TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label BLOGGER. Show all posts
Showing posts with label BLOGGER. Show all posts

HAMBA APAKAH AKU?


Azan sedang berkumandang.

"Ah...jap lagilah solat. Nak abeskan baca facebook dulu".

Bebola mataku yang sebelum ini berwarna tahi cicak, hitam putih beransur-ansur bertukar menjadi bebola api. Merahnya begitu menyengat.

"Aduhhhhh...Sakitnya mata. Lenguhnya tengkuk. Lah...patutlah dah kul 4 petang. Tak sedar plak dah lama main facebook".

Dan aku pun menunaikan solat Zohor tanpa nafsu sebagai hamba. Sekadar tonggang tonggek dan memberi salam kiri kanan. Bagai kilat menyambar begitulah kepantasan aku solat dengan doa yang paling pendek. Kadang-kadang tak doa pun.

Aku minta apa dalam doa pun aku tak tahu. Cuma mulut aku terkumat kamit membaca karangan Bahasa Arab. Jasadku di atas sejadah. Roh, jiwa dan fikiranku terbang menggapai langit-langit yang indah. "Oh! Ada awek cun add aku tadi. Jap lagi nak usha facebook dialah".

Semangatnya aku.

Aku ulangi tabiat yang sangat baik ini setiap hari. Berjam-jam lamanya aku di dunia internet. Macam-macam yang aku layari. Orang kata nak jelajah dunia kena belayar di laut. Aku jelajah dunia dengan belayar di internet.

Aku puas.



HAMBA APAKAH AKU?

Dunia internet. Facebook. Twitter. Blog. Agaknya ada lagi yang lebih penting daripada Allah?

Kita ini hamba. Hamba kepada Tuan yang sangat besar kuasa-Nya. Sangat tinggi kasih sayang-Nya. Dengan hanya sedikit limpahan rahmat-Nya dimasukkan ke dalam dada semua hamba-Nya. Kita mampu pula berkasih sayang sesama kita. Mampu menghubungi antara satu sama lain dengan nikmat internet yang diberi Allah.

Dia yang mencipta kita. Untuk apa?

Semata-mata hanya untuk beribadat kepada Allah. Alah mencipta dunia dan segenap perhiasannya untuk dijadikan medan tarbiyyah buat kita. Ibarat mencipta akhirat untuk tempat penghisaban amalan dan mencipta pula neraka dan syurga sebagai tempat balasan kita. Ia tempat yang kekal abadi. Yang tidak ada kematian lagi. Ia tempat terakhir perjalanan roh.

Berfacebook, berchatting dan bermain game adakah suatu ibadat untuk kita persembahkan kepada Allah?
Adakah dengan komponen-komponen di dalam aktiviti ini mampu menjadi batu asas binaan mahligai di syurga kelak?

Oh! Di mana nilai kita sebagai seorang hamba di mata Allah? Tidakkah kita risau? 

Seorang hamba itu hidupnya tidak dihiasi dengan bermaksiat. Hatta "bermaksiat" dengan waktu. Hatinya seringkali diservis untuk perjalanan yang jauh menuju ke padang mahsyar. Dia telah bersiap siaga dengan bekalan amalan di dunia.

Tidak ada perintah yang lebih dijunjung oleh seorang hamba Allah itu melainkan perintah Allah. Dia merdeka daripada keterikatan kepada makhluk, hawa nafsu dan kebendaan. Kebergantungannya hanya kepada Allah yang semakin hari semakin kuat, sehingga ia mampu hidup berdikari dan tidak mengharap ihsan orang lain.

Cukuplah Allah sebagai penghibur hatinya. Bukan internet. Bukan game. Bukan Facebook. Bukan movie Korea. Bukan chatting.

Itulah nilai seorang hamba Allah. Makin hari makin sayang dengan Allah. Makin hari makin tenang dalam dakapan kasih sayang Allah.

Seperti dalam firman Allah SWT dalam surah as-syams, manusia itu dikurniakan dua pilihan jalan, jalan KETAQWAAN  dan jalan kefasikan. Beruntunglah yang memilih jalan ketaqwaan dan merugilah yang memilih jalan kefasikan. 

READ MORE

DRAFT IDEA : FORUM BLOG "AWESOME"

"Ilmu yang difahami dan diingati akan hilang akhirnya, tetapi ilmu yang DIFAHAMI dan DITULIS, maka yang ditulis akan berkekalan sepanjang zaman (Imam as-Syafie)  




1.Apakah perkembangan diri saudari sebagai seorang pelajar perubatan dan bagaimana saudari membahagikan masa antara pelajaran, ‘blogging’ dan tanggungjawab lain sebagai seorang muslim?

Sekarang saya sedang berpraktikal di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) atau lebih dikenali Hospital UKM, Cheras oleh masyarakat setempat. Cintakan universiti bagi saya tidak cukup dengan belajar sahaja. Saya, kita patut menyumbang sesuatu. Jadi selain menjadi pelajar, saya juga aktif berpersatuan dalam Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sebagai Exco Kebajikan Fakulti Perubatan PMUKM.

Dalam pengurusan masa pula, apa yang boleh saya kongsikan bersama adalah perkara yang paling penting niat. Minat tanpa niat hanya sia-sia. Niat tanpa minat boleh sahaja menjadi. Jika niat kita hanya suka dan main-main, sesuatu perkara itu tidak akan kekal lama dan boleh jadi membawa kemudharatan seperti leka dengan kewajipan sebagai seorang hamba, pelajar, anak dan sebagainya.

Sebaliknya, jika niat kita benar-benar ikhlas lillahi ta'ala. Jiwa kita tetap, matlamat telah dipasakkan sekuat hati. InsyaAllah Allah akan permudahkan apa jua urusan hamba-Nya. Sama ada untuk berkongsi, meringankan stress, mengajak ke arah kebaikan atau pun berdakwah, blog sememangnya adalah pilihan tepat untuk digilai.

Memetik hadis popular Nabi SAW "Sampaikanlah dariku walau satu ayat!". (Hadith Riwayat Al-Bukhari) Walau satu ayat! Bukankah Nabi kita sendiri telah memberi kata-kata semangat? Mengapa tidak kita sahut?

Walaupun suatu hari, blog kita akan menjadi sarang labah-labah atau sarang tikus menternak. Di atas pacakan azam, di atas dasar kesedaran tanggungjawab beragama, kita akan menulis blog juga, khasnya. Umumnya, tidak kira menulis di Facebook, Twitter, majalah dan sebagainya.



2. Pada pandangan saudari, di manakah indahnya Islam sehinggakan saudari sanggup menghabiskan masa untuk menghasilkan blog yang menceritakan tentang Islam itu sendiri?

Indahnya islam kerana sifatnya yang syumul iaitu menyeluruh, tidak hanya tertakhluk kepada ilmu perubatan sahaja. Saya boleh menulis sesuka hati saya. Sama ada luahan hati, motivasi diri, tazkirah, isu semasa sekali pun politik. Dan saya rasa sangat seronok. Bukankah ilmu Allah itu cukup luas?

Bagi sesiapa yang sudah melawat blog saya, pasti tidak percaya atau tertanya-tanya betulkah pemilik blog ini seorang pelajar perubatan? Alhamdulillah, komen saya terima setakat ini sangat memberangsangkan. Ada yang ucapkan tahniah, memberi kata-kata semangat sampai saya jadi teruja dan ada juga berkongsi masalah serta pandangan.

Dengan komen-komen beginilah memberi satu nafas dan dorongan untuk saya terus istiqamah. Saya akan balas komen-komen ini di dalam blog. Adakalanya dalam bentuk cerpen pendek, dialog atau artikel biasa. Yang terpenting saya pasti akan selitkan hadis atau firman walaupun hanya satu. Sebab kata-kata daripada langit tiada tandingnya berbanding kata-kata manusia.

Kita sudah terbiasa dengan tabiat bila ada masalah kita mengadu manusia, sedangkan itu bukan perkara pertama. Bak kata ayat 138, surah al imran " (Al Quran) ini adalah keterangan untuk manusia, sebagai petunjuk dan pengajaran bagi orang-orang yang bertaqwa."

Dan bila membaca ayat-ayat Allah biarpun berkali-kali, percayalah hati pasti menjadi lebih tenang dan terasa sangat aman.


3. Apakah teknik-teknik yang digunakan saudari bagi menyampaikan dakwah melalui penulisan saudari? Dan bagaimana saudari menarik minat remaja dan belia untuk membaca blog saudari?

Tidak banyak teknik yang saya gunakan, cuma saya suka buat poster. Saya mendapat ilham pun melalui gambar. Di sini bukan saya saya sehaja terkesan dengan menggunakan otak kiri dan kanan. Malah pembaca juga tertarik untuk membaca selanjutnya bile nampak poster atau gambar yang sweet, comel, cantik dan kata-kata yang merangsangkan.

Sesuai dengan jiwa remaja, saya sengaja melebihkan artikel tentang cinta, perasaan dan soal hati. Yang mana setiap hari termasuk saya sendiri, kita pasti bermain tentang persoalan-persoalan sebegini. Itu adalah fitrah. Suka atau tidak suka kita perlu terima jiwa kita sentiasa dahagakan peringatan seperti yang termaktub dalam surah al asr "berpesan-pesanlah ke arah kebaikan dengan kesabaran".

Tips termahal, menulis dengan hati bukan sahaja buat diri termotivasi bahkan boleh sahaja mengetuk pintu hati siapa sahaja. Yang tidak bertudung, boleh sahaja bertudung. Yang bertundung pendek, boleh sahaja bertudung labuh. Yang ingin berubah, boleh sahaja terus berubah. Semuanya kerja Allah. Hak insan adalah berdoa, berusaha dan bertawakkal.

Wallahu'alam.

READ MORE

CERITA AKU NAK JADI DOKTOR

"Jangan biarkan hidup sehari berlalu tanpa menyumbang apa-apa kepada Islam" - Al marhum Ustaz Fadzil Noor




BERKONGSI UNTUK INSPIRASI

Setelah sekian lama penulis tidak pernah menyentuh secara khusus tentang kehidupan perubatan, walhal itu yang lebih utama kerana di bidangnya. Bukanlah mengelak untuk berbicara, tetapi tiada "hidayah" untuk dijadikan asbab. Jadi, minggu depan penulis akan berforum, lantaran "hidayah" itu perlu dihargai dan diberi nafas segar. Mohon maaf kerana banyak sangat soalan yang dihimpun selama ini tidak dijawab. Moga perkongsian ringkas ini menjadi inspirasi bagi yang sudi.

Serius tiada apa yang menarik tentang kehidupan penulis. Sederhana menjadi pilihan sejati walaupun berjiwa besar dan punya cita-cita tinggi. Lain yang diimpikan lain pula yang terjadi. Namun kini itu bukan lagi menjadi persoalan mahu pun dilema, sekali kaki melangkah, berpantang kewarasan menoleh ke belakang! meskipun badai merempuh dengan sadisnya!

Jalan menjadi doktor bukan satu kebanggaan. Jalan ini sangat sukar tetapi seronok. Sukar kerana bercita-cita menjadi doktor yang betul-betul bertaqwa dan tawadhu'. Merendah diri dengan ilmunya kepada semua orang, terutamanya kepada Allah SWT. Seronok kerana kita dapat belajar tentang diri kita. Ya, manusia tak akan cinta seseorang melainkan sudah kenal hati perutnya. Bila sudah kenal diri baru dia kenal Allah itu siapa. Maka lahirlah rasa kehambaan yang tinggi.



INI LANGKAHKU

Bermula langkah dengan 3A 2B UPSR, 8A PMR seterusnya 10A 2B SPM melayakkan penulis memasuki Kolej Matrikulasi Pahang. Sebenarnya bagi penulis, SPM bukanlah penentu segalanya. Kerana ada juga kawan yang dapat 2A tetapi mampu memperoleh 4 flat seperti penulis.

Kehidupan selepas SPM banyak membentuk peribadi penulis mengenal erti susah payah mencari duit. Sungguh, bekerja mencari duit sampingan sebagai persiapan ke matrikulasi banyak melakar pengalaman hitam dan putih. Lorong yang dipenuhi cacamarba, kejian, hinaan dan tangisan menguatkan semangat untuk bersunguh-sungguh dalam pelajaran demi menaiktaraf maruah keluarga di sisi masyarakat. Baru diri sedar daripada kesenangan dan keselesaan betapa pilu, pedih dan peritnya ayah dan ummi bekerja siang dan malam demi membesarkan anak-anak selama ini.

Setahun belajar di matrikulasi bukan tempat untuk berfoya-foya dan bermain mata. Ramai terlingkup gara-gara kawalan emosi yang terbabas kerana salah pilih kawan dan buah hati. Itulah pesan para guru penulis ketika di MRSM Pontian. 

Dengan memasuki kursus Sains Hayat penulis berusaha untuk fokus sehabis mungkin dengan memilih kawan untuk study group, rapat dengan pensyarah dan sentiasa menderma ilmu. Kita tahu kita tidak pandai melainkan banyak membuat latih tubi, rajin bertanya kepada pensyarah dan berkongsi ilmu dengan kawan-kawan. Cubaan pertama hidup di matrikulasi dengan keputusan 1A sahaja begitu mencabar sekali. Tetapi itu bukan sebab untuk putus asa malah bangkit daripada kekecewaan.

Memilih UKM kerana cikgu biologi penulis kelahiran UKM. Alhamdulillah hajat tercapai dengan bantuan kawan mendaftarkan kos perubatan di UKM sebagai pilihan pertama ketika sibuk kerja part time menunggu keputusan keluar. 




GELARAN MAHASISWI PERUBATAN

Dalam kejahilan penghayatan beragama, penulis merangkak hidup bernafas di UKM. Sungguh jahil merentasi dunia dakwah. Terasa diri ini hina dan kerdil, bagai langit dengan bumi. Berhingus lagi melihat para senior bertudung labuh, memakai stokin dan stongan. Benar hidayah itu perlu dicari. Ia tidak datang bergolek, tidak pula jatuh dari atap rumah.




Kebetulan di UKM KL di bawah persatuan BADAR semua tahun 1 wajib berusrah. Maka dengan langkah pertama penulis berjinak dengan usrah yang pertama sekali dengar dalam hidup, ditambah pula kemahuan rajin turun ke surau, serta pengalaman menjadi imam dan penceramah kaki lima di sekolah menengah, jadilah penulis seperti penulis yang sekarang.

Namun beringatlah selalu, tidak semua graduasi universiti usrah berkelayakan jika tidak memenuhi kriteria seperti yang boleh difikir logik akal. Asal komited, tadabbur dan proaktif berusrah, percayalah wahai pembaca sekalian roh usrah tersebut sudah mampu menjadikan hari-hari kita indah dan bertenaga.

Rangkaian silang tangan berukhwah, berkongsi masalah mahu pun berbincang isu akademik, kehidupan, negara, dan sebagainya adalah pra-syarat penentu keberhasilan keberadaan kita di menara gading. Carilah usrah dan rasailah getarannya.

Kesibukan belajar adalah igauan jahat dan malapetaka bagi yang suka merekacipta alasan untuk mengelak amanah dakwah. Tetapi menjadi keseronokan dan tarbiyyah (didikan) bagi yang sedar penuh faham akan hakikat amanah. Bukan bebanan tetapi hakikat amanah. Sama juga seperti belajar.

Jika belajar jadi ibadah, ia jalan taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, amanah dibuat sedaya upaya. Biar sempit jalan keperluan, asalkan luas perjalanan mencapai tujuan.Teruskan cita-cita menjadi doktor. Teruskan cita-cita menjadi seorang hamba berguna. Ia cara terbesar, menzahirkan syukur kepada-Nya.

Tidak perlu menilai diri penulis, tetapi penulisannya, barulah diri terinspirasi. Ubah paradigma, betulkan nilai pada fokus dan gerak kerja amanah. Lajukan langkah, sama-sama menuju mardhotillah insyaAllah.

READ MORE

MEN"SYURGA"KAN PENULISAN



MENULIS KERANA ALLAH

Alhamdulillah saya terasa kekenyangan yang amat sampai senak otak saya jadinya. Bengkel penulisan yang saya ikuti pagi tadi anjuran Kelab Perkim, UKM Bangi benar-benar membangkitkan semangat saya untuk terus mengasak jari-jemari agar istiqamah dalam penulisan walaupun sibuk!

Semuanya masih berkisar tentang bagaimana kita menguruskan masa dan menginovasikan dakwah. Niat perlulah disucikan semula, tiada rasa riak, nak glamour dan materialistik. Bila niat kita bersih dan tekad untuk pacukan roda dakwah, kita sanggup guna pelbagai alat yang boleh membawa kepada keredhaan Allah. Jika niat belum setel, sebab itulah kita tidak konsisten. 

Sekali kita pacak, berterusanlah dalam gerak kerja. Maksudnya, sekali kita niat, ikhlas betul-betul kerana Allah, dengan azam dan semangat yang kuat, disulami fokus dan halatuju yang tepat, maka kita mampu istiqamah dan berdisplin dalam pengurusan masa, tiada lagi istilah berkompromi dengan isu kesibukan.

Pasti menulis walaupun terpaksa!

Kita mahu setiap penulisan kita sama ada di blog mahu pun di facebook, twitter dan sebagainya diterima Allah sebagai sumber pahala yang berterusan dan sentiasa mengalir masuk ke akaun kita.

Nah! Hasil pendapatannya sangat lumayan dan berlipat ganda!

Sebabnya selagi mana manusia membaca penulisan kita dan mereka beroleh manfaat lantas berubah ke arah kebaikan, ia sekaligus menjadi bekalan pahala untuk kita ke syurga menemui Allah, walaupun diri kita sudah tiada lagi di dunia ini!

