“Cari-carilah pasangan hidup betul-betul oh kawan. Bahagia berseri rumahtangga akan harmoni…”Bergema satu bilik lagu nasyid Kumpulan Rabbani, “cari pasangan”. Menghayati liriknya sungguh bermakna. Membelai jiwaku yang selama ini dilanda dilema hidup. Hatiku kosong dan menderita dahagakan sebuah kasih buat peneman hidup.
Mencari seorang calon isteri yang solehah bukanlah kerja senang. Ia diumpamakan sebagai mencari gagak putih. Semakin ia bernilai maka semakin susah untuk dapat.
Agaknya inilah penyebab ramainya anak muda yang masih mencari-cari jodoh sedangkan umur semakin meningkat. Lewat menunaikan seru.
**************
“Sebelum kita kaji dan telek bakal isteri, paling afdal kita telek diri kita dulu. Teropong dulu takat mana iman dan taqwa kita,” pesan sahabatku suatu masa dahulu di alam kampus.
“Nak dapat bakal isteri yang solehah, paling penting syarat utamanya solehkan dulu diri kita. Di sinilah dapat kita kaitkan konsep bakal isteri yang solehah untuk bakal suami yang soleh. Tabur ciri-ciri suami soleh dalam diri. Siramkan sahsiah mulia dengan sifat mahmudah lelaki soleh.”
“Tapi, ada jaminan ker kita akan mendapat bakal isteri yang solehah?” tanyaku dengan muka mengharap.
“Bergantung pada diri kita sebenarnya. Suburnya ciri-ciri lelaki soleh pada diri kita insyaAllah akan meningkatkan iman dan taqwa kita. Semakin cerahlah peluang untuk kita mendapat calon yang solehah.
Jodoh adalah kerja Allah. Ingatlah jaminan Allah dalam surah Nisa’ bahawa lelaki yang soleh telah ditetapkan akan dipertemukan dengan perempuan yang solehah. Lelaki yang mukmin untuk perempuan yang mukminat.”
“ Teruskan usaha mencari calon yang solehah. Tapi, dalam masa yang sama tingkatkan nilai kesolehan anda. Inilah strategi serampang dua mata, macam DEB. Cuma satu nasihat saya, jangan letakkan syarat bakal zaujah itu terlalu tinggi,”
Benar.
Bukankah hakikat sebuah perkahwinan adalah saling melengkapi?
Jika ada yang kurang pada bakal zaujah, si suami perlu tampung selepas perkahwinan tersebut. Hal iman dan taqwa tidak boleh diambil remah. Jangan nak berlebih dan berkurang dalam hal mencari pasangan.
Aku juga sedar kebanyakan lelaki menilai dan meletakkan piawaian yang tinggi untuk bakal zaujahnya tetapi merendahkan piawaian itu untuk dirinya. Itu adalah silap tafsir.
Ya Allah, layakkah aku untuk mengasihi manusia sekiranya kasih dan cinta aku pada Pencipta manusia itu masih belum mantap? Aku hamba yang lemah cuma mengharap yang halal bagiku untuk kubina istana cinta dengan penuh barakahMu.
Terimalah permohonan hamba hina ini Rabb.
kadangkala langkah goyah... kadangkala kesibukkan pada dunia menyebabkan alpa... Lalu mencari cebisan peringatan melalui bacaan.. terima kasih kerana berkongsi pengetahuan... saya suka membacanya~~ salam ukhwah~~
ReplyDeletesyukran atas perkongsian..InsyaAllah.:)
ReplyDelete