TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label REMAJA. Show all posts
Showing posts with label REMAJA. Show all posts

IZINKAN AKU BERLARI



Bukan tidak suka. Bahkan jauh sekali ingin membenci. Aku cuma tidak kuat ingin menolak rasa yang kadang-kala menerpa. Lantas kerana itulah aku melarikan diri.

Kerana aku tahu aku bukanlah hamba yang teguh imannya di hati. Aku cuma hamba yang kadang-kala jatuhnya tidak diingini. Aku tahu amat sukar bagi kamu untuk mengerti.

"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah yang Maha Kaya, Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru untuk menggantikan kamu. Dan yang demikian itu tidaklah sulit bagiNya." [35:15-17].

Andai aku ingin melarikan diri. Tiada lain aku harapkan melainkan diredhakan hati. Dilindungi selalu di bawah payungan rahmat Ilahi. Kerana aku tahu rencana Illahi adalah sebaik-baik ketetapan buat diri.

Lantas, siapalah aku untuk menyanggahi?

Andai ingin menanti. Janganlah kamu merapati. Kerana aku pasti menjauhi. Bukan kerana tidak suka. Jauh sekali membenci. Fahamilah diriku. Aku bukan hamba yang tebal imannya di hati.

Buat hati yang menangisi.

Pergilah dikau mencari redha Illahi. Aku rela bersendirian. Dalam mujahadah aku kepadaNya. Sekali-kali tidak aku menunggu. Tidak pula akan ku toleh ke belakang.

Inilah jalanku. Selamat tinggal cinta.

“Cinta itu fitrah. Cinta itu sentiasa muncul di hati. Iman kita yang akan memandu cinta kita ke syurga atau neraka. Jika mampu berkahwin, realisasikanlah cinta kita melaluinya. Jika tidak, pilihlah untuk berusaha menjaga diri, mengawal perasaan dan hati."

READ MORE

"AWAK NAK PEGANG BOLEH?"



APAKAH MAKNA CINTA?

Komentar aku apa itu cinta? Kenapa perlu bercinta? Apakah ada cinta dalam islam?

Syukur alhamdulillah jika kita menyintai seseorang itu kerana Allah. Ia adalah sebenar-benar cinta. Cinta semata-mata kerana inginkan keredhaan Allah. Cinta kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Cinta kepada dia kerana yakin dia boleh membangkitkan semangat kita untuk berjuang mendapatkan keredhaan Allah.
Cinta kepada dia kerana dia yang mendorong rasa rindu kepada Allah. 
Cinta kepada dia kerana dia yang mampu menjamin kenikmatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. 
Cinta kepada dia kerana dia yang sanggup bersusah payah, suka dan duka bersama menuju jalan-Nya
Cinta kepada dia kerana dialah insan yang berkemampuan untuk menyambung zuriat kita, melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. 
Cinta kepada dia kerana dia juga mencintai Allah melebihi cinta kepada kita!

Alhamdulillah. Jika kita dikurniakan cinta yang sebegini, maka rugilah kita jika kita menolak  Namun, sejauh mana si dia mampu menyintai kita kerana sebab-sebab itu semata?



CINTA PLASTIK!

Bagaimana kalau si dia cintakan kita kerana sebab-sebab berikut?

Dia mungkin cintakan kita kerana kita ini cantik. Tubuh kita ramping yang menggiurkan atau kacak yang mempesona dan sedap memandang.
Dia mungkin cintakan kita kerana pertuturan kita yang lemah lembut, kerana suara kita yang merdu dan merangsang.
Dia mungkin mencintai kita kerana mata kita yang cantik dan jelingan mata yang menggoda. 
Dia mencintai kita mungkin kerana kepandaian kita, kerana kehebatan kita. 
Dia mungkin mencintai kita kerana populariti dan jawatan yang kita ada. 
Dia menyintai kita mungkin kerana wang dan harta kita, atau kerana karier , status dan ‘siapa’ kita yang membanggakan atau macam-macam lagi sebab.

Mungkin juga setelah nikmat sementara ini ditarik, dia pergi meninggalkan kita selama-lamanya!

Dari mata jatuh ke hati. Bahayanya mata bila memandang ke arah keburukan dan dosa sebagai nikmat dan keseronokan. Hati pula semakin lama semakin gelap. Bila hati gelap, benda salah dikatakan betul. Jiwa dan akal tidak dipandu oleh iman tetapi dikuasai sepenuhnya oleh nafsu.

Perasaan cinta yang pada awalnya bersih dan naif bertukar menjadi wajah kotor yang dipenuhi dosa dan noda. Benda haram telah menjadi halal.

Bila tersentuh sekali "Oh! Maaf ye tak sengaja". Bila banyak kali tersentuh "Eh! Lembutnya kulit awak. Awak  pakai apa ye?" Bila lama-lama "Awak, nak pegang tu boleh???"

Dalam satu ungkapan ulama :

"Betapa banyak syahwat yang dilampiaskan hanya bebarapa detik. Mewariskan kedukaan yang sangat lama. Lalu memberi kehinaan dan kepapaan.'

Cinta hanyalah pinjaman. Nikmat rasa bercinta, mencintai dan dicintai juga suatu pinjaman. Bila dikata nikmat, sudah tentu Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja. Namun, jika Allah telah tetapkan dia milik kita. Segala-galanya akan berjalan dengan lancar dan tidak disangka-disangka. Itupun dengan cara yang halal.

Jangan hanya kerana cinta yang TIDAK PASTI BERNILAI, maruah yang PASTI BERNILAI sanggup digadaikan!

READ MORE

"NAK KAHWIN TAPI SAYA TIDAK CINTA DIA"



DILEMA BERKAHWIN DENGAN TUNANG TANPA CINTA

Rasa sunyi bila tiada. Rasa pilu bila tidak berhubung. Rasa lemah bila tidak berjumpa.

Tetapi bukankah rasa sunyi bermaksud rindu? Bukankah bila wujud perasaan sayang dan rindu itu bermaksud cinta?  Bukankah rasa pilu wujud setelah dua hati telah bertaut?

Terutamanya, apakah cinta adalah syarat utama untuk berkahwin?

Jangan tinggalkan orang yang kita sayang untuk orang yang kita suka kerana orang yang kita suka akan tinggalkan kita untuk orang yang mereka sayang. Jangan cuba memaksa untuk dapatkan orang yang kita suka tetapi sayangilah dengan apa yang kita ada.

Cinta, kasih dan sayang itu adalah hak milik Allah. Dia berhak untuk titipkan perasaan cinta, kasih dan sayang itu kepada sesiapa sahaja. Sama juga. Dia berhak untuk menarik perasaan cinta, kasih dan sayang itu daripada sesiapa sahaja, bila-bila masa.

Tidak semestinya kita akan berkahwin dengan orang yang kita cinta 100% itu, ia akan kekal sehingga ke alam rumah tangga! Apatah lagi bercinta hingga ke syurga.




KAHWIN DULU, CINTA KEMUDIAN

Walaupun kita cuba pertahan keindahan cinta sebelum kahwin dengan apa jua istilah dan tips sekalipun. Walaupun kita membataskan banyak perkara agar sampai tidak wujud zina hati, tapi kita kena ingat.

Bila kita jatuh cinta dalam keadaan iman yang ampuh, kita senang terdedah pada penyakit hati dan tidak ramai antara kita yang imannya teguh.

Petikan hadis riwayat Bukhari dan Muslim :

"..Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."

Cinta sebelum kahwin sudah terbukti banyak yang melanggar prinsip Allah SWT. Ia hanya merupakan jalan hidup yang sia-sia. Jalan hidup yang penuh dengan dosa dan noda. Yakni jalan kemaksiatan yang amat dibenci oleh Allah. 

Walaupun kita cuba mengindahkan cinta sebelum kahwin dengan janji-janji manis, hakikatnya yang terindah tetap cinta selepas kahwin.

Walaupun kita cuba membataskan banyak perkara dan pergaulan, namun akhirnya ramai yang terbabas!

Hakikatnya, fahamilah.

Cinta sebelum kahwin adalah cinta nafsu. Cinta selepas kahwin adalah cinta suci.
Cinta sebelum kahwin banyak melahirkan penzina. Cinta selepas kahwin banyak melahirkan pencinta hingga ke syurga.

Sudah banyak pengalaman orang-orang terdahulu mengajar kita betapa cinta yang berlandaskan keinginan nafsu tanpa panduan syarak gagal di pertengahan jalan. Ramai yang menjadi buta kerana cinta. Orang yang sedang bercinta selalunya tidak dapat menilai sesuatu dengan baik kerana ditutup oleh perasaan itu.

Mereka seolah-olah berada di awang-awangan. Berkhayal dengan dunia mereka sendiri tanpa ambil peduli tentang dunia.

Akhirnya setelah berkahwin, barulah mereka tersedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Bukanlah sebaik yang disangka. Sebab itulah kita tidak hairan satu pertiga perkahwinan di barat berakhir dengan perceraian. Begitu juga dengan dunia artis kita!

Cinta yang berpandukan kecintaan kepada Allah semat-mata akan membahagiakan hati dan menenangkan jiwa manusia. Indahnya cinta bila lafaznya adalah halal!

Mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan sanggup mengorbankan perasaan cinta dan keinginan sendiri semata-mata kerana takut akan azab Allah. Mereka yakin sepenuh hati bahawa ikatan cinta yang diredhai itulah yang akan membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup mereka.

Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari. Mudah-mudahan Allah SWT memberi petunjuk kepada muda-mudi hari ini kepada jalan yang lurus dan diredhai-Nya.

READ MORE

"MACAM KAU TU BAIK SANGAT!"


Teguran 1 :

"Nak beli tudung, belilah yang labuh dan menutup dada serta tidak jarang. Nak beli baju dan seluar, belilah yang longgar, labuh dan tidak jarang. Mereka yang sengaja mencampakkan diri ke neraka adalah mereka yang menzalimi diri sendiri saat mereka membeli pakaian-pakaian yang tidak mengikut landasan syarak, lalu digunakan pakaian itu dan ditayangkan kepada umum.

Anda mampu mengubahnya! Say NO to KETAT dan JARANG serta SINGKAT!"


Teguran 2 :

"Kesian tengok orang yang bersanding atas pelamin. Selepas itu orang ramai-ramai tengok mereka bersanding dan amik gambar. Takkan si suami tidak terasa bila ramainya lelaki yang bukan mahram kepada isteri dia, dok tengok-tengok isteri dia. Bila dah tengok konfirmlah tengok body dia sekali. Lagi-lagi pengantin perempuan pakai baju pengantin yang biasanya ketat-ketat sampai nampak bentuk badan"


Teguran 3 :

"Majlis perkahwinan bukan ruang untuk kita membuka aurat sewenang-wenangnya, mengetatkan seketat-ketatnya, bergaul semesra-mesranya, berwangian sewangi-wanginya, berkaroke sebebas-bebasnya dan bermake-up setebal-tebalnya. Sedangkan majlis perkahwinan itu sedang membina doa-doa para hadirin yang hadir, mendoakan perkahwinan itu kekal bahagia dan majlis itu diberkati sampai akhirnya. Jangan membatalkan doa-doa dua pasangan untuk bahagia hingga ke syurga."


Teguran 4 :

"Jangan kerana anda digelar "raja sehari" membuka ruang untuk anda berpakaian ketat. Tak pelik ada yang pernah ditarbiyyah, tapi hari raja seharinya tidak seindah tarbiyyahnya. Malah menjadi fitnah kepada pasangan pengantin. Harap yang bakal kahwin nanti menjaga pasangan masing-masing supaya tutup aurat ikut agama, bukan ikut suka."


Teguran 5 :

"Jangan bangga menayangkan gambar kamu dan pasangan berpegangan dan bersentuhan antara satu sama lain tanpa ikatan yang sah kerana setiap mata yang memandangnya akan menjadi saksi pendakwaan dosa kamu di Akhirat. Tidak takutkah tangan dibakar api sehingga menyebabkn tubuhmu hancur sama sekali? Ingat azab Allah!"



TEGURAN BUKAN MEMBENCI

Saya jarang menulis tentang aurat. Kerana saya tahu saya juga pernah khilaf dahulu. Dan sekarang saya berusaha untuk konsisten. Tetapi melihatkan kebanyakan status di Facebook berkisarkan aurat wanita membuatkan hati tergerak sama untuk meraikan. Walaupun nampak pedas dan menyakitkan hati yang terasa, anggaplah teguran itu kerana kasih dan cinta kepada kita.

Tidak bermakna kita menegur kerana kita adalah yang terbaik. Bahkan kita mahukan diri kita dan orang sekeliling kita menjadi hamba yang terbaik.

Bila seseorang ditegur atas kesalahannya, lalu mula menyerang peribadi dan mengungkit kesalahan orang yang menegur, itu adalah tanda nafsu amarah sedang menguasai minda. Cuba mencari alasan untuk merasa diri tetap lebih baik dari yang lain. Paling minima, usahakan diam ketika terima nasihat yang benar, memang 'pedih' tapi insyaAllah berguna seperti pahitnya ubat.

Renungkanlah.

Berkata Rasulullah SAW “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otaknya mendidih. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dituangkan ke dalam tengkoraknya.

Fatimah Az-Zahra kemudian menanyakan mengapa mereka disiksa seperti itu?

Rasulullah menjawab, “Wahai puteriku, adapun mereka yang tergantung rambutnya hingga otaknya mendidih adalah wanita yang tidak menutup rambutnya sehingga terlihat oleh lelaki yang bukan muhrimnya."




Biarlah.
Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit. [Hukama]

READ MORE

"SAYA SANGGUP TUNGGU AWAK"


"Awak, awak sanggup tunggu saya tak?" Mukanya kelihatan merah menahan perasaan.
"Mestilah saya sanggup. Kenapa awak?" Balasku sambil menatap wajahnya dengan penuh berminat.

"Awak janji dengan saya ye? Boleh?"
"Saya berjanji insyaAllah....Saya sanggup tunggu awak walaupun bertahun lamanya"

"Sebenarnyakan, awak sudah lama bertakhta di dalam hati saya. Awak telah sentuh hati saya meskipun saya tidak sedar. Meskipun saya tidak inginkannya hadir. Tapi saya amat sayangkan awak" Luah hatinya dengan penuh perasaan. Pilu aku dibuatnya.

"........dan saya tak sanggup kehilangan awak. Awak hadir dalam hidup saya memberikan saya sinar baru. Awak buat hari-hari yang saya lalui begitu indah dan bertenaga."

"Bagaimana mahu saya dustakan perasaan ini? Awak tahu...betapa sakitnya hati ini. Allah telah campakkan rasa sayang, rasa rindu saya kepada awak. Saya tidak boleh tipu perasaan saya lagi. Hipokrit namanya."

Suasana menjadi mendung. Memandang sungai yang mengalir tenang bertambah memendungkan hati yang diremuk pilu.

"Awak......" Aku berkata perlahan.

"Bukankah saya sudah beritahu awal-awal lagi? Jangan usik hati seseorang jika belum berani untuk bertanggungjawab. Dan terbukti awak masih belum bersedia."

"Saya juga begitu. Saya masih belum bersedia. Dan saya tidak berani untuk terima awak. Hati saya masih tertutup kemas." Aku mula berterus terang dengannya sambil mencari-cari anak matanya. Takut takut setiap bait kata yang dilafazkan mengguris hatinya.

"Awak, terimalah hakikat. Yang ada pada saya cuma perasaan meraikan kehadiran awak. Awak memang penting dalam hidup saya. Awak melengkapkan kehidupan saya. Tanpa awak, saya seperti robot manusia yang tiada perasaan."

"Saya hanya sukakan awak. Sayangkan awak. Tapi saya belum boleh cintakan awak. Awak seperti bayang-bayang saya yang hanya wujud ketika waktu malam. Saya tahu, awak sentiasa mengekori ke mana saya pergi. Seolah-olah mengintai sampai bila bayang-bayang harus menjadi bayang-bayang."

"Ya, saya sanggup tunggu awak. Kerana masihnya belum tiba. Saya boleh bersabar dan akan terus begini. Bersabar dan bersabar. Itu sahaja yang boleh saya buat. Rasulullah SAW pun ada bersabda “Sabar itu separuh iman.” (Hadis Riwayat Abu Na'im daripada Ibn Mas'ud). Awak tidak perlu risau dengan saya. Kita hanya perlu jelas yang mana terpenting di antara penting untuk dipentingkan."

"Maaflah awak. Kadang-kadang saya yang tidak sabar. Tergopoh-gapah tanpa memahami perasaan awak. Saya tahu awak belum boleh terima saya. Hati awak seperti batu, keras sekali untuk dilunturkan. Itu tidak mengapa kerana saya pasti awak akan terima juga saya satu hari nanti."

"Saya tahu saya tak boleh paksa awak bila hati awak tertutup untuk saya. Ingatlah, saya amat hormati perasaan awak dan saya akan sentiasa berlaku jujur dengan awak. Cuma jangan terus buang saya dan sisihkan saya sampai bila-bila. Saya amat perlukan awak"

"InsyaAllah...untuk kesekian kalinya terima kasih awak. Saya pun sanggup tunggu awak"


****************

Begitulah perbualan antara CINTA dan CITA-CITA.

Aku : cita-cita
Dia  : cinta

Cinta adalah satu kemestian dalam kehidupan tetapi hadirnya perlu dikawal dan dirancang supaya cita-cita tidak rasa dirinya terbuang dan terabai. Jika boleh diseiringkan tahniah dan hargailah keduanya dengan cara yang halal. Jika belum waktunya, bermujahadahlah dan fokus.

Hanya pilih antara dua sudah menentukan jalan mana yang diambil.

READ MORE

DILEMA MENCARI PASANGAN HIDUP


“Cari-carilah pasangan hidup betul-betul oh kawan. Bahagia berseri rumahtangga akan harmoni…”
Bergema satu bilik lagu nasyid Kumpulan Rabbani, “cari pasangan”. Menghayati liriknya sungguh bermakna. Membelai jiwaku yang selama ini dilanda dilema hidup. Hatiku kosong dan menderita dahagakan sebuah kasih buat peneman hidup.

Mencari seorang calon isteri yang solehah bukanlah kerja senang. Ia diumpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka semakin susah untuk dapat.

Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat. Lewat menunaikan seru.


**************

“Sebelum kita kaji dan telek bakal isteri, paling afdal kita telek diri kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita,” pesan sahabatku suatu masa dahulu di alam kampus.

“Nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan dulu diri kita. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah untuk bakal suami yang soleh. Tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh.”

“Tapi, ada jaminan ker kita akan mendapat bakal isteri yang solehah?” tanyaku dengan muka mengharap.
“Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah.

Jodoh adalah kerja Allah. Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat.”

“ Teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi,”

Benar.

Bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi?

Jika ada yang kurang pada bakal zaujah, si suami perlu tampung selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa tidak boleh diambil remah. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan.

Aku juga sedar kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya. Itu adalah silap tafsir.

Ya Allah, layakkah aku untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta aku pada Pencipta manusia itu masih belum mantap? Aku hamba yang lemah cuma mengharap yang halal bagiku untuk kubina istana cinta dengan penuh barakahMu.

Terimalah permohonan hamba hina ini Rabb.

READ MORE

YANG TERTUTUP ITU INDAH



Tidak akan tertutup dengan berperangai baik sahaja.
Tidak akan tertutup dengan kecantikan dan keayuan.
Tidak akan tertutup dengan kata-kata manis bersuarakan kemanjaan.
Tetapi hanya akan tertutup dengan pakaian yang sempurna patuh syariah.
Pastinya akhlak di balik pakaian tadi lebih indah daripada pakaiannya.

Seandainya manusia dapat memahami.Cantik zahir bukanlah ukuran tapi cantik hati memikat hati semua orang.

Wanita itu.

Biar lembut fitrah tercipta. Halus kulitnya. Manis tuturnya. Lentur hatinya. Wajah yang telus setelus rasa membisik di jiwa. Di mata ada cahaya. Dalamnya ada air sehangat cinta, sejernih suka, sedalam duka.

Melenturnya perlu kasih sayang. Membentuknya perlu kebijaksanaan. Kesabaran dan kemaafan, keyakinan dan penghargaan. Tanpa jemu, tanpa bosan memimpin tangan menunjuk jalan.

Bisa seteguh Khadijah yang suci hatinya. Tabah dan tenang sikapnya sebagai teman ar-Rasul. Pengubat duka dan lara.

Bijaksana ia menyimpan ílmu. Si teman bicara, dialah Áishah.
Penyeri taman Rasulullah SAW. Dialah Hafsah, penyimpan mashaf pertama kalamullah.
Bisa setabah Maryam, meski dicaci meski dikeji. Itu hanya cerca manusia namun sucinya Allah memuji.
Seperti Fatimah kudusnya. Meniti hidup seadanya. Puteri Rasulullah, kesayangan ayahanda. Suaminya si panglima agama. Di belakangnya dialah pelita buat cahaya penerang segenap rumahnya.

Wanita itu.

Yang hidupnya di alaf ini. Perempuan islam akhir zaman. Dirinya terancam dek fitnah. Sucinya perlu tabah. Cintanya bukan untuk dinodai asmara. Tidak murah untuk si adam.

Hakikatnya, kakinya perlu teguh. Mantap iman mengunci jiwa. Dari lemah dan kalah. Dari rebah dan salah.

Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya”. (Riwayat al-Bukhari)

Seorang wanita itu, anugerah istimewa buat dunia!
Dia bangga menjadi Muslimah. Di saat yang lain bangga menjadi wanita moden.
Namun cinta Allah tetap menjadi pujaan hati.

READ MORE

JANGAN SINGGAH DI HATI SAYA



Hujan rintik-rintik membasahi alam. Terik mentari semakin hilang sirnanya. Ku renung langit sedalamnya. Setitik, demi setitik, demi setitik. Ia jatuh menutupi permukaan bumi.

Menggambar sepi di hati.

Kilat sambar-menyambar membelah langit. Guruh berdentam-dentum menyentak jiwa. Helaian daun berguguran menyisip di celahan rimbunan pohon.

Jiwa nan sepi semakin memberontak hebat. Bisakah ku tipu perasaan ini?

Keadaan suram seketika. Iman kembali bermuram durja. Aku menyendiri. Mencari makna pada tadabburnya. Sedangkan burung berpasangan. Adam dan Hawa berpasangan. Mata berpasangan.

Inikan aku pula?

Semalaman lenaku terganggu. Perasaan ini kadangkala mengetuk jiwa jantanku. Aduhai....Imanku hanya senipis kain sutera. Usahlah kau datang menerpa kegoyahan imanku. Baru sahaja aku tambat dengan keazaman yang jitu. Aku tak ingin kalah.

Aku akui kau muslimah solehah dambaanku. Aku jatuh cinta pada perwatakan islam yang kau bawa. Tudung labuh yang sentiasa menutup pandangan liar buat aku terpesona. Khemah bergerak ini buat hatiku layu meyakinkan kepatuhan syariat. Mataku sejuk memandang tiada jemu. Aku tenang dibuai pemandangan indah.

Akhlak dan budi bicaramu meruntun jiwa kejantananku. Tidakkah kau tahu?

Betapa aku perlukan teman hidup. Menjadi permaisuri hatiku dunia dan akhirat. Aku rintihkan seorang ibu yang solehah mendidik anak-anakku agar bergelar pejuang islam kelak.

Semua ini sentiasa membuatkan ku terfikir, apakah aku layak untukmu?

Sebab ku lihat kau terlalu 'tinggi'. Aku ini sentiasa terasa rendah di hadapanmu. Katakanlah, apakah aku layak memetik bunga mawar di taman larangan?

Berilah tanda isyarat.
Tunjukkanlah reaksimu.
Gerakkanlah hubungan ini.

Diammu. Sepimu bagai menyeksa pilu di ulu hati. Benar-benar mahal hargamu.

Aku malu keseorangan.

Mujahadahku biarlah bernama. Kerna masanya pun masih belum tiba. Tidak berani untuk aku usik hatimu yang terjaga. 

Ku pendamkan perasaan ini. Ku rahsiakan hati ini. Kerana aku tahu muslimah solehah hanya untuk muslimin yang soleh. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki keji adalah untuk wanita-wanita yang keji, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik.” (Surah An-Nur : 26)

Prinsipmu sungguh teguh membuatkan aku bersemangat untuk berjaya dalam hidup menggapai redha Ilahi. Kerana batasan ini mengajar aku untuk merangkak, bertatih, berjalan dan berlari di jalan dakwah.

Aku cinta pada muslimah solehah. Tetapi jangan singgah di hati aku. Belum masanya.

READ MORE

INGIN MENCINTAI DAN DICINTAI


MENCINTAI 

Menyayangi atau mencintai itu umpama bermain piano. Pada mulanya kita bermain ikut peraturannya. Kemudian, lupakan peraturannya dan main ikut hati. Kita terlalu asyik dibuai perasaan sehingga lupa kepada Pencipta Piano.

Dalam percintaan, terdapat beberapa perkara yang perlu disedari. Apabila bercinta, ia bukan 'passport' untuk difahami, tetapi untuk memahami. Ia bukan 'passport' untuk kita mengambil itu dan ini, tetapi untuk kita diambil. Ia adalah untuk kita mendengar, bukan supaya kita didengari. Ia adalah untuk kita berkorban dan bertolak ansur, bukan untuk kita meminta itu dan ini. Ia bukan untuk kita berkira-kira atau mengukur, tetapi untuk kita mencintai.

Kita tidak boleh menyuruh orang lain mencintai kita dan kita juga tidak boleh paksa diri untuk mencintai orang lain. Cinta hadir tanpa paksaan. Tidak kira masa, tempat dan siapa. Yang menggerakkan perasaan cinta ini hanyalah Allah SWT.



DICINTAI

Terdapat banyak bintang di langit tetapi hanya satu sahaja yang begitu menyerlah sehingga dapat menarik perhatian kita. Dari kalangan yang kita pilih untuk abaikan ialah sebutir bintang yang sanggup menyinari kita walau di mana sahaja kita berada.

Bintang ini amat kasih kepada kita. Kita dicintainya tetapi kita tidak perasan. Kadang-kadang kita buat tidak tahu sahaja. Mungkin orang yang bersama kita ketika ini bukanlah orang yang benar-benar sayangi kita. Terdapat orang yang  tidak dapat bersama kita ketika ini tetapi masih dan amat menyayangi kita sepenuh hatinya.

Atau kita sahaja tidak perasan keberadaannya. Ia amat dekat sekali dengan kita.

Apapun perasaan mencintai dan dicintai amat indah dan sangat seronok. Kalau mahu ia kekal lama dan diberkati oleh Allah, jangan sia-siakan perasaan itu. Pilihlah cinta yang pasti. Bukan cinta yang tidak pasti. Kelak diri yang merana kerana cinta yang tidak berbalas. Sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang tetapi tidak berbalas.

Tidakkah sia-sia?


CINTA YANG TIDAK PASTI - Memberi seseorang seluruh cinta kita bukanlah satu kepastian yang mereka akan menyintai kita kembali. Jangan harapkan cinta sebagai balasan. Nantikan sahaja ia untuk mekar di dalam hati mereka tapi sekiranya ia tidak, pastikanlah ia terus mekar di dalam hati kita. Ia cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang.

CINTA YANG PASTI HANYALAH ALLAH - Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” 

Cubalah fikirkan.

Siapa yang paling mencintai kita?
Siapakah yang kita sia-siakan selama ini?

Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah, "Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui."

READ MORE

ADA APA DENGAN EGO LELAKI!

Dalam kehidupan tidak ada yang mudah dan senang. Namun, di mana harus letaknya ego lelaki?


Ada apa dengan ego lelaki?

Seringkali dalam bergerak kerja atau berurusan sesama manusia, terbit masalah hati. Konflik yang wujud bagai perang dunia ketiga meletus. Si adam tidak puas hati dengan si hawa.

Katanya Inilah wanita. Sekali tergores, sekali terusik, payah nak sembuh. Prasangka tidak pernah luput. Mudah sangat tersentuh. Sensitif benar hatinya. Emosinya tidak dapat dibendung. Sentiasa mengikutinya. Menjadi pengawal peribadi yang setia.

Si hawa pula mengutuk ego si adam. Kalau sudah bermula satu ‘peperangan’ maka bersedialah si adam dengan ‘perisai’ untuk mematikan segala ‘serangan’ daripada si hawa.

Mereka berkelahi walaupun benda kecil. Bertegang urat leher walau perkara remeh temeh. Bermusim untuk dibuang yang keruh, mengambil yang jernih.

Nampak seperti kelakar. Tetapi tiada siapa yang terkecuali. Percayalah!



EGO SI LELAKI

Ya, memang benar ar-Rijal itu diciptakan untuk menjadi pemimpin, bukan diciptakan al-Khaliq untuk dipimpin. Dan untuk menjadi pemimpin yang berwibawa perlu ada sikap ego dalam kelembutan.

Tetapi pernahkah mereka terfikir?

Kaum adam yang selalu merasa ego dan gah dengan dirinya yang diciptakan sebagai golongan bertubuh sasa perlu melamar, merisik, meminang dan menikahi si hawa yang dikatakan golongan lemah.

Bila mana seorang adam itu punya hasrat untuk bernikah, maka dia perlu untuk memberi mas kawin kepada pihak hawa.

Cuba renungkan.

Apalah ada pada ego si adam untuk mencari seorang isteri?

Dia perlu seolah-olah ‘membeli’ wanita solehah tersebut daripada keluarga pihak hawa. Pernahkah terfikir, betapa ‘mahalnya’ darjat seorang hawa?

Allah angkat golongan ini begitu tinggi darjatnya, perlu ‘dibeli’ untuk dimiliki, manakala setelah bergelar ibu, syurga di bawah tapak kaki ibu sedangkan kunci bagi seorang hawa memasuki syurga adalah di tangan suaminya, bagaikan hubungan simbiosis lihatlah betapa hebatnya seorang hawa!

Betapa Allah itu Maha Hebat!

Tidak perlu merasa ego kerana Allah sudah menciptakan pangkat dan darjat yang tinggi kepadanya yang mana tiada diberi pada hamba yang bergelar ar-Rijal.

Moga-moga hawa tergolong di kalangan para solehah dan menjadi bidadari di taman syurga. Moga-moga adam tidak ego bertempat. Tidak seego dengan kuasa yang cuma setitik. Tetapi egonya sebagai seorang pemimpin, khalifah dan ketua keluarga wajar dalam mengemudi bahtera kehidupan ke syurga bersama hawa.

READ MORE

MENANGISLAH DI BAHUKU



Dingin malam terasa sejuk ke tulang. Ku lihat jam di tangan sudah hampir pukul 11 malam. Tingkahmu amat lemah. Muka pucat, mata membengkak dan senyuman tawar cukup memberi signal bahawa dirimu dilanda musibah. Fikiran yang kacau. Jiwa yang resah.

Nampaknya sudah lama kau memendam rasa.

Kau diam seribu bahasa. Hanya matamu yang cuba bicara. Bahawa saat ini hatimu terluka. Kau tahu aku di sini untukmu. Hanya untukmu. Aku sudi mendengar segala luahan hatimu.

Hingga kau tak kuasa menahan berderailah air mata. Dalam pelukan kemasku kau curahkan semua.

Menangislah. Kadang manusia terlalu sombong untuk menangis. Lalu untuk apa air mata telah dicipta? Jika bukan untuk menangis? Bukan bahagia sahaja yang ada di dunia.

Menangislah. Di bahuku kau berikan kepercayaan. Bawalah aku dalam haru biru kerna aku adalah sahabatmu.

Menangislah di bahuku. Aku di sini untukmu.
Menangislah di bahuku. Kerna aku sahabatmu.

Aku amat sayangkanmu. Tak ingin ku lihat kau begini lagi. Cukuplah derita yang kau rasa keseorangan selama ini. Izinkan aku menumpang duka lara jiwamu. Walau sekelumit cuma. Walau aku tahu aku tak mampu membantu.

“Orang yang berjalan untuk menunaikan hajat sahabatnya lebih baik daripada orang yang beriktikaf selama 2 bulan” (HR Hakim)

Tidak mudah diukir senyuman tatkala hati menangis dan terhiris. Tetapi kau akan terasa indah tatkala kau menyedari semua itu pemberian daripada kasih Ilahi. Agar Allah memindahkan kebaikan-kebaikan yang menyakiti untuk disakiti.

READ MORE

MENCINTAIMU SECARA DIAM


Tolonglah! Jangan seksa jiwa batin saya begini. Awak telah curi hati saya. Tapi awak tidak bertanggungjawab! Sanggup awak buat saya macam ni, gantung tidak bertali. Siang malam saya teringatkan awak. Awak hadir dalam mimpi saya. Dalam bayang-bayang saya. Apa yang perlu saya buat?

Awak di sana. Saya di sini. Saban waktu saya menunggu mesej daripada awak. Jantan yang ditunggu tidak kunjung tiba, jantan lain pula masuk line. Awak tak cemburukah? 3 tahun menunggu cukup lama. Saya tidak boleh tahan lagi. Tolonglah fahami perasaan saya.

Monolog aku sendirian.

Air mata ini kadang terlalu murah kerana cinta. Berendam hujan tidak kira siang malam. Jika dunia melihatku, betapa buruknya aku. Apatah lagi di hadapan Allah dan ibubapa. Aku malu. Cukup malu.

Tapi apakan dayaku?


Terlanjur mencintainya begitu menyeksakan. Telah ku serahkan hati ini kepadanya. Bila dia hadir dalam hidupku, hari-hariku berlalu dengan indah dan bahagia. Di dalam hati ini ada taman bunga yang hidup segar mewangi. Aku benar-benar menyayanginya. Dia sangat baik bagi pandangan mataku. Lengkap segala impian untuk dibina masjid bersama.

Apatah lagi berlatarbelakangkan agama sudah memberi kredit yang lumayan dalam menempah banglo besar di syurga kelak. Aku yakin dialah bakal suamiku. Tiada siapa yang dapat menghalang kami. Ya, aku dan dia adalah pasangan kekasih yang pasti dan pasti akan diijabkabulkan dan berkekalan hingga nafas terakhir.

Khayalanku semakin jauh menerobos tembok bilik. Buku di hadapan muka bukan lagi fokusku.

Arghhhhhhhh!!!!!!!

Berendam lagi aku malam ini. Esok ada kuliah pula. Kacau betullah! Ya Allah, bantulah aku hambaMu yang lemah. Aku tidak tahu apa sudah jadi pada diriku. Aku tak tahu nak buat apa. Aku rimas dalam dakapan bayang-bayang ini.

Allah………….

Ku tepis sekuat hati buku di hadapan jatuh ke lantai. Sambil teresak-esak aku mengambilnya kembali. Entah mengapa aku terlalu emosi malam ini.

Aku terkedu terlihat gambar keluarga di sebalik helaian buku yang jatuh. Gambar ketika aku mula-mula menjejakkan kaki ke sini, Universiti Kedoktoran Muslim (UKM). Semuanya tampak ceria. Ibu dan ayah seringkali berpesan agar pandai membawa diri dan belajar bersungguh-sungguh.

Oh! Kalaulah ibu dan ayah tahu apa yang aku lakukan selama ini, ketika ini tentu sahaja mereka kecewa. Tentu hati mereka tidak tenteram dan sakit melihat anaknya mengabaikan amanah. Aku berlaku curang di belakang mereka. Tidak setia kepada janji. Tewas dalam permainan perasaan.

Sungguh benar kata-kata teman sekolahku :


“Dadah kepada remaja adalah cinta. Sekali dirasa, pasti nak lagi. Sikap ketagih yang berterusan membawa kebinasaan jika dilayan tanpa kawalan. Inikan pula dibakar dengan amukan asmara dan sentuhan fizikal.


Remaja hakikatnya belum layak untuk bercinta. Di usia mentah ini sepatutnya mereka fokus untuk belajar demi memajukan diri, keluarga dan agama. Melainkan betul-betul sudah bersedia untuk berkahwin. Ingatlah, jangan berani bermain api jika diri tidak bersedia untuk dibakar.”

Awak..

Berat sungguh aku menyimpulkan rasa. Saya delete dan tukar akaun emel saya. Facebook saya. Nombor telefon saya. Serta apa-apa yang boleh membuka peluang untuk kita berhubung kecuali doa.

Cinta.

“Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang. Cukup cintai dia dalam DIAM. Kerana diammu adalah salah satu bukti cinta kepadanya. Kau ingin memuliakan dia dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang. Kau juga tidak mahu merosakkan kesucian dan penjagaan hatinya.”

Bercinta dalam diam?

Saya sudah penat bercinta. Saya nekad untuk berhenti sahaja di sini. Saya mahu cinta hanya selepas nikah. Saya mahu perasaan cinta yang dibina dihormati, dibelai dan paling penting diberkati oleh Pencipta Cinta. Mungkin saya sedar dosa-dosa yang telah saya lakukan kepada awak. Dosa-dosa yang telah kita lakukan bersama. Saya mahu sucikan semua itu.

Saya inginkan yang halal. Saya tak sanggup lagi mengingati awak dengan tangisan dan derita. Saya mahu bahagia yang sebenar, keberkatan Allah dan pahala yang berterusan apabila mengingati kekasih, suami saya.

Betul. Kalau saya ingat suami, saya dapat pahala. Tapi kalau saya ingat awak apa yang saya dapat?

Zina hati. Hati saya sudahlah kotor menjadi semakin kotor. Saya telah leka daripada Allah. Jauh. Terasa jauh benar saya denganNya. Inilah jalan paling terbaik. Lepaskan cinta ini pergi. Biarkan saya dengan cinta Allah.

Ya, banyak lagi perkara yang perlu kita sumbangkan terutamanya untuk ummah. Selagi umur muda masih ada. Kelak bila Allah tarik nikmat ini, tiada lagi penyesalan.

"Dan kepunyaanNyalah apa-apa yang di langit dan di bumi, semua makhluk tunduk kepada-Nya" (Surah al-Rum : 26)

Selamat tinggal kenangan lama. Setelah kubungkus, akan ku lemparkan ke mulut lori sampah. Aku nekad. Aku ingin menjadi hamba Allah, bukan hamba cinta.


"Jika Allah mengetahui ada kebaikan di dalam hatimu, nescaya Dia memberikan yang lebih baik daripada apa yang telah diambil darimu dan Dia akan mengampuni kamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Surah al-anfal : 70)


READ MORE

SIAPAKAH WANITA PERTAMA MASUK KE SYURGA?




Perempuan dicipta untuk lelaki, dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam.

Allah tahu. Allah Maha Tahu. Adam tidak betah keseorangan. Lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri. Hawalah penghibur. Hawa jua racun berbisa. Bila mana iblis gagal menggoda Adam, lalu diganggunya Siti Hawa. Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa.

Lantas dicampakkan ke dunia. Dunia yang penuh kekejaman. Penuh noda. Penuh sengsara. Itulah wanita. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya.

Adam jatuh kerana Siti Hawa. Habil, dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga tersungkur kerana seorang wanita.

Begitulah. Hebatnya penangan seorang wanita.

Jangan disangka tangan yang menghayun buaian tidak mampu menundukkan dunia. Malah air mata jantan dan ketebalan ego sudah banyak tersungkur layu sujud di kaki seorang wanita.

Sejarah mempopularkan kehebatan wanita setaat Siti Muthiah. Cuba bayangkan. Bagaimana Saidatina Fatimah kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya.

Siapakah dia?
Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah SAW?

Dialah Siti Muthiah. Wanita agung yang sentiasa mentaati suaminya. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.

" Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?" Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain, dan sebatang rotan di sampingnya.

" Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku, dan anak-anak."

" Bagaimana pula dengan rotan?"
" Jika layananku tidak memuaskan hatinya, aku rela dipukulnya."
" Adakah dia sering memukulmu?"
" Tidak. Bahkan dia hanya memelukku di sisinya."
" Kamu memang layak masuk syurga," bisik hati Fatimah.

Akhirnya, Rasulullah SAW pernah bersabda :

"Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang, yang memelihara kehormatannya, yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya, yang menghormati suaminya, menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta, memelihara diri daripada pandangan orang lain, yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya. Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain." - (Riwayat Al-Tausi)

Subhanallah. Indahnya kejadian seorang wanita.

Tidak ada apa yang lebih manis dalam kehidupan ini melainkan apabila berjaya memperoleh kemanisan iman dan cinta Ilahi.

READ MORE

MENGAPA PERLU BERSENDIRIAN?


Tit tit..

Kedengaran mesej masuk di handphone kawan sebelah.

Tit tit...

Mesej kedua masuk diiringi gelak miang. Aku sudah tarik muka bersabar.

Tit tit tit tiiiiiiit...

Bunyi mesej masuk kali ketiga. Kali ini seperti sengaja dibiarkan lama-lama. Wajahku sudah masam mencuka, hatiku bagai mahu memberontak. Ingin sahaja aku lemparkan handphone kawan aku. Bukan kerana mencuri ketenangan tetapi buat aku geram! Cemburu!

"Woi! Aku tahulah kau ada awek! Tak boleh blah la, macam satu dunia kau nak kecoh" Mahu sahaja aku menjerit kepadanya tetapi apakan daya suara aku tersekat sampai di kerongkong.


"Mat...Aku tengok kau syok betul dengan awek baru" tegurku perlahan.
"Haha...mana ada bro. Macam biasa je. Kau apa cite? Dah ade awek blom?"

"Aku? Emmm......Lum lagi bro"
"Kau tak tension ke? Tak rase sunyi pun? Orang lain berkepit dengan awek, kau berkepit dengan laptop siang malam. Time muda-muda camnilah kena cari awek. Baru hidup enjoy bro!"

Semangatnya dia bagi "ceramah" pada aku. Lagaknya seperti berkempen pilihanraya kampus, siap ada tunjuk nombor dua berulang-ulang kali.



Hati aku ini kosong sebenarnya. Kegersangan.

Sejak clash dengan awek cinta pertama, hatiku masih tertutup untuk menerima sesiapa. Aku tahu di luar sana bersepah-sepah awek cun. Di  facebook aku, hampir keseluruhannya awek-awek. Ada awek jelita, up to date, bergaya, cun melecun, seksi, hot, gedik, ayu malah ustazah pun ada! Tiap-tiap hari aku tatap gambar mereka tapi mereka semua seperti bukan selera aku.



Jauh aku termenung...mengintai sebuah episod keterlukaan.

Sebenarnya, aku masih sayangkan dia. Aku tidak berniat melukakan hatinya. Akulah cinta pertama dan terakhir dia. Sudah lama aku dan dia bersama, mengapa kesudahannya begini? Bukankah dia pernah berjanji akan mencintai aku sampai bila-bila? Takkan pernah meninggalkan aku? Aku mahu kembali kepada dia. Masihkan dia sudi menerima aku kembali setelah apa yang aku lakukan? 

Jika tidak, haruskah aku bersendirian? Mengapa pula aku perlu bersendirian?

Ah!!! Aku masih muda. Rupaku yang tampan dan segak bergaya amat digilai ramai oleh si jelitawan di kolejku. Petik sahaja jari, pasti ramai menadah hati untuk berkongsi cinta denganku.

Aku tidak lagi bersendirian di dalam hidup. Aku tidak perlu merasa cemburu dengan kawan-kawanku lagi. Hatiku bakal diisi dengan keindahan dan kebahagiaan cinta bersama si dia. Puas!

"Lonely
I'm Mr. Lonely
I have nobody
For my own


I'm so lonely
I'm Mr. Lonely
I have nobody
For my own
I'm so lonely"

Eh! Tak sedar aku handphone aku berbunyi. Tertera nama mak di skrin. Lantas aku menjawab.

"Assalamualaikum man. Anak mak sihat hari ini?"
"Waalaikumussalam mak. Man alhamdulillah sihat arini. Mak camne plak?"

"Mak pun alhamdulillah sihat. Man ape cite kat sane? Hari ni man solat cukup 5 waktu tak?
"Man biasa-biasa je mak. Takde yang istimewa pun. Hehe...mestilah cukup mak. Anak mak lah katakan."

Kami berdua ketawa bersama.

Lama juga aku berbual dengan mak. Sikap peramah dan prihatinnya kadang-kadang mengubat hati aku yang kekosongan. Tunjuk ajar, didikan, nasihat dan pesan mak ayah terutamanya tentang solat banyak mendisplinkan diri aku sejak dari kecil. Cuma kadang-kadang aku agak nakal dan suka berfoya-foya di belakang mereka.

Aku sepatutnya perlu bersyukur kerana masih ada mak sebagai teman hidupku setelah pemergian ayah. Dialah tempat aku berkongsi cerita dan mengubat duka. Haruskah aku mengecewakan hati mak apabila dia tahu segala perbuatanku?

Tidak! Aku perlu berhenti. Aku mesti berubah!

Biarlah aku hilang cinta manusia yang belum halal bagiku jika kasih sayang mak terbahagi dua. Terima kasih ya Allah, walaupun aku sudah banyak berdosa, Kau masih beri peluang kepadaku untuk aku berubah. Jiwa in terlalu rapuh, lemas dalam dugaan yang mendatang. Cuba untuk mendekatiMu tapi sayang hati tetap sama seperti dahulu.

Wahai si gadis yang cantik menawan di luar sana, jagalah maruah dan kehormatanmu. Usahlah post gambar-gambar dirimu semata-mata meraih pujian dan populariti dengan make up tebal-tebal, posing sana sini dan fesyen bertudung yang memelikkan. Pakaianmu untuk menutup auratmu bukannya membungkus bagai kain kapan. Aku ini sudah banyak berdosa janganlah kau tambah lagi dosaku. 

Ketahuilah “Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).


Takkan ku lamarmu jika tidak agamamu. Yang pasti, aku tetap dengan mujahadahku. Biarlah aku bersendirian menanti masanya. Aku yakin Allah ada bersama-sama denganku. Malah Dia amat dekat denganku. Buktinya, Dia masih hadirkan secebis iman untuk diukir kecintaan kepadaNya.

Ya Allah Ya Tuhanku.. Ampunkanlah segala kelekaan dan kealpaan diriku dalam mengejar cinta hal-hal dunia. Sesungguhnya aku telah lalai dengan keikhlasan hatiku sendiri. Mungkin itulah ujian dan dugaan untukku. Oleh itu, ampunkanlah segala dosa-dosaku..

READ MORE

MAHASISWA SEPERTI BINATANG TERNAK


Membiaknya spesies mahasiswa yang alergi dengan politik adalah wabak yang mengundang kehancuran. Dalam sopan mereka oportunis, dalam diam mereka menjadi kaum yang manipulatif. Semuanya gara-gara mahu aman, tetapi tidak mahu berusaha dan menyumbang kepada keamanan. Mahu keselamatan tetapi tidak mahu memperbaiki apa-apa untuk kebaikan bersama.

Lantang mengkritik polisi-polisi yang membebankan tetapi terlalu malas untuk bertindak lebih sekadar mengkritik. Mereka menikmati keamanan hasil penat lelah orang lain, mereka menikmati keselamatan hasil jerih payah orang lain!


STIGMA KEHIDUPAN MAHASISWA 3K (KULIAH, KOLEJ, KAFETERIA) 

Kalaulah bumi boleh menangis, sudah lama ia akan mengatakan bahawa ia sedang menangis menyaksikan bagaimana kehidupan manusia yang menumpang di atas bumi Tuhan ini sudah huru hara dan menyimpang jauh daripada landasan islam.

Mereka tidak lagi cakna apa yang berlaku kepada umat. Tidak giur ambil tahu situasi semasa.

Cita-cita anak muda menjadi mahasiswa yang terpimpin, bukan mahasiswa yang terkongkong.dek stigma 3K (kampus, kafe dan kolej). Anak muda sebagai generasi yang akan memimpin masa hadapan perlu melihat lebih jauh terkehadapan dengan keadaan sekeliling, jangan hanya tunggu dan terus menerima, kita mesti memberi untuk perjuangan agama.

"Dengan jiwa mahasiswa, kita menggapai alam dewasa. Jiwa mahasiswa adalah semangat terus belajar dan mencabar seiring dengan kematangan dan kecerdikan seseorang dewasa. Jalan ini cuba untuk menyuluh umat dengan revolusi."

Kita mempunyai pemuda yang berjiwa muda, sama umur seperti kita. Pemuda itulah yang menyelamatkan Nabi Muhammad SAW daripada dibunuh oleh kafir Quraisy. Pemuda itulah yang memimpin bala tentera ketika Nabi kegeringan. Pemuda itulah yang membuka Kota Constantinople. Adakah anak muda sekadar mahu menjadi pelajar sahaja atau menjadi pemuda kebanggaan islam?