“Apabila mati anak Adam, maka telah terputuslah amalannya melainkan 3 perkara ; Sedekah jariah, atau ILMU yang memanfaatkan, dan doa anak yang soleh” [Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmudzi, al-Nasaa'i, dan al-Bukhari].

Bersemangatlah wahai diri dan sahabat sekalian!
Bersungguhlah wahai diri dan sahabat sekalian!
Istiqamahlah wahai diri dan sahabat sekalian!

Jika kita tidak mampu membuat blog, belajarlah secara bersungguh. 
Jika kita tidak mampu menulis blog, belajarlah untuk share atau copy penulisan dahalu.
Jika kita tidak mampu istiqamah, belajarlah mendisplinkan masa lapang. 
Jika kita tidak mampu berdakwah, dekati majlis ilmu dan orang soleh.

Tiada siapa yang tidak bermula dengan zero. Saya juga begitu dahulu, belajar bersendirian dengan sabar.

READ MORE

"HARI NI NAK TULIS PASAL APE YE?"


Bagi seorang penulis blogger hatta hanya facebooker pun, pasti terpinga-pinga bertanya soalan kepada diri "hari ni aku nak tulis pasal ape ye?"

Digaru-garu kepalanya yang tak gatal. Jenuh berfikir, di"skodeng"nya jiran sebelah cari ilham.

"Datanglah kau ilham. Datanglah..." berminit lamanya berfikir .
"Dah..sudah! Feed up aku!"

Maka, hari itu berakhirlah dengan kemalasan dan kebosanan untuk tidak update blog, atau pun cukup sekadar copy paste status orang lain atau share mana-mana artikel. Buat sahaja daripada tidak buat kebaikan langsung.

"Susahnya nak datang ilham. Allah..." keluhnya.

Layan jap lagu Manbai. "beribu bintang di langit kini menghilang. Meraba aku dalam kelam, rembulan mengambang kini makin suram, pudar ilhamku tanpa arah. Sedetik wajahmu muncul dalam diam. Ada kerdipan ada sinar, Itukah bintang atau rembulan. Terima kasih kuucapkan."

Tersengih sorang-sorang bila masuk rangkap kedua.

"Izinkan kumencuri bayangan wajahmu. Izinkan ku mencuri khayalan denganmu. Maafkanlah oh...Andai lagu ini mengganggu ruangan hidupmu. Kau senyumlah oh...Sekadar memori kita di arena ini. Kau ilhamku. Kau ilhamku..."

Terima kasih ya Allah. Sungguh hati ini jatuh cinta bila mendengar alunan muzik yang lembut, ilhamku disandarkan hanya padaMu. Tiadalah aku menulis jika tidak Kau yang ilhamkan. Tiadalah aku tanpa banyak idea jika tidak Kau yang titipkan. Hati kembali berbunga-bunga tenggelam dalam kebahagiaan. Seronoknya.

"Aku bukanlah doktor cinta. Bukan pula ustazah mahu pun ahli politik untuk bicara displin ilmunya. Belum juga ditaklifkan sebagai doktor. Tiadalah tauliah yang sempurna. Mahu pun ilmu agama yang mendalam. Cukup sekadar mahu berkongsi rasa, buah pemikiran, pendapat, fikrah, motivasi dan muhasabah diri. Walaupun minat dan cenderungnya di dunia siasah (politik), usahlah hilang minat membaca blog ini."

Apa yang aku rasa, tidaklah seperti yang kau rasa. Kita sangka kita sama, kita serupa. Rambut sama hitam, tapi rupanya kita berbeza. Hati kita lain. Sudut pandangan, pemikiran, kondisi pengaruh sekitar, bahan bacaan dan pengalaman kehidupan membentuk diri kita berlainan. Namun hakikatnya, Allah yang Maha Muthlak untuk mencipta kita sebegini rupa.

Bersyukurlah, bukankah itu satu keindahan?
Persoalannya masih sekitar bagaimana kita menerima perbezaan.






BERSAMA MEMBENTUK DIRI

Jika sebelum ini, bacaan kita hanya terpencil mengenai soal hati. Rasa dan terasa. Jatuh hati, sakit hati, pedih hati, amik hati, dan seangkatan waktu dengannya. Maka, mulai saat ini latihlah diri, didiklah diri, displinkan diri dengan bahan bacaan yang lebih meluas merangkumi segenap isi kehidupan.

Bersikaplah adil kepada diri. Tidaklah adil bila mana, tabiat kita suka "like" mana-mana artikel, page, gambar atau status berunsurkan "easygoing" dengan selera perasaan kita. 

Bagaimana pula dengan kebenaran?

Tertegaknya kebenaran tatkala kita berusaha menyingkap jendela politik kepalsuan. Sedarlah betapa politik itu penting dalam mencatur keseimbangan kitaran dan kestabilan urustadbir manusia yang mana pada hari ini semakin celaru akibat kedegilan dan bersikap sombong dengan Tuhannya. 

Saat ini, dengan ketidaksedaran, kita telah menzalimi hak masing-masing, membiarkan manusia yang tidak bertanggungjawan, tidak amanah dan tidak berintegriti telah membunuh dan merosakkan kepercayaan kita kepada dunia politik yang bersih sepertimana sistem politik kerajaan Madinah pimpinan Rasulullah SAW.

Kita biarkan persepsi "politik kotor" terus menerus meracuni pemikiran dan budaya allergic tatkala berbicara tentangnya. Mengapa kita hanya membiarkan golongan tidak cerdik ini memperhambakan manusia akibat sikap "aku tidak pedulisme"?

"Lantak kaulah, aku tak rasa apa-apa pun. Takde faedahnya kalo menyibuk hal orang lain"

Kalau terkena batang hidung diri sendiri, baru terngadah. Nak salahkan siapa? Salah siapakah sebenarnya? Berubahlah! Kita mampu mengubahnya dengan tangan sendiri, maka pangkahlah sebelum kita dipangkahkan daripada sebarang kebaikan. 




TINGGALKAN AMALAN "LAGHA"

Amatlah rugi menjelang tahun baru, 2012 tiada satu apa pun kata-kata azimat pesanan kepada diri sendiri untuk berubah. Diri kita sebenarnya ketandusan kasih sayang, cinta dan perhatian daripada tuan badannya. Seperti mana kita mahu orang lain ambil kisah, take care dengan kita, sayang pada kita, begitu juga jiwa kita.

Belaian seorang ibu kepada anak tidak kira masa dan tempat. Keikhlasannya tidak terduga dan mampu menagih limpahan air mata tatkala mengenang pengorbanan ibu. Katanya, hidup tak sesempurna tanpa ibu.

Itu ibu, orang lain. Tidak sejasad, sebadan dan sehati dengan kita. Justeru, kita  semestinya perlukan lebih kasih sayang diri kita sendiri daripada kasih sayang ibu. Kepuasan hati akan tercapai setelah kita faham fitrah diri kita yang sebenarnya. Bagaimana pula ye?

Kita bangga beragama islam, anugerah warisan turun-temurun datuk nenek moyang kita. Ya, bangga bukan bersyukur. Kalau kita jenis bersyukur, kita akan berusaha mengubah diri menjadi umat islam yang boleh dibanggakan oleh Allah. Islam tanpa amal diibaratkan pokok tidak berbuah, sia-sia.

Pada hari ini apa yang kita lakukan? Kita tidak lagi bersahabat akrab dengan Al-quran tetapi dengan handphone, ipod, mp3, facebook, blog dan sebagainya. Bacaan dan muzik kita bukanlah ayat-ayat Al-quran. Bagi kita baca Al-quran bila waktu lapang, nak mati atau bila Ramadhan tiba, begitu ekslusif sekali kononnya menghormati sampai terbelit-belit lidah nak baca Al-quran. Betul tak?

Masih banyak lagi ruang-ruang kosong yang belum dipenuhi di otak kita untuk menghafal, sel-sel otak kita pun kelihatannya masih berehat dan tidak secergas seperti yang sepatutnya. Gunakan nikmat itu sebaiknya sebelum ditarik. Jadi, sebagai langkah pertama biasakan diri melazimi ayat-ayat suci, firman atau mana-mana hadis Nabi. Jangan terus langkah perenggan atau bersikap tidak endah bila nampak ayat Al-quran tanpa mendalaminya. 

Ayat manusia tidak berkuasa mengubah diri manusia, yang sama taraf dengannya. Hanya ayat Allah yang Maha Berkuasa mampu menggetarkan perasaan sekaligus menggerakkan hati manusia untuk berubah. InsyaAllah moga ada manfaat luar biasa.


Daripada Abu Musa Al Asy’ari r.a. telah berkata : Rasulullah SAW bersabda :

“Umpama orang mukmin yang membaca Al Quran seperti buah Utrujjah ( seperti limau besar ) baunya wangi dan rasanya sedap. Umpama orang mukmin yang tidak membaca Al Quran seperti buah tamar tidak ada bau dan rasanya manis, dan umpama orang munafik yang membaca Al Quran seperti Raihanah (sejenis pokok) baunya wangi dan rasanya pahit dan umpama orang munafik yang tidak membaca Al Quran seperti buah labu yang tiada bau dan rasanya pahit”. ( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim )

Begitu luar biasanya memotivasikan diri kita.

READ MORE

KISAH KAMI : NAIM DAN NA'IMAH



Pagi itu berlalu dengan penuh kesunyian. Seolah-olah meminta para penghuninya bangun malam bertahajjud. Sejadah dicapai melepaskan kerinduan Ramadhan padaNya. Adik-adik dikejutkan bagi memeriahkan lagi pesta kehambaan.

Seusai bersalaman zahir dan batin bersama ahli keluarga, hati luluh. Rasa rindu kepada dia semakin membuak-buak. Perasaan bercampur baur mencelarukan pemikiran waras.

"Kak, adik rindukan abang", si kecil menarik baju sambil mememekkan muka seposen.

Terkelu lidah melihat reaksi si adik yang masih tidak mengenal erti kehidupan alam barzakh. Hati terusik dengan gemersikan rindu, terasa hangat dan luar biasa.

Mengingati wajahmu, merindui sentuhan, suara dan gelak ketawamu....

"Sesungguhnya Ya Allah, Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih diantara semua pengasih."




KHAS UNTUKMU

Ringan kaki melangkah namun berat di hati merenung dalam 2 batu nisan terpacak di atas kubur insan yang sangat disayangi. Insan yang pernah berkelahi dan bergaduh setiap hari. Bermain, belajar, dirotan, dimarah, makan minum dan tidur bersama. Zaman hingusan yang mana dibazirkan dengan kenakalan dan keseronokan bersama si dia. Menjaga adiknya dengan penuh kasih sayang dan memberi contoh tauladan yang baik.

Saat-saat susah senang dia tidak pernah merungut. Pergi balik sekolah memimpin tangan agar keselamatanku terjamin. Kadang-kadang dia membonceng aku dengan basikal buruknya. Duit belanja sekolah yang hanya RM0.50 dan selalunya RM 0.20 diberi padaku supaya aku tidak lapar pada sesi sekolah agama di sebelah petangnya. Apabila dirotan ayah, abang selalu memujuk. Memberi kata-kata rangsangan dan menenangkan jiwa. Melapkan air mata dan menyapukan minyak di tempat luka.

Walaupun aku lebih sikit cerdik dan cerdas daripada abang, namun dialah yang selalu memberi semangat dan galakan. Walaupun aku berpangkat tinggi dalam kepimpinan pengawas, namun dialah pengawas yang paling membanggakan aku. Walaupun aku sering mendapat anugerah di setiap minggu perhimpunan sekolah, namun dialah anugerah terbaik buatku. Walaupun aku dimanjakan ummi ayah, namun dialah yang paling memanjakan aku.

Masih segar di ingatan bagaimana prihatinnya dia menjaga dan melayan karenahku ketika disahkan oleh doktor mengidap jangkitan virus Varicella Zoster.  Seminggu tidak hadir ke sekolah sudah cukup menduga kasih sayangnya terhadap diri ini. Bersungguh dia membantu aku supaya cepat sihat, macam-macam yang dilakukan, walaupun sanggup berlapar demi membeli makanan kegemaranku. Demam campak tersebut akhirnya berjangkit kepada dia pula. Kesian dia.

Pernah juga satu ketika kami bergaduh besar dan itulah yang pertama dan terakhir dalam kehidupan ini. Tamparan kuat melekap di pipi beserta kata-kata pedih mencucuk-cucuk di setiap ruang jiwa. "Kalau kau tak tahu jaga adik, siapa nak jaga lagi? Esok nanti bila aku tiada, siapa yang boleh diharapkan!?"

Menangis....

Benar. Selang beberapa hari, akhirnya dia pergi jua tanpa sebarang kemaafan daripadaku.
Berita kemalangan dilanggar kereta tatkala keluar mencari sesuap nasi dengan menaiki motor pada belah tengaharinya begitu menggores perasaan ini. Hati bagai dikoyak rabak, disiat-siat sehingga hancur luluh. Pilu itu masih bersarang dan disimpan kemas di satu sudut hati ini.

Tamatlah kisah dua beradik yang sangat akrab Naim-Na'imah yang hampir terputus 9 tahun lamanya.





TERUSKAN KEHIDUPAN DEMI ALLAH

Bukanlah bermakna bila sudah tiada insan yang kita sayang, kita hilang arah tuju. Hidup ini demi Allah. Mati kita juga demi Allah. Ibadat kita juga demi Allah. Biar Allah uji kita dengan hilang semua insan yang kita sayang, tapi ketahuilah, Allah sediakan yang lebih baik dari itu semua! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang.

Saat jatuhnya air mata seorang abang, baru aku sedar insan bernama lelaki juga mampu menangis, walaupun tampak garang, walupun tegas mengatasi segalanya. Saat itu dia tertunduk, menyembunyikan air mukanya.

"Abang, usahlah risau, damailah kau di sana. Aku berjanji akan jaga adik-adik dan menggalas amanah abang sebagai anak pertama dengan sabar dan sentiasa mendoakan kesejahteraan dirimu agar abang sentiasa bahagia. Doakan aku juga agar terus kuat di samping menjadi hamba dan anak yang solehah".

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah mengetahui bahawa hati-hati kami telah bersimpuh mencurahkan kecintaan kepadaMu, maka kuatkanlah tautan persaudaraan kami dengan keindahan bertawakkal kepadaMu walaupun jasad kami di dunia yang berlainan. Di mana berakhirnya perjalananku ini, esok atau lusa bukan milikku. Oh Tuhanku, lindungilah hambaMu yang hina ini. Aku hanya berserah padaMu.."

READ MORE

“Jangan henti dakwah… hingga kamu mati.”

”Dari sisi dakwah, kekuatan internet sangat potensial untuk dimanfaatkan”


Cuba tanya semua orang :

1. Dalam 1 minggu, berapa kali buka internet?
2. Dalam 1 hari pula?
3. Apa benda yang dibukanya?
4. Berapa banyak status atau post yang dibaca berunsurkan dakwah?
5. Sedikit atau banyak?



IKLAN : MENCARI KEUNTUNGAN DALAM BERDAKWAH?



"Assalamualaikum.......Disini saya ingin menjemput saudara-saudari untuk menyertai satu lagi cara untuk berdakwah atau menimba ilmu!!!! Tanpa bayaran tambahan.

Dengan cara ini saudara-saudari dapat menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan kerana saudara-saudari akan berdakwah melalui lisan!!! Secara chat biasa juga ada. Ia akan kedengaran di seluruh pelusok dunia!

Subhanallah...

Jadi dakwah saudara-saudari dapat disampaikan dengan lebih berkesan. Ingat tiada bil tambahan dikenakan!
Anda hanya perlu downloads Program "faham, ikhlas dan istiqamah dalam berdakwah" yang bersaiz 328 KB sahaja! yang mengambil masa tidak sampai 5 minit!! Kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi admin di laman tersebut sila hantar biodata anda kepada Allah SWT. Kepada yang mempunyai latarbelakang agama islam dan berfikrah islami sahaja yang berpeluang menjadi admin dan menyelenggara laman ini.

Para pembaca dijemput memohon admin. Sebarang idea untuk memajukan lagi laman ini boleh disertakan bersama. Contohnya: cara istiqamah menulis. Sesiapa yang sedia memberi sedikit ilmu sila post kepada laman ini. Antaranya :

1. Facebook
2. Twitter
3. Blog
4. Tumblr
5. dll

Segala kerjasama saya dahului dengan syukran jazilan.





DILEMA PENULIS BLOGGER?

Untuk menulis blog, ramai yang buat. Untuk istiqamah menulis blog, kadang-kadang terabai. Untuk istiqamah menulis blog dengan jujur, matlamat jelas, jarang-jarang orang boleh lakukan. 

Untuk menulis blog yang menarik, kreatif dan yang pentingnya bersabar dengan pembaca, pengomen dan memastikan orang-orang yang membaca blog boleh mendapat manfaat, bukan memprovokasi, bukan buang masa dan mendapat pahala dari Allah SWT, mungkin menjadi lebih sukar sekali.




PENDAPAT PENULIS

Metadologi dakwah melalui internet adalah termasuk jenis dakwah Dakwah bit-Tadwim iaitu pola dakwah (dakwah melalui tulisan) yang baik dengan menerbitkan buku, majalah, internet dan tulisan-tulisan yang mengandungi pesan dakwah yang sangat penting dan efektif. Keuntungan lain dari dakwah model ini tidak menjadi musnah meskipun sang da'ie, atau penulisnya sudah mati. Menyangkut dakwah bit-Tadwim ini Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya tinta para ulama adalah lebih baik dari darahnya para syuhada”.


Bagi pihak penulis, blog yang tiada protokol adalah blog yang terbaik. Justeru, sedari awal lagi, penulis sudah pun memberi notis bahawa :

"Sebarang artikel, gambar terutamanya poster boleh diambil secara bersungguh dan konsisten! Kerana penulis men"ciplak"nya dari yang Maha Muthlak. Dialah Allah pemilik segala makluk." 

SYUKRAN JAZILAN buat semua sahabat dan pembaca. Blog penulis tiadalah protokol yang rasmi, niat saya ikhlas, selepas ni tak perlulah sahabat-sahabat minta izin lagi untuk copy. Ilmu yang baik, perkongsian yang bermanfaat, dakwah yang efektif, tak perlu diprotokolkan bagi penulis. Sahabat-sahabat boleh share, ambil apa sahaja untuk disebarkan ilmu Allah ini.

Sesungguhnya, jari-jemari yang berlari-lari anak di papan keyboard ini juga milik dan pinjaman sementara daripada Allah SWT. Penulis cuma menciplak idea yang telah diilhamkan. Ingat, tak perlu minta izin selepas ini.

Mohon dihalalkan segalanya. Tidak mahu berhutang dan tidak ingin proses menghisab  di"road block" kerana urusan mulia ini. 

READ MORE

YA ALLAH! APA CITA-CITA AKU SEBENARNYA?



"Apa cita-cita awak?" tanyanya sambil melirih mata ke arah ku.
"Banyak" jawabku ringkas.

"Apa cita-cita awak? Cita-cita dalam hidup awaklah" tanyanya sekali lagi seperti tidak puas hati dengan jawapanku.
"Banyaklah kak...." Aku beristighfar banyak-banyak dalam diri. Fikiranku terlalu complicated ke untuk menjawab soalan semudah itu?

Ya Allah....kenapa ni?

"Aik..takkan takde cita-cita? Apa cita-cita dalam hidup awak?" tanya akak lagi buat kali ketiga.
"Banyaklah kak...serius. Banyak sangat" Aku memandang matanya yang fokus dengan driving. Ya Allah...memang cita-cita aku banyak. Walaupun aku sedang belajar di fakulti perubatan tetapi kehidupanku tidak bernoktah di sini, yakni sebagai doktor perubatan.

Tidak...

Aku terlalu banyak berfikir ke? Kepala aku tidaklah kusut untuk menjawab soalan semudah budak tadika. Malah aku berasa tenang bermalam di rumah senior selepas program KAMU di Stadium Melawati Shah Alam. Sudah lama tidak bersama dengannya. Habis pecah kepala aku, dengannya dululah sedari Tahun 1 lagi aku bertatih menjadi seorang pemikir.



********************


Apa cita-cita aku?

Tidak pernah terdetik di dalam kamus hidupku untuk menjadi seorang doktor. Tidak pernah. Seringkali saya beritahu adik-adik di program-program sekolah atau persatuan ketika menjadi fasilitator, bahawa saya yang berada di hadapan kamu ini tidak pernah bermimpi untuk menjadi doktor.

Tidak pernah.........

Jika dahulu, ketika di bangku tadika, ustazah bertanya "Apa cita-cita kamu Na'imah?"
"Saya nak jadi macam ustazah, cikgu tadika"

Ketika di sekolah rendah pula soalan yang sama juga ditujukan "Na'imah apa cita-cita kamu?"
"Cikgu" ringkas sahaja jawapan saya.

Ketika di sekolah menengah pula, juga, soalan yang sama. "Saya nak jadi macam cikgulah"

Ketika di matrikulasi, ada suatu forum bersama Prof Madya dr. dot dot. Dengan muka tak tahu malu, saya tampil bangun dan berdiri ketika slot pertanyaan.

Saya telah memalukan diri sendiri dengan mengatakan "Apabila membaca tittle prof, Prof Madya Dr. , saya menjadi excited, saya suka, saya admire dengan tittle tersebut, saya nak jadi macam prof, boleh prof kongsikan?" Dengan aksi dan gaya saya bercakap, saya dengar ramai budak lelaki "swit swit" kepada saya, tepukan gemuruh daripada semua hadirin.

Sungguh memalukan. Sebenarnya saya tak tahu kenapa saya buat sebegitu rupa, aksi saya spontan.

Bermulalah sejarah di dalam hidup saya. Sejak daripada itu, ketika beraya atau bertandang di rumah sanak saudara saya akan berkata "saya nak jadi professor atau peguam". Saya nak jadi peguam sebab saya suka bidang pengucapan awam, seperti pidato, perbahasan dan sebagainya.

"Aku conpius dengan kau. Kejap nak jadi lawyer, kejap nak jadi cikgu, kejap nak jadi professor. Aritu menang johan pidato bersungguh-sungguh kau cakap ngan aku ko nak jadi lawyer. Memang loyar buruklah kau".

Saya masih ingat kata-kata ini kawanku, terima kasih kerana menegurku.



*********************************


Saya pernah pun menulis artikel/psot/entri yang bertajuk "Menggapai cita-cita" (klik) satu masa dahulu.



"Bercita-citalah! Bukan hanya untuk duniamu, tapi juga untuk akhiratmu. Pancangkan cita-citamu setinggi mungkin. Iringi ia dengan kesungguhan, perjuangan dan pengorbanan untuk menngapainya. Semoga Allah SWT merahmatimu dengan memperkenankan cita-cita itu terwujud."

Saya korek kembali penulisan dan memori saya, yang telah lama saya pasakkan di dalam diri.

"Kakakku, aku faham maksudmu. Sebenarnya aku segan dan aku tahu, sepatutnya aku tidak perlu segan untuk memberitahu kepadamu bahawa cita-cita aku yang satu adalah redha Allah dalam setiap perkara yang saya lakukan"

Apa pun, terima kasih kerana sudi hadir di dalam kamus hidupku. Kau merangsang aku supaya cepat matang berfikir walaupun luarannya aku tidak sebegitu. Aku pasrah dan redha kau diambil orang dan cuba berlapang dada bahawa orang itu bukan segenetik kita tetapi peluang dakwah yang kau gunakan. Aku hanya mampu berdoa agar kau bahagia di sisinya. Terima kasih sekali lagi atas segalanya. Banyak lagi yang ingin aku tulis, aku perlu banyak "mengumpat" tentangmu dan kisah kita bersama, mungkin untuk entri seterusnya.



**************************



Kembali kepada realiti.

Cuti sependek seminggu jangan disia-siakan! Pasang dan susun strategi peperangan berlawan dengan kemalasan dan perkara lagha (tidak berfaedah). Usah persiakan masa! Semangat semangat!

“Wahai hamba Allah, Allah memberikan kamu masa, dan masa itu sentiasa berlalu. Apakah yang telah kamu lakukan dengan masa kamu dalam bulan ini, minggu ini, hari ini?”





p/s : dah janji semalam nak tulis pasal kahwin muda, malam ni je lah ye. Teruja baru balik dari rumah akak, segar lagi kepala dengan "bebelan" dia. Banyak aku belajar daripada dia, walaupun simple giler, tapi otak aku tiba-tiba cepat tangkap dan mudah proses untuk menghuraikan segala yang tersirat. tulislah apa yang patut.

maaf, sejak akhir-akhir ini banyak gune bahasa "aku", sebelum ini ade gune "ana", "saya". macam tak istiqamah. tapi itulah...depends. tengok pada kesesuaian dan tema penulisan.

sekali lagi maaf segalanya jika  terasa aku ni dan tulisan aku seperti orang riak, sombong, orang tak kenal aku, memang itulah first expression. aku redha dengan perception kamu. insyaAllah. papepun senyum... :)

dan aku dah lame tak tulis novel, maaf jika ade lari dari format novel.

READ MORE

BERTAWASSUL DENGAN ALLAH MELALUI BLOG?


Semalam saya telah berjanji untuk berkongsi tentang "tawassul" yang telah saya ikuti dalam rancangan "Tanyalah Ustaz" TV9. Alhamdulillah Allah bagi masa untuk menonton dan menulis dalam versi diri saya sendiri. Cuma diri berharap para pembaca bolehlah memberi pandangan masing-masing memandangkan diri ini masih jahil lagi tentang displin-displin ilmu Allah. Displin ilmu yang saya belajar tidak sama dengan displin ilmu Allah yang satu ini, tapi insyaAllah akan sentiasa diperbaiki.




ADA APA DENGAN "TAWASSUL"?

Tawassul dalam bahasa Melayu bermaksud pengantara atau wasilah. Dalam konteks ibadah, ia bermaksud tawassul seorang hamba kepada Allah.


APAKAH MATLAMAT BERTAWASSUL?

Kita boleh beri analogi syampu anti-kelemumur. Syampu ini biasa kita beli kat shopping kompleks sebab pakejnya yang 3 in 1 :

1. Hilangkan kelemumur
2. Cantikkan rambut
3. Sihatkan rambut dengan kaedah rawatan tersendiri

Begitu juga dengan tawassul kita kepada Allah. Matlamatnya boleh jadi 3 in 1, boleh jadi 4 in 1 :

1. Mendekatkan diri kepada Allah
2. Membersihkan diri daripada dosa
3. Menolak bala
4. Mengejar syurga Allah



KENAPA PERLU BERTAWASSUL?

Sebabnya senang, Allah lah yang suruh. Bukti?

Rasulullah SAW bersabda, “Allah telah berkata,’Wahai hamba-hamba-Ku, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepada-Ku, niscaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahwa Aku punya kemampuan untuk mengamouni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).”(HR.Ibnu Majah, Tirmidzi).




BAGAIMANA KITA NAK BERTAWASSUL KEPADA ALLAH?

Kalau Pencipta suruh kita bertawassul, pasti Dia ada tunjukkan caranya. Nabi Muhammad SAW diturunkannya ke bumi dalam bentuk manusia, supaya mudah untuk kita yang jahil ini tengok, faham dan praktis.

Mudahkan?

Tawassul kepada Allah boleh melalui ibadah, sedekah, ilmu, objek ataupun orang. Bergantung kepada peredaran zaman. Jika sahabat Nabi dahulu bertawassul dengan beruzlah. Mengasingkan diri dari dunia dengan beribadat di gua.

Berbuat baik kepada semua makhluk bernyawa. bukan saja kepada manusia. "Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah kalau kami mengasihi binatang, kami mendapatkan pahala? Baginda bersabda, 'Berbuat baiklah kepada setiap makhluk, pasti kamu akan mendapatkan pahala'." (HR Bukhari dan Muslim)

Kita pula?

Mungkin saya bertawassul kepada Allah melalui blog ini. Anda pula boleh bertawassul melalui FB.





BERTAWASSUL MELALUI BLOG

Apa sahaja kebaikan yang kita lakukan dengan niat ikhlas semata-mata hanya kerana Allah boleh sahaja dan mampu menjadi pengantara seorang hamba dengan Allah.

Dengan menulis kita mampu menerjang badai yang meresahkan diri. Menjadi senjata yang ampuh untuk MEMBUNUH fikiran yang salah dan membiarkan peluru KEBENARAN terus bersemadi dalam pemikiran manusia!

Jadi dengan menulis atau pun menyebarkan ilmu dan maklumat tentang dakwah, politik, tarbiyyah, kesihatan, kecantikan, sukan dan sebagainya, sama ada ilmu tersebut bersifat duniawi mahu pun ukhrawi boleh sahaja menjadi wasilah kita kepada Allah.

Namun, islam telah terlebih dahulu menetapkan garis-garis panduan untuk kita bertawassul kepada Allah dengan cara yang selamat.

Maksudnya?

Saya beri contoh :

1. Tidak terlampau beribadat sehingga memudaratkan diri sendiri. Lupa soal makan dan tidur hingga badan sakit
2. Tidak menulis atau menyampaikan sesuatu sehingga menimbulkan fitnah dan permusuhan
3. Tidak melebihi had keupayaan diri dalam bersedakah sampai lupa soal makan minum anak dan bini di rumah

Islam itu sederhana. Maka bersederhanalah kita.

"Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad, untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar." (Al-Fath:10)

READ MORE

THE MOST POPULAR POST