TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label PERINGATAN. Show all posts
Showing posts with label PERINGATAN. Show all posts

JIKA BENAR BICARA MU


Selangkah anak perempuan keluar dari rumah tanpa menutup aurat, maka selangkah juga ayahnya itu hampir ke neraka. Selangkah seorang isteri keluar rumah tanpa menutup aurat, maka selangkah juga suaminya itu hampir ke neraka.

Di mana-mana selalu nampak ayat ini.
Betulkah begitu? Apa maksudnya? Kenapa pula?
Kenapa pula orang lain yang buat dosa, orang lain pula yang perlu tanggung?
Kita perlu kritikal membaca.

Di akhirat, 1 lelaki akan dipertanggungjawabkan terhadap 4 wanita :

1. Ibunya
2. Isterinya
3. Anak Perempuannya
4. Saudara Perempuannya

Manakala 1 wanita, tanggungjawab terhadapnya ditanggung oleh 4 lelaki :

1. Suaminya
2. Ayahnya
3. Anak lelakinya
4. Saudara lelakinya

Perlu faham.

Dosa yang dilakukan oleh isteri dan anak perempuan ditanggung sendiri. Suami atau ayah hanya menanggung dosa kecuaiannya sahaja kerana tidak mendidik isteri dan anak ke jalan yang benar iaitu Islam seperti ayat 164, surah Al-An’am.

“Katakanlah: “(Sesudah Aku mentauhidkan Allah dan berserah diri kepadaNya) Patutkah Aku mencari Tuhan selain Allah, padahal Dia lah Tuhan bagi tiap-tiap sesuatu? dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja  yang menanggung dosanya;
dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa Yang kamu berselisihan padanya.” 

Dahsyatnya seorang wanita ciptaan Allah SWT yang Maha Hebat. Tangan yang menghayun buaian mampu menjadi tiket kepada lelaki sama ada ke neraka atau syurga.




TIKET KE SYURGA

Wanita solehah tidak keluar rumah melainkan keizinan suami dan urusan mustahak. Keluarnya wanita dari rumah hendaklah ditemani muhrimnya sebagai langkah berhati-hati. Para sahabiyah RA tidak keluar dari rumah mereka sehinggakan mereka tidak hafal jalan-jalan di kampung mereka. Apa yang mereka hafal hanyalah jalan-jalan menuju syurga Allah.

Oleh itu, mereka telah menghantar suami dan anak anak mereka ke syurga melalui jalan pintas. Dengan berjihad dan syahid di jalan Allah.




TIKET KE NERAKA

Keluarnya wanita dari rumah menyebabkan terbinalah papan-papan iklan maksiat. Ini sangat menguntungkan musuh Islam. Wanita kita hari ini melariskan produk keluaran mereka dengan mendedahkan maruah mereka kepada pandangan umum. Seorang wanita solehah juga tidak bertabarruj (berhias diri) kecuali untuk suaminya sendiri.

Firman Allah SWT : “Janganlah kamu berhias diri sepertimana berhias diri perempuan jahiliyah”.(surah al-Ahzab : 33)

Ya. Memang benar. Islam itu mudah, tetapi kemuliaan Islam itu selalu mengiringi mereka yang tidak mengambil mudah terhadap Islam.

Kalau kita sayang ayah atau suami. Berubahlah. Berhijrahlah ke arah lebih baik.

Wahai para suami, peringatkan isterimu. Sekiranya diri mereka terlupa untuk berhijrah ke arah jalan yang lebih baik.

READ MORE

KENAPA LAMBAT PERGI SOLAT JUMAAT?


Seringkali kita melihat hayunan langkah lemah lagi lembap menuju ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Sudahlah lambat, azan berkumandang pun tidak tahu hormat.

Si muda duduk lepak di luar masjid.
Si tua berbual-bual sambil menghisap rokok.
Tidak tahukah ganjaran orang yang datang awal ke masjid?

Inilah masyarakat kita. Dalam masa yang sama, ada juga segelintir jemaah yang datang awal. Namun, apa yang mereka buat?

Si tua mencari-cari tiang.
Si muda mencari-cari saf belakang.

Untuk apa?

Untuk memudahkan mereka menyandar atau tidur di saat khutbah sedang dibacakan. Mungkin si tua sakit belakang dan si muda "khutbah syndrome".

Tabiat buruk masyarakat zaman moden kini semakin menjadi-jadi. Si khatib berbicara bagai syok sendiri. Belum lagi kita sentuh isi khutbah yang merepek. Khutbah yang disampaikan tidak menyentuh tentang isu ummah malahan tidak mendidik masyarakat secara praktikal.

Realiti.

Cuba kita tanya mengapa ada jemaah yang berbual, tidur dan mengelamun ketika khatib membaca khutbah? Apatah lagi yang tidak pergi solat jumaat.

Dan secara amnya, mengapa masyarakat hari ini masih tidak menjadikan masjid atau surau tempat untuk mendapatkan ketenangan jiwa?

Pendapat ringkas penulis, pertama, jemaah merasakan khatib tidak menjadi rujukan yang baik kepada masyarakat di sekelilingnya. Isi khutbah tidak menginsafkan pendengar dengan ayat-ayat yang menusuk jiwa mereka.

Kedua, pengurusan masjid atau surau yang bercelaru. Pihak pentadbiran serta ahli jawatankuasanya terdiri daripada bukan ahli, malah hilang kelayakan untuk mentadbir seperti yang difirmankan Allah menerusi ayat 18 surah at-Taubah :

"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan TIDAK TAKUT melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Ketiga, kurangnya program pengisian masjid seperti kuliah agama, ceramah, forum ataupun diskusi ilmu. Jika kesedaran beragama tidak diterap daripada awal dan secara konsisten, tidak mustahil perkataan masjid menjadi terlalu asing di hati masyarakat.

Keempat, khatib tidak menghayati khutbah yang disampaikan kerana hanya membaca teks sahaja. Rasulullah SAW apabila menyampaikan khutbah, tidak panjang berjela-jela, malah ia pendek dan padat, yang penting baginda memanjangkan solat Jumaat dan baginda sendiri marah mereka yang terlalu memanjangkan penyampaian khutbah.

Dan kelima, peruntukan wang masjid lebih tertumpu kepada pembangunan fizikal masjid, malah kurang untuk digunakan bagi tujuan pembangunan insan. Ini terbukti, kita lihat banyak masjid dibina cantik-cantik, besar dan luas. Tetapi sunyi dan terkunci.

Masyarakat kita bermata materialistik dan disebabkan itu kejahilan beragama membutakan mata hati. Dikatakan masjid terlalu suci untuk dikotori. Hanya boleh hadir jika ada upacara yang penting. Nak kahwin, nak mati baru ingat masjid.

Sebab itu jangan hairan jemaah solat jumaat semakin berkurangan saban hari. Mereka tidak takut untuk tinggalkan solat lebih daripada 3 kali. Amaran Allah tidak ditakuti. Yang ditakuti apabila rezeki dan pekerjaan hilang.

Mana 1 yang penting?

READ MORE

HIBURAN YANG MENGUATKAN HATI


Ramai orang suka dengar lagu rock. Sedikit sahaja mendengar alunan suci ayat Al Quran.
Ramai orang suka dengar lagu K-pop. Sedikit sahaja mendengar nasyid ketuhanan.
Ramai orang suka dengar lagu hip hip. Sedikit sahaja mendengar zikir dan selawat.
Ramai orang suka hafal lirik lagu. Sedikit sahaja menghafal Al Quran.

Kita adalah apa yang kita dengar. Hiburan tidak salah. Macam cinta. Bercinta tidak salah. Yang salah cara dan mekanisma yang digunakan. Sekaligus kesan dan impaknya terhadap kesihatan keimanan.

Adakah melalaikan?
Adakah terdapat pergaulan bebas?
Adakah semakin mendekatkan kita kepada Allah?

Apabila yang dipanggil hiburan itu melalaikan, melanggar peraturan, ia bukan lagi hiburan. Tidak boleh dikategorikan sebagai hiburan. Ia adalah kerosakan. Merosakkan jiwa, akal dan rohani manusia. Merosakkan hubungan antara manusia dengan Tuhannya.

Hiburan itu menguatkan bukan melemahkan. Maksudnya hiburan itu untuk menguatkan hati, minda dan jasad, bukan hendak melemahkannya. Hiburan membuatkan manusia sedar diri. Sedar akan tujuan hidup dan siapa penciptanya. Bukan untuk mengkhayalkan manusia dan buat mereka lupa pada Tuhan.

Dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Aisyah RA :

“Sesungguhnya Abu Bakar masuk kepadaku, sedang di sampingku ada dua gadis hamba daripada orang Ansar sedang menyanyi dengan nyanyian yang dinyanyikan oleh orang Ansar pada hari peperangan Bu’ath. Aku berkata, kedua-dua orang ini bukanlah penyanyi. Abu Bakar berkata, adakah di rumah nabi ini terdapat serunai syaitan? Sedangkan pada hari ini adalah hari raya idul fitri. Rasulullah bersabda, wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kamu ada hari rayanya dan ini adalah hari raya kita.” (Riwayat Ibnu Majah)

Hiburan yang menghiburkan jiwa serta menenangkan hati diharuskan oleh Islam. Al-Syeikh Yusuf al-Qardhawi juga berkata bahawa antara hiburan yang dapat menghibur jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian.

Pilihlah hiburan alternatif. 

Ceramah para ustaz lewat dewasa ini juga apa kurangnya. Semakin hebat, bertenaga dan tak kering gusi mendengarnya. Tidak puas sekali mendengar, berkali-kali mendengar.

Dengan hiburan manusia ceria dan bersemangat untuk hidup. Yang dibenarkan itu sudah cukup. Yang tidak dibenarkan itu adalah hal yang berlebihan. Maka bersederhanalah.

Bukankah islam itu agama yang sederhana?

READ MORE

HAMBA APAKAH AKU?


Azan sedang berkumandang.

"Ah...jap lagilah solat. Nak abeskan baca facebook dulu".

Bebola mataku yang sebelum ini berwarna tahi cicak, hitam putih beransur-ansur bertukar menjadi bebola api. Merahnya begitu menyengat.

"Aduhhhhh...Sakitnya mata. Lenguhnya tengkuk. Lah...patutlah dah kul 4 petang. Tak sedar plak dah lama main facebook".

Dan aku pun menunaikan solat Zohor tanpa nafsu sebagai hamba. Sekadar tonggang tonggek dan memberi salam kiri kanan. Bagai kilat menyambar begitulah kepantasan aku solat dengan doa yang paling pendek. Kadang-kadang tak doa pun.

Aku minta apa dalam doa pun aku tak tahu. Cuma mulut aku terkumat kamit membaca karangan Bahasa Arab. Jasadku di atas sejadah. Roh, jiwa dan fikiranku terbang menggapai langit-langit yang indah. "Oh! Ada awek cun add aku tadi. Jap lagi nak usha facebook dialah".

Semangatnya aku.

Aku ulangi tabiat yang sangat baik ini setiap hari. Berjam-jam lamanya aku di dunia internet. Macam-macam yang aku layari. Orang kata nak jelajah dunia kena belayar di laut. Aku jelajah dunia dengan belayar di internet.

Aku puas.



HAMBA APAKAH AKU?

Dunia internet. Facebook. Twitter. Blog. Agaknya ada lagi yang lebih penting daripada Allah?

Kita ini hamba. Hamba kepada Tuan yang sangat besar kuasa-Nya. Sangat tinggi kasih sayang-Nya. Dengan hanya sedikit limpahan rahmat-Nya dimasukkan ke dalam dada semua hamba-Nya. Kita mampu pula berkasih sayang sesama kita. Mampu menghubungi antara satu sama lain dengan nikmat internet yang diberi Allah.

Dia yang mencipta kita. Untuk apa?

Semata-mata hanya untuk beribadat kepada Allah. Alah mencipta dunia dan segenap perhiasannya untuk dijadikan medan tarbiyyah buat kita. Ibarat mencipta akhirat untuk tempat penghisaban amalan dan mencipta pula neraka dan syurga sebagai tempat balasan kita. Ia tempat yang kekal abadi. Yang tidak ada kematian lagi. Ia tempat terakhir perjalanan roh.

Berfacebook, berchatting dan bermain game adakah suatu ibadat untuk kita persembahkan kepada Allah?
Adakah dengan komponen-komponen di dalam aktiviti ini mampu menjadi batu asas binaan mahligai di syurga kelak?

Oh! Di mana nilai kita sebagai seorang hamba di mata Allah? Tidakkah kita risau? 

Seorang hamba itu hidupnya tidak dihiasi dengan bermaksiat. Hatta "bermaksiat" dengan waktu. Hatinya seringkali diservis untuk perjalanan yang jauh menuju ke padang mahsyar. Dia telah bersiap siaga dengan bekalan amalan di dunia.

Tidak ada perintah yang lebih dijunjung oleh seorang hamba Allah itu melainkan perintah Allah. Dia merdeka daripada keterikatan kepada makhluk, hawa nafsu dan kebendaan. Kebergantungannya hanya kepada Allah yang semakin hari semakin kuat, sehingga ia mampu hidup berdikari dan tidak mengharap ihsan orang lain.

Cukuplah Allah sebagai penghibur hatinya. Bukan internet. Bukan game. Bukan Facebook. Bukan movie Korea. Bukan chatting.

Itulah nilai seorang hamba Allah. Makin hari makin sayang dengan Allah. Makin hari makin tenang dalam dakapan kasih sayang Allah.

Seperti dalam firman Allah SWT dalam surah as-syams, manusia itu dikurniakan dua pilihan jalan, jalan KETAQWAAN  dan jalan kefasikan. Beruntunglah yang memilih jalan ketaqwaan dan merugilah yang memilih jalan kefasikan. 

READ MORE

TOLONGLAH "LIKE" FACEBOOK AKU


"Hemmmmm.......boringnye tengok Facebook aku. Macam-macam dah aku post. Nak kata tazkirah, hadith, ceramah, semua benda baik aku dah letak. Tapi sikit je orang like. Yang komen lagi la. Selalunye memang takde langsung!"

"Hahaha!!! Glamourlah aku. Banyak sangat friend request. Message inbox pun banyak masuk. Kalau aku post walaupun status "aku nak makan"...peh!!! banyak giler orang like ngan komen"



IKHLAS KE AKU?

Aku tidaklah baik mana. Apatah lagi berada dalam kategori umat yang alim pun. Aku biasa-biasa orangnya. Mengumpat, bangga diri, pemarah, suka membanding, dan semua yang sifat-sifat buruk kadang-kadang memang menguasai akal warasku.

Dek terbiasa sangat perkara-perkara yang tak elok tersebut, tanpa aku sempat fikir dosa, pahala dan kesannya pada orang sekeliling aku, aku secara automatiknya menempah "sebuah rumah" di neraka Allah.

Seperti kebanyakkan orang lain, aku juga tidak terlepas dari sifat riak dan sifat yang suka dipuji. Kalau aku mahu lakukan sesuatu, aku suka sekiranya orang sekeliling tahu apa yang aku buat. Aku suka diriku dipuji melangit. Aku pun suka mengungkit setiap kebaikan yang telah aku buat.

Terutamanya bila belanja kawan. Hari ini ada batas, hari esok bila nak balas?
Tapi bila aku fikir semula, ikhlaskah aku?





IKHLAS ITU INDAH. 

Hati yang bersih dan suci adalah hati yang boleh menerima kekurangan diri seadanya. Sikap suka menyalahkan orang lain dalam beberapa hal amat dikesali. Bukanlah pemilik hati yang bersih dan suci apabila suka dipuji dan diangkat pada kedudukan yang tinggi.

Sifat suka berbangga dan bermegah-megah dengan kedudukan diri sendiri yang tidak seberapa, minta disanjung dan dipuji setiap masa adakalanya akan dibenci secara diam dan sahabat yang lain kurang berminat untuk mengetahui dan mendengar apa-apa berita kita seterusnya.

Insan yang telah memiliki cinta Allah lain pula sifatnya. Sentiasa merendah diri, tidak suka menunjuk-nunjuk akan kehebatan dirinya dan sentiasa cuba membantu dan menolong insan lain yang memerlukan.

Maka, apa yang perlu?

Setiap perbuatan kita perlu ada niat hanya kerana Allah. Bila niat hanya kerana Allah, segalanya menjadi indah dan terasa bahagianya di hati. Hanya hati yang ikhlas kerana Allah sahaja akan menerima ganjaran pahala dan keberkatan dalam setiap perbuatan.

Untuk melatih hati kita menjadi ikhlas, kita perlulah melafazkan niat tu sama ada dalam hati atau melalui mulut. Sebab dengan melafazkannya dalam sedar, kita akan sentiasa beringat tentang tujuan asal kita iaitu membuat sesuatu hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah semata-mata, dan ini mendatangkan rasa keikhlasan dalam diri.

Bila hati kita ikhlas, kita tidak akan merungut, mengungkit atau merasa penat kerana kita tahu Allahlah yang akan memberi ganjaran di akhirat nanti.

Ingatlah. Perbuatan yang asalnya ikhlas kalau diungkit, akan menjadikan perbuatan itu sia-sia dan tidak mendapat atau mengurangkan pahala dari Allah.

Jadikan setiap kebaikan dan perbuatan kita itu sebagai saham akhirat dan modal tambahan untuk memberatkan timbangan neraca amalan kita. Kita buat, kita lupakan. Tak perlu ungkit dan tak perlu kenang.

Untuk itu renungilah kata-kata Imam Hasan Al Banna :

“Di dunia ini, dari banyaknya jumlah manusia hanya sedikit saja dari mereka yang sedar. Dari sedikit yang sedar itu hanya sedikit yang berIslam. Dari sedikit yang berIslam itu hanya sedikit yang berdakwah. Dari mereka yang berdakwah lebih sedikit lagi yang berjuang. Dari mereka yang berjuang sedikit sekali yang bersabar. Dan dari mereka yang bersabar hanya sedikit sekali dari mereka yang sampai akhir perjalanan”

Biar Allah yang memberikan ganjarannya. InsyaAllah.

READ MORE

TAK PERLU SOMBONGLAH!


Rasanya agak janggal jika kita membincangkan masalah ilmu tanpa di ketengahkan apakah tugas yang perlu kita tunaikan dahulu di dalam misi menuntut ilmu, dan apakah akhlak yang perlu ada dan tanggungjawab yang perlu kita pikul terhadap ilmu yang kita pelajari.

Satu ujian bagi penuntut ilmu ialah beramal dengan ilmu yang dipelajari.

“Ilmu memanggil-manggil amal. Jika disahut ia akan datang mendekatimu. Sebaliknya jika tidak, ia akan pergi meninggalkanmu”.

Maka tidak hairanlah jika sebilangan pemilik ijazah sarjana, pHD, atau pun master level bertindak seperti tidak pernah bersekolah. Akhlak, tindakan dan tutur bicaranya tidak menggambarkan ilmu dan kelulusan yang dimiliki. Bahkan hal ini turut mengjangkiti orang-orang yang belajar agama. Pak ustaz, imam masjid, tok kadi, peguam syariah dan sewaktu dengannya.

Satu dari faktor utama yang menyebabkan hal ini berlaku ialah tiadanya adab dan akhlak ketika menuntut ilmu.

Hari ini, kita akan persoalkan tentang adab dan akhlak duduknya di baris belakang selepas akademik dan kemahiran.

Terlebih dahulu suka untuk dibuktikan dengan mengambil contoh keperibadian Imam Bukhari RA. Kita melihat bahawa Imam Bukhari mewarisi daripada Rasulullah SAW ilmunya, akhlaknya dan amalannya dan bukan mewarisi hartanya.

Beliau adalah seorang ahli ilmu Hadis yang kuat beribadat, warak, zuhud dan berakhlak mulia. Beliau tidak membuang masanya dengan sia-sia, masanya diisi dengan menulis Hadis dan mendirikan solat-solat sunat.

Dari Imam As-Subki, mencatatkan pengakuan Imam Bukhari :

"Setiap kali aku hendak menulis sebuah Hadis dan menaqalnya dalam Sahihku (Kitab Sahih Bukhari), aku akan berwuduk dan mengerjakan sembahyang".

Imam Bukhari juga memberi perhatian serius kepada kewajipan sembahyang. Beliau menghayati setiap ayat dan zikir yang dibacanya.

Pada suatu masa, ketika beliau sedang solat, beberapa ekor lebah hinggap di belakangnya dan menyengatnya tetapi sengatan lebah tersebut sedikitpun tidak mengganggu solatnya! 

Sesudah selesai solat, beliau meminta kawan-kawannya membuka bajunya dan melihat apa yang menyebabkan beliau rasa tidak selesa ketika solat tadi. Mereka lihat belakangnya telah bengkak akibat sengatan lebah, padahal beliau tidak merasa sakit ketika solat!

Apatah lagi, beliau sering membaca Quran pada waktu sahur dan menyambung bacaan pada siang hari. Dengan cara itu, beliau dapat mengkhatam sebuah Quran setiap hari.

Nah!

Jika dilihat dengan penelitian mikro cukup tinggi displin ilmu yang digariskan oleh pencinta-pencinta ilmu seperti Imam Bukhari. Bahkan kita melihat kata-kata hikmah para sarjana islam tentang adab menuntut ilmu seperti :

Imam Suffyan Sauri (w 161H) :

“Mereka tidak menyuruh / mengirim anak-anak mereka untuk menuntut ilmu, hingga mereka mempelajari adab dan beribadah selama 20 tahun”.

Imam Abdullah ibnul Mubarak (w 181H) berkata :

 “Aku mempelajari adab selama 30 tahun kemudian aku menuntut ilmu selama 20 tahun. Mereka mempelajari adab sebelum belajar ilmu”.

Beliau juga mengatakan, “Adab itu 2/3 ilmu”.

Juga, "Telah berkata kepadaku Makhlad bin al-Husain (w 191), “Kami lebih memerlukan adab daripada banyaknya hadith”.

Imam Muhammad bin Sirin (w110H) berkata :

“Mereka (salafussoleh) mempelajari petunjuk Nabi (tentang adab) sebagaimana mereka belajar ilmu”.

Sahabat, hari ini generasi kita hilang malu. Generasi kita hilang adab. Bukan sahaja adab ketika menuntut ilmu tetapi sayugia dikatakan kita hilang adab dengan cikgu, pensyarah, doktor, profesor yang bersekang mata memerah otak demi mencerdikkan kita. Daripada zero ke hero.

Inilah diri kita sahabat.

Tidak malukah kita? Para Ilmuan, mereka sedar bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja"

Ingatlah pesan Rasulullah SAW :

"BUKAN DARI UMATKU! orang yang TIDAK MEMULIAKAN orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan TIDAK MEMPELAJARI daripada orang-orang alim. (Riwayat Abu Daud)

READ MORE

"AWAK NAK PEGANG BOLEH?"



APAKAH MAKNA CINTA?

Komentar aku apa itu cinta? Kenapa perlu bercinta? Apakah ada cinta dalam islam?

Syukur alhamdulillah jika kita menyintai seseorang itu kerana Allah. Ia adalah sebenar-benar cinta. Cinta semata-mata kerana inginkan keredhaan Allah. Cinta kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Cinta kepada dia kerana yakin dia boleh membangkitkan semangat kita untuk berjuang mendapatkan keredhaan Allah.
Cinta kepada dia kerana dia yang mendorong rasa rindu kepada Allah. 
Cinta kepada dia kerana dia yang mampu menjamin kenikmatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. 
Cinta kepada dia kerana dia yang sanggup bersusah payah, suka dan duka bersama menuju jalan-Nya
Cinta kepada dia kerana dialah insan yang berkemampuan untuk menyambung zuriat kita, melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah. 
Cinta kepada dia kerana dia juga mencintai Allah melebihi cinta kepada kita!

Alhamdulillah. Jika kita dikurniakan cinta yang sebegini, maka rugilah kita jika kita menolak  Namun, sejauh mana si dia mampu menyintai kita kerana sebab-sebab itu semata?



CINTA PLASTIK!

Bagaimana kalau si dia cintakan kita kerana sebab-sebab berikut?

Dia mungkin cintakan kita kerana kita ini cantik. Tubuh kita ramping yang menggiurkan atau kacak yang mempesona dan sedap memandang.
Dia mungkin cintakan kita kerana pertuturan kita yang lemah lembut, kerana suara kita yang merdu dan merangsang.
Dia mungkin mencintai kita kerana mata kita yang cantik dan jelingan mata yang menggoda. 
Dia mencintai kita mungkin kerana kepandaian kita, kerana kehebatan kita. 
Dia mungkin mencintai kita kerana populariti dan jawatan yang kita ada. 
Dia menyintai kita mungkin kerana wang dan harta kita, atau kerana karier , status dan ‘siapa’ kita yang membanggakan atau macam-macam lagi sebab.

Mungkin juga setelah nikmat sementara ini ditarik, dia pergi meninggalkan kita selama-lamanya!

Dari mata jatuh ke hati. Bahayanya mata bila memandang ke arah keburukan dan dosa sebagai nikmat dan keseronokan. Hati pula semakin lama semakin gelap. Bila hati gelap, benda salah dikatakan betul. Jiwa dan akal tidak dipandu oleh iman tetapi dikuasai sepenuhnya oleh nafsu.

Perasaan cinta yang pada awalnya bersih dan naif bertukar menjadi wajah kotor yang dipenuhi dosa dan noda. Benda haram telah menjadi halal.

Bila tersentuh sekali "Oh! Maaf ye tak sengaja". Bila banyak kali tersentuh "Eh! Lembutnya kulit awak. Awak  pakai apa ye?" Bila lama-lama "Awak, nak pegang tu boleh???"

Dalam satu ungkapan ulama :

"Betapa banyak syahwat yang dilampiaskan hanya bebarapa detik. Mewariskan kedukaan yang sangat lama. Lalu memberi kehinaan dan kepapaan.'

Cinta hanyalah pinjaman. Nikmat rasa bercinta, mencintai dan dicintai juga suatu pinjaman. Bila dikata nikmat, sudah tentu Allah boleh tarik bila-bila masa sahaja. Namun, jika Allah telah tetapkan dia milik kita. Segala-galanya akan berjalan dengan lancar dan tidak disangka-disangka. Itupun dengan cara yang halal.

Jangan hanya kerana cinta yang TIDAK PASTI BERNILAI, maruah yang PASTI BERNILAI sanggup digadaikan!

READ MORE

"NAK KAHWIN TAPI SAYA TIDAK CINTA DIA"



DILEMA BERKAHWIN DENGAN TUNANG TANPA CINTA

Rasa sunyi bila tiada. Rasa pilu bila tidak berhubung. Rasa lemah bila tidak berjumpa.

Tetapi bukankah rasa sunyi bermaksud rindu? Bukankah bila wujud perasaan sayang dan rindu itu bermaksud cinta?  Bukankah rasa pilu wujud setelah dua hati telah bertaut?

Terutamanya, apakah cinta adalah syarat utama untuk berkahwin?

Jangan tinggalkan orang yang kita sayang untuk orang yang kita suka kerana orang yang kita suka akan tinggalkan kita untuk orang yang mereka sayang. Jangan cuba memaksa untuk dapatkan orang yang kita suka tetapi sayangilah dengan apa yang kita ada.

Cinta, kasih dan sayang itu adalah hak milik Allah. Dia berhak untuk titipkan perasaan cinta, kasih dan sayang itu kepada sesiapa sahaja. Sama juga. Dia berhak untuk menarik perasaan cinta, kasih dan sayang itu daripada sesiapa sahaja, bila-bila masa.

Tidak semestinya kita akan berkahwin dengan orang yang kita cinta 100% itu, ia akan kekal sehingga ke alam rumah tangga! Apatah lagi bercinta hingga ke syurga.




KAHWIN DULU, CINTA KEMUDIAN

Walaupun kita cuba pertahan keindahan cinta sebelum kahwin dengan apa jua istilah dan tips sekalipun. Walaupun kita membataskan banyak perkara agar sampai tidak wujud zina hati, tapi kita kena ingat.

Bila kita jatuh cinta dalam keadaan iman yang ampuh, kita senang terdedah pada penyakit hati dan tidak ramai antara kita yang imannya teguh.

Petikan hadis riwayat Bukhari dan Muslim :

"..Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati."

Cinta sebelum kahwin sudah terbukti banyak yang melanggar prinsip Allah SWT. Ia hanya merupakan jalan hidup yang sia-sia. Jalan hidup yang penuh dengan dosa dan noda. Yakni jalan kemaksiatan yang amat dibenci oleh Allah. 

Walaupun kita cuba mengindahkan cinta sebelum kahwin dengan janji-janji manis, hakikatnya yang terindah tetap cinta selepas kahwin.

Walaupun kita cuba membataskan banyak perkara dan pergaulan, namun akhirnya ramai yang terbabas!

Hakikatnya, fahamilah.

Cinta sebelum kahwin adalah cinta nafsu. Cinta selepas kahwin adalah cinta suci.
Cinta sebelum kahwin banyak melahirkan penzina. Cinta selepas kahwin banyak melahirkan pencinta hingga ke syurga.

Sudah banyak pengalaman orang-orang terdahulu mengajar kita betapa cinta yang berlandaskan keinginan nafsu tanpa panduan syarak gagal di pertengahan jalan. Ramai yang menjadi buta kerana cinta. Orang yang sedang bercinta selalunya tidak dapat menilai sesuatu dengan baik kerana ditutup oleh perasaan itu.

Mereka seolah-olah berada di awang-awangan. Berkhayal dengan dunia mereka sendiri tanpa ambil peduli tentang dunia.

Akhirnya setelah berkahwin, barulah mereka tersedar siapa sebenarnya pasangan yang mereka cintai selama ini. Bukanlah sebaik yang disangka. Sebab itulah kita tidak hairan satu pertiga perkahwinan di barat berakhir dengan perceraian. Begitu juga dengan dunia artis kita!

Cinta yang berpandukan kecintaan kepada Allah semat-mata akan membahagiakan hati dan menenangkan jiwa manusia. Indahnya cinta bila lafaznya adalah halal!

Mereka dapat menilai baik buruk sesuatu perkara dan sanggup mengorbankan perasaan cinta dan keinginan sendiri semata-mata kerana takut akan azab Allah. Mereka yakin sepenuh hati bahawa ikatan cinta yang diredhai itulah yang akan membawa kebahagian dan keberkatan dalam hidup mereka.

Bukanlah cinta itu yang mesti diperangi kerana ia fitrah dan pendorong utama manusia hidup di dunia ini. Tetapi, tindakan melanggar hukum syarak akibat cinta yang tidak terkawal itulah yang perlu dihindari. Mudah-mudahan Allah SWT memberi petunjuk kepada muda-mudi hari ini kepada jalan yang lurus dan diredhai-Nya.

READ MORE

"AKULAH PALING HOT!"


”Cuba kamu tengok, kawan-kawan kita ramai pakai tudung. Tapi perangainya sama je macam orang yang tak pakai tudung. Keluar dating dengan boyfriend, pegang-pegang tangan, terkinja sana sini. Anis ni, walaupun tak pakai tudung, tak pernah buat macam tu!”

"Anis rasa tidak ada masalah kalau tidak bertudung asalkan berkelakuan baik. Lagipun, banyak wanita yang pakai tudung tapi kelakuannya melebihi kami yang tak pakai. Sampaikan Anis tak pernah rasa nak pakai tudung!"

Dialog membentak sebegini semakin hari semakin membahang di corong-corong telinga para pendakwah dengan ledakan fesyen dan dunia populariti tanpa sempadan.

Tapi tahukah kita?

Apabila ditanya kepada seorang aktivis wanita Islam ala Barat : “Kenapakah anda tidak memakai tudung?” Jawapan yang diberikan adalah: “Pakaian yang dituntut dalam Islam adalah taqwa!”

Apabila ditanya kepada wanita di Belanda : "Memilih pakaian muslimah sebagai sumber kebanggaan dan kemuliaan serta faktor untuk memperkuat Islam dalam diri kami".

Ironinya, berjilbabnya kita di Malaysia adalah kerana fesyen, budaya dan warisan semata-mata tanpa pemahaman roh beragama yang sebenar.

Bagaimana mahu membuahkan rasa kehambaan bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias secara berlebih-lebihan (tabarruj)?

Bagaimana mahu menghadirkan rasa bertuhan jika "nikmat" bertudung dijadikan model si pencuci mata yang gilakan kecantikan duniawi?

Bagaimana mahu mendapat keberkatan dalam amalan walhal semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya tidak tentu pasal. Melaram demi raih simpati dan populariti.

"Oh! Pujilah diriku yang paling tercantik! Paling hot!" - status Facebook

Seorang wanita muslimah yang menjaga hijab dan aurat dengan sempurna, secara tidak langsung ia berkata kepada lelaki :

"Tundukkanlah pandanganmu, aku bukan milikmu dan kamu juga bukan milikku. Aku hanya milik orang yang dihalalkan Allah bagiku. Aku orang merdeka yang tidak terikat dengan siapa pun dan aku tidak tertarik dengan siapa pun kerana aku lebih tinggi dan jauh lebih terhormat berbanding mereka.”

Berbeza pula yang suka menampakkan keindahan tubuh di hadapan umum :

“Silalah anda menikmati keindahan tubuhku dan kecantikan wajahku. Siapakah yang mahu mendekatiku? Adakah orang yang tertarik memandangku? Adakah orang yang mahu memberi jelingan mata dan senyuman kepadaku? Ataukah ada orang yang memuja muji, “Cantiknya awak! Sweetnya awak!" tidak pun kononnya secara islamik "Alhamdulillah cantiknya ciptaan Allah. Tidak jemu mata memandang”. 

Mereka berebut menikmati keindahan tubuhnya dan kecantikan wajahnya hingga mereka pun terfitnah. Wanita bertudung lain juga terfitnah. Agama islam turut terfitnah.

Salah satu fenomena tsunami dosa ini berlaku adalah di Facebook kita sendiri!

Di manakah kebebasan hakiki di antara dua wanita ini? Ingatlah peringatan Allah  SWT "Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka TIDAK DIGANGGU. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih". [Al Ahzab : 59]

Sesungguhnya, wanita yang menampakkan aurat dan keindahan tubuhnya, laksana pengemis yang merengek-rengek untuk dikasihani dan dipuja-puji. Tanpa sadar mereka rela menjadi mangsa si mata rambang mahu pun si penggila seks. Dan dia telah membuka networking yang meluas dengan menjerumuskan dirinya dalam kehancuran dan malapetaka hidup.

Biar tidak hot di dunia, asalkan tidak hot di akhirat!

READ MORE

BILAKAH IA AKAN BERAKHIR?



Sesibuk mana pun kita, kita masih boleh berbalas mesej dengan buah hati setiap hari.
Sesibuk mana pun kita, kita mampu mendownload movie dan menontonnya berjam-jam.
Sesibuk mana pun kita, kita tetap ada masa untuk bermain game di laptop.
Sesibuk mana pun kita, kita tidak lupa untuk update status Facebook.
Sesibuk mana pun kita, kita sentiasa terupdate artis mana yang terkeluar dari Akademi Fantasia.

Fahaman songsang inikah yang telah meracuni di dalam hati kita?

Apabila diajak kepada amalan yang mendekatkan kepada Allah dan jaminan kebahagiaan kita di akhirat, kita sentiasa mengelak dan menjadikan sibuk sebagai alasan utama.

Masa lapang yang ada digunakan untuk perkara sia-sia dengan alasan nak hilangkan stress belajar atau bekerja. Perkara-perkara ini bukanlah semakin menghilangkan stress malah ia hanyalah satu keseronokan yang mampu menjauhkan diri daripada Allah.

Kepuasan yang dicari itu adalah bersifat sementara. Ia tidak mengubati malah menyebabkan nanah semakin membengkak. Yang terubat hanya tampak cantik di luar, tetapi di dalam?

Padahal untuk menghilangkan stress adalah dengan melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah itu sendiri. Seperti merintih dalam doa, mententeramkan jiwa dengan membaca Al-Quran dan sebagainya.

Fikirkanlah.

Adakah kesibukan akan berakhir setelah habis belajar?
Atau setelah kita jadi bos?
Setelah bersara?
Kita tidak akan dapat rehat walau apa pun kondisi.

Kerehatan bagi kita bukanlah kematian. Kalau ia adalah kematian, bagaimana di alam barzakh? Kita mungkin sibuk dengan pukulan-pukulan keras daripada malaikat kerana dosa dan noda. Semoga dijauhkan ya Allah. Naudzubillahminzalik.

"Dan sungguh kalau kamu gugur djalan Allah atau meninggal, tentulah keampunan Allah dan rahmatNya lebih baik (bagimu) diri harta rampasan yang mereka kumpulkan" (Ali-Imran : 156)

" Sesungguhnya rehat bagi seorang mukmin itu setelah kakinya menginjak ke syurga"

READ MORE

KEHIDUPAN SEBAGAI SEKOLAH

Muhasabahlah kehidupan kita yang macam mana. Masa yang kita laburkan ke mana.


Seorang ulama’ mursyid bermadah “Masa itu adalah umur kita, kalau kita tidak mengisi masa dengan sebaik-baiknya bererti kita telah mensia-siakan umur kita”.

Tempoh perjalanan kehidupan di dunia ini cukup singkat. Mungkin kita rasa hidup 60 atau 70 tahun sebagai suatu masa yang agak panjang. Namun hakikatnya kebanyakan kita lebih banyak membuang usia sia-sia berbanding menggunakan setiap detik yang ada dengan penuh manfaat.

Belayar di lautan kehidupan, biarpun tidak tahu ke mana arah yang hendak di tuju. Kita ini telah diarah jalan mana yang harus dituju. Telah disediakan kemudi, telah diberi pendayung. Cuma tinggal untuk melayarkan bahtera kehidupan sahaja.

Namun, sesekali usah lupa pada badai yang bakal melanda, pada taufan yang menggila. Bagaimana sekalipun gelora yang melanda, selagi kita tetap berpandu pada arah, tetap tidak melepas kemudi, pastinya kelak sampai jua pelabuhan nan dicari.

Memikirkan kembali, daripada segumpal darah kita dijadikan kerana apa dan untuk apa.

Berapa ramai di antara kita menyedari bahawa kita sepatutnya menjalankan tugas sebagai hamba Allah?
Berapa ramai di antara kita hamper dan telah tersesat di jalan nan terang?
Teraba-raba mencari arah di jalan nan lurus?
Atau berapa ramaikah di antara kita yang tersungkur di lantai yang rata?

Hidup di alam fana ini singkat. Cukup singkat sebenarnya!

Namun biar sesaat atau sehari sekalipun kita dihidupkan, sudah cukup memadai andai setiap detik dipenuhi dengan keberkatan. Apalah gunanya jika bernafas sejuta tahun sekalipun, tetapi tidak ada sekelumit pun keberkatan yang melekat.

Kualiti atau kuantiti yang kita perlukan?

Mudah-mudahan kita mempunyai kehidupan yang berkualiti. Menjadi seorang hamba yang disayangi oleh Maha Pencipta, juga disenangi oleh sesama hamba. Sentiasa senang dan tenang berbakti kepada Pencipta Maha Agung, juga sentiasa senang dan tenang berurusan dengan sesama makhluk

“Kalian tidak akan masuk syurga sampai kalian beriman, dan tidak akan sempurna iman kalian hingga kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kalian pada sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.” (HR. Muslim no. 54)

Untuk itu, mulakan keberkatan masa dengan mengisi salam sebagai penghias seri kehidupan fatamorgana.

Assalamualaikum WBT =)

READ MORE

AGAR IMAN TIDAK LAGI PALSU




DUNIA SEMENTARA, AKHIRAT ABADI

Orang yang terlalu memikirkan kemiskinan dikhuatiri akan menghilangkan rasa redha terhadap pemberian Allah serta menambahkan rasa kerisauan. Memikirkan perbuatan orang lain kepada kita akan menyebabkan hati bertambah keras serta menyuburkan perasaan berdendam dan dengki. Dilarang juga memikirkan untuk tinggal tetap di dunia kerana ia akan membuatkan kita semakin gemar menghimpunkan harta dan menundakan amal serta lalai daripada mengingati mati dan hari kemudian.

Menyelesaikan sesuatu masalah yang buntu, merancang sesuatu dan sebagainya biarlah bertempat. Umpamanya ketika bermuzakarah, ketika berseorangan, sebelum tidur (muhasabah diri) atau pada waktu lapang yang lain. Tentulah malang jika seseorang menggunakan waktu mendengar pengajian agama untuk memikirkan sesuatu yang tidak sepatutnya difikirkan di waktu itu. Lebih malang lagi apabila masa sedang bersembahyang digunakan untuk berfikir selain Allah.

Orang yang mengelamun di waktu sembahyangnya diancam dengan neraka Wail. Tetapi inilah yang banyak berlaku, sehinggakan kadangkala kunci yang hilangpun boleh ditemui di dalam sembahyang.

Hakikatnya, orang yang selalu menggunakan akal fikirannya akan dapat membangunkan peribadi mulia dan berakhlak.  Fikirkanlah ke arah kebaikan bukannya ke arah kerosakan. Jadikanlah fikiran kita untuk memberi manfaat kepada orang lain bukan mendorong orang lain membuat kejahatan. Sentiasalah mengamati kalimah-kalimah Allah di dalam Al Quran umpamanya :

"Moga-moga kamu dapat memikirkan,"
"Moga-moga kamu memahamkan,"
"Apakah kamu tidak berfikir?"
"Apakah kamu tidak perhatikan?"



INGATLAH ALLAH SEBELUM AJAL 

Satu perkara yang tidak ternilai harganya ialah makrifat kepada Allah SWT dan ini juga dapat dicapai dengan berfikir. Bila kenal Allah, hati tidak tergamak lagi melakukan maksiat, dosa-dosa lahir dan batin pun akan berkurang.

Hati sentiasa berfikir tentang umur dan ajal. Dengan itu hati akan terdorong untuk menghisap diri mengenai amal-amalnya sama ada sudah cukup atau belum, ini akan menjadi benteng daripada ancaman Mungkar dan Nakir di dalam kubur nanti. Hanya orang yang mempunyai mata hati yang terang saja sentiasa memenuhi kotak fikiran mereka dengan soalan-soalan berikut :

"Bagaimana kesudahanku di waktu sakaratul maut?"
"Selamatkah aku di atas titian sirat?"
"Apakah aku ahli syurga atau neraka selama-lamanya?"
"Apakah aku kenal Allah saat ajal menjemput?"

READ MORE

"MACAM KAU TU BAIK SANGAT!"


Teguran 1 :

"Nak beli tudung, belilah yang labuh dan menutup dada serta tidak jarang. Nak beli baju dan seluar, belilah yang longgar, labuh dan tidak jarang. Mereka yang sengaja mencampakkan diri ke neraka adalah mereka yang menzalimi diri sendiri saat mereka membeli pakaian-pakaian yang tidak mengikut landasan syarak, lalu digunakan pakaian itu dan ditayangkan kepada umum.

Anda mampu mengubahnya! Say NO to KETAT dan JARANG serta SINGKAT!"


Teguran 2 :

"Kesian tengok orang yang bersanding atas pelamin. Selepas itu orang ramai-ramai tengok mereka bersanding dan amik gambar. Takkan si suami tidak terasa bila ramainya lelaki yang bukan mahram kepada isteri dia, dok tengok-tengok isteri dia. Bila dah tengok konfirmlah tengok body dia sekali. Lagi-lagi pengantin perempuan pakai baju pengantin yang biasanya ketat-ketat sampai nampak bentuk badan"


Teguran 3 :

"Majlis perkahwinan bukan ruang untuk kita membuka aurat sewenang-wenangnya, mengetatkan seketat-ketatnya, bergaul semesra-mesranya, berwangian sewangi-wanginya, berkaroke sebebas-bebasnya dan bermake-up setebal-tebalnya. Sedangkan majlis perkahwinan itu sedang membina doa-doa para hadirin yang hadir, mendoakan perkahwinan itu kekal bahagia dan majlis itu diberkati sampai akhirnya. Jangan membatalkan doa-doa dua pasangan untuk bahagia hingga ke syurga."


Teguran 4 :

"Jangan kerana anda digelar "raja sehari" membuka ruang untuk anda berpakaian ketat. Tak pelik ada yang pernah ditarbiyyah, tapi hari raja seharinya tidak seindah tarbiyyahnya. Malah menjadi fitnah kepada pasangan pengantin. Harap yang bakal kahwin nanti menjaga pasangan masing-masing supaya tutup aurat ikut agama, bukan ikut suka."


Teguran 5 :

"Jangan bangga menayangkan gambar kamu dan pasangan berpegangan dan bersentuhan antara satu sama lain tanpa ikatan yang sah kerana setiap mata yang memandangnya akan menjadi saksi pendakwaan dosa kamu di Akhirat. Tidak takutkah tangan dibakar api sehingga menyebabkn tubuhmu hancur sama sekali? Ingat azab Allah!"



TEGURAN BUKAN MEMBENCI

Saya jarang menulis tentang aurat. Kerana saya tahu saya juga pernah khilaf dahulu. Dan sekarang saya berusaha untuk konsisten. Tetapi melihatkan kebanyakan status di Facebook berkisarkan aurat wanita membuatkan hati tergerak sama untuk meraikan. Walaupun nampak pedas dan menyakitkan hati yang terasa, anggaplah teguran itu kerana kasih dan cinta kepada kita.

Tidak bermakna kita menegur kerana kita adalah yang terbaik. Bahkan kita mahukan diri kita dan orang sekeliling kita menjadi hamba yang terbaik.

Bila seseorang ditegur atas kesalahannya, lalu mula menyerang peribadi dan mengungkit kesalahan orang yang menegur, itu adalah tanda nafsu amarah sedang menguasai minda. Cuba mencari alasan untuk merasa diri tetap lebih baik dari yang lain. Paling minima, usahakan diam ketika terima nasihat yang benar, memang 'pedih' tapi insyaAllah berguna seperti pahitnya ubat.

Renungkanlah.

Berkata Rasulullah SAW “Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otaknya mendidih. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair dituangkan ke dalam tengkoraknya.

Fatimah Az-Zahra kemudian menanyakan mengapa mereka disiksa seperti itu?

Rasulullah menjawab, “Wahai puteriku, adapun mereka yang tergantung rambutnya hingga otaknya mendidih adalah wanita yang tidak menutup rambutnya sehingga terlihat oleh lelaki yang bukan muhrimnya."




Biarlah.
Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit. [Hukama]

READ MORE

NIKMAT SIBUK



Mengapa orang masih boleh makan walau sesibuk apapun dirinya?
Mengapa orang masih berFacebook walaupun assignment banyak menimbun?
Mengapa orang masih ada masa untuk bercintan cintun tetapi untuk berdakwah tidak?
Mengapa orang masih lapang berbual-bual kosong tetapi liat pergi dengar ceramah?

Kerana dia merasakan makan itu prioriti dan meninggalkannya suatu masalah. Kerana mengisi masa dengan minat, relax dan santai jauh lebih mengenyangkan hawa nafsu daripada benda-benda islamik sangat ini. Jauh lebih boring. Membosankan! Ekstrim sangat.

Katanya, islamkan agama sederhana. Tak perlu paksa kalau tak suka. Hati tak rela, tak ikhlas Allah mana terima. Tak payah susah-susah bertudung labuh, asal tutup rambut cukup.

Cuba tanya semula.

Mengapa jika tiba-tiba seseorang sakit perut, dia pasti akan cari tempat tersorok untuk menyelesaikan hajatnya?

Mengapa tidak beri alasan sibuk dan tiada masa lalu buang sahaja di mana-mana?
Kerana malu dan maruah diri menjadi prioriti hidupnya.

Begitu juga jika kita menjadikan agama Islam sebagai prioriti dalam hidup kita. Dakwah dan Tarbiyyah sebagai prioriti dalam hidup. Hendak atau tidak, kita tetap akan melapangkan masa.

Jika kita mahu, semuanya boleh berlaku. Namun jika memang tidak mahu, tiada siapapun yang boleh membantu.

Kesibukan sudak pasti bukan alasan. Ia hanya perkataan busuk yang digunakan oleh mereka yang kontot akal fikirannya untuk melarikan diri daripada kewajipan seorang hamba.

"Manusia ini, kalau tidak disibukkan dengan hal-hal dakwah, mereka tetap akan sibuk dengan hal-hal keduniaan."

Kalau benar kita sibuk pun, jangan nampakkan sangat. Kalau hari ini, kita berlagak dengan kesibukan tak mustahil satu masa nanti kita terpaksa tunduk menyerah dengan selautan lagi kesibukan yang tidak dijangkal dek otak.

Kalau kita rasa tak sibuk, jangan nampakkan sangat. Yakin diri, bukan tak sibuk cuma cara belum kena. Sibuk yang tidak disibukkan. Banyak kerja dakwah yang perlu dibuat.

Sesungguhnya, Allah berhak memuliakan dan menghinakan sesiapa yang Dia mahu. Dia berhak tarik “nikmat” kesibukan bila-bila masa tatkala manusia tidak tahu menghargainya!

“Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) daripada urusan agama itu, maka ikuti syariat itu dan jangan kamu ikuti hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.” (Surah al-Jasiyah:18)

READ MORE

YANG TERTUTUP ITU INDAH



Tidak akan tertutup dengan berperangai baik sahaja.
Tidak akan tertutup dengan kecantikan dan keayuan.
Tidak akan tertutup dengan kata-kata manis bersuarakan kemanjaan.
Tetapi hanya akan tertutup dengan pakaian yang sempurna patuh syariah.
Pastinya akhlak di balik pakaian tadi lebih indah daripada pakaiannya.

Seandainya manusia dapat memahami.Cantik zahir bukanlah ukuran tapi cantik hati memikat hati semua orang.

Wanita itu.

Biar lembut fitrah tercipta. Halus kulitnya. Manis tuturnya. Lentur hatinya. Wajah yang telus setelus rasa membisik di jiwa. Di mata ada cahaya. Dalamnya ada air sehangat cinta, sejernih suka, sedalam duka.

Melenturnya perlu kasih sayang. Membentuknya perlu kebijaksanaan. Kesabaran dan kemaafan, keyakinan dan penghargaan. Tanpa jemu, tanpa bosan memimpin tangan menunjuk jalan.

Bisa seteguh Khadijah yang suci hatinya. Tabah dan tenang sikapnya sebagai teman ar-Rasul. Pengubat duka dan lara.

Bijaksana ia menyimpan ílmu. Si teman bicara, dialah Áishah.
Penyeri taman Rasulullah SAW. Dialah Hafsah, penyimpan mashaf pertama kalamullah.
Bisa setabah Maryam, meski dicaci meski dikeji. Itu hanya cerca manusia namun sucinya Allah memuji.
Seperti Fatimah kudusnya. Meniti hidup seadanya. Puteri Rasulullah, kesayangan ayahanda. Suaminya si panglima agama. Di belakangnya dialah pelita buat cahaya penerang segenap rumahnya.

Wanita itu.

Yang hidupnya di alaf ini. Perempuan islam akhir zaman. Dirinya terancam dek fitnah. Sucinya perlu tabah. Cintanya bukan untuk dinodai asmara. Tidak murah untuk si adam.

Hakikatnya, kakinya perlu teguh. Mantap iman mengunci jiwa. Dari lemah dan kalah. Dari rebah dan salah.

Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang berjihad itu ialah mereka yang berjihad menentang nafsunya”. (Riwayat al-Bukhari)

Seorang wanita itu, anugerah istimewa buat dunia!
Dia bangga menjadi Muslimah. Di saat yang lain bangga menjadi wanita moden.
Namun cinta Allah tetap menjadi pujaan hati.

READ MORE

BUMI INI ALLAH YANG PUNYA!


Dalam melihat situasi semasa, hampir bingung bagaimana manusia yang mengaku islam sanggup melakukan rompakan besar-besaran dan menggadai maruah agama setelah amanah diberi sepenuhnya? Bagaimana mereka ini masih boleh memegang amanah dengan bongkaknya biarpun segala korupsi berjaya dibongkar? Bagai tiada siapa yang boleh menyekat.

Tiddakah mereka percaya Allah Maha Melihat setiap perbuatan hambaNya?
Tidakkah mereka percaya kepada kewujudan syurga dan neraka?
Tidakkah mereka membaca Al Quran dan solat 5 waktu?

Diceritakan semasa peristiwa israk, Nabi Muhammad SAW melihat pelbagai adegan yang pelik.

Antaranya :

1. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah : Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

2. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka. 

3. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail : Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami. 

4. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

5.  Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail : Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. 

6. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail : Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. 

7. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail : Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. 

8. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail : Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat. 

9. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail : Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. 

10. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail : Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua. 

11. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail : Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.



ALLAH ITU MAHA BERKUASA!

Ingat. Bumi ini Allah yang punya. Bukan kita punya. Jadi beradablah dengan tuannya. Peliharalah Cahaya Keimanan. Iman itu tidak boleh dijualbeli. Diperolehi tatkala takut kepada Allah.

Nikmat itu. Kuasa itu bila-bila sahaja Allah boleh ambil.

Benar. Setiap sesuatu pasti ada akhirnya. Seperti musim panas akan bertukar kepada musim sejuk. Siang akan bertukar menjadi malam. Kekejaman dan kezaliman tidak selamanya berkuasa. Suatu masa berakhir juga. Tiada keraguan. Ya, perancangan Allah Maha Hebat!

Hanyalah kepada Allah tempat kembali.

"Ya Allah, hidupkan kami seperti kehidupan para ulama, matikan kami seperti kematian para syuhada, dan kumpulkan kami dalam kumpulan para aulia', masukkan kami ke dalam syurga bersama para Nabi."

READ MORE

ORANG YANG MABUK DALAM SOLAT


Semua orang sibuk exam. Ada yang study last minute. Ada pula suka study awal. Tapi bila exam tetap sama. Mereka lupa apa yang dibaca. Tengok soalan macam pernah baca bab tersebut. Tapi tak ingat.

Oh, kenapa ye?

Salah satu sebab tak ingat dan lupa apa yang dibaca adalah kerana tidak khusyuk ketika belajar. Mulut sibuk terkumat kamit menghafal tapi hati dan fikiran di tempat lain. Sibuk plan nak buat apa selepas exam. Tak pun fikir cepatlah musim exam habis. Nak enjoy puas-puas.

Sama juga situasinya ketika solat.

Kadang-kadang pelik ketika solat kita boleh lupa berapa rakaat kita kerjakan. Terlebih atau terkurang rakaat. Terbabas atau terlajak rakaat tidak boleh diundur seperti kereta. Cuma boleh diperbaiki. Namun, susah juga kalau tidak sedar apa yang dibaca dalam solat. Seperti orang mabuk.

Tercari-cari tips atau rahsia khusyuk dalam solat.

Sebenarnya, khusyuk di dalam solat bermula dari khusyuk di luar solat. Kalau di luar solat hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam solat.

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Solat itu merupakan “munajat” (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya.

Saidina Ali RA boleh khusyuk dalam solatnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa.

Hebat!

Saidina Umar Al Khattab pula pernah berkata, “Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati.


Justeru, orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari dia hanyalah hamba, akan patuh apa sahaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul. Orang yang khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah :

“Jadikanlah SABAR dan SOLAT sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Bersungguh-sungguh untuk khusyuk dan fokus dalam setiap perkara. Tidak hanya ketika solat.

READ MORE

ASYIK-ASYIK SALAHKAN SYAITAN


Manusia suka buat kesalahan. Bila silap, rasa berdosa manusia suka salahkan syaitan. Asyik-asyik salahkan syaitan. Pemerintah yang zalim, disalahkan syaitan. Wanita tidak menutup aurat, disalahkan syaitan.

Bangun lambat sampai subuh gajah, disalahkan syaitan kononnya menggari badan dia ketika tidur, padahal begitu khusyuk sekali layan cerita Korea di laptop. Tak sedar sudah pukul 4 pagi. Orang lain bangun untuk tahajjud, dia baru nak lelapkan mata.

Terfikir kisah datuk nenek moyang kita dahulu. Beza sekali dengan kita.

Apabila Allah mencipta Adam dan Hawa sebagai makhluk manusia yang awal, mereka berdua tidak dibiarkan bertelanjang malah diberikan pakaian. Buktinya ketika Adam di syurga dan melanggar perintah agar jangan makan pohon terlarang, pakaiannya tertanggal. Ia menunjukkan sememangnya mereka berdua berpakaian di syurga.

Apabila mereka berdua diturunkan ke bumi dan lahir zuriat manusia yang ramai, mereka diberikan tanggungjawab untuk berpakaian dan tidak bertelanjang.

Allah SWT berfirman :

“Wahai anak Adam. Sememangnya Kami telah turunkan kepada kamu pakaian yang menutup kemaluan-kemaluan kamu dan juga (Kami turunkan pakaian) bulu. Dan pakaian taqwa, itu lebih baik. Itu adalah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah mudah-mudahan mereka mengambil peringatan” (al-Araf : 26)

Fakta ini menafikan sejarah manusia rekaan barat yang menyatakan bahawa manusia awal bertelanjang tidak berpakaian. Apabila mereka semakin maju barulah mereka menyedari keperluan berpakaian. Teori ini sebenarnya adalah rentetan teori sesat dan kufur yang menyatakan manusia adalah hasil evolusi yang panjang daripada kejadian binatang seumpama kera.

Kera adalah binatang yang tentu sahaja tidak berpakaian. Apabila bertukar menjadi manusia yang berfikir maka manusia barulah berfikir tentang pakaian. Ini adalah teori sesat lagi kufur yang telah berjaya diserapkan dalam pemikiran masyarakat Islam menerusi pendidikan barat.

Teori ini menafikan sejarah manusia bermula dengan Adam dan Hawa yang ditegaskan oleh islam dan diyakini juga oleh agama Yahudi dan Nasrani. Cuba cek buku sejarah pada tahun 1987, jelas menjadikan teori ini sebagai sebahagian sukatan yang mesti dipelajari. Malang sungguh pemikiran kufur ini boleh meresap masuk dalam sistem pendidikan negara yang majoritinya adalah muslim!

Hatta manusia moden walaupun berada di zaman era globalisasi, pemikiran dan tamadun ideologi mereka seperti ke belakang. Tak tahu kenapa suka sangat berpakaian seperti spesies kera. Berpakaian tetapi telanjang. Tak reti nak bezakan yang mana salah dan yang mana benar.

Rasuah versus sedekah. Jauh beza.

Orang hulur duit jangan dianggap sedekah semata tetapi fikirkan niat dan impaknya. Bila sekali rasa, mesti nak lagi. Lama-lama ketagih. Sudah sebati dengan darah daging. Anak bini pun diberi makan duit haram. Bila masa pula solat, ibadah lain dan hukum islam tertegak di dalam institusi keluarga?

Firman Allah lagi "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat, Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." (2:30).

Berat tanggungjawab khalifah. Khalifah bukan sekadar hidup saja, tapi maksud khalifah itu adalah sebagai "pengganti" Nabi dalam menyampaikan ajaran Islam dan memakmurkan bumi. Sebagai rantai-rantai perjuangan meyebarkan risalah agama.

Sebab itu, jangan salahkan syaitan. Syaitan cuma engkar kepada Allah sekali sahaja. Tetapi kita engkar perintah Allah saban waktu. Syaitan setiap waktu tidak pernah "miss" menjalankan tugasnya dengan menyesatkan anak Adam. Kita pula selalu "miss" kewajipan menunaikan solat. Kadang-kadang sengaja lambat-lambatkan.

Banyak yang perlu diubah. Mari kita berubah sama-sama!
Penat sudah asyik-asyik nak salahkan syaitan.

READ MORE

MEMILIH TEMPAT UNTUK MATI


Siapakah yang mampu melawan takdir saat malaikat Izrail sudah ‘ditugaskan’ untuk mengambil nyawa yang dipinjam. Banyak ceritera tentang kematian namun hanya beberapa minit ia terkesan di hati kecil. Kita tidak tahu, makwe pakwe kita pun tidak tahu, ibubapa kita tidak tahu, kawan kita juga tidak tahu. Tiada siapa tahu ajal masing-masing. Hanya Allah yang tahu.

Justeru, ingatlah kematian yang menanti. Bukan mengejar dan  mengutamakan dunia lebih daripada akhirat.

Siapa yang tidak lupa kubur dan kerosakan serta meninggalkan kelebihan daripada perhiasan dunia?
Siapa yang mengutamakan benda kekal daripada benda sementara dan rosak?
Siapa yang tidak menghitung-hitung harinya dan menganggap dirinya daripada golongan mati?

Buat renungan bersama.

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Andaikan dunia ini di sisi Allah SWT. menyamai nilai satu sayap nyamuk maka tidak akan diberikan kepada orang kafir walau seteguk air."

Syahr bin Hausyab dari Abdurrahman bin Usman berkata :

"Pada suatu malam Nabi Muhammad SAW sembahyang subuh di tempat pembuangan kotoran, maka melihat ulat bergerak dalam kotoran, maka Nabi Muhammad SAW menghentikan untunya menantikan orang-orang, lalu bertanya kepada orang-orang : 
"Apakah kamu mengetahui bahawa orang-orang di tempat ini jijik terhadap ulat ini?" Jawab mereka: "Benar, ya Rasulullah." Maka Nabi Muhammad SAW bersabda : "Demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tanganNya, sesungguhnya dunia ini lebih rendah (hina) di sisi Allah SWT melebihi dari hinanya ulat terhadap orang-orang yang mempunyai tempat ini."

Seorang mukmin meskipun adakalanya mewah dan nikmat, tetapi jika dibandingkan dengan nikmat dan kemewahan yang disediakan untuknya di syurga, maka seolah-olah ia berada di dalam penjara. 

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Dunia sebagai penjara bagi orang mukmin dan kubur bagaikan bentengnya dan syurga tempat tinggalnya. Dan dunia ini sebagai syurga bagi orang kafir sedang kubur sebagai penjaranya dan neraka tempat tinggalnya."

Sebab seorang mukmin jika mati dan diperlihatkan kepadanya syurga dan kemuliaan yang ada di dalamnya, ia sedar bahawa selama di dunia seolah-olah dalam penjara. 

Sedang seorang kafir jika mati dan diperlihatkan kepadanya hukuman-hukuman dalam neraka, maka ia merasa bahawa ia tadi dalam syurga. 

Kerana itu seorang yang berakal tidak akan merasa gembira dalam penjara dan tidak akan mencari kesenangan dalam penjara. Maka seorang yang berakal harus memperhatikan apa yang telah dijelaskan Allah SWT mengenai dunia dalam ayat-ayat Al-Quran, sebab dalam ayat Al-Quran dan sabda Nabi Muhammad SAW cukup perumpamaan yang jelas supaya orang mukmin jangan tertipu oleh dunia.

Fikirkan ayat 24 Surah Yunus :

"Sesungguhnya perumpamaan kerosakan dunia ini bagaikan air yang Kami turunkan dari langit maka meresap kedalam tanah dan menumbuhkan makanan orang-orang dan binatang-binatang, sehingga apabila bumi ini telah berhias dengan segala hasilnya dan indah dan pemiliknya telah mengira ia sangat berkuasa atasnya, tiba-tiba datang siksa Allah di waktu malam atau siang hari, maka jadilah semua itu terketam habis, seakan-akan tidak ada apa-apa sejak kelmarinnya. Demikianlah contoh dunia ini. Kami jelaskan bagi orang-orang yang suka berfikir dan memperhatikan."

Yahya bin Mu'adz Arrazi pernah  berkata : "Dunia ini bagaikan ladang Tuhan Rabbul a'lamin dan manusia sebagai tanamannya sedang maut itu sebagai cangkulnya. Dan Malakulmaut itu sebagai pengetamnya dan kubur sebagai lombongnya dan kiamat sebagai lesungnya dan syurga atau neraka tempat pemuasnya, sebahagian syurga dan sebahagian dalam neraka Sa'ir."

Luqman Al hakim berkata kepada puteranya: "Hai anak, sesungguhnya dunia ini adalah lautan yang sangat dalam dan telah tenggelam di dalamnya kebanyakkan manusia, kerana itu jadilah perahu di dunia ini taqwa kepada Allah SWT"

Bermakna, andai muatan perahu kita adalah taqwa, maka kita akan selamat daripada lautan fitnah dunia. Pilihlah tempat untuk mati dengan biasakan kaki melangkah ke tempat-tempat beribadah. Belajar itu ibadah. Bekerja itu ibadah. Solat itu ibadah. Segala amalan kita adalah ibadah asalkan niat lillahi taala dan kena caranya.

READ MORE

BILA HATI DIGORES


“Kadang-kadang hati sakit bila disindir, tapi itu adalah lebih baik daripada bercakap di belakang, bila disindir menangis sebentar tapi impak selepasnya amat besar. Perubahan diri yang ketara dan lebih baik dari sebelumnya. Belajarlah menerima sindiran walaupun sebenarnya tidak begitu beradab menyindir orang. Semuanya kerana di atas paksi kebaikan dan kemaslahatan yang lebih besar pada masa hadapan.“

Aku bukanlah manusia yang sempurna. Mungkin pada zaman silam aku pernah melukakan hati, mencabut rasa tenang. Mungkin kata-kataku sungguh menyakitkan hati, tiada apa yang aku persembahkan melainkan huluran tangan memohon seribu kemaafan. Maafkan aku bersama dengan doamu.

Ku menulis bukan untuk memberitahu diri ini baik.
Ku menulis hanya untuk memberitahu diri ini supaya menjadi baik.
Bersama menginsafkan diri dalam mencari keredhaan Ilahi.

Ambil hati. Sakit hati. Pedih hati. Terasa hati. Bila perasaan ini dibiarkan terlalu lama membengkak dalam hati, maka akan tidak sihatlah hati itu. Pemiliknya pun akan muram, jauh dari keceriaan. Lebih parah lagi, menjauhkan manusia dari Rabb-Nya.

Mengapa tidak untuk berhusnuzon, sedangkan itu lebih mulia?
Mengapa tidak memahami, sedangkan kita bersaudara.
Mengapa tidak bersikap positif, sedangkan ikhtilaf hati itu padah jawabnya.
Mengapa tidak bersama dalam perjuangan ini,sedangkan tanggungjawab kita adalah sama.
Mengapa tidak meluangkan masa bersama sedangkan, kita semua adalah dai’e.

Positif menjadikan kita bersangka baik. Bersangka baik lebih menenangkan hati. Orang hebat biasanya kerana dia hebat dalam hubungan dengan Allah. Tapi ada juga yang hebat dunia sahaja, hubungan dengan Allah entah ke mana. Dia tidak bersangka baik dengan Allah apatah lagi dengan makhluknya. Adab dan akhlak dalam pengurusan hati masih lagi samar untuk diiktiraf sebagai seorang dai’e.

Sekiranya semakin kita bijak, semakin jauh diri kita daripada- Nya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Jauhkanlah sifat itu dari dalam diri.

Apa pun, jangan resah andai ada yang membenci. Andai ada yang tidak berpuas hati. Andai ada yang tidak menyenangi. Kerana masih ramai yang mencintai kita di dunia. Resahlah andai Allah membenci kerana tiada lagi yang mencintai kita di akhirat.

Nabi SAW bersabda "Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada siapa yang dicintai-Nya dan siapa yang tidak dicintai-Nya, tetapi Allah tidak memberikan iman kecuali kepada siapa yang dicintai-Nya.”

READ MORE

THE MOST POPULAR POST