TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label MATI ITU PASTI. Show all posts
Showing posts with label MATI ITU PASTI. Show all posts

MIMPI AKU MATI!



Sebenarnya, ada benda yang nak dishare. Sempat terbangun pukul 5 pagi tadi. Malas nak bangun terus, tidur pun pukul 1 lebih. Berat mata sungguh. Aku hanya membaca doa ringkas. Rugi aku tidak ambil peluang ini nanti ada yang merajuk.

Aku tidur semula dan termimpi.

Jelas lagi mimpi tersebut. Aku sedang menaiki bas dalam perjalanan ke tempat yang jauh. Tidak pasti arah tuju. Mungkin Pahang atau Terengganu. Yang pasti cuma keadaan sekeliling yang belatarbelakangkan lereng-lereng bukit.

Lagaknya seperti menaiki bukit di Cameron Highland.

Hati aku berbisik kecil "andaikatalah bas ini tergelincir di bahu jalan....pasti jatuh dan aku akan mati!!"

Lorong-lorong yang dilalui cukup sempit dan amat tajam. Membelok simpang dengan penuh slumber, jantungku pula bagai ingin tercabut! Mungkin pemandu bas ini sudah biasa. Dengan rentak nadi berhati-hati, aku merenung keras setiap belokan bas.

Tiba-tiba dengan tidak semena-mena, bas tergelincir dari track jalannya. Dalam sekelip mata sahaja, sesaat aku bernafas terasa graviti bumi menarik-narik aku dan para penumpang untuk jatuh terhempas ke gaung yang dalam.

"Ah!!! Sudah.....!! Betul sudah apa yang aku kata!"

Dalam pada itu, sempat aku menjerit kepada orang sekelilingku yang masih lagi bisu terperanjat.

"Mengucap semua!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Ingat Allah!!"

Sejurus itu. Aku mengucap kalimah syahadah di dalam Bahasa Arab dengan maknanya sekuat hati aku agar masih ada insan yang boleh berfikir waras terus mengucap sama. Agar masih ada sisa baki untuk terus aku berdakwah walau bayangan malaikat Izrael menyapa dingin. Agar diriku berpeluang mati dalam beriman. Agar masih ada peluang untuk aku tempah banglo di jannah.

Aku ingin masuk syurga bersama-sama mereka. Tidak mahu matiku mati katak. Tidak mahu matiku mati yang sia-sia. Tidak mahu matiku mati yang kesepian. Aku nak mati bersama masuk jannah pun bersama.

Entah macam mana sel-sel otak masih lagi rajin bekerja menghantar impulse dengan sebuah pertanyaan "Apa bekalan yang aku nak bawa ni???"

Spontan lidah hati aku menjawab "Facebook!"

Biarlah aku tinggalkan Facebook untuk mereka tatap dan ambil ibrah. Itulah kenangan terindah sepanjang aku bergelar manusia. Aku ini hidupnya penuh dosa dan noda. Aku menulis pun dengan tangan yang bermandikan darah dosa. Belum sempat men"cuci" sehabis mungkin. Aku hanya sempat meminimakan kekotoran. Semoga masih ada peluang untuk aku di dunia sana.

Dan betullah apa yang diperkatakan di status Facebook yang berbunyi :

"Kenapa perlu rajin tulis status yang baik di Facebook? Biar kalau mati, yang tinggal di dalam Facebook kita adalah yang baik-baik sahaja.Dan sepanjang orang membuka dan membacanya semula nanti,tetap mengalir pahalanya kepada kita di sana."

Sekali lagi. Betullah apa yang dibacakan oleh baginda :

"...Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu..." - potongan daripada khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW.

Allah.....aku jahat. Sangat jahat. Aku mengaku Allah. Bolehkah air mata ini menjadi saksi nanti?

- Ahad, 11 Mac, 12.30 tengahari.

READ MORE

AGAR IMAN TIDAK LAGI PALSU




DUNIA SEMENTARA, AKHIRAT ABADI

Orang yang terlalu memikirkan kemiskinan dikhuatiri akan menghilangkan rasa redha terhadap pemberian Allah serta menambahkan rasa kerisauan. Memikirkan perbuatan orang lain kepada kita akan menyebabkan hati bertambah keras serta menyuburkan perasaan berdendam dan dengki. Dilarang juga memikirkan untuk tinggal tetap di dunia kerana ia akan membuatkan kita semakin gemar menghimpunkan harta dan menundakan amal serta lalai daripada mengingati mati dan hari kemudian.

Menyelesaikan sesuatu masalah yang buntu, merancang sesuatu dan sebagainya biarlah bertempat. Umpamanya ketika bermuzakarah, ketika berseorangan, sebelum tidur (muhasabah diri) atau pada waktu lapang yang lain. Tentulah malang jika seseorang menggunakan waktu mendengar pengajian agama untuk memikirkan sesuatu yang tidak sepatutnya difikirkan di waktu itu. Lebih malang lagi apabila masa sedang bersembahyang digunakan untuk berfikir selain Allah.

Orang yang mengelamun di waktu sembahyangnya diancam dengan neraka Wail. Tetapi inilah yang banyak berlaku, sehinggakan kadangkala kunci yang hilangpun boleh ditemui di dalam sembahyang.

Hakikatnya, orang yang selalu menggunakan akal fikirannya akan dapat membangunkan peribadi mulia dan berakhlak.  Fikirkanlah ke arah kebaikan bukannya ke arah kerosakan. Jadikanlah fikiran kita untuk memberi manfaat kepada orang lain bukan mendorong orang lain membuat kejahatan. Sentiasalah mengamati kalimah-kalimah Allah di dalam Al Quran umpamanya :

"Moga-moga kamu dapat memikirkan,"
"Moga-moga kamu memahamkan,"
"Apakah kamu tidak berfikir?"
"Apakah kamu tidak perhatikan?"



INGATLAH ALLAH SEBELUM AJAL 

Satu perkara yang tidak ternilai harganya ialah makrifat kepada Allah SWT dan ini juga dapat dicapai dengan berfikir. Bila kenal Allah, hati tidak tergamak lagi melakukan maksiat, dosa-dosa lahir dan batin pun akan berkurang.

Hati sentiasa berfikir tentang umur dan ajal. Dengan itu hati akan terdorong untuk menghisap diri mengenai amal-amalnya sama ada sudah cukup atau belum, ini akan menjadi benteng daripada ancaman Mungkar dan Nakir di dalam kubur nanti. Hanya orang yang mempunyai mata hati yang terang saja sentiasa memenuhi kotak fikiran mereka dengan soalan-soalan berikut :

"Bagaimana kesudahanku di waktu sakaratul maut?"
"Selamatkah aku di atas titian sirat?"
"Apakah aku ahli syurga atau neraka selama-lamanya?"
"Apakah aku kenal Allah saat ajal menjemput?"

READ MORE

MEMILIH TEMPAT UNTUK MATI


Siapakah yang mampu melawan takdir saat malaikat Izrail sudah ‘ditugaskan’ untuk mengambil nyawa yang dipinjam. Banyak ceritera tentang kematian namun hanya beberapa minit ia terkesan di hati kecil. Kita tidak tahu, makwe pakwe kita pun tidak tahu, ibubapa kita tidak tahu, kawan kita juga tidak tahu. Tiada siapa tahu ajal masing-masing. Hanya Allah yang tahu.

Justeru, ingatlah kematian yang menanti. Bukan mengejar dan  mengutamakan dunia lebih daripada akhirat.

Siapa yang tidak lupa kubur dan kerosakan serta meninggalkan kelebihan daripada perhiasan dunia?
Siapa yang mengutamakan benda kekal daripada benda sementara dan rosak?
Siapa yang tidak menghitung-hitung harinya dan menganggap dirinya daripada golongan mati?

Buat renungan bersama.

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Andaikan dunia ini di sisi Allah SWT. menyamai nilai satu sayap nyamuk maka tidak akan diberikan kepada orang kafir walau seteguk air."

Syahr bin Hausyab dari Abdurrahman bin Usman berkata :

"Pada suatu malam Nabi Muhammad SAW sembahyang subuh di tempat pembuangan kotoran, maka melihat ulat bergerak dalam kotoran, maka Nabi Muhammad SAW menghentikan untunya menantikan orang-orang, lalu bertanya kepada orang-orang : 
"Apakah kamu mengetahui bahawa orang-orang di tempat ini jijik terhadap ulat ini?" Jawab mereka: "Benar, ya Rasulullah." Maka Nabi Muhammad SAW bersabda : "Demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tanganNya, sesungguhnya dunia ini lebih rendah (hina) di sisi Allah SWT melebihi dari hinanya ulat terhadap orang-orang yang mempunyai tempat ini."

Seorang mukmin meskipun adakalanya mewah dan nikmat, tetapi jika dibandingkan dengan nikmat dan kemewahan yang disediakan untuknya di syurga, maka seolah-olah ia berada di dalam penjara. 

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Dunia sebagai penjara bagi orang mukmin dan kubur bagaikan bentengnya dan syurga tempat tinggalnya. Dan dunia ini sebagai syurga bagi orang kafir sedang kubur sebagai penjaranya dan neraka tempat tinggalnya."

Sebab seorang mukmin jika mati dan diperlihatkan kepadanya syurga dan kemuliaan yang ada di dalamnya, ia sedar bahawa selama di dunia seolah-olah dalam penjara. 

Sedang seorang kafir jika mati dan diperlihatkan kepadanya hukuman-hukuman dalam neraka, maka ia merasa bahawa ia tadi dalam syurga. 

Kerana itu seorang yang berakal tidak akan merasa gembira dalam penjara dan tidak akan mencari kesenangan dalam penjara. Maka seorang yang berakal harus memperhatikan apa yang telah dijelaskan Allah SWT mengenai dunia dalam ayat-ayat Al-Quran, sebab dalam ayat Al-Quran dan sabda Nabi Muhammad SAW cukup perumpamaan yang jelas supaya orang mukmin jangan tertipu oleh dunia.

Fikirkan ayat 24 Surah Yunus :

"Sesungguhnya perumpamaan kerosakan dunia ini bagaikan air yang Kami turunkan dari langit maka meresap kedalam tanah dan menumbuhkan makanan orang-orang dan binatang-binatang, sehingga apabila bumi ini telah berhias dengan segala hasilnya dan indah dan pemiliknya telah mengira ia sangat berkuasa atasnya, tiba-tiba datang siksa Allah di waktu malam atau siang hari, maka jadilah semua itu terketam habis, seakan-akan tidak ada apa-apa sejak kelmarinnya. Demikianlah contoh dunia ini. Kami jelaskan bagi orang-orang yang suka berfikir dan memperhatikan."

Yahya bin Mu'adz Arrazi pernah  berkata : "Dunia ini bagaikan ladang Tuhan Rabbul a'lamin dan manusia sebagai tanamannya sedang maut itu sebagai cangkulnya. Dan Malakulmaut itu sebagai pengetamnya dan kubur sebagai lombongnya dan kiamat sebagai lesungnya dan syurga atau neraka tempat pemuasnya, sebahagian syurga dan sebahagian dalam neraka Sa'ir."

Luqman Al hakim berkata kepada puteranya: "Hai anak, sesungguhnya dunia ini adalah lautan yang sangat dalam dan telah tenggelam di dalamnya kebanyakkan manusia, kerana itu jadilah perahu di dunia ini taqwa kepada Allah SWT"

Bermakna, andai muatan perahu kita adalah taqwa, maka kita akan selamat daripada lautan fitnah dunia. Pilihlah tempat untuk mati dengan biasakan kaki melangkah ke tempat-tempat beribadah. Belajar itu ibadah. Bekerja itu ibadah. Solat itu ibadah. Segala amalan kita adalah ibadah asalkan niat lillahi taala dan kena caranya.

READ MORE

MASIHKAH ADA HARI ESOK UNTUKKU?



Detik demi detik berlalu, usia semakin menjangkau ke 24 tahun, namun hamba masih begini. Hijrah dan anjakan paragdima bagai fantasi di dunia realiti. Tuhan hamba tahu diri terlalu banyak dosa. Semalam hamba merintih padaMu, hari ini hamba masih berdosa sama. Hamba terus lalai dan leka mendambakan dunia. Masihkah ada hari esok untuk hamba berubah wahai Tuhan?

“Barang siapa yang mengerjakan amal soleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (An-Nahl: 97)

Dosa semalam masih menyengat. Meninggalkan sisa baki penyesalan untuk mencuri perhatian Tuhan bukan makhluk penciptaannya. Berbuat dosa kepada manusia tidak sama berbuat dosa kepada Tuhan. Berharap kepada manusia tidak sama berharap kepada Tuhan.

Manusia itu, seberapa hebat pun di mata kita, jangan pernah berharap kepadanya. Kerna, sehebat mana pun, yang namanya makhluk, tidak akan pernah memberikan pertolongan kepada kita tanpa izin Allah SWT. Dan pada dasarnya, semua mahluk sama dengan kita, iaitu selalu berhajat memohon bantuan kepada Allah. Ketahuilah bahawa makhluk itu sangat lemah dan tidak memiliki daya serta kekuatan apapun selain dari yang diberikan oleh Allah, dan makhluk hanyalah jalan pertolongan Allah untuk kita.




Bila mana kita telah benar-benar hanya bergantung kepada Allah, kita akan menyedari bahawa Allah SWTlah yang lebih berkuasa daripada segala mahluk yang berkuasa. Kekuasaan Allah meliputi kekuasaan orang-orang yang berkuasa. Allahlah yang menggenggam jiwa-jiwa orang yang berkuasa. Allahlah yang menggenggam nasib dan takdir kita.

Jadi setelah kita menyedari dan menerapkan seteguh keyakinan di dalam hidup kita, percayalah! Allah SWT akan memberikan pertolongan dan perlindungan pada kita. Kekuatan Allahlah yang akan menolong kita, yang akan mengampunkan segala dosa kita, kerana Allah Maha Mengetahui, Maha Pengampun dan Maha Kuasa atas segala sesuatu. Hidup kita, pekerjaan kita, lingkungan di sekitar kita, semua berada dalam pantauan Allah, dan Allah tidak akan pernah mensia-siakan keyakinan hambaNya yang besandar padaNya.




BERKATI USIA INI WAHAI TUHAN

"Kau ada duit banyak mana pun, kau tak boleh bayar Allah untuk panjangkan umur kau."


Kejadian apa pun yang engkau temui, sungguh pena telah mengering, qadha telah ditetapkan, qadar telah selesai diputuskan, segala ketetapan telah selesai ditulis, pena telah diangkat dan lembaran telah mengering. Mati tidak mengenal masa, pangkat, nama, harta darjah kesolehan.

Manusia yang tidak takut mati adalah manusia yang sentiasa takut dengan Allah. Disebabkan ketakutannya kepada Allah itulah membuahkan keberanian yang sejati untuk menempuh alam yang lain demi bertemu dengan Penciptanya. Dalam riwayat menceritakan bahawa Allah berfirman dalam Hadith Qudsi :

"Aku tidak menghimpunkan dua ketakutan kepada seorang hambaKu, dan Aku tidak memberi dua kelapangan fikiran kepada seorang hamba. Sekiranya seorang itu tidak takut kepadaku di dunia ini, maka Aku akan membuat dia takut di akhirat nanti, Sekiranya di dunia ini dia sentiasa takut kepadaKu, maka Aku akan menyelamatkannya dari segala ketakutan”

Kiranya wasilah umur ini dapat mendekati Allah, pasti pertemuan yang Maha Agong menjadi igauan. Allah SWT menyedarkan kita hakikat kemanusiaan tidak lari daripada kerisauan tentang ajalnya. Umur yang diberi pinjaman sedang menanti detik waktu untuk ditarik semula pada bila-bila masa dan di mana jua.

Maksimumkanlah faedah umur kita dan tolonglah orang lain untuk manfaatkan masa dalam menyambung misi dakwah Rasulullah SAW. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah penggunaan waktu! Bersegeralah! Kerana sabda Nabi SAW bermaksud : "Bertindak segeralah melakukan amal" (diulang 7 kali)

“Wahai Tuhanku, jika Kau jadikan umur ini sebagai ujian dan masa sebagai dugaan, dan Kau uji kami dengan perasaan yang terpendam dalam diam yang tak bertepian. Ketahuilah Tuhanku, separuh dari ujian sudah kami lalui dengan lelah sekali. Saat Kau tuliskan takdir yang menyakitkan, Kau selimuti hati kami dengan harapan agar esok kami bangkit dan teruskan kehidupan. Dan ternyata sehingga sampai waktu ini, tidak pernah ada ragu untuk berpaling dari doa-doa semalam. Moga Kau berkati umur dan segala amalan kami. "

READ MORE

APAKAH AKU AHLI NERAKA SELAMANYA?

berfikir, berzikir dan mengingati mati : menajamkan otak, mendekatkan diri kepadaNya


BERFIKIR DAN BERZIKIR

Imam Shafie seorang ahli fikir Islam yang mempelopori salah satu dari mazhab feqah , berfikir bukan sahaja di dalam sedar bahkan beliau telah menyelesaikan 1000 masalah di dalam tidurnya.

Imam Bukhari yang menghafal sebanyak 60,000 buah hadis dikatakan sama dengan Saidina Umar di zaman para sahabat kerana kepintarannya. Beliau pernah diuji oleh 10 orang ahli hadis yang sengaja mengemukakan sebanyak 100 hadis yang sengaja diputar belitkan. Walau bagaimanapun Imam Bukhari berjaya membetulkan 100 hadis tadi secara hafalan satu persatu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Berfikir sesaat itu lebih baik daripada ibadah setahun."

Berfikir juga diibaratkan sebagai satu cermin. Dengan cermin kita dapat melihat yang mana cantik dan yang mana buruk. Begitulah juga dengan jalan berfikir, diri dapat dinilai sama ada berakhlak baik atau jahat, sifat-sifat mazmumah masih menyelubungi hati atau tidak.

Diam itu lebih baik daripada berkata-kata yang sia-sia. Tetapi bukanlah bermakna diam kosong begitu sahaja. Diamnya itu hendaklah di dalam keadaan berfikir. Hasilnya nanti, apabila bersuara setiap patah perkataan akan dinilai Allah sebagai zikir. Sesungguhnya kata-kata yang baik juga zikir.

 Lukman Al Hakim apabila ditanya, mengapa ia suka bersendirian, beliau menjawab:
"Lamanya bersendirian itu lebih memahamkan lagi berfikir dan lama berfikir itu menunjukkan ke jalan syurga."

Satu perkara yang tidak ternilai harganya ialah makrifat kepada Allah SWT dan ini juga dapat dicapai dengan berfikir. Bila kenal Allah, hati tidak tergamak lagi melakukan maksiat, dosa-dosa lahir dan batin pun akan berkurang.

Cinta yang hakiki hanyalah cinta kepada Allah dan RasulNya. Tanpa berfikir nescaya tidak mencapainya. Sebab itulah orang yang benar-benar bersifat hamba sentiasa mengingati nikmat-nikmat Allah supaya sentiasa bersyukur kepadaNya.

Seperkara yang elok difikirkan ialah jasa orang lain kepada kita. Dengan begitu tentulah tiada lagi timbul hasad dengki, dendam, cemburu, buruk sangka dan marah memarahi. Jasa dan pertolongan seseorang kawan di waktu kita kesusahan sangat berharga, kerana itu mengingatkan jasa mereka akan menimbulkan rasa terima kasih dan mahu membalas jasa.

Berterima kasih kepada manusia hakikatnya bersyukur kepada Allah SWT. Jika dengan manusia dituntut supaya bersyukur, terhadap Allah lebih-lebih lagi.

Jarang manusia memikirkan tentang rahsia di sebalik alam yang terbentang luas ini. Penciptaan gunung ganang yang tersergam gagah, lautan yang luas saujana mata memandang, angin yang bertiup, serta pergantian siang dan malam menandakan adanya kekuasaan Allah dan pentadbiran Nya. Berfikir tentang hal ini akan mendidik hati kita untuk merasakan kebesaran Allah dan kelemahan diri kita.

Tetapi manusia yang rakus akan cepat dikelabui oleh mata benda yang melimpah ruah. Manusia yang sentiasa berfikir akan segera sedar bahawa pintu kejahatan sedang terbuka di hadapannya apabila nikmat yang datang berlebih-lebihan dan kesedaran ini akan menyebabkan dia berhati-hati menggunakan nikmat Allah.

Ramai yang berputus asa bila datangnya berbagai-bagai ujian berbentuk kesakitan dan kemiskinan. Apabila datang sahaja umpatan dan fitnah akan segera pula bersikap melenting, ingin cepat membalas dan berdendam. Tetapi bagi orang yang ada akal fikiran akan merasa bahawa ketika itulah datangnya pembersihan dan pengampunan dosa daripada Allah SWT.

Setiap makhluk yang Allah ciptakan di muka bumi ini tidaklah sia-sia sahaja . Semuanya berzikir kepadaNya. Bagaimana caranya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Bukankah ini satu sindiran kepada manusia yang dikurniakan akal yang sempurna tetapi tidak mahu mengingati Allah malah sombong dan berani melakukan maksiat?

Kita dijanjikan dengan syurga dan pahala tetapi pada makhluk-makhluk lain seperti kerusi, meja, burung, pokok-pokok, awan tidak dijanjikan apa-apa. Oleh itu apakah lagi yang menghalang kita daripada berzikir kepada Allah.

Seorang bijaksana pernah berkata : "Jangan memikirkan tiga macam iaitu:

1. Kemiskinan
2. Aniaya orang lain kepada kita
3. Tinggal tetap di dunia "

Orang yang terlalu memikirkan kemiskinan dikhuatiri akan menghilangkan rasa redha terhadap pemberianNya serta menambahkan rasa kerisauan. Memikirkan perbuatan orang lain kepada kita akan menyebabkan hati bertambah keras serta menyuburkan perasaan berdendam dan dengki.

Dilarang juga memikirkan untuk tinggal tetap di dunia kerana ia akan membuatkan kita semakin gemar menghimpunkan harta dan menundakan amal serta lalai daripada mengingati mati dan hari kemudian.

Menyelesaikan sesuatu masalah yang buntu, merancang sesuatu dan sebagainya biarlah bertempat. Umpamanya ketika bermuzakarah, ketika berseorangan, sebelum tidur (muhasabah diri) atau pada waktu lapang yang lain. Tentulah malang jika seseorang menggunakan waktu mendengar pengajian agama untuk memikirkan sesuatu yang tidak sepatutnya difikirkan di waktu itu. Lebih malang lagi apabila masa sedang bersembahyang digunakan untuk berfikir selain Allah.

Orang yang mengelamun di waktu sembahyangnya diancam dengan neraka Wail. Tetapi inilah yang banyak berlaku, sehinggakan kadangkala kunci yang hilangpun boleh ditemui di dalam sembahyang.





APAKAH AKU AHLI NERAKA SELAMANYA?


Satu lagi jalan kebaikan melalui berfikir ialah memikirkan tentang umur dan ajal. Dengan itu hati akan terdorong untuk menghisap diri mengenai amal-amalnya samada sudah cukup atau belum, ini akan menjadi benteng dari ancaman Mungkar dan Nakir di dalam kubur nanti. Hanya orang yang mempunyai mata hati yang terang saja sentiasa memenuhi kotak fikiran mereka dengan soalan-soalan berikut :


"Bagaimana kesudahanku di waktu sakaratul maut?"
"Selamatkah aku di atas titian sirat?"
"Apakah aku ahli syurga atau neraka selama-lamanya."

Soalan ini akan menghalang diri dari berterusan melakukan kemungkaran dan bergelumang dengan maksiat.





RENUNGAN BERSAMA

Ingatlah orang yang selalu menggunakan akal fikirannya akan dapat membangunkan peribadi mulia dan berakhlak. Ilmu pengetahuan akan bertambah dan dapat menajamkan lagi fikiran supaya tidak jumud dan kosong semata-mata.

Fikirkanlah ke arah kebaikan bukannya ke arah kerosakan. Jadikanlah fikiran kita untuk memberi manfaat kepada orang lain bukan mendorong orang lain membuat kejahatan. Sentiasalah mengamati kalimah-kalimah Allah di dalam Al Quran umpamanya:

"Moga-moga kamu dapat memikirkan,"
"Moga-moga kamu memahamkan,"
"Apakah kamu tidak berfikir?"
"Apakah kamu tidak perhatikan?"




READ MORE

THE MOST POPULAR POST