Mengambil roh daripada kata-kata Sayid Abu Al-A’la Al Maududi ketika memberi ucapan buat graduan-graduan yang sudah tamat universiti.

"Wahai pelajar! kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung jiazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu saat ini.
Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya. Alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."

Benarlah satu ungkapan “Havard produce genius but not soul”. Graduan hidup di dalam jasad, tapi mati hatinya. Tidak ubah seperti robot yang diprogramkan. Tidak ubah seperti mayat yang hidup tanpa jiwa.





REVOLUSI : SATU TUNTUTAN

Kemenangan sebenar adalah kemenangan mempertahankan yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah dalam apa juga keadaan dan situasi, walaupun dalam nilaian manusianya kita kalah.

Revolusi selalunya memerlukan pengorbanan. Pengorbanan masa, harta benda, keringat malah jiwa sekali pun. Segala rentak revolusi mahupun perubahan ini berlaku apabila rakyat sudah mula tidak tahan dengan pemerintah mereka yang bersikap zalim, diktator, menghalang kebebasan bersuara, rasuah, penyelewengan tidak adil, memanipulasi pilhanraya dan sebagainya.

Evaluasi realiti umat mungkinkah “dibenarkan dengan amal” masih tidak power aksinya dari umat Islam? Mari kita jujur merenung sebentar keadaan umat! Apa yang dapat dirumuskan? Situasi umat di Timur Tengah, di Palestin, di Sudan, di Indonesia, di Bosnia, di Iraq, di Selatan Thai dan di bumi tercinta Malaysia.

Dapatkah cluenya?

Menjauhi Islam dan Al-Quran dalam dipatuhi perintahnya dan siapa pula yang harus ditentang perintahnya, dengan siapa mereka harus memelihara hubungan dan dengan siapa tidak, siapa teman mereka dan siapa musuh mereka, di mana letak kehormatan, kesejahteraan dan keberuntungan mereka, dan di mana letak kehinaan, kegagalan dan kerugian mereka?

Rasulullah SAW dan para sahabat telah mencontohkan kepada kita. Sultan Al Fateh, Tariq Bin Ziad dan Salehuddin Al Ayubi pernah menemuinya, maka kini tiba giliran kita, para pemuda generasi baru. Mulakan dengan keaslian aqidah kita yang tetap, benar, diyakini dan dibuktikan dengan “total action”.

Ya, iman yang bukan mandul, tetapi iman dan aqidah yang melahirkan “total action”, berprestasi untuk Islam! Revolusi yang melahirkan natijah, bukan sekadar ilusi!

Anak muda pencetus revolusi. Akhirnya dunia ini anak muda yang punya!

READ MORE

DI MANA HARGA SEORANG WANITA?


Hingga kini dunia islam bagai hilang punca, tertanya-tanya apakah jalan keluar sebenarnya bagi krisis kemanusiaan seperti pembunuhan, rompakan dan rogol? Mengapa masalah itu timbul? Jawabnya tidak lain adalah kerana insannya tidak dibangunkan. Selama ini yang dititik beratkan hanya pembangunan fizikal dan material.

Akhirnya materialnya maju tetapi manusia hidup kalau tidak seperti haiwan, tak ubahnya seperti syaitan!

Ittaqullah! Takutlah kamu kepada Allah! Di antara tanda-tanda Hari Kiamat semakin hampir adalah kebanyakan wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang! Seperti yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA : "Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang".

Terjadinya huru-hara dan peperangan yang semakin parah di dunia hari ini adalah bersumber dari jiwa manusia yang tidak didorong, dipandu dan disuburkan untuk cinta dan takut pada Allah. Hati dan jiwa yang jahat telah mencetuskan kekacauan yang berterusan. Walau ilmu tinggi melangit, pengalaman berpuluh tahun, namun selama hati jahat, selama itulah manusia tidak akan dapat mendamaikan dunia ini.

Mengapa manusia seolah-olah kembali kepada peradaban penghambaan? Menjadi hamba kepada nafsu dan syaitan? Dalam sabda Nabi SAW:

"Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu, yang berada diantara dua lambung engkau". (Riwayat Al Baihaqi)



SYAITAN YANG KREATIF DAN KRITIS

Syaitan memiliki pelbagai cara strategi dalam menggoda manusia, dan yang sering dieksploitasi sebaik-baiknya oleh mereka adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan. Syaitan tahu kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Mengapa muslimah (wanita islam) menjadi sasaran utama syaitan?

Mungkin kita sering dengar di majlis-majlis agama, di surau-surau, di masjid, di dewan, para ustaz, mubaligh, guru dan pensyarah kerap menyatakan ungkapan ini, bahawa "kaum Lelaki mempunyai hanya 1 Nafsu tetapi mempunyai 7 Akal. Manakala kaum kanita memiliki 7 Nafsu dan hanya 1 Akal". Mungkin ada riwayat yang menyatakan hal ini tetapi pasti ianya hanya bersifat mendidik manusia.

Jadi, kita bertanya bagaimana dan apakah strategi syaitan menggoda muslimah?

Berikut adalah cara bertahap :



I. Menghilangkan Definisi Hijab

Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian, gaya hiasan atau fesyen ikutan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar'i, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian. Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian mengikut peredaran zaman.

Berbeza pula jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar'i (identiti keIslaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen). Biarpun hidup bila dan di mana saja, maka hijab syar'i tetap dipertahankan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, syaitan tetap tidak putus asa. Syaitan akan beralih dengan strategi yang lebih halus.

Caranya?

Pertama, Membuka Bahagian Tangan

Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). "Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik," Tu.. tidak apa-apa kan?


Kedua, Membuka Leher dan Dada

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. "Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu." Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf "V" yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya. Lelaki pula tidak kisah boleh melihat dan mengagak bentuk dan saiz dada muslimah mengikut kesukaannya.


Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, "Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, "cool",  jom cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ye?" Si wanita berfikir. "Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang. Bentuk badan kamu ramping dan kurus, kamu mesti serlahkan kecantikan agar lelaki tertawan denganmu," syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, dicarilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. "Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin," begitu dia menokok-nambah. Maka, pakaian tersebut akhirnya menjadi budaya ikutan di kalangan wanita muslimah, semakin hari semakin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat 'ariyat (berpakaian tetapi telanjang).


Keempat, Agak di Buka Sedikit

Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru seperti "cool" dan "vogue", dibisiki wanita itu, "Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, bukankah sebaiknya dibelah hingga lutut atau mendekati paha?" Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energetik." Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata lebih selesa, terutamanya ketika duduk atau naik kenderaan. "Yah.... tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting selesa dan simple," katanya.


Inilah tahap-tahap awal syaitan merosak kaum wanita, sehingga ke tahap ini pakaian masih tetap kekal dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar'i yang sebenarnya. Maka kini syaitan memulakan tahap berikutnya.



II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit

Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih "power" dan berani, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya dan kelihatan seksi.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit

Syaitan Berbisik kepada wanita, "Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang selesa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki."

Ini baru agak longgar. "Oh...... ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala....... orang tetap menamakannya dengan jilbab."

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.


Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis

Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, "Terbukti manusia menyukai apa yang kamu lakukan, mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Bukankah itu lebih seksi dan menggoda siapa sahaja lelaki yang melihat?

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.


Ketiga, Terbuka Seluruh Betis

Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berjaya membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bertentangan dengan suruhan agama. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, "Ah zaman sudah berubah! Sekarang zaman moden, mesti ikut perkembangan fesyen terkini, nanti orang gelar ketinggalan zaman pula."

Tetapi? Apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki.
Fitnah?

Ah...... itu kan zaman dulu, ketika itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan "ooooh!" atau "wow! hot girl", bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama-sama suka? 

Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita moden di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita kampung.

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.


III. Serba Mini

Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian seharian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. "Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah."

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, petang, dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba.

Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang disebut "bikini". Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na'udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, "Menelanjangi Kaum Wanita."

"Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki dan di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu" Syaitan tak ingin ambil risiko.





PENUTUP

Demikian halusnya cara yang digunakan oelhsyaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa dan tidak perasan. Maka hendaklah kita semua, terutamanya orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita, bersegeralah diambil tindakan. Jangan biarkan berlarutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka akan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya.

Mencegah lebih baik daripada merawat.

Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.


Sumber idea dan buah fikiran: Kitab "At ta'ari asy syaithani"

READ MORE

"ABANG, BUKAN MENCINTAIMU SEKADAR CINTA"



Membelek-belek album perkahwinan begitu mengasyikkan. Bahagia yang teramat sangat. Alhamdulillah, akhirnya aku dan abang selamat disatukan. Masih segar lagi di kotak minda bagaimana abang mendidik, memandu dan membantu aku cara bercinta. Ya, cinta kerana Allah.

"Sayang, sayang masih ingat lagi tak kata-kata abang sebelum kita nikah?" dengan sekuntum senyuman yang manis, bicaranya sungguh lembut mencuit kewanitaanku.

"Hehe..mestilah sayang ingat lagi abang. Siap tulis dalam diari sayang lagi. Abang beritahu sayang waktu tu dengan air muka penuh penegasan :

“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )

Sayang mengerti benar maksud abang. InsyaAllah abang, kita diikatkan kerana agama Islam. Hati kita ditautkan kerana mencari keredhaan Allah. Nafsu kita diikat bersama kerana takutnya kita kepada Allah. Iman kita saling diteguhkan kerana kita bermujahadah mencari cinta halal. Abang, kita saling jatuh cinta kerana jalan dakwah ini membawa cinta kita insyaAllah hingga ke istana syurga."

Suasana begitu sepi. Hanya kedengaran sayup-sayup dari luar bilik lagu nasyid "Lafaz Sakinah" yang dipopularkan oleh kumpulan nasyid Far east.

"Ya sayang...Di jalan dakwah ini abang menikahimu. Abang mahukan yang terbaik bagi kita. Cinta yang kita ukirkan perlu ada prinsip dan ketegasan agar tiada contengan fitnah di dahi seorang muslim seperti sabda Nabi SAW :

“Perempuan itu dinikahi karena empat faktor iaitu agama, martabat, harta dan kecantikannya. Pilihlah perempuan yang baik agamanya. Jika tidak, nescaya engkau akan menjadi orang yang rugi” (HR Bukhari dan Muslim).

Sayang, ayah abang sendiri juga berpesan untuk serius menjaga amanah dan kepercayaan ini. Berkali-kali dia mengingatkan abang, sayang :

"Siapa yang menikah kerana menginginkan kehormatan maka dia akan hina. Siapa yang menikah kerana harta maka dia akan menjadi miskin. Namun siapa yang menikah kerana agamanya maka Allah akan kumpulkan untuknya harta dan kehormatan di samping agama."

Sayang, wajah cantik dan sifat luaran tidaklah penting, yang paling penting adalah sebuah hati yang sungguh mencintai Allah dan memiliki keinginan untuk mendekati Allah. Abang tidak perlukan seorang isteri yang hanya mencintai abang dan menjadi teman hidup, tetapi dapat juga menasihati ketika abang berbuat kesalahan. Seorang isteri yang mencintai bukan kerana apa yang ada pada diri abang tetapi kerana hati abang.

Hati abang ini sayang sebenarnya sudah menduakanmu setelah lafaz akad nikah menjadi saksi kepada pengorbanan ini. Usahlah sayang terkejut. Abang percaya, kerana agama sayang sanggup dimadukan."

Sepi.

Diramasnya jari-jemariku dan dikucup berulang kali dengan penuh kasih sayang. Aduhai abang...betapa mulianya hatimu. Tiada yang lebih indah jika hidup bermadu abang.

"Sayang....sayang sudi melepaskan abang jika benar itu kehendak abang. Sayang percayakan abang."

Dengan tidak semena-mena air mata turun membanjiri pipiku. Teresak-esak aku menahan sendu. Sungguh, kau buat aku cair dan lemah dengan belaian cinta yang hadir ikhlas dari hatimu.

"Ish...kenapa menangis ni sayang? Kan dah tak comel gitu. Hehe...Sayang jangan salah faham pula ya. Abang menikahi sayang sebagai isteri kedua abang manakala isteri pertama abang adalah dakwah seperti kata-kata syeikh mustafa masyhur :

"Aku memiliki 2 isteri. Isteri pertamaku adalah dakwah. Isteri keduaku adalah isteriku sekarang. Jika bertembung antara keduanya, akan aku utamakan isteri pertamaku."



"Tidaklah sayang salah faham abang cuma sayang amat terharu dan bersyukur punya suami seperti abang. Kesetiaan abang kepada agama menambahkan kehangatan kebahagiaan baitul muslim kita. Sebagaimana abang berprinsip :

“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )

Sayang juga redha abang.

Abang, kahwinilah sayang jika cinta abang kepada Allah melebihi cinta sayang. Tinggalkanlah sayang jika cinta abang kepada sayang melebihi cinta Allah."

"Sayang, abang sangat mencintai sayang kerana Allah. Abang amat menyayangi sayang kerana aqidahmu. Abang menghormati sayang kerana kesucian yang sayang pertahankan selama ini. Bantulah abang menjadi seorang imam yang lulus dalam ujian pengorbanan. Jadilah pemberi semangat, sehingga abang dapat mendukung amanah perjuangan setiap hari.

Emm...Malam makin larut sayang. Mari kita bersiap-siap dahulu sayang. Kita solat sunat berjemaah dahulu ya sebelum tidur. "

Dengan lirikan mata yang manja abang memimpin aku bangun untuk ke bilik wudhu'.

Betapa besarnya Allah SWT kerana Dia telah memberikan kepadaku seseorang yang dapat membuat hidupku menjadi lebih sempurna. Aku mengetahui bahawa Dia menginginkan kami bertemu di jalan dakwah dan membuat segala sesuatunya indah pada waktu yang telah Dia tentukan. Kerana sesungguhnya aku mencintai dirinya keranaMu Ya Allah.

“Ya Tuhan kami, jangan engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi engkau , kerana sesungguhnya engkaulah Maha Pemberi Kurniaan” (Ali Imran:8)
“Wahai Allah, aku meminta kepadaMu kecintaan kepadaMu. Kecintaan kepada orang yang mencintaimu. Serta aku meminta amalan yang dapat menghantarkan aku kepada cintaMu.”

Abang, aku mencintaimu bukan sekadar cinta. Ku bina mahligai cinta ini di atas tapak berasaskan dakwah.

READ MORE

MOTIVASI PENDEK


Seorang pemuda yang duka wajahnya didatangi seorang alim, lalu di pegang dadanya, kemudian orang alim bertanya,

"Benarkah yang diperlukan oleh kamu adalah 'duit'?

Pemuda itu menjawab "Ya"...Jika tidak ada duit masalah saya tidak akan selesai.

Orang Ailm itu tersenyum lalu berkata..."bukan", yang diperlukan kamu adalah iman, bahawa Allah SWT akan menolong kamu, bahawa Allah SWT sahajalah yang akan menyelamatkan kamu.

Kita adalah hamba yang sering alpa bahawa Allah SWTlah segala jawapannya. Jika di risaukan persoalan 'dunia'.. 'dunia' .. 'dunia', pasti tidak ada penghujungnya. Selesaikanlah masalah hanya dengan bantuan Allah SWT. Dia yang Maha Berkuasa.

''Makhluknya langsung tiada kuasa"




"Kadangkala apabila ujian tidak menjengah, kita lupa untuk memohon. Kadangkala, apabila kehidupan tidak diuji, kita lupa untuk meminta. Lantaran itu, hati terasa kosong, bukan kerana ujian yang terasa berat, tapi JARAK dan HUBUNGAN denganNya yang tanpa sedar SEMAKIN JAUH daripada kita."

Ibn Jauzi telah menulis dalam Shaidul Khatir :

“Orang yang sedar sepatutnya mencari sesuatu yang paling mahal nilainya dan sesuatu yang paling berharga di dunia ini ialah ALLAH SWT”

READ MORE

"AWAK, SAYA TAK NAK BERCINTA LAGI"


Mencintai dan dicintai. Fitrahnya, suatu kemestian buat seorang insan. Hadirnya perasaan ini mungkin di kala ketidakmatangan dalam menilai cinta yang sejati. Namun, saat hati sudah pulang kepada Tuhan, cinta itu kembali bertandang dan berbunga semula. Ia mengundang 1001 kecelaruan.

Kenangan manis mahu pun sejarah hitam begitu asyik berputar menenggelamkan prinsip "bercinta selepas nikah". Bukan mudah diusir. Bukan mudah melupakan. Hanya Allah yang Maha Tahu betapa sengsara dan laranya hati menanggung seksa keseorangan.

"Everytime ex-bf saya text balik, saya mudah sangat nak nangis. Saya tak nak bercinta lagi. Saya berjaya tak capel ngan mane-mane laki lepas tuh. Tapi hati saya sakit bila ingat ape yang dia pernah buat kat saya. Hari-hari saya bace doa minta petunjuk. Saya nak berubah. Saya tak suke ex-bf saya message saya. Setiap kali dia merayu, saya kata dalam hati, "Kau jangan capel. Kau bercinta lepas kahwin". Itu je yang mampu saya buat. Tapi hati saya kadang-kadang tak tahan. Kat FB kadang-kadang dia saje letak gambar mase saya dengan dia dulu".

Buat mereka yang pernah bercinta dan mahu berubah, kembali kepada yang lebih berhak, TAHNIAH!
Buat mereka yang sedang derita dan bermuhajadah dalam kecelaruan cintanya, TAHNIAH!
Buat mereka yang tidak putus asa berusaha untuk mencari cinta Tuhan semula, TAHNIAH!
Buat mereka yang terseksa dengan amukan nafsu cinta remaja dan kini sedang mengubatinya, TAHNIAH!

TAHNIAH dan pujilah diri!
Itu adalah satu kebanggaan! Satu kehormatan yang tertinggi daripada mereka yang tidak pernah bercinta. Untungnya mereka ini, pernah merasa syoknya bercinta dan deritanya bercinta. Mujahadah yang paling besar buat seorang hamba adalah melawan nafsunya sendiri!

Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, "Peperangan apakah itu wahai Rasulullah?". Baginda berkata, "Peperangan melawan hawa nafsu." (Riwayat Al Baihaqi)

Walaupun status hadis ini adalah hadis dhaif, namun apa yang boleh diiktibarkan, bahawa jihad dalam konteks islam bukan semata-mata jihad mengangkat senjata, mahu pun jihad menuntut ilmu, malah meliputi jihad menentang hawa nafsu sendiri. Betapa pentingnya kita memahami konteks jihad secara syumuliah (keseluruhan) agar sisi pandang kita terhadap keindahan agama Islam bertambah sempurna. Ia berhasil ke arah kemantapan iman dan kedewasaan pemikiran seseorang hamba dalam menjiwai agamanya.

Dalam sebuah hadis bertaraf hasan, Nabi SAW bersabda: "Seorang mujahid (iaitu seorang yang berjihad) ialah dia yang melawan hawa nafsunya kerana Allah."

Dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali juga ada menyatakan :

"Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin. Oleh itu seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat."

Berhubung dengan ini Abdullah ibn Mubarak berkata : "Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu."








PUJUKLAH DIRI, LEPASKAN DIA PERGI

Hasil didikan (tarbiyyah) cinta dusta mengajar kita untuk tidak berpaling ke lembah hina itu lagi. "Putus cinta dan mahu bercinta kembali" perlu dibuang jauh-jauh. Nyahkan dari otak! Hapuskan dari hati!

Lihatlah wahai hamba kesayangan Allah, Allah mahu ajar kita, mahu didik kita, mahu tarbiyyah diri kita, betapa cinta sebelum nikah adalah hina. Mudahnya diri terperangkap dalam noda dan dosa. Asmara itu tidak bernafsu ketika akad. Kerana kesuciannya telah dibunuh hidup-hidup oleh kata-kata manis sang jejaka.

Ya! Mungkin kita cair dengan pujukan dan keindahan rupa si dia, tetapi itu tidak menjanjikan kebahagiaan selamanya yang kita cari. Hati kita sebenarnya tidak puas! Tidak puas menagih cinta dan kasih sayang manusia.

Cubalah renungkan kembali. Air mata kita begitu murah hanya kerana cinta manusia! Lemahnya diri tertawan dengan janji-janji si mulut manis. Tubuh badan diratah, maruah tergadai dan akhirnya kita ditinggalkan dengan bodoh sekali apabila sudah muak dan bosan. Andai itu tidak terjadi, bersyukurlah. Tetapi jika sebaliknya, bagaimana?

Manusia memuja muji kekasih kerana tidak kenal Allah. Mereka keliru cinta mana yang harus dipuja. Justeru, tatkala iman dan kepercayaan tidak utuh, seorang hamba akan dikepung syahwat dari seluruh arah, dikelilingi sifat keliru dari semua penjuru, semua itu akibat dari kelemahan ilmu dan ketumpulan mata hati. Maka yang yang dituntut ialah penyesalan. Sesallah sekarang sebelum kita disesalkan kelak. 

Oleh itu, siapkanlah jiwamu untuk dicuci, pujuklah diri dengan mendekatkan diri kepada Allah dan orang-orang soleh, pupuklah diri dengan tarbiyyah yang betul, kekanglah dari segala kehendak dan alat yang boleh menjerumuskan diri ke lembah terkotor itu lagi. 


Jika Facebook menjadi punca luka berdarah kembali, block/deletekan sahaja dia daripada akaun kehidupanmu! Tukarlah nama atau profile yang baru.

Jika handphone menjadi punca kegersangan cinta, tukar sahaja nombor yang baru tanpa berfikir dua kali! Lemparkan sahaja semua gambar dan kenangan bersamanya di dalam longkang najis! Bukanlah membenci, tetapi tegas dalam prinsip!!!

Jika dirinya hadir melintasi kepala otak, ambillah sejadah, rendahkan dahi menyembah bumi, ciumlah haruman syurga segar mewangi sedang menanti doa-doamu sebagai tetamunya. Allah SWT, Tuhan kita yang telah lama dipinggarkan juga tidak putus menunggu air mata untukNya. Ketagih berbicara dengan hambaNya dengan taubat dan penyesalan yang mendalam.

Hakikatnya, kata-kata penulis tidaklah sehebat mana jika dibandingkan ayat-ayat cinta dari langit. Tentu sahaja semangatnya tidak konsisten dan tidak begitu mendamaikan hati yang sedang lara dan keliru. Pujuklah diri, renungkan dalam-dalam dan ajarlah hati untuk menjiwai setiap bait kata-kata Allah ini.

Firman Allah SWT : "Sesungguhnya beruntung orang-orang yang beriman, (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang MENJAUHKAN DIRI dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna, dan orang yang menunaikan zakat, dan orang yang MEMELIHARA KEMALUANNYA kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Tetapi sesiapa yang DICARI BALIK itu (zina dan sebagainya) maka mereka itulah orang-orang yang MELAMPUI BATAS. Dan (sungguh beruntung) orang yang memelihara amanat-amanat dan janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi (yakni) yang akan mewarisi (SYURGA) FIRDAUS. Mereka KEKAL didalamnya." (Surah al-Mukminun ayat 1-11)

Bukankah itu lebih mengghairahkan?

READ MORE

"I LUV U" : BILA SUKA KATA SUKA



Wan : Sorang je, awek mana?
Roy : Awek? Haha...Aku solo lagilah bro.
Wan : Aik?? Takde awek? Pelik aku, muka macho, poket penuh...ape cite?
Roy : Enjoy dulu la bro. Apa barang awek-awek ni?
Wan : Ha..! Ni mesti kes kau jual mahal lagi kan?
Roy : Hahaha...Mane ade, aku segan la bro. Awek tu baik sangat macam malaikat. Aku ni dah ler macam hantu. Bagai langit dengan bumi bro.
Wan : Pulak dah. Bro, kalau dah suka kata suka. Kalau melepas..telan air liur je lah alamatnye. Haha...Meh aku nyanyi kat kau sikit. "Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama diambil orang". Hahaha...


Roy : Rilex la bro. Aku taknak lah nampak macam terhegeh-hegeh.
Wan : Ah! Kau tak abes-abes bagi alasan. Jantanlah sikit. Esok aku teman kau, apemacam?
Roy : Aku tak bersedia lagilah. Lagipun semalam kau tak dengar ke Bro Zaki cakap ape?
Wan : Baitul Muslim ke? Haha...aku semalam kat planet plutolah. Penat la..Hehe..
Roy : Kau ni memang, bab agama tangkap lentok, bab awek cepat kau reaktif. Baitul Muslim tu maksudnya kita gunakan orang tengah untuk approach orang yang kita sukalah. Tapi orang tengah tu sebolehnya sudah berkahwin, boleh dipercayai, alim dan arif dalam bidangnya.

Wan : Nape susah-susah nak guna orang tengah, kan bagus straightforward je kat minah tu?
Roy : Bagi aku bro, aku hargai cinta aku pada dia. Aku ingin hormati dia sebagai seorang perempuan walaupun belum tentu dia terima aku. Aku nak perasaan aku terhadap dia halal dan paling penting diberkati Allah. Aku tak mahu hubungan yang bakal aku bina bersama dengan dia disaluti dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan.

Wan : Tapi bro, bukan ke cinta itu fitrah? Perasaan semulajadi yang Allah titipkan ke hati semua manusia? Salah ke nak ucap "I luv U" je?
Roy : Yup bro! Cinta itu fitrah, kita bebas nak bercinta dengan sesiapa dan bagaimana. Tapi bro, bebas jangan sampai terbabas. Sebab itu agama islam indah, kita boleh tengok sirah Nabi SAW sendiri. Siti Khadijah RA yang mula jatuh cinta kepada Rasulullah SAW lantas menyuarakan keinginannya melalui orang tengah yang dipercayai iaitu Nafisah binti Manbah agar merisik Rasulullah SAW untuk dirinya.

Rasulullah SAW pun menyambut baik tawaran itu dan memberitahu kepada bapa-bapa saudaranya. Akhirnya melalui bapa saudara baginda yang bernama Amru bin Asad, Rasulullah meminang Khadijah RA. Jika direnung kembali, bukankah peristiwa ini sungguh memberikan erti yang cukup relevan untuk penyelesaian masalah pengurusan cinta yang "terlarang"?
Sunnah itu telah ditunjukkan oleh Allah dengan jalan terbaik yang dilakukan oleh baginda, maka bukankah sewajarnya kita perlu mengikuti sesuatu yang terbaik dari Rasulullah SAW sendiri?


Wan : Panjang kau ceramah bro. Haha..Walaupun aku seorang yang percaya dengan keajaiban doa, tapi aku juga percaya dengan konsep usaha. Mana ada awan tanpa adanya proses kondensasi, dan mana ada bunga tanpa adanya proses pendebungaan. Semuanya memerlukan proses, Allah pun takkan ubah nasib kita melainkan kita sendiri yang akan ubah nasib kita sendiri. (Surah Ar-Ra'd, ayat 11) Betul tak bro?

Roy : Betul tu bro. Kita tak boleh biarkan kemanisan bercinta dihirup sebelum berkahwin dengan ‘si dia’. Dan bercinta dengan sederhana sahaja. Kelak mungkin ‘si dia’ bukan jodoh untuk kita. Jika kita ingin berbahagia seumur hidup, kita kenalah tahan diri untuk berbahagia sebelum 'si dia' halal untuk kita. Jika kita sudah menyintainya, kita perlu bina asas perkahwinan dengan tidak melanggar syariatNya. Kebahagiaan yang kita lihat sebelum berkahwin hanya palsu, yang hakikatnya adalah selepas diijabkabulkan.

Lagipun jika kita inginkan pasangan hidup yang terbaik untuk kita, maka kitalah yang patut menjadi yang terbaik dahulu. Membina keserasian sebelum berkahwin bukanlah dengan cara berdating, cukuplah sekadar kita tahu apa yang perlu kita tahu. Bercinta dengan manusia untuk mencapai cintaNya. Usah biarkan nafsu terliur dengan cinta yang tidak diterima di sisi Allah, kelak Allah akan tarik kebahagiaan daripada kita.

Wan : Selamat bercinta sampai ke syurga bro! Banyak yang aku tak tahu pasal cinta. Aku kira aku sudah banyak tersimpang jauh dengan awek aku. Tapi aku harap aku tidak terlambat untuk aku perbetulkan segalanya. Hubungan aku dan dia tampak indah tapi...

Roy : Dan siapakah yang membawa kita melihat semua ini indah bro?
“Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk,” (Surah An-Naml ayat 24).
Itulah dia syaitan yang telah menghiasi semua kemungkaran itu dengan keindahan, agar kita tertarik untuk melakukannya. InsyaAllah Allah SWT itu Maha Adil, kita masih punya waktu untuk kembali semula kepadaNya, bro.

"Jika mereka sibuk mencari CINTA, biarlah kita sibuk mencari IMAN. Jika mereka sibuk mencari PASANGAN, biarlah kita sibuk mencari KEREDHAAN. Jika mereka menangis kerana kecewa BERCINTA, biarlah kita menangis kerana DOSA-DOSA semalam. Jika mereka cintakan HAMBANYA, biarlah kita cintakan TUHANnya. Jika mereka mendambakan kehidupan DUNIAWI, biarlah kita dambakan dunia UKHRAWI."

READ MORE

THE MOST POPULAR POST