TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

KEKURANGAN OKSIGEN DAKWAH



Oksigen kehidupan itu segar lagi menyegarkan. Ia nadi utama dalam memastikan sistem tubuh berfungsi dengan baik.

Tiada ia, maka tidak berfungsilah paru-paru.
Bila-bila paru-paru tidak berfungsi, maka yang lain akan turut sama terencat.

Kehebatan sistem ciptaan Allah, saling menyokong dan mendokong satu sama lain.
Hikmah dan pengajaran terbesar buat kehidupan insani.

Dalam kehidupan ini, jika oksigen itu adalah sesuatu yang urgen dan penting bagi tubuh manusia, maka ada juga sesuatu yang sangat urgen dan sangat penting untuk roh manusia.

Jika tiada ia, maka roh kita juga bakal sesak nafas. Sesak nafas, tenggelam kelemasan dalam lubang jahiliah.

Oksigen dakwah.

Ia adalah udara segar buat sang daie’. Orang-orang yang berada di jalan Allah dan menyeru kepada-Nya.

Hilang ia akan menghilangkan seluruh kenikmatan hidup ini.
Bila dakwah tidak digerakkan, terasa keresahan yang begitu melemaskan jiwa.

Bila dakwah senyap tidak gencar, maka ia jadi risau tidak boleh duduk diam.Kerana dia telah bernafas dengan udara segar itu, menjadikan ia resah dan risau bila sekali saja dalam kehidupannya, nafas itu terhenti kerana leka dan lalai.

Hakikatnya, bukan mudah menjadi DAIE’ sejati.

DAIE’ sejati itu cintakan dakwah, bukan berdakwah untuk melaksanakan rutin harian semata.

Bukan berdakwah atas nama seorang ‘Pendakwah’ semata.

Hatta dia seorang doktor, jurutera, peguam atau apa sekalipun pekerjaannya, maka bila cinta kepada dakwah, merasakan urgensi untuk bernafas dalam kehidupan dakwah, maka pasti dia akan menjadikan dakwah sebagai KERJA UTAMA dalam kehidupan.

Kata Al-Marhum Ust Rahmat dalam movie Sang Murabbi, “Ramai orang bisa berdakwah, tetapi berapa ramai yang bisa CINTA kepada dakwah?”






DAIE’ PERLU MENGINSAFI DIRI

Seorang daie’ perlu menyedari betapa besar dan berharganya amanah yang dipikulnya.

Kenapa?

Kerana seorang daie’ itu bukan semata-mata bertanggungjawab ke atas dirinya, bukan juga atas keluarganya sahaja, tetapi memegang tanggungjawab atas ummat ini.

Sesuatu yang berharga, sesuatu yang besar tidak mungkin akan terbayar melainkan dengan pengorbanan dan harga yang tinggi.

Justeru, seorang daie’ tidak akan mampu bergerak seorang diri untuk melaksanakan tanggungjawab sebesar ummat ini.

Bergerak seorang diri hanya akan merugikan nafas dakwah ini. Bila lemah, tidak sihat, sakit dan sebagainya, tidak ada sokongan dan dorongan untuk terus bergerak.

Bila diserang, diancam, dihina, tidak ada sahabat untuk mempertahankan.

Akhirnya, diam terus menyepi. Semangat yang dulu gencar, sudah hilang terbakar.

Kerana bergerak seorang diri itu lebih banyak mengundang bencanalah, Rasulullah s.a.w. memberi contoh supaya kita mencari sahabat dan kumpulan yang memiliki kefahaman yang sama untuk bersama-sama membangunkan semula Islam.






DUNIA YANG SENTIASA MEMPERDAYA

“Daie’ yang lemah hubungannya dengan Allah, akan disingkirkan daripada kafilah dakwah.”

Saya petik kata-kata ini daripada seorang murabbi.

Banyak faktor yang mengakibatkan lemahnya hubungan dengan Allah. Antara faktor terbesar itu adalah dunia yang sentiasa memaut hatinya.

Seorang daie’ tidak boleh memandang dunia terlalu lama.

Kata murabbi saya, “ Daie’ yang melihat dunia lama-lama, dia adalah daie’ yang dhoif.”

Apa maksud melihat dunia terlalu lama?

Adakah duduk, memperhatikan burung, gunung dan sebagainya itu?

Bukan.
Yang dimaksudkan di sini adalah mengambil kenikmatan dunia itu terlalu banyak sehingga melalaikan dan melupakan kita daripada tugas dan tanggungjawab sebenar.

Daie’ perlu buang rasa cinta kepada dunia. Daie’ yang cinta kepada dunia, tidak akan mampu memberi kesan kepada hati orang lain baik dalam ucapan mahupun syaksiahnya.

Orang yang dalam hatinya ada dunia, mampukah memberikan nilai akhirat kepada hati orang yang ada dunia juga di dalamnya?

Tidak. Kerana masing-masing memiliki dunia, nilai fana yang sama, sedang nilai akhirat itu nilai yang abadi !

Dunialah yang bakal menggugurkan daie’ dari perjalanan mulia ini.
Dunia jugalah yang menghilangkan keselesaan bekerja untuk Islam, mewujudkan rasa selesa untuk terus duduk berehat dan menikmati dunia.
Dunialah yang meragut rasa cinta DAIE' terhadap dakwah ini !



PENUTUP : WAHAI DAIE’, KITA PERLU BEKERJA!

Siapapun diri kita, kita perlu bersiap sedia untuk memproses diri supaya menjadi seorang daie’.


Daie’ sejati akan simpati, sedih dan bimbang melihat keadaan ummat.

Ia tidak menyalahkan kerosakan yang ada, tetapi ia akan kembali melihat dirinya yang mungkin masih belum memaksimumkan usaha ataupun mungkin masih belum buat apa-apa!

Daie’ perlu turun ke medan amal. Turun untuk dilukai.
Memang itulah kerja daie’ . Ia mendapat luka demi ummat. Apalagi yang lebih besar daripada itu?

Kita perlu bangun, bekerja dan terus mengajak. Jika duduk berehat, tidak menghadapi masalah, kita hanya akan lebih banyak berteoritikal daripada berpraktikal.

Ilmu lebih banyak dalam catatan, tetapi sedikit yang digunakan.

Rugi. Sangat merugikan. Proses tarbiyah yang dilalui seorang daie’ hanya akan menjadi excessive waste sahaja bagi dirinya.

Bahan lebihan (tarbiyah) yang menjadi buangan? Terima banyak, buat kerja cuma sikit sahaja atau tak buat langsung.
Samalah seperti kita makan. Makan banyak jika tidak gunakan untuk bekerja, hanya akan menjadi tenaga lebihan dalam badan. Akhirnya, malas dan tidurlah ubatnya !


Yang bernama DAIE’ tidak mungkin menzalimi dirinya sebegitu!
Gegarkan semangat berdakwah dalam diri yang sedang enak tidur dalam belaian nafsu kemalasan!

Ingat! TIADA KERUSI UNTUK SEORANG PEJUANG!

1 comment:

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST