TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts
Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts

KENAPA LAMBAT PERGI SOLAT JUMAAT?


Seringkali kita melihat hayunan langkah lemah lagi lembap menuju ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Sudahlah lambat, azan berkumandang pun tidak tahu hormat.

Si muda duduk lepak di luar masjid.
Si tua berbual-bual sambil menghisap rokok.
Tidak tahukah ganjaran orang yang datang awal ke masjid?

Inilah masyarakat kita. Dalam masa yang sama, ada juga segelintir jemaah yang datang awal. Namun, apa yang mereka buat?

Si tua mencari-cari tiang.
Si muda mencari-cari saf belakang.

Untuk apa?

Untuk memudahkan mereka menyandar atau tidur di saat khutbah sedang dibacakan. Mungkin si tua sakit belakang dan si muda "khutbah syndrome".

Tabiat buruk masyarakat zaman moden kini semakin menjadi-jadi. Si khatib berbicara bagai syok sendiri. Belum lagi kita sentuh isi khutbah yang merepek. Khutbah yang disampaikan tidak menyentuh tentang isu ummah malahan tidak mendidik masyarakat secara praktikal.

Realiti.

Cuba kita tanya mengapa ada jemaah yang berbual, tidur dan mengelamun ketika khatib membaca khutbah? Apatah lagi yang tidak pergi solat jumaat.

Dan secara amnya, mengapa masyarakat hari ini masih tidak menjadikan masjid atau surau tempat untuk mendapatkan ketenangan jiwa?

Pendapat ringkas penulis, pertama, jemaah merasakan khatib tidak menjadi rujukan yang baik kepada masyarakat di sekelilingnya. Isi khutbah tidak menginsafkan pendengar dengan ayat-ayat yang menusuk jiwa mereka.

Kedua, pengurusan masjid atau surau yang bercelaru. Pihak pentadbiran serta ahli jawatankuasanya terdiri daripada bukan ahli, malah hilang kelayakan untuk mentadbir seperti yang difirmankan Allah menerusi ayat 18 surah at-Taubah :

"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan TIDAK TAKUT melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Ketiga, kurangnya program pengisian masjid seperti kuliah agama, ceramah, forum ataupun diskusi ilmu. Jika kesedaran beragama tidak diterap daripada awal dan secara konsisten, tidak mustahil perkataan masjid menjadi terlalu asing di hati masyarakat.

Keempat, khatib tidak menghayati khutbah yang disampaikan kerana hanya membaca teks sahaja. Rasulullah SAW apabila menyampaikan khutbah, tidak panjang berjela-jela, malah ia pendek dan padat, yang penting baginda memanjangkan solat Jumaat dan baginda sendiri marah mereka yang terlalu memanjangkan penyampaian khutbah.

Dan kelima, peruntukan wang masjid lebih tertumpu kepada pembangunan fizikal masjid, malah kurang untuk digunakan bagi tujuan pembangunan insan. Ini terbukti, kita lihat banyak masjid dibina cantik-cantik, besar dan luas. Tetapi sunyi dan terkunci.

Masyarakat kita bermata materialistik dan disebabkan itu kejahilan beragama membutakan mata hati. Dikatakan masjid terlalu suci untuk dikotori. Hanya boleh hadir jika ada upacara yang penting. Nak kahwin, nak mati baru ingat masjid.

Sebab itu jangan hairan jemaah solat jumaat semakin berkurangan saban hari. Mereka tidak takut untuk tinggalkan solat lebih daripada 3 kali. Amaran Allah tidak ditakuti. Yang ditakuti apabila rezeki dan pekerjaan hilang.

Mana 1 yang penting?

READ MORE

TAKKAN ISLAM HILANG DI DUNIA



Tidak mengapa kalau jadi "melayu mudah lupa",
Kerana mungkin hanya membawa kepada kelupaan kemelayuannya.

Tapi jangan jadi "muslim mudah lupa",
Kerana bimbang ia akan membawa kepada kelupaaan keislamannya.

Berpindah bangsa tidak mengapa,
Kerana masih berbumbungkan agama yang sama,
Asalkan jangan berpindah agama.

Di akhirat nanti, Allah tidak tanya kita bangsa apa,
Yang ditanyakan adalah tentang agama yang kita anuti.



"Istilah ketuanan Melayu adalah berbeza dengan hak keistimewaan Melayu kerana bukan semua yang dapat keistimewaan itu lebih mulia atau tinggi dari orang lain" - mantan mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Mungkin seseorang diberikan keistimewaan disebabkan faktor kekurangannya ataupun kelebihannya. Maka, perkataan ‘keistimewaan’ tidak boleh disamakan dengan ketuanan.

Jika seseorang menganggap dirinya lebih mulia disebabkan faktor keturunan atau bangsanya semata-mata, atau orang lain lebih rendah dari dirinya kerana tidak berbangsa sepertinya, maka itu adalah iktikad yang salah dan menyanggahi ajaran Islam.



BANGSA TERPILIH

Jika itu berlaku, ia boleh menyamai dakwaan Yahudi bahawa mereka ‘bangsa terpilih’ (chosen race). Kebanggaan yang seperti ini ditolak oleh Islam.

Sememangnya istilah ketuanan Melayu adalah istilah yang kabur yang tidak mempunyai pentakrifan khusus.

Jika merujuk kepada perkataan ‘ketuanan Melayu’, ia adalah dari akar perkataan ‘tuan’ kepada ketuanan dan digabungkan dengan ‘Melayu’. Ini, katanya membawa bermaksud orang Melayu berada dalam status ‘tuan’ atau dalam bahasa Arab disebut siyadah (supremacy).

Dari sudut bahasa pula bererti orang Melayu sentiasa berada di atas, lebih tinggi dan mulia kedudukannya dibandingkan dengan orang bukan Melayu. Jika hendak ditakrifkan maka bererti kedudukan orang Melayu sebagai bangsa yang lebih tinggi dan mulia”, katanya.

Justeru, adalah pelik untuk mana-mana pihak cuba mempertahankan ungkapan yang kabur dan tidak tentu maksudnya ini.




DIPANDANG MULIA

Sesuatu bangsa jika mahu dipandang mulia, hendaklah membuktikan kemuliaan itu dalam realiti kehidupan mereka. Melayu, atau selain Melayu boleh menjadi mulia dengan usaha ke arah kemuliaan, bukan sekadar bergantung kepada keturunan atau atas nama bangsa semata.

Memetik Surah al-Hujurat : ayat 13, menjelaskan bahawa kemuliaan insan adalah disebabkan nilai keperibadiannya ; iaitu iman dan akhlak yang mulia yang diistilahkan sebagai taqwa.

Prinsip Islam dalam menilai manusia, bukan berdasarkan warna kulit dan keturunan, tetapi berasaskan nilai kebaikan yang ada pada seseorang insan.

Memetik hadis Nabi Muhammad SAW: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai Hasan oleh al-Albani)”.

Lantaran itu, hujah bahawa ketuanan Melayu adalah tidak relevan berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW :

“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah (Riwayat Muslim)”.



Sumber : malaysiakini

READ MORE

2012 : BAGAIMANA DENGAN MALAYSIA?

2012 : Bagaimana dengan Malaysia?

“Musafir (pergi) wahai ibuku. Maafkan aku. Tiada gunanya. Semuanya hilang di jalan apa yang kumiliki (dirampas polis). Maafkan aku wahai ibu, jika aku tidak menuruti ucapanmu. Makilah zaman (waktu atau situasi). Jangan maki aku. Pergi tidak kembali lagi”.

Pilu. Tidak ada siapa yang dapat menyangka status terakhir di Facebook ini mencetuskan revolusi. Tidak ada siapa yang boleh meramal aksi bakar diri seorang pemuda Mohammed Bouazizi di kota Sidi Bouazid menginspirasi revolusi musim semi bukan sahaja di Tunisia bahkan seluruh rantau Arab.

Sebuah revolusi telah tercipta. Tumbangnya rejim yang zalim dan diktator. Semangat revolusi tersebut terus merebak. Ia amaran kerasa buat penguasa yang korup dan zalim lagi menindas.

Tidak disangkal, bahawa faktor ekonomi berperanan kuat dalam perubahan di sejumlah negara Arab, seperti yang ditulis oleh Mufti Mesir Syeikh Ali Jum'ah di dalam suratnya bersempena Tahun Baru pasca revolusi Mesir :

"Tak bisa dimungkiri, ekonomi adalah soko utama kemajuan yang harus dicapai Mesir saat ini."

Tapi apa yang lebih penting untuk kita teladani adalah faktor karaamah (harga diri) bangsa Arab sehingga membangkitkan kembali jiwa qaumiyah (kebangsaan) yang menuntut kedaulatan dan kebebasan daripada pengaruh-pengaruh asing.

Banyak penganalisis Arab mengingatkan bahawa bangsa Arab saat ini bangkit menuntut kebebasan daripada pelbagai bentuk pengaruh Barat yang selama ini menginjak-injak martabat mereka selaku bangsa termundur dan kebelakang dalam daerah penjajahan.

Memasuki tahun 1433/2012, bangsa Arab di kawasan Timur Tengah, mengawalnya dengan perubahan sehingga, hampir tidak lubang untuk para penguasa baru mengorbankan aspirasi rakyat. Tidak ada lagi layanan istimewa untuk kepentingan Israel dan sekutu-sekutunya meskipun dengan ancaman pemotongan bantuan ekonomi.

Namun, yang terpenting setelah itu adalah bagaimana mengarahkan revolusi tersebut agar sejalan dengan tujuannya?

Apalagi tentangan pasca revolusi tidak kalah sukar dan berat daripada tentangan sebelum revolusi meletus.

Revolusi.

Revolusi seumpama ini bukanlah suatu yang baru dalam dunia Islam. Tidak ada bezanya juga dengan apa yang terjadi di dunia Arab seperti pasca tumbangnya rejim Raja Faisal dan Saddam Hussein di Irak, Raja Fuad dan Anwar Sadat di Mesir, Shah Reza di Iran dan sebagainya.

Kesemua perubahan ini memberi hasil yang sama, yakni tumbangnya satu rejim pemerintahan dan diganti dengan rejim lain, tanpa adanya perubahan sistem. Akibatnya, hal yang sama berulang ke atas umat Islam. Berterusan dihimpit penderitaan demi penderitaan hasil penindasan pemimpinnya sendiri. Sungguh, umat ini telah berkali-kali terjebak dalam proses yang sama walhal Rasulullah SAW melarang hal tersebut, sabda baginda :

“Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali” [HR Bukhari dan Muslim].

Pengajaran penting daripada semua ini adalah bahawa perubahan dan penggantian rejim bukanlah penyelesaian kepada masalah umat Islam. Pangkal masalahnya bukanlah pada sosok Mubarak, Ben Ali, Soeharto, Musharraf, Qaddafi, Raja Abdullah atau rejim-rejim lainnya.

Pangkal masalahnya adalah IMAN!

Di dalam diri mereka tidak pernah ada rasa takut kepada Allah. Tidak gentar melakukan jenayah politik. Mereka sanggup menggadai maruah agama demi kepuasan nafsu serakah. Sesungguhnya para penguasa ini memiliki mata tetapi tidak digunakan untuk melihat. Mereka memiliki telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar. Mereka memiliki hati tetapi tidak digunakan untuk merenung dan berfikir.

Bagaimana mungkin mereka boleh memijak-mijak rakyat dan inginkan rakyat diam? Bagaimana mungkin mereka boleh mencampakkan Islam ke belakang dan inginkan kaum Muslimin tidak melakukan revolusi? Bagaimana mungkin mereka sujud kepada si kafir dan inginkan para pejuang kebenaran menutup mulut?

Wahai para penguasa, wahai orang-orang yang zalim!

Sesungguhnya umat ini adalah umat yang beragama Islam. Selama mana mereka tidak diperintah dengan Islam, dengan kesetiaan kepada Allah, RasulNya dan kaum Mukmin, maka tidak ada seorang pun penguasa yang zalim dan jahat yang akan dapat bertahan lama di tengah-tengah mereka umat. Meskipun mereka diam sejenak terhadap kezaliman pemimpin, namun hati-hati kecil mereka tidak bodoh. Mereka tidak tidur.

"Kelopak mata orang-orang yang berjuang tidak akan pernah pejam terhadapmu! Ia hanyalah diamnya seekor singa sebelum menerkam."

“Sesungguhnya Allah membiarkan orang yang zalim (berkuasa seketika) sehingga apabila Dia mengambilnya, Dia tidak akan melepaskannya” [HR Bukhari dan Muslim]

Bumi Malaysia ini pasti tidak terlepas. Sudahkah kita bersedia?

READ MORE

BUANG EGO JEMAAH


Aku benar-benar rindukan kemenangan islam.

Aku rindukan saat ketika mana ulama'-ulama' dimuliakan dan dijadikan rujukan dalam pemerintahan. Saat ketika mana umat Islam, beramal dengan ajaran Islam yang sebenar-benarnya.

Aku rindu untuk melihat pemuda sehebat Al Fateh, takwa, ilmu dan usahanya. Subhanallah. Janji nabi terkota di tangannya. Allahuakbar!

Aku rindu untuk melihat barisan pemuda sehebat tentera Al Fateh, ketakwaan, keikhlasan dan semangat mereka untuk memenangkan Islam. Sekalipun berhadapan dengan kematian, mereka terus mara demi mengejar akhirat. Mereka merindukan kematian, bukan takut padanya.

Aku rindukan pemuda setekad Hasan Ulabete, biar jasad menempah syahid, tugasnya terlaksana sempurna, memasakkan panji Islam. Allahuakbar!

Rinduku ini, bisakah terubat?

Walau dinukil. Walau diukir. Walau dicoret kerinduan ini oleh sahabat yang berbeza. Berlainan warna ideologi pembawaan islam, aku tetap bersangka baik. Aku tetap berlapang dada selagi displin manhaj yang didukung digaris oleh syariat. Bukan sekular. Bukan liberal. Bukan sahaja kapitalis.

Biarpun hati sakit sahabat keluar masuk jemaah. Futur, lari, dipecat atau disingkir daripada pintu jemaah, namun rumah kita tetap sama.  Islam. Tiada hasad dengki untuk memenangkan islam. Tiada masa terbazir untuk persengketaan dalam menegakkan syiar. 

Usah dilayan emosi perpecahan. Setiap kejadian pasti ada hikmah.

"Dalam hidup ini jangan selalu menyulitkan keadaan yang mudah kepada susah. Tetapi seringlah untuk cuba memudahkan urusan. Terutamanya ketika mahu berdakwah. Proses penambahbaikan itu dimulakan daripada diri sendiri. Sungguh. Siapalah kita, siapalah jemaah kita untuk memberi nasihat dan panduan tetapi bermula daripada kita akan lahirnya pemberani Islam yang lain. Mudahkan urusanmu dengan yang lain, insyaAllah, urusanmu akan dimudahkan olehNya. Kristalkan ego kita. Buang ego jemaah."

Allahurobbi. Kuatkan hati pemuda pemudi Islam, ikhlaskan hati kami. Kerana kami rindukanMu Tuhan. Rindukan haruman syurgaMu. Allah, ampunilah segala dosa kami, tetapkan hati kami di jalan keredhaanMu. Tuhan, perjuangan ini bukti cinta kami kepadaMu. Berilah kami kekuatan untuk menjadi pejuang agamaMu yang setia, soleh dan solehah.

Ayuh, mujahadah untuk buang cinta dunia yang berkarat. Runtuhkan kekebalan ego yang menjauhkan cinta akhirat untuk dipenuhi. Agar ia tumbuh subur di dalam hati.

Sejarah membuktikan. Islam menang, kerana pejuangnya sungguh dekat dengan Allah. Masanya sudah tiba. Bersatu merobohkan tembok kezaliman! Bebaskan ketidakpersefahaman yang menebal. Tetapi bersungguh mencari titik solidariti. 

READ MORE

PERTAMA KALI SAYA LUAHKAN PERASAAN





Bismillahirrahmanirrahim. Dengan izin nama Allah, saya menulis artikel untuk kali ini dari hati ke hati. Ya. Dari hati ke hati. Walaupun bakal menjadi panjang lebar, tetapi bersabarlah membaca. Kerana saya perlu luahkan juga apa yang terbuku. Sudah lama saya simpan perasaan ini. Sekian lama saya memendam rasa.

Mungkin selama ini, ada sesetengah pembaca meluahkan hati, masalah dan kerisauan kepada saya. Jadi, kali ini tibalah giliran saya pula. Dengarlah isi hati saya pula. Saya ikhlas ingin mengajak pembaca rasa apa yang saya rasa. Faham apa yang saya fahami. Berfikrah seperti fikrah saya.





1. POLITIK. "Dulu berminat dengan blog Dr, selalu datang melawat menambah ilmu.. tapi bila dr dah mencampurkan isu poLitik, agak tersentap, dan semakin kurang rasa ingin menjejakkan kaki ke blog dr" :(

Saya tahu sejak akhir-akhir ini ramai tidak sudi berkunjung ke blog saya. Bukan sekali dua komen begini. Banyak kali. Ada yang menyindir. Ada yang kecewa membawa hati. Sedih. Geram. Memberontak.

Bila melihat situasi begini. Saya terkenang zaman di sekolah. Perasaan yang sama dilahirkan.

Rumah saya kecil dan sempit dahulu, hanya memuatkan saya dan abang untuk belajar di hadapan TV. Setiap hari saya mendengar berita di TV3. Tetapi saya kehausan. Mencari-cari sesuatu.

Ramai kawan pelik dan menyindir saya membaca Harakah. Gaya saya membaca Harakah lebih syok daripada membaca buku sekolah. Siap bergaris dengan pen merah dan mengamati satu baris ayat ke ayat lain. Berjam mengambil masa untuk menghayati Harakah.

Kalau orang lain sudah tentu bosan. Artikel yang panjang amat letih untuk dibaca. Tetapi saya cukup puas! Banyak informasi, ulasan, fakta, bukti dan hujah yang tiada di TV. Pantang saya kalau Harakah dijadikan bungkusan nasi lemak seperti Utusan. Cukup beza.

Hujah yang diselami ayat-ayat Al Quran begitu meyakinkan. Cukup dalam maksud tersirat di sebaliknya. Kebetulan saya pemidato sekolah. Menjadi habit saya membaca secara kritikal. Mengkaji bukti dan logik untuk berhujah.

Cuma peliknya di tingkatan 5, saya tak pernah buat "homework sekolah" tetapi saya suka buat homework rumah ini. Walaupun meja saya paling hadapan dan bertentangan dengan meja cikgu di kelas, saya tak pernah buat kerja rumah atau latihan Bahasa Melayu walaupun sesi pengajaran. Tetapi setiap peperiksaan Bahasa Melayu saya pasti dapat A dan kertas karangan saya diphotostat oleh kawan-kawan sekelas.

Saya berkongsi dengan kawan-kawan, pentas pengucapan awam seperti pidato, debat dan perhabasan menjadi kunci atau medium kejayaan. Bahasa Melayu hanya perlu banyak membaca mengikut etikanya. Maksudnya, membaca pelbagai sumber dan perlu dikaji bukti untuk menguatkan hujah sandaran.

Saya, ketika itu, membesar dalam keadaan tertanya-tanya :

a. Salahkah saya hanya membaca Harakah? Perlukah disorok-sorok?
b. Haramkah? Berdosa besarkah membaca Harakah? Saya pembangkang?
c. Persepsi begini siapa dan media mana yang cipta?
d. Di manakah kebebasan saya? Kebebasan media? Kebebasan bersuara?

Sejak daripada "trauma" sedemikian  saya rasa negara ini memang "lain macam".





2. KEADILAN. Perlukah keadilan dan kebenaran disembunyikan? Sebagaimana kita mahu orang lain adil kepada kita. Poltik begitu juga. Walhal politik banyak mentarbiyyah (mendidik) diri bahawa kebenaran perlu ditegakkan. Kebatilan perlu diperkatakan. Membuka aib dan bercerita keburukan pemimpin adalah harus dan boleh jatuh wajib berdasarkan kezaliman dan penindasan yang melampau.

Berkata benar walaupun pahit. Jika urustadbir amanah, bersih dan adil, tiada sebatang tubuh pun akan mengkritik kerajaan.

Adakah kerajaan kita terlalu maksum untuk dikritik?
Kenapa tidak dilayan kritikan secara berhemah dan profesional?
Di mana hak bersuara rakyat?

Banyak juga artikel politik yang saya tulis dalam blog ini. Baca, fahami dan kajilah sebaiknya.

Saya masih ingat satu ketika di tingkatan 3, dalam Harakah bahagian soal jawab bersama Timbalan Mursyidul PAS, Dato' Dr Harun Din, soalan dan isunya lebih kurang sama. Sampai sekarang saya masih ingat analogi mudah yang diberikan oleh beliau bahawa :

"Politik itu diibaratkan seperti tandas. Tandas yang baru siap pada permulaannya bersih tapi telah menjadi kotor dek sikap tidak bertanggungjawab pengguna tandas yang mengotorkannya sesuka hati"

Politik tidak kotor sahabatku.

Politik hanya menjadi kotor bila pengotor mengotorkannya. Merekalah orang yang langsung tiada integriti dan jauh daripada agama. Seperti yang diperli oleh Rasulullah SAW dalam 1 hadis popular, bahawa umat akhir zaman ini lebih cintakan dunia, takutkan mati. Mereka tidak tegakkan islam dalam diri dan keluarga mereka.

Apatah lagi masyarakat?

Sekali lagi saya ingatkan. Diri kita perlu bersikap adil dengan politik. Anda jauh dengan politik kerana kerajaan yang memerintah pada hari ini. Anda boleh salahkan mereka. Saya kupas secara rambang dari sudut individual, ideologi pembawaan, pengaruh sosial dan psikologi.

Bukti :

a. Nilai integriti politik kotor pemerintah. Mengamalkan rasuah, menyeleweng duit rakyat, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya. Terlalu banyak bukti kes berprofail tinggi yang rakyat sudah tahu. Tetapi masih tiada tindakan serius. Ibarat mengubati kanser tahap 4 menjadikan barah usus yang membusuk. Jika displin agama tidak ditegakkan dalam diri sendiri, bagaimana menegakkan agama dalam negara?

"Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah." Demikianlah ucapan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq ketika dilantik menjadi khalifah. 

b. Ideologi pembawaan. Dengan bertunjangkan ketuanan Melayu kononnya untuk mengembangkan islam. Kita boleh nilai sejauh mana keberkesanan ideologi ini dalam arus islamisasi. Tidak perlu dibawakan fakta yang terlalu sarat tentang peningkatan saban tahun statistik kes murtad, zina, anak luar nikah, penghidap AIDS/HIV dan kes jenayah yang lain.

Berkiblatkan fikiran logik manusia yang lemah dan menolak hukum Tuhan dalam menyelesaikan kerosakan yang dibuat oleh manusia sendiri. Tidak perlu sentuh bab hudud, undang-undang syariah yang sedia ada berkurun lamanya belum lagi dikuatkuasakan sepenuhnya. Malah orang agama sendiri boleh menyeleweng wang zakat demi kepentingan sendiri dan kes ini tidak diadili seperti selayaknya.

c. Pengaruh sosial. Setiap hari rakyat disajikan dengan hiburan yang melampau. Ideologi hedonisme yang menguntungkan duit poket. Tidak perlu saya cakap banyak lihat sahaja di lubang telinga remaja. Siang malam disumbatkan dengan earphone. Fesyen-fesyen terdedah dan songsang daripada syariah menjadi kegilaan setiap lapisan masyarakat. Masyarakat terdidik dengan habuan materialistik dan keduniaan.

Anak yang baru sahaja lahir telah menghirup udara kerosakan dan keruntuhan nilai moral. Mereka membesar dengan tidak normal. Tidak kenal agama. Jangan terkejut jika terjumpa stastistik tinggi menunjukkan pelajar sekolah rendah tidak reti solat dan sudah berpasangan. Malah ada yang mengaku dengan bangga tiada dara.

d. Psikologi. Suapan demi suapan keduniaan oleh pihak pemerintah menyebabkan rakyat mementingkan diri dan tidak cakna dengan kesedaran penghayatan beragama. Jika mereka sedar politik sebahagian daripada agama dan aqidah mereka, kerajaan sesekali tidak akan berani menyentuh wang rakyat! Mereka pasti takut melangar perintah Allah.

Tetapi sebaliknya berlaku. Mereka berjaya "psycho" rakyat dengan sogokan wang dan habuan dunia. Sama ada directly or indirectly. Rakyat terkunci. Diam membisu. Terhimpit antara miskin atau kaya. Antara benar atau salah. Seperti robot meneruskan kehidupan ala kadar. Jika seorang pelajar lebih gemar kepada 4K : Kafe, kuliah, katil dan "kapel".

Jika anda seronok membaca gosip. Atau hanya membaca ruangan agama tanpa politik, berhati-hati dengan pemahaman aqidah sebenar anda. Negara ini kita yang punya. Politik islam adalah cita-cita kita. Pemimpin islam berada di tangan kita. Ubahlah pemimpin yang terlalu kronik penyakit kedegilan beragama. Penyakit ini memang tiada ubatnya. Hanya tunggu saat pacakan dua batu nisan di atas kubur kezaliman. 

Mungkin setakat ini dahulu perkongsian saya dari hati ke hati. Bisa berhujah sudah lama terlucut dek ketidakbiasaan melontarkan pendapat lagi kerana dimamah masa kesibukan perubatan. Kamu beruntung. Punya masa yang banyak dengan kehidupan sosial. Saya tidak pasti apa perasaan ini. Pagi-pagi lagi dengar seorang doktor merungut, "belajar jadi doktor susah, nak jadi doktor pun lagi susah".

Yang pasti, doktor bukan sebarangan doktor. Doktor untuk ummah tidak akan berhenti menjadi hamba kepada hospital. Cita-citanya tinggi tetapi menuntut doa daripada kalian juga.

Sedikit pesanan saya.

1. Saya bukan Hilal Asyraf mahu pun blog Dr Cinta yang menulis hanya untuk cintan cintun, soal hati atau keagamaan dengan menolak tepi soal politik, isu semasa dan negara. Bakat ini untuk ummah bukan dipendam. Sampai bila diri kita nak maju terkehadapan bila tiap-tiap hari asyik berbincang topik cinta dan masalah hati. Negara dan islam sedang memerlukan pemikiran kritis anak muda.

2. Saya tidak kisah pengunjung blog, follower atau peminat blog ini makin berkurangan. Keadilan dan kebenaran memang pahit. Lagipun saya tidak rugi apa pun. Anda menolak kebenaran. Andalah rugi.

3. Sudah ditekan awal lagi. Blog ini sekadar berkongsi. Saya masih jahil dan bertatih dalam dunia termasuklah dalam bidang saya sendiri. Jadi saya mengambil stand bahawa, hakikat kejadian seorang dai'e bukanlah pengajak semata-mata tetapi berkongsi. 

Sebab apa? Kalau ajak, orang tak nak kita akan frust menonggeng. Akhirnya, kita sendiri angkat kaki tinggalkan dakwah. 

4. Jadilah pelahap dalam membaca. Bukan sekadar membaca melepaskan batuk di tangga tetapi kritis dan kritikal dalam menilai. Biasakan diri. Sudah tentu ketemu kebenaran. Seperti islam juga. Islam kita hanya diwarisi, kita perlu mencari kebenaran islam yang sebenarnya di dalam diri kita sendiri. Tiada istilah rehat mencari kebenaran.






READ MORE

PESTA SEKS vS PESTA DARAH 2012


Setiap kalian adalah pemelihara. Maka dia bertanggung jawab atas apa yang dia pelihara!

"Seorang penguasa adalah pemelihara atas rakyatnya dan dia bertanggung awab atas mereka. Seorang lelaki adalah pemelihara atas keluarganya. Dan dia bertanggungjawab atas mereka. Seorang wanita adalah pemelihara atas rumah tangga suami dan anak-anaknya. Dan dia bertanggung jawab atas mereka. Seorang budak adalah pemelihara atas harta tuannya. Dan dia bertanggungjawab atasnya. Ketahuilah! Setiap kalian adalah pemelihara dan setiap kalian bertanggung jawab atas apa yang dipeliharanya.” (Muttafaqun ‘alaihi)

Di mana kita saat tahun baru? Ada sebarang komen?


1. BERPELUK TUBUH

Macam-macam hadis dan fatwa dikeluarkan untuk mengelak dihukum dan diperli oleh kawan kerana tidak ikut serta sambutan alternatif tahun baru. Namanya pun alternatif. Tahun ini begitu banyak jemaah dan badan NGO mensajikan program-program ilmiah dan hiburan mendidik jiwa. Satu pun tak terliur untuk pergi.

Fiqh aulawiyyat.

Sekadar berpeluk tubuh dan mendiamkan maksiat itu tidak rasional. Para dai'e perlu meWAJIBkan diri turun ke lapangan dakwah. Cuba lihat situasi di Dataran Merdeka, sebagai contoh. Perlukah dibiarkan remaja berpesta seks di sana?

Kita masih ada kudrat untuk mengintima'kan diri atau berpartisipasi dengan mana-mana badan/gerakan menjalan amar makruf nahi mungkar. Hanya tanya pada iman.



2. KEINDAHAN BUNGA API

Ada 2 ragam manusia di atas muka bumi ini.

"Wow!!! Cantiknya bunga api. Tengok tu! Colourful lah ayang!" sambil merakam di handphone yang tak berapa canggih. Sebelah tangan lagi pegang awek. Terkinja-kinja mereka dalam lautan manusia di Dataran Merdeka. Banyak aksi begini.

"Allah...bunga api meletup. Duit rakyat hangus terbakar. Allah..Allah.." sambil memegang periuk nasi yang kosong. Mulutnya ternganga. Matanya membulat. Air liurnya hanya mampu ditelan melihat bunga api di TV. Anak-anaknya yang merengek lapar tadi terbisu seketika apabila "jakon" tengok bunga api.

Berapa agaknya kerajaan sedekahkan duit untuk membakar bunga api? Kos bersih tidak termasuk dengan amukan konsert di atas pentas.

Gemuruh jiwa Faizal Tahir memang "gila"! Macam dirasuk dibuatnya. Terpukau dengan kegemuruhan. Ada melompat-lompat. Menjerit histeria. Tidak ketinggalan semakin rancak dengan aktiviti ringan-ringan tadi.



3. LAWAK BODOH SI ULAMA UMNO'

Ada orang kata mereka bodoh sebodohnya. Sesat. Pelik. Kenapa?

Ulama' UMNO serang Ustaz Azhar Idrus gara-gara main gitar dalam satu persembahan bersama Zizan Raja Lawak di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

"Orang buat benda baik dilarangnya. Kecoh! Masjid Shah Alam sudah la tak bagi. Nasib baik dapat Dataran. UMNO buat pesta seks takde nak kecoh plak. Ibarat mencari popular. Dialah jaguh agama yang paling bertauliah. Tak payahlah jeolus dengan Ustaz Azhar yang ramai peminat"

Saya tak hairan orang komen begitu. Bak kata Nabil "Lu pikirlah sendiri!"
Fiqh aulawiyyat. 



4. MACAM MINTA BALA ALLAH


Dalam satu forum sempena tahun baru di Masjid Jamek, ada seorang pak cik bangun bertanya soalan.


"Adakah bala Allah turun baru manusia tidak menyambut tahun baru? Seperti yang berlaku tsunami di Aceh pada hari sambutan Christmas, bulan Disember Tahun 2004. Semua masjid diarahkan membaca yaasin dan tiada sambutan tahun baru ketika itu!"

Mengancam soalan pak cik. Takut semua orang dibuatnya. Tanda-tanda hari kiamat.



5. AMBANG ATAU MAMBANG TAHUN BARU?

Mari berkongsi fakta.

Berdasarkan kepada laporan rasmi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melaporkan terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa, sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008.

Ini bermakna secara purata, 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari. Jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat!

Amat menyedihkan kerana menurut statistik pendaftaran kelahiran kelahiran anak luar nikah dalam tempoh 4 tahun sahaja (1999-2003) 30,978 dari 70,430 (44%) orang bayi tidak sah taraf yang dilahirkan adalah anak orang ISLAM.

Dan statistik tertinggi anak luar nikah dilaporkan pada bulan 9! Selain bulan-bulan yang ada pesta besar sempena peristiwa bear negara.

Runtuhkan sahaja Sekolah "mari mengandung" Ketua Menteri Melaka, DS Ali Rustam. Tidak berguna.



6.  TAHUN DEPAN PASTIKAN GEMPAK!

Kebanyakan jemaah sambut tahun baru di masjid. Macam syok sendiri. Dia dengan dia sahaja. Dunia assobiyah kata orang. Tertutup dan terkunci kemas.

GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam se-Malaysia) seperti tahun-tahun lepas, juga menyambut di masjid. Bezanya diselitkan aktiviti praktikal dakwah. Edar flyers, kad GAMIS dan buah tangan kepada target.

Wakil ABIM dalam satu forum juga komen benda yang sama.

Gerakan dakwah perlu agresif dan fleksibel. Bukan buat program di masjid tertutup. Tetapi terbuka seperti di dataran. Wajar menganjurkan program bersifat syariah compliance yang funky, hip dan adventorous. Kena pada selera remaja.

Ustaz Azhar Idrus telah buktikan. Anak muda bila lagi?

Jangan jadi seperti UMNO. Bak kata pepatah arab. Sebelah tangan kanan membina bangunan. Sebelah tangan kiri meruntuh.



7. PESTA DARAH MAHASISWA


UPSI bermandi darah di tahun baru 2012. Hadiah untuk mahasiswa yang berani bersuara demi keadilan. Bagi  masyarakat di luar sana, rentetan daripada peristiwa ini panjang. Sangat panjang. Tidak perlu terus meletakkan noktah tanpa selidik di awal cerita.

Banyak persoalan.

a) Salahkah anak muda berhimpun secara aman menuntut keadilan? Tanpa bersenjata? Setelah segala rundingan aman dan diplomasi secara berhemah dibakulsampahkan?!


Info lanjut (klik)




b) Kenapa Aspirasi (pro-kerajaan) dan pemuda UMNO boleh dibenarkan berdemonstrasi pada 21 Disember yang lepas tanpa sebarang gangguan?

c) "Polis binatang!" Satu pekikan lantang untuk sifat kebinatangan polis berlagak seperti samseng terhadap batang tubuh mahasiswa. Anda yang mulakan provokasi dahulu dengan mengacah mahasiswa supaya bertindak agresif.

Selepas itu rakus sekali dengan aksi kebinatangan. Tumbuk, sepak terajang, belasah dan menangkap mahasiswa sesuka hati!

Tidak berhati perut! Merampas kunci kereta bila saudara Safwan Anang hendak dikejarkan ke hospital kerana pengsan setelah anda kerjakan. Mahasiswa merempuh klinik untuk selamatkan nyawa sahabat kami, tapi anda masih nak bergelut dengan kami.

Hari ini, anda tulis di akhbar kami pukul sesama kami. Anda layan kami dengan cukup baik! Najib kata "baru kena sikit tu!" 

Tahniah dan syabas atas sandiwara kebodohan politik UMNO. Tahniah atas layanan yang cukup mesra kepada mahasiswa berbanding Aspirasi dan pemuda UMNO.

Cukuplah nikmat akal yang diberi.


Sikap "double standard" dan tidak peduli dengan suara mahasiswa pastinya mempercepatkan proses pacakan batu nisan di atas robohan entiti kezaliman dan penindasan. Korban darah keganasan polis dan FRU sudah tentu dibayarbalik dengan "cash" di dunia lagi. Tidak perlu tunggu lama.

Benar!

Jika mahasiswa tidak boleh bersuara, apa guna mahasiswa belajar tinggi-tinggi? Bersuara terhadap keangkuhan diktator tidak dibenarkan. Apa guna menjadi cerdik jika hanya diperbodohkan oleh kezaliman? Tak apa. Sekatan itu cuma sementara. Terima kasih kepada semua pejuang mahasiswa. Jutaan lagi anak muda yang mahukan perubahan dan ramai lagi cerdik pandai mahasiswa yang akan bangun dan memimpin negara pada masa depan.

Hancurkan kezaliman!!!

READ MORE

RAUNGAN TARBIYYAH!


Paluan gendang kemahasiswaan berkumandang, gegak gempita bumi Allah tatkala mahasiswa berpencak di pentas persada menyuntik kejantanan dan semangat para mahasiswa. Cabaran mahasiswa ketat. Ayuh longgarkan melalui partisipasi bersama gerakan. Kerja susah jadi mudah. Kerja berat jadi ringan.  Kerja besar jadi kecil. Mahasiswa perintis kepimpinan negara! Ayuh!

"Tegakkan Islam dalam diri kamu, nescaya, Islam akan tertegak dalam negara kamu." Cabaran yang paling besar adalah datang dalam diri mahasiswa sendiri.

Kemenangan yang dicita-citakan mesti datang dari dalam diri, bukan mengharapkan kelemahan dan kealpaan dari musuh!

“Allah memberikan hikmah (ilmu pengetahuan) kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan bererti ia telah diberikan kebaikan yang banyak”. (Al-Baqarah:269)


Benar. Kita mahasiswa. Ada mata dan telinga. Kita lihat dan dengar. Kita baca dan faham. Kita analisis sebelum berkata. Kita kaji sebelum berhujah.

Mahasiswa tidak mati dengan pandangan yang berbeza. Kecuali berpeluk tubuh. Tidak memikirkan masalah rakyat apalagi masalah umat.

Hidup mahasiswa adalah sebuah pilihan. Pilihan untuk menjadi hitam atau putih. Plihan untuk memilih gelap atau terang. Pilihan yang akan menetapkan bahagia atau sengsara. Dan mahasiswa bebas untuk memilih. Itulah sebenarnya inti dari kehidupan.

Mahasiswa perlu berani terkehadapan membela kebenaran menghapus kezaliman.

Kebenaran itu bukan rangkaian aturan-aturan yang bisa dipermudah atau dipersulitkan. Kebenaran itu sebuah proses, seperti udara pagi yang dihirup secara perlahan-lahan ke tubuh. Menyegarkan hati dan fikiran. Bayangkan yang dihirup itu angin puting beliung. Tubuh tidak hanya hancur, tapi terhempas tak berdaya. Dibawa arus tak tentu arah.

Sesungguhnya!

Kejahatan. Kezaliman tidak selamanya kekal. Kebenaran tidak selamanya pudar. Jika dibenarkan perkara yang jahat maka suatu hari nanti akan diketahui yang jahat akan tetap jahat, dan yang benar akan tetap benar. Kebenaran dan kejahatan tak akan bersemayam diatas singgahsana yang sama.

Jauhi suara-suara sumbang yang mengatakan gerakan mahasiswa adalah gerakan yang ‘retorik’ kerana perlu ditegaskan. Mahasiswa ada padangnya tersendiri. Jatuh bangun, menang kalah biarlah dirasai sendiri di atas padang yang sama rata. Bukan dianaktirikan.

Perlu diingatkan tiada gunanya menang dan memegang jawatan sedangkan dalam keadaan tidak memahami apa signifikan jawatan tersebut dan apa yang boleh disumbangkan kepada masyarakat.

Itu zalim namanya.

Almarhum Dato' Hj Fadzil Mohd Noor menyebut kejayaan bagi satu cita-cita atau fikrah hanya akan tercapai dengan keimanan yang kuat. Keikhlasan yang padu. Serta kesediaan untuk bekerja dan berkorban secara berterusan. 

Bukan merompak harta dan menyeleweng kuasa.

Laungan keramat mahasiswa menggengar seisi langit. Jangan dicabar MAHASISWA. Jiwanya BESAR dan MERAH!!! Resam MAHASISWA :

"Jika Disekat MELAWAN ditahan MENGGANAS. Ditanya MENJAWAB. Dipukul MEMBALAS"

READ MORE

JENAYAH DUNIA DAKWAH?

refocus pendekatan dan matlamat : dunia atau akhirat?


Dialek bahasa :

"Apa ni anta, anti, ana..tak rock la bro. Pakai la lu, gua. Masyuk sikit ngan orang muda."

Pakaian :

"Pak Ustaz, kalau nak kamceng ngan kami, kena tanggalkan serban, kopiah, jubah, dan janggut. Pakai baju fit sikit dengan seluar jin. Baru nampak ustaz rock!"

Amalan :

"Ceramah ape kes! Gua nak rilek-rilek la bro. Konsert lagi gempak bro. Layan gitar, youtube, futsal, facebook, angry bird sumpah tangkap cair bro! This is the best bro! Gua caya sama lu!"





KONSEP DAKWAH ISLAMIYAH DALAM REALITI MASA KINI


Ada apa dengan realiti? Ada apa dengan anak muda?

Realiti anak muda moden amat kenyang dengan suapan teknologi yang menggunakan pendekatan ringan, sempoi, santai, relax, mudah, sporting dan easy going tetapi menggemukkan. Gemuk kerana save energy dan kurang menggunakan daya pemikiran analitik dan kritikal yang memberi stress dalam memproses sesuatu maklumat. Semuanya mudah dicapai dengan satu klik di hujung jari tanpa membuka kelopak mata.

Para dai'e dilabel kolot, jumud, kuno, suka menghukum, "khemah bergerak", selekeh, syadid, terlalu "tsiqah", dan suka beretorik. Jika pemimpin ditsabitkan sebagai pemerintah kuku besi, taliban, tiada demokrasi, suka kafir mengkafir, hentam sana sini, melatah tidak tentu pasal dan sebagainya.

Cukup pelik. Cukup sakit hati. Rasa sensitif dengar kritikan sebegitu. "Sense of belonging" memuncak lantas mempersoalkan kewajaran memberi perumpamaan yang tidak masuk akal. Dikatanya tiada adab dan tidak berakhlak.

Dimensi era dakwah semasa cukup membunuh survival dunia dakwah andai salah mengambil rentak. Sama ada transformasi dakwah atau transformasi mad'u? Sama ada dai'e dikorban atau terkorban kerana prinsip?

Tibalah masanya PRINSIP dan REALITI berperang dingin antara satu sama lain.




WASATIYYAH : JENAYAH DUNIA DAKWAH?

Bila mana para dai'e kusut kepala otak brainstorming apakah pendekatan paling intim dan efektif untuk meruntuhkan kekebalan tembok "Kota Constantinople" orang muda, mereka terlupa untuk menjaga kemaslahatan bia'ah solehah yang kian pupus dek jenayah wasatiyyah.

Ayat al-Qur`an menegaskan pendekatan dakwah hendaklah secara `Bil-Hikmah wal Mau`izah al-Hasanah` (al-Nahl: 125). Ia adalah pendekatan dakwah yang lengkap, sempurna dan sesuai di mana-mana tempat dan bila-bila masa. 

Gagasan wasatiyyah (kesederhanaan) perlu diperhalusi bermula daripada binaan asas yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam. Konsep keadilan, amanah dan berintegriti perlu diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

Pada dasarnya apa yang diketengahkan oleh para dai'e tentang konsep, method dan approach adalah track ulangan dari apa yang pernah dibincangkan, cuma ditokok tambah sebagai penambah rasa.

Sebenarnya kita berdepan dengan persoalan dakwah semasa dan praktikal yang banyak menuntut pelbagai pendekatan dan penyelesaian. Daripada pucuk pimpinan negara sehinggalah badan-badan NGO dan orang perseorangan. Peranan institusi dakwah secara berjemaah perlu menunjukkan taring yang kian lama tersembunyi. Dengan kaedah realistik bersumberkan situasi semasa merupakan sesuatu yang baru, segar dan informatif serta dapat menghidupkan perbincangan dan mencergaskan gerakan dakwah.




ASOSIASI PROFESION DAKWAH

Kerja dakwah adalah kerja mulia. Usah terperangkap dengan jenayah kejahilan tanpa memahami situasi dan tidak fokus pada autoriti. Orang yang bercakap dari hati akan singgah di hati sebaliknya yang bercakap di mulut setakat di mulut sahaja, tidak akan ke mana-mana.

Perlu diingat, Islam jangan ditonjol dengan identiti Melayu tetapi dari sudut universal islamisasi. Ini menarik Barat semakin menerima Islam, sebaliknya di negara kita dengan mengasosiasikan (menautkan) Melayu-Islam sebagai kelemahan dan kemunduran. Imej Islam sebegini perlu diperbaiki. Dan ditampilkan dengan pakej imejnya yang sempurna dan lengkap.

Identiti Melayu. Ianya dunia yang membutakan mata daripada kebenaran Islam. Kecelaruan dan kedegilan membuatkan manusia merasakan ketuanan bangsa duniawi inilah sebenarnya matlamatnya.

Masa depan wasatiyyah bergantung kepada sejauh mana ikatannya dengan dasar-dasar Islam di atas kefahaman dan praktikal yang jelas. Bukan sandiwara politik. Bukan jenama politik. Bukan sahaja tenggelam dalam cabaran era globalisasi dengan prinsip tergadai.




Tidak lagi mengecilkan diri, para dai'e perlu mendekati segenap lapisan masyarakat dengan kesuburan pendekatan wasatiyyah. Sikap konservatif, liberal dan sosialis yang keterlaluan menyimpang daripada manhaj dan tadarruj yang dikehendaki dalam Islam.

Gunakan ilmu dengan kefahaman bukan kejahilan yang membutakan kebenaran."Siapa yang mempelajari Al Quran, besar harga dirinya. Siapa mempelajari hadis tinggi martabatnya. Siapa yang mempelajari bahasa, lembut hatinya. Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya. Dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tak bererti ilmunya" - Imam Shafi'e.

READ MORE

SUDAHLAH TU!


Sudahlah. Sudahlah. Sudahlah tu sahabat semua, kita tak ada masa nak layan perasaan, nak layan kejiwangan, nak layan soal hati, nak layan isu dalaman, nak layan kontroversi, nak layan bermacam versi alasan untuk mengabaikan fokus. Cukup setakat itu berkhayal di ruang atmosfera. Berpijaklah di bumi nyata.

Bahawa masa yang tinggal terlalu sedikit dengan kapasiti amanah yang dipertanggungjawabkan. Masanya sudah sampai untuk agenda yang lebih besar. Sila tampar diri jika masih belum sedar dari lena!



MOOD PRU-13

Sedang BN diasak di segenap segi, PAS masih leka dan kusut dengan isu rumahtangganya. Malah lebih teruk lagi sebenarnya bukan Ustaz Nasharuddin dan Dr Hassan Ali yang terperangkap dalam jerat BN, tetapi PAS dengan bala tenteranya termasuklah lidah rasmi, Harakah melatah tidak tentu hala, habis terkena umpan media propaganda BN sehingga diambil peluang oleh musuh.




Isu besar yang sepatutnya menggali kubur kerajaan korupsi berjaya ditutup dek kelemahan diri sendiri. PAS dikatakan masih terkebelakang dalam membawa sesuatu isu dan diperlihat rakan PKR lain lebih terkehadapan. PAS dilihat hanya melayan isu-isu remeh sedang PKR dilihat mampu membawa isu yang ada value sehingga membuka mata-mata rakyat.


Sejarah tercipta, kejayaan anak muda, Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan BEBAS :

Isu Tuntuntan Kebebasan Akademik : Adam Adli menurunkan bendera muka DS Najib


Dan 2 kejayaan besar Parti Keadilan Rakyat (PR) :

Berjaya membawa bukti Dr M pinjam bank dunia : Selepas nafi, Dr M mengaku

Isu National Feedlot Corporation (NFC) Dato' Shahrizat, terkini "Kondo Lembu"  Shahrizat di Singapura

PAS dan seluruh ahli PAS tidak perlu layan propaganda BN.

1. Selesaikan segala perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

2. Jaga akhlak dan adab sebagai seorang muslim dalam memberi pandangan berbeza, terutamanya anak muda. Cegah "sindrom cerdik pandai"  yang menunjukkan bunga-bunga hilang tsiqah dan ketidakikhlasan dalam memberi pendapat terutamanya di laman sosial.

3. Yakinlah! Seperti kata Tok Guru Nik Aziz, antara murabbi yang paling berpengalaman dalam sepak terajang arena politik, "apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-Allah."

4. Utamakan fokus dan prioriti untuk memenangi pilihanraya. Katakan selamat tinggal polemik dan krisis. Menangislah kamu syaitan yang gagal untuk memecah belahkan gerakan Islam! - Ust Tantawi

5. "Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.”

"Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.” - Tuan Ibrahim Tuan Man.




KEMUNCUP DALAM PERJUANGAN

Buat muhasabah bersama :

1. Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk mencabut kemuncup yang lekat di seluar atau stokin; teruskan mainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin.


Jangan leka mencabut kemuncup sehingga gol terlopong tanpa penjaga!

2. Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. 

3. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.



Masih lagi terfikir - tiada lagi pemimpin yang berkata : "walaupun apa jawatan yang diberikan kepada saya, saya terima seadanya tanpa kecewa dan sanggup berjuang menegakkan syiar islam bersama jemaah parti hingga ke akhir hayat."


Mari mengambil sikap membina bukan meruntuh. Husnuzonlah dalam setiap pertimbangan. Jangan salah sasar peluru kepada kawan sendiri. Ingat! Kita punya tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan!

READ MORE

SEDANG MENCARI IDENTITI...

Sedang umat mencari identiti, perisai yang selama ini dipertahankan habis rakus dimamah anasir kebodohan dan kejahilan beragama. Angkuh dan dan sombong dengan Tuhan.


Krisis rohani yang mencampakkan diri umat Islam ke lembah kehinaan di sisi Allah SWT menyebabkan hilangnya keperibadian orang-orang yang beriman di mana suatu masa dahulu pernah dimiliki oleh para sahabat dan para salafus soleh yang datang selepas mereka. Kehilangan ini sekaligus melontarkan umat Islam kembali mengamalkan cara hidup yang berlandaskan norma-norma yang sememangnya telah wujud dan dipraktikkan oleh manusia di zaman jahiliyyah.

Oleh yang demikian, garis pemisah yang membezakan antara mereka dengan orang-orang kafir telah terhapus lalu kehidupan mereka juga tidak jauh berbeza dengan kehidupan orang-orang kafir. Akibatnya, turunlah azab Allah SWT ke atas mereka, sebagaimana yang sedang dihadapi oleh umat Islam di dunia sekarang ini.



DI MANA NASIB UMAT?

Lihatlah bagaimana nasib yang telah menimpa saudara seIslam kita di seluruh dunia. Mereka hidup dalam keadaan kesengsaraan yang mana mereka telah menerima penindasan yang cukup hebat dari golongan-golongan yang sememangnya benci dan tidak mahu melihat Islam gah di muka bumi ini.
Palestin yang ditindas


Malah terdapat juga orang-orang Islam yang telah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam supaya menjatuhkan serta menindas umat Islam yang lain. Pemimpin-pemimpin Islam yang zalim telah dijadikan sebagai boneka mereka untuk melaksana dan meneruskan cita-cita serta impian keemasan mereka selama ini.


Ini terjadi akibat tiada lagi kekuatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT serta sensiviti terhadap Islam itu sendiri sehingga sanggup mengabaikan kepentingan Islam semata-mata untuk mencapai dan memenuhi kepentingan diri sendiri.

Kita seharusnya mengimbau kembali sejarah perkembangan Islam di zaman Rasulullah SAW dan selepasnya agar ia dapat dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan. Menelaah dan meneroka sejarah adalah adalah salah satu faktor terpenting untuk pembentukan peribadi Muslim sejati serta dapat mengenal dengan lebih jauh lagi tentang keadaan umat islam itu sendiri.

Seseorang itu tidak akan dapat merasakan keterikatannya dengan umat melainkan ia telah menyatukan diri dengan sejarah umatnya. Jika pengetahuannya tentang umat sudah cukup baik, maka perasaan dan kesedarannya terhadap Islam akan berkembang. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadithnya yang bermaksud : “Barangsiapa yang tidak memerhatikan (memikirkan) masalah kaum Muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka”. ( Riwayat Baihaqi dari Anas ).




MODEN YANG JAHIL 

Dalam keghairahan umat Islam ingin memajukan diri dan negara mereka sama ada dalam bidang teknologi atau ekonomi adalah penting untuk menumpukan perhatian yang berat terhadap Islam. Umat Islam hanya akan menjadi mulia sekiranya mereka mengamalkan Islam dalam kehidupan sebagai suatu cara hidup.

Malangnya umat Islam amat jumud pemikiran sehingga definisi Islam telah silap dan disempitkan tafsirannya. Mereka hanya memahami bahawa Islam hanya terhad kepada pengamalan ibadah seperti solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan sebagainya.

Sebenarnya Islam adalah amat luas ruang lingkupnya. Sekiranya sesuatu urusan atau pekerjaan yang dilakukan dengan landasan hukum-hukum mutlak Allah SWT maka ia pun dikira sebagai telah mengamalkan Islam.

Sebab itulah turunnya bala’ dari Allah SWT terhadap sekalian manusia sebagai suatu peringatan kerana tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan sehari-harian malah menggantikannya dengan pengamalan yang melanggari batas-batas hakikat perintah Allah SWT terhadap hamba-Nya.

Namun, yang menyedihkannya ada di kalangan umat Islam yang tidak mengaku bahawa kemudaratan yang telah ditimpakan ke atas mereka adalah suatu bala’ dari Allah SWT tetapi menganggap bahawa ia adalah suatu fenomena yang biasa sahaja.

Sebagai contoh di Kelantan, bumi serambi Mekah. Janganlah menganggap bahawa sekiranya mengamalkan Islam sampai bila-bila pun tidak akan maju. Ingatlah bahawa Islam tidak menghalang kemajuan tetapi kemajuan tersebut mestilah berlandaskan dengan hakikat perintah Allah SWT. Sekiranya kemajuan secara fizikal diimbangi dengan dengan kemajuan rohani di situ akan ada keberkatan dan keredaan dari Allah SWT.



Hanya dengan memberatkan kemajuan duniawi tanpa mengiraukan kemajuan rohani dan Islam akan mengakibatkan banyak masalah akan timbul dan muncul. Umpamanya, keruntuhan akhlak umat Islam dan institusi umat Islam yang langsung tidak mempunyai ciri-ciri keIslaman bahkan lebih mirip kepada keyahudian dan kenasrian.

Selain daripada itu, keyakinan umat Islam terhadap perintah Allah SWT telah pudar dan sebaliknya mereka telah mempermain-mainkan serta memperlekeh-lekehkan perintah-perintah Allah SWT sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Keyakinan terhadap hikmah perintah Allah SWT tidak lagi bertapak kukuh di hati-hati umat Islam adalah berpunca dari kelemahan iman yang tidak diperbaiki. Begitulah halnya berlaku terhadap hukum hudud di mata masyarakat jahiliyyah abad moden. 




BILA AMAR TANPA MAKRUF

Suasana yang melingkungi kehidupan orang-orang Islam pada hari ini telah menjadi buruk dan dicemari dengan perbuatan-perbuatan mungkar manusia. Keadaannya menjadi terlalu dahsyat sehinggakan di dalam masjid pun orang-orang Islam masih melakukan kemungkaran seperti bercakap-cakap mengenai hal ehwal keduniaan, mengumpat sehinggakan ada yang bergaduh dalam perubatan untuk menjadi ahli jawatankuasa masjid.

Sekiranya di dalam masjid pun masih wujud kemungkaran, bagaimana rahmat Allah SWT yang diharapkan akan turun ke atas umat ini ?




Rahmat Allah SWT inilah satu kurniaan yang amat berharga daripada-Nya di mana tanpa rahmat ini, tentu sekali kehidupan umat Islam akan hilang kehormatan, keizzahan, kemuliaan dan kesatuan.

Nu’man bin Bashir RA telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Terdapat segolongan manusia yang mentaati perintah-perintah Allah dan segolongan manusia yang lain melanggari batas-batas Allah. Perumpaan mereka adalah seperti dua golongan yang menaiki sebuah kapal di mana satu golongan berada di atas dan satu golongan lagi berada dalam perut kapal. Apabila golongan yang berada dalam perut kapal inginkan air mereka menyuruh golongan yang di atas supaya mengambilkan air untuknya sehinggalah mereka berkata : 
“Adakah patut kita kita menyusahkan golongan di atas apabila kita memerlukan air sedangkan kita boleh mendapat air yang banyak dengan melubangi bahagian bawah kapal ini”. Maka sekiranya golongan di atas tidak mencegah mereka dari kebodohan ini, nescaya mereka akan karam kesemuanya”. ( Riwayat Bukhari dan At-Tirmidzi ).

Di dalam hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perlu ada suatu golongan yang menyeru ke arah ma’ruf dan mencegah dari sebarang unsur kemungkaran. Kewajipan untuk melaksankannya dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru ke arah makruf dan mencegah dari sebarang kemungkaran, sesungguhnya mereka itulah golongan yang berjaya”. ( Surah Ali Imran : 104 )

Apabila sesuatu maksiat dilakukan secara terang-terangan dan tidak dicegahi oleh masyarakat sekitarnya maka kesannya akan menimpai semua orang tidak kira yang melakukan maksiat atau tidak. Perkara ini adalah disebabkan fikiran orang-orang yang tidak melakukan maksiat mungkin akan terpengaruh kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain akibat suasana maksiat yang terserlah. Mereka yang tidak benci kepada maksiat pasti tidak akan mencegah maksiat oleh pelaku maksiat.

Umat Islam perlu diberikan kesedaran tentang Islam dan perbezaan antara ciri-ciri Muslim sejati dengan ciri-ciri Kuffar dari segi amalan-amalan dan iktiqad. Gerakan besar-besaran dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu dijalankan sebagai gesaan memperindahkan keimanan umat. Pengamalan baik dan mungkar adalah penentu keadaan kestabilan alam ini.

Pilihlah yang terbaik antara keduanya.

READ MORE

MAHASISWA SEPERTI BINATANG TERNAK


Membiaknya spesies mahasiswa yang alergi dengan politik adalah wabak yang mengundang kehancuran. Dalam sopan mereka oportunis, dalam diam mereka menjadi kaum yang manipulatif. Semuanya gara-gara mahu aman, tetapi tidak mahu berusaha dan menyumbang kepada keamanan. Mahu keselamatan tetapi tidak mahu memperbaiki apa-apa untuk kebaikan bersama.

Lantang mengkritik polisi-polisi yang membebankan tetapi terlalu malas untuk bertindak lebih sekadar mengkritik. Mereka menikmati keamanan hasil penat lelah orang lain, mereka menikmati keselamatan hasil jerih payah orang lain!


STIGMA KEHIDUPAN MAHASISWA 3K (KULIAH, KOLEJ, KAFETERIA) 

Kalaulah bumi boleh menangis, sudah lama ia akan mengatakan bahawa ia sedang menangis menyaksikan bagaimana kehidupan manusia yang menumpang di atas bumi Tuhan ini sudah huru hara dan menyimpang jauh daripada landasan islam.

Mereka tidak lagi cakna apa yang berlaku kepada umat. Tidak giur ambil tahu situasi semasa.

Cita-cita anak muda menjadi mahasiswa yang terpimpin, bukan mahasiswa yang terkongkong.dek stigma 3K (kampus, kafe dan kolej). Anak muda sebagai generasi yang akan memimpin masa hadapan perlu melihat lebih jauh terkehadapan dengan keadaan sekeliling, jangan hanya tunggu dan terus menerima, kita mesti memberi untuk perjuangan agama.

"Dengan jiwa mahasiswa, kita menggapai alam dewasa. Jiwa mahasiswa adalah semangat terus belajar dan mencabar seiring dengan kematangan dan kecerdikan seseorang dewasa. Jalan ini cuba untuk menyuluh umat dengan revolusi."

Kita mempunyai pemuda yang berjiwa muda, sama umur seperti kita. Pemuda itulah yang menyelamatkan Nabi Muhammad SAW daripada dibunuh oleh kafir Quraisy. Pemuda itulah yang memimpin bala tentera ketika Nabi kegeringan. Pemuda itulah yang membuka Kota Constantinople. Adakah anak muda sekadar mahu menjadi pelajar sahaja atau menjadi pemuda kebanggaan islam?

Mengambil roh daripada kata-kata Sayid Abu Al-A’la Al Maududi ketika memberi ucapan buat graduan-graduan yang sudah tamat universiti.

"Wahai pelajar! kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung jiazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu saat ini.
Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya. Alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."

Benarlah satu ungkapan “Havard produce genius but not soul”. Graduan hidup di dalam jasad, tapi mati hatinya. Tidak ubah seperti robot yang diprogramkan. Tidak ubah seperti mayat yang hidup tanpa jiwa.





REVOLUSI : SATU TUNTUTAN

Kemenangan sebenar adalah kemenangan mempertahankan yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah dalam apa juga keadaan dan situasi, walaupun dalam nilaian manusianya kita kalah.

Revolusi selalunya memerlukan pengorbanan. Pengorbanan masa, harta benda, keringat malah jiwa sekali pun. Segala rentak revolusi mahupun perubahan ini berlaku apabila rakyat sudah mula tidak tahan dengan pemerintah mereka yang bersikap zalim, diktator, menghalang kebebasan bersuara, rasuah, penyelewengan tidak adil, memanipulasi pilhanraya dan sebagainya.

Evaluasi realiti umat mungkinkah “dibenarkan dengan amal” masih tidak power aksinya dari umat Islam? Mari kita jujur merenung sebentar keadaan umat! Apa yang dapat dirumuskan? Situasi umat di Timur Tengah, di Palestin, di Sudan, di Indonesia, di Bosnia, di Iraq, di Selatan Thai dan di bumi tercinta Malaysia.

Dapatkah cluenya?

Menjauhi Islam dan Al-Quran dalam dipatuhi perintahnya dan siapa pula yang harus ditentang perintahnya, dengan siapa mereka harus memelihara hubungan dan dengan siapa tidak, siapa teman mereka dan siapa musuh mereka, di mana letak kehormatan, kesejahteraan dan keberuntungan mereka, dan di mana letak kehinaan, kegagalan dan kerugian mereka?

Rasulullah SAW dan para sahabat telah mencontohkan kepada kita. Sultan Al Fateh, Tariq Bin Ziad dan Salehuddin Al Ayubi pernah menemuinya, maka kini tiba giliran kita, para pemuda generasi baru. Mulakan dengan keaslian aqidah kita yang tetap, benar, diyakini dan dibuktikan dengan “total action”.

Ya, iman yang bukan mandul, tetapi iman dan aqidah yang melahirkan “total action”, berprestasi untuk Islam! Revolusi yang melahirkan natijah, bukan sekadar ilusi!

Anak muda pencetus revolusi. Akhirnya dunia ini anak muda yang punya!

READ MORE

"INSYALLAH" YANG KITA HINA



"Mat, kau ada pape tak sabtu ni? Jom pergi program kat Shah Alam"
"Sabtu ni aku ada hal. Tengoklah nanti...InsyaAllah"

Handphone berbunyi. Tertera satu mesej.

"Dik, usrah sabtu pagi nak?"
Dengan laju dia membalas, "InsyaAllah Abang Izat"





ISYAALLAH ORANG MELAYU

Orang Melayu suka sebut InsyaAllah walaupun tidak faham. Laju sungguh berjanji. Kadang-kadang yang paling kelakar, "Aku malaslah nak pergi, InsyaAllah lah..."

Faham ke tidak insyaAllah yang disebut?

Sebenarnya kita sudah jauh menyimpang falsafah insyaAllah yang sebenar. Sedangkan ia adalah doa, bukan bicara kosong. Bukan juga alat penyedap hati mahu pun alasan untuk mungkir janji seperti sifat orang munafiq. Seolah-olah kita telah menghina taraf insyaAllah demi kepuasan nafsu pemalas kita. 

Betapa bodohnya manusia mudah berjanji apabila dia yakin dan pasti tidak mampu buat sesuatu benda dengan berdoa insyaAllah. Walaupun 50-50. Dalam kata lain "Dengan izin Allah aku mahu lakukan perkara yang benar-benar aku tidak mahu lakukan, betul-betul aku tidak mampu buat" atau "Dengan izin Allah aku akan lakukan perkara ini sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh"

Secara tidak sedar, kita sedang mempermainkan doa dek kerana kejahilan. Jangan pula marah Tuhan kalau doa kita tidak dimakbulkan.

Lantaran itu, apa yang berlaku pada hari ini, InsyaAllah tidak lagi relevan dan menjadi keyakinan kepada muslim. Bila sahabat berjanji InsyaAllah, kita tidak percaya akan roh insyaAllah tersebut, tetapi kata-kata manusia biasa, "Boleh, nanti aku pergi." atau pun "Ok, nanti saya siapkan".

Namun, jika sahabat berkata insyaAllah, kita pula membalas "Kau ni betul-betullah, nak pergi ke tak nak?". Sungguh hina perkataan insyaAllah dalam kamus kita.

Hatta perkataan paling glamour digunakan dalam perbualan atau mesej hanya "ok". Begitulah nasib "InsyaAllah" gara-gara untuk menjimatkan kredit, masa dan tenaga.

Dari mana datangnya perkataan "ok" ini? Barat? Mana satu yang patut kita ikut sebenarnya?

Sesungguhnya, hakikat keislaman kita perlu dijiwai bukanlah sekadar dianuti. Apabila kita berjanji, dengan penuh yakin dan serius kita mengucap InsyaAllah, dengan izin Allah. Dengan doa itu kita berharap agar Allah merealisasikan apa yang benar-benar kita hendak buat.

Usah ber"insyaAllah" jika pemalas atau mahu mengelak. Lebih baik senyap dan berdiam diri. Sedarilah, kita sedang berjanji kepada Allah, Tuhan Segala Manusia bukan manusia yang terbatas. Hindarilah sikap munafiq yang dicela seperti dalam hadis Nabi SAW : "tanda-tanda orang munafik ada tiga, apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberiamanah dia khianati"

 “Dan penuhi (sempurnakanlah) perjanjian (dengan Allah dan manusia) sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”-(Al-Israk:34).

READ MORE

KIAMAT 2012 : ISRAEL SEBAGAI HERO

Selepas teruja tengok forum Hari Kiamat 2012, apa yang kita dapat?
Selepas puas menonton filem, "2012, The End of The Day", apa perasaan kita?
Selepas membaca artikel dan buku mengenai dajjal, apa yang kita fikirkan?
Selepas duduk bersembang dengan kawan-kawan tentang hari tua, apakah perancangan kita?

Adakah sekadar rasa takut, gerun, seram, berdebar-debar, bimbang, insaf atau tidak rasa apa-apa pun? Tidak buat apa-apa pun?

"Mereka menanya kepadamu tentang Kiamat, Bilakah Terjadinya, 'Sesungguhnya pengetahuan tentang Kiamat itu adalah Di sisi Rabb-Ku, tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat( huru-hara bagi mahkluknya) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba', mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu mengetahuinya. Katakanlah, 'Sesunguhnya pengetahuan tentang Hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia TIDAK MENGETAHUI" (Surah Al-A'raf : 187)

Sebagaimana bijak pandai mengkaji, berbahas dan membincangkan isu Hari Kiamat, kita yang tidak bijak pandai lagi bagaimana?

Sebagaimana bijak pandai mengkonklusikan isu dan propaganda Hari Kiamat pada hari ini adalah ciptaan Barat dan Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan akidah dan menakut-nakutkan ummat Islam, kita yang belum bijak pandai, bagaimana konklusinya?

Apakah penerimaan kita?

Sejauhmana konspirasi Kiamat 2012 mempengaruhi akidah dan kehidupan kita?

Ya, banyak persoalan saya sengaja ukirkan bagi miemudahkan para pembaca dan remaja di luar sana dalam proses belajar dan memahami. Bagi saya, propaganda Barat dan Israel ini ada keburukan juga kebaikannya. Sepertimana yang telah dikupas dan dibincangkan panjang lebar oleh bijak pandai, saya melihat mereka banyak menyentuh tentang bagaimana idea Kiamat 2012 muncul dan impak negatif terhadap ummat Islam.

Dalam penulisan ini, hanya perkongsian ringkas sahaja yang ingin saya titipkan. Saya banyak melihat isu ini dari sudut positif kerana saya merasainya sendiri dan ia lahir dari sebuah pengalaman. Mana tidaknya, selepas habis menonton filem berkaitan hari kiamat dan kemusnahan bumi, tidak tertahan-tahan air mata untuk menghadirkan rasa kehambaan dan keinsafan yang menggila. Yakin Allah itu Maha Berkuasa.

Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 56 bermaksud: “Dan berkatalah orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan. `Sesungguhnya kamu semua telah menanti (sesuai dengan keterangan) dalam kitab Allah (dalam kubur atau alam barzakh) sampai hari ba’ats’ (kebangkitan atau bangkit dari kematian).”

Saya mula berjinak membaca buku kisah dajjal sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Kebetulan gelaran "dajjal" sangat terkenal di sekolah untuk kawan-kawan yang nakal. Membacanya sudah meromangkan bulu, seolah-olah berada di alam lain. Seronok baca. Banyak kisah yang diceritakan untuk kita ambil pengajaran . Ketagih pula untuk baca, baca dan baca lagi walaupun berulang kali.

Puncaknya apabila bergelar mahasiswi UKM, saya menjadi salah satu exco dalam program "Bersamamu Palestin". Di sinilah saya nampak dan yakin Israel adalah "hero". Hero kepada dunia. Mereka banyak mengkaji, mencipta teknologi dan memajukan ekonomi. Sangat bijak. Saya mengaku penuh sedar bahawa ummat Islam sangat jauh terkebelakang padahal banyaknya ummat Islam umpama buih-buih di lautan.

Kita tahu, tapi kita tidak sedar. Kita sedar, tapi kita tidak bertindak. "Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimana anjing-anjing yang mengelilingi hidangan makanan. Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat Islam yang sedikit? Baginda menjawab TIDAK, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di permukaan air banjir. Allah mengikis perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu 'al-wahan'. Sahabat bertanya apa dia wahan itu ya Rasulullah. Jawab baginda 'cintakan dunia dan bencikan akhirat."

Bagaimana kelompok Israel yang terpinggir dan sekelumit bilangannya mampu survive jika dibandingkan ummat Islam yang bersepah-sepah di peta dunia?

Dalam kebencian, saya kagum dan puji mereka!

Pada saat ini juga, saya masih kagum dengan mereka. Saya masih tidak percaya sahabat-sahabat rapat saya berusaha bersungguh-sungguh mengadakan forum bagi membincangkan dilema masyarakat malah dikira isu terhangat yang dicipta oleh mereka, iaitu Kiamat 2012. Bukankah itu sangat hebat?

Barang 5 minit berada di dalam forum itu sahaja, sudah terusik dengan usikan "Mahasiswa tidak perlu lagi susah-susah belajar, kiamat nak dekat dah". Mungkin sebagai bahan lawak untuk diraikan dengan gelak ketawa tetapi tidak sedarkah kita?

Perli.

1. Bagaimana dengan amalan dan persiapan kita?
2. Terutamanya solat kita, khusyukkah?
3. Jihad menuntut ilmu kita, apa khabar?
4. Apakah perancangan masa depan kita?
5. Tidakkah kita mahu mencabar keselesaan menjadi para ilmuwan dan pengkaji?
6. Akankah satu hari nanti giliran kita pula berada di atas pentas menggantikan ahli panel?
7. Bolehkah ummah mengharapkan kita untuk membelanya?

Setakat itu sahaja saya tinggalkan dengan persoalan-persoalan dan harapan untuk kita berubah, memperbaiki diri dan berani berjiwa besar demi ummah yang selama ini menderita kehilangan suara-suara agung dan para pejuangnya.


READ MORE

ISU : SIAPA YANG TIDAK BERADAB?

Bersikap adillah dalam semua perkara seperti mana kita mahu orang bersikap adil dengan kita. 

Isu, provokasi, propaganda hatta hanya kenyataan atau artikel biasa adalah benda yang sama. Cara kita melihat dan menilai sahaja yang berlainan. Akhirnya, terpulang pada individu tersebut untuk menilai dan menerima. Sama ada agresif, pasif atau "mati". Memang, kita tidak dapat tidak, tidak boleh lari dari "sumpahan" ini jika tidak diurus dengan betul berlandaskan Al-quran dan sunnah.



Sekali pun kita punya pangkat dan jawatan tertinggi, seorang presiden, "ameer", pengarah, doktor, ahli politik atau pun hanya seorang ahli biasa, kita perlu menjaga etika displin mahu pun adab sebagai seorang pembaca.
Bagaimana proses dalam kita menerima sesuatu maklumat?

"Selidik jika tidak kau akan salah faham dan sakit hati!"

Selidik, teliti dan fahamilah sesuatu maklumat dahulu sebelum kita terus menjunam ke arah kefasikan.  Ringankan mulut untuk bertanya, ringankan tangan untuk menaip message. Menuduh individu tersebut dan melabelnya mengikut kepuasan nafsu kita - inilah budaya orang kita, suka sangat melabel dan terus menghukum orang dengan penuh prasangka. Usah salahkan mad'u lari dan jauh daripada islam, jika da'ie masih tidak betul dan tidak mahu berubah.


Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian." (al-Nur: 19)

Tanyalah kepada diri kita sendiri.
Inikah sikap seorang muslim? Dan lebih malu lagi, inikah sikap ahli gerakan yang dibanggakan?




Sebelum kita meminta orang lain hormat kepada kita, fikir dahulu, layakkah diri kita untuk dihormati? Berakhlakkah kita? Beradabkah kita dengan orang tersebut?

Sebagai contoh, dengan melulu, tanpa usul periksa dan pertanyaan, kita terus memberi komen. Bahkan, bahana daripada komen kita itu telah merangsang fitnah dan tanggapan negatif kepada individu terbabit. Maka, berlakulah rantaian dosa baik dari segi pihak pengomen mahu pun para pembaca.  

Adakah kita tidak fikir impak kepada apa yang kita telah lakukan dari sudut kaca mata tersurat apatah lagi tersirat bermanfaat kepada orang lain dan organisasi? Kita sama sekali tidak bersungguh untuk mencari kebenaran tetapi sangat rajin untuk terus mengeluarkan kata-kata menuduh. Ingat, lebih baik menyesal kerana tidak berkata-kata, dari kita menyesal kerana telah berkata-kata. 



Bersangka baik dan berlapang dada adalah suatu perkara yang sangat sukar bila mentaliti sempit, pemikiran skeptikal dan suka menghukum menjadi makanan "ruji" bagi kita. Sikap berdiplomasi dan berdemokrasi ditolak ke tepi untuk menegakkan "benang yang basah" dan perkara yang masih samar-samar.

Tidak kisahlah dalam isu mana pun, baik dalam kampus, luar kampus, atau isu dunia. Semua ini memerlukan peranan masing-masing dalam berhujah menegakkan kebenaran. Siapa pun kita, rendahkan diri ke bumi, berfikir tentang hak orang lain. Mungkin kita tidak cukup berpengalaman dan kurang ilmu untuk menafsirkan sesuatu perkara tetapi yang paling penting jaga adab kita dahulu jika mahu berbeza pendapat. 

Sekali lagi, selidiklah dahulu tuan badannya. Jangan fikir kita tahu semua benda.

"Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah DOSA, dan janganlah kamu MENCARI-CARI kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu MENGUMPAT sebahagian yang lain. sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah MATI? Maka tentulah kamu merasa JIJIK kepadanya. Dan berTAQWAlah kamu kepada Allah. Sesunguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang".  (Al-hujuraat, 49:12)







JIKA MAHU MUHASABAH DIRI 




Menyentuh isu wala' dan taat pula, sila bezakan wala' buta tuli dan wala' bertempat. Ingatlah, seorang pemimpin tidak akan suruh ahli wala' kepada dia, jika diri dia sendiri benar-benar layak untuk diwala'kan. Adalah sesuatu perkara yang melucukan tatkala berbeza pandangan dengan pimpinan, "nta kena wala' syeikh, nta jemaah mana?"

Dan ada pula yang lebih memalukan jika pimpinan tersebut tersilap dalam perkiraan. Pandangannya tersasar dek sikap tidak berhati-hati dan tidak menyiasat dalam memberi sesuatu penilaian.

Jika benarlah ini berlaku, maka benarlah apa yang di"ideologi"kan, budaya mengongkong pemikiran, jumud dan statik dalam gerakan. Tidak berubah dan langsung tidak mahu berubah. Sesungguhnya, pimpinan tersebut sedang menzalimi hak bersuara dan kebajikan ahlinya. Tersemput nafas dan hilang selera dalam mengharungi hari-hari bergelar ahli gerakan kampus.



Mengkritik dan dikritik. Kita sedap mengkritik orang, tapi bila diri sendiri dikritik? Bila orang lain tidak sependapat dengan kita? Bila kebenaran disingkap, apa lagi terus cepat melatah dan melabel sesuka hati. Mewujudkan suasana beremosi, tegang dan cukup menyakitkan hati siapa yang membaca. Benar, jangan dijolok sarang tebuan. Tiada pasal, saja-saja mencari pasal. 

Adab mengkritik di dalam islam juga perlulah dihadam di setiap peringkat. Apa yang dikritik? Peribadi atau hujahnya? Tidak matang lagaknya dan kelihatan "bodoh" bila mengkritik hujah diselangselikan dengan agenda menyerang peribadi. Sungguh tampak hodoh jika apa yang dikritik adalah tidak benar sama sekali, malah benda itu tidak wujud pun. 

Kritik bukanlah sebuah tujuan, dan tidak harus menjadi tujuan. Agar kritik bersifat membangun, terlebih dahulu harus ada satu langkah penting, iaitu : tabayyun (mencari titik terang), istidhah ar-ru'yah (meminta penjelasan tentang sebuah cara pandang), at-ta'arruf 'ala mulabasat ittikhadz al-qarar mahall an-naqdi wa bawa'itsihi wa asbabihi (berupaya untuk mengetahui pelbagai situasi dan kondisi keluarnya sebuah keputusan yang menjadi sasaran kritik, motivasi dan sebab-sebabnya).




Seperti yang telah dinyatakan tadi, sebelum menulis atau memberi komen sesuatu perkara, selidiklah dahulu. Bertanyalah kepada tuan badan, banyakkan mendengar daripada bercakap. Mungkin individu tersebut punya asbab tertentu dan buah pemikiran yang berbeza dengan kita. Jangan fikir hujah kita sahaja yang betul dan usah pula menjadikan jawatan kita sebagai lesen untuk mensabitkan segala pandangan kita sahaja yang betul.

Bila kita menjadi pemimpin, kita mahu semua ahli menyokong dan memberi sepenuh wala'nya kepada kita. Tetapi bila kita menjadi ahli, baru kita tahu langit itu tinggi atau rendah. Azabnya ahli untuk menjaga adab mengkritik pimpinan tetapi adab pimpinan kepada ahli? Seperti biasa, jenayah mengugut, menggertak dan menakut-nakutkan ahli tidak wala' adalah suatu yang halal untuk dipraktiskan.




Sifat munafik biasanya tidak nampak di mata, bahkan terbukti ramai yang tidak dapat menghidunya. Mereka kadangkala menggunakan "objek" untuk menutup kesalahan mereka sendiri. Disebabkan mereka lebih senior, ada nama dan jawatan, perkataan "minta maaf" seperti amat "maksum" bagi mereka. Sungguh jelek perangai orang munafik ini, dia hanya tahu mahu menang dalam setiap perkara walaupun terbukti dia sudah salah dalam perkiraannya. 

Berterus-terusan dan berusaha gigih dalam nafsu sengketanya menjatuhkan pihak "lawan" menunjukkan betapa hipokritnya manusia ini. Mereka yang memerhati pasti loya dan jengkel dengan kempen halus "mari bersengketa" ini. 

Dalam ayat 58, Surah At Taubah dijelaskan bahawa tabiat orang munafik yang sentiasa mengumpat dan menghebahkan keburukan orang-orang yang berjuang menegakkan kebenaran dengan tujuan untuk mengaibkan mereka .Golongan munafik ini akan mencari apa juga kelemahan dan kecacatan pejuang Islam untuk difitnah dan diburukkan.


Tidak perlu menyalahkan orang lain, salahkan diri sendiri dahulu. Adakah kita punya masalah hati dengan orang tersebut? Rasa tidak puas hati yang disimpan kemas bak dendam kesumat menunggu untuk diletuskan? Stigma bodoh dan prasangka jahat menenggelamkan kita untuk bersikap adil dengan saudara kita?

Usah wujudkan pertembungan pada matlamat yang satu. Tinggalkan pembaziran masa pada khilaf dan benci yang menusuk jiwa. Jika diri rasa tidak tenteram, tahu diri bersalah, bersegeralah memohon maaf.

Orang tersebut bahagia dan gembira dengan kehidupannya, kita? Mereka laju melangkah dalam gerak kerjanya biarpun masih ada mata-mata yang tidak puas hati mengekori, kita pula?

Seolah-olah seperti seorang pengintip, tiba-tiba menjadi "stalker" setia, mencari lubang untuk meng"up"kan rasa kebencian kita dan mencari kesalahan individu tersebut. Istiqamah sungguh mencari idea untuk memburukkan dan menjatuhkan orang. Kalau tidak ada idea, masing-masing "brainstorming" apabila berjumpa dan meng"update" cerita mengumpat keburukan orang. Itulah kita.

"Kebanyakan organisasi yang tenat telah membentuk satu keupayaan untuk menjadi BUTA kepada kepincangan mereka sendiri. Mereka MENDERITA bukan disebabkan mereka tidak mampu menyelesaikan masalah mereka, tetapi kerana mereka tidak dapat melihat MASALAH SEBENAR mereka." - John Gardner




Rasulullah SAW bersabda, “Angin itu sebahagian daripada rahmat Allah SWT. Kadang-kadang angin membawa rahmat dan di lain kesempatan mendatangkan bencana. Jika kalian melihat angin, maka jangan mencelanya. Mintalah Allah kebaikan angin itu dan berlindunglah kepada Allah dari keburukannya.” ( HR.Abu Dawud )

Berlapanglah dada dan mohonlah maaf, orang dakwah tidak bertembung sesama mereka. Kerja kita menyampaikan, kalau individu itu tidak mahu, tinggalkan sahaja. Kerana kerja hidayah ini kerja Allah. Banyak lagi kerja yang kita perlu buat.

Sayap iman itu ada dua, syukur dan sabar. Jadikan sayap-sayap itu sebagai sayap jiwamu. Sehingga dengan itu, kau bebas terbang ke mana sahaja, dan dengannya pula kau akan sampai ke muara. Dalam maksud ayat ini untuk menyimpulkan artikel yang ditulis, harap boleh dihayati dan dimuhasabah bersama. Bersikap adillah dalam semua perkara seperti mana kita mahu orang adil dengan kita. 

READ MORE

THE MOST POPULAR POST