TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

DRAFT IDEA : FORUM BLOG "AWESOME"

"Ilmu yang difahami dan diingati akan hilang akhirnya, tetapi ilmu yang DIFAHAMI dan DITULIS, maka yang ditulis akan berkekalan sepanjang zaman (Imam as-Syafie)  




1.Apakah perkembangan diri saudari sebagai seorang pelajar perubatan dan bagaimana saudari membahagikan masa antara pelajaran, ‘blogging’ dan tanggungjawab lain sebagai seorang muslim?

Sekarang saya sedang berpraktikal di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) atau lebih dikenali Hospital UKM, Cheras oleh masyarakat setempat. Cintakan universiti bagi saya tidak cukup dengan belajar sahaja. Saya, kita patut menyumbang sesuatu. Jadi selain menjadi pelajar, saya juga aktif berpersatuan dalam Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sebagai Exco Kebajikan Fakulti Perubatan PMUKM.

Dalam pengurusan masa pula, apa yang boleh saya kongsikan bersama adalah perkara yang paling penting niat. Minat tanpa niat hanya sia-sia. Niat tanpa minat boleh sahaja menjadi. Jika niat kita hanya suka dan main-main, sesuatu perkara itu tidak akan kekal lama dan boleh jadi membawa kemudharatan seperti leka dengan kewajipan sebagai seorang hamba, pelajar, anak dan sebagainya.

Sebaliknya, jika niat kita benar-benar ikhlas lillahi ta'ala. Jiwa kita tetap, matlamat telah dipasakkan sekuat hati. InsyaAllah Allah akan permudahkan apa jua urusan hamba-Nya. Sama ada untuk berkongsi, meringankan stress, mengajak ke arah kebaikan atau pun berdakwah, blog sememangnya adalah pilihan tepat untuk digilai.

Memetik hadis popular Nabi SAW "Sampaikanlah dariku walau satu ayat!". (Hadith Riwayat Al-Bukhari) Walau satu ayat! Bukankah Nabi kita sendiri telah memberi kata-kata semangat? Mengapa tidak kita sahut?

Walaupun suatu hari, blog kita akan menjadi sarang labah-labah atau sarang tikus menternak. Di atas pacakan azam, di atas dasar kesedaran tanggungjawab beragama, kita akan menulis blog juga, khasnya. Umumnya, tidak kira menulis di Facebook, Twitter, majalah dan sebagainya.



2. Pada pandangan saudari, di manakah indahnya Islam sehinggakan saudari sanggup menghabiskan masa untuk menghasilkan blog yang menceritakan tentang Islam itu sendiri?

Indahnya islam kerana sifatnya yang syumul iaitu menyeluruh, tidak hanya tertakhluk kepada ilmu perubatan sahaja. Saya boleh menulis sesuka hati saya. Sama ada luahan hati, motivasi diri, tazkirah, isu semasa sekali pun politik. Dan saya rasa sangat seronok. Bukankah ilmu Allah itu cukup luas?

Bagi sesiapa yang sudah melawat blog saya, pasti tidak percaya atau tertanya-tanya betulkah pemilik blog ini seorang pelajar perubatan? Alhamdulillah, komen saya terima setakat ini sangat memberangsangkan. Ada yang ucapkan tahniah, memberi kata-kata semangat sampai saya jadi teruja dan ada juga berkongsi masalah serta pandangan.

Dengan komen-komen beginilah memberi satu nafas dan dorongan untuk saya terus istiqamah. Saya akan balas komen-komen ini di dalam blog. Adakalanya dalam bentuk cerpen pendek, dialog atau artikel biasa. Yang terpenting saya pasti akan selitkan hadis atau firman walaupun hanya satu. Sebab kata-kata daripada langit tiada tandingnya berbanding kata-kata manusia.

Kita sudah terbiasa dengan tabiat bila ada masalah kita mengadu manusia, sedangkan itu bukan perkara pertama. Bak kata ayat 138, surah al imran " (Al Quran) ini adalah keterangan untuk manusia, sebagai petunjuk dan pengajaran bagi orang-orang yang bertaqwa."

Dan bila membaca ayat-ayat Allah biarpun berkali-kali, percayalah hati pasti menjadi lebih tenang dan terasa sangat aman.


3. Apakah teknik-teknik yang digunakan saudari bagi menyampaikan dakwah melalui penulisan saudari? Dan bagaimana saudari menarik minat remaja dan belia untuk membaca blog saudari?

Tidak banyak teknik yang saya gunakan, cuma saya suka buat poster. Saya mendapat ilham pun melalui gambar. Di sini bukan saya saya sehaja terkesan dengan menggunakan otak kiri dan kanan. Malah pembaca juga tertarik untuk membaca selanjutnya bile nampak poster atau gambar yang sweet, comel, cantik dan kata-kata yang merangsangkan.

Sesuai dengan jiwa remaja, saya sengaja melebihkan artikel tentang cinta, perasaan dan soal hati. Yang mana setiap hari termasuk saya sendiri, kita pasti bermain tentang persoalan-persoalan sebegini. Itu adalah fitrah. Suka atau tidak suka kita perlu terima jiwa kita sentiasa dahagakan peringatan seperti yang termaktub dalam surah al asr "berpesan-pesanlah ke arah kebaikan dengan kesabaran".

Tips termahal, menulis dengan hati bukan sahaja buat diri termotivasi bahkan boleh sahaja mengetuk pintu hati siapa sahaja. Yang tidak bertudung, boleh sahaja bertudung. Yang bertundung pendek, boleh sahaja bertudung labuh. Yang ingin berubah, boleh sahaja terus berubah. Semuanya kerja Allah. Hak insan adalah berdoa, berusaha dan bertawakkal.

Wallahu'alam.

3 comments:

  1. saya juga berminat menceburi bidang perubatan dan sedang belajar a-level sekarang.

    tertarik dengan penulisan saudari, minta tunjuk ajar. baru sahaja menceburi bidang blogging, untuk Islam, sebagai hujah di akhir pasti, Inshaallah :)

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum ukhti..

    saya suka membaca penulisan ukhti.. banyak input yang saya dapat dari membacanya. semoga perjuangan ukhti dipermudahkan dan diberkati oleh-Nya..

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum..saya ingin meminta izin mengambil beberapa artikel dari blog saudari terutama yang berkaitan dengan pelajar.ini khususnya untuk tatapan pelajar saya dan juga motivasi mereka dalam kehidupan sebagai seorang muslim dan mengamalkannya..,saya sangat tertarik dengan penyampaian saudari dan saya akui banyak memepelajari sesuatu yang positif dari blog ini..teruskan perjuangan saudari...syukur alhamdulilah.

    ReplyDelete

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST