TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label PERKONGSIAN. Show all posts
Showing posts with label PERKONGSIAN. Show all posts

HIBURAN YANG MENGUATKAN HATI


Ramai orang suka dengar lagu rock. Sedikit sahaja mendengar alunan suci ayat Al Quran.
Ramai orang suka dengar lagu K-pop. Sedikit sahaja mendengar nasyid ketuhanan.
Ramai orang suka dengar lagu hip hip. Sedikit sahaja mendengar zikir dan selawat.
Ramai orang suka hafal lirik lagu. Sedikit sahaja menghafal Al Quran.

Kita adalah apa yang kita dengar. Hiburan tidak salah. Macam cinta. Bercinta tidak salah. Yang salah cara dan mekanisma yang digunakan. Sekaligus kesan dan impaknya terhadap kesihatan keimanan.

Adakah melalaikan?
Adakah terdapat pergaulan bebas?
Adakah semakin mendekatkan kita kepada Allah?

Apabila yang dipanggil hiburan itu melalaikan, melanggar peraturan, ia bukan lagi hiburan. Tidak boleh dikategorikan sebagai hiburan. Ia adalah kerosakan. Merosakkan jiwa, akal dan rohani manusia. Merosakkan hubungan antara manusia dengan Tuhannya.

Hiburan itu menguatkan bukan melemahkan. Maksudnya hiburan itu untuk menguatkan hati, minda dan jasad, bukan hendak melemahkannya. Hiburan membuatkan manusia sedar diri. Sedar akan tujuan hidup dan siapa penciptanya. Bukan untuk mengkhayalkan manusia dan buat mereka lupa pada Tuhan.

Dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA :

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)

Hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi juga berkata bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian.

Pilihlah hiburan alternatif. 

Ceramah para ustaz lewat dewasa ini juga apa kurangnya. Semakin hebat, bertenaga dan tak kering gusi mendengarnya. Tidak puas sekali mendengar, berkali-kali mendengar.

Dengan hiburan manusia ceria dan bersemangat untuk hidup. Yang dibenarkan itu sudah cukup. Yang tidak dibenarkan itu adalah hal yang berlebihan. Maka bersederhanalah.

Bukankah islam itu agama yang sederhana?

READ MORE

KERNA CINTA AKU KUAT


Apa rahsia terbesar dalam hidup ini?

Melewati hari ini dengan penuh makna. Makna tentang cinta, ilmu, dan iman. Dengan cinta hidup menjadi indah. Dengan ilmu hidup menjadi mudah. Dan dengan iman hidup menjadi terarah.

Namun, adakala aku tersasar dalam hidupku. Tanpa arah dan tujuan. Aku meraba dalam gelap. Menitis air mataku di setiap perjalanan. Mengesat peluh yang tidak kesampaian.

Aku tidak sempurna.
Tetapi adakah aku hidup untuk mengejar ke arah kesempurnaan?




KESEMPURNAAN HIDUP

Dalam suatu perjalanan hidup, cita-cita terbesar setiap insan adalah menuju kesempurnaan. Ada kalanya kita mesti berjuang, serta belajar menyingkap segala rahsia kehidupan.

Mungkin kita berfikir, perjalanan menuju kesempurnaan adalah proses yang menentukan setiap tapak langkah kita. Setiap hembusan nafas, detik jantung, dari siang menuju malam. Semua menuju titik yang sama, kesempurnaan.

Setiap insan mempunyai hak yang sama atas waktu.

Tidak ada seorang pun melebihi dari yang lain. Namun tak jarang setiap kita berbeza dalam menentukan sikapnya. Ada yang berjuang untuk melaluinya dengan membunuh waktu. Tidak pula sedikit yang merasakan sempitnya kesempatan yang dia ada.

Perasaan kecewa pula seringkali singgah kerana matlamat yang tidak kesampaian. Memilih liku – liku hidup di persimpangan. Mengenal kawan yang akhirnya menjadi lawan. Mengetahui kebaikan dalam kejahatan.

Tetapi yang akhirnya aku, kau dan mereka akan mengerti. Bahawa setiap perjalanan pasti ada ujian dan cabaran. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Setiap kebahagiaan tercoret kedukaan.

Apapun pilihan yang dilalui. Akan ku tempuhi hidup ini demi pengalaman. Akan ku semat iman demi Tuhan. Agar aku menjadi sebaik insan yang solehah.

Akan ku lewati hari ini dengan penuh makna. Makna tentang cinta, ilmu, dan iman. Kerna dengan cinta buat hidupku menjadi indah. Dengan ilmu hidupku menjadi mudah. Dan dengan iman hidupku menjadi terarah. Dan untuk itu, bersedialah untuk diuji.

Seperti mafhum sabda junjungan: "Jika Allah mencintai sesuatu kaum, Dia akan mengujinya. Sesiapa yang reda dengan Allah, Allah reda dengannya"

READ MORE

MIMPI AKU MATI!



Sebenarnya, ada benda yang nak dishare. Sempat terbangun pukul 5 pagi tadi. Malas nak bangun terus, tidur pun pukul 1 lebih. Berat mata sungguh. Aku hanya membaca doa ringkas. Rugi aku tidak ambil peluang ini nanti ada yang merajuk.

Aku tidur semula dan termimpi.

Jelas lagi mimpi tersebut. Aku sedang menaiki bas dalam perjalanan ke tempat yang jauh. Tidak pasti arah tuju. Mungkin Pahang atau Terengganu. Yang pasti cuma keadaan sekeliling yang belatarbelakangkan lereng-lereng bukit.

Lagaknya seperti menaiki bukit di Cameron Highland.

Hati aku berbisik kecil "andaikatalah bas ini tergelincir di bahu jalan....pasti jatuh dan aku akan mati!!"

Lorong-lorong yang dilalui cukup sempit dan amat tajam. Membelok simpang dengan penuh slumber, jantungku pula bagai ingin tercabut! Mungkin pemandu bas ini sudah biasa. Dengan rentak nadi berhati-hati, aku merenung keras setiap belokan bas.

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena, bas tergelincir dari track jalannya. Dalam sekelip mata sahaja, sesaat aku bernafas terasa graviti bumi menarik-narik aku dan para penumpang untuk jatuh terhempas ke gaung yang dalam.

"Ah!!! Sudah.....!! Betul sudah apa yang aku kata!"

Dalam pada itu, sempat aku menjerit kepada orang sekelilingku yang masih lagi bisu terperanjat.

"Mengucap semua!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Ingat Allah!!"

Sejurus itu. Aku mengucap kalimah syahadah di dalam Bahasa Arab dengan maknanya sekuat hati aku agar masih ada insan yang boleh berfikir waras terus mengucap sama. Agar masih ada sisa baki untuk terus aku berdakwah walau bayangan malaikat Izrael menyapa dingin. Agar diriku berpeluang mati dalam beriman. Agar masih ada peluang untuk aku tempah banglo di jannah.

Aku ingin masuk syurga bersama-sama mereka. Tidak mahu matiku mati katak. Tidak mahu matiku mati yang sia-sia. Tidak mahu matiku mati yang kesepian. Aku nak mati bersama masuk jannah pun bersama.

Entah macam mana sel-sel otak masih lagi rajin bekerja menghantar impulse dengan sebuah pertanyaan "Apa bekalan yang aku nak bawa ni???"

Spontan lidah hati aku menjawab "Facebook!"

Biarlah aku tinggalkan Facebook untuk mereka tatap dan ambil ibrah. Itulah kenangan terindah sepanjang aku bergelar manusia. Aku ini hidupnya penuh dosa dan noda. Aku menulis pun dengan tangan yang bermandikan darah dosa. Belum sempat men"cuci" sehabis mungkin. Aku hanya sempat meminimakan kekotoran. Semoga masih ada peluang untuk aku di dunia sana.

Dan betullah apa yang diperkatakan di status Facebook yang berbunyi :

"Kenapa perlu rajin tulis status yang baik di Facebook? Biar kalau mati, yang tinggal di dalam Facebook kita adalah yang baik-baik sahaja.Dan sepanjang orang membuka dan membacanya semula nanti,tetap mengalir pahalanya kepada kita di sana."

Sekali lagi. Betullah apa yang dibacakan oleh baginda :

"...Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu..." - potongan daripada khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW.

Allah.....aku jahat. Sangat jahat. Aku mengaku Allah. Bolehkah air mata ini menjadi saksi nanti?

- Ahad, 11 Mac, 12.30 tengahari.

READ MORE

APA STATUS DIA DI HATI SAYA?


Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha’ dan qadarNya serta kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya.( al-iman asasun binnajah )

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt. Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya.

"Terbuka mata hati memperlihatkan kepada kamu akan hampirnya Allah SWT. Penyaksian mata hati memperlihatkan kepada kamu akan ketiadaan kamu di samping wujudnya Allah SWT. Penyaksian hakiki mata hati memperlihatkan kepada kamu hanya Allah yang wujud. Tidak terlihat lagi ketiadaan kamu dan kewujudan kamu."

Hati kita ini kalau dekat dengan Allah SWT, semua pekerjaan yang di lakukan menjadi mudah. Dan apabila dugaan mendatang, kita boleh menanganinya dengan tenang dan sabar.

"Dan Ia (Allah) tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada." ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid)

Cuba kite bayangkan jika kita dekat dengan manusia dan cinta kepadanya melebihi cinta kita kepada Allah. Adakah manusia tersebut boleh membantu kita? Bolehkah memberi kita rezeki? Bolehkah memberi kita ketenangan apabila dalam keadaan susah mahupun senang?

Jawapannya tidak bukan?

Namun untuk berjiwa hamba, hati kita perlu bersih. Apabila hati sudah bersih maka hati akan menyinarkan cahayanya. Cahaya hati ini dinamakan Nur Kalbu. Ia akan menerangi akal lalu akal dapat memikirkan dan merenungi tentang hal-hal ketuhanan yang menguasai alam dan juga dirinya sendiri.

Renungan akal terhadap dirinya sendiri membuatnya menyedari akan perjalanan hal-hal ketuhanan yang menguasai dirinya. Kesedaran ini membuatnya merasakan betapa hampirnya Allah SWT dengannya. Lahirlah di dalam hati nuraninya perasaan bahawa Allah SWT sentiasa mengawasinya. Allah SWT setiasa melihat segala gerak-gerinya. Mendengar pertuturannya dan mengetahui bisikan hatinya.

Jadilah dia seorang Mukmin yang cermat dan berwaspada.

Namun, ya sahabat untuk berlegar di daerah ketuhanan, daerah kehambaan kena selesai dulu. Di antara daerah ketuhanan dan kehambaan, ada suatu daerah yang bukan daerah. Tidak lagi berlegar-legar. Disinilah berdirinya apa yang tiada, tidak lagi bicara, yang ada itulah terlebih terang dan nyata.

Kita ini ingin sangat hidup hanya untuk- Nya. Berdiri untuk- Nya. Makan untuk-Nya. Berjalan untuk-Nya. Bernafas hanya kerana-Nya. Bagaimanakah mahu mencapai tahap sebegini?

Bukanlah semudah menulis dan mengaturkan bicara. Cek semula apa status Dia di hati kita? Di mana kita meletakkan hak Allah dahulu sebelum hak hamba?

READ MORE

TAKKAN ISLAM HILANG DI DUNIA



Tidak mengapa kalau jadi "melayu mudah lupa",
Kerana mungkin hanya membawa kepada kelupaan kemelayuannya.

Tapi jangan jadi "muslim mudah lupa",
Kerana bimbang ia akan membawa kepada kelupaaan keislamannya.

Berpindah bangsa tidak mengapa,
Kerana masih berbumbungkan agama yang sama,
Asalkan jangan berpindah agama.

Di akhirat nanti, Allah tidak tanya kita bangsa apa,
Yang ditanyakan adalah tentang agama yang kita anuti.



"Istilah ketuanan Melayu adalah berbeza dengan hak keistimewaan Melayu kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain" - mantan mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan ‘keistimewaan’ tidak boleh disamakan dengan ketuanan.

Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata-mata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam.



BANGSA TERPILIH

Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka ‘bangsa terpilih’ (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam.

Sememangnya istilah ketuanan Melayu adalah istilah yang kabur yang tidak mempunyai pentakrifan khusus.

Jika merujuk kepada perkataan ‘ketuanan Melayu’, ia adalah dari akar perkataan ‘tuan’ kepada ketuanan dan digabungkan dengan ‘Melayu’. Ini, katanya membawa bermaksud orang Melayu berada dalam status ‘tuan’ atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy).

Dari sudut bahasa pula bererti orang Melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan orang bukan Melayu. Jika hendak ditakrifkan maka bererti kedudukan orang Melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia”, katanya.

Justeru, adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.




DIPANDANG MULIA

Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain Melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.

Memetik Surah al-Hujurat : ayat 13, menjelaskan bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya ; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.

Prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.

Memetik hadis Nabi Muhammad SAW: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai Hasan oleh al-Albani)”.

Lantaran itu, hujah bahawa ketuanan Melayu adalah tidak relevan berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW :

“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah (Riwayat Muslim)”.



Sumber : malaysiakini

READ MORE

BAGAIMANA BERWUDU' ZAHIR DAN BATIN?


Apabila kita beribadah terutamanya solat, perasaan was-was pasti menguasai diri sehinggakan kita terpaksa mengangkat takbir semula untuk betul-betul yakin dalam solat. Untuk khusyuk dirasakan begitu susah.

Namun benarkah semua ini angkara syaitan?

Ada satu kisah.

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk sembahyangnya. Namun demikian dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.

Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya: “Wahai Aba Abdurrahman (Nama gelaran Hatim), bagaimanakah caranya tuan sembahyang?”

Berkata Hatim: “Apabila masuk waktu sembahyang, aku berwuduk zahir dan batin.”

Bertanya Isam: “Bagaimana wuduk batin itu?”

Berkata Hatim: “Wuduk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :

1. Bertaubat.
2. Menyesali akan dosa yang telah dilakukan.
3. Tidak tergila-gilakan dunia.
4. Tidak mencari atau mengharapkan pujian daripada manusia
5. Meninggalkan sifat bermegah-megahan.
6. Meninggalkan sifat khianat dan menipu.
7. Meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata : “Kemudian aku pergi ke Masjid, ku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku. 

Dan ku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Siratul Mustaqim dan aku menganggap bahawa sembahyang ku kali ini adalah sembahyang terakhir bagiku. (Kerana aku rasa akan mati selepas sembahyang ini). Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa dalam sembahyang ku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk (merasa hina), aku bertasyahud (tahiyat) dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. 

Beginilah aku bersembahyang selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar menangislah ia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

READ MORE

JANGAN SINGGAH DI HATI SAYA



Hujan rintik-rintik membasahi alam. Terik mentari semakin hilang sirnanya. Ku renung langit sedalamnya. Setitik, demi setitik, demi setitik. Ia jatuh menutupi permukaan bumi.

Menggambar sepi di hati.

Kilat sambar-menyambar membelah langit. Guruh berdentam-dentum menyentak jiwa. Helaian daun berguguran menyisip di celahan rimbunan pohon.

Jiwa nan sepi semakin memberontak hebat. Bisakah ku tipu perasaan ini?

Keadaan suram seketika. Iman kembali bermuram durja. Aku menyendiri. Mencari makna pada tadabburnya. Sedangkan burung berpasangan. Adam dan Hawa berpasangan. Mata berpasangan.

Inikan aku pula?

Semalaman lenaku terganggu. Perasaan ini kadangkala mengetuk jiwa jantanku. Aduhai....Imanku hanya senipis kain sutera. Usahlah kau datang menerpa kegoyahan imanku. Baru sahaja aku tambat dengan keazaman yang jitu. Aku tak ingin kalah.

Aku akui kau muslimah solehah dambaanku. Aku jatuh cinta pada perwatakan islam yang kau bawa. Tudung labuh yang sentiasa menutup pandangan liar buat aku terpesona. Khemah bergerak ini buat hatiku layu meyakinkan kepatuhan syariat. Mataku sejuk memandang tiada jemu. Aku tenang dibuai pemandangan indah.

Akhlak dan budi bicaramu meruntun jiwa kejantananku. Tidakkah kau tahu?

Betapa aku perlukan teman hidup. Menjadi permaisuri hatiku dunia dan akhirat. Aku rintihkan seorang ibu yang solehah mendidik anak-anakku agar bergelar pejuang islam kelak.

Semua ini sentiasa membuatkan ku terfikir, apakah aku layak untukmu?

Sebab ku lihat kau terlalu 'tinggi'. Aku ini sentiasa terasa rendah di hadapanmu. Katakanlah, apakah aku layak memetik bunga mawar di taman larangan?

Berilah tanda isyarat.
Tunjukkanlah reaksimu.
Gerakkanlah hubungan ini.

Diammu. Sepimu bagai menyeksa pilu di ulu hati. Benar-benar mahal hargamu.

Aku malu keseorangan.

Mujahadahku biarlah bernama. Kerna masanya pun masih belum tiba. Tidak berani untuk aku usik hatimu yang terjaga. 

Ku pendamkan perasaan ini. Ku rahsiakan hati ini. Kerana aku tahu muslimah solehah hanya untuk muslimin yang soleh. “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki keji adalah untuk wanita-wanita yang keji, dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik.” (Surah An-Nur : 26)

Prinsipmu sungguh teguh membuatkan aku bersemangat untuk berjaya dalam hidup menggapai redha Ilahi. Kerana batasan ini mengajar aku untuk merangkak, bertatih, berjalan dan berlari di jalan dakwah.

Aku cinta pada muslimah solehah. Tetapi jangan singgah di hati aku. Belum masanya.

READ MORE

SAYA BANGGA DENGAN NAMA SAYA. ANDA?



Semua orang ada nama sendiri. Sama ada mak ayah yang beri atau orang lain yang beri. Nama kita sebenarnya sudah wujud sebelum kita sendiri wujud. Sudah termaktub di Luh Mahfudz. Tetapi apa yang menyedihkan pada hari ini, kita lebih suka orang panggil kita dengan nama manja atau singkatan sahaja. Senang, tak payah terbelit-belit lidah.

"Pelik. Nama punyalah panjang, sedap lagi tu...makna pun bagus. Tapi ada ke patut panggil mok je. Mentang-mentang dia gemok."

Kadang-kadang orang panggil kita berdasarkan bentuk fizikal badan, tabiat atau benda yang sinonim dengan diri.


**********

Nama saya pakcik saya yang namakan. Anda?

Pak cik saya namakan saya dengan arwah abang saya, Naim dan Na'imah. Tapi di rumah ayah saya panggil saya "akak" atau "nur". Ummi pula panggil "nur". Adik beradik saya pula bermacam-macam. Yang paling dekat dengan saya akan panggil "imah" 2 adik paling bongsu pula panggil "kakak", mungkin sebagai tanda hormat.

Kawan-kawan saya pula rata-rata panggil nama penuh "Na'imah". Saya selesa sahaja begitu.

Saya tak pernah terfikir untuk bertanya apa maksud nama saya. Saya jumpa sendiri maksud nama saya ketika masuk pertandingan hafizan peringkat sekolah rendah. Ketika itu saya darjah 5. Surah pertama yang panjang saya hafal, surah Al ghashiyah.

Seronok jumpa nama dalam Al quran. "Excited!". Satu-satunya surah tulis nama saya. Memang cepat saya hafal surah tu.

Saya berhenti pada ayat 8, "Beberapa wajah pada hari itu berseri-seri." Berulang-ulang kali saya baca agar menjadi doa. Agar betul-betul terjadi. Saya ingin dibangkitkan dengan wajah yang berseri-seri pada hari akhirat kelak.

Ketika saya baca surah ini saya dapati ustazah sekolah petang saya tulis nama jawi saya salah. Saya dah betulkan dan padam di buku latihan. Tapi ustazah betulkan semula. Pelik saya.

Cikgu Bahasa English saya pula selalu panggil "naimah". Tergagap-gagap mengeja "nai" "nai" "naimah". Budak lelaki di dalam kelas pun mengejek "nai" "nai". Kadang-kadang geram juga.


*****************


Bila saya masuk Sekolah Agama Tun Perak, ustazah arab saya tulis nama saya lain pula.

Pernah satu ketika, saya tertidur di meja paling hadapan ketika "prep" petang. Syok-syok tidur, tiba-tiba saya terdengar suara menjerit. Pantas saya bangun. Rupa-rupanya ustazah arab saya, merangkap ketua warden asrama perempuan menjerit nama saya kat satu kelas.

"Errrr........" Saya terpinga-pinga bangun.
"Ya na'imah. La' naum. Jangan tidur!" Tegur ustazah lagi.
"Nti punya nama na'imah, 'ain atau alif hamzah?" Ustazah tanya tapi tak berjawab.

Mamai.

"Kalau alif hamzah, memang patutlah nti suka tidur. Sebab maksudnya orang kuat tidur!"

Berderau darah. Satu kelas ketawakan. Terus "mood" belajar hilang.

Sejak peristiwa tersebut, saya akan pastikan semua orang sebut nama saya dengan betul. Saya yakin apa yang dicakapkan itu adalah doa. Memandangkan saya memang orang kuat tidur waktu "prep", saya akan pastikan selepas "prep" saya belajar walaupun melepas makan petang.


*************

Sejarah nama ini unik sebenarnya. Di situ kita mula merasakan satu penghargaan. Rasa berharga dan bersyukur punya nama yang indah. "Wajah yang berseri-seri" memang cantik.

Semalam saya kena "tegur" dengan seorang adik. Kenapa letak nama "Be Humble" di Facebook.

"Haha......" Saya gelak sambil menjawab biar orang susah nak cari.

Saya sebenarnya tidak ada alasan kukuh untuk mengelak. Saya tukar nama sebab saya ada krisis identiti pada waktu tersebut. Saya tak mahu orang kenal saya. Saya tak suka. Segan tahap gaban. Malu. Kalau nak kenal, kenal tulisan saya sudah cukup. Saya terlalu banyak kekurangan.

Tapi, bila adik tersebut menyentuh bab mak ayah. Terasa pula. Sepatutnya saya perlu bangga dengan nama saya. Apatah lagi di binti kan dengan nama ayah. Krisis identiti hanya tiada kesudahan. Itu malu tidak bertempat namanya walaupun saya akur sukar diubah kadangkala. Harap-harap saya dapat bertahan. Susah juga menjaga hati.

Nur Na'imah Bte Amarudin!

Anda pula bagaimana?

READ MORE

TIDAK BERKURANG, KECUALI BERTAMBAH


Sekiranya kamu memperlihatkan sedekahmu, itu perkara baik.
Sekiranya kamu bersedekah kepada orang fakir dan kamu menyembunyikannya, itulah yang lebih baik bagi kamu.

Allah menghapuskan sebahagian kesalahan-kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Bersedekah sebelum terngadah

"Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah : 254)

3 fadhilat utama bersedekah.

1. murah rezeki murah
2. menolak bala
3. panjang umur.

Di dalam hadis Nabi ada mengatakan “ Sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani.” Indahnya sedekah membantu orang susah merasa kesenangan seperti kita. Indahnya sedekah merapatkan jurang ukhwah tanpa mengira pangkat dan harta. 

Apabila kita bersedekah, penerimanya akan mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda penghargaan kepada Allah dan juga kepada manusia yang memberikan sumbangan.

Kita juga dianjurkan untuk bersedekah dengan mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain.

Memetik hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menyebut, antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara.

Tidak akan pernah berkurang harta yang disedekahkan kecuali ia bertambah… bertambah… bertambah (HR.At-tirmidzi)

Kempen 3S "Sedekah sehari seringgit". Jom mulakan dari sekarang!

READ MORE

BIARPUN TIDUR SEKATIL




"Ana takde tempat berteduh malam ni. Boleh ana tumpang bilik nta?" Pinta akhi Faruq selepas habis meeting di Balai Sri Melaka. Matanya yang kuyu menampakkan bateri otaknya perlu dicas semula sebelum suisnya meletup.

"Owhhh..nta nak tumpang bilik ana ye? Boleh je. Ana tak kisah pown. Tapi katil ana kecik je..insyaAllah muat rasanye untuk kita berdua." Senyum kambing akhi Hazrul membalas.

Malam itu mereka tidur bersama selepas membaca surah Al Mulk dengan penuh ketenangan. Paginya kelihatan bantal dan selimut bertebaran di atas lantai. Dengan mengosok-gosok mata akhi Hazrul mengejutkan sahabatnya untuk menunaikan solat subuh berjemaah dan membaca mathurat.

Sekadar bersarapan biskut kering dicicah dengan air teh kosong, mereka bergegas ke destinasi masing-masing meneruskan pencarian rezeki di bumi Allah.



AKHLAK ISLAMIYAH MUSLIM

Susah sekarang ini mencari sahabat yang boleh membantu ketika susah. Diibaratkan menunggu kelip-kelip datang bertandang di siang hari. Walau diri susah dan tidak berkemampuan masih lagi sudi menghulurkan bantuan.

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. [Al-Baqarah: 268]

Hati jadi terharu. Sayu. Berterima kasih yang teramat kepada Ilahi dihadirkan seorang yang amat pemurah hatinya. Malah sapaan lembut 'assalamualaikum' dengan senyuman yang terukir tidak pernah lekang di bibir. Begitu sejuk hati dibuai keasyikan akhlak islamiyah. Terpaut dengan keindahan penghayatan Islam.

Teringat kata-kata Imam Umar bin Abdul Aziz :

"Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan.
Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau."

Diri ini bukanlah sahabat yang baik. Tetapi diri ini ingin menjadi sahabat yang baik kepada sahabat sekalian.

READ MORE

MENGAPA PERLU BERSENDIRIAN?


Tit tit..

Kedengaran mesej masuk di handphone kawan sebelah.

Tit tit...

Mesej kedua masuk diiringi gelak miang. Aku sudah tarik muka bersabar.

Tit tit tit tiiiiiiit...

Bunyi mesej masuk kali ketiga. Kali ini seperti sengaja dibiarkan lama-lama. Wajahku sudah masam mencuka, hatiku bagai mahu memberontak. Ingin sahaja aku lemparkan handphone kawan aku. Bukan kerana mencuri ketenangan tetapi buat aku geram! Cemburu!

"Woi! Aku tahulah kau ada awek! Tak boleh blah la, macam satu dunia kau nak kecoh" Mahu sahaja aku menjerit kepadanya tetapi apakan daya suara aku tersekat sampai di kerongkong.


"Mat...Aku tengok kau syok betul dengan awek baru" tegurku perlahan.
"Haha...mana ada bro. Macam biasa je. Kau apa cite? Dah ade awek blom?"

"Aku? Emmm......Lum lagi bro"
"Kau tak tension ke? Tak rase sunyi pun? Orang lain berkepit dengan awek, kau berkepit dengan laptop siang malam. Time muda-muda camnilah kena cari awek. Baru hidup enjoy bro!"

Semangatnya dia bagi "ceramah" pada aku. Lagaknya seperti berkempen pilihanraya kampus, siap ada tunjuk nombor dua berulang-ulang kali.



Hati aku ini kosong sebenarnya. Kegersangan.

Sejak clash dengan awek cinta pertama, hatiku masih tertutup untuk menerima sesiapa. Aku tahu di luar sana bersepah-sepah awek cun. Di  facebook aku, hampir keseluruhannya awek-awek. Ada awek jelita, up to date, bergaya, cun melecun, seksi, hot, gedik, ayu malah ustazah pun ada! Tiap-tiap hari aku tatap gambar mereka tapi mereka semua seperti bukan selera aku.



Jauh aku termenung...mengintai sebuah episod keterlukaan.

Sebenarnya, aku masih sayangkan dia. Aku tidak berniat melukakan hatinya. Akulah cinta pertama dan terakhir dia. Sudah lama aku dan dia bersama, mengapa kesudahannya begini? Bukankah dia pernah berjanji akan mencintai aku sampai bila-bila? Takkan pernah meninggalkan aku? Aku mahu kembali kepada dia. Masihkan dia sudi menerima aku kembali setelah apa yang aku lakukan? 

Jika tidak, haruskah aku bersendirian? Mengapa pula aku perlu bersendirian?

Ah!!! Aku masih muda. Rupaku yang tampan dan segak bergaya amat digilai ramai oleh si jelitawan di kolejku. Petik sahaja jari, pasti ramai menadah hati untuk berkongsi cinta denganku.

Aku tidak lagi bersendirian di dalam hidup. Aku tidak perlu merasa cemburu dengan kawan-kawanku lagi. Hatiku bakal diisi dengan keindahan dan kebahagiaan cinta bersama si dia. Puas!

"Lonely
I'm Mr. Lonely
I have nobody
For my own


I'm so lonely
I'm Mr. Lonely
I have nobody
For my own
I'm so lonely"

Eh! Tak sedar aku handphone aku berbunyi. Tertera nama mak di skrin. Lantas aku menjawab.

"Assalamualaikum man. Anak mak sihat hari ini?"
"Waalaikumussalam mak. Man alhamdulillah sihat arini. Mak camne plak?"

"Mak pun alhamdulillah sihat. Man ape cite kat sane? Hari ni man solat cukup 5 waktu tak?
"Man biasa-biasa je mak. Takde yang istimewa pun. Hehe...mestilah cukup mak. Anak mak lah katakan."

Kami berdua ketawa bersama.

Lama juga aku berbual dengan mak. Sikap peramah dan prihatinnya kadang-kadang mengubat hati aku yang kekosongan. Tunjuk ajar, didikan, nasihat dan pesan mak ayah terutamanya tentang solat banyak mendisplinkan diri aku sejak dari kecil. Cuma kadang-kadang aku agak nakal dan suka berfoya-foya di belakang mereka.

Aku sepatutnya perlu bersyukur kerana masih ada mak sebagai teman hidupku setelah pemergian ayah. Dialah tempat aku berkongsi cerita dan mengubat duka. Haruskah aku mengecewakan hati mak apabila dia tahu segala perbuatanku?

Tidak! Aku perlu berhenti. Aku mesti berubah!

Biarlah aku hilang cinta manusia yang belum halal bagiku jika kasih sayang mak terbahagi dua. Terima kasih ya Allah, walaupun aku sudah banyak berdosa, Kau masih beri peluang kepadaku untuk aku berubah. Jiwa in terlalu rapuh, lemas dalam dugaan yang mendatang. Cuba untuk mendekatiMu tapi sayang hati tetap sama seperti dahulu.

Wahai si gadis yang cantik menawan di luar sana, jagalah maruah dan kehormatanmu. Usahlah post gambar-gambar dirimu semata-mata meraih pujian dan populariti dengan make up tebal-tebal, posing sana sini dan fesyen bertudung yang memelikkan. Pakaianmu untuk menutup auratmu bukannya membungkus bagai kain kapan. Aku ini sudah banyak berdosa janganlah kau tambah lagi dosaku. 

Ketahuilah “Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).


Takkan ku lamarmu jika tidak agamamu. Yang pasti, aku tetap dengan mujahadahku. Biarlah aku bersendirian menanti masanya. Aku yakin Allah ada bersama-sama denganku. Malah Dia amat dekat denganku. Buktinya, Dia masih hadirkan secebis iman untuk diukir kecintaan kepadaNya.

Ya Allah Ya Tuhanku.. Ampunkanlah segala kelekaan dan kealpaan diriku dalam mengejar cinta hal-hal dunia. Sesungguhnya aku telah lalai dengan keikhlasan hatiku sendiri. Mungkin itulah ujian dan dugaan untukku. Oleh itu, ampunkanlah segala dosa-dosaku..

READ MORE

CERITA AKU NAK JADI DOKTOR

"Jangan biarkan hidup sehari berlalu tanpa menyumbang apa-apa kepada Islam" - Al marhum Ustaz Fadzil Noor




BERKONGSI UNTUK INSPIRASI

Setelah sekian lama penulis tidak pernah menyentuh secara khusus tentang kehidupan perubatan, walhal itu yang lebih utama kerana di bidangnya. Bukanlah mengelak untuk berbicara, tetapi tiada "hidayah" untuk dijadikan asbab. Jadi, minggu depan penulis akan berforum, lantaran "hidayah" itu perlu dihargai dan diberi nafas segar. Mohon maaf kerana banyak sangat soalan yang dihimpun selama ini tidak dijawab. Moga perkongsian ringkas ini menjadi inspirasi bagi yang sudi.

Serius tiada apa yang menarik tentang kehidupan penulis. Sederhana menjadi pilihan sejati walaupun berjiwa besar dan punya cita-cita tinggi. Lain yang diimpikan lain pula yang terjadi. Namun kini itu bukan lagi menjadi persoalan mahu pun dilema, sekali kaki melangkah, berpantang kewarasan menoleh ke belakang! meskipun badai merempuh dengan sadisnya!

Jalan menjadi doktor bukan satu kebanggaan. Jalan ini sangat sukar tetapi seronok. Sukar kerana bercita-cita menjadi doktor yang betul-betul bertaqwa dan tawadhu'. Merendah diri dengan ilmunya kepada semua orang, terutamanya kepada Allah SWT. Seronok kerana kita dapat belajar tentang diri kita. Ya, manusia tak akan cinta seseorang melainkan sudah kenal hati perutnya. Bila sudah kenal diri baru dia kenal Allah itu siapa. Maka lahirlah rasa kehambaan yang tinggi.



INI LANGKAHKU

Bermula langkah dengan 3A 2B UPSR, 8A PMR seterusnya 10A 2B SPM melayakkan penulis memasuki Kolej Matrikulasi Pahang. Sebenarnya bagi penulis, SPM bukanlah penentu segalanya. Kerana ada juga kawan yang dapat 2A tetapi mampu memperoleh 4 flat seperti penulis.

Kehidupan selepas SPM banyak membentuk peribadi penulis mengenal erti susah payah mencari duit. Sungguh, bekerja mencari duit sampingan sebagai persiapan ke matrikulasi banyak melakar pengalaman hitam dan putih. Lorong yang dipenuhi cacamarba, kejian, hinaan dan tangisan menguatkan semangat untuk bersunguh-sungguh dalam pelajaran demi menaiktaraf maruah keluarga di sisi masyarakat. Baru diri sedar daripada kesenangan dan keselesaan betapa pilu, pedih dan peritnya ayah dan ummi bekerja siang dan malam demi membesarkan anak-anak selama ini.

Setahun belajar di matrikulasi bukan tempat untuk berfoya-foya dan bermain mata. Ramai terlingkup gara-gara kawalan emosi yang terbabas kerana salah pilih kawan dan buah hati. Itulah pesan para guru penulis ketika di MRSM Pontian. 

Dengan memasuki kursus Sains Hayat penulis berusaha untuk fokus sehabis mungkin dengan memilih kawan untuk study group, rapat dengan pensyarah dan sentiasa menderma ilmu. Kita tahu kita tidak pandai melainkan banyak membuat latih tubi, rajin bertanya kepada pensyarah dan berkongsi ilmu dengan kawan-kawan. Cubaan pertama hidup di matrikulasi dengan keputusan 1A sahaja begitu mencabar sekali. Tetapi itu bukan sebab untuk putus asa malah bangkit daripada kekecewaan.

Memilih UKM kerana cikgu biologi penulis kelahiran UKM. Alhamdulillah hajat tercapai dengan bantuan kawan mendaftarkan kos perubatan di UKM sebagai pilihan pertama ketika sibuk kerja part time menunggu keputusan keluar. 




GELARAN MAHASISWI PERUBATAN

Dalam kejahilan penghayatan beragama, penulis merangkak hidup bernafas di UKM. Sungguh jahil merentasi dunia dakwah. Terasa diri ini hina dan kerdil, bagai langit dengan bumi. Berhingus lagi melihat para senior bertudung labuh, memakai stokin dan stongan. Benar hidayah itu perlu dicari. Ia tidak datang bergolek, tidak pula jatuh dari atap rumah.




Kebetulan di UKM KL di bawah persatuan BADAR semua tahun 1 wajib berusrah. Maka dengan langkah pertama penulis berjinak dengan usrah yang pertama sekali dengar dalam hidup, ditambah pula kemahuan rajin turun ke surau, serta pengalaman menjadi imam dan penceramah kaki lima di sekolah menengah, jadilah penulis seperti penulis yang sekarang.

Namun beringatlah selalu, tidak semua graduasi universiti usrah berkelayakan jika tidak memenuhi kriteria seperti yang boleh difikir logik akal. Asal komited, tadabbur dan proaktif berusrah, percayalah wahai pembaca sekalian roh usrah tersebut sudah mampu menjadikan hari-hari kita indah dan bertenaga.

Rangkaian silang tangan berukhwah, berkongsi masalah mahu pun berbincang isu akademik, kehidupan, negara, dan sebagainya adalah pra-syarat penentu keberhasilan keberadaan kita di menara gading. Carilah usrah dan rasailah getarannya.

Kesibukan belajar adalah igauan jahat dan malapetaka bagi yang suka merekacipta alasan untuk mengelak amanah dakwah. Tetapi menjadi keseronokan dan tarbiyyah (didikan) bagi yang sedar penuh faham akan hakikat amanah. Bukan bebanan tetapi hakikat amanah. Sama juga seperti belajar.

Jika belajar jadi ibadah, ia jalan taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, amanah dibuat sedaya upaya. Biar sempit jalan keperluan, asalkan luas perjalanan mencapai tujuan.Teruskan cita-cita menjadi doktor. Teruskan cita-cita menjadi seorang hamba berguna. Ia cara terbesar, menzahirkan syukur kepada-Nya.

Tidak perlu menilai diri penulis, tetapi penulisannya, barulah diri terinspirasi. Ubah paradigma, betulkan nilai pada fokus dan gerak kerja amanah. Lajukan langkah, sama-sama menuju mardhotillah insyaAllah.

READ MORE

TERTEKAN!

Tetap semangat walau tertekan!

Masihkah ada yang setia mendengar?
Masihkah ada insan yang merasa?

Di saat ini, aku akui aku tertekan dengan pelbagai perkara yang sememangnya sangat mengganggu aturan seharian. Aku cuba untuk tidak mengeluh kerana aku tahu semua ini Allah turunkan kerana aku layak dan mampu untuk menanggung.

Tetapi kadang kala aku letih untuk terus menahan perasaan tanpa membuka mulut bercerita. Terasa membengkak dan kesakitan dek nanah yang semakin membusuk. Hanya tunggu masa untuk meletup tetapi apakan daya aku?

Ingin diceritakan kepada teman, tiadalah yang sudi mendengar. Tiada siapa yang boleh membantu. Lagipun, aku masih ada Allah, Tuhan yang Maha Mendengar. Aku tahu, akan ada pahala buat aku selagi mana mulut tidak mengeluh dengan ujian yang diberikan.

Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, qadha-Mu kepadaku adalah adil, aku mohon pada-Mu dengan setiap nama baik-Mu, jadikanlah Al-quran sebagai penenang hatiku, cahaya bagi dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.

Allah benar akan janjinya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa. Yang pergi tidak bermakna kita hilang segalanya. Yang membebankan tidak bermakna kesusahan.

Kalau diukur banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah berikan sungguh jauh berbeza. “Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya.” (QS Ibrahim 14: 34).

Pandang di sekitar, apa yang kurang? Tidak ada apa yang kurang.

Allah tarik balik sedikit sahaja daripada kurnia-Nya, mengapa harus berdukacita? Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik?

Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Itu tidak mustahil.

Kerana Allah bersama orang yang sabar. Kerana hanya Iman yang akan meredhakan setiap yang berlaku. Walau apa pun yang terjadi, pastikan Allah yang disebut, daripada Dia ujian ini datang, daripada Dia juga jalan penyelesaian akan datang.


Ketika aku lelah dan tidak berdaya seperti usaha yang sia, Allah tahu betapa keras aku sudah berusaha.
Ketika aku fikir bahawa sudah berusaha dan tidak tahu hendak buat apa lagi. Allah ada jawapannya.
Ketika aku menangis sekian lama dan hati masih terasa pedih.. Allah sudah menghitung air mata aku.
Ketika aku merasa sendirian dan sahabatku terlalu sibuk. Allah sentiasa berada di sampingku.

Ulama' sufi pernah menyebut, "Makhluk yang meminta pertolongan kepada makhluk samalah seperti banduan yang terpenjara meminta bantuan daripada banduan yang juga terpenjara."

Harus ada sabar untuk ketemu kemanisan ujian. Harus bersangka baik untuk meraih redha Allah.
Aku perlu tabah dan kuat untuk hadapi semua ini. Semangat walau tertekan!

Tidaklah seseorang yang ditimpa masalah dan kesedihan lalu mengingati Allah sehingga menghilangkan duka laranya dan Allah gantikan tempatnya kegembiraan. Yakinlah! "Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

READ MORE

DI MANA JANGGUTMU WAHAI LELAKI?



Semalam terbaca status Facebook seorang sahabat :

"Andai Rasulullah berada di depan kita dan bertanya 'apa khabar iman kamu'? Sejauhmana kamu mengikuti sunnahku? Agak-agak apa yang kita akan jawab?"

Dan juga status yang hampir sama oleh sahabat yang berlainan :

"Rasulullah, alangkah bahagianya hatiku jika mukaku ini menjadi alas kakimu."

Tergamam!



BENARKAH RASULULLAH IDOLA KITA?

Benarkah kita sayangkan Rasulullah SAW dengan sebenar-benar sayang? Benarkah Baginda menjadi contoh ikutan ummah? Sebagai idola hidup?

Jika kita sayangkan ayah kita, segala suruhan dan nasihatnya pasti kita patuh dan ikut. Gaya dia berpakaian, bercakap sekalipun cara jalan, makan dan tidur, hampir semua kita tiru. Lebih-lebih lagi jika ayah kita seorang  yang hebat. Disegani oleh kawan dan lawan. Kita bangga menjadi anak ayah. Seolah-olah satu dunia kita mahu isytiharkan bahawa itulah ayah kita yang sangat hebat!

Itu adalah ayah kita, bagaimana pula dengan Nabi Muhammad SAW?

Tidak perlu bersembang jauh tentang sunnah Baginda yang susah dan berat untuk dipraktiskan seperti solat sunat tahajjud dan dhuha . Cuma pandang sahaja diri kita.

Ada tidak kita ikut sunnah Nabi yang paling mudah dan senang? Nampak remeh tetapi yang remeh itulah kita tidak mampu buat. Sebagai contoh :

1. Simpan janggut
2. Memotong kumis
3. Memotong kuku, dll

Belum lagi soal adab yang lain, seperti adab ketika makan :

1. Makan menggunakan tangan
2. Makan menggunakan 3 jari
3. Makan sambil duduk
4. Menjilat jari-jari selepas makan
5. Makan ketika lapar, berhenti ketika kenyang
6. Membasuh kedua belah tangan dan berkumur-kumur, dll

Nabi SAW pernah bersabda : “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”

Sahabat-sahabat, sebenarnya banyak sekali kebaikan dan kelebihan jika kita mengamalkan sunnah Nabi SAW. Ulamak pernah berkata, pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan. Siapa amalkan sunnah, dia akan mendapat 2 keuntungan. Apa keuntungan itu?

1. Pahala yang berlipat ganda
2. Keberkatan.

Malah dari segi ilmu perubatan terlalu banyak impak positif yang boleh dikaitkan dengan sunnah Nabi ini.
Sebagai contoh yang paling mudah, jilat jari selepas makan.

Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan, jangan dibersihkan jari-jarinya sebelum dia menjilatnya". (HR Muslim)

Ya! Mungkin kita rasa jijik, pelahap dan pengotor apabila melihat orang menjilat jari selepas makan. Dan mungkin kita sendiri malu untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi perempuan, kononnya takut akan persepsi dan tanggapan buruk orang lain. Boyfriend pun tak nak makan dengan kita lagi. Segan. Tidak moden katanya.

Tetapi tahukah kita apakah kelebihan fakta sains di sebaliknya?
Dan adakah kita sedar slogan KFC, "Finger Lickin' good" yang kita tengok di TV setiap hari?
atau orang Cina dengan adat, "eat your finger off" sudah nampak kelebihan menjilat jari?

Kita tidak rasa gah dengan islam, dengan sunnah Nabi kita. Kenapa ya?

Padahal Nabi sudah lama dahulu menganjurkan kaedah ini. Ditambah lagi dengan bukti hasil kajian para saintis mendapati bahawa enzim banyak terkandung di celah-celah jari, iaitu 10 kali ganda daripada yang terdapat dalam air liur! Enzim inilah pencerna makanan. Tanpa enzim, makanan tidak boleh hadam. Itulah berkatnya.

Jadi risiko untuk menghadapi masalah penghadaman seperti cirit birit dapat diminimakan. Tidak perlulah susah payah untuk berjumpa doktor dan membeli ubat di farmasi. Mudah bukan?

Lantaran itu, pasakkan di dalam diri, berpeganglah dan amalkan sunnah Nabi SAW, pasti Allah akan cintai dan berkati kita. Beramal dengannya sudah mendekati syufaat Nabi SAW di akhirat kelak.

READ MORE

MEN"SYURGA"KAN PENULISAN



MENULIS KERANA ALLAH

Alhamdulillah saya terasa kekenyangan yang amat sampai senak otak saya jadinya. Bengkel penulisan yang saya ikuti pagi tadi anjuran Kelab Perkim, UKM Bangi benar-benar membangkitkan semangat saya untuk terus mengasak jari-jemari agar istiqamah dalam penulisan walaupun sibuk!

Semuanya masih berkisar tentang bagaimana kita menguruskan masa dan menginovasikan dakwah. Niat perlulah disucikan semula, tiada rasa riak, nak glamour dan materialistik. Bila niat kita bersih dan tekad untuk pacukan roda dakwah, kita sanggup guna pelbagai alat yang boleh membawa kepada keredhaan Allah. Jika niat belum setel, sebab itulah kita tidak konsisten. 

Sekali kita pacak, berterusanlah dalam gerak kerja. Maksudnya, sekali kita niat, ikhlas betul-betul kerana Allah, dengan azam dan semangat yang kuat, disulami fokus dan halatuju yang tepat, maka kita mampu istiqamah dan berdisplin dalam pengurusan masa, tiada lagi istilah berkompromi dengan isu kesibukan.

Pasti menulis walaupun terpaksa!

Kita mahu setiap penulisan kita sama ada di blog mahu pun di facebook, twitter dan sebagainya diterima Allah sebagai sumber pahala yang berterusan dan sentiasa mengalir masuk ke akaun kita.

Nah! Hasil pendapatannya sangat lumayan dan berlipat ganda!

Sebabnya selagi mana manusia membaca penulisan kita dan mereka beroleh manfaat lantas berubah ke arah kebaikan, ia sekaligus menjadi bekalan pahala untuk kita ke syurga menemui Allah, walaupun diri kita sudah tiada lagi di dunia ini!

“Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara ; Sedekah jariah, atau ILMU yang memanfaatkan, dan doa anak yang soleh” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari].

Bersemangatlah wahai diri dan sahabat sekalian!
Bersungguhlah wahai diri dan sahabat sekalian!
Istiqamahlah wahai diri dan sahabat sekalian!

Jika kita tidak mampu membuat blog, belajarlah secara bersungguh. 
Jika kita tidak mampu menulis blog, belajarlah untuk share atau copy penulisan dahalu.
Jika kita tidak mampu istiqamah, belajarlah mendisplinkan masa lapang. 
Jika kita tidak mampu berdakwah, dekati majlis ilmu dan orang soleh.

Tiada siapa yang tidak bermula dengan zero. Saya juga begitu dahulu, belajar bersendirian dengan sabar.

READ MORE

"HARI NI NAK TULIS PASAL APE YE?"


Bagi seorang penulis blogger hatta hanya facebooker pun, pasti terpinga-pinga bertanya soalan kepada diri "hari ni aku nak tulis pasal ape ye?"

Digaru-garu kepalanya yang tak gatal. Jenuh berfikir, di"skodeng"nya jiran sebelah cari ilham.

"Datanglah kau ilham. Datanglah..." berminit lamanya berfikir .
"Dah..sudah! Feed up aku!"

Maka, hari itu berakhirlah dengan kemalasan dan kebosanan untuk tidak update blog, atau pun cukup sekadar copy paste status orang lain atau share mana-mana artikel. Buat sahaja daripada tidak buat kebaikan langsung.

"Susahnya nak datang ilham. Allah..." keluhnya.

Layan jap lagu Manbai. "beribu bintang di langit kini menghilang. Meraba aku dalam kelam, rembulan mengambang kini makin suram, pudar ilhamku tanpa arah. Sedetik wajahmu muncul dalam diam. Ada kerdipan ada sinar, Itukah bintang atau rembulan. Terima kasih kuucapkan."

Tersengih sorang-sorang bila masuk rangkap kedua.

"Izinkan kumencuri bayangan wajahmu. Izinkan ku mencuri khayalan denganmu. Maafkanlah oh...Andai lagu ini mengganggu ruangan hidupmu. Kau senyumlah oh...Sekadar memori kita di arena ini. Kau ilhamku. Kau ilhamku..."

Terima kasih ya Allah. Sungguh hati ini jatuh cinta bila mendengar alunan muzik yang lembut, ilhamku disandarkan hanya padaMu. Tiadalah aku menulis jika tidak Kau yang ilhamkan. Tiadalah aku tanpa banyak idea jika tidak Kau yang titipkan. Hati kembali berbunga-bunga tenggelam dalam kebahagiaan. Seronoknya.

"Aku bukanlah doktor cinta. Bukan pula ustazah mahu pun ahli politik untuk bicara displin ilmunya. Belum juga ditaklifkan sebagai doktor. Tiadalah tauliah yang sempurna. Mahu pun ilmu agama yang mendalam. Cukup sekadar mahu berkongsi rasa, buah pemikiran, pendapat, fikrah, motivasi dan muhasabah diri. Walaupun minat dan cenderungnya di dunia siasah (politik), usahlah hilang minat membaca blog ini."

Apa yang aku rasa, tidaklah seperti yang kau rasa. Kita sangka kita sama, kita serupa. Rambut sama hitam, tapi rupanya kita berbeza. Hati kita lain. Sudut pandangan, pemikiran, kondisi pengaruh sekitar, bahan bacaan dan pengalaman kehidupan membentuk diri kita berlainan. Namun hakikatnya, Allah yang Maha Muthlak untuk mencipta kita sebegini rupa.

Bersyukurlah, bukankah itu satu keindahan?
Persoalannya masih sekitar bagaimana kita menerima perbezaan.






BERSAMA MEMBENTUK DIRI

Jika sebelum ini, bacaan kita hanya terpencil mengenai soal hati. Rasa dan terasa. Jatuh hati, sakit hati, pedih hati, amik hati, dan seangkatan waktu dengannya. Maka, mulai saat ini latihlah diri, didiklah diri, displinkan diri dengan bahan bacaan yang lebih meluas merangkumi segenap isi kehidupan.

Bersikaplah adil kepada diri. Tidaklah adil bila mana, tabiat kita suka "like" mana-mana artikel, page, gambar atau status berunsurkan "easygoing" dengan selera perasaan kita. 

Bagaimana pula dengan kebenaran?

Tertegaknya kebenaran tatkala kita berusaha menyingkap jendela politik kepalsuan. Sedarlah betapa politik itu penting dalam mencatur keseimbangan kitaran dan kestabilan urustadbir manusia yang mana pada hari ini semakin celaru akibat kedegilan dan bersikap sombong dengan Tuhannya. 

Saat ini, dengan ketidaksedaran, kita telah menzalimi hak masing-masing, membiarkan manusia yang tidak bertanggungjawan, tidak amanah dan tidak berintegriti telah membunuh dan merosakkan kepercayaan kita kepada dunia politik yang bersih sepertimana sistem politik kerajaan Madinah pimpinan Rasulullah SAW.

Kita biarkan persepsi "politik kotor" terus menerus meracuni pemikiran dan budaya allergic tatkala berbicara tentangnya. Mengapa kita hanya membiarkan golongan tidak cerdik ini memperhambakan manusia akibat sikap "aku tidak pedulisme"?

"Lantak kaulah, aku tak rasa apa-apa pun. Takde faedahnya kalo menyibuk hal orang lain"

Kalau terkena batang hidung diri sendiri, baru terngadah. Nak salahkan siapa? Salah siapakah sebenarnya? Berubahlah! Kita mampu mengubahnya dengan tangan sendiri, maka pangkahlah sebelum kita dipangkahkan daripada sebarang kebaikan. 




TINGGALKAN AMALAN "LAGHA"

Amatlah rugi menjelang tahun baru, 2012 tiada satu apa pun kata-kata azimat pesanan kepada diri sendiri untuk berubah. Diri kita sebenarnya ketandusan kasih sayang, cinta dan perhatian daripada tuan badannya. Seperti mana kita mahu orang lain ambil kisah, take care dengan kita, sayang pada kita, begitu juga jiwa kita.

Belaian seorang ibu kepada anak tidak kira masa dan tempat. Keikhlasannya tidak terduga dan mampu menagih limpahan air mata tatkala mengenang pengorbanan ibu. Katanya, hidup tak sesempurna tanpa ibu.

Itu ibu, orang lain. Tidak sejasad, sebadan dan sehati dengan kita. Justeru, kita  semestinya perlukan lebih kasih sayang diri kita sendiri daripada kasih sayang ibu. Kepuasan hati akan tercapai setelah kita faham fitrah diri kita yang sebenarnya. Bagaimana pula ye?

Kita bangga beragama islam, anugerah warisan turun-temurun datuk nenek moyang kita. Ya, bangga bukan bersyukur. Kalau kita jenis bersyukur, kita akan berusaha mengubah diri menjadi umat islam yang boleh dibanggakan oleh Allah. Islam tanpa amal diibaratkan pokok tidak berbuah, sia-sia.

Pada hari ini apa yang kita lakukan? Kita tidak lagi bersahabat akrab dengan Al-quran tetapi dengan handphone, ipod, mp3, facebook, blog dan sebagainya. Bacaan dan muzik kita bukanlah ayat-ayat Al-quran. Bagi kita baca Al-quran bila waktu lapang, nak mati atau bila Ramadhan tiba, begitu ekslusif sekali kononnya menghormati sampai terbelit-belit lidah nak baca Al-quran. Betul tak?

Masih banyak lagi ruang-ruang kosong yang belum dipenuhi di otak kita untuk menghafal, sel-sel otak kita pun kelihatannya masih berehat dan tidak secergas seperti yang sepatutnya. Gunakan nikmat itu sebaiknya sebelum ditarik. Jadi, sebagai langkah pertama biasakan diri melazimi ayat-ayat suci, firman atau mana-mana hadis Nabi. Jangan terus langkah perenggan atau bersikap tidak endah bila nampak ayat Al-quran tanpa mendalaminya. 

Ayat manusia tidak berkuasa mengubah diri manusia, yang sama taraf dengannya. Hanya ayat Allah yang Maha Berkuasa mampu menggetarkan perasaan sekaligus menggerakkan hati manusia untuk berubah. InsyaAllah moga ada manfaat luar biasa.


Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah SAW bersabda :

“Umpama orang mukmin yang membaca Al Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”. ( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

Begitu luar biasanya memotivasikan diri kita.

READ MORE

KISAH KAMI : NAIM DAN NA'IMAH



Pagi itu berlalu dengan penuh kesunyian. Seolah-olah meminta para penghuninya bangun malam bertahajjud. Sejadah dicapai melepaskan kerinduan Ramadhan padaNya. Adik-adik dikejutkan bagi memeriahkan lagi pesta kehambaan.

Seusai bersalaman zahir dan batin bersama ahli keluarga, hati luluh. Rasa rindu kepada dia semakin membuak-buak. Perasaan bercampur baur mencelarukan pemikiran waras.

"Kak, adik rindukan abang", si kecil menarik baju sambil mememekkan muka seposen.

Terkelu lidah melihat reaksi si adik yang masih tidak mengenal erti kehidupan alam barzakh. Hati terusik dengan gemersikan rindu, terasa hangat dan luar biasa.

Mengingati wajahmu, merindui sentuhan, suara dan gelak ketawamu....

"Sesungguhnya Ya Allah, Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih diantara semua pengasih."




KHAS UNTUKMU

Ringan kaki melangkah namun berat di hati merenung dalam 2 batu nisan terpacak di atas kubur insan yang sangat disayangi. Insan yang pernah berkelahi dan bergaduh setiap hari. Bermain, belajar, dirotan, dimarah, makan minum dan tidur bersama. Zaman hingusan yang mana dibazirkan dengan kenakalan dan keseronokan bersama si dia. Menjaga adiknya dengan penuh kasih sayang dan memberi contoh tauladan yang baik.

Saat-saat susah senang dia tidak pernah merungut. Pergi balik sekolah memimpin tangan agar keselamatanku terjamin. Kadang-kadang dia membonceng aku dengan basikal buruknya. Duit belanja sekolah yang hanya RM0.50 dan selalunya RM 0.20 diberi padaku supaya aku tidak lapar pada sesi sekolah agama di sebelah petangnya. Apabila dirotan ayah, abang selalu memujuk. Memberi kata-kata rangsangan dan menenangkan jiwa. Melapkan air mata dan menyapukan minyak di tempat luka.

Walaupun aku lebih sikit cerdik dan cerdas daripada abang, namun dialah yang selalu memberi semangat dan galakan. Walaupun aku berpangkat tinggi dalam kepimpinan pengawas, namun dialah pengawas yang paling membanggakan aku. Walaupun aku sering mendapat anugerah di setiap minggu perhimpunan sekolah, namun dialah anugerah terbaik buatku. Walaupun aku dimanjakan ummi ayah, namun dialah yang paling memanjakan aku.

Masih segar di ingatan bagaimana prihatinnya dia menjaga dan melayan karenahku ketika disahkan oleh doktor mengidap jangkitan virus Varicella Zoster.  Seminggu tidak hadir ke sekolah sudah cukup menduga kasih sayangnya terhadap diri ini. Bersungguh dia membantu aku supaya cepat sihat, macam-macam yang dilakukan, walaupun sanggup berlapar demi membeli makanan kegemaranku. Demam campak tersebut akhirnya berjangkit kepada dia pula. Kesian dia.

Pernah juga satu ketika kami bergaduh besar dan itulah yang pertama dan terakhir dalam kehidupan ini. Tamparan kuat melekap di pipi beserta kata-kata pedih mencucuk-cucuk di setiap ruang jiwa. "Kalau kau tak tahu jaga adik, siapa nak jaga lagi? Esok nanti bila aku tiada, siapa yang boleh diharapkan!?"

Menangis....

Benar. Selang beberapa hari, akhirnya dia pergi jua tanpa sebarang kemaafan daripadaku.
Berita kemalangan dilanggar kereta tatkala keluar mencari sesuap nasi dengan menaiki motor pada belah tengaharinya begitu menggores perasaan ini. Hati bagai dikoyak rabak, disiat-siat sehingga hancur luluh. Pilu itu masih bersarang dan disimpan kemas di satu sudut hati ini.

Tamatlah kisah dua beradik yang sangat akrab Naim-Na'imah yang hampir terputus 9 tahun lamanya.





TERUSKAN KEHIDUPAN DEMI ALLAH

Bukanlah bermakna bila sudah tiada insan yang kita sayang, kita hilang arah tuju. Hidup ini demi Allah. Mati kita juga demi Allah. Ibadat kita juga demi Allah. Biar Allah uji kita dengan hilang semua insan yang kita sayang, tapi ketahuilah, Allah sediakan yang lebih baik dari itu semua! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang.

Saat jatuhnya air mata seorang abang, baru aku sedar insan bernama lelaki juga mampu menangis, walaupun tampak garang, walupun tegas mengatasi segalanya. Saat itu dia tertunduk, menyembunyikan air mukanya.

"Abang, usahlah risau, damailah kau di sana. Aku berjanji akan jaga adik-adik dan menggalas amanah abang sebagai anak pertama dengan sabar dan sentiasa mendoakan kesejahteraan dirimu agar abang sentiasa bahagia. Doakan aku juga agar terus kuat di samping menjadi hamba dan anak yang solehah".

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah mengetahui bahawa hati-hati kami telah bersimpuh mencurahkan kecintaan kepadaMu, maka kuatkanlah tautan persaudaraan kami dengan keindahan bertawakkal kepadaMu walaupun jasad kami di dunia yang berlainan. Di mana berakhirnya perjalananku ini, esok atau lusa bukan milikku. Oh Tuhanku, lindungilah hambaMu yang hina ini. Aku hanya berserah padaMu.."

READ MORE

TERTAWAN DENGAN SENYUMANMU :)

Kebanyakan senyum adalah penyakit BERJANGKIT. Apabila kita tersenyum, si  dia pun turut senyum sama.  

"SENYUMLAH! Di samping sedekah, senyum tu juga penawar hati. Tidak kira untuk siapa untuk apa. Jika tidak kepada hati sendiri, kepada hati orang lain. Mendapat senyuman itu tidak rugi malah membahagiakan. "



LIHATLAH LANGIT DAN SENYUMLAH!

Wahai insan, lihatlah langit nan indah, siang atau malam. Dan senyumlah, melihat ajaibnya dan indahnya ciptaan Allah. Pastinya langit sangat indah, siangnya dihiasi awan, senjanya melakar warna jingga yang menawan, malamnya disinari bintang-bintang berkelipan. Subhanallah, ciptaanNya tiada tandingan.


Bukalah lembaran hari baru kita dengan sebuah senyuman! Senyumlah, kita pasti akan berasa lebih segar. Sebaik membuka mata, senyumlah pada yang tersayang. Ya, pada diri kita sendiri! Jika tidak kita mulakan siapa lagi bukan? Tataplah wajah kita sepuasnya di cermin, dan ucaplah puji-pujian kepada Allah serta kata-kata perangsang motivasi kepada diri sendiri.

Pasti kau akan tertawan dengan senyumannya!  

Mungkin hati kita sendiri juga menunggu untuk senyum kepada tuan badan. Bertuah dapat hidup lagi tanpa kesakitan mahu pun kecacatan fizikal. Bukalah tingkap, hiruplah udara segar dan pandanglah pada mentari yang sedang menanti kita. Ukirlah senyuman paling manis di bibir apabila melihat sinaran ciptaanNya yang sungguh indah.



Pastikan hari yang bakal kita tempuhi lebih indah daripada sebelumnya. Kita berkuasa sepenuhnya bagaimana untuk mencorakkan hari kita. Jadi, pilihlah untuk memulakan hari  dengan sedikit gerakan pada bahagian bibir.  Senaman di pipi pasti mengawet mudakan umur yang senja. Yakinlah, sesuatu yang bermula dengan baik akan berakhir dengan lebih baik!

William Shakespere mengatakan : "Apa yang anda kehendaki akan lebih cepat diperolehi dengan SENYUM daripada memotong dengan pedang" 

Ketika berjalan, berkata, ber'chatting', ber'facebook, bekerja, belajar, senyumlah. Ia akan menumbuhkan rasa keriangan dan kegembiraan. Tatkala berhadapan dengan keadaan suka biasakanlah dengan senyuman. Bukankah senyum itu sangat mudah?

Dengan senyuman, semua masalah mampu kita hadapi dengan hati terbuka. Mungkin hari ini kita sedang menghadapi detik-detik sukar dalam hidup. Sekalipun kita tidak mampu mengelak daripada masalah tersebut, kita boleh berjaya berdepan dengannya apabila sentiasa positif. Setelah berusaha bersungguh, hasilnya juga pasti berbaloi. Kita hanya perlu bersabar sahaja menunggu ganjaran itu datang. Ia tetap datang. Cepat atau lambat sahaja. Hidup ini memang begitu! Dan sebenarnya, kehidupan kita pada hari ini hasil daripada perkara pertama yang telah kita lakukan pada hari tersebut.

Sesungguhnya, Allah mendatangkan kepada kita pelangi nan indah selepas hujan sirna kelamnya.

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya" (Al-Baqarah:284)
“Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” (Al-Insyirah 5-6)

Mari kita berhijrah dengan mulakan hari-hari kita dengan sebuah senyuman. Hiasilah diari hidup kita dengan senyuman yang paling manis :)

READ MORE

"JADIKANLAH DIA WANITA SYURGA"




Bermula lafaz bismillahirrahmanirrahim, dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, coretan ini khas ditujukan buat tatapan puteriku dan bakal imamnya.

Wahai puteriku,
Saat dirimu masih menjadi asuhan ayah dan ibu, tidak lain doa kami supaya dirimu menjadi anak yang solehah, agar kelak dapat menjadi tabungan dan peneman di alam yang satu. Namun nanti, setelah dirimu bergelar isteri, aku berharap agar dirimu menjadi pendamping yang setia buat si soleh.

Kini, aku merelakan pemergianmu walau rasa berat di hati hanya Allah yang tahu. Sebaknya ayah, tangisnya ibu sebagai tanda kami merestuimu wahai puteri kesayangan.

"Ya Allah..Engkaulah yang telah membukakan pintu hatinya untuk jatuh cinta kepada agamaMu dan insan pilihanmu. Maka kepada Engkau jualah ku harapkan agar hatinya kembali, beri'tiqad membenarkan syahadahmu dalam kehidupannya dan Kau restuilah perhubungannya wahai Tuhan, Pemilik Sinar Kebahagiaan". Subhanallah..

Andai dirimu berjaya menanamkan sifat sabar dan tolak ansur ke dalam sikapmu, maka kukuhkanlah ianya sehingga ke akhir hayatmu. Dengan sifat ini, percayalah bahawa kamu bakal membawa hati dan kehidupan suamimu dalam beroleh kebahagiaan menjadi pemimpin yang terbaik dalam rumahtangga. Sesungguhnya, sabar dan tolak ansur lahir dari hati yang ikhlas dan tiada menyimpan apa jua perasaan yang negatif.

Diriwayatkan dari Jabir berkata,Rasulullah SAW bersabda ; Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia (HR. Thabrani dan Daruquthni)

Bahagialah puteriku, bila mana masalah datang menguji suatu ketika nanti. Cekalkanlah hasrat di hati. Semoga kesusahan bisa mengajar erti kematangan dan ketabahan. Orang-orang yang paling berbahagia tidak selalu memiliki perkara terbaik, mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap perkara yang hadir di dalam hidupnya. Bila Allah ada di dalam hatimu, kamu seolah-olah memiliki segala-galanya.

Itulah antara kunci ketenangan dan kebahagiaan dalam perkahwinan wahai puteriku. Bukan sekadar curahan hati seorang ayah, semoga bisa menjadi pemberi semangat dalam rumahtangga dan urusan dakwahmu. 









Wahai bakal imam puteriku,
Adalah aku, wali puteriku. Amanahku kini kuserah padamu. Nafkahilah dia, curah kasih dan cinta lebih dari yang ku berikan kepadanya. Jadilah imam kepada puteriku di dalam mahu pun di luar solat agar cinta yang bersemi tetap utuh dalam redha Ilahi.

"Sesungguhnya wanita itu diciptakan dari rusuk lelaki, bukan dari kepalanya untuk dijunjung, bukan dari kakinya untuk dijadikan pengalas. Tetapi dari sisinya dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dicintai."

Dulu esakkannya bersandar di bahuku, maka tangisannya kini ku serah padamu. Bukanlah bermakna, dia bukan milikku cuma fitrahnya dia perlukanmu. Belailah dia dengan penuh kesabaran dan didikan rohani yang mencukupi sebagai bekalan di alam perkahwinan dunia dan akhirat insyaAllah.

Daripada Anas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Wanita ini paling mudah masuk syurga dan juga paling senang masuk neraka. Jadikanlah dia wanita syurga, supaya dia mengerti benar akan maharnya. Taat itu bukanlah hanya pada nama, indah ia pada maksudnya.

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong keatas sebagaian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (at-Taubah : 71)

Dalam sesebuah keluarga, suami dan isteri adalah ibarat otak kanan dan otak kiri. Jika rosak salah satu, maka rosaklah seluruh anggota badan, maka lumpuhlah keluarga. Kelebihan yang telah Allah kurniakan berbeza-beza antara suami dan isteri perlu dimanfaatkan sebaiknya demi kelangsungan perhubungan.

Ada sesuatu pada suami yang tidak ada pada isteri, dan ada juga sesuatu pada isteri yang tidak ada pada suami. Sebab itulah Allah jadikan kita semua unik. Tutup segala kekurangan sebelah pihak dengan kelebihan sebelah pihak yang lain. Apabila masing-masing berlapang dada dan saling menerima, barulah Allah berkati keluarga kita.

Moga kamu mengerti benar maksudku, pikullah amanah Allah ini sebaiknya. Apa yang kuharapkan darimu hanyalah kesolehanmu kerana, apabila kecantikan yang diharapkan, hanya kesia-sian yang akan diperolehi. Jika dakwah menjadi pilihan, maka izinkanlah. Semoga keindahan syurga itu milik pencinta sejati. Selamat bercinta hingga ke syurga wahai anak-anakku!



READ MORE

MASIHKAH ADA HARI ESOK UNTUKKU?



Detik demi detik berlalu, usia semakin menjangkau ke 24 tahun, namun hamba masih begini. Hijrah dan anjakan paragdima bagai fantasi di dunia realiti. Tuhan hamba tahu diri terlalu banyak dosa. Semalam hamba merintih padaMu, hari ini hamba masih berdosa sama. Hamba terus lalai dan leka mendambakan dunia. Masihkah ada hari esok untuk hamba berubah wahai Tuhan?

“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl: 97)

Dosa semalam masih menyengat. Meninggalkan sisa baki penyesalan untuk mencuri perhatian Tuhan bukan makhluk penciptaannya. Berbuat dosa kepada manusia tidak sama berbuat dosa kepada Tuhan. Berharap kepada manusia tidak sama berharap kepada Tuhan.

Manusia itu, seberapa hebat pun di mata kita, jangan pernah berharap kepadanya. Kerna, sehebat mana pun, yang namanya makhluk, tidak akan pernah memberikan pertolongan kepada kita tanpa izin Allah SWT. Dan pada dasarnya, semua mahluk sama dengan kita, iaitu selalu berhajat memohon bantuan kepada Allah. Ketahuilah bahawa makhluk itu sangat lemah dan tidak memiliki daya serta kekuatan apapun selain dari yang diberikan oleh Allah, dan makhluk hanyalah jalan pertolongan Allah untuk kita.




Bila mana kita telah benar-benar hanya bergantung kepada Allah, kita akan menyedari bahawa Allah SWTlah yang lebih berkuasa daripada segala mahluk yang berkuasa. Kekuasaan Allah meliputi kekuasaan orang-orang yang berkuasa. Allahlah yang menggenggam jiwa-jiwa orang yang berkuasa. Allahlah yang menggenggam nasib dan takdir kita.

Jadi setelah kita menyedari dan menerapkan seteguh keyakinan di dalam hidup kita, percayalah! Allah SWT akan memberikan pertolongan dan perlindungan pada kita. Kekuatan Allahlah yang akan menolong kita, yang akan mengampunkan segala dosa kita, kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Maha Kuasa atas segala sesuatu. Hidup kita, pekerjaan kita, lingkungan di sekitar kita, semua berada dalam pantauan Allah, dan Allah tidak akan pernah mensia-siakan keyakinan hambaNya yang besandar padaNya.




BERKATI USIA INI WAHAI TUHAN

"Kau ada duit banyak mana pun, kau tak boleh bayar Allah untuk panjangkan umur kau."


Kejadian apa pun yang engkau temui, sungguh pena telah mengering, qadha telah ditetapkan, qadar telah selesai diputuskan, segala ketetapan telah selesai ditulis, pena telah diangkat dan lembaran telah mengering. Mati tidak mengenal masa, pangkat, nama, harta darjah kesolehan.

Manusia yang tidak takut mati adalah manusia yang sentiasa takut dengan Allah. Disebabkan ketakutannya kepada Allah itulah membuahkan keberanian yang sejati untuk menempuh alam yang lain demi bertemu dengan Penciptanya. Dalam riwayat menceritakan bahawa Allah berfirman dalam Hadith Qudsi :

"Aku tidak menghimpunkan dua ketakutan kepada seorang hambaKu, dan Aku tidak memberi dua kelapangan fikiran kepada seorang hamba. Sekiranya seorang itu tidak takut kepadaku di dunia ini, maka Aku akan membuat dia takut di akhirat nanti, Sekiranya di dunia ini dia sentiasa takut kepadaKu, maka Aku akan menyelamatkannya dari segala ketakutan”

Kiranya wasilah umur ini dapat mendekati Allah, pasti pertemuan yang Maha Agong menjadi igauan. Allah SWT menyedarkan kita hakikat kemanusiaan tidak lari daripada kerisauan tentang ajalnya. Umur yang diberi pinjaman sedang menanti detik waktu untuk ditarik semula pada bila-bila masa dan di mana jua.

Maksimumkanlah faedah umur kita dan tolonglah orang lain untuk manfaatkan masa dalam menyambung misi dakwah Rasulullah SAW. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah penggunaan waktu! Bersegeralah! Kerana sabda Nabi SAW bermaksud : "Bertindak segeralah melakukan amal" (diulang 7 kali)

“Wahai Tuhanku, jika Kau jadikan umur ini sebagai ujian dan masa sebagai dugaan, dan Kau uji kami dengan perasaan yang terpendam dalam diam yang tak bertepian. Ketahuilah Tuhanku, separuh dari ujian sudah kami lalui dengan lelah sekali. Saat Kau tuliskan takdir yang menyakitkan, Kau selimuti hati kami dengan harapan agar esok kami bangkit dan teruskan kehidupan. Dan ternyata sehingga sampai waktu ini, tidak pernah ada ragu untuk berpaling dari doa-doa semalam. Moga Kau berkati umur dan segala amalan kami. "

READ MORE

THE MOST POPULAR POST