TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

KERANA SUDAH TERBIASA


Mungkin kita sudah biasa-biasa, sudah terbiasa dengan ucapan


"wah! cantiknya"
"kesian dia sakit"
"oh! Mak kau!"
"opocottttt!"
"yeah!!! Aku lulus!"
"besarnya buah anggur ni!"

Yup! Mungkin kita sudah biasa. Biasa-biasa itu seperti tidak disengajakan. Kenapa? Terikut orang lain? Ikut-ikutan ini menjadi satu budaya dan tabiat yang mana, dalam keadaan tidak sedar ia menjadi ajaran sesat. Ajaran sesat ini menyimpangkan kita daripada berzikir menyebut dan memuji-muji kebesaran Allah. Ia satu amalan yang semakin pupus ditelan dek zaman moden dan hiburan

"alhamdulillah, saya lulus"
"masyaAllah, cantiknya gunung tersebut"
"syafakillah ya ukhti, moga cepat sembuh"
"Allahuakhbar! Besarnya ikan tu"
"Ya Allah! Hampir terkejut saya"

Kadang-kala apa yang dilafazkan di bibir adalah kosong, melatah, mencarut, kata-kata kesat dan kasar berbaur kejelikkan

Berzikir sudah tidak diseiringkan dengan berfikir. Berfikir hanya bernafsu-nafsi. Berfikir berlandaskan akal semata-mata dan diselaputi nafsu yang mengintai peluang. Zikir apabila disebut akan dilabel skema, tunjuk alim, baik sangat, kolot dan tidak up-to-date malah menjadikan pen-zikir berasa malu untuk menyebut nama Allah. Untuk itu, meninggalkannya menjadi pilihan sejati supaya mudah "masuk dengan orang" atau "dilihat ganjil, asing atau aneh".





DIMANAKAH ZIKIR ITU?

Berkata Imam Habib Abdullah Al-Haddad, "Ketahuilah wahai saudara-saudaraku sekalian, moga-moga Allah menjadikan kami beserta kamu sekalian di antara kumpulan orang-orang yang gemar berzikir kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya, agar kita sekalian tergolong manusia yang tiada dilalaikan oleh harta benda dan anak pinak dari mengingati Allah Ta'ala. Ketahuilah zikir kepada Allah itu di antara taqarrub yang paling utama yang dapat menghampirkan kita kepada Allah Ta'ala".

Rugilah rasanya andai kita mempersia-siakan peringatan-peringatan itu. Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk berzikir, baik dalam duduk, mahupun berdiri, ataupun dalam berjalan, sekalipun sedang berbaring. Teringat pada kata-kata Skh Nur di dewan bahasa dan pustaka :

"Kita cuba lah menzikirkan masyarakat, dan memasyarakatkan zikir."

Begitu lah, betapa pentingnya zikir ini. Sedikit lakaran penerangan Tuan Guru yang bunyinya lebih kurang sebegini :

"Jika berzikir, hati belum mampu ikut, jangan berputus asa, teruskanlah berzikir. InsyaAllah, dengan berterusan zikir, hati akan hadir jua. Zikir adalah pemangkin paling laju untuk menuju Allah. Zikir itu penyuci hati."

"Istighfar, selawat dan tahlil adalah zikir khusus yang asas, yang menjadi makanan seimbang kepada rohani kita. Zikir menjadi keperluan rohani. Paling tidak setiap satunya zikirlah 100 kali sehari. Dengan berselawat, hati akan jadi sejuk. Selawat juga pengubat lupa. Bergaul dengan orang yang banyak zikir pula, pasti mendapat manfaat yang besar, insyaAllah".

Penerangan Tuan Guru lagi :

"Zikir itu semua orang boleh buat. Hanya mampu atau tidak sahaja. Di mana-mana kita boleh berzikir, hatta ketika memandu sekalipun. Memandu itu sebenarnya, satu perkara yang dekat dengan kematian. Hari ini, banyak kita dengar tentang kemalangan. Jadi waktu memandu, lazimkan diri dengan berzikir. Pasanglah kaset-kaset zikir. Jangan pula kita menyesal di akhirat, menyesallah dulu di dunia. Hidup dengan zikir, insyaAllah mati juga dengan berzikir."

Setiap waktu, Allah anugerahkan hambanya dengan anugerah yang pelbagai. Anugerah paling besar ialah ilham untuk memperbanyakkan zikir. Maka jangan kecilkan anugerah Allah itu, walau kita hanya mampu zikir sebanyak 100 kali sehari. Alhamdulillah, aku boleh zikir hari ini, alhamdulillah aku boleh menbaca Al Quran hari ini. Nilai-nilai kita di sisi Allah, adalah zikir di akhir malam, jadi kita kena layakkan diri untuk mendapatkan anugerah Allah itu.

Biarlah orang kata kita gila kerana banyak sebut nama Allah. Kita hidup biarlah berprinsip. Kita jangan lemas dengan pandangan orang terhadap kita. Kita tidak akan boleh buat orang berpuas hati sentiasa dengan kita, jadi untuk selamat, kita selesaikan hal kita dengan Allah. Kita perbaiki hubungan kita dengan Allah, kita perbetulkan diri kita dengan Allah, jangan pedulikan apa orang kata. Zikir dan berzikirlah. Biar kita lemas dalam lautan madu zikir.

Tuan Guru juga membawa pada satu doa yang di ambil dari salah satu kitab karangan Ibnu Hajar, yang membuatkan hati tiba-tiba sayu. Doanya berbunyi :

"Ya Allah, apakah Engkau sampai hati menyeksa lidah yang selalu menyebutMu. Ya Allah, apakah Engkau sampai hati menyeksa wajah yang sentiasa sujud kepadaMu. Tak akan sampai hatiMu ya Allah".

Begitulah adanya, wallahu'alam, moga ada manfaat.
Zikir itu adalah ayat-ayat cinta, madah seorang kekasih dalam memuji memuja pecintanya.

"Ya Tauwab, tubb'alaina, warhamna, wanzur'ilaina"

Firman Allah Ta'ala:
"Wahai orang-orang yang beriman! Ingatilah Allah dengan sebanyak-banyaknya ingatan dan bertasbihlah kepada-Nya siang dan malam."(Al-Ahzab: 41)



p/s :

ZIKRULLAH
1. Lazimkan dengan keadaan berzikir di setiap waktu dan jangan pisahkan dari hidup seharian
2. Benarkan dan yakin dengan lafaz hati ketika berzikir
3. Selamatkan diri dari sikap sombong pada ALLAH S.W.T dengan berzikir dan mengingatinya
4. Masuki benteng RASULULLAH S.A.W dengan zikir LAILLA-HA-ILLALLAH

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST