TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label BAITUL MUSLIM. Show all posts
Showing posts with label BAITUL MUSLIM. Show all posts

ZINA HATI YANG ISLAMIK ROMANTIK



Bila melayari Facebook, kita selalu disajikan dengan tatapan gambar-gambar perkahwinan sama ada sahabat kita sendiri mahu pun kenalan di Facebook. Terkadang kita keliru.

Ini gambar perkahwinan atau pun pertunangan?

Mana taknya, kalau berkahwin kenapa kita tidak dijemput bersama? Kalau bertunang mengapa harus ditayangkan kepada umum? Padahal yang melakukannya bukan orang sebarangan. Ahli jemaah sendiri. Orang berfikrah islami pula.

Tidakkah tindakan mereka ini berisiko tinggi? Apakah pesanan Rasulullah SAW?
Tidakkah mereka belajar cara islam? Apa yang telah islam gariskan dalam bab ini?

Pertunangan adalah suatu komitmen yang BELUM PASTI. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu TIDAK dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik. Ia dijelaskan demikian di dalam Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil. - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

Kerahsiaan pertunangan itu juga menjadikan kita terkawal dari berkelakuan seperti sudah bersuami isteri kerana hakikatnya seorang lelaki dan perempuan yang bertunang, masih asing dan sedang berada di medan ujian mengawal diri. Mereka perlu bijak mengatur komunikasi dengan pasangan yang bakal menemani hidup. Selama-lamanya sampai mati.



ZINA HATI YANG ISLAMIK ROMANTIK

Bagi ana, ramai yang mengatakan mereka cuba menjaga hubungan yang belum pasti ini tetapi terperangkap dalam masalah hati atau kita panggil zina hati yang "Islamik Romantik". Berbau islam, tetapi membawa kepada masalah hati yang parah.

Sebaiknya kita tetapkan hati, pendirian dan besederhana. Ana pasti, InsyaAllah kalau kedua-dua pihak memahami tujuan sebenar perkahwinan, mengikut saluran yang sebenarnya, mengambil jalan sederhana dan wara’ dalam menjaga batasan, dengan izin Allah prosesnya akan tenang sahaja.


Melainkan keperluan tentang perancangan yang penting. Sebaiknya elakkan telefon kecuali bagi yang benar-benar "urgent" dan boleh menjaga hati serta tiada jalan lain untuk berbincang. Seperti ke rumah dengan ibu bapa atau melalui orang tengah.

Juga fokuskan kepada perancangan perkahwinan dan self improvement. Sebab ramai yang asyik masyuk dalam alam bertunang terlupa nak mempersiapkan diri untuk alam rumahtangga.


Mungkin bagi sesetengah individu, banyak cabaran semasa bertunang. Setengah yang lain biasa-biasa sahaja. Semuanya sesuai dengan apa yang Allah beri. Usah difikir banyak, tidak perlu melayan perasaan semasa bertunang. Fokuskan kepada kehidupan yang sedang dijalani sekarang. Berhubung, minimakan seminimanya.

InsyaAllah, tiada resah gelisah. Tiada masalah.

Berkahwin cuma sekadar satu wasilah. Cinta bukan segalanya. Namun segalanya yang dimulai dengan niat yang ikhlas, cara yang sohih dan barakah akan menimbulkan cinta wajar selepas perkahwinan.

Untuk para daie, jagalah agamamu di mana sahaja kalian berada. Jadikan perkara ini sebagai sesuatu yang wajib kerana "beban" dakwah tergalas kemas di bahu kita. Jika kita tidak menjaga amanah ini, siapa lagi. Usahlah menayangkan benda yang tidak sepatutnya di ruangan umum. Juga elakkanlah gambar perkahwinan yang melebih-lebih. Cukup sekadar makluman.

Sekali lagi.

Jagalah agamamu. Maka Allah akan menjaga kebajikanmu dan mempermudahkan urusanmu.

READ MORE

MUSLIMAT TU BUKAN "TASTE" KAMI







MENGENALI SEJARAH HAWA

Asalkan mempunyai kromosom XX, daripada perkataan 'hawa' beranak pinak menjadi perkataan yang seerti dengannya iaitu :
- gadis
- wanita
- perempuan
- muslimat
- betina

Golongan hawa ini sinonim dengan sifat lemah lembut, ayu, sopan santun, berbudi bahasa dan mudah sensitif. Tetapi tidak semua yang begitu. Ada juga di kalangan mereka yang agresif, aktif dan lincah. Jiwa mereka sangat kental seperti seorang lelaki. Kadang kala lebih isi daripada kuah. Terkehadapan dan memimpin segerombolan pemuda.

Tetapi tahukah kamu wahai lelaki, wahai kaum muslimin?

Wanita (muslimat) yang nampak lembut di luar tak semestinya lembut di hati. Dan wanita yang nampak keras di luar tak semestinya keras di hati. Barangkali yang lembut di luar, sangat degil dan keras kepala! Dan yang keras di luar, jiwanya sangat lembut, mudah tersentuh dan mudah memaafkan orang. 

Pernah jumpa orang sebegini? Ramai bukan?

Ada segolongan kelompok yang menjadi pujaan persatuan, organisasi, gerakan mahu pun jemaah. Tetapi sayangnya mereka tidak tersenarai sebagai pilihan hati si muslimin untuk berlayar di bahtera yang sama. Bukan "taste" mereka katanya. 

"Dah.....sudah!" keluh seorang muslimat yang runsing dengan proses baitul muslimnya yang lambat.
Kasihan mereka. Macam-macam ragam yang mereka terpaksa telan.




ADUHAI MUSLIMAT, KASIHAN KAMU

Muslimat yang telah dikategorikan sebagai aktif, outspoken , lincah, suka merayau ke sana sini, jenis yang tak boleh duduk diam, superbusy women, minah rempit, berkepimpinan, berwibawa dan tegas adalah kelompok yang sangat EKSLUSIF untuk tuntutan jemaah.

Tetapi muslimat yang lemah lembut pendiam, humble, pandai  masak, mengemas, suka terperok dalam bilik dan kurang mendedahkan mukanya di khalayak ramai adalah kelompok INKLUSIF untuk tuntutan baitulmuslim.

Golongan lemah lembut ini bagai "pisang goreng panas" begitu terlaris di pasaran. Menjadi rebutan di mata-mata yang mengintai peluang. Sebolehnya mahu setel cepat, nak cepat cop sebelum dicop dan dikebas orang lain. Lebih-lebih lagi jika ada added value seperti bentuk fizikal tubuh badan.

Sudahlah bilangan muslimin sedikit, muslimat pula ramai, dicarinya pula bukan sefikrah. Kasihan si muslimat. Terpampan dek ragam muslimin. Mahu diluah, takut tidak bertempat. Hanya memendamkan rasa di sebalik wajahnya yang tegas.

Maaf kepada sesiapa yang terasa. Sedar atau tidak kita telah menganiyai dan menzalimi saudara kita, sahabat kita. Jika semua muslimin punya persepsi sedemikian rupa, apa akan jadi pada nasib muslimat yang lain?

Tidakkah kita melihat ramai muslimat yang sudah lama grade masih lagi tidak berkahwin? Mereka dengan sabar sanggup menanti bagai "bulan jatuh ke riba", yang ditunggu tidak pula kunjung tiba. Justeru, timbullah pula peribahasa "gajah di seberang nampak, kuman di depan mata tak nampak" di mulut orang kampung.

Oleh kerana tidak sanggup digelar andartu, berkahwinlah mereka dengan sesiapa. Sama ada orang yang bukan sefikrah atau pun langung tiada fikrah itu bukan isu utama. Berita buruknya, futur pula semakin mengintai-ngintai alam rumahtangga mereka.

Siapakah yang bersalah dalam hal ini?

Walau sesiapa pun yang bersalah, pokok pangkalnya unit baitulmuslim perlu proaktif dalam tangani isu ini. Kenal pasti siapakah yang telah dan bakal hadapi dilema ini. Jejaki mereka. Jangan sampai satu masa nanti ada bibir yang gatal menyalahkan jemaah kerana tidak tolong mereka.

Kita mahu lahirkan generasi seperti sosok tubuh Sultan Muhammad Al Fateh. Untuk itu kita perlu serius dan cerdik dalam merancang. Masing-masing perlu hadirkan rasa tanggungjawab dan korbankan nafsu untuk perjuangan islam yang panjang.

Muhasabahlah wahai jundullah.
Dan kerana Tuhanmu, maka bersabarlah.

READ MORE

"SAYA SANGAT BAHAGIA BERSAMA AWAK"


Bila hati saya rasa bahagia, saya tak akan lupa untuk mengucapkan alhamdulillah kepada Allah. Saya berharap semoga dengan rasa syukur ini akan memberi kehangatan cinta yang luar biasa. Biarlah getaran perasaan ini dalam frekuensi iman. Hakikat bahagia itu bila ia membahagiakan selama-lamanya.

Tidak perlu bohong pada diri. Jujur sahaja bila hati sudah suka. Bahagia itu amat luas maknanya, jangan sempitkan hanya kerana derita lama. Setiap orang punya ceritera kehidupan yang berbeza. Begitu juga dengan saya, awak dan dia. Carilah erti bahagia. Ia ada di dalam rasa.

Bahagia itu mahkota di singgahsana rasa. Bahagia itu suatu ketenangan. Bila susah tiada gelisah, bila miskin selalu tetap bersyukur kepada Tuhan, bila sakit tiada resah di jiwa.

Bahagia itu suatu kesyukuran. Bila kaya menjadi insan pemurah. Bila berkuasa ia amanah. Bila berjaya ia tidak alpa. Bila sihat ia tidak lupa kepada Tuhan. Bila berhubungan ia sentiasa setia pada yang satu.

Sama juga dalam konsep memberi.

Bila kita hendak membahagiakan orang lain, insyaAllah kita akan terlebih dahulu diberi rasa bahagia. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti dahulu berbau harum. Orang yang bebuat baik dengan hati yang ikhlas dan penuh dengan kasih sayang, tidak akan dikecewakan Allah.

Selagi nafas masih terhela, hargailah insan-insan di sekeliling kita. Terutamanya insan yang amat menyayangi diri dan hati kita. InsyaAllah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir.

Mulakan dengan pandangan kasih yang paling dalam cintanya. Katakan pada dia "saya sangat bahagia bersama bersama awak. Terima kasih kerana sudi hadir di dalam hidup saya". Sebarkan rasa cinta ini kepada semua, biar dunia mengerti rasa bahagia yang sebenar. 

Lantaran itu, curilah masa sepertiga malam. Kucuplah dahi sejadah sambil mengulang-ulang ayat-ayat cinta kepada-Nya. Pasti jiwa terasa aman, bahagia dan tenang.

Kebahagian itu adalah ketenangan, bila hati sentiasa mengingati Allah. Firman Allah SWT "Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang"

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Mungkin rasa bahagia ini adalah terakhir buat kita. Jangan lepaskan. Jangan sekali-kali tinggalkan. Agar rasa bahagia membumbung tinggi, tiada sempadan, tiada sekatan, alirkan ia ke daerah kesyukuran yang paling tawadu'.

READ MORE

IDAMAN PARA JEJAKA



Jika ditelusuri dalam lembaran al-Quran, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting.

1. Wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.

2. Wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

3. Wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.

Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini.

Mereka adalah wanita contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan Islam. Sehubungan itu, Baginda Rasulullah SAW bersabda :

"Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia ; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun ; Maryam binti Imran, ibunda Isa ; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah SAW dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda." (Riwayat Bukhari)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah. Meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

Maryam pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah. Wanita ini mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.

Manakala Khadijah pula adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam. Berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah.

Akhirnya, Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah. Anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya. Isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang setiap detik kehidupan yang dilaluinya.

Sewajarnya dijadikan ikutan para Muslimah.

Demikianlah antara beberapa profil wanita Muslimah contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Apa yang paling penting ialah wanita yang bergelar isteri solehah. Menjadi pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya. Penyejuk hati ibu bapa dan saham akhirat yang pahalanya berkekalan, biarpun ibu bapanya lama meninggal dunia.

Dengan agamanya itu, seseorang ibu akan “mewariskan” segala ilmu agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat. Bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah.

Lantaran itu, agama inilah ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi seseorang hamba. Perhiasan akhlak terpuji, pengisi ruang kekosongan jiwa dengan keimanan dan ketakwaan. Pembimbing kehidupan ke arah keredaan Ilahi.

Wanita solehah.

Allah tidak selalu memberi apa yang kita harapkan, tetapi Allah memberikan apa yang Dia inginkan. Itulah jalan Allah.

READ MORE

MEMBERSIHKAN PERKATAAN CINTA

Di atas nama cinta, bersihkan ia. Sucikan ia agar tiada sekelumit pun kekotoran yang melekat. 


Sekarang adalah saat yang tepat bagi kita untuk mendeklarasikan cinta di atas pentas yang bersih. Jika proses dan seruan dakwah sentiasa mengusung pembinaan keperibadian manusia, maka layaklah kita tempatkan tema cinta dalam tempat utama.

Kita sedari kerosakan perilaku generasi hari ini, sebahagian besar dilandasi oleh salah tafsir tentang cinta. Terlalu banyak penyimpangan terjadi. Cinta didewakan dan dijadikan lesen melakukan pelanggaran. Dan tema tayangan pun mendeklarasikan cinta yang dangkal. Hanya ada cinta untuk sebuah persaingan sengketa.

Sementara cinta untuk sebuah kemuliaan, kerja keras dan pengorbanan, serta jambatan ke syurga dan kemuliaan Allah, tidak pernah mendapat tempat di sana.

Sudah cukup banyak pentas kejujuran kita lakukan. Sudah terbilang jumlah pengakuan keutamaan kita, sebuah dakwah yang kita gagaskan, Sudah banyak potret keluarga yang baru dalam masyarakat yang kita tampilkan.

Namun berapa banyak deklarasi cinta yang sudah kita nyatakan?

Cinta masih menjadi topik ‘asing’ dalam dakwah kita. Wajah, warna, ekspresi cinta kita masih terkesan ‘misteri. Pertanyaan sederhana, “Bagaimana kamu boleh berkahwin dengannya, adakah kamu cintakan dia?”, dapat kita jadikan petunjuk betapa dhoifnya kita mengalisis cinta suci dalam dakwah ini.

Pernyataan ‘Nikah dulu baru bercinta’ masih menjadi isu yang menyimpan pertanyaan misteri, “Bagaimana caranya, memang boleh ke?”. Sangat payah bagi masyarakat kita untuk mencerna dan memahami logik isu tersebut.

Terutamanya kerana pengisian informasi media tayangan, bacaan, diskusi dan interaksi umum, sama sekali bertolak belakang dengan isu tersebut.

Inilah salah satu alasan penting dan mendesak untuk mengetengahkan cinta dengan kewujudan yang baru.

Cinta yang lahir sebagai sebahagian daripada penyempurnaan status hamba.
Cinta yang diberkati kerana taat kepada sang Penguasa.
Cinta yang menjaga diri daripada penyimpangan dan perbuatan ingkar terhadap nikmat Allah.
Cinta yang berorientasi bukan sekadar jalan berdua, makan, menonton dan saat romantik yang berdiri di atas pengkhianatan terhadap nikmat, rezeki, dan amanah yang Allah berikan kepada kita.

Kita ingin menjelaskan lebih mendalam kepada masyarakan tentang cinta ini. Sehingga masyarakat tidak hanya mendapatkan hasil akhir keluarga dakwah. Biarkan mereka faham tentang perasaan seorang ikhwan terhadap akhwat, tentang perhatian seorang akhwat pada ikhwan, tentang cinta ikhwan-akhwat, tentang romantiknya ikhwan-akhwat dan tentang landasan ke mana cinta itu bermuara.

Inilah agenda topik yang harus lebih banyak dibuka dan dibentangkan!

Diperkenalkan kepada masyarakat tentang mekanisme untuk menyertainya. Paling tidak gambaran besar yang menyeluruh dapat dinikmati oleh masyarakat, sehinggakan mereka mampu mengerti bagaimana proses tempoh panjang yang menghasilkan potret keluarga dakwah hari ini.




JAGA KESUCIAN CINTA

Setiap kita yang mengaku sebagai putera puteri Islam, setiap kita yang berjanji dalam kafilah dakwah, setiap kita yang berbai’ah Allahu Ghoyatuna, maka jatuh cinta dipandang sebagai jalan jihad yang menghantarkan diri kepada cita-cita tertinggi, syahid fi sabilillah.

Inilah perasaan yang istimewa!

Perasaan yang menempatkan kita pada satu tahap lebih maju. Dengan perasaan ini, kita mengambil jaminan kemuliaan yang ditetapkan Rasullulah SAW. Dengan perasaan ini kita memperluaskan ruang dan peluang dakwah kita.

Dengan perasaan ini kita menaikkan marhalah dalam dakwah dan pembinaan. Allahukhbar!

Nabi SAW bersabda:“ Sesiapa yang menyintai kerana Allah, membenci kerana Allah, memberi kerana Allah dan menegah kerana Allah sesungguhnya telah sempurna imannya.”. Hadis riwayat Tirmizi (2521), Abu Daud, Ahmad dan Hakim dengan sanad yang hasan.

READ MORE

DILEMA MENCARI PASANGAN HIDUP


“Cari-carilah pasangan hidup betul-betul oh kawan. Bahagia berseri rumahtangga akan harmoni…”
Bergema satu bilik lagu nasyid Kumpulan Rabbani, “cari pasangan”. Menghayati liriknya sungguh bermakna. Membelai jiwaku yang selama ini dilanda dilema hidup. Hatiku kosong dan menderita dahagakan sebuah kasih buat peneman hidup.

Mencari seorang calon isteri yang solehah bukanlah kerja senang. Ia diumpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka semakin susah untuk dapat.

Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat. Lewat menunaikan seru.


**************

“Sebelum kita kaji dan telek bakal isteri, paling afdal kita telek diri kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita,” pesan sahabatku suatu masa dahulu di alam kampus.

“Nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan dulu diri kita. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah untuk bakal suami yang soleh. Tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh.”

“Tapi, ada jaminan ker kita akan mendapat bakal isteri yang solehah?” tanyaku dengan muka mengharap.
“Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah.

Jodoh adalah kerja Allah. Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat.”

“ Teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi,”

Benar.

Bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi?

Jika ada yang kurang pada bakal zaujah, si suami perlu tampung selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa tidak boleh diambil remah. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan.

Aku juga sedar kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya. Itu adalah silap tafsir.

Ya Allah, layakkah aku untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta aku pada Pencipta manusia itu masih belum mantap? Aku hamba yang lemah cuma mengharap yang halal bagiku untuk kubina istana cinta dengan penuh barakahMu.

Terimalah permohonan hamba hina ini Rabb.

READ MORE

"ABANG, BUKAN MENCINTAIMU SEKADAR CINTA"



Membelek-belek album perkahwinan begitu mengasyikkan. Bahagia yang teramat sangat. Alhamdulillah, akhirnya aku dan abang selamat disatukan. Masih segar lagi di kotak minda bagaimana abang mendidik, memandu dan membantu aku cara bercinta. Ya, cinta kerana Allah.

"Sayang, sayang masih ingat lagi tak kata-kata abang sebelum kita nikah?" dengan sekuntum senyuman yang manis, bicaranya sungguh lembut mencuit kewanitaanku.

"Hehe..mestilah sayang ingat lagi abang. Siap tulis dalam diari sayang lagi. Abang beritahu sayang waktu tu dengan air muka penuh penegasan :

“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )

Sayang mengerti benar maksud abang. InsyaAllah abang, kita diikatkan kerana agama Islam. Hati kita ditautkan kerana mencari keredhaan Allah. Nafsu kita diikat bersama kerana takutnya kita kepada Allah. Iman kita saling diteguhkan kerana kita bermujahadah mencari cinta halal. Abang, kita saling jatuh cinta kerana jalan dakwah ini membawa cinta kita insyaAllah hingga ke istana syurga."

Suasana begitu sepi. Hanya kedengaran sayup-sayup dari luar bilik lagu nasyid "Lafaz Sakinah" yang dipopularkan oleh kumpulan nasyid Far east.

"Ya sayang...Di jalan dakwah ini abang menikahimu. Abang mahukan yang terbaik bagi kita. Cinta yang kita ukirkan perlu ada prinsip dan ketegasan agar tiada contengan fitnah di dahi seorang muslim seperti sabda Nabi SAW :

“Perempuan itu dinikahi karena empat faktor iaitu agama, martabat, harta dan kecantikannya. Pilihlah perempuan yang baik agamanya. Jika tidak, nescaya engkau akan menjadi orang yang rugi” (HR Bukhari dan Muslim).

Sayang, ayah abang sendiri juga berpesan untuk serius menjaga amanah dan kepercayaan ini. Berkali-kali dia mengingatkan abang, sayang :

"Siapa yang menikah kerana menginginkan kehormatan maka dia akan hina. Siapa yang menikah kerana harta maka dia akan menjadi miskin. Namun siapa yang menikah kerana agamanya maka Allah akan kumpulkan untuknya harta dan kehormatan di samping agama."

Sayang, wajah cantik dan sifat luaran tidaklah penting, yang paling penting adalah sebuah hati yang sungguh mencintai Allah dan memiliki keinginan untuk mendekati Allah. Abang tidak perlukan seorang isteri yang hanya mencintai abang dan menjadi teman hidup, tetapi dapat juga menasihati ketika abang berbuat kesalahan. Seorang isteri yang mencintai bukan kerana apa yang ada pada diri abang tetapi kerana hati abang.

Hati abang ini sayang sebenarnya sudah menduakanmu setelah lafaz akad nikah menjadi saksi kepada pengorbanan ini. Usahlah sayang terkejut. Abang percaya, kerana agama sayang sanggup dimadukan."

Sepi.

Diramasnya jari-jemariku dan dikucup berulang kali dengan penuh kasih sayang. Aduhai abang...betapa mulianya hatimu. Tiada yang lebih indah jika hidup bermadu abang.

"Sayang....sayang sudi melepaskan abang jika benar itu kehendak abang. Sayang percayakan abang."

Dengan tidak semena-mena air mata turun membanjiri pipiku. Teresak-esak aku menahan sendu. Sungguh, kau buat aku cair dan lemah dengan belaian cinta yang hadir ikhlas dari hatimu.

"Ish...kenapa menangis ni sayang? Kan dah tak comel gitu. Hehe...Sayang jangan salah faham pula ya. Abang menikahi sayang sebagai isteri kedua abang manakala isteri pertama abang adalah dakwah seperti kata-kata syeikh mustafa masyhur :

"Aku memiliki 2 isteri. Isteri pertamaku adalah dakwah. Isteri keduaku adalah isteriku sekarang. Jika bertembung antara keduanya, akan aku utamakan isteri pertamaku."



"Tidaklah sayang salah faham abang cuma sayang amat terharu dan bersyukur punya suami seperti abang. Kesetiaan abang kepada agama menambahkan kehangatan kebahagiaan baitul muslim kita. Sebagaimana abang berprinsip :

“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )

Sayang juga redha abang.

Abang, kahwinilah sayang jika cinta abang kepada Allah melebihi cinta sayang. Tinggalkanlah sayang jika cinta abang kepada sayang melebihi cinta Allah."

"Sayang, abang sangat mencintai sayang kerana Allah. Abang amat menyayangi sayang kerana aqidahmu. Abang menghormati sayang kerana kesucian yang sayang pertahankan selama ini. Bantulah abang menjadi seorang imam yang lulus dalam ujian pengorbanan. Jadilah pemberi semangat, sehingga abang dapat mendukung amanah perjuangan setiap hari.

Emm...Malam makin larut sayang. Mari kita bersiap-siap dahulu sayang. Kita solat sunat berjemaah dahulu ya sebelum tidur. "

Dengan lirikan mata yang manja abang memimpin aku bangun untuk ke bilik wudhu'.

Betapa besarnya Allah SWT kerana Dia telah memberikan kepadaku seseorang yang dapat membuat hidupku menjadi lebih sempurna. Aku mengetahui bahawa Dia menginginkan kami bertemu di jalan dakwah dan membuat segala sesuatunya indah pada waktu yang telah Dia tentukan. Kerana sesungguhnya aku mencintai dirinya keranaMu Ya Allah.

“Ya Tuhan kami, jangan engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi engkau , kerana sesungguhnya engkaulah Maha Pemberi Kurniaan” (Ali Imran:8)
“Wahai Allah, aku meminta kepadaMu kecintaan kepadaMu. Kecintaan kepada orang yang mencintaimu. Serta aku meminta amalan yang dapat menghantarkan aku kepada cintaMu.”

Abang, aku mencintaimu bukan sekadar cinta. Ku bina mahligai cinta ini di atas tapak berasaskan dakwah.

READ MORE

"JADIKANLAH DIA WANITA SYURGA"




Bermula lafaz bismillahirrahmanirrahim, dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, coretan ini khas ditujukan buat tatapan puteriku dan bakal imamnya.

Wahai puteriku,
Saat dirimu masih menjadi asuhan ayah dan ibu, tidak lain doa kami supaya dirimu menjadi anak yang solehah, agar kelak dapat menjadi tabungan dan peneman di alam yang satu. Namun nanti, setelah dirimu bergelar isteri, aku berharap agar dirimu menjadi pendamping yang setia buat si soleh.

Kini, aku merelakan pemergianmu walau rasa berat di hati hanya Allah yang tahu. Sebaknya ayah, tangisnya ibu sebagai tanda kami merestuimu wahai puteri kesayangan.

"Ya Allah..Engkaulah yang telah membukakan pintu hatinya untuk jatuh cinta kepada agamaMu dan insan pilihanmu. Maka kepada Engkau jualah ku harapkan agar hatinya kembali, beri'tiqad membenarkan syahadahmu dalam kehidupannya dan Kau restuilah perhubungannya wahai Tuhan, Pemilik Sinar Kebahagiaan". Subhanallah..

Andai dirimu berjaya menanamkan sifat sabar dan tolak ansur ke dalam sikapmu, maka kukuhkanlah ianya sehingga ke akhir hayatmu. Dengan sifat ini, percayalah bahawa kamu bakal membawa hati dan kehidupan suamimu dalam beroleh kebahagiaan menjadi pemimpin yang terbaik dalam rumahtangga. Sesungguhnya, sabar dan tolak ansur lahir dari hati yang ikhlas dan tiada menyimpan apa jua perasaan yang negatif.

Diriwayatkan dari Jabir berkata,Rasulullah SAW bersabda ; Orang beriman itu bersikap ramah dan tidak ada kebaikan bagi seorang yang tidak bersikap ramah. Dan sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat bagi manusia (HR. Thabrani dan Daruquthni)

Bahagialah puteriku, bila mana masalah datang menguji suatu ketika nanti. Cekalkanlah hasrat di hati. Semoga kesusahan bisa mengajar erti kematangan dan ketabahan. Orang-orang yang paling berbahagia tidak selalu memiliki perkara terbaik, mereka hanya berusaha menjadikan yang terbaik dari setiap perkara yang hadir di dalam hidupnya. Bila Allah ada di dalam hatimu, kamu seolah-olah memiliki segala-galanya.

Itulah antara kunci ketenangan dan kebahagiaan dalam perkahwinan wahai puteriku. Bukan sekadar curahan hati seorang ayah, semoga bisa menjadi pemberi semangat dalam rumahtangga dan urusan dakwahmu. 









Wahai bakal imam puteriku,
Adalah aku, wali puteriku. Amanahku kini kuserah padamu. Nafkahilah dia, curah kasih dan cinta lebih dari yang ku berikan kepadanya. Jadilah imam kepada puteriku di dalam mahu pun di luar solat agar cinta yang bersemi tetap utuh dalam redha Ilahi.

"Sesungguhnya wanita itu diciptakan dari rusuk lelaki, bukan dari kepalanya untuk dijunjung, bukan dari kakinya untuk dijadikan pengalas. Tetapi dari sisinya dekat dengan lengannya untuk dilindungi dan dekat dengan hatinya untuk dicintai."

Dulu esakkannya bersandar di bahuku, maka tangisannya kini ku serah padamu. Bukanlah bermakna, dia bukan milikku cuma fitrahnya dia perlukanmu. Belailah dia dengan penuh kesabaran dan didikan rohani yang mencukupi sebagai bekalan di alam perkahwinan dunia dan akhirat insyaAllah.

Daripada Anas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Wanita ini paling mudah masuk syurga dan juga paling senang masuk neraka. Jadikanlah dia wanita syurga, supaya dia mengerti benar akan maharnya. Taat itu bukanlah hanya pada nama, indah ia pada maksudnya.

"Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong keatas sebagaian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan sembahyang menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (at-Taubah : 71)

Dalam sesebuah keluarga, suami dan isteri adalah ibarat otak kanan dan otak kiri. Jika rosak salah satu, maka rosaklah seluruh anggota badan, maka lumpuhlah keluarga. Kelebihan yang telah Allah kurniakan berbeza-beza antara suami dan isteri perlu dimanfaatkan sebaiknya demi kelangsungan perhubungan.

Ada sesuatu pada suami yang tidak ada pada isteri, dan ada juga sesuatu pada isteri yang tidak ada pada suami. Sebab itulah Allah jadikan kita semua unik. Tutup segala kekurangan sebelah pihak dengan kelebihan sebelah pihak yang lain. Apabila masing-masing berlapang dada dan saling menerima, barulah Allah berkati keluarga kita.

Moga kamu mengerti benar maksudku, pikullah amanah Allah ini sebaiknya. Apa yang kuharapkan darimu hanyalah kesolehanmu kerana, apabila kecantikan yang diharapkan, hanya kesia-sian yang akan diperolehi. Jika dakwah menjadi pilihan, maka izinkanlah. Semoga keindahan syurga itu milik pencinta sejati. Selamat bercinta hingga ke syurga wahai anak-anakku!



READ MORE

“SAYA SUDAH BERANI UNTUK JATUH CINTA?”



Suatu ketika, dalam majlis koordinasi seorang akhwat berkata pada mas’ul dakwahnya, “akhi, ana tidak mampu lagi berinteraksi dengan akhi fulan”. Suara akhwat itu bergetar. Nyata sekali menekan perasaannya.

”Bulan lalu, ikhwan tersebut membuat pengakuan yang membuat ana merasa risau dan….Afwan, terus terang juga tersinggung.” Sesaat kemudian suara dibalik hijab itu mengatakan….ia jatuh cinta pada ana.”

Mas’ul tersebut terkejut, tapi ditekannya getar suaranya. Ia berusaha tetap tenang. “Sabar ukhti, jangan terlalu diambil hati. Mungkin maksudnya tidak seperti yang anti bayangkan.” Sang mas’ul cuba menenangkan terutama untuk dirinya sendiri.

“Afwan…ana tidak menangkap maksud lain dari perkataannya. Ikhwan itu mungkin tidak pernah berfikir impak perkataannya. Kata-kata itu membuat ana sedikit banyak merasa gagal menjaga hijab ana, gagal menjaga komitmen dan menjadi penyebab fitnah. Padahal, ana hanya berusaha menjadi bahagian dari perputaran dakwah ini.” sang akhwat kini mulai tersedak kelu.

“Ya sudah…Ana berharap anti tetap istiqamah dengan kenyataan ini, ana tidak ingin kehilangan ahli-ahli pendakwah oleh permasalahan seperti ini”. Mas’ul itu membuat keputusan, “ana akan ajak bicara langsung akhi fulan”

Beberapa waktu berlalu, ketika akhirnya mas’ul tersebut mendatangi fulan yang bersangkutan. Sang Akh berkata, “Ana memang menyatakan hal tersebut, tapi apakah itu suatu kesalahan?”

Sang mas’ul berusaha menanggapinya searif mungkin. “Ana tidak menyalahkan perasaan antum. Kita semua berhak memiliki perasaan itu. Pertanyaan ana adalah, apakah antum sudah bersedia ketika menyatakan perasaan itu. Apakah antum mengatakannya dengan niat bersih yang menjamin hak-hak saudari antum?

Hak perasaan dan hak pembinaannya. Apakah antum menyampaikan kepada orang tua antum untuk diseriuskan?. Apakah antum sudah siap berkeluarga? Apakah antum sudah berusaha menjaga kemungkinan fitnah daripada pernyataan antum, baik terhadap ikhwah lain mahupun terhadap dakwah????”

Mas’ul tersebut membuat penekanan yang penting.

” Akhi bagi kita perasaan itu tidak semurah tayangan wayang gambar atau bacaan ringan dalam novel-novel. Bagi kita perasaan itu adalah sebahagian daripada kemuliaan yang Allah tetapkan untuk pejuang dakwah. Perasaan itulah yang melandasi perkembangan dakwah dan jaminan kemuliaan Allah SWT. Perasaan itulah yang membebankan kita dengan beban berat amanah ini. Maka Jagalah perasaan itu tetap suci dan mensucikan.”





CINTA AKTIVIS DAKWAH

Bagaimana ketika perasaan itu hadir. Bukankah ia datang tanpa pernah diundang dan dikehendaki?

Jatuh cinta bagi aktivis dakwah bukanlah perkara sederhana, bukan juga perkara remeh temeh. Cinta aktivis dakwah sangat berbeza dengan orang kebiasaan. Mereka adalah contoh kepada masyarakat sekeliling untuk merealisasikan keluarga baitul muslim, masyarakat islamik serta Negara Islam yang mendaulatkan hukum-hukum Allah.

Dalam konteks dakwah, jatuh cinta adalah gerbang perkembangan gerakan.
Dalam konteks pembinaan, jatuh cinta adalah naik marhalah pembinaan.
Dalam konteks keimanan, jatuh cinta adalah bukti ketundukan kepada sunnah Rosullulah SAW dan jalan meraih redha Allah SWT.

Ketika aktivis dakwah jatuh cinta, maka jelas sudah urusan prioriti cinta. Jelas, Allah SWT, Rasullah SAW dan jihad fii sabilillah adalah yang utama.

Jika ia ada dalam keadaan tersebut, maka berkatilah perasaannya, berkatilah cintanya dan berkatilah amal yang wujud dalam cinta tersebut.

Jika jatuh cintanya tidak dalam kerangka tersebut, maka cinta menjelma menjadi fitnah baginya, fitnah bagi ummat, dan fitnah bagi dakwah. Kerananya, jatuh cinta bagi aktivis dakwah bukan perkara sederhana, bukan perkara yang boleh dipandang ringan.

Kenapa pula?

Ketika Ikhwan mulai bergetar hatinya terhadap akhwat dan demikian sebaliknya. Ketika itulah cinta ‘lain’ muncul dalam dirinya. Cinta inilah yang akan kita bahas disini.

Iaitu sebuah kurnia daripada kelembutan hati dan perasaan manusia. Suatu kurniaan Allah SWT yang memerlukan bingkai yang jelas. Disebabkan terlalu banyak pengagung cinta ini yang kemudiannys menjadi hamba yang tersesat.

Bagi aktivis dakwah, cinta lawan jenis adalah perasaan yang lahir daripada tuntutan fitrah, tidak lepas daripada kerangka pembinaan dan dakwah. Suatu perasaan produktif yang dengan indah dikemukakan,” …akan lebih banyak lagi yang dapat ana kerjakan untuk agama ini, bilamana di samping ana ada laki-laki yang cekap…..daripada yang ana usahakan sebagai perempuan yang berdiri sendiri..”

Cinta memiliki 2 mata pedang.

Satu sisinya adalah rahmat dengan jaminan kesempurnaan agama dan di sisi lainnya adalah gerbang fitnah dan kehidupan yang sengsara. Kerananya jatuh cinta memerlukan persiapan dan tanggungjawab.

Bagi setiap aktivis dakwah, bertanyalah dahulu kepada diri sendiri.

"sudah bersedia untuk jatuh cinta?" Jangan sampai kita lupa, bahawa segala sesuatu yang melingkupi diri kita, perkataan, perbuatan, mahupun perasaan adalah sebagian daripada deklarasi nilai diri sebagai generasi dakwah. Sehingga umat Islam memperolehi sesuatu perkara daripada pentas kehidupan kita, iaitu kemuliaan Islam dan kemuliaan kita kerana memuliakan Islam.

Betapa Allah sangat memuliakan perasaan cinta orang-orang beriman ini.

Dengan cinta itu mereka berpadu dalam dakwah.
Dengan cinta itu mereka saling tolong menolong dalam kebaikan.
Dengan cinta itu juga mereka menghiasi bumi dan kehidupan di atasnya.

Dengan itu semoga Allah SWT memberkati nikmat jatuh cinta itu dengan lahirnya anak-anak soleh yang memberatkan bumi dengan kalimah “Laa Illaha Ilallah!”.

Inilah potret cinta yang sakinah, mawaddah, warahmah.

Jadi, sudah berani untuk jatuh cinta???

READ MORE

INILAH KELUARGAKU, INSYAALLAH


"Selain Al-Quran dan perjuangan, satu-satunya harta yang paling berharga yang DIPINJAMKAN Allah SWT kepada saya ialah KELUARGA. Setiap kecintaan yang dilafazkan memang menuntut PENGORBANAN.
Ya Allah, peliharalah kami sekeluarga dalam rahmat dan kasih sayangMu. Permudahkanlah urusan kami untuk bercinta sampai ke syurga. Amiin..."



KELUARGA "SAKINAH MAWADDAH WA RAHMAH"

Apakah yang dimaksudkan dengan lafaz ikrar sakinah?
Apa pula yang digambarkan sebagai keluarga sakinah?
Bagaimana pula caranya untuk menjadikan sesebuah keluarga itu sebagai keluarga "sakinah mawaddah wa-rahmah"?

‘Sakinah’ bermaksud tenang dan tenteram.
‘Mawaddah’ pula memberi erti bahagia.
Manakala ‘wa-rahmah’ menyatakan maksud mendapat rahmat atau bahagia.

Gambaran takrifan tersebut ada dirakam dalam surah Ar-Rum, ayat 21:

“Dan di antara tanda-tandaNya bahawa Dia menciptakan jodoh untuknya daripada dirimu (bangsamu) supaya kamu bersenang-senang kepadanya, dan Dia mengadakan sesama kamu kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang yang berfikir.”

Perkahwinan dalam Islam adalah untuk membentuk keluarga yang sempurna. Ini bermakna, keluarga sakinah bukan sahaja bererti keluarga yang tenang dan bahagia tetapi lebih daripada itu, iaitu perlunya cinta yang diberikan oleh suami kepada isteri dan keluarga dan juga sebaliknya, iaitu cinta dan taat setia isteri yang tiada berbelah bahagi terhadap suami dan keluarganya.





FORMULA BAITUL MUSLIM YANG BAHAGIA

Ketika ingin aman dan harmonis, gunakanlah formula 7 K :

1. Ketaqwaan
2. Kasih sayang
3. Kesetiaan
4. Komunikasi dialogis
5. Keterbukaan
6. Kejujuran
7. Kesabaran

Amalkan juga doa yang diajar oleh Rasulullah SAW :

“Ya Allah! berilah aku petunjuk berserta orang yang telah engkau beri petunjuk, berilah aku kesihatan yang sempurna berserta orang yang telah engkau beri kesihatan yang sempurna, pimpinlah aku berserta orang yang telah Engkau pimpin, berkatilah untukku apa yang telah Engkau berikan, peliharalah aku daripada apa yang telah Engkau tentukan.
Maka sesungguhnya Engkaulah yang memutuskan dan tiada yang dapat memutuskan atas Engkau, bahawa tidak akan hina siapa saja yang telah Engkau pimpin dan tidak akan mulia siapa saja yang engkau musuhi (benci). Maha Agung Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau.”



BAGAIMANA MELAHIRKAN SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH ERA 20-an?
Baitul muslim juga menjadi tempat pengumpulan ilmu agar dapat menghasilkan insan-insan yang bijak dalam menilai sesuatu. Ilmu yang dikumpul boleh menghasilkan pusat nasihat-menasihati dalam keluarga yang sering menghadapi risiko pengaruh negatif dari luar. Insan-insan yang bijak yang lahir daripada keluarga sebegini akan menjadi masyarakat yang mantap akhlaknya, seterusnya membina pembangunan negara yang cemerlang.

Seterusnya, rumah tangga yang sakinah akan menjadi pusat kemuliaan bagi keluarga yang lain. Memastikan keluarga menjadi contoh kepada keluarga yang lain memerlukan kerjasama setiap ahli keluarga. Ini adalah dakwah yang paling besar yang boleh dilakukan oleh institusi kekeluargaan dalam membentuk masyarakat yang madani dan hadhari.

Kemuliaan dan keindahan dalam keluarga sakinah wujud hasil daripada nilai cinta kepada Allah secara berterusan. Penghayatan terhadap agama Islam secara konsisten dan tulus bermula daripada pekerti seorang suami dan isteri kepada anak-anaknya. Ketaatan kepada Allah menjadikan setiap hati manusia akan tunduk dan takut kepada seksaan di akhirat kelak.

Setiap individu harus mempertingkatkan kefahaman berkaitan dengan konsep penghayatan Islam secara menyeluruh merangkumi peranan mereka sebagai pendakwah dan khalifah Allah di muka bumi ini. Dengan penghayatan ini, bukan sahaja kita dapat membentuk keluarga sakinah dengan mudah, malah secara keseluruhannya dapat pula membina dan membentuk sebuah negara yang "sakinah mawaddah warahmah".

READ MORE

THE MOST POPULAR POST