TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

TAK PERLU SOMBONGLAH!


Rasanya agak janggal jika kita membincangkan masalah ilmu tanpa di ketengahkan apakah tugas yang perlu kita tunaikan dahulu di dalam misi menuntut ilmu, dan apakah akhlak yang perlu ada dan tanggungjawab yang perlu kita pikul terhadap ilmu yang kita pelajari.

Satu ujian bagi penuntut ilmu ialah beramal dengan ilmu yang dipelajari.

“Ilmu memanggil-manggil amal. Jika disahut ia akan datang mendekatimu. Sebaliknya jika tidak, ia akan pergi meninggalkanmu”.

Maka tidak hairanlah jika sebilangan pemilik ijazah sarjana, pHD, atau pun master level bertindak seperti tidak pernah bersekolah. Akhlak, tindakan dan tutur bicaranya tidak menggambarkan ilmu dan kelulusan yang dimiliki. Bahkan hal ini turut mengjangkiti orang-orang yang belajar agama. Pak ustaz, imam masjid, tok kadi, peguam syariah dan sewaktu dengannya.

Satu dari faktor utama yang menyebabkan hal ini berlaku ialah tiadanya adab dan akhlak ketika menuntut ilmu.

Hari ini, kita akan persoalkan tentang adab dan akhlak duduknya di baris belakang selepas akademik dan kemahiran.

Terlebih dahulu suka untuk dibuktikan dengan mengambil contoh keperibadian Imam Bukhari RA. Kita melihat bahawa Imam Bukhari mewarisi daripada Rasulullah SAW ilmunya, akhlaknya dan amalannya dan bukan mewarisi hartanya.

Beliau adalah seorang ahli ilmu Hadis yang kuat beribadat, warak, zuhud dan berakhlak mulia. Beliau tidak membuang masanya dengan sia-sia, masanya diisi dengan menulis Hadis dan mendirikan solat-solat sunat.

Dari Imam As-Subki, mencatatkan pengakuan Imam Bukhari :

"Setiap kali aku hendak menulis sebuah Hadis dan menaqalnya dalam Sahihku (Kitab Sahih Bukhari), aku akan berwuduk dan mengerjakan sembahyang".

Imam Bukhari juga memberi perhatian serius kepada kewajipan sembahyang. Beliau menghayati setiap ayat dan zikir yang dibacanya.

Pada suatu masa, ketika beliau sedang solat, beberapa ekor lebah hinggap di belakangnya dan menyengatnya tetapi sengatan lebah tersebut sedikitpun tidak mengganggu solatnya! 

Sesudah selesai solat, beliau meminta kawan-kawannya membuka bajunya dan melihat apa yang menyebabkan beliau rasa tidak selesa ketika solat tadi. Mereka lihat belakangnya telah bengkak akibat sengatan lebah, padahal beliau tidak merasa sakit ketika solat!

Apatah lagi, beliau sering membaca Quran pada waktu sahur dan menyambung bacaan pada siang hari. Dengan cara itu, beliau dapat mengkhatam sebuah Quran setiap hari.

Nah!

Jika dilihat dengan penelitian mikro cukup tinggi displin ilmu yang digariskan oleh pencinta-pencinta ilmu seperti Imam Bukhari. Bahkan kita melihat kata-kata hikmah para sarjana islam tentang adab menuntut ilmu seperti :

Imam Suffyan Sauri (w 161H) :

“Mereka tidak menyuruh / mengirim anak-anak mereka untuk menuntut ilmu, hingga mereka mempelajari adab dan beribadah selama 20 tahun”.

Imam Abdullah ibnul Mubarak (w 181H) berkata :

 “Aku mempelajari adab selama 30 tahun kemudian aku menuntut ilmu selama 20 tahun. Mereka mempelajari adab sebelum belajar ilmu”.

Beliau juga mengatakan, “Adab itu 2/3 ilmu”.

Juga, "Telah berkata kepadaku Makhlad bin al-Husain (w 191), “Kami lebih memerlukan adab daripada banyaknya hadith”.

Imam Muhammad bin Sirin (w110H) berkata :

“Mereka (salafussoleh) mempelajari petunjuk Nabi (tentang adab) sebagaimana mereka belajar ilmu”.

Sahabat, hari ini generasi kita hilang malu. Generasi kita hilang adab. Bukan sahaja adab ketika menuntut ilmu tetapi sayugia dikatakan kita hilang adab dengan cikgu, pensyarah, doktor, profesor yang bersekang mata memerah otak demi mencerdikkan kita. Daripada zero ke hero.

Inilah diri kita sahabat.

Tidak malukah kita? Para Ilmuan, mereka sedar bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja"

Ingatlah pesan Rasulullah SAW :

"BUKAN DARI UMATKU! orang yang TIDAK MEMULIAKAN orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan TIDAK MEMPELAJARI daripada orang-orang alim. (Riwayat Abu Daud)

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST