TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

BULAN REJAB : HARAM BERPUASA?

Penulisan kali ini adalah untuk membincangkan :
1. Kenapa bulan rejab dipanggil bulan haram?
2. Haramkah berpuasa di bulan rejab? dan hukum sebenar.
3. Signifikan panggilan "bulan haram" pada zaman ini



"Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah".


REJAB : KENAPA DIPANGGIL BULAN HARAM?

Bulan Rejab termasuk dalam 4 bulan yang dihormati, atau dalam Al-Qur’an disebut sebagai Asyhurul Hurum, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

Para ulama’ berbeza pendapat mengapa keempat bulan tersebut dinamakan bulan haram. Ada 2 pendapat yang terkenal.

1. Besarnya kehormatan dan keagungan bulan-bulan tersebut serta besarnya akibat dari dosa yang dilakukan padanya.

Abdullah bin Abbas RA berkata, “Allah mengkhususkan empat bulan yang dijadikannya sebagai bulan-bulan haram, kehormatannya sangat agung, dosa-dosa pada bulan tersebut lebih besar (dari bulan-bulan lainnya) dan Dia menjadikan amal soleh dan pahalanya (di bulan tersebut) juga lebih besar” (lihat: Latho’if Al Ma’arif oleh Ibnu Rajab) .

Salah seorang mufassir dari kalangan tabi’in yang bernama Qatadah bin Diamah As Sadusi ketika menjelaskan makna firman Allah di surat At Taubah ayat 36,

“...maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu...”,

beliau berkata, “Amalan soleh di bulan-bulan haram lebih besar pahalanya sebagaimana perbuatan menganiaya lebih besar dosanya di bulan-bulan haram walaupun secara umum di bulan mana saja perbuatan menganiya adalah dosa besar” (lihat Tafsir Al Baghawi)

2. Allah SWT melarang peperangan dan ini merupakan tradisi yang sudah ada jauh sebelum turunnya syariat Islam. Hal ini sudah dikenal sejak zaman Jahiliyah bahkan konon sejak zaman Nabi Ibrahim as. Allah SWT berfirman:

”Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa.”(QS At-Taubah: 36)

Ketegasan haramnya berperang di bulan-bulan haram :

“Mereka bertanya kepadamu tentang berperang pada bulan Haram. Katakanlah :

"Berperang dalam bulan itu adalah dosa besar; tetapi menghalangi (manusia) dari jalan Allah, kafir kepada Allah, (menghalangi masuk) Masjidilharam dan mengusir penduduknya dari sekitarnya, lebih besar (dosanya) di sisi Allah. Dan berbuat fitnah lebih besar (dosanya) daripada membunuh...(QS. Al Baqarah : 217).



HUKUM BERPUASA DI BULAN REJAB
Terdapat segelintir manusia yang tidak bertanggungjawab :

1. Menyebar luas fahaman pengharaman berpuasa di bulan Rajab
2. cuba menggambarkan tidak ada langsung dalil berpuasa dan beribadat di bulan Rajab
3. tidak ada kelebihan/fadhilat beribadat di bulan Rejab berbanding bulan-bulan selainnya ataupun
4. sekurang-kurangnya cuba mewas-waskan orang ramai terhadap keutamaan bulan Rajab dengan beralasankan hadis- hadis yang mengisahkan fadhilat puasa di bulan Rajab adalah dhaif dan maudhu’.

Maka mereka melarang atau sekurang- kurangnya menimbulkan perasaan tidak senang dan cinta untuk berpuasa dan beribadat di bulan Rajab dengan alasan yang tersebut sebenarnya adalah suatu kejahilan yang timbul daripada diri mereka sendiri ataupun akibat dari penyakit was-was yang tebal terhadap autoriti keilmuan para ulama yang muktabarah.

Buktinya :

Kita boleh lihat jawapan seorang ulama` yang Muhaqqiq Al-Imam Al-Allamah Ibnu Hajar Al-Haitami, wafat tahun 974 dalam kitab Al-Fatawal Kubro Al Fiqhiyah karangan beliau juzu yang kedua, mukasurat 3, cetakkan Darul Kutub Ilmiah.Al Allamah Ibnu Hajar ini hidup dikurun ke 9 hijrah, kira-kira 400 tahun dahulu.
Al Allamah Ibnu Hajar Al Haitami mengulas (lihat sini) :

 “Terdapat seorang Ahli Fekah yang sentiasa menegah manusia daripada berpuasa di bulan Rajab adalah kerana kejahilan padanya, dan membuat suatu keputusan tanpa pertimbangan berdasarkan kaedah syariat yang sucinya. Maka jika dia tidak rujuk kembali daripada menegah, wajib di atas para Hakim Makamah Syariah melarangnya / menegahnya daripada menyebarkan larangan tersebut dan mentakzirkan si Faqih yang jahil tersebut bersama-sama mereka yang seperti nya dengan hukuman Takzir yang sungguh- sungguh, yang memberi faedah tercegahnya daripada melarang orang ramai berpuasa di bulan Rejab".




SIGNIFIKAN PANGGILAN “bulan haram" DEWASA INI


1.  Ana tidaklah arif dalam memahami dan menilai perbahasan ulama’ dalam menentukan hukum berpuasa di bulan Rejab. Cuma apa yang ana boleh kongsikan bersama, sepanjang kefahaman ana mendengar sedikit perkongsian di radio IKIM, yang mana lebih mudah difahami oleh orang kebanyakan yang tidak berpengetahuan luas/mendalami agama ataupun bukanlah orang alim pada ilmunya.

2.  Ana berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih.

3.  Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah.

Contoh hadis-hadis dha’if dan maudhu’ yang popular :

a) “Rejab bulan Allah. Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”
b) Diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Anas , beliau telah memarfu’kannya :
"Sesungguhnya didalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu".
c) Riwayat daripada Abdullah bin Said dari bapanya beliau memarfu’kannya:
"Barangsiapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu tahun , dan siapa yg berpuasa didalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka Jahannam , dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa 10 hari, tidaklah jika dia berdoa melainkan akan dimakbulkan Allah, barangsiapa yang berpuasa 15 hari , menyerulah penyeru dari langit “ Sesungguhnya telah diampunkan bagimu perkara yang telah lalu maka dimulai amal yang baru , dan sesungguhnya telah digantikan segala kejahatan engkau dengan kebajikan dan barangsiapa yang melebihkannya maka melebihkannya oleh Allah”.

4. Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum dan sunnah Nabi SAW yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak. Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi.

5. Di bawah ini ana sertakan sekali ulasan tentang perbahasan hukum puasa di bulan Rejab oleh Sheikh Yusuf al-Qaradhawi :

" Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi tidaklah diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda berpuasa pada keseluruhan bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu bulan (yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam bulan tersebut. Inilah sunnah Nabawiyah.
Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh para sahabat dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, baginda berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud).

Maka apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat sebahagian manusia berpuasa pada bulan Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan menamakannya “Al-Ayam Al-Baidh” selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu perayaan pada hari ke 8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling secara berterusan.
Mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari Id (1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mahupun para sahabat dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal umat Islam).
Maka sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari dan berbuka sehari, bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah pada mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan generasi terkemudian.
Barangsiapa yang ingin mengikut dan memperoleh ganjaran yang sempurna, maka ikutlah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tidak berpuasa pada bulan Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa sunat). Wa Billahi Tawfiq.


sumber :
1. http://www.himmahfm.com/index.php?option=com_kunena&func=view&catid=2&id=23&Itemid=53&lang=id

2. http://almukminun.blogspot.com/2011/06/jawapan-terhadap-kesmusykilan-fadhilat.html

1 comment:

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST