TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

MENGAPA PERLU BERJEMAAH?



Ramai orang tertanya-tanya mengapa perlu terlibat kepada persatuan? Berintima’ kepada jemaah? Atau menjadi organisasi dakwah?

Analogi.

Situasinya sama ketika membeli insurans. Secara praktikalnya, insurans ini menaja lapisan-lapisan perlindungan yang hanya didapati apabila seseorang itu berada dalam organisasi dakwah.

Inilah kelebihannya.

Lapisan perlindungan ini mempunyai 2 benteng utama. Benteng pertama berada paling luar dan paling luas. Itulah dia HUBUNGAN manusia dengan organisasi dakwah berserta isinya.

Benteng kedua pula adalah benteng terakhir, lebih kecil daripada benteng pertama. Itulah dia diri manusia itu sendiri bersama dengan KOMITMEN dakwah dan tarbiyyahnya.

Berbicara tentang benteng ini, sangat sangat penting untuk kita fahami bahawa kedua-dua benteng ini amat berkait rapat. Andai rosak dan cacat salah satu daripadanya akan memberi impak kepada yang satu lagi.

Benteng pertama, iaitu hubungan manusia dengan organisasi dakwahnya berserta isinya. Isinya di sini merujuk kepada muslimin dan muslimat yang bersama menjadi penggerak kepada organisasi dakwah tersebut.

Keselamatan pada benteng ini bergantung kepada sejauh mana komitmen seseorang kepada aktiviti dakwah dan tarbiyyahnya. Ini termasuklah usrah, liqa’, rehlah, tamrin, mabit, khatibah, qiyam, aktiviti umum, khusus dan sebagainya.

Peleraian daripada program-program tarbiyyah dan dakwah akan meletakkan seseorang dalam situasi merbahaya, kerana dia dengan mudahnya akan terdedah kepada hasutan syaitan dan jatuh ke dalam gaung dunia yang dalam.

Hal-hal ini berlaku kerana kesibukan mengejar kelazatan dunia tanpa mengimani Pemiliknya dan memahami tuntutanNya, ataupun dia ditarik oleh hawa nafsu yang berkehendakkan bukan kepada ketundukan mutlak kepada Allah SWT.

Antara impak perkara ini, akan merengganglah hubungan ukhwah di antara individu. Alasan demi alasan dicipta untuk mengelak dirinya daripada terlibat secara langsung dalam mana-mana aktiviti tarbiyyah mahupun dakwah.

Pertemuan dalam liqa’ adalah antara medium yang membantu untuk meneguhkan semula kaki-kaki untuk terus berdiri tegap dan teguh di atas jalan risalah ini. Sekali-sekala tidak dapat hadir kerana kesibukan yang tidak dapat dielakkan mungkin biasa. Namun kekerapan ketidakhadiran kerana ketersengajaan adalah luar biasa.

Dengan begitu, akan memahitkan manisnya liqa’ pada hati seseorang, lalu dia tidak lagi mampu untuk komited menghadiri pertemuan rohaninya yang mana ukhwah juga terjalin dalamnya.

Andai benteng pertahanan terakhir ini seseorang tidak mampu untuk pertahankan, maka akan berlakulah kerosakan dan kelemahan pada benteng tersebut. Apabila hatinya bukan lagi untuk risalah dakwah ini, maka dia akan mencicirkan (futur) dirinya sendiri daripada terus bersama di atas gerabak risalah.

Sudah tentulah perjalanan gerabak risalah ini amat jauh dan tidak akan berhenti dalam masa yang terdekat. Kadang-kadang kerana tidak sabar untuk tunggu lama, kita memilih untuk turun daripada gerabak tersebut.

Impak lemah dan rosaknya benteng ini maka secara automatiknya akan memberi kesan besar kepada benteng luarnya tadi. Dia tidak lagi mahu bertemu dengan sahabat-sahabiah. Atau dia tidak mahu lagi pergi ke mana aktiviti-aktiviti dakwah dan tarbiyyahnya.

Dengan kata mudah, dia tidak mahu lagi ada kaitan dengan organisasinya. Akan merugilah dirinya.

Semoga Allah kekalkan hamba-hambaNya sifat sabar dalam kesibukan mempertahankan keimanan diri dan umat islam yang lain. Demi islam diri harus kuat dan istiqamah dalam gerakan.

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” [Al-Kahfi, 18:28]

Renungkanlah kata-kata ini :

"Setiap anggota mestilah menggabungkan diri dan berintima' dalam saf perjuangan. Dengan intima' ini kita menjadi orang orang yang berjihad dan bukannya mereka yang duduk tanpa berjuang bahkan menunggu sambil melihat sahaja perkembangan yang berlaku seperti firman Allah dalam surah As-Saff ayat ke-4.

Seluruh kekuatan intelek dan sumber harta benda bahkan masa dan kelapangannya diguna untuk meningkatkan kualiti dan daya juang sebagai seorang muslim yang melaksanakan tanggungjawab fardu 'ain dan fardu kifayah." - Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST