TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

APA STATUS DIA DI HATI SAYA?


Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha’ dan qadarNya serta kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya.( al-iman asasun binnajah )

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt. Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya.

"Terbuka mata hati memperlihatkan kepada kamu akan hampirnya Allah SWT. Penyaksian mata hati memperlihatkan kepada kamu akan ketiadaan kamu di samping wujudnya Allah SWT. Penyaksian hakiki mata hati memperlihatkan kepada kamu hanya Allah yang wujud. Tidak terlihat lagi ketiadaan kamu dan kewujudan kamu."

Hati kita ini kalau dekat dengan Allah SWT, semua pekerjaan yang di lakukan menjadi mudah. Dan apabila dugaan mendatang, kita boleh menanganinya dengan tenang dan sabar.

"Dan Ia (Allah) tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada." ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid)

Cuba kite bayangkan jika kita dekat dengan manusia dan cinta kepadanya melebihi cinta kita kepada Allah. Adakah manusia tersebut boleh membantu kita? Bolehkah memberi kita rezeki? Bolehkah memberi kita ketenangan apabila dalam keadaan susah mahupun senang?

Jawapannya tidak bukan?

Namun untuk berjiwa hamba, hati kita perlu bersih. Apabila hati sudah bersih maka hati akan menyinarkan cahayanya. Cahaya hati ini dinamakan Nur Kalbu. Ia akan menerangi akal lalu akal dapat memikirkan dan merenungi tentang hal-hal ketuhanan yang menguasai alam dan juga dirinya sendiri.

Renungan akal terhadap dirinya sendiri membuatnya menyedari akan perjalanan hal-hal ketuhanan yang menguasai dirinya. Kesedaran ini membuatnya merasakan betapa hampirnya Allah SWT dengannya. Lahirlah di dalam hati nuraninya perasaan bahawa Allah SWT sentiasa mengawasinya. Allah SWT setiasa melihat segala gerak-gerinya. Mendengar pertuturannya dan mengetahui bisikan hatinya.

Jadilah dia seorang Mukmin yang cermat dan berwaspada.

Namun, ya sahabat untuk berlegar di daerah ketuhanan, daerah kehambaan kena selesai dulu. Di antara daerah ketuhanan dan kehambaan, ada suatu daerah yang bukan daerah. Tidak lagi berlegar-legar. Disinilah berdirinya apa yang tiada, tidak lagi bicara, yang ada itulah terlebih terang dan nyata.

Kita ini ingin sangat hidup hanya untuk- Nya. Berdiri untuk- Nya. Makan untuk-Nya. Berjalan untuk-Nya. Bernafas hanya kerana-Nya. Bagaimanakah mahu mencapai tahap sebegini?

Bukanlah semudah menulis dan mengaturkan bicara. Cek semula apa status Dia di hati kita? Di mana kita meletakkan hak Allah dahulu sebelum hak hamba?

1 comment:

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST