TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

PAYAHKAH KORBAN 5 MINIT?


Perkara yang akan dibincangkan :
1.  Antara yang haq dan batil
2.  Tanggungjawab mahasiswa
3.  Terjah perubahan


ANTARA YANG HAQ DAN BATIL

Fitnah, rasuah, kezaliman dan penindasan
bagaikan sarapan seharian
Atas nama kuasa dan keserakahan
Kebenaran dan kejujuran tiada lagi berharga
Kemaksiatan dan Kebejatan menjadi hal yang lumrah
Kesopanan dan Tuhan hanya tinggal nama
Dengan itu rakyat akan bangkit
Kerajaan zalim pasti akan tumbang!

Al-haq (yang benar)

Sejarah demokrasi moden kini memperlihatkan kebangkitan suara rakyat dalam menentang pemimpin yang zalim dalam pemerintahannya. Meskipun kerajaan itu sudah lama, namun ia pasti akan di ‘hukum’.

Masih segar, kerajaan Mesir dibawah pimpinan Hosni Mubarak di kecam hebat oleh rakyatnya. Ketumbukan rakyat hasil cetusan anak muda bangkit menentang pemerintahan Hosni Mubarak.

Sebelum ini juga, banyak kerajaan yang gagal dalam pentadbirannya bakal ditentang dan dilawan oleh rakyatnya. Baik secara halus mahupun secara terang-terangan.

Sejarah Islam juga memperlihatkan kebangkitan rakyat dalam menentang pemerintah Islam yang zalim dan tidak menjaga kebajikan rakyat. Ini menunjukkan sejarah Islam sendiri pernah berlaku pemberontakan terhadap pemimpin yang zalim.

Pastinya ia merupakan fitrah manusia yang mahukan haknya terbela selain kebajikan mereka terjaga. Amat menyedihkan pemimpin yang diberi amanah gagal dalam melaksanakan tugasan yang diberi dengan sebaiknya.

Amat menyedihkan lagi apabila ada sesetengah pihak yang sanggup mengatakan golongan yang memperjuangkan kebenaran ini adalah golongan yang salah dan sesat!
Majoriti manusia tidak suka pada kebenaran :
"Atau kerana mereka mengatakan: Dia kena penyakit gila? (Sebenarnya bukan kerana sesuatu pun dari yang tersebut itu) bahkan kerana Rasul mereka datang kepada mereka membawa agama yang tetap benar dan tabiat kebanyakan mereka tidak suka kepada sebarang kebenaran" (al-mukminun : 70)


CAKNA ISU : PAYAHKAH KORBAN 5 MINIT?


Tanggungjawab sosial anak muda (mahasiswa) untuk ambil cakna (ambil tahu) isu semasa baik dari sudut sosial, ekonomi mahu pun politik amat wajar ditekankan memandangkan keterlibatan mahasiswa dalam mencorak kehidupan mereka sedikit sebanyak memerlukan pengetahuan yang lebih jelas dan luas tentang realiti dunia kini.

Kementerian sendiri melihat peri pentingnya mahasiswa untuk merebut semua peluang yang ada sementera berada di universiti. Walaupun mahasiswa datang ke universiti untuk mendapatkan segulung ijazah namun ianya tidak mencukupi. Keterbatasan ruang kuliah tidak harus tersekat sampai di situ sahaja. Mahasiswa harus ambil peduli.

Dalam menghadapi polemik, mahasiswa tidak perlu mengambil sikap menyebelah secara membuta tuli. Jika mahasiswa tahu pandangan berbeza dalam sesuatu isu sedang terjadi, mahasiswa sebagai golongan intelek yang dipandang tinggi oleh masyarakat perlu berhujah dengan mengeluarkan pandangan bernas lagi berilmiah.

Masyarakat mahu mendengar apakah pandangan mahasiswa sendiri. Jika orang-orang dewasa bertentangan pendapat, dan pendapat itu bukanlah untuk mereka, kerana mereka sudah berada di tahap tertentu. Yang penting ialah mahasiswa (anak-anak muda) sendiri.




TERJAH PERUBAHAN : 5 MINIT SUDAH CUKUP

Kekayaan pengetahuan dan maklumat kita tentang sesuatu yang berlaku di sekitar kita adalah penting. Bahkan, mahasiswa juga perlu tahu peristiwa dunia. Dalam bidang politik, kita tahu negara-negara di dunia Arab jatuh kerana penentangan rakyat. Dengan pembacaan luas, mahasiswa mungkin sudah mendengar nama-nama pemimpin negara yang ditentang rakyatnya, tetapi jika masa diambil untuk mendapatkan analisis alangkah baiknya.

Bagaimanapun bahan-bahan bacaan adalah pelbagai. Tidak semua jenis maklumat disukai mahasiswa terutamanya surat khabar. Namun, jika kesemua jenis maklumat tidak digemari oleh anak-anak muda, maka itu adalah sesuatu yang malang. Seperti disebutkan Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, tidak kesemua peristiwa dan perkara perlu diketahui, tetapi janganlah pula apa-apa pun tidak diketahui.

Maklumat dari media alternatif seperti surat khabar harakah, harakahdaily, suara keadilan, siasah juga perlu dibaca, supaya maklumat yang diperolehi tidak berat sebelah dan dinilai dengan seadil-adilnya.

Lebih-lebih kajian yang dibuat sempena Hari Kebebasan Akhbar Dunia pada 3 Mei 2011 oleh Freedom House yang berpangkalan di Amerika Syarikat telah mengklasifikasikan akhbar di Malaysia masih tidak bebas dan berada di tangga tercorot, 141 dari 196 buah negara. Cengkaman politik sudah lama membelenggu media arus perdana di Malaysia, malah akta hasutan dan media cetak turut digunakan sesuka hati untuk menggantung permit media alternatif dan media bebas yang tidak sebulu. Hal ini menyebabkan kebebasan media di Malaysia terus merundum.




HARAPAN RAKYAT

Rakyat semestinya tidak suka mendengar janji-janji manis seperti projek "mee segera" diperdendangkan setiap kali pilihanraya namun perlaksanaanya langsung tiada! Ini semestinya menghampakan rakyat yang begitu dambakan kenikmatan hidup dan materialistik.

Akhirnya, janganlah memandang enteng suara hati rakyat ini. Suara mereka suara keramat. Kita bukan mahu mendatangkan masalah kepada sesiapa, sekadar mahu menuntut satu hak yang telah lama di liwat!


Kebenaran pasti melenyapkan kebatilan
"Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku, Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap" (al-isra : 800-1)

Allah itu benar.
Kata-kata Allah itu benar.
Janji-janji Allah itu benar.
Pertemuan dengan Allah itu benar
Syurga itu benar
Neraka itu benar.
Para Nabi itu benar
Nabi Muhammad itu benar


Benar itu berat, bercakap benar, beramal dengan kebenaran itu susah. 
Benar itu banyak, orang mencari kebenaran itu sedikit. 
Seperti Rasulullah berkata kepada Abu Zar “bercakap benarlah walaupun pahit”.



IMPIAN SAYA

Akhirnya, saya sebagai rakyat Malaysia sentiasa berharap Malaysia akan diperintah oleh pemimpin yang baik. Antaranya seperti Sultan Muhammad al-Fateh yang berjaya menawan kota Konstantinopel. Selain itu kejayaan Khalifah Umar Abd Aziz menjaga kebajikan rakyatnya sehingga tiada yang miskin sepanjang 2 tahun pemerintahannya.


Semua itu tidak mustahil untuk berlaku andaikata kita terus memantau perkembangan politik ini dari kaca mata hati. Jangan terima sesuatu berita itu dari satu pihak sahaja. Setiap yang kita dapat itu kita kaji dan kita analisis. Dan jangan pernah jemu berdoa, jangan pernah berhenti berdoa agar Allah menunjukkan kita jalan yang benar lagi benar. Percayalah, pasti suatu hari nanti Allah akan  memperlihatkan yang mana haq dan yang man batil. 


Semoga akan lahir pemimpin yang baik dikalangan kita nanti. Insyallah...

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST