suharto, dia telah mati lama dahulu
Jika anda minat peribadi Imam Bukhari, beliau telah lama meninggal dunia
Jika anda obses as-syahid Imam Hassan al-Banna dan Syed Qutub, mereka telah lama syahid
Jika anda kasihkan Nabi Muhammad SAW, baginda telah lama wafat meninggalkan ummatnya

Yang ada, hanya Al-quran dan sunnah Baginda. Karya-karya agung sahabat-sahabat baginda dan para pejuang terdahulu.


Ingatlah pesan Nabi kita :

Dari Abdullah Ibn Amru Ibn Al-Ash, Rasulullah S.A.W. bersabda: "Sampaikan dariku walau satu ayat!" (Hadith Riwayat Al-Bukhari)

dan ingatlah pesan terakhir Nabi kesayangan kita sebelum menghembuskan nafas :

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu." (antara isi khutbah terakhir Rasullah SAW)

1 comment:

  1. Betul :) Saya suka poster2 awak. InshaAllah, bak kata Salman Sulaiman...
    "Ketika teman-teman sebaya ramai yang sudah berkahwin dan ada juga yang sudah beranak tiga - saya cuma boleh berbangga dengan tiga buah buku yang saya lahirkan sendiri dari saku peribadi. Kerana saya percaya, anak akan mati tetapi puisi-puisi ini akan kekal abadi sampai bila-bila selagi dunia ini ada." --Sebelum Menjadi Penakut [Kumpulan Puisi].

    Terputus tiga perkara dari anak Adam kecuali doa anak soleh, sedekah, dan ilmu yang bermanfaat. Allahu'alam. Selamat memanjangkan usaha dakwah. Semoga Allah memberkati :)

    ReplyDelete

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST