TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label FEQAH. Show all posts
Showing posts with label FEQAH. Show all posts

BAGAIMANA BERWUDU' ZAHIR DAN BATIN?


Apabila kita beribadah terutamanya solat, perasaan was-was pasti menguasai diri sehinggakan kita terpaksa mengangkat takbir semula untuk betul-betul yakin dalam solat. Untuk khusyuk dirasakan begitu susah.

Namun benarkah semua ini angkara syaitan?

Ada satu kisah.

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk sembahyangnya. Namun demikian dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.

Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya: “Wahai Aba Abdurrahman (Nama gelaran Hatim), bagaimanakah caranya tuan sembahyang?”

Berkata Hatim: “Apabila masuk waktu sembahyang, aku berwuduk zahir dan batin.”

Bertanya Isam: “Bagaimana wuduk batin itu?”

Berkata Hatim: “Wuduk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :

1. Bertaubat.
2. Menyesali akan dosa yang telah dilakukan.
3. Tidak tergila-gilakan dunia.
4. Tidak mencari atau mengharapkan pujian daripada manusia
5. Meninggalkan sifat bermegah-megahan.
6. Meninggalkan sifat khianat dan menipu.
7. Meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata : “Kemudian aku pergi ke Masjid, ku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku. 

Dan ku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Siratul Mustaqim dan aku menganggap bahawa sembahyang ku kali ini adalah sembahyang terakhir bagiku. (Kerana aku rasa akan mati selepas sembahyang ini). Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa dalam sembahyang ku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk (merasa hina), aku bertasyahud (tahiyat) dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. 

Beginilah aku bersembahyang selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar menangislah ia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

READ MORE

APAKAH AKU AHLI NERAKA SELAMANYA?

berfikir, berzikir dan mengingati mati : menajamkan otak, mendekatkan diri kepadaNya


BERFIKIR DAN BERZIKIR

Imam Shafie seorang ahli fikir Islam yang mempelopori salah satu dari mazhab feqah , berfikir bukan sahaja di dalam sedar bahkan beliau telah menyelesaikan 1000 masalah di dalam tidurnya.

Imam Bukhari yang menghafal sebanyak 60,000 buah hadis dikatakan sama dengan Saidina Umar di zaman para sahabat kerana kepintarannya. Beliau pernah diuji oleh 10 orang ahli hadis yang sengaja mengemukakan sebanyak 100 hadis yang sengaja diputar belitkan. Walau bagaimanapun Imam Bukhari berjaya membetulkan 100 hadis tadi secara hafalan satu persatu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Berfikir sesaat itu lebih baik daripada ibadah setahun."

Berfikir juga diibaratkan sebagai satu cermin. Dengan cermin kita dapat melihat yang mana cantik dan yang mana buruk. Begitulah juga dengan jalan berfikir, diri dapat dinilai sama ada berakhlak baik atau jahat, sifat-sifat mazmumah masih menyelubungi hati atau tidak.

Diam itu lebih baik daripada berkata-kata yang sia-sia. Tetapi bukanlah bermakna diam kosong begitu sahaja. Diamnya itu hendaklah di dalam keadaan berfikir. Hasilnya nanti, apabila bersuara setiap patah perkataan akan dinilai Allah sebagai zikir. Sesungguhnya kata-kata yang baik juga zikir.

 Lukman Al Hakim apabila ditanya, mengapa ia suka bersendirian, beliau menjawab:
"Lamanya bersendirian itu lebih memahamkan lagi berfikir dan lama berfikir itu menunjukkan ke jalan syurga."

Satu perkara yang tidak ternilai harganya ialah makrifat kepada Allah SWT dan ini juga dapat dicapai dengan berfikir. Bila kenal Allah, hati tidak tergamak lagi melakukan maksiat, dosa-dosa lahir dan batin pun akan berkurang.

Cinta yang hakiki hanyalah cinta kepada Allah dan RasulNya. Tanpa berfikir nescaya tidak mencapainya. Sebab itulah orang yang benar-benar bersifat hamba sentiasa mengingati nikmat-nikmat Allah supaya sentiasa bersyukur kepadaNya.

Seperkara yang elok difikirkan ialah jasa orang lain kepada kita. Dengan begitu tentulah tiada lagi timbul hasad dengki, dendam, cemburu, buruk sangka dan marah memarahi. Jasa dan pertolongan seseorang kawan di waktu kita kesusahan sangat berharga, kerana itu mengingatkan jasa mereka akan menimbulkan rasa terima kasih dan mahu membalas jasa.

Berterima kasih kepada manusia hakikatnya bersyukur kepada Allah SWT. Jika dengan manusia dituntut supaya bersyukur, terhadap Allah lebih-lebih lagi.

Jarang manusia memikirkan tentang rahsia di sebalik alam yang terbentang luas ini. Penciptaan gunung ganang yang tersergam gagah, lautan yang luas saujana mata memandang, angin yang bertiup, serta pergantian siang dan malam menandakan adanya kekuasaan Allah dan pentadbiran Nya. Berfikir tentang hal ini akan mendidik hati kita untuk merasakan kebesaran Allah dan kelemahan diri kita.

Tetapi manusia yang rakus akan cepat dikelabui oleh mata benda yang melimpah ruah. Manusia yang sentiasa berfikir akan segera sedar bahawa pintu kejahatan sedang terbuka di hadapannya apabila nikmat yang datang berlebih-lebihan dan kesedaran ini akan menyebabkan dia berhati-hati menggunakan nikmat Allah.

Ramai yang berputus asa bila datangnya berbagai-bagai ujian berbentuk kesakitan dan kemiskinan. Apabila datang sahaja umpatan dan fitnah akan segera pula bersikap melenting, ingin cepat membalas dan berdendam. Tetapi bagi orang yang ada akal fikiran akan merasa bahawa ketika itulah datangnya pembersihan dan pengampunan dosa daripada Allah SWT.

Setiap makhluk yang Allah ciptakan di muka bumi ini tidaklah sia-sia sahaja . Semuanya berzikir kepadaNya. Bagaimana caranya, hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Bukankah ini satu sindiran kepada manusia yang dikurniakan akal yang sempurna tetapi tidak mahu mengingati Allah malah sombong dan berani melakukan maksiat?

Kita dijanjikan dengan syurga dan pahala tetapi pada makhluk-makhluk lain seperti kerusi, meja, burung, pokok-pokok, awan tidak dijanjikan apa-apa. Oleh itu apakah lagi yang menghalang kita daripada berzikir kepada Allah.

Seorang bijaksana pernah berkata : "Jangan memikirkan tiga macam iaitu:

1. Kemiskinan
2. Aniaya orang lain kepada kita
3. Tinggal tetap di dunia "

Orang yang terlalu memikirkan kemiskinan dikhuatiri akan menghilangkan rasa redha terhadap pemberianNya serta menambahkan rasa kerisauan. Memikirkan perbuatan orang lain kepada kita akan menyebabkan hati bertambah keras serta menyuburkan perasaan berdendam dan dengki.

Dilarang juga memikirkan untuk tinggal tetap di dunia kerana ia akan membuatkan kita semakin gemar menghimpunkan harta dan menundakan amal serta lalai daripada mengingati mati dan hari kemudian.

Menyelesaikan sesuatu masalah yang buntu, merancang sesuatu dan sebagainya biarlah bertempat. Umpamanya ketika bermuzakarah, ketika berseorangan, sebelum tidur (muhasabah diri) atau pada waktu lapang yang lain. Tentulah malang jika seseorang menggunakan waktu mendengar pengajian agama untuk memikirkan sesuatu yang tidak sepatutnya difikirkan di waktu itu. Lebih malang lagi apabila masa sedang bersembahyang digunakan untuk berfikir selain Allah.

Orang yang mengelamun di waktu sembahyangnya diancam dengan neraka Wail. Tetapi inilah yang banyak berlaku, sehinggakan kadangkala kunci yang hilangpun boleh ditemui di dalam sembahyang.





APAKAH AKU AHLI NERAKA SELAMANYA?


Satu lagi jalan kebaikan melalui berfikir ialah memikirkan tentang umur dan ajal. Dengan itu hati akan terdorong untuk menghisap diri mengenai amal-amalnya samada sudah cukup atau belum, ini akan menjadi benteng dari ancaman Mungkar dan Nakir di dalam kubur nanti. Hanya orang yang mempunyai mata hati yang terang saja sentiasa memenuhi kotak fikiran mereka dengan soalan-soalan berikut :


"Bagaimana kesudahanku di waktu sakaratul maut?"
"Selamatkah aku di atas titian sirat?"
"Apakah aku ahli syurga atau neraka selama-lamanya."

Soalan ini akan menghalang diri dari berterusan melakukan kemungkaran dan bergelumang dengan maksiat.





RENUNGAN BERSAMA

Ingatlah orang yang selalu menggunakan akal fikirannya akan dapat membangunkan peribadi mulia dan berakhlak. Ilmu pengetahuan akan bertambah dan dapat menajamkan lagi fikiran supaya tidak jumud dan kosong semata-mata.

Fikirkanlah ke arah kebaikan bukannya ke arah kerosakan. Jadikanlah fikiran kita untuk memberi manfaat kepada orang lain bukan mendorong orang lain membuat kejahatan. Sentiasalah mengamati kalimah-kalimah Allah di dalam Al Quran umpamanya:

"Moga-moga kamu dapat memikirkan,"
"Moga-moga kamu memahamkan,"
"Apakah kamu tidak berfikir?"
"Apakah kamu tidak perhatikan?"




READ MORE

BERWUDHU' ZAHIR DAN BATIN


Saya pernah dengar bahawa setiap kali kita berwudhu akan gugur dosa-dosa kecil. Jadi, sama-samalah kita fikirkan. Tidakkah kita mahu dosa kita di hapuskan dengan hanya mengambil wudhu yang sempurna. Sesungguhnya wudhu yang sempurna bukan hanya menjamin solat diterima tetapi juga boleh menghapuskan doa-dosa selagi tidak melakukan syirik.

Rasulullah saw bersabda :

“Dari Abu Hurairah berkata: telah bersabda Rasulullah saw: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya bersama air atau titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya. (hadis riwayat muslim)”

SEBUAH CERITA

Seorang ahli ibadah bernama Isam Bin Yusuf, sangat warak dan khusyuk solatnya. Namun, dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih iIbadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasainya kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Assam dan bertanya, “Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?”

Hatim berkata, “Apabila masuk waktu solat, aku berwudhu’ zahir dan batin.”

Isam bertanya, “Bagaimana wudhu’ zahir dan batin itu?”

Hatim berkata, “Wudhu’ zahir sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wudhu’ dengan air”.

Sementara wudhu’ batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-
1.  Bertaubat
2.  Menyesali dosa yang telah dilakukan
3.  Tidak tergila-gilakan dunia
4.  Tidak mencari/mengharap pujian orang (riya’)
5.  Tinggalkan sifat berbangga
6.  Tinggalkan sifat khianat dan menipu
7.  Meninggalkan sifat dengki.

Seterusnya Hatim berkata, “Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.

Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku rasakan 5 perkara:
1.aku sedang berhadapan dengan Allah,
2.Syurga di sebelah kananku,
3.Neraka di sebelah kiriku,
4.Malaikat Maut berada di belakangku, dan
5.aku bayangkan pula aku seolah-olah berdiri di atas titian ‘Siratal mustaqim’ dan menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhir bagiku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.”

“Setiap bacaan dan doa didalam solat, aku faham maknanya kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk, aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun.”

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.



HIKMAH BERWUDHU' 

Antara fadhilat lain wuduk ialah mengangkat darjat manusia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra :
“Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Maka Baginda saw pun bersabda: Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya) (Hadis riwayat Muslim)”
Seterusnya, wudhu dapat memberi cahaya di akhirat.

”Sesungguhnya umatku dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan bercahaya wajah-wajah, tangan-tangan ; kaki-kaki mereka kerana bekas wudhu (Riwayat Bukhori & Muslim)”

Pernahkah kita dengar bahawa wudhu dapat membuka ikatan syaitan? Ya, Rasulullah ada bersabda bahawa ikatan syaitan pada manusia akan terlerai dengan wudhu.

“Dari Abu Hurairah, beliau meriwayatkan dari Rasulullah saw, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah saw memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda saw:

Sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas. (hadis riwayat. al-Bukhari)”

Subhanallah, betapa besar dan istimewanya ganjaran berwudhu. Tak susahkan?

Sesungguhnya islam itu sangat mudah. Jadi, saya ingin menyeru kepada semua dan diri sendiri juga untuk rajin-rajinkalah diri kita untuk berwudhu. Basahkanlah anggota badan kita dengan wudhu. InsyaAllah segala usaha kita untuk berwudhu dan menyucikan diri mendapat ganjaran yg besar daripada Allah.
Firman Allah:

”…Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang bersih (Al-baqarah : 222)”

READ MORE

KALAU ANDA WANITA, APA MAS KAHWIN YANG ANDA MINTA?

Sesungguhnya perempuan yang baik itu adalah yang murah maharnya (mas kahwin) - sabda Nabi SAW

KONSEP MAHAR DALAM ISLAM

Mahar adalah harta atau manfaat yang wajib ditunaikan oleh seorang lelaki kepada perempuan yang hendak dikahwininya.

Ini berasaskan kepada firman Allah yang bermaksud: "Berilah mas kahwin (mahar) kepada wanita yang kamu nikahi sebagai pemberian dengan penuh kerelaan." - (An-Nisa: 4).

Rasulullah pernah meminta seorang sahabat yang ingin berkahwin supaya membayar mahar walaupun dengan sebentuk cincin besi dan tidak pernah berlaku dalam sebarang perkahwinan itu berlangsung tanpa membayar mahar, sama ada oleh Rasulullah atau sahabat.

Berasaskan ayat al-Quran dan hadis dan apa yang berlaku pada zaman Rasulullah inilah maka kalangan ulama atau fuqaha sudah ijmak bahawa mahar adalah pemberian yang wajib diberi oleh suami sebagai hak perempuan yang wajib ditunaikannya.

Mengenai kadar mahar, sebenarnya tidak ada kadar tertentu tetapi yang penting ia mestilah daripada sesuatu yang mempunyai nilai (kewangan) atau ada manfaatnya.

Pernah berlaku pada zaman Rasulullah, seorang yang tidak mempunyai kewangan dan kemampuan tetapi apabila hendak berkahwin, Rasulullah bertanya: "Adakah engkau tahu membaca al-Quran?"

Orang itu mengaku bahawa dia tahu membaca surah tertentu di dalam al-Quran lalu Rasulullah berkata: "Ajarkan surah-surah itu kepada isterimu sebagai mahar."

Dalam konteks ini, bacaan surah daripada al-Quran itu, tidak merupakan barangan tetapi ia tetap menjadi manfaat yang boleh dikecapi oleh isterinya itu.


KADAR MAKSIMUM MAHAR

Mengenai persoalan kadar maksimum sesuatu mahar, Islam tidak menetapkannya kerana ia adalah hak wanita. Dalam hal ini, terpulanglah kepada mereka untuk menetapkan sebanyak mana yang dikehendaki.

Bagaimanapun Rasulullah menggalakkan umat Islam supaya memberikan mahar yang sedikit, mudah dan sederhana.

Rasulullah bersabda, bermaksud: "Wanita yang paling berkat ialah yang paling murah maharnya dan mudah urusan perkahwinannya."

Pada hadis ini jelas Rasulullah menggalakkan umat Islam supaya tidak mengenakan mahar yang terlalu tinggi dan di sinilah duduknya keberkatan rumah tangga.

Sejarah Islam meriwayatkan, pada zaman pemerintahan Saidina Umar al-Khattab sebagai khalifah, beliau melihat umat Islam mula meninggikan mahar dan ini menyebabkan ramai pemuda yang ingin berkahwin sukar melaksanakan hajat mereka kerana terpaksa mencari wang yang begitu banyak.

Melihatkan keadaan itu, Umar pun membuat teguran dan menyatakan hasratnya untuk melarang umat Islam supaya tidak meninggikan mahar tetapi pandangannya itu dipertikaikan oleh seorang wanita yang menyatakan: "Itu hak kami."
Wanita itu juga membacakan ayat al-Quran yang bermaksud: "Sekalipun kamu memberikan mahar seberat satu tan barangan pun, itu adalah hak wanita berkenaan dan kamu tidak boleh mengambilnya semula."

Mendengar hujah wanita itu, akhirnya Umar membatalkan hasratnya untuk mewujudkan peraturan atau undang-undang bagi menetapkan kadar mahar yang tertentu itu.

Bagaimanapun, mengikut beberapa hadis yang disebutkan itu, jelas kepada kita bahawa Rasulullah tidak begitu gemar kepada tindakan meletakkan mahar yang terlalu tinggi.

Merujuk kepada apa yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang, sebenarnya masalah mahar yang tinggi itu tidak timbul kerana kebiasaannya ia sudah pun ditetapkan oleh majlis agama Islam negeri masing-masing.

Kebanyakannya meletakkan satu kadar (nilai) yang seragam.

Apa yang menjadi persoalan kepada kita ialah mengenai hantaran belanja perkahwinan (selain daripada mahar itu). Keduanya, selain hantaran belanja (wang), pihak lelaki diperlukan juga membawa pelbagai hantaran lain, termasuk benda, pakaian, makanan dan seumpamanya, sama ada pada masa bertunang atau perkahwinan itu sendiri.

Justeru, saya berpendapat, masyarakat Islam tidak sepatutnya meninggikan hantaran belanja ini hingga kadangkala mencecah antara RM8,000 dan RM12,000 umpamanya.

Sebenarnya, bagi saya hal ini tidaklah begitu tepat dengan ajaran Islam dan kehendak Rasulullah kerana ini boleh membebankan urusan perkahwinan, malah ia mungkin menyusahkan.

Apatah lagi, hantaran yang berupa persalinan, bahan makanan yang kadang-kadang sampai berpuluh-puluh bekas, misalnya pulut kuning sampai tiga empat bekas, kek saja tiga empat bekas dan seumpamanya yang akhirnya semua benda itu rosak begitu saja tanpa disentuh sesiapa.

Hal ini juga kemudiannya berlarutan sehingga menjadikan kita terjebak dalam pembaziran sedangkan ia satu yang sangat ditegah oleh Islam seperti disebut dalam al-Quran orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.

Justeru, eloklah masyarakat Islam berhati-hati dalam perkara ini. Kalau kita inginkan sebuah rumah tangga yang bahagia dan mendapat keberkatan, janganlah kita terlalu meninggikan hantaran belanja perkahwinan.

Begitu juga dengan persalinan dan bahan makanan itu, biarlah ia setakat yang berpatutan sahaja.

READ MORE

BERITA BAIK UNTUK SI KEDEKUT!

Sifat bakhil kerana takutkan kefakiran dan kemiskinan adalah tipu daya syaitan yang menjanjikan kekayaan, sedangkan pada hakikatnya bakhil itu adalah kemiskinan.

Anda seorang student? Anda jarang memberi sedekah kerana malas atau poket kering? Ketika di masjid, anda ingin sedekah tapi tiada duit? Anda selalu berniat untuk sedekah terutamanya pada hari jumaat dan bulan Ramadhan, tapi tidak terdorong untuk berbuat sedemikian?

ataupun

Anda seorang perempuan? Anda kedekut untuk makan? Anda ingin beli baju cantik-cantik tapi sanggup perabes duit semata-mata untuk tampak bergaya dan cun?




NILAILAH SIKAP KEDEKUT ANDA!

KEDEKUT menggambarkan sikap seseorang yang berat hati untuk membelanjakan harta milikinya sama ada bersedekah, zakat atau membantu mereka yang memerlukan.

Sikap itu bertentangan dengan tuntutan Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Dan bertolong-tolonglah kamu dalam berbuat kebajikan dan ketakwaan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam berbuat dosa dan perlanggaran.” (Surah al-Maidah ayat 2)

Rasulullah s.a.w bersabda: “Takutilah kamu akan bakhil, kerana bakhil itu pernah membinasakan orang dahulu daripada kamu sehingga mereka suka mengalirkan darah sesama sendiri dan menghalalkan yang diharamkan ke atas mereka.”

Tabiat kedekut berpunca daripada sikap terlalu sayangkan harta. Ia boleh menyebabkan manusia lalai daripada mengingati Allah dan mengerjakan ibadat, sebaliknya memalingkan muka hati kepada dunia semata-mata.

Firman Allah, maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta kamu dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan sesiapa berbuat demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun ayat 9)

Jadi, bagi menyucikan sebahagian harta, setiap orang perlu manfaatkan harta itu dengan membelanjakannya ke jalan yang boleh memberi manfaat.

Kita juga disaran berusaha memperbaiki kelemahan dan ‘meloloskan’ diri daripada kemiskinan kerana kemelaratan itu hanya akan menjauhkan diri kita daripada Tuhan.
Tangan memberi lebih baik dari tangan yang menerima. Jadi kita perlu sematkan dalam diri untuk bersedekah, Insya-Allah harta yang dikeluarkan akan diganti berlipat ganda.




MEMUPUK SIKAP PEMURAH

Islam memiliki garis panduan mudah berkenaan membelanjakan harta. Caranya, janganlah boros mahupun kedekut:

Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (kedekut) dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya (boros) kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela (kerana sikap kedekut itu) dan menyesal (kerana sikap boros itu). [al-Isra’ 17:29]
Sebaliknya hendaklah berada di pertengahan di antara boros dan kedekut. Allah swt berfirman berkenaan ciri-ciri orang yang diredhai oleh-Nya:

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidak melampaui batas (boros) dan tidak kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan kedekut) itu. [al-Furqan 25:67]

Perumpamaan orang yang kedekut dengan orang yang pemurah seperti dua orang yang memakai baju besi yang menutupi dadanya sampai ke leher. Orang yang pemurah, bajunya lapang dan sempurna menutupi badannya hingga ke anak-anak jarinya dan menghapus jejaknya (dosanya). Sedangkan orang yang kedekut disebabkan ia tidak mahu menafkahkan hartanya, maka tiap-tiap cantuman bajunya sendat di tempatnya; ia berusaha mahu melonggarkannya tetapi tidak pula longgar.

Justeru, selagi berpeluang bernafas, manfaatkanlah harta untuk kebaikan diri sendiri dan orang lain kerana rezeki yang kita miliki kadangkala ada hak kepada orang lain.

Selain itu, menunaikan hajat orang lain juga boleh meluaskan jajaran rezek

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan boleh menggelapkan rupa, hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

Amalan bersedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki kita seluas-luasnya.

Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam, maksudnya: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu tergantung di Arasy, yang dikirim oleh Allah kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.






INGATLAH! SIKAP KEDEKUT SEPERTI MENEMPAH NAMA DI NERAKA

Orang bakhil menjadi bahan cemuhan sewaktu hidupnya, bahkan selepas kematiannya. Harta yang disimpan tanpa dibelanjakan itu akan ditinggalkan. Sehinggakan mereka yang berhak mendapatnya tidak akan memujinya, tetapi akan menyumpah dan mencemuhnya. Malangnya nasib orang bakhil, di dunia dicela, di akhirat diseksa

SAIDINA Abu Bakar As Siddiq meriwayatkan sebuah hadis bermaksud:"Tiga golongan tidak masuk syurga ialah penipu,bakhil dan suka mengungkit-ungkit (pemberiannya)"
"Sesungguhnya harta yang dimiliki seseorang itu adalah amanah Allah dan mereka tidak boleh bersikap bakhil atau kedekut kerana bukan miliknya secara mutlak.Sikap kedekut dipandang keji oleh Islam kerana seseorang itu cuba menyekat aliran rezeki yang didatangkan Allah kerana ada ketikanya Allah memberi rezeki kepada seseorang melalui saku orang lain. Tetapi,disebabkan orang yang menjadi saluran rezeki itu bakhil maka tersekatlah rezeki orang lain".

Orang bakhil akan diseksa di akhirat, iaitu dengan dikalungi lehernya semua barang yang dia kikir. Dahinya dan belakangnya akan dibakar dengan emas dan perak yang disimpan tanpa dikeluarkan pada jalan Allah.


Berita baik untuk si kedekut/bakhil. Nama anda sudah ditempah di neraka!



p/s :
1. Terimalah nasihat yang baik
Janganlah terima nasihat daripada orang yang kedekut kerana dia akan melemahkan semangat dan menakutkan kamu sehingga menjadi miskin.

2. Ada 1 peribahasa menarik tentang sikap kedekut, diibaratkan seperti air digenggam tiada tiri, tangkai jering dan ketam batu :

Mengikut kaedah ini sesuatu benda itu dibandingkandengan benda yang lain yang serupa sifatnya walaupun rupa bentuknya berlainan.Dalam peribahasa ini, sikap kedekut seseorang itu dibandingkan dengan air yangdigenggam rapat. Adalah sesuatu yang tidak logik menggenggam air. Kenapa pula
tangkai jering digunakan pula untuk menunjukkan sikap kedekut? Buah jeringsememangnya sukar untuk dipisahkan dari batangnya. Untuk memisahkannya dari batangnya memerlukan sedikit tenaga kerana ia liat. Keliatannya ini menjadikanorang-orang tua membuat perbandingan dengan sikap manusia

3. Bagaimanapula sikap kedekut kepada orang yang kedekut? dan kedekut ilmu pula sebab malu atau tidak pandai?

READ MORE

BULAN REJAB : HARAM BERPUASA?

Penulisan kali ini adalah untuk membincangkan :
1. Kenapa bulan rejab dipanggil bulan haram?
2. Haramkah berpuasa di bulan rejab? dan hukum sebenar.
3. Signifikan panggilan "bulan haram" pada zaman ini



"Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah".


REJAB : KENAPA DIPANGGIL BULAN HARAM?

Bulan Rejab termasuk dalam 4 bulan yang dihormati, atau dalam Al-Qur’an disebut sebagai Asyhurul Hurum, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

Para ulama’ berbeza pendapat mengapa keempat bulan tersebut dinamakan bulan haram. Ada 2 pendapat yang terkenal.

1. Besarnya kehormatan dan keagungan bulan-bulan tersebut serta besarnya akibat dari dosa yang dilakukan padanya.

Abdullah bin Abbas RA berkata, “Allah mengkhususkan empat bulan yang dijadikannya sebagai bulan-bulan haram, kehormatannya sangat agung, dosa-dosa pada bulan tersebut lebih besar (dari bulan-bulan lainnya) dan Dia menjadikan amal soleh dan pahalanya (di bulan tersebut) juga lebih besar” (lihat: Latho’if Al Ma’arif oleh Ibnu Rajab) .

Salah seorang mufassir dari kalangan tabi’in yang bernama Qatadah bin Diamah As Sadusi ketika menjelaskan makna firman Allah di surat At Taubah ayat 36,

“...maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu...”,

beliau berkata, “Amalan soleh di bulan-bulan haram lebih besar pahalanya sebagaimana perbuatan menganiaya lebih besar dosanya di bulan-bulan haram walaupun secara umum di bulan mana saja perbuatan menganiya adalah dosa besar” (lihat Tafsir Al Baghawi)

2. Allah SWT melarang peperangan dan ini merupakan tradisi yang sudah ada jauh sebelum turunnya syariat Islam. Hal ini sudah dikenal sejak zaman Jahiliyah bahkan konon sejak zaman Nabi Ibrahim as. Allah SWT berfirman:

”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”(QS At-Taubah: 36)

Ketegasan haramnya berperang di bulan-bulan haram :

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah :

"Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh...(QS. Al Baqarah : 217).



HUKUM BERPUASA DI BULAN REJAB
Terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab :

1. Menyebar luas fahaman pengharaman berpuasa di bulan Rajab
2. cuba menggambarkan tidak ada langsung dalil berpuasa dan beribadat di bulan Rajab
3. tidak ada kelebihan/fadhilat beribadat di bulan Rejab berbanding bulan-bulan selainnya ataupun
4. sekurang-kurangnya cuba mewas-waskan orang ramai terhadap keutamaan bulan Rajab dengan beralasankan hadis- hadis yang mengisahkan fadhilat puasa di bulan Rajab adalah dhaif dan maudhu’.

Maka mereka melarang atau sekurang- kurangnya menimbulkan perasaan tidak senang dan cinta untuk berpuasa dan beribadat di bulan Rajab dengan alasan yang tersebut sebenarnya adalah suatu kejahilan yang timbul daripada diri mereka sendiri ataupun akibat dari penyakit was-was yang tebal terhadap autoriti keilmuan para ulama yang muktabarah.

Buktinya :

Kita boleh lihat jawapan seorang ulama` yang Muhaqqiq Al-Imam Al-Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami, wafat tahun 974 dalam kitab Al-Fatawal Kubro Al Fiqhiyah karangan beliau juzu yang kedua, mukasurat 3, cetakkan Darul Kutub Ilmiah.Al Allamah Ibnu Hajar ini hidup dikurun ke 9 hijrah, kira-kira 400 tahun dahulu.
Al Allamah Ibnu Hajar Al Haitami mengulas (lihat sini) :

 “Terdapat seorang Ahli Fekah yang sentiasa menegah manusia daripada berpuasa di bulan Rajab adalah kerana kejahilan padanya, dan membuat suatu keputusan tanpa pertimbangan berdasarkan kaedah syariat yang sucinya. Maka jika dia tidak rujuk kembali daripada menegah, wajib di atas para Hakim Makamah Syariah melarangnya / menegahnya daripada menyebarkan larangan tersebut dan mentakzirkan si Faqih yang jahil tersebut bersama-sama mereka yang seperti nya dengan hukuman Takzir yang sungguh- sungguh, yang memberi faedah tercegahnya daripada melarang orang ramai berpuasa di bulan Rejab".




SIGNIFIKAN PANGGILAN “bulan haram" DEWASA INI


1.  Ana tidaklah arif dalam memahami dan menilai perbahasan ulama’ dalam menentukan hukum berpuasa di bulan Rejab. Cuma apa yang ana boleh kongsikan bersama, sepanjang kefahaman ana mendengar sedikit perkongsian di radio IKIM, yang mana lebih mudah difahami oleh orang kebanyakan yang tidak berpengetahuan luas/mendalami agama ataupun bukanlah orang alim pada ilmunya.

2.  Ana berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih.

3.  Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Contoh hadis-hadis dha’if dan maudhu’ yang popular :

a) “Rejab bulan Allah. Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”
b) Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Anas , beliau telah memarfu’kannya :
"Sesungguhnya didalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu".
c) Riwayat daripada Abdullah bin Said dari bapanya beliau memarfu’kannya:
"Barangsiapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu tahun , dan siapa yg berpuasa didalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka Jahannam , dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa 10 hari, tidaklah jika dia berdoa melainkan akan dimakbulkan Allah, barangsiapa yang berpuasa 15 hari , menyerulah penyeru dari langit “ Sesungguhnya telah diampunkan bagimu perkara yang telah lalu maka dimulai amal yang baru , dan sesungguhnya telah digantikan segala kejahatan engkau dengan kebajikan dan barangsiapa yang melebihkannya maka melebihkannya oleh Allah”.

4. Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum dan sunnah Nabi SAW yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi.

5. Di bawah ini ana sertakan sekali ulasan tentang perbahasan hukum puasa di bulan Rejab oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi :

" Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi tidaklah diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda berpuasa pada keseluruhan bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu bulan (yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam bulan tersebut. Inilah sunnah Nabawiyah.
Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh para sahabat dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, baginda berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Maka apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat sebahagian manusia berpuasa pada bulan Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan menamakannya “Al-Ayam Al-Baidh” selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu perayaan pada hari ke 8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling secara berterusan.
Mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari Id (1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal umat Islam).
Maka sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari dan berbuka sehari, bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah pada mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan generasi terkemudian.
Barangsiapa yang ingin mengikut dan memperoleh ganjaran yang sempurna, maka ikutlah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tidak berpuasa pada bulan Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa sunat). Wa Billahi Tawfiq.


sumber :
1. http://www.himmahfm.com/index.php?option=com_kunena&func=view&catid=2&id=23&Itemid=53&lang=id

2. http://almukminun.blogspot.com/2011/06/jawapan-terhadap-kesmusykilan-fadhilat.html

READ MORE

THE MOST POPULAR POST