TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

"SAYA SANGAT BAHAGIA BERSAMA AWAK"


Bila hati saya rasa bahagia, saya tak akan lupa untuk mengucapkan alhamdulillah kepada Allah. Saya berharap semoga dengan rasa syukur ini akan memberi kehangatan cinta yang luar biasa. Biarlah getaran perasaan ini dalam frekuensi iman. Hakikat bahagia itu bila ia membahagiakan selama-lamanya.

Tidak perlu bohong pada diri. Jujur sahaja bila hati sudah suka. Bahagia itu amat luas maknanya, jangan sempitkan hanya kerana derita lama. Setiap orang punya ceritera kehidupan yang berbeza. Begitu juga dengan saya, awak dan dia. Carilah erti bahagia. Ia ada di dalam rasa.

Bahagia itu mahkota di singgahsana rasa. Bahagia itu suatu ketenangan. Bila susah tiada gelisah, bila miskin selalu tetap bersyukur kepada Tuhan, bila sakit tiada resah di jiwa.

Bahagia itu suatu kesyukuran. Bila kaya menjadi insan pemurah. Bila berkuasa ia amanah. Bila berjaya ia tidak alpa. Bila sihat ia tidak lupa kepada Tuhan. Bila berhubungan ia sentiasa setia pada yang satu.

Sama juga dalam konsep memberi.

Bila kita hendak membahagiakan orang lain, insyaAllah kita akan terlebih dahulu diberi rasa bahagia. Tangan yang menghulur bunga mawar, pasti dahulu berbau harum. Orang yang bebuat baik dengan hati yang ikhlas dan penuh dengan kasih sayang, tidak akan dikecewakan Allah.

Selagi nafas masih terhela, hargailah insan-insan di sekeliling kita. Terutamanya insan yang amat menyayangi diri dan hati kita. InsyaAllah, bila ada kemahuan pasti ada jalan. Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Kasih, cinta dan sayang umpama aliran air, sentiasa tahu ke arah mana ia hendak mengalir.

Mulakan dengan pandangan kasih yang paling dalam cintanya. Katakan pada dia "saya sangat bahagia bersama bersama awak. Terima kasih kerana sudi hadir di dalam hidup saya". Sebarkan rasa cinta ini kepada semua, biar dunia mengerti rasa bahagia yang sebenar. 

Lantaran itu, curilah masa sepertiga malam. Kucuplah dahi sejadah sambil mengulang-ulang ayat-ayat cinta kepada-Nya. Pasti jiwa terasa aman, bahagia dan tenang.

Kebahagian itu adalah ketenangan, bila hati sentiasa mengingati Allah. Firman Allah SWT "Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang"

Hidup terlalu singkat. Hidup hanya sekali. Mungkin rasa bahagia ini adalah terakhir buat kita. Jangan lepaskan. Jangan sekali-kali tinggalkan. Agar rasa bahagia membumbung tinggi, tiada sempadan, tiada sekatan, alirkan ia ke daerah kesyukuran yang paling tawadu'.

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST