PERJUANGAN MENEGAKKAN KEBENARAN
PERJUANGAN bukanlah jalan yang singkat, mudah dan disambut dengan alunan kompang, atau dihampari dengan karpet merah. Tetapi ia adalah satu jalan yang hanya diambil oleh mereka yang sanggup mengorbankan harta, masa dan diri mereka bila sahaja diperlukan.
Jalan yang dipenuhi onak duri dan ranjau. Dan mereka yang berada di atas jalan ini bukanlah mereka yang leka akan dunia yang fana ini. Mereka sentiasa memastikan segala tindakan dan tingkah laku hanyalah utk membela perjuangan ini.
TIADA ISTILAH KALAH DALAM PERJUANGAN
Kemenangan yang di perolehi, bukanlah tanda kebenaran atau kebathilan sesuatu yang di perjuangkan. Siapa yang menang bukan makna dia betul kerana kemenangan, siapa yang kalah pula bukan bermakna dia salah kerana kekalahan.
Dalam perjuangan Rasulullah SAW berjuang menegakkan Islam pun ada masanya Nabi menang, dan ada masanya Nabi SAW kalah.
Adakah semasa Nabi SAW kalah, ianya menunjukkan perjuangan Nabi itu salah?
Nabi SAW tetap benar ketika menang ataupun kalah dalam peperangan atau perjuangannya.
Kemenangan ada kalanya bukan tanda benar atau salahnya sesuatu usaha dalam perjuangan. Tetapi merujuk kepada kenapa perjuangan itu dilakukan. Kemenangan sebenarnya ialah dinilai apa yang menepati menurut Al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAW. Itulah kemenangan!
Kemenangan menegakkan kebenaran. Kemenangan melawan kebathilan dan berusaha menyanggahi segala yang bercanggah dengan hukum Allah. Dan menjadi sejarah kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW memang amat sukar untuk menang, tetapi Nabi SAW dan sahabatnya tidak berhenti berjuang kerana kalah dalam perjuangan.
Menang adalah amanah untuk memikul dan melaksanakan perintah Allah atas kemenangan. Dan kalah pula bukan bermakna salah dan terus lemah untuk memperjuangkan kebenaran. Setiap kali kekalahan itu ditempuhi, ianya adalah ujian untuk menilai tahap kesabaran. Dan sudah semestinya menjadi muhasabah untuk mendesak kepada peningkatan daya juang bagi lebih melakukan pengorbanan bagi meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran.
Bersabarlah kerana Rasulullah SAW juga melalui perjuangan dengan penuh kesabaran dan keyakinan yang tinggi akan pertolongan Allah bagi merempuh rintangan yang lebih dahsyat dari ini.
Dan kenapa perlu berjuang?
Kerana ianya adalah perintah Allah, dan Allah akan mengganjarinya dengan kemuliaan.
Maksudnya ; “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu;
yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.” As-Saf ayat 10-12
Kemenangan sebenar adalah kemenangan mempertahankan yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah dalam apa juga keadaan dan situasi, walaupun dalam nilaian manusianya kita kalah.
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."