TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label MOTIVASI DIRI. Show all posts
Showing posts with label MOTIVASI DIRI. Show all posts

MEMANG TIDAK MAHU BUAT SILAP.




Tidak terfikir pun nak buat silap. Malah di hati ini tidak terlintas pun bersungguh untuk buat silap. Apatah lagi melukakan hati orang lain terutamanya Pencipta hati-hati itu.

Tapi bila buat silap sekali lagaknya bom atom jatuh terhempas di Nagashaki Korigawa. Habis satu dunia termaklum dengan kesilapan yang macam disengajakan.

Yang dinampak dengan mata membulat sebesar-besarnya mungkin kesilapan yang jarang dibuat itu. Yang tidak disengajakan itu. Seolah-olah tiada setitis zarah pun kebaikan yang terizzah di pandangan zahirnya. Bagai ada hijab. Mungkinkah?

Apa perlu buat?

Ada ura-ura memujuk hati, "Allah sayang kitalah tu, Dia tak nak kita buat silap"

dan ada juga "memang kau suka buat silap"

Oh! Apa yang perlu diperkata? Dipersoal? Tidak dipuas hatikan?
Oh! Di dunia ini, si kerdil juga seperti hati-hati itu. Seorang manusia kerdil, si kecil-kecil hamba yang terlalu lemah. Termaktub sudah apa yang sunnatullah ingin tunjukkan.

Tunjukkan jalan itu wahai hati yang mulia. Jika ada benarnya. Sempurnakan hak hati masing-masing.
Redha. Redha. Redha.
Sabar. Sabar. Sabar.

Jangan dihukum wahai hati yang mulia. Kerna, dalam gelap dalam terang, setiap rentak dan irama nadi, ia masih teraba-raba. Teraba-raba mencari hidayah Penciptanya.

READ MORE

IZINKAN AKU BERLARI



Bukan tidak suka. Bahkan jauh sekali ingin membenci. Aku cuma tidak kuat ingin menolak rasa yang kadang-kala menerpa. Lantas kerana itulah aku melarikan diri.

Kerana aku tahu aku bukanlah hamba yang teguh imannya di hati. Aku cuma hamba yang kadang-kala jatuhnya tidak diingini. Aku tahu amat sukar bagi kamu untuk mengerti.

"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah yang Maha Kaya, Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru untuk menggantikan kamu. Dan yang demikian itu tidaklah sulit bagiNya." [35:15-17].

Andai aku ingin melarikan diri. Tiada lain aku harapkan melainkan diredhakan hati. Dilindungi selalu di bawah payungan rahmat Ilahi. Kerana aku tahu rencana Illahi adalah sebaik-baik ketetapan buat diri.

Lantas, siapalah aku untuk menyanggahi?

Andai ingin menanti. Janganlah kamu merapati. Kerana aku pasti menjauhi. Bukan kerana tidak suka. Jauh sekali membenci. Fahamilah diriku. Aku bukan hamba yang tebal imannya di hati.

Buat hati yang menangisi.

Pergilah dikau mencari redha Illahi. Aku rela bersendirian. Dalam mujahadah aku kepadaNya. Sekali-kali tidak aku menunggu. Tidak pula akan ku toleh ke belakang.

Inilah jalanku. Selamat tinggal cinta.

“Cinta itu fitrah. Cinta itu sentiasa muncul di hati. Iman kita yang akan memandu cinta kita ke syurga atau neraka. Jika mampu berkahwin, realisasikanlah cinta kita melaluinya. Jika tidak, pilihlah untuk berusaha menjaga diri, mengawal perasaan dan hati."

READ MORE

TERLALU MENYAKITKAN!


Ujian itu terlalu menyakitkan!

Tabiat sesuatu perjalanan kehidupan selalunya apabila semakin jauh kita melaluinya akan semakin bertambah yakin terhadap jalan itu.

Masalah dan ujian sungguhpun mudah dititip di bibir insan, tetapi ternyata ia keadaan paling sukar dihadapi dengan hati yang tenang.

Tiada manusia yang tidak sedih dan kecewa dengan masalah yang menimpa. Mana ada manusia yang mahu kebahagiaannya hilang. Namun, kita perlu sedar bahawa kehidupan bukanlah seperti apa yang kita bayangkan. Di saat bangun daripada tidur, persiapkanlah diri menghadapi bermacam risiko kehidupan.

Ada kala kita akan ketawa dan tersenyum riang.
Ada kala kita akan sedih dan ingin bersendirian.

Semuanya, hanya perlu kembali kepada Allah. Jika dibiarkan diri hanyut dalam masalah tanpa cuba mencari jalan keluar, kita akan lemas dibawa arus keduniaan. Pulanglah kepada Allah. 

“Jagalah Allah, nescaya engkau akan senantiasa mendapati-Nya di hadapanmu. Kenalilah Allah di waktu lapang nescaya Dia akan mengenalimu saat kesulitan, ketahuilah bahawa apa yang ditetapkan luput darimu tidak akan pernah menimpamu dan apa yang telah ditetapkan menimpamu tidak akan pernah luput darimu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu selalu mengiringi kesabaran, jalan keluar selalu mengiringi ujian dan kemudahan itu selalu mengiringi kesusahan.” (HR At-Tirmidzi)

Ujian itu memang sakit. Tanda Allah masih sayangkan kita. Allah mahu kita sentiasa mengingati-Nya. Mahu tebus segala dosa yang telah kita lakukan. Jika tiada ujian,. maka kita tidak tahu setakat mana kesetiaan dan kepatuhan kita kepada Allah.

Dari Abul Abbas Abdullah bin Abbas RA beliau berkata :

Suatu hari aku berada di belakang Nabi SAW lalu Baginda bersabda, “Nak, aku akan ajarkan kepadamu beberapa patah kata : Jagalah Allah, Nescaya Dia akan senantiasa menjagamu. Bila engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah, dan bila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, jika semua umat manusia bersatu padu untuk memberikan suatu kebaikan kepadamu, nescaya mereka tidak dapat melakukannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu, dan jika semua umat manusia bersatu padu untuk mencelakakanmu, nescaya mereka tidak dapat mencelakakanmu kecuali dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah bagimu. Pena telah diangkat dan catatan-catatan telah mengering.” (HR Tirmidzi)

Sesungguhnya ujian Allah SWT itu tidak akan membebani hambaNya kerana ujian yang diberikan-Nya itu bersesuaian dengan kemampuan setiap hambaNya.

Allah SWT Maha Mengetahui bahawa ujian yang kita hadapi sekarang ini adalah ujian yang mampu kita hadapi. Segala usaha yang telah kita lakukan adalah tidak sia-sia. Kerana segala sesuatu itu pasti akan berlaku mahupun tidak berlaku hanya kerana izin Allah SWT.

Sayangnya hamba, dia akan memberi segala-galanya kepada insan yang disayang. Namun, sayangnya Dia berlainan. Dia akan memberi dalam bentuk yang cukup indah, jika aqal dapat menilai dengan iman. Moga ketemu hikmahnya dan dipermudahkan dalam segala hal.

READ MORE

KUATKAN HATI INI YA ALLAH


Hidup ini ada kalanya susah untuk memujuk hati. Bukan memujuk hati orang tetapi hati sendiri. Sebab antara kehendak hati dan akal saling bergelutan. Tidak cukup dengan itu, antara kehendak hati dan takdir Allah yang cukup baik itu juga hebat bersaing. Dan akhirnya, yang menang adalah ketetapan takdir Allah yang sudah tertulis di sana. Di Luh Mahfudz.

Apabila kehendak diri dan takdir bertembung. Lantaran menjadi konflik, sungguh ia amat sakit sekali.

Sememangnya perjalanan ini terasa sungguh sunyi. Hari-hari yang dialui terasa sepi. Mungkin permata yang dimiliki selama ini terpaksa menjauh kerana dirinya bukan milik insan. Dirinya milik Allah. Namun penitian hidup tetap dan mesti diteruskan. Walau hanya bersendirian mencari arah tujuan.

Dengan sejuta nota dan pesanan kepada diri "bertabahlah kamu!"

Sungguh.

Dengan ujian kehidupan, ramai yang tertunduk dan terkulai. Lemah tidak bermaya. Hilang motivasi kehidupan. Tidak mampu untuk berdiri. Apatah lagi berlari dengan senyuman bahagia.

Manusia tidak dapat menundukkan kehendak diri dengan akal yang waras mengenai apa yang terjadi. Iman tidak mampu menyelit untuk diberi ruang bersuara. Begitulah apa yang dialami. Tiada kata yang dapat diungkapkan, melainkan berdoa. Berdoa dan terus berdoa.

Allah...

Aku jua punya hati. Aku takut untuk gagal. Aku gusar untuk melangkah. Takut langkahku mati.
Oh! Kenapa rasa itu hadir dalam diri? Kala kau mahu menyeru pada Ilahi?

Kuatkan aku ya Rabbi. Jangan Kau biar aku kelam dalam sepi. Dengan rahmat-Mu Ilahi tautkanlah hati ini di jalan yang telah Kau tetapkan. Izinkan aku mendekati takdir dengan hati yang redha. Kerana aku tidak mahu selamanya roh ini tersesat.

Tuhan Yang Maha Mendengar. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui. Tegarkan jiwa ini. Jangan biar diri ini tandus dimamah kefuturan. Menjauh dari-Mu, meminggir dari-Mu.

Kuatkan hati ini wahai Tuhan. Kerana tiada siapa tahu kehidupan hamba-Mu ini nanti akhirnya melainkan hanya Engkau.

Hanya Engkau....

READ MORE

INILAH PILIHAN HATI KU


Mendengarkan ceramah "Ustaz Cinta", Ustaz Emran Ahmad dengan kata-kata :

"Kadang-kadang kerana mengelak daripada dosa kecil, kita terjebak pula dengan dosa besar. Dan kerana melakukan amalan sunat kita terlepas amalan wajib!"

Mungkin setiap orang ada pandangan dan persepsi tersendiri bila membacanya. Bagi saya, apa yang saya nampak isunya adalah kita gagal mengurus. Kita tidak petah untuk membuat pilihan dengan membezakan yang mana terpenting dan patut didahulukan dahulu.

Mencapah kepada beberapa isu kehidupan yang mana bermulanya saat bangun daripada tidur, kita mesti berpolitik. Maksudnya, kita mengurus tadbir diri dengan membuat pelbagai pilihan. Yang paling penting adalah bagaimana pilihan tersebut mampu memotivasikan diri dan hari-hari yang dilalui diberkati oleh Allah dengan meminamakan gejala membuat dosa sehabis mungkin.

Jika kita sedang fasa imtihan, persoalannya membuat persiapan belajar dan mengulangkaji sehabis mungkin.
Jika kita sedang fasa pembelajaran, persoalannya fokus, rajin dan menghadam ilmu sebaiknya.
Dan jika kita sedang fasa berbulan madu, persoalannya membahagiakan diri, si dia dan orang sekeliling.

Setiap pilihan yang kita ambil sebenarnya telah diajar cantik oleh agama islam.

Menyentuh bab istikharah dalam skop yang pelbagai, islam mentarbiyyah (mendidik) umatnya agar sentiasa berhati-hati dan faham pokok pangkal persoalan. Setelah berusaha membuat pilihan sama ada dengan berbincang, bertanya atau mengkaji terlebih dahulu, kita diajar menyerahkan sebulat-bulatnya kepada Allah, dalam erti kata lain ialah tawakkal.

Praktikal istikharah di sini lebih bermakna dengan kata-kata semangat dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang mana Allah SWT takkan ubah nasib kita selagi kita tak berubah. Jelas bukan? Buat pilihan dulu, usaha bersungguh-sungguh dan tawakkal.

Pasti dalam istikharah itu ada petunjuk-Nya!

Namun, kehidupan ini tidak selalunya indah. Setiap pilihan ada risikonya! Sama ada baik atau buruk walaupun pangkal jalan kita sudah betul. Sebenarnya ramai yang tewas di sini termasuklah diri penulis sendiri.

Jawapannya adalah teruskan perjalanan. Jangan berpatah balik!

Orang mukmin itu tidak akan terjerumus dalam lubang yang sama dua kali. Proses belajar, proses mentarbiyyah diri adalah sunnatullah kehidupan. Jangan salahkan istikharah kerana itu sama dengan menyalahkan diri sendiri dan menyalahkan Allah.

Apa yang penting, tanamkan di hati, bahawa Istikharah kita telah tepat, cuma setepat manapun pilihan kita hasil petunjuk Allah, kita tetap akan diuji.

Bersabarlah dalam dakapan iman.
"...Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu..." - potongan daripada khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW.

READ MORE

JANGAN PERNAH MENGALAH!!!


Kita adalah makhluk Allah yang paling indah ciptaannya dengan potensi besar. Jika kita tidak capai matlamat hidup, itu bukan salah sesiapa tetapi pilihan yang kita buat setiap saat.

Seperti dalam firman Allah SWT :

"Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka sendiri bangun mengubah apa yang ada pada diri mereka" (ar-ra'd : 11)

Niat mahu berubah dengan melihat sistem kepercayaan dan tabiat kita. Selagi kita tidak berubah, hidup kita tidak akan berubah. Statik dan membosankan!

Mementik kata-kata Bob Loqman dalam bukunya yang bertajuk "Aku, Isabella dan Tok Kenali " :

“Kita yang sentiasa dalam kesibukan dengan nikmat dan candu dunia kadangkala terlupa bahawa kita setiap hari diziarahi malaikat maut. Maut yang tidak mengenal usia, bukan syarat tua atau muda." 

Rintihnya lagi :

"Masa untuk menangis sudah tiba selepas panjang masanya aku ketawa."

Ajal maut di tangan Tuhan. Untuk mendapatkan kematian yang baik (husnul khatimah) prosesnya bermula daripada sekarang.

Perubahan perlu dilakukan, atau akan terus berlaku, dan untuk menguruskannya, kita perlu membina persediaan untuk berubah, dan menjadi agen kepada perubahan tersebut.

Dalam konteks peribadi, perubahan akan berlaku dalam kehidupan kita. Mungkin kerana faktor luaran, mahupun atas pilihan kita sendiri. Yang penting, kesediaan kita untuk berubah, dan kita sendiri yang menjadi agen dan pelaksana perubahan tersebut. Ini akan mengelakkan kita sentiasa menjadi buih-buih yang hanyut dibawa arus perubahan.

Benarlah sabda Rasulullah SAW "pada akhir zaman nanti, umat Islam laksana buih-buih dibawa arus", mungkin kerana gagalnya kita mengurskan perubahan.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada kita untuk menguruskan perubahan. Jangan cepat mengalah. Jangan pernah mengalah. Patah sayap, terbanglah jua. Jika jatuh, jangan terus rebah. Bangkit semula. Biar terhenyak menyembah bumi tetapi tetap tegak berjalan dan berlari walaupun terpaksa bertongkat.

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

READ MORE

BERBAHAGIALAH DENGAN DOSA SEMALAM


Sifat hamba itu sentiasa buat salah. Maka mohonlah ampun dan baiki kesalahan dengan tingkatkan iman. Renung kembali apa itu iman?
Apa itu islam dan apa itu ehsan?
Hayatilah dan perbuatlah di dalam kehidupan harian.

Jangan putus harap akan rahmat Allah. Sesungguhnya rahmat Allah meliputi segala sesuatu.

Setiap insan tidak dapat lari daripada melakukan dosa dalam menjalani kehidupan seharian. Amat banyak pendurhakaan kepada Allah yang telah kita lakukan sejak baligh hingga ke saat ini. Inilah kelemahan insan yang tidak dapat dinafikan.

Namun, tahukah kita?

Allah tak pernah mungkir janjinya selagi hambanya bertaubat memohon ampun Dia akan mengampuni hamba-hambanya atas dosa yang telah mereka lakukan kecuali dosa syirik dan menyekutukan Allah.

Bahkan dalam satu hadith Qudsi Allah SWT menggambarkan bahawa Dia begitu suka kepada hamba yang bertaubat lebih dari seorang musafir yang kehilangan tunggangan dan bekalan makanannya di tengah padang pasir.

Ia terus merentasi saat-saat yang begitu memeritkan hingga akhirnya ia menggali lubang dan berteduh lalu dipejamkan matanya. Apabila dibuka semula matanya ternyata tunggangan dan bekalan makanan minumannya berada di depannya hingga dia begitu gembira lalu berkata :

“Ya Allah, engkaulah hamba dan akulah tuhammu” Tersilap kerana terlalu gembira.

Wahai jiwa-jiwa yang sering menangisi kelemahan diri atau merasakan dirinya sering disakiti hati dan pedih menanggung beban derita. Ketahuilah, setiap keluhan jiwa kita, setiap luka-luka di hati kita dan setiap titisan air mata yang kita tumpahkan semuanya dalam ilmu dan perhitungan Allah.

Bahkan Allah begitu kasihkan hamba-hambaNya lebih dari apa yang kita sangkakan. Berbahagialah dengan dosa semalam jika dengan itu mendekatkan diri kepada-Nya.

READ MORE

AKU BUKAN SEPERTI MASA SILAMKU!


Dalam kehidupan ini terdapat pelbagai pilihan.

Bermula dengan celiknya mata di pagi hari, hingga terpejamnya mata di waktu malam, setiap daripada kita akan berhadapan dengan bermacam-macam pilihan. Nak bangun pukul berapa, mahu pakai baju warna apa, ingin makan apa, nak buat apa, nak pilih yang mana....Semuanya terpulang pada diri sendiri untuk memilih. Pendek kata, aktiviti membuat pilihan bukanlah suatu yang asing.

Sebab itu jalan cerita kehidupan setiap manusia berbeza. Ada zaman silamnya dipenuhi dengan noda dan dosa. Ada pula yang dilimpahi 1001 kenangan manis terindah. Dan ada yang diselingselikan dengan pelbagai ujian dan cabaran sehingga membuatkan jiwa seseorang insan itu begitu kental sekali menghadapinya.

Namun, dalam banyak-banyak aktiviti memilih jalan kehidupan, yang paling susah ialah sama ada mahu memilih islam yang jelas sebagai jalan hidup atau menelusuri jalan jahiliyyah yang penuh tipu daya.

Apakah yang dimaksudkan dengan jalan-jalan ini?

Apabila kita memilih islam sebagai jalan hidup, secara automatiknya kita sedang menjauhi jalan jahiliyyah. Dan apabila kita tidak memilih islam sebagai jalan yang patut dilalui, secara automatik jugalah kita sedang menjejak di jalan jahiliyah.

Jadi, Allah pilih kita untuk lakukan sesuatu mesti Dia tahu kita boleh lakukan. Ingatlah "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah Al-Baqarah ayat 286)

Kalau tak, kita tak akan dipilih oleh-Nya untuk terus hidup di muka bumi ini. Walau diri kita ini kotor, jijik dan penuh berdosa namun kita tetap masih ada peluang. Biarkan hati sembuh dari luka lama dan bangkitlah semula. Buktikan kepada Allah kita hamba yang reti bersyukur kepada-Nya. Kita tidak akan sesekali mensia-siakan peluang bertaubat yang diberi-Nya berkali-kali.

“Orang yang BERJAYA ialah orang yang MEMAKSA DIRInya BERUBAH manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!”

Hidup ini adalah perubahan. Kata bijak pandai, yang tidak berubah hanyalah perubahan. Manusia tidak akan mampu menahan perubahan. Ia mesti berubah, atau dipaksa berubah. Mereka yang berubah dengan rela akan berjaya. Manakala yang berubah dengan terpaksa akan gagal.

Dan kita bukan seperti masa silam. Kita adalah kita yang sekarang!

READ MORE

MOTIVASI : DILEMA AHLI JEMAAH


"Enta kenapa lambat datang meeting? Kami dah lama bersidang. Enta perlu ingat bukan enta je yang sibuk. Enta seorang pemimpin perlu bersikap amanah dan bertanggungjawab. Jangan curi masa orang lain kali!"

Berdesing telinga Hasan bila dimarah ketuanya. Bukan dia sengaja pun datang lambat ke meeting. Hujan lebat dan kredit sudah habis. Tak sempat pula nak sms awal.

"Ana minta maaf ya akhi. Ana tak sengaja. InsyaAllah lain kali ana tak buat lagi".

Meeting diteruskan. Namun masih ada mata-mata tidak puas hati merenung tajam ke mata Hasan. Bukan terpesona tetapi ada sekelumit sifat syaitan yang disuntik. Rasa dendam dan tidak puas hati. Bukan sekali dua Hasan lambat ke meeting!



*************************


"Hasan...boleh ana bercakap dengan enta sekejap?" Seusai meeting Najib merapati tubuhku sambil tangannya diletakkan ke bahu kiriku dengan sentuhan lembut.

Aku senang diperlalukan begitu lalu menyambutnya dengan sekuntum senyuman.

"Kita sering memohon kepada Allah agar dipermudahkan urusan setiap hari. Tapi kita tidak sedar bahawa Allah selalu mempermudahkan urusan kita. Kita yang selalu menyusahkan segalanya."

"Bait-bait ini selalu ana ulang ingat. Kerap ana fikirkan tentang logiknya kerana ana berdoa atas sesuatu yang belum pasti, maka selayaknya ana berharap yang urusan itu dipermudahkan.

Di dalam apa jua urusan sama ada peperiksaan, perkahwinan, pembelajaran mahu pun berorganisasi kita perlu mengambil sikap berhati-hati. Memang kita tidak sedar dan kita tidak sengaja untuk menzalimi hak orang lain. Tetapi kita punya banyak pilihan. Kita boleh pilih mana sahaja pilihan yang kita suka.

Sepertinya seorang hamba yang berhajat untuk menjaga hablum minannas dan tunjangnya ingin melamar redha Yang Esa. Maka lihatlah apa yang disampaikan, jangan dilihat pada diri yang menyampaikan. Jika baik ambillah, jika salah bicaralah secara beriman.

"Asif ya akhi. Ana tahu banyak sungguh kekurangan diri ini. Ana sudah banyak berdosa dengan antum semua.  Tidak kisahlah ana lambat datang meeting sekali dua atau banyak kali, ana tetap berlaku tidak adil dengan antum. Antum sudah banyak bersabar dengan ana. Antum sudah banyak berhusnuzon dengan ana."

"Walaupun ana punya bermacam sebab musabab yang sohih lagi jitu. Ana tidak patut buat sahabat sebegini. Ana sedang mengikis kepercayaan antum, para dai'e dan masyarakat tentang imej seorang pejuang islam. Ana jahat enta! Ana jahat!"

Najib merenung dalam anak mataku mencari sebuah kekuatan untuk memotivasi diriku yang kian lemah dan leka. Aku sudah lama bersahabat dengannya. Tentu sahaja dia serasi dengan sikapku.

"Enta, bila kita tolong agama Allah, insyaAllah Allah akan tolong kita, mungkin ada yang mengata bermacam-macam tentang diri enta. Tapi yakinlah Allah telah sediakan jalan untuk kita. Kita terpilih untuk berada di jalan ini bukan untuk populariti, pangkat dan duit. Tapi kita punya satu tanggungjwb yang cukup besar.Amanah!

Dalam keterpaksaan juga melahirkan keikhlasan. Mula-mula memang rasa susah. Atau pun bila sudah selesa bermacam pula ujian yang datang. Tapi siapa kita untuk menilai? Penilaian Allah itulah yang penting. Allah sahajalah yang berhak menentukan kita layak atau tidak. Bukan diri kita. Bukan orang lain. Yakinlah pada diri  kita sendiri."


Terakhirnya ya akhi, suka untuk ana ulang sekali lagi kata-kata motivasi yang datang daripada Allah sendiri. Simple tetapi cukup menusuk. Pejamkan mata enta. Dan lahirkan sebuah rasa kehambaan yang paling mendalam. Bukan sahaja enta bersemangat semula, bangkit semula. Malah diri enta sendiri akan terdisplin dengan masa dan dakwah. InsyaAllah. Istiqamahlah enta dengan prinsip kemuliaan seorang dai'e.


“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” [Muhammad 47 :7]

READ MORE

SINDROM "HANDSET MAHAL KREDIT TAKDE"


Di zaman mabuk teknologi maklumat dan komunikasi ini, kadang-kadang kita pening melihat betapa taksubnya pengguna teknologi ini khususnya remaja terhadap telefon bimbit.

Diibaratkan sebilah pisau, kalau kita menggunakan pisau itu dengan waras dan wajar, ia pasti akan banyak membantu. Sebaliknya kalau kita gagal mengawalnya, ia boleh mencederakan malah mampu membunuh!

Namun apa yang menarik perhatian ialah telefon bimbit selalu dikaitkan dengan kredit. Bagi pemilik tegar, mereka akan menggunakan telefon bimbit ini tanpa mengira sama ada perlu atau tidak. Sama ada penting atau tidak.

Mereka terlalu teruja dengan SMS, MMS, 3G, 3GS, muat turun lagu, video, undian program realiti dan bermacam permainan yang dipromosi. Biasanya, penggunaan yang tidak berfaedahlah yang banyak mengikis kredit, disebabkan kemudahannya pelbagai dan kadarnya mahal. Jadi, ia perlu ditop up selalu bagi mengelakkannya diganggu sindrom "handset mahal kredit takde". 

Baik, apa kaitannya dengan sunnah Nabi SAW?

Bayangkan kredit telefon bimbit itu sebagai kualiti hidup kita. Dengan kehidupan kita yang tidak tentu haluan, godaan dunia yang menghentam, usaha menuntut ilmu dan amalan pun tak keruan, apa yang kita harapkan dalam melihat graf iman kita? 

Daripada sepuluh markah, ditakuk mana iman kita? Dua? Tiga? Mungkin tidak sampai satu pun.

Di sinilah indahnya sunnah Nabi SAW. Di mana ada sunnah Nabi di situ ada keberkatan. Pahala amalan digandakan menjadi kredit hidup yang semakin malap kualitinya.

Dalam sunnah Nabi SAW ini kita bertemu dengan pelbagai nasihat yang tidak pernah kita jumpa dalam subjek sains acuan barat. Ada sunnah menjilat jari, makan sambil duduk, makan dengan tangan kanan dan bermacam lagi.

Paling mengujakan dan insyaAllah diizinkan Tuhan, kita mendapat syufaat Nabi SAW di akhirat kelak. Kesemua perkara ini dijanjikan pahala dan keberkatan. Bayangkan, amalan wajib kita yang cacamarba dapat diperelokkan dengan amalan sunat dan diangkat ke langit tanpa hijab. Itu adalah motivasi yang tersirat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Apakah perkara-perkara tersebut masih tidak mampu merangsang urat saraf iman kita?

Rebutlah peluang ini.

Esok masih samar. Sama ada kita sempat beramal dengan sunnah Nabi atau tidak. Dengan peluang dipinjam otot-otot yang sihat sekarang, lakukanlah amalan-amalan fardu dan sunat sebanyak-banyaknya, dan seikhlas-ikhlasnya. Jika tidak mampu buat semua, jangan tinggal langsung.

Hinakanlah diri di hadapan Allah dan akuilah segala dosa dan kesilapan kita selama ini. Dan berpesan-pesanlah kita dengan kebenaran dan kesabaran. Di dalam Al-Quran ada mengatakan “berpesan-pesanlah kepada kebaikkan dan berpesan-pesanlah kepada kesabaran”.

Islam tercipta dari seorang hamba Allah yang cintakan penciptanya, cintakan agamanya, cintakan Rasulullah, cintakan kedamaian dan juga cintakan sinar hidayah dari Allah. Sekali ianya dirasakan, semoga ianya berkekalan terus sehingga nyawa berada di hujung halqum.  

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

READ MORE

"JIKA DIA MENANGIS DI HADAPANMU"


Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri. Tetapi dalam kita bersendiri, kita beruntung kerana mempunyai insan yang bernama sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitu juga dia.

Dengan satu aqidah satu pegangan hubungan ini terikat. Dengan satu arah satu perjuangan, di bumi ini dua orang sahabat ditemukan. Katanya ukhwah fillah ini tidak mungkin patah. Tertaut erat walau ombak walau badai mendesak. Namun tetap tidakkan musnah.

Jika sahabatmu masih setia di sisimu, hargailah dia sebelum terlewat.
Jika sahabatmu menangis di hadapanmu, itu bererti dia tidak dapat menahannya lagi.
Jika kau memegang tangannya saat dia menangis, dia akan sentiasa menemani jalan hidupmu.
Jika kau membiarkannya pergi, dia tidak akan kembali menjadi dirinya yang dulu, bersama denganmu.
Seorang sahabat tidak akan mengajuk berpanjangan, jika dia benar-benar menyayangimu sepenuh jiwanya.

Hubungan yang bahagia dibina di atas jalan keimanan yang benar. Menjadikan perjalanan hidup umpama sebuah kisah cinta. Kesetiaan dan pengorbanan menukar ujian pahit menjadi satu kenangan manis. Kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung ringan dan mudah. Keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar

Kadang-kadang kita terasa sangat rindu dengan sahabat kita. Kerinduan padanya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan dan ujian yang amat berat. Kita yakin pada Yang Maha Esa, ingin meneruskan hubungan ini biar bersama-sama istiqamah dalam perjuangan menempuh onak duri dunia hakiki.

Ya! Inilah nikmat paling indah. Sejuta kesulitan berukhwah pemberi semangat perjuangan. Doa rabithah hati diratib-ratib pagi dan petang tanpa jemu. Mengalirkan halawatul ukhwah menampakkan kesungguhan dalam berjuang di jalan dakwah.

"Ya Allah ya Tuhanku, Tuhan yang membolak-balik hati kami, tetapkan hati-hati kami di atas agamaMu dan ketaatan kepadaMu. Berkati dan rahmatilah hidup kami sebagai tentera-tentera Allah.” 

Apa khabar sahabat kita?

READ MORE

UJIAN BUKAN SEKADAR MENGUJI


Selalu orang cakap hidup bagaikan roda. Tak selalunya kita di atas. Mungkin esok lusa kita di bawah. Tapi adakah itu alasan untuk kita terus mengalah?

Cuba fikirkan kembali ketika kita masih muda, mungkin semasa kita kanak-kanak? Bukankah hidup ini mudah dan seronok bagi kita? Semuanya adalah mungkin, boleh saja dilakukan jika ada kemahuan.

Tapi dalam kita membesar, perkara-perkara yang dahulunya mudah belaka telah menjadi susah lagi menyusahkan. Kenapa ya?

Mungkinkah kita telah dewasa dan mengetahui bahawa betapa susahnya untuk merealisasikan sesebuah perkara?

Ujian untuk menguji.
Ujian dan dugaan yang menimpa, bukanlah sesuatu yang dapat kita ketahui sebelumnya ianya berlaku.

Allah taala menguji hambaNya dengan ujian yang hambaNya boleh terima. Maka sabar dan senyumlah. Lain orang lain ujiannya.

Allah taala takkan menguji hambaNya jika hambaNya itu tidak mampu. Maka jika kita terpilih untuk melalui ujian itu tempuhlah dengan penuh redha dan tawaduk.

“Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Setiap perkara yang berlaku, baik buruk mahupun baik, ada hikmahnya. Andai kita gagal dalam ujian ini, mungkin ada hikmahnya. Allah ada perancangan yang lebih baik untuk kita, lebih baik daripada perancangan manusia untuk diri sendiri.

Namun, kita hidup dengan manusia. Terarah dengan jangkaan, harapan dan sangkaan manusia. Sedar atau tidak, kita terpaksa memenuhi semua tuntutan itu. Sehingga kita mungkin lupa yang kehendak Allah jauh melangkau segalanya.

Sesungguhnya, jalan menuju syurga itu adalah dengan kesabaran. Sebab itu, Nabi telah bersabda : “Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, kemudian yang terbaik sesudah mereka, kemudian yang terbaik sesudah mereka. Seseorang diuji sesuai kadar agamanya. Jika agamanya kuat, ujiannya berat. Jika agamanya lemah, dia diuji sekadar agamanya. Ujian terus mendera hamba sampai membiarkannya berjalan di muka bumi tanpa menyandang sedikit pun dosa."

Ya Allah, bila membacanya entah mengapa hati rasa berbunga-bunga. Para sahabat sahabiah dulu, mereka sangat risau bila diri diuji. Mungkin ada yang mahu diuji dan ada yang takut bila diuji.

Namun dengan segenggam kepercayaan bahawa Allah tidak akan menguji hamba-Nya sesuatu yang hamba-Nya tidak mampu pikul. Dan ya, kehidupan sememangnya mengajar erti redha, sabar, tawakal, berharap pergantungan sepenuhnya kepada Allah dan bermacam-macam lagi.

Banyak saja cara Allah nak didik kita. Nak tarbiyyah kita. Semoga Allah akan terus mendidik kita ketika iman masih menebal. Mudahan perasaan cinta kita kepada sang Khaliq akan semakin bertambah.

Amin..

READ MORE

BUKAN SEKADAR DOKTOR BIASA


Hijrah. Setiap hari adalah hari baru untuk sebuah kehidupan. Seorang mu’min yang beriman, hari ini semestinya lebih baik dari semalam. Statik bukan ciri orang mu’min, bahkan ia bersifat dinamik dan terus berkembang tiada hujungnya sehinggalah ia kembali kepada Tuhannya.

Justeru, hijrah adalah interpretasi kepada dinamiknya Islam. Dinamiknya ia, bukan ke arah kejatuhan sebaliknya yang dituntut adalah hijrah kepada kebaikan dan peningkatan selaras kehendak wahyu.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“ Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” [Al-Bukhari & Muslim]


Begitulah sifat yang seharusnya didokong oleh sebuah gerakan Islam.

Diibaratkan kenderaan yang menjadi alat pengangkutan hijrah kita ke destinasi akhir. Kita sebagai pengemudi kenderaan, seharusnya bukan sahaja lengkap dengan ilmu bagaimana ingin mengendalikan enjin, tayar kenderaan, bahkan tentunya perlu jelas ke mana sebenarnya ingin dibawa kenderaan tersebut. Tiada guna, kereta yang punya enjin berkuasa tinggi lengkap dengan pelbagai aksesori, namun kerana buta dengan jalan, berakhir riwayatnya dalam gaung.

Kilang memproses doktor-doktor yang beriman dan bertaqwa adalah peluang terbesar. Produknya mempunyai potensi yang luar biasa. Tidak sama dengan produk doktor biasa-biasa. Kepuasannya terjamin.

Masakan tidak. Enjinnya adalah enjin terhebat di pasaran. Besi buatannya adalah yang termahal. Aksesorinya mengalahkan seluruh produk yang direka. Pendek kata, tiada satu pun kereta yang mampu mengalahkannya. Kini, tinggal sahaja siapa pemandu dan penumpangnya. Andai hebat pemandu dan penumpangnya, maka bertambah ‘gah’ kilang ini di seluruh pasaran dunia.

Begitulah harapan seorang doktor muslim.

Semestinya kita perlu mempunyai wawasan yang tinggi dan jauh. Jika rendah wawasan kita, maka usaha ke arahnya jua tidak sekuat mana. Sebaliknya, jika tinggi misi kita, automatik usaha dan ikhtiar kita akan lebih agresif dan bersungguh untuk sampai kepada wawasan yang dituju. Justeru kita melihat kebanyakan orang yang hebat, wawasan mereka bukan kecil-kecil, bahkan kadang-kadang tidak pernah terfikir pun oleh orang biasa.

Setiap orang berpeluang menjadi orang yang hebat. Apatah lagi kita sebagai orang Islam, tentunya ia adalah dituntut bagi meninggikan syiar agama Allah di muka bumi. Befungsi di posisi masing-masing. Pakar, ‘master student’, ‘medical officer’, ‘houseman’, ‘staff nurse’, pegawai farmasi dan kesihatan, kesemuanya ada potensi untuk menyumbang.

Kita mahukan, seorang professor yang boleh memberi arahan kepada ‘MO dan HO’ nya ketika pembedahan, untuk ‘unscrub’ dan pergi menunaikan solat. Kita mahukan, seorang ‘best student postgrad’ yang mengepalai ‘HO’ bertanyakan ibadah pesakit ketika ‘ward round’. Kita mahukan ‘excellent’ HO yang tidak mengabaikan waktu solatnya ketika berada di ‘labour room’. Kita mahukan semuanya menjadi yang terbaik, seiring kebaikan dunia dan akhirat.

Ayuh, tidak perlu lagi kita toleh ke belakang, hadapi hari ini dan bersedia untuk hari esok. Semoga hari-hari baru muncul dengan sinar yang lebih cerah. Behijrahlah!

Pastikan kita adalah yang terhebat! Hebat yang menyeluruh, mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

READ MORE

PERLUKAH AKU MERANCANG?



PERSEPSI MEMBUAT JADUAL

Sempitnya kemampuan akal dan emosi kita menilai kehendak dan kemahuan. Sangkaan kita selalu mengandaikan bahawa jika kita merancang apa yang perlu dibuat akan membawa segunung kehampaan. Apa yang dirancang semuanya tak menjadi. Jadual yang dibuat hanya menjadi perhiasan.

Namun sedar atau tidak bahawasanya kadang-kadang apa yang kita rancangkan itu tatkala sampai di tangan, ada jua perkara yang dilakukan.

Oleh kerana itu, jangan kita selalu putus ada dan berwajah malas jika kita kehilangan semangat, untuk melaksanakan segala perancangan. Mungkin badan dan pemikiran kita perlukan masa untuk berubah.

Bersamanya ada hikmah yang tidak mampu dibayang. Mungkin hikmah itu kita tidak nampak sekarang, tetapi di waktu akan datang.



MERANCANG SUATU TUNTUTAN

Sesiapa yang tidak merancang, maka sesungguhnya dia merancang untuk gagal.

Merancang bukanlah sesuatu yang susah sebenarnya. Ramai di antara kita yang menolak apabila dicadangkan membuat jadual mengulang kaji. Sebenarnya dengan adanya jadual, kita akan lebih teratur dalam membuat persediaan untuk ujian dan lebih mudah memahami pelajaran.

Dalam apa jua keadaan kita tidak boleh lari daripada merancang. Merancang merupakan sesuatu yang amat penting bagi kehidupan seorang pelajar, lebih-lebih lagi bagi seorang da’i.

Kepentingan merancang ini disebut oleh Allah dalam kitabNya :

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. [Q.S. Al-Hasyr, 59 : 18]

Jangan biarkan ada hari yang kita lalui tanpa mengulangkaji pelajaran. Rancang jadual dengan teliti, dan kemudian disiplinkan diri untuk mematuhinya.

READ MORE

"ALA....KITA BUAT ALA KADAR JER"

Contohilah ayam. Ayam sentiasa bangun di awal pagi untuk berkokok. Memulakan hari yang baru di awal pagi dengan penuh bersemangat. Bukan ala kadar. Matahari terpacak baru bangun tidur. Bagaimana nak berjaya jika begitu?


Benci! Tiada manusia yang suka dengan hasil kerja ala kadar. Bagai melepaskan batuk di tangga.

Dan sebelum kita lebih memilih hasil kerja yang ada nilai kesungguhan, Allah SWT itu sebagai Tuhan lebih memandang hasil kerja dan ibadah hambaNya yang dilakukan secara yang istiqamah walaupun sebesar zarah.

Itqan.

Seorang Muslim yang benar-benar menghayati nilai Islam dalam kehidupan seharian akan melakukan apa sahaja secara bersungguh-sungguh. Sama ada sebagai memenuhi kehendak habl min al-naas sesama manusia, mahu pun dalam menunaikan tanggungjawabnya pada habl min Allah!

Maka, bersifat ala kadar dalam berislam, justeru ala kadar juga dalam membuat persiapan menjelang mati.

Bukanlah kualiti yang layak bagi seorang Muslim. Apatah lagi Muslim yang mahu memperjuangkan Islam. Perjuangkan islam dengan kerja dakwah bukan ceritera kosong untuk diambil tahu sahaja. Tetapi lebih daripada itu.

Dakwah? Apa itu dakwah? Siapa orang dakwah? Untuk siapa berdakwah?
Dakwah tidak perlukan kita. Tetapi kita perlukan dakwah.
Dakwah bukan untuk orang lemah. Tetapi orang lemah kena bangun buat dakwah supaya jadi kuat.

Kerja dakwah tidak boleh ala kadar. Cukup untuk orang tersayang. Memadai dengan ahli keluarga. Bila mati adalah bukti nak tunjuk kepada Allah. Belum dikira lagi hasil kerja dakwah. Entah berjaya atau tidak.

Bagaimana mahu menilai kualiti hasil kerja jikadari awal lagi dibuat dengan ala kadar?

Mengundur selangkah, Menapak ke hadapan beribu langkah. Berhenti Sesaat,Terus mara berjuta dekad. Jalan dakwah masih panjang. Tidak berhenti walaupun kita sudah mati. Jika bukan kita merebut peluang, bau syurga mungkin sedang menjauh.

Perkataan ala kadar tidak ada di dalam lembaran kehidupan pendakwah. Jika dia mengajak manusia melakukan kebaikan bukan bermaksud dia yang terbaik di kalangan hamba.

"Hai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu katakan apa yang tidak kamu lakukan. (Surah As-Saff : 2-3)"

Itu merupakan peringatan kepada dirinya agar turut sama melakukan kebaikan kerna dia juga takut di akhirat kelak tatkala Allah menyoal.

Ala kadar atau bersungguh?

READ MORE

USAH LAFAZKAN KATA RINDU



Tidak pandai bermadah. Hanya ingin mengukir rasa. Sememangnya rencah kehidupan seorang hamba bermandikan pertemuan dan perpisahan. Pertemuan menghadiahkan memori indah tercipta. Namun mengapa perpisahan sekadar mencipta ilusi?

Di saat kaki menapak pergi. Usah lafazkan kata rindu. Kerna perkataan rindu itu amat mahal untuk diucapkan dari hati berdinding kaca. Simpan kata rindu itu. Jagalah sebaiknya sebaik iman di dada. Kelak pasti akan ketemu semula.



Dikelilingi orang soleh menyebabkan kesolehan itu berjangkit. Usah biarkan  layu  dengan nama perpisahan. 
Semailah dengan senyuman penawar rindu. 



Indahnya hidup dengan agama. Indah ia bertemankan orang soleh. Dikelilingi dengan suasana islamik dan meresap ketenangan jiwa. Kata-kata terpatri bersama, mengejar cinta dan cita-cita demi yang Maha Satu.

Pertemuan itu urusan Allah. Sudah dicatat sejak azali lagi. Tetapi prinsipnya tetap satu dan satu itulah yang wajib difahami. Orang yang baik berhak mendapat kehidupan yang baik. Cuma sekali-sekala sahaja Allah menguji orang yang baik mendapat kehidupan yang susah seperti derita kehidupan Nabi Lut mendapat isteri yang jahat dan Asiyah yang bersuamikan Firaun laknatullah.

Hikmah takdir ini tidak boleh dipertikai.

Jika takdirnya bahagia, terimalah sebagai ujian. Jika takdirnya pahit, terimalah sebagai ubat. Katalah, andai sudah berusaha menjadi orang yang baik dan telah pun memilih jalan yang baik, tetapi jika takdirnya bermasalah, teruslah bersabarlah. Dan bersangka baik dengan Allah SWT.

“Aku menurut sangkaan hamba kepadaKu, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepadaKu. Jika dia ingat kepadaKu dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu.....” (Sahih Bukhari)

Katakan pada diri bahawa itulah jalan yang ditentukan oleh Allah untuk meraih syurga bersama. Maka rebutlah pahala sabar dan redha seperti sabar Nabi Lut dan Nabi Ayyub merentas onak duri kehidupan.

Sejujurnya takdir pertemuan dan perpisahan dalam roda pusingan kehidupan menagih kemesraan, kasih sayang dan remuk rindu sesama hamba. Belajarlah memahami hikmah di sebaliknya. Itu yang terbaik.

Anyamlah buih-buih di laut demi membuktikan azam dan semangat yang tinggi tanpa mengusik keaslian pantai.



♥ Saya sayang adik saya ♥



READ MORE

H.I.P.O.K.R.I.T

Jangan sangka semua benda sempurna. Hipokrit inilah mengajar proses perubahan diri.


Sedih.

Hampa.

Kecewa.

Benci!

Bila saya rapat dengan orang-orang baik, orang-orang soleh, orang-orang beriman, saya rasa diri saya terlalu kerdil. Terlalu berdosa. Budi bahasa mereka. Akhlak mereka. Sopan santun mereka sungguh menambat jiwa dan perasaan. Kecantikan akhlak islamiyyah mereka sentiasa terpancar dari lubuk hati yang beriman kepada Allah.

Berbeza dengan saya. Ibaratnya saya ini di hadapan mereka terlalu baik. Tetapi di belakang mereka, saya tidak semegah mana. Masih lagi lemas dalam krisis identiti.

Terasa diri seperti bayang-bayang.
Wujud atau pun tidak? Wujudkah diri ini di alam nyata?

Kadang-kadang benci dengan diri sendiri tatkala tewas dengan ujian. Kaki ini bukan menapak ke hadapan, tetapi berpuluh-puluh kali berundur ke belakang di garisan kehidupan. Tidak tahu mana arah tuju yang sebetulnya.




HIPOKRIT.

Sangat hipokrit. Berpura-pura baik di hadapan orang. Berlagak alim di mata pena. Padahal? Budaya hipokrit begitu menebal di dalam diri. Disangkakan pelangi wujud selepas hujan rupanya ribut taufan yang melanda.

Saya masih dalam proses perubahan.

Merubah, merubah dan merubah diri. Walaupun saya tahu amat sukar. Susah dan seringkali putus asa. Saya sama sekali tidak nafikan kelemahan diri membuatkan kegusaran emosi mengalahkan batasan iman.

Tapi saya cukup pelik dengan satu hadis :

Rasulullah SAW bersabda : "Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis" (Hadis riwayat At-Tabrani)

Ulang suara. 'Buat-buatlah menangis'? Kenapa pula? Bukankah itu juga satu perbuatan hipokrit?



HIPOKRIT ISLAMIK.

Hati memang tidak mahu baca Al Quran. Memang tak faham pun. Buat apa baca kalau tak faham. Tapi kenapa Rasulullah SAW suruh juga baca, lepas tu buat-buat menangis?

Baginda nak ajar kita jadi hipokrit ke? Buat baik depan orang walaupun hati macam hantu?
Bukankah pada zahirnya, 'buat-buat' tu bererti berlakon? Adakah kita mahu menipu Allah?

Sedarlah diri.

Jangan menipu diri. Apatah lagi menipu Allah, berdosa. Allah Maha Tahu setiap hambaNya walaupun hanya terlintas di fikiran barang sesaat. Nak buat jahat, Allah sudah tahu. Nak buat baik, walaupun hanya niat sahaja, sudah diberi pahala ganjaran oleh Allah.

Fahamilah.

Saya dan anda sedang bermain provokasi sekarang.

Dengan sepenuh kepercayaan jiwa dan raga bertunjangkan keimanan, yakinlah sesungguhnya Allah itu Paling Faham sifat hambaNya. Sememangnya Allahlah menciptakan kita semua. Sebelum Dia mencipta, Dia sudah tahu perangai hambaNya macam mana. Sudah habis khatam karenah dan gelagat kita semua.

Dia tahu, bahawa untuk manusia menjadi hamba yang baik, dia tidak akan dapat terus jadi baik. Dia harus melalui proses yang panjang. Sedikit demi sedikit, perubahan akan berlaku.

Allah tahu segalanya. Dia tahu batasan kita setakat mana. Kita tidak boleh berubah secara mendadak. Tetapi sedikit demi sedikit. Sebab itulah Allah berfirman "buat-buat menangis" sahaja. Bukan "wajib" atau "harus".

Jadi maksudnya, walaupun diri masih belum sempurna iman. Sabarlah. Tabahlah. Istiqamahlah untuk melatih diri menjadi hamba Allah yang soleh. Pepatah pun ada berkata "sedikit-sedikit lama-lama jadi gunung". Harus ada sabar dalam tarbiyyah (didikan) Allah.

Untuk menggapai kesempurnaan iman, jangan takut menerima ujian.

Inilah seruan jiwa untuk dekat dengan Tuhan. Jiwa yang menginginkan kebaikan buat dirinya, juga buat sahabatnya dan insan yang disayanginya.

READ MORE

MENCINTAIMU SECARA DIAM


Tolonglah! Jangan seksa jiwa batin saya begini. Awak telah curi hati saya. Tapi awak tidak bertanggungjawab! Sanggup awak buat saya macam ni, gantung tidak bertali. Siang malam saya teringatkan awak. Awak hadir dalam mimpi saya. Dalam bayang-bayang saya. Apa yang perlu saya buat?

Awak di sana. Saya di sini. Saban waktu saya menunggu mesej daripada awak. Jantan yang ditunggu tidak kunjung tiba, jantan lain pula masuk line. Awak tak cemburukah? 3 tahun menunggu cukup lama. Saya tidak boleh tahan lagi. Tolonglah fahami perasaan saya.

Monolog aku sendirian.

Air mata ini kadang terlalu murah kerana cinta. Berendam hujan tidak kira siang malam. Jika dunia melihatku, betapa buruknya aku. Apatah lagi di hadapan Allah dan ibubapa. Aku malu. Cukup malu.

Tapi apakan dayaku?


Terlanjur mencintainya begitu menyeksakan. Telah ku serahkan hati ini kepadanya. Bila dia hadir dalam hidupku, hari-hariku berlalu dengan indah dan bahagia. Di dalam hati ini ada taman bunga yang hidup segar mewangi. Aku benar-benar menyayanginya. Dia sangat baik bagi pandangan mataku. Lengkap segala impian untuk dibina masjid bersama.

Apatah lagi berlatarbelakangkan agama sudah memberi kredit yang lumayan dalam menempah banglo besar di syurga kelak. Aku yakin dialah bakal suamiku. Tiada siapa yang dapat menghalang kami. Ya, aku dan dia adalah pasangan kekasih yang pasti dan pasti akan diijabkabulkan dan berkekalan hingga nafas terakhir.

Khayalanku semakin jauh menerobos tembok bilik. Buku di hadapan muka bukan lagi fokusku.

Arghhhhhhhh!!!!!!!

Berendam lagi aku malam ini. Esok ada kuliah pula. Kacau betullah! Ya Allah, bantulah aku hambaMu yang lemah. Aku tidak tahu apa sudah jadi pada diriku. Aku tak tahu nak buat apa. Aku rimas dalam dakapan bayang-bayang ini.

Allah………….

Ku tepis sekuat hati buku di hadapan jatuh ke lantai. Sambil teresak-esak aku mengambilnya kembali. Entah mengapa aku terlalu emosi malam ini.

Aku terkedu terlihat gambar keluarga di sebalik helaian buku yang jatuh. Gambar ketika aku mula-mula menjejakkan kaki ke sini, Universiti Kedoktoran Muslim (UKM). Semuanya tampak ceria. Ibu dan ayah seringkali berpesan agar pandai membawa diri dan belajar bersungguh-sungguh.

Oh! Kalaulah ibu dan ayah tahu apa yang aku lakukan selama ini, ketika ini tentu sahaja mereka kecewa. Tentu hati mereka tidak tenteram dan sakit melihat anaknya mengabaikan amanah. Aku berlaku curang di belakang mereka. Tidak setia kepada janji. Tewas dalam permainan perasaan.

Sungguh benar kata-kata teman sekolahku :


“Dadah kepada remaja adalah cinta. Sekali dirasa, pasti nak lagi. Sikap ketagih yang berterusan membawa kebinasaan jika dilayan tanpa kawalan. Inikan pula dibakar dengan amukan asmara dan sentuhan fizikal.


Remaja hakikatnya belum layak untuk bercinta. Di usia mentah ini sepatutnya mereka fokus untuk belajar demi memajukan diri, keluarga dan agama. Melainkan betul-betul sudah bersedia untuk berkahwin. Ingatlah, jangan berani bermain api jika diri tidak bersedia untuk dibakar.”

Awak..

Berat sungguh aku menyimpulkan rasa. Saya delete dan tukar akaun emel saya. Facebook saya. Nombor telefon saya. Serta apa-apa yang boleh membuka peluang untuk kita berhubung kecuali doa.

Cinta.

“Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang. Cukup cintai dia dalam DIAM. Kerana diammu adalah salah satu bukti cinta kepadanya. Kau ingin memuliakan dia dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang. Kau juga tidak mahu merosakkan kesucian dan penjagaan hatinya.”

Bercinta dalam diam?

Saya sudah penat bercinta. Saya nekad untuk berhenti sahaja di sini. Saya mahu cinta hanya selepas nikah. Saya mahu perasaan cinta yang dibina dihormati, dibelai dan paling penting diberkati oleh Pencipta Cinta. Mungkin saya sedar dosa-dosa yang telah saya lakukan kepada awak. Dosa-dosa yang telah kita lakukan bersama. Saya mahu sucikan semua itu.

Saya inginkan yang halal. Saya tak sanggup lagi mengingati awak dengan tangisan dan derita. Saya mahu bahagia yang sebenar, keberkatan Allah dan pahala yang berterusan apabila mengingati kekasih, suami saya.

Betul. Kalau saya ingat suami, saya dapat pahala. Tapi kalau saya ingat awak apa yang saya dapat?

Zina hati. Hati saya sudahlah kotor menjadi semakin kotor. Saya telah leka daripada Allah. Jauh. Terasa jauh benar saya denganNya. Inilah jalan paling terbaik. Lepaskan cinta ini pergi. Biarkan saya dengan cinta Allah.

Ya, banyak lagi perkara yang perlu kita sumbangkan terutamanya untuk ummah. Selagi umur muda masih ada. Kelak bila Allah tarik nikmat ini, tiada lagi penyesalan.

"Dan kepunyaanNyalah apa-apa yang di langit dan di bumi, semua makhluk tunduk kepada-Nya" (Surah al-Rum : 26)

Selamat tinggal kenangan lama. Setelah kubungkus, akan ku lemparkan ke mulut lori sampah. Aku nekad. Aku ingin menjadi hamba Allah, bukan hamba cinta.


"Jika Allah mengetahui ada kebaikan di dalam hatimu, nescaya Dia memberikan yang lebih baik daripada apa yang telah diambil darimu dan Dia akan mengampuni kamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Surah al-anfal : 70)


READ MORE

YA, MUNGKIN INI YANG TERBAIK!


Abu Darda’ mengatakan, “Barang siapa yang tidak mengetahui nikmat Allah selain makanan dan minumnya, maka bererti ilmunya adalah sedikit dan azab telah menimpanya”.

Ku renung firman Allah SWT sedalam-dalamnya, surah Al Luqman ayat 20 “Dan (Dia) 
menyempurnakan untukmu nikmatNya lahir dan batin”. 


Mencari erti sebenar. Antara nikmat lahir dan batin.

Sesungguhnya, pada setiap ketika dan setiap keadaan itu pasti ada tuntutan Allah SWT terhadap kita. Pada ketika dan keadaan berkenaan yang paling baik kita pohonkan daripada Allah SWT adalah agar diri dapat menyempurnakan kewajipan tersebut.

Setiap waktu, ruang, benda-benda serta kejadian yang mengisi waktu dan ruang itu merupakan ujian Allah SWT. Apa yang dimaksudkan dengan ujian adalah cabaran terhadap iman (tauhid). Waktu dan ruang serta isinya berperanan mengalihkan pandangan kita daripada tauhid kepada yang mengisi waktu dan ruang tersebut.

Waktu dan ruang adalah dua keping besi tajam yang membentuk gunting, kerjanya memotong tali yang menghubungkan hamba dengan Allah SWT. Apabila tali itu putus, terlepaslah perhatian daripada menyaksikan Rububiyah, maka terjadilah syirik. Apa sahaja yang berada di dalam waktu dan ruang yang menutup pandangan mata hati daripada menyaksikan ketuhanan Allah SWT, adalah menjadi bahan yang disyirikkan.

Pasti.

Di antara dua ujian itu terselit satu persamaan iaitu bersyukur. Jika kita diuji dengan segala macam kesenangan nikmat duniawi kita perlu bersyukur. Begitu juga jika kita diuji dengan segala ketidakcukupan duniawi, kita juga perlu bersyukur.

"Ya Allah, jika segala kesusahan dan keperitan ini mendekatkan aku dengan-Mu, janganlah engkau mengurniakan aku kesenangan dan kemudahan kerana aku takut aku akan jauh dariMu lantaran kelalaian dan kealpaanku."

Ujian itu.
Mungkin paling terbaik bagi diri kita supaya tidak berlari jauh daripada Allah.
Ketahuilah dan rasailah nikmat Allah walau hati disumpit sembilu.

READ MORE

MAKNA CINTA PADA BELAJAR


Apa makna cinta pada belajar?
Apa dia?

Ia adalah perasaan apabila kita melakukan sesuatu untuk mendapat keredhaannya. Untuk mendapat perhatian Allah. Untuk mendapat cintaNya juga untuk mendapat rahmatNya supaya ilmu yang diperolehi sentiasa mendapat berkat.

Orang yang cinta pada Allah biasanya sanggup melakukan sesuatu secara ikhlas dan bersungguh sebab dia mahu perbuatannya itu mendapat pujian Allah semata.

Niat kita belajar adalah kerana Allah Taala. Ia bukan menjadi ayat penyedap. Malah sepatutnya memberi kefahaman yang signifikan dengan apakah yang dimaksudkan dengan istilah "kerana Allah Taala" itu.

Setiap apa yang kita lakukan jika disertakan niat keranaNya semata-mata, insya'Allah akan diberi ganjaran pahala di sisiNya. Harus ada niat belajar demi mencari keredaan Allah.

Belajar demi menjadi seorang yang cemerlang di mata masyarakat untuk menyampaikan agama islam. Belajar demi menjadi murabbi (pendidik) yang dapat mendidik anak muridnya ke jalan yang benar. Belajar menjadi "5 stars doctor" untuk membantu pesakit lantaran skil-skil yang digilap menjadi tarikan dakwah kepada masyarakat majmuk. Bukan hanya belajar kerana segulung ijazah semata-mata.

Orang yang berkasih sayang kerana Allah, mencintai kekasih hatinya kerana Allah, bekerja kerana Allah, menolong orang kerana Allah, bersahabat kerana Allah, menggembirakan seseorang kerana Allah, berbakti kepada ibu bapa kerana Allah, belajar kerana Allah, berniaga kerana Allah.

Dia tidak melakukan semua itu kerana duit tetapi untuk berbakti. Bukan untuk habuan dunia tetapi habuan akhirat selama-lamanya.

Dia berbakti pada orang sekeliling supaya Allah kasih kepadanya. Dia menjaga hubungannya dengan Allah melalui yang fardhu, dia menjaga hubungannya dengan orang sekeliling melalui berbuat kebaikan selalu. Dia adalah seorang yang baik di hati, di perbuatan, di dalam kata-kata dan di dalam fikirannya.

Ayuh!

Sahut seruan bersama! Kita punya visi yang sama. Walau susah liku-liku perjalanan menuntut ilmu, sabarlah. Bertahanlah. Ini adalah wadah untuk kita menyampaikan kebenaran dan menyentuh jiwa-jiwa mereka di luar sana.

Belajarlah kerana Allah.
Belajarlah untuk Islam.

“Ya Allah, keluarkanlah kami dari gelapnya keraguan, muliakan kami dengan ucapan kefahaman, bukakanlah bagiku hikmahMu dan limpahilah padaku keberkatanMu, wahai Zat Yang Maha Pengasih.”

READ MORE

THE MOST POPULAR POST