Rasa lemah!
Terasa diri banyak kekurangan!
Buat semua benda serba tidak kena!
Sungguh..amat merimaskan malah menyesakkan dada.
Rasa itu lahir secara fitrah kerana kita ini hamba. Ya..kita ini hanya seorang hamba, hamba kepada Tuan empunya yang Maha Besar. Rasa kehambaan tersebut mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Tatkala kita lemah kita mula mencari Tuhan.
“Oh, Tuhan di manakah Engkau? Tahukah Engkau akan keadaan aku sekarang ini? Sungguh aku tidak terdaya lagi Tuhan”
Maka timbul pergantungan kepada yang Maha Kuat.
Bila kita susah timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha Kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
MILIK SIAPA DIRI INI?
Rasa bertuhan ini bak kata Mat Saleh “sense of belonging” atau rasa dipunyai oleh Allah sangat penting kalau nak teruskan kehidupan. Bila kita rasa tidak bertuhan seolah-olah “celakalah kita!” mana mungkin kita tercipta tanpa pencipta!?
Jika rasa kehambaan itu menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah.
Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya.
Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW tatkala mententeramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, "la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!"
Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang.
TATKALA JIWA TIDAK TENANG
Jika jiwa kita tidak tenang, tidak tenteram dan sentiasa gelisah kita mula sibuk mencari kawan atau buah hati untuk menenangkan diri. Tetapi tahukah bahawa Allah telah terlebih dahulu menenangkan diri kita :
"Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana." (Surah Al-Fath: 4)
Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya :
"Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan." – Al Hadis
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa.
Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah :
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." - Surah Al-Baqarah ayat 45
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."