Bersikap adillah dalam semua perkara seperti mana kita mahu orang bersikap adil dengan kita. |
Isu, provokasi, propaganda hatta hanya kenyataan atau artikel biasa adalah benda yang sama. Cara kita melihat dan menilai sahaja yang berlainan. Akhirnya, terpulang pada individu tersebut untuk menilai dan menerima. Sama ada agresif, pasif atau "mati". Memang, kita tidak dapat tidak, tidak boleh lari dari "sumpahan" ini jika tidak diurus dengan betul berlandaskan Al-quran dan sunnah.
Sekali pun kita punya pangkat dan jawatan tertinggi, seorang presiden, "ameer", pengarah, doktor, ahli politik atau pun hanya seorang ahli biasa, kita perlu menjaga etika displin mahu pun adab sebagai seorang pembaca.
Bagaimana proses dalam kita menerima sesuatu maklumat?
"Selidik jika tidak kau akan salah faham dan sakit hati!"
Selidik, teliti dan fahamilah sesuatu maklumat dahulu sebelum kita terus menjunam ke arah kefasikan. Ringankan mulut untuk bertanya, ringankan tangan untuk menaip message. Menuduh individu tersebut dan melabelnya mengikut kepuasan nafsu kita - inilah budaya orang kita, suka sangat melabel dan terus menghukum orang dengan penuh prasangka. Usah salahkan mad'u lari dan jauh daripada islam, jika da'ie masih tidak betul dan tidak mahu berubah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebahnya tuduhan-tuduhan buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui yang demikian." (al-Nur: 19)
Tanyalah kepada diri kita sendiri.
Inikah sikap seorang muslim? Dan lebih malu lagi, inikah sikap ahli gerakan yang dibanggakan?
Sebelum kita meminta orang lain hormat kepada kita, fikir dahulu, layakkah diri kita untuk dihormati? Berakhlakkah kita? Beradabkah kita dengan orang tersebut?
Sebagai contoh, dengan melulu, tanpa usul periksa dan pertanyaan, kita terus memberi komen. Bahkan, bahana daripada komen kita itu telah merangsang fitnah dan tanggapan negatif kepada individu terbabit. Maka, berlakulah rantaian dosa baik dari segi pihak pengomen mahu pun para pembaca.
Adakah kita tidak fikir impak kepada apa yang kita telah lakukan dari sudut kaca mata tersurat apatah lagi tersirat bermanfaat kepada orang lain dan organisasi? Kita sama sekali tidak bersungguh untuk mencari kebenaran tetapi sangat rajin untuk terus mengeluarkan kata-kata menuduh. Ingat, lebih baik menyesal kerana tidak berkata-kata, dari kita menyesal kerana telah berkata-kata.
Bersangka baik dan berlapang dada adalah suatu perkara yang sangat sukar bila mentaliti sempit, pemikiran skeptikal dan suka menghukum menjadi makanan "ruji" bagi kita. Sikap berdiplomasi dan berdemokrasi ditolak ke tepi untuk menegakkan "benang yang basah" dan perkara yang masih samar-samar.
Tidak kisahlah dalam isu mana pun, baik dalam kampus, luar kampus, atau isu dunia. Semua ini memerlukan peranan masing-masing dalam berhujah menegakkan kebenaran. Siapa pun kita, rendahkan diri ke bumi, berfikir tentang hak orang lain. Mungkin kita tidak cukup berpengalaman dan kurang ilmu untuk menafsirkan sesuatu perkara tetapi yang paling penting jaga adab kita dahulu jika mahu berbeza pendapat.
Sekali lagi, selidiklah dahulu tuan badannya. Jangan fikir kita tahu semua benda.
"Hai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu adalah DOSA, dan janganlah kamu MENCARI-CARI kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu MENGUMPAT sebahagian yang lain. sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah MATI? Maka tentulah kamu merasa JIJIK kepadanya. Dan berTAQWAlah kamu kepada Allah. Sesunguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang". (Al-hujuraat, 49:12)
JIKA MAHU MUHASABAH DIRI
Menyentuh isu wala' dan taat pula, sila bezakan wala' buta tuli dan wala' bertempat. Ingatlah, seorang pemimpin tidak akan suruh ahli wala' kepada dia, jika diri dia sendiri benar-benar layak untuk diwala'kan. Adalah sesuatu perkara yang melucukan tatkala berbeza pandangan dengan pimpinan, "nta kena wala' syeikh, nta jemaah mana?"
Dan ada pula yang lebih memalukan jika pimpinan tersebut tersilap dalam perkiraan. Pandangannya tersasar dek sikap tidak berhati-hati dan tidak menyiasat dalam memberi sesuatu penilaian.
Jika benarlah ini berlaku, maka benarlah apa yang di"ideologi"kan, budaya mengongkong pemikiran, jumud dan statik dalam gerakan. Tidak berubah dan langsung tidak mahu berubah. Sesungguhnya, pimpinan tersebut sedang menzalimi hak bersuara dan kebajikan ahlinya. Tersemput nafas dan hilang selera dalam mengharungi hari-hari bergelar ahli gerakan kampus.
Mengkritik dan dikritik. Kita sedap mengkritik orang, tapi bila diri sendiri dikritik? Bila orang lain tidak sependapat dengan kita? Bila kebenaran disingkap, apa lagi terus cepat melatah dan melabel sesuka hati. Mewujudkan suasana beremosi, tegang dan cukup menyakitkan hati siapa yang membaca. Benar, jangan dijolok sarang tebuan. Tiada pasal, saja-saja mencari pasal.
Adab mengkritik di dalam islam juga perlulah dihadam di setiap peringkat. Apa yang dikritik? Peribadi atau hujahnya? Tidak matang lagaknya dan kelihatan "bodoh" bila mengkritik hujah diselangselikan dengan agenda menyerang peribadi. Sungguh tampak hodoh jika apa yang dikritik adalah tidak benar sama sekali, malah benda itu tidak wujud pun.
Kritik bukanlah sebuah tujuan, dan tidak harus menjadi tujuan. Agar kritik bersifat membangun, terlebih dahulu harus ada satu langkah penting, iaitu : tabayyun (mencari titik terang), istidhah ar-ru'yah (meminta penjelasan tentang sebuah cara pandang), at-ta'arruf 'ala mulabasat ittikhadz al-qarar mahall an-naqdi wa bawa'itsihi wa asbabihi (berupaya untuk mengetahui pelbagai situasi dan kondisi keluarnya sebuah keputusan yang menjadi sasaran kritik, motivasi dan sebab-sebabnya).
Seperti yang telah dinyatakan tadi, sebelum menulis atau memberi komen sesuatu perkara, selidiklah dahulu. Bertanyalah kepada tuan badan, banyakkan mendengar daripada bercakap. Mungkin individu tersebut punya asbab tertentu dan buah pemikiran yang berbeza dengan kita. Jangan fikir hujah kita sahaja yang betul dan usah pula menjadikan jawatan kita sebagai lesen untuk mensabitkan segala pandangan kita sahaja yang betul.
Bila kita menjadi pemimpin, kita mahu semua ahli menyokong dan memberi sepenuh wala'nya kepada kita. Tetapi bila kita menjadi ahli, baru kita tahu langit itu tinggi atau rendah. Azabnya ahli untuk menjaga adab mengkritik pimpinan tetapi adab pimpinan kepada ahli? Seperti biasa, jenayah mengugut, menggertak dan menakut-nakutkan ahli tidak wala' adalah suatu yang halal untuk dipraktiskan.
Sifat munafik biasanya tidak nampak di mata, bahkan terbukti ramai yang tidak dapat menghidunya. Mereka kadangkala menggunakan "objek" untuk menutup kesalahan mereka sendiri. Disebabkan mereka lebih senior, ada nama dan jawatan, perkataan "minta maaf" seperti amat "maksum" bagi mereka. Sungguh jelek perangai orang munafik ini, dia hanya tahu mahu menang dalam setiap perkara walaupun terbukti dia sudah salah dalam perkiraannya.
Berterus-terusan dan berusaha gigih dalam nafsu sengketanya menjatuhkan pihak "lawan" menunjukkan betapa hipokritnya manusia ini. Mereka yang memerhati pasti loya dan jengkel dengan kempen halus "mari bersengketa" ini.
Dalam ayat 58, Surah At Taubah dijelaskan bahawa tabiat orang munafik yang sentiasa mengumpat dan menghebahkan keburukan orang-orang yang berjuang menegakkan kebenaran dengan tujuan untuk mengaibkan mereka .Golongan munafik ini akan mencari apa juga kelemahan dan kecacatan pejuang Islam untuk difitnah dan diburukkan.
Tidak perlu menyalahkan orang lain, salahkan diri sendiri dahulu. Adakah kita punya masalah hati dengan orang tersebut? Rasa tidak puas hati yang disimpan kemas bak dendam kesumat menunggu untuk diletuskan? Stigma bodoh dan prasangka jahat menenggelamkan kita untuk bersikap adil dengan saudara kita?
Usah wujudkan pertembungan pada matlamat yang satu. Tinggalkan pembaziran masa pada khilaf dan benci yang menusuk jiwa. Jika diri rasa tidak tenteram, tahu diri bersalah, bersegeralah memohon maaf.
Orang tersebut bahagia dan gembira dengan kehidupannya, kita? Mereka laju melangkah dalam gerak kerjanya biarpun masih ada mata-mata yang tidak puas hati mengekori, kita pula?
Seolah-olah seperti seorang pengintip, tiba-tiba menjadi "stalker" setia, mencari lubang untuk meng"up"kan rasa kebencian kita dan mencari kesalahan individu tersebut. Istiqamah sungguh mencari idea untuk memburukkan dan menjatuhkan orang. Kalau tidak ada idea, masing-masing "brainstorming" apabila berjumpa dan meng"update" cerita mengumpat keburukan orang. Itulah kita.
"Kebanyakan organisasi yang tenat telah membentuk satu keupayaan untuk menjadi BUTA kepada kepincangan mereka sendiri. Mereka MENDERITA bukan disebabkan mereka tidak mampu menyelesaikan masalah mereka, tetapi kerana mereka tidak dapat melihat MASALAH SEBENAR mereka." - John Gardner
Rasulullah SAW bersabda, “Angin itu sebahagian daripada rahmat Allah SWT. Kadang-kadang angin membawa rahmat dan di lain kesempatan mendatangkan bencana. Jika kalian melihat angin, maka jangan mencelanya. Mintalah Allah kebaikan angin itu dan berlindunglah kepada Allah dari keburukannya.” ( HR.Abu Dawud )
Berlapanglah dada dan mohonlah maaf, orang dakwah tidak bertembung sesama mereka. Kerja kita menyampaikan, kalau individu itu tidak mahu, tinggalkan sahaja. Kerana kerja hidayah ini kerja Allah. Banyak lagi kerja yang kita perlu buat.
Sayap iman itu ada dua, syukur dan sabar. Jadikan sayap-sayap itu sebagai sayap jiwamu. Sehingga dengan itu, kau bebas terbang ke mana sahaja, dan dengannya pula kau akan sampai ke muara. Dalam maksud ayat ini untuk menyimpulkan artikel yang ditulis, harap boleh dihayati dan dimuhasabah bersama. Bersikap adillah dalam semua perkara seperti mana kita mahu orang adil dengan kita.
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."