TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

KEHIDUPAN SEBAGAI SEKOLAH

Muhasabahlah kehidupan kita yang macam mana. Masa yang kita laburkan ke mana.


Seorang ulama’ mursyid bermadah “Masa itu adalah umur kita, kalau kita tidak mengisi masa dengan sebaik-baiknya bererti kita telah mensia-siakan umur kita”.

Tempoh perjalanan kehidupan di dunia ini cukup singkat. Mungkin kita rasa hidup 60 atau 70 tahun sebagai suatu masa yang agak panjang. Namun hakikatnya kebanyakan kita lebih banyak membuang usia sia-sia berbanding menggunakan setiap detik yang ada dengan penuh manfaat.

Belayar di lautan kehidupan, biarpun tidak tahu ke mana arah yang hendak di tuju. Kita ini telah diarah jalan mana yang harus dituju. Telah disediakan kemudi, telah diberi pendayung. Cuma tinggal untuk melayarkan bahtera kehidupan sahaja.

Namun, sesekali usah lupa pada badai yang bakal melanda, pada taufan yang menggila. Bagaimana sekalipun gelora yang melanda, selagi kita tetap berpandu pada arah, tetap tidak melepas kemudi, pastinya kelak sampai jua pelabuhan nan dicari.

Memikirkan kembali, daripada segumpal darah kita dijadikan kerana apa dan untuk apa.

Berapa ramai di antara kita menyedari bahawa kita sepatutnya menjalankan tugas sebagai hamba Allah?
Berapa ramai di antara kita hamper dan telah tersesat di jalan nan terang?
Teraba-raba mencari arah di jalan nan lurus?
Atau berapa ramaikah di antara kita yang tersungkur di lantai yang rata?

Hidup di alam fana ini singkat. Cukup singkat sebenarnya!

Namun biar sesaat atau sehari sekalipun kita dihidupkan, sudah cukup memadai andai setiap detik dipenuhi dengan keberkatan. Apalah gunanya jika bernafas sejuta tahun sekalipun, tetapi tidak ada sekelumit pun keberkatan yang melekat.

Kualiti atau kuantiti yang kita perlukan?

Mudah-mudahan kita mempunyai kehidupan yang berkualiti. Menjadi seorang hamba yang disayangi oleh Maha Pencipta, juga disenangi oleh sesama hamba. Sentiasa senang dan tenang berbakti kepada Pencipta Maha Agung, juga sentiasa senang dan tenang berurusan dengan sesama makhluk

“Kalian tidak akan masuk syurga sampai kalian beriman, dan tidak akan sempurna iman kalian hingga kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kalian pada sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.” (HR. Muslim no. 54)

Untuk itu, mulakan keberkatan masa dengan mengisi salam sebagai penghias seri kehidupan fatamorgana.

Assalamualaikum WBT =)

1 comment:

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST