TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label IBADAH. Show all posts
Showing posts with label IBADAH. Show all posts

KELUMPUHAN SEMANGAT SUNNAH MENZIARAH


Era "Facebook-isasi" telah melumpuhkan semangat ziarah menziarahi sesama jiran tetangga apatah lagi sanak saudara dan sahabat handai yang tinggal jauh nun di seberang. Kecanggihan telefon pun sudah diatasi dengan ledakan fenomena "Facebook-isasi" ini.

Jangan terperanjat, nak cakap dengan roommate yang biliknya hanya sekangkang kera pun hanya dengan berFacebook. Sebab apa?

Malas.

Maka dengan itu berjayalah serangan propaganda Yahudi dengan menghancurkan kekuatan ukhwah umat islam. Facebook hanya menjadi asbab kehancuran rumahtangga apabila si isteri mengata suaminya di Facebook. Si adik bergaduh dengan kakaknya hanya kerana menekan butang dislike di gambar kakaknya. Dua hati bercekau dek salah faham yang wujud ketika orang luar me"like" dan mengomen di wallnya.

Dengan "malapetaka" kecerdikan manusia mencipta LRT, rapidKL, bas, kereta api, kereta dan kapal terbang, apa yang kita mampu adalah sekadar menziarahi wall Facebook teman kita.

"Bro! Lama tak jumpa. Ape cite skang?"

Sekali mungkin tidak mengapa. Jika berkali-kali? Jika semua orang begitu? Maka untuk apakah kenderaan diciptakan? Bertambah seksa lagi, Facebook telah menyediakan perkhidmatan video online yang boleh dilihat di mana-mana sekalipun di ceruk-ceruk kampung.

Jadi, bila masa nak balik kampung halaman? Mak ayah terkenang anak di perantauan menanti sekujur tubuh untuk dipeluk, dicium, dimesra, diajak berbual dan menemani hari-hari tuanya sebelum kubur memanggil.




SUNNAH YANG SEMAKIN DILUPAKAN

Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja atau Hari Raya. Sabda Baginda Rasulullah SAW :

Abu Hurairah RA meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Kewajipan seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu : Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” [HR Bukhari &Muslim]

Sabda Rasulullah SAW lagi :

“Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” 
Baginda ditanya : “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?” 
Rasulullah SAW bersabda : “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. [HR Muslim]

Malah tidak cukup dengan menggiurkan buah-buah di syurga, malaikat juga turut mendoakan untuk kerahmatan yang berpanjangan.

Daripada Ali RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. 
Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa.” [HR At-Tirmizi: Hasan]

Pemimpin beracuan soleh akan mempamerkan kecirian islam yang sangat "sweet". Bayangkan seorang sultan yang berpakaian zuhud turun menziarahi rakyatnya dengan penuh kasih sayang dan hanya mengharapkan pandangan Allah melebihi segalanya. Itulah kepentingan kuasa. Berdakwah secara halus untuk mengembalikan sunnah dan amalan Nabi yang semakin ditinggalkan kerana dunia.

READ MORE

KENAPA LAMBAT PERGI SOLAT JUMAAT?


Seringkali kita melihat hayunan langkah lemah lagi lembap menuju ke masjid untuk menunaikan solat jumaat. Sudahlah lambat, azan berkumandang pun tidak tahu hormat.

Si muda duduk lepak di luar masjid.
Si tua berbual-bual sambil menghisap rokok.
Tidak tahukah ganjaran orang yang datang awal ke masjid?

Inilah masyarakat kita. Dalam masa yang sama, ada juga segelintir jemaah yang datang awal. Namun, apa yang mereka buat?

Si tua mencari-cari tiang.
Si muda mencari-cari saf belakang.

Untuk apa?

Untuk memudahkan mereka menyandar atau tidur di saat khutbah sedang dibacakan. Mungkin si tua sakit belakang dan si muda "khutbah syndrome".

Tabiat buruk masyarakat zaman moden kini semakin menjadi-jadi. Si khatib berbicara bagai syok sendiri. Belum lagi kita sentuh isi khutbah yang merepek. Khutbah yang disampaikan tidak menyentuh tentang isu ummah malahan tidak mendidik masyarakat secara praktikal.

Realiti.

Cuba kita tanya mengapa ada jemaah yang berbual, tidur dan mengelamun ketika khatib membaca khutbah? Apatah lagi yang tidak pergi solat jumaat.

Dan secara amnya, mengapa masyarakat hari ini masih tidak menjadikan masjid atau surau tempat untuk mendapatkan ketenangan jiwa?

Pendapat ringkas penulis, pertama, jemaah merasakan khatib tidak menjadi rujukan yang baik kepada masyarakat di sekelilingnya. Isi khutbah tidak menginsafkan pendengar dengan ayat-ayat yang menusuk jiwa mereka.

Kedua, pengurusan masjid atau surau yang bercelaru. Pihak pentadbiran serta ahli jawatankuasanya terdiri daripada bukan ahli, malah hilang kelayakan untuk mentadbir seperti yang difirmankan Allah menerusi ayat 18 surah at-Taubah :

"Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan TIDAK TAKUT melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk."

Ketiga, kurangnya program pengisian masjid seperti kuliah agama, ceramah, forum ataupun diskusi ilmu. Jika kesedaran beragama tidak diterap daripada awal dan secara konsisten, tidak mustahil perkataan masjid menjadi terlalu asing di hati masyarakat.

Keempat, khatib tidak menghayati khutbah yang disampaikan kerana hanya membaca teks sahaja. Rasulullah SAW apabila menyampaikan khutbah, tidak panjang berjela-jela, malah ia pendek dan padat, yang penting baginda memanjangkan solat Jumaat dan baginda sendiri marah mereka yang terlalu memanjangkan penyampaian khutbah.

Dan kelima, peruntukan wang masjid lebih tertumpu kepada pembangunan fizikal masjid, malah kurang untuk digunakan bagi tujuan pembangunan insan. Ini terbukti, kita lihat banyak masjid dibina cantik-cantik, besar dan luas. Tetapi sunyi dan terkunci.

Masyarakat kita bermata materialistik dan disebabkan itu kejahilan beragama membutakan mata hati. Dikatakan masjid terlalu suci untuk dikotori. Hanya boleh hadir jika ada upacara yang penting. Nak kahwin, nak mati baru ingat masjid.

Sebab itu jangan hairan jemaah solat jumaat semakin berkurangan saban hari. Mereka tidak takut untuk tinggalkan solat lebih daripada 3 kali. Amaran Allah tidak ditakuti. Yang ditakuti apabila rezeki dan pekerjaan hilang.

Mana 1 yang penting?

READ MORE

HAMBA APAKAH AKU?


Azan sedang berkumandang.

"Ah...jap lagilah solat. Nak abeskan baca facebook dulu".

Bebola mataku yang sebelum ini berwarna tahi cicak, hitam putih beransur-ansur bertukar menjadi bebola api. Merahnya begitu menyengat.

"Aduhhhhh...Sakitnya mata. Lenguhnya tengkuk. Lah...patutlah dah kul 4 petang. Tak sedar plak dah lama main facebook".

Dan aku pun menunaikan solat Zohor tanpa nafsu sebagai hamba. Sekadar tonggang tonggek dan memberi salam kiri kanan. Bagai kilat menyambar begitulah kepantasan aku solat dengan doa yang paling pendek. Kadang-kadang tak doa pun.

Aku minta apa dalam doa pun aku tak tahu. Cuma mulut aku terkumat kamit membaca karangan Bahasa Arab. Jasadku di atas sejadah. Roh, jiwa dan fikiranku terbang menggapai langit-langit yang indah. "Oh! Ada awek cun add aku tadi. Jap lagi nak usha facebook dialah".

Semangatnya aku.

Aku ulangi tabiat yang sangat baik ini setiap hari. Berjam-jam lamanya aku di dunia internet. Macam-macam yang aku layari. Orang kata nak jelajah dunia kena belayar di laut. Aku jelajah dunia dengan belayar di internet.

Aku puas.



HAMBA APAKAH AKU?

Dunia internet. Facebook. Twitter. Blog. Agaknya ada lagi yang lebih penting daripada Allah?

Kita ini hamba. Hamba kepada Tuan yang sangat besar kuasa-Nya. Sangat tinggi kasih sayang-Nya. Dengan hanya sedikit limpahan rahmat-Nya dimasukkan ke dalam dada semua hamba-Nya. Kita mampu pula berkasih sayang sesama kita. Mampu menghubungi antara satu sama lain dengan nikmat internet yang diberi Allah.

Dia yang mencipta kita. Untuk apa?

Semata-mata hanya untuk beribadat kepada Allah. Alah mencipta dunia dan segenap perhiasannya untuk dijadikan medan tarbiyyah buat kita. Ibarat mencipta akhirat untuk tempat penghisaban amalan dan mencipta pula neraka dan syurga sebagai tempat balasan kita. Ia tempat yang kekal abadi. Yang tidak ada kematian lagi. Ia tempat terakhir perjalanan roh.

Berfacebook, berchatting dan bermain game adakah suatu ibadat untuk kita persembahkan kepada Allah?
Adakah dengan komponen-komponen di dalam aktiviti ini mampu menjadi batu asas binaan mahligai di syurga kelak?

Oh! Di mana nilai kita sebagai seorang hamba di mata Allah? Tidakkah kita risau? 

Seorang hamba itu hidupnya tidak dihiasi dengan bermaksiat. Hatta "bermaksiat" dengan waktu. Hatinya seringkali diservis untuk perjalanan yang jauh menuju ke padang mahsyar. Dia telah bersiap siaga dengan bekalan amalan di dunia.

Tidak ada perintah yang lebih dijunjung oleh seorang hamba Allah itu melainkan perintah Allah. Dia merdeka daripada keterikatan kepada makhluk, hawa nafsu dan kebendaan. Kebergantungannya hanya kepada Allah yang semakin hari semakin kuat, sehingga ia mampu hidup berdikari dan tidak mengharap ihsan orang lain.

Cukuplah Allah sebagai penghibur hatinya. Bukan internet. Bukan game. Bukan Facebook. Bukan movie Korea. Bukan chatting.

Itulah nilai seorang hamba Allah. Makin hari makin sayang dengan Allah. Makin hari makin tenang dalam dakapan kasih sayang Allah.

Seperti dalam firman Allah SWT dalam surah as-syams, manusia itu dikurniakan dua pilihan jalan, jalan KETAQWAAN  dan jalan kefasikan. Beruntunglah yang memilih jalan ketaqwaan dan merugilah yang memilih jalan kefasikan. 

READ MORE

TOLONGLAH "LIKE" FACEBOOK AKU


"Hemmmmm.......boringnye tengok Facebook aku. Macam-macam dah aku post. Nak kata tazkirah, hadith, ceramah, semua benda baik aku dah letak. Tapi sikit je orang like. Yang komen lagi la. Selalunye memang takde langsung!"

"Hahaha!!! Glamourlah aku. Banyak sangat friend request. Message inbox pun banyak masuk. Kalau aku post walaupun status "aku nak makan"...peh!!! banyak giler orang like ngan komen"



IKHLAS KE AKU?

Aku tidaklah baik mana. Apatah lagi berada dalam kategori umat yang alim pun. Aku biasa-biasa orangnya. Mengumpat, bangga diri, pemarah, suka membanding, dan semua yang sifat-sifat buruk kadang-kadang memang menguasai akal warasku.

Dek terbiasa sangat perkara-perkara yang tak elok tersebut, tanpa aku sempat fikir dosa, pahala dan kesannya pada orang sekeliling aku, aku secara automatiknya menempah "sebuah rumah" di neraka Allah.

Seperti kebanyakkan orang lain, aku juga tidak terlepas dari sifat riak dan sifat yang suka dipuji. Kalau aku mahu lakukan sesuatu, aku suka sekiranya orang sekeliling tahu apa yang aku buat. Aku suka diriku dipuji melangit. Aku pun suka mengungkit setiap kebaikan yang telah aku buat.

Terutamanya bila belanja kawan. Hari ini ada batas, hari esok bila nak balas?
Tapi bila aku fikir semula, ikhlaskah aku?





IKHLAS ITU INDAH. 

Hati yang bersih dan suci adalah hati yang boleh menerima kekurangan diri seadanya. Sikap suka menyalahkan orang lain dalam beberapa hal amat dikesali. Bukanlah pemilik hati yang bersih dan suci apabila suka dipuji dan diangkat pada kedudukan yang tinggi.

Sifat suka berbangga dan bermegah-megah dengan kedudukan diri sendiri yang tidak seberapa, minta disanjung dan dipuji setiap masa adakalanya akan dibenci secara diam dan sahabat yang lain kurang berminat untuk mengetahui dan mendengar apa-apa berita kita seterusnya.

Insan yang telah memiliki cinta Allah lain pula sifatnya. Sentiasa merendah diri, tidak suka menunjuk-nunjuk akan kehebatan dirinya dan sentiasa cuba membantu dan menolong insan lain yang memerlukan.

Maka, apa yang perlu?

Setiap perbuatan kita perlu ada niat hanya kerana Allah. Bila niat hanya kerana Allah, segalanya menjadi indah dan terasa bahagianya di hati. Hanya hati yang ikhlas kerana Allah sahaja akan menerima ganjaran pahala dan keberkatan dalam setiap perbuatan.

Untuk melatih hati kita menjadi ikhlas, kita perlulah melafazkan niat tu sama ada dalam hati atau melalui mulut. Sebab dengan melafazkannya dalam sedar, kita akan sentiasa beringat tentang tujuan asal kita iaitu membuat sesuatu hanya untuk mendapatkan keredhaan Allah semata-mata, dan ini mendatangkan rasa keikhlasan dalam diri.

Bila hati kita ikhlas, kita tidak akan merungut, mengungkit atau merasa penat kerana kita tahu Allahlah yang akan memberi ganjaran di akhirat nanti.

Ingatlah. Perbuatan yang asalnya ikhlas kalau diungkit, akan menjadikan perbuatan itu sia-sia dan tidak mendapat atau mengurangkan pahala dari Allah.

Jadikan setiap kebaikan dan perbuatan kita itu sebagai saham akhirat dan modal tambahan untuk memberatkan timbangan neraca amalan kita. Kita buat, kita lupakan. Tak perlu ungkit dan tak perlu kenang.

Untuk itu renungilah kata-kata Imam Hasan Al Banna :

“Di dunia ini, dari banyaknya jumlah manusia hanya sedikit saja dari mereka yang sedar. Dari sedikit yang sedar itu hanya sedikit yang berIslam. Dari sedikit yang berIslam itu hanya sedikit yang berdakwah. Dari mereka yang berdakwah lebih sedikit lagi yang berjuang. Dari mereka yang berjuang sedikit sekali yang bersabar. Dan dari mereka yang bersabar hanya sedikit sekali dari mereka yang sampai akhir perjalanan”

Biar Allah yang memberikan ganjarannya. InsyaAllah.

READ MORE

KENAPA IC KITA ISLAM?


Persoalan :

1. Mengapa orang islam ada yang bertudung dan ada yang tidak bertudung? Ada yang solat dan ada yang tidak solat?
2. Mengapa agama islam sangat sempurna tetapi tidak penganutnya?
3. Mengapa orang bukan islam tidak tertarik dengan islam sedangkan agama islam cukup indah dan agama yang terbaik dari semua hal?
4. Mengapa islam dipandang enteng dan buruk di mata masyarakat?

Bagi saya persoalan-persoalan ini saling berkait, iaitu menyentuh bab akidah dan iman. Tengok IC agama islam, tengok empunya tiada persis keislamannya. Mengapa?

Kita perlu tanya pada diri semula, "kenapa IC kita islam?"



ISLAMNYA KITA

Apabila kita telah dilahirkan dalam Islam, kita telah secara langsung terikat untuk berada di dalam lingkungan agama suci itu, dan menjadi penganutnya hingga hujung nyawa. Ini kerana, Islam adalah agama yang akhir dan benar yang akan membawa penganutnya ke destinasi terakhir yang kekal abadi, syurga.

Sepatutnya kita merasa beruntung apabila dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam, kerana melaluinya kita belajar mengenal Tuhan. Sebagai seorang Islam, kita mempunyai Al-Quran sebagai panduan utama yang merangkumi kesemua perkara dengan lengkap. Kita juga punya hadis-hadis sahih untuk dijadikan pegangan dan tauladan dalam menjalani kehidupan seharian.

Jadi soal mengapa mereka yang telah dilahirkan sebagai Islam tetapi tiada perwatakan sebagai seorang penganut islam sepatutnya difahami. Kerana pada dasarnya agama Islam itu sendiri telah sempurna dan lengkap, seperti firman Allah SWT :

"Dan pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu, dan Aku redha Islam itu menjadi agamamu" (Al-Maidah:3)

Malah islam sesekali tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk memasuki islam. Tidakkah ia melambangkan betapa mulianya agama yang kita anuti?

"Tiada paksaan untuk memasuki Islam" (Al-Baqarah : 256)



AGAMA NADI KEHIDUPAN

Agama akan membentuk akidah yang sahih. Agama melatih melalui ibadah yang berterusan dan kesan kehidupan beragamalah akan melahirkan akhlak mulia. Akidah, ibadah dan akhlak merupakan ramuan penting kerana gabungan inilah yang akan membentuk tanggungjawab seorang hamba yang istiqamah dalam mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Justeru, kita wajar menjadikan agama sebagai batu asas dalam soal membuat setiap pertimbangan kehidupan. Jika kita salah memilih jalan, maka kita akan tersesat. Segala urusan yang kita lakukan seharian, serba tidak kena.

Sebagai contoh :

Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina atas kepentingan diri masing-masing.

Tanpa iman, maka tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Jika kita pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, maka kita akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.

Sebab itulah kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam setiap langkah kehidupan. Lahirnya jiwa yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya jiwa yang jahat membawa kemudaratan kepada empunya diri.

Sekejap level high
Sekejap level low.

Memang tidak stabil.
Hakikat Iman manusia ada TURUN NAIKnya

“ Wahai Tuhan yang sentiasa membolak-balikkan hati, Engkau tetapkanlah hati ini di dalam agamaMu ”.  Bila Allah sentiasa di dalam hati, setiap perkara akan menjadi ringan dan mudah. 

READ MORE

TAK PERLU SOMBONGLAH!


Rasanya agak janggal jika kita membincangkan masalah ilmu tanpa di ketengahkan apakah tugas yang perlu kita tunaikan dahulu di dalam misi menuntut ilmu, dan apakah akhlak yang perlu ada dan tanggungjawab yang perlu kita pikul terhadap ilmu yang kita pelajari.

Satu ujian bagi penuntut ilmu ialah beramal dengan ilmu yang dipelajari.

“Ilmu memanggil-manggil amal. Jika disahut ia akan datang mendekatimu. Sebaliknya jika tidak, ia akan pergi meninggalkanmu”.

Maka tidak hairanlah jika sebilangan pemilik ijazah sarjana, pHD, atau pun master level bertindak seperti tidak pernah bersekolah. Akhlak, tindakan dan tutur bicaranya tidak menggambarkan ilmu dan kelulusan yang dimiliki. Bahkan hal ini turut mengjangkiti orang-orang yang belajar agama. Pak ustaz, imam masjid, tok kadi, peguam syariah dan sewaktu dengannya.

Satu dari faktor utama yang menyebabkan hal ini berlaku ialah tiadanya adab dan akhlak ketika menuntut ilmu.

Hari ini, kita akan persoalkan tentang adab dan akhlak duduknya di baris belakang selepas akademik dan kemahiran.

Terlebih dahulu suka untuk dibuktikan dengan mengambil contoh keperibadian Imam Bukhari RA. Kita melihat bahawa Imam Bukhari mewarisi daripada Rasulullah SAW ilmunya, akhlaknya dan amalannya dan bukan mewarisi hartanya.

Beliau adalah seorang ahli ilmu Hadis yang kuat beribadat, warak, zuhud dan berakhlak mulia. Beliau tidak membuang masanya dengan sia-sia, masanya diisi dengan menulis Hadis dan mendirikan solat-solat sunat.

Dari Imam As-Subki, mencatatkan pengakuan Imam Bukhari :

"Setiap kali aku hendak menulis sebuah Hadis dan menaqalnya dalam Sahihku (Kitab Sahih Bukhari), aku akan berwuduk dan mengerjakan sembahyang".

Imam Bukhari juga memberi perhatian serius kepada kewajipan sembahyang. Beliau menghayati setiap ayat dan zikir yang dibacanya.

Pada suatu masa, ketika beliau sedang solat, beberapa ekor lebah hinggap di belakangnya dan menyengatnya tetapi sengatan lebah tersebut sedikitpun tidak mengganggu solatnya! 

Sesudah selesai solat, beliau meminta kawan-kawannya membuka bajunya dan melihat apa yang menyebabkan beliau rasa tidak selesa ketika solat tadi. Mereka lihat belakangnya telah bengkak akibat sengatan lebah, padahal beliau tidak merasa sakit ketika solat!

Apatah lagi, beliau sering membaca Quran pada waktu sahur dan menyambung bacaan pada siang hari. Dengan cara itu, beliau dapat mengkhatam sebuah Quran setiap hari.

Nah!

Jika dilihat dengan penelitian mikro cukup tinggi displin ilmu yang digariskan oleh pencinta-pencinta ilmu seperti Imam Bukhari. Bahkan kita melihat kata-kata hikmah para sarjana islam tentang adab menuntut ilmu seperti :

Imam Suffyan Sauri (w 161H) :

“Mereka tidak menyuruh / mengirim anak-anak mereka untuk menuntut ilmu, hingga mereka mempelajari adab dan beribadah selama 20 tahun”.

Imam Abdullah ibnul Mubarak (w 181H) berkata :

 “Aku mempelajari adab selama 30 tahun kemudian aku menuntut ilmu selama 20 tahun. Mereka mempelajari adab sebelum belajar ilmu”.

Beliau juga mengatakan, “Adab itu 2/3 ilmu”.

Juga, "Telah berkata kepadaku Makhlad bin al-Husain (w 191), “Kami lebih memerlukan adab daripada banyaknya hadith”.

Imam Muhammad bin Sirin (w110H) berkata :

“Mereka (salafussoleh) mempelajari petunjuk Nabi (tentang adab) sebagaimana mereka belajar ilmu”.

Sahabat, hari ini generasi kita hilang malu. Generasi kita hilang adab. Bukan sahaja adab ketika menuntut ilmu tetapi sayugia dikatakan kita hilang adab dengan cikgu, pensyarah, doktor, profesor yang bersekang mata memerah otak demi mencerdikkan kita. Daripada zero ke hero.

Inilah diri kita sahabat.

Tidak malukah kita? Para Ilmuan, mereka sedar bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja"

Ingatlah pesan Rasulullah SAW :

"BUKAN DARI UMATKU! orang yang TIDAK MEMULIAKAN orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan TIDAK MEMPELAJARI daripada orang-orang alim. (Riwayat Abu Daud)

READ MORE

SINDROM "HANDSET MAHAL KREDIT TAKDE"


Di zaman mabuk teknologi maklumat dan komunikasi ini, kadang-kadang kita pening melihat betapa taksubnya pengguna teknologi ini khususnya remaja terhadap telefon bimbit.

Diibaratkan sebilah pisau, kalau kita menggunakan pisau itu dengan waras dan wajar, ia pasti akan banyak membantu. Sebaliknya kalau kita gagal mengawalnya, ia boleh mencederakan malah mampu membunuh!

Namun apa yang menarik perhatian ialah telefon bimbit selalu dikaitkan dengan kredit. Bagi pemilik tegar, mereka akan menggunakan telefon bimbit ini tanpa mengira sama ada perlu atau tidak. Sama ada penting atau tidak.

Mereka terlalu teruja dengan SMS, MMS, 3G, 3GS, muat turun lagu, video, undian program realiti dan bermacam permainan yang dipromosi. Biasanya, penggunaan yang tidak berfaedahlah yang banyak mengikis kredit, disebabkan kemudahannya pelbagai dan kadarnya mahal. Jadi, ia perlu ditop up selalu bagi mengelakkannya diganggu sindrom "handset mahal kredit takde". 

Baik, apa kaitannya dengan sunnah Nabi SAW?

Bayangkan kredit telefon bimbit itu sebagai kualiti hidup kita. Dengan kehidupan kita yang tidak tentu haluan, godaan dunia yang menghentam, usaha menuntut ilmu dan amalan pun tak keruan, apa yang kita harapkan dalam melihat graf iman kita? 

Daripada sepuluh markah, ditakuk mana iman kita? Dua? Tiga? Mungkin tidak sampai satu pun.

Di sinilah indahnya sunnah Nabi SAW. Di mana ada sunnah Nabi di situ ada keberkatan. Pahala amalan digandakan menjadi kredit hidup yang semakin malap kualitinya.

Dalam sunnah Nabi SAW ini kita bertemu dengan pelbagai nasihat yang tidak pernah kita jumpa dalam subjek sains acuan barat. Ada sunnah menjilat jari, makan sambil duduk, makan dengan tangan kanan dan bermacam lagi.

Paling mengujakan dan insyaAllah diizinkan Tuhan, kita mendapat syufaat Nabi SAW di akhirat kelak. Kesemua perkara ini dijanjikan pahala dan keberkatan. Bayangkan, amalan wajib kita yang cacamarba dapat diperelokkan dengan amalan sunat dan diangkat ke langit tanpa hijab. Itu adalah motivasi yang tersirat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Apakah perkara-perkara tersebut masih tidak mampu merangsang urat saraf iman kita?

Rebutlah peluang ini.

Esok masih samar. Sama ada kita sempat beramal dengan sunnah Nabi atau tidak. Dengan peluang dipinjam otot-otot yang sihat sekarang, lakukanlah amalan-amalan fardu dan sunat sebanyak-banyaknya, dan seikhlas-ikhlasnya. Jika tidak mampu buat semua, jangan tinggal langsung.

Hinakanlah diri di hadapan Allah dan akuilah segala dosa dan kesilapan kita selama ini. Dan berpesan-pesanlah kita dengan kebenaran dan kesabaran. Di dalam Al-Quran ada mengatakan “berpesan-pesanlah kepada kebaikkan dan berpesan-pesanlah kepada kesabaran”.

Islam tercipta dari seorang hamba Allah yang cintakan penciptanya, cintakan agamanya, cintakan Rasulullah, cintakan kedamaian dan juga cintakan sinar hidayah dari Allah. Sekali ianya dirasakan, semoga ianya berkekalan terus sehingga nyawa berada di hujung halqum.  

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!

READ MORE

"MASALAH LAGI......"



Dalam perjalanan mempertahankan iman, seseorang itu akan silih berganti berhadapan dengan salah satu daripada empat keadaan :

1. nikmat
2. bala
3. taat
4. maksiat.

Keempat-empat itu adalah alat untuk menguji iman.

Dalam menghadapi ujian nikmat pohonlah kepada Allah SWT agar kita dapat mengikat nikmat tersebut dengan syukur. Apabila berhadapan dengan ujian bala', merayulah kepada Allah SWT agar bala' itu dihindarkan.

Atau jika bala itu tidak mahu pergi juga mintalah agar Dia menguatkan jiwa kita dengan kesabaran dan seterusnya mintalah agar Allah SWT mententeramkan hati kita dengan reda.

Apabila kita diberi kesempatan berbuat taat, ketahuilah ketaatan itu adalah kurniaan Allah SWT kerana kasihan belas dan rahmat-Nya kepada kita. Bukan ketaatan terjadi kerana kebolehan dan keupayaan kita.


Jangan melihat amal sebagai hasil usaha kita tetapi hendaklah ia dilihat sebagai pemberian Allah SWT yang wajib disyukuri dan seharusnya kita merendah diri kepadaNya. Dengan tawadhu' yang tulus.

Apabila terjerumus melakukan maksiat pula, ketahuilah bahawa jika kita tidak peduli di lembah kehancuran mana bakal kita jatuh, maka Allah SWT juga tidak peduli di jurang mana kita binasa dan di neraka mana kita menanggung azab seksa.

Jika tidak mahu dibinasakan oleh Allah SWT dan diseksa dengan azab yang pedih, larilah kepadaNya dengan meninggalkan lembah maksiat, bertaubatlah dengan sepenuh hati. Sebenar-benar taubat.

Dalam mengajukan permintaan kepada Allah SWT, yang perlu dilihat adalah diri sendiri. Bukan apa yang diingini. Penting bagi seseorang mengenali dirinya dan menghisab dirinya. 

Cari di mana cacat dan kekurangan yang ada pada kita.

Apa yang kurang minta Allah SWT percukupkan dan apa yang cacat minta Dia perelokkan. Apa sahaja yang datang adalah perutusan daripada Allah SWT yang perlu kita renungi. Pohonlah bantuan Allah SWT agar disingkapkan rahsia yang menyelubungi perutusan yang datang itu agar kita tidak tertipu oleh muslihatnya.

Ingatlah semasa masih ada hayat, nafas masih boleh disedut, tidak lain yang patut dituntut melainkan tauhid. Berdoalah bersungguh-sungguh agar hidup kita diterangi oleh tauhid dan mati kita jua dalam keteguhan tauhid.

"Maka Dia (Allah) mengilhamkan (dalam diri manusia) jalan kejahatan dan ketakwaan (kebaikan). Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.." (As-Syams, 8-10)

Allahuakhbar!

READ MORE

MENJAGA HATI



Kadang-kadang orang yang lalai dengan Islam, sekejap sembahyang sekejap tidak sembahyang. Sekejap puasa sekejap tidak puasa.

Tapi dia rasa bersalah.

Dia sedar dia salah. Itu lebih selamat daripada orang yang jaga zahir, ibadah yang banyak. Tapi dalam hati buat jahat, tak terasa takut lagi.

Yang tadi masih rasa takut lagi, dalam buat jahat dia rasa takut, rasa kehambaan masih kekal. Yang ini dia banyak buat secara luaran tak terasa takut pun. Sebab di sisi Tuhan orang yang buat dosa terasa berdosa itu lebih selamat. Orang berdosa rasa tak berdosa, itu yang rosak!

Rasa berdosa, rasa bersalah, rasa kehambaan itulah yang Tuhan nak.

Kalau kita ambil yang zahir sahaja mungkin banyak ibadah yang makin rosak sebab dia tak nampak kesalahan dirinya.

Sebab itu orang-orang dulu, kalau ada orang bertanya tentang hukum hakam. Dia tidak terus jawab sebab nak menjaga hati. Takut ada rasa megah. Kamu pergilah tanya si Ahmad, bila sampai si Ahmad tanyalah si Yusuf. Dari Yusuf suruh pergi ke Mahmud juga. Akhirnya pusing semula kerana tak dapat mengelak dia pun jawab.

Orang sekarang, memang celik-celik belaka. Tapi sayangnya celik ilmu tanpa celik iman. Kalau ditanya, jawapan semua hebat-hebat. Rasa semakin hebat apabila dipuji dan disukai. Namun, dari sudut kerendahan hati agak sukar ditemui dalam kalangan mereka.

Cuba kita ambil contoh.

Kisah pelajar cemerlang SPM Nik Madihah dan Nur Amalina boleh kita simpulkan melalui ayat Al-Quran. 
"Maka Dia (Allah) mengilhamkan (dalam diri manusia) jalan kejahatan dan ketakwaan (kebaikan). Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan (jiwa itu), dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.." (As-Syams, 8-10).

Sekali lagi. Kita bukan menghukum, hanya mengambil iktibar. Bahawa tanpa mengira kepandaian, kekayaan dan sebagainya, orang yang menjadikan Allah sebagai matlamat kehidupannya pasti akan takut untuk melakukan dosa.

Dia ada banyak jalan. Sama ada memilih jalan ke syurga atau neraka.

"..hanya mengharapkan keredhaan Tuhannya yang Maha Tinggi" (Lail : 20)

READ MORE

BAGAIMANA BERWUDU' ZAHIR DAN BATIN?


Apabila kita beribadah terutamanya solat, perasaan was-was pasti menguasai diri sehinggakan kita terpaksa mengangkat takbir semula untuk betul-betul yakin dalam solat. Untuk khusyuk dirasakan begitu susah.

Namun benarkah semua ini angkara syaitan?

Ada satu kisah.

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk sembahyangnya. Namun demikian dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih baik ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasanya kurang khusyuk.

Pada suatu hari Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Asam dan bertanya: “Wahai Aba Abdurrahman (Nama gelaran Hatim), bagaimanakah caranya tuan sembahyang?”

Berkata Hatim: “Apabila masuk waktu sembahyang, aku berwuduk zahir dan batin.”

Bertanya Isam: “Bagaimana wuduk batin itu?”

Berkata Hatim: “Wuduk zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air. Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :

1. Bertaubat.
2. Menyesali akan dosa yang telah dilakukan.
3. Tidak tergila-gilakan dunia.
4. Tidak mencari atau mengharapkan pujian daripada manusia
5. Meninggalkan sifat bermegah-megahan.
6. Meninggalkan sifat khianat dan menipu.
7. Meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata : “Kemudian aku pergi ke Masjid, ku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku. 

Dan ku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian Siratul Mustaqim dan aku menganggap bahawa sembahyang ku kali ini adalah sembahyang terakhir bagiku. (Kerana aku rasa akan mati selepas sembahyang ini). Kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.
Setiap bacaan dan doa dalam sembahyang ku faham maknanya, kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawaduk (merasa hina), aku bertasyahud (tahiyat) dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. 

Beginilah aku bersembahyang selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar menangislah ia sekuat-kuatnya kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

READ MORE

TIDAK BERKURANG, KECUALI BERTAMBAH


Sekiranya kamu memperlihatkan sedekahmu, itu perkara baik.
Sekiranya kamu bersedekah kepada orang fakir dan kamu menyembunyikannya, itulah yang lebih baik bagi kamu.

Allah menghapuskan sebahagian kesalahan-kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.

Bersedekah sebelum terngadah

"Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada rezeki yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang hari yang pada hari itu tidak ada lagi jual beli dan tidak ada lagi persahabatan yang akrab dan tidak ada lagi syafaat. Dan orang-orang kafir itulah orang-orang yang zalim." (Surah Al-Baqarah : 254)

3 fadhilat utama bersedekah.

1. murah rezeki murah
2. menolak bala
3. panjang umur.

Di dalam hadis Nabi ada mengatakan “ Sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani.” Indahnya sedekah membantu orang susah merasa kesenangan seperti kita. Indahnya sedekah merapatkan jurang ukhwah tanpa mengira pangkat dan harta. 

Apabila kita bersedekah, penerimanya akan mengucapkan alhamdulillah sebagai tanda penghargaan kepada Allah dan juga kepada manusia yang memberikan sumbangan.

Kita juga dianjurkan untuk bersedekah dengan mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain.

Memetik hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad menyebut, antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara.

Tidak akan pernah berkurang harta yang disedekahkan kecuali ia bertambah… bertambah… bertambah (HR.At-tirmidzi)

Kempen 3S "Sedekah sehari seringgit". Jom mulakan dari sekarang!

READ MORE

BUKAN MALAIKAT YANG LALU



Sedang syok dengar pidato bersemangat, tiba-tiba keadaan menjadi sunyi sepi. Tiada satu bunyi pun. Nak kata malaikat lalu, bukan. Semua hadirin terpana pada mata pemidato. Al quran yang dipegangnya dibelek-belek.

Saya tergamam. Pertama kali tengok.

Begitu bersungguh dia membelek helai demi helai. Mengambil masa hampir 2,3 minit. Benar. Tidak pernah saya tengok adegan ini. Nak dikata memalukan, tidak. Malah saya bersyukur berada di jemaah ini. Di jalan perjuangan ini. Pemidato tidak segan silu membuka Al Quran di hadapan para hadirin untuk dirujuk.

Air mata saya hampir memberi reaksi. Sambil berbisik ayat yang dicarinya.

Sebenarnya pemidato terlupa sesuatu. Dia lupa ayat 6 dalam Surah Muzzamil untuk dibakar semangat anak muda yang di hadapannya. Penekanan untuk bertahajjud dalam berjuang.

"Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa), dan (bacaan diwaktu itu) lebih berkesan." - ayat 6, surah muzzamil. 

Saya menghafal surah ini pun kerana pergi program. Masakan tidak. Banyak kali program yang disertai memberi penekanan yang serius mengenai tafsir surah muzzamil. Rasa seronok dapat aplikasikan secara berjemaah, bersama sahabat-sahabat yang mendambakan kehausan tarbiyyah (didikan).

Dengan perjuangan yang payah, kebebasan yang disekat dan ketidakadilan, anak muda perlukan stamina yang kuat dan konsisten. Motivasi yang tidak pernah utuh.

Sengaja bangun malam hanya bisa dilakukan oleh orang yang memiliki niat kuat. Niat yang kuat pasti didorong oleh motivasi yang kuat, sehingga setiap gerak kerja akan dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh. 

Indahnya bangun malam semata-mata bertahajjud demi Allah. Apalagi solat tahajjud adalah solat sunnah. InsyaAllah orang yang melaksanakan solat sunnah adalah orang yang memang punya niat yang ikhlas dan bermotivasi tinggi.

Berbeza pula dengan solat wajib. Terkadang kita melaksanakan solat wajib hanya sekadar “gugur kewajipan”. Solat tahajjud dilakukan sebaiknya setelah tidur, meskipun sebentar.

Apa manfaatnya?

Bangun tidur pasti fikiran kita lebih segar. Bayangkan dalam 1 hari, jantung kita berdetak  100 000 kali, darah kita mengalir melalui 17 juta mil arteri, urat darah halus dan juga pembuluh-pembuluh darah. Tanpa kita sedari rata-rata sehari kita berbicara 4000 kata, bernafas sebanyak 20 000 kali, menggerakkan otot-otot besar sebanyak 750 kali, dan mengoperasikan 14 milyar sel otak.

Manusia perlukan istirehat.

Dan tidur adalah istirahat yang sangat baik menurut ilmu perubatan. Dengan tidur bererti terjadi proses pemulihan sel tubuh, penambahan kekuatan dan otak kita kembali berfungsi dengan sangat baik.

Tidak hairan jika Allah berkehendak agar solat tahajjud dikerjakan setelah tidur. Dengan fikiran yang fresh akan membantu kita untuk lebih khusyuk memaknai ayat-ayat Allah yang kita baca.

Lebih khusyuk belajar, merancang strategi  dan lebih penting meraih keberkatan dalam perjuangan anak muda khususnya. Kita perlukan medan yang jauh dari hiruk pikuk keduniaan untuk menyepi bersama Tuhan. John Kehoe, penulis buku terlaris “Mind Power” berkata melalui suasana kesepian, ia dapat menembus batas kesedaran tertinggi atau lapisan terdalam fikiran bawah sedar dalam proses pencarian diri.

Fenomena tahajjud anak muda patut diperkasakan. Inilah persiapan utama kita.

READ MORE

ORANG YANG MABUK DALAM SOLAT


Semua orang sibuk exam. Ada yang study last minute. Ada pula suka study awal. Tapi bila exam tetap sama. Mereka lupa apa yang dibaca. Tengok soalan macam pernah baca bab tersebut. Tapi tak ingat.

Oh, kenapa ye?

Salah satu sebab tak ingat dan lupa apa yang dibaca adalah kerana tidak khusyuk ketika belajar. Mulut sibuk terkumat kamit menghafal tapi hati dan fikiran di tempat lain. Sibuk plan nak buat apa selepas exam. Tak pun fikir cepatlah musim exam habis. Nak enjoy puas-puas.

Sama juga situasinya ketika solat.

Kadang-kadang pelik ketika solat kita boleh lupa berapa rakaat kita kerjakan. Terlebih atau terkurang rakaat. Terbabas atau terlajak rakaat tidak boleh diundur seperti kereta. Cuma boleh diperbaiki. Namun, susah juga kalau tidak sedar apa yang dibaca dalam solat. Seperti orang mabuk.

Tercari-cari tips atau rahsia khusyuk dalam solat.

Sebenarnya, khusyuk di dalam solat bermula dari khusyuk di luar solat. Kalau di luar solat hati tidak khusyuk dengan Allah, memang payah untuk khusyuk di dalam solat.

Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk solatnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar.

Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar. Solat itu merupakan “munajat” (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya.

Saidina Ali RA boleh khusyuk dalam solatnya hingga waktu orang mencabut panah di betisnya, dia tidak terasa apa-apa.

Hebat!

Saidina Umar Al Khattab pula pernah berkata, “Khusyuk itu bukan tundukkan kepala, tapi khusyuk itu dalam hati.


Justeru, orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari dia hanyalah hamba, akan patuh apa sahaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul. Orang yang khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah :

“Jadikanlah SABAR dan SOLAT sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Bersungguh-sungguh untuk khusyuk dan fokus dalam setiap perkara. Tidak hanya ketika solat.

READ MORE

MEMILIH TEMPAT UNTUK MATI


Siapakah yang mampu melawan takdir saat malaikat Izrail sudah ‘ditugaskan’ untuk mengambil nyawa yang dipinjam. Banyak ceritera tentang kematian namun hanya beberapa minit ia terkesan di hati kecil. Kita tidak tahu, makwe pakwe kita pun tidak tahu, ibubapa kita tidak tahu, kawan kita juga tidak tahu. Tiada siapa tahu ajal masing-masing. Hanya Allah yang tahu.

Justeru, ingatlah kematian yang menanti. Bukan mengejar dan  mengutamakan dunia lebih daripada akhirat.

Siapa yang tidak lupa kubur dan kerosakan serta meninggalkan kelebihan daripada perhiasan dunia?
Siapa yang mengutamakan benda kekal daripada benda sementara dan rosak?
Siapa yang tidak menghitung-hitung harinya dan menganggap dirinya daripada golongan mati?

Buat renungan bersama.

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Andaikan dunia ini di sisi Allah SWT. menyamai nilai satu sayap nyamuk maka tidak akan diberikan kepada orang kafir walau seteguk air."

Syahr bin Hausyab dari Abdurrahman bin Usman berkata :

"Pada suatu malam Nabi Muhammad SAW sembahyang subuh di tempat pembuangan kotoran, maka melihat ulat bergerak dalam kotoran, maka Nabi Muhammad SAW menghentikan untunya menantikan orang-orang, lalu bertanya kepada orang-orang : 
"Apakah kamu mengetahui bahawa orang-orang di tempat ini jijik terhadap ulat ini?" Jawab mereka: "Benar, ya Rasulullah." Maka Nabi Muhammad SAW bersabda : "Demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tanganNya, sesungguhnya dunia ini lebih rendah (hina) di sisi Allah SWT melebihi dari hinanya ulat terhadap orang-orang yang mempunyai tempat ini."

Seorang mukmin meskipun adakalanya mewah dan nikmat, tetapi jika dibandingkan dengan nikmat dan kemewahan yang disediakan untuknya di syurga, maka seolah-olah ia berada di dalam penjara. 

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Dunia sebagai penjara bagi orang mukmin dan kubur bagaikan bentengnya dan syurga tempat tinggalnya. Dan dunia ini sebagai syurga bagi orang kafir sedang kubur sebagai penjaranya dan neraka tempat tinggalnya."

Sebab seorang mukmin jika mati dan diperlihatkan kepadanya syurga dan kemuliaan yang ada di dalamnya, ia sedar bahawa selama di dunia seolah-olah dalam penjara. 

Sedang seorang kafir jika mati dan diperlihatkan kepadanya hukuman-hukuman dalam neraka, maka ia merasa bahawa ia tadi dalam syurga. 

Kerana itu seorang yang berakal tidak akan merasa gembira dalam penjara dan tidak akan mencari kesenangan dalam penjara. Maka seorang yang berakal harus memperhatikan apa yang telah dijelaskan Allah SWT mengenai dunia dalam ayat-ayat Al-Quran, sebab dalam ayat Al-Quran dan sabda Nabi Muhammad SAW cukup perumpamaan yang jelas supaya orang mukmin jangan tertipu oleh dunia.

Fikirkan ayat 24 Surah Yunus :

"Sesungguhnya perumpamaan kerosakan dunia ini bagaikan air yang Kami turunkan dari langit maka meresap kedalam tanah dan menumbuhkan makanan orang-orang dan binatang-binatang, sehingga apabila bumi ini telah berhias dengan segala hasilnya dan indah dan pemiliknya telah mengira ia sangat berkuasa atasnya, tiba-tiba datang siksa Allah di waktu malam atau siang hari, maka jadilah semua itu terketam habis, seakan-akan tidak ada apa-apa sejak kelmarinnya. Demikianlah contoh dunia ini. Kami jelaskan bagi orang-orang yang suka berfikir dan memperhatikan."

Yahya bin Mu'adz Arrazi pernah  berkata : "Dunia ini bagaikan ladang Tuhan Rabbul a'lamin dan manusia sebagai tanamannya sedang maut itu sebagai cangkulnya. Dan Malakulmaut itu sebagai pengetamnya dan kubur sebagai lombongnya dan kiamat sebagai lesungnya dan syurga atau neraka tempat pemuasnya, sebahagian syurga dan sebahagian dalam neraka Sa'ir."

Luqman Al hakim berkata kepada puteranya: "Hai anak, sesungguhnya dunia ini adalah lautan yang sangat dalam dan telah tenggelam di dalamnya kebanyakkan manusia, kerana itu jadilah perahu di dunia ini taqwa kepada Allah SWT"

Bermakna, andai muatan perahu kita adalah taqwa, maka kita akan selamat daripada lautan fitnah dunia. Pilihlah tempat untuk mati dengan biasakan kaki melangkah ke tempat-tempat beribadah. Belajar itu ibadah. Bekerja itu ibadah. Solat itu ibadah. Segala amalan kita adalah ibadah asalkan niat lillahi taala dan kena caranya.

READ MORE

DI MANA JANGGUTMU WAHAI LELAKI?



Semalam terbaca status Facebook seorang sahabat :

"Andai Rasulullah berada di depan kita dan bertanya 'apa khabar iman kamu'? Sejauhmana kamu mengikuti sunnahku? Agak-agak apa yang kita akan jawab?"

Dan juga status yang hampir sama oleh sahabat yang berlainan :

"Rasulullah, alangkah bahagianya hatiku jika mukaku ini menjadi alas kakimu."

Tergamam!



BENARKAH RASULULLAH IDOLA KITA?

Benarkah kita sayangkan Rasulullah SAW dengan sebenar-benar sayang? Benarkah Baginda menjadi contoh ikutan ummah? Sebagai idola hidup?

Jika kita sayangkan ayah kita, segala suruhan dan nasihatnya pasti kita patuh dan ikut. Gaya dia berpakaian, bercakap sekalipun cara jalan, makan dan tidur, hampir semua kita tiru. Lebih-lebih lagi jika ayah kita seorang  yang hebat. Disegani oleh kawan dan lawan. Kita bangga menjadi anak ayah. Seolah-olah satu dunia kita mahu isytiharkan bahawa itulah ayah kita yang sangat hebat!

Itu adalah ayah kita, bagaimana pula dengan Nabi Muhammad SAW?

Tidak perlu bersembang jauh tentang sunnah Baginda yang susah dan berat untuk dipraktiskan seperti solat sunat tahajjud dan dhuha . Cuma pandang sahaja diri kita.

Ada tidak kita ikut sunnah Nabi yang paling mudah dan senang? Nampak remeh tetapi yang remeh itulah kita tidak mampu buat. Sebagai contoh :

1. Simpan janggut
2. Memotong kumis
3. Memotong kuku, dll

Belum lagi soal adab yang lain, seperti adab ketika makan :

1. Makan menggunakan tangan
2. Makan menggunakan 3 jari
3. Makan sambil duduk
4. Menjilat jari-jari selepas makan
5. Makan ketika lapar, berhenti ketika kenyang
6. Membasuh kedua belah tangan dan berkumur-kumur, dll

Nabi SAW pernah bersabda : “Barang siapa yang mengikuti sunnahku, bererti dia cinta kepadaku. Dan barang siapa yang cinta kepada ku, maka akan masuk syurga bersamaku.”

Sahabat-sahabat, sebenarnya banyak sekali kebaikan dan kelebihan jika kita mengamalkan sunnah Nabi SAW. Ulamak pernah berkata, pada setiap amalan sunnah itu ada keberkatan. Siapa amalkan sunnah, dia akan mendapat 2 keuntungan. Apa keuntungan itu?

1. Pahala yang berlipat ganda
2. Keberkatan.

Malah dari segi ilmu perubatan terlalu banyak impak positif yang boleh dikaitkan dengan sunnah Nabi ini.
Sebagai contoh yang paling mudah, jilat jari selepas makan.

Rasulullah SAW bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan, jangan dibersihkan jari-jarinya sebelum dia menjilatnya". (HR Muslim)

Ya! Mungkin kita rasa jijik, pelahap dan pengotor apabila melihat orang menjilat jari selepas makan. Dan mungkin kita sendiri malu untuk berbuat demikian, lebih-lebih lagi perempuan, kononnya takut akan persepsi dan tanggapan buruk orang lain. Boyfriend pun tak nak makan dengan kita lagi. Segan. Tidak moden katanya.

Tetapi tahukah kita apakah kelebihan fakta sains di sebaliknya?
Dan adakah kita sedar slogan KFC, "Finger Lickin' good" yang kita tengok di TV setiap hari?
atau orang Cina dengan adat, "eat your finger off" sudah nampak kelebihan menjilat jari?

Kita tidak rasa gah dengan islam, dengan sunnah Nabi kita. Kenapa ya?

Padahal Nabi sudah lama dahulu menganjurkan kaedah ini. Ditambah lagi dengan bukti hasil kajian para saintis mendapati bahawa enzim banyak terkandung di celah-celah jari, iaitu 10 kali ganda daripada yang terdapat dalam air liur! Enzim inilah pencerna makanan. Tanpa enzim, makanan tidak boleh hadam. Itulah berkatnya.

Jadi risiko untuk menghadapi masalah penghadaman seperti cirit birit dapat diminimakan. Tidak perlulah susah payah untuk berjumpa doktor dan membeli ubat di farmasi. Mudah bukan?

Lantaran itu, pasakkan di dalam diri, berpeganglah dan amalkan sunnah Nabi SAW, pasti Allah akan cintai dan berkati kita. Beramal dengannya sudah mendekati syufaat Nabi SAW di akhirat kelak.

READ MORE

"SAYANG, JANGAN TIDUR LEPAS SUBOH"


Kepada sahabat-sahabat yang disayangi mari kita muhasabah diri. Di sebalik diri kita ini, ada sifat pemalas yang perlu diubah. Jika kita tidak ubah tabiat pemalas kita ini, maka bermacam-macam impak negatif bakal menghanyutkan diri ke arah kemudharatan yang lebih besar.

Jika tidak sekarang, bila lagi bukan?

Takkan mahu tunggu usia sudah senja baru kita terhegeh-hegeh mengubah diri. Ketika itu, tabiat pemalas kita sudah sebati dengan diri dan amat degil untuk disental segala kekotorannya yang sudah lama melekat dan merosakkan hati kita.



TABIAT PEMALAS YANG PERLU DIUBAH

Cuba cek diri kita, mana 1 menjadi amalan seharian :
1. Bangun suboh lewat
2. Tidur selepas suboh
3. Melewatkan waktu suboh
4. Ala kadar je bangun suboh
5. Tak bangun pun solat suboh

Sahabat-sahabat, masih ingat lagikah? Di waktu zaman berhingus dulu? Ustaz yang mengajar subjek pendidikan islam selalu bertanya di dalam kelas,

"Siapa yang tak cukup solat 5 waktu semalam, sila berdiri"

Tanpa segan silu, secara berjemaahnya kita pun bangun sahabat. Dan bila ditanya, rata-rata yang tak cukup solat 5 waktu, adalah kerana tidak bangun suboh. Kenapa ya sahabat?

Dan kenapa dari kecil lagi, kita dididik sebegini? Diberi penekanan betapa pentingnya bangun suboh dan meraikan ke"suboh"an dengan cara tidak tidur semula seperti bebelan mak kita.

"Sayang jangan tidur lepas suboh. Rezeki tak masuk nanti"
"Anak dara tak manis tidur banyak. Matahari terpacak atas kepala baru nak bangun"





JIKA MAHU BERMUHASABAH

Rasulullah SAW tidak tidur selepas menunaikan solat subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, "Ya Allah, berkatilah umatku yang berpagi-pagi." Untuk itu, para fuqaha' memakruhkan tidur selepas solat subuh.

Walaupun hakikatnya  tiada dalil dan hadis-hadis soheh mengenai larangan tidur selepas subuh, dan yang ada cuma pendapat daripada para ulama mengenai tidur selepas subuh adalah MAKRUH tetapi tiada larangan tidur selepas subuh.

Dinukilkan oleh Imam as-Safarini mengenai kemakruhan tidur selepas solat Subuh dan Asar : "Dimakruhkan tidurmu -wahai mukallaf- selepas solat Subuh, kerana waktu itu adalah WAKTU MENCARI REZEKI dan berusaha (syara' dan 'uruf) di sisi orang yang BERAQAL". 

Tetapi, kita sedar tak wahai sahabat?

Kenapa seharian hidup kita tidak bermaya dan tidak bersemangat?
Kadangkala kita pernah menangis kerana tiada duit untuk bayar sesuatu yang penting, malah setiap hari kita pohon kepada Allah agar dimurahkan rezeki, tetapi seolah-olah tiada kesannya?

Kalau orang perempuan, bermacam-macam jenis pencuci muka dicubanya semata-mata nak "kulit bercahaya".
Kalau orang lelaki pula, kerisauan yang tak menentu, jadi bermacamlah "ubat kuat" yang dipakainya.

Kita nak ke isteri macam ini? Nak ke suami yang sebegini?
Masing-masing menggeleng tersengih sendirian. Jika kita tak nak pasangan seperti sedemikan rupa, maka kitalah orang pertama dahulu yang kena berubah. Bukan nanti, tetapi sekarang.




MASA UNTUK BERUBAH

Maka untuk itu tidak ada alasan lagi untuk menyeru kepada PERUBAHAN.

Buat diri, pastikan masa yang terluang selepas suboh diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Jangan tidur terlalu lewat jika sayangkan waktu keemasan di kala suboh.

Buat ahli jemaah, sudahlah diri sibuk, hanya masa ini sahajalah waktu untuk belajar. Gunakan masa sebaiknya.

Buat suami, carilah rezeki. Jangan tidur.Cuba lihat surah Al Jumaah ayat 10 : "Kemudian setelah selesai solat, maka betebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan) supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). 

Buat isteri, masaklah, kemas rumah dan sebagainya. Takkan hilang seri rumahtangga kalau kehidupan bermula  sebelum terbit fajar. Mak mertua pun tak bising lagi.

"Pesanan terpenting untuk para imam dan bakal imam terutamanya untuk diri sendiri, biasakan diri jangan tidur lepas subuh dan jangan tinggal solat jemaah di masjid, nanti selepas kahwin boleh didik isteri, kalau tak dua-dua hanyut. "

Buat pelajar, kalau nak tips study smart ingat hadith ini "kalau tidur selepas subuh papa dan tidur selepas asar boleh jadi 'gila'." Jangan salah pilih waktu untuk belajar atau menghafal.

Ibnul Qayyim pernah berkata,“Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya.”
Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya dia juga akan bermalas-malasan pula.

Antara AKAL dan NAFSU. Pertarungan ini hanya dimenangi jika manusia bersandarkan IMAN. Jika tidak manusia sama sahaja seperti haiwan, tidak menggunakan akal dengan betul. Pembaziran masa adalah perkara yang sangat merugikan. Dan hanya syaitan yang suka pembaziran. Masa itu ibadah. Semoga Allah memberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk kita sama-sama mengikut perintahNya. InsyaAllah...

Sedang Nabi melewati anaknya Fatimah RA yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka Baginda bersabda :

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari." (Diriwayatkan al-Baihaqi)

READ MORE

SOLATLAH WALAU TERPAKSA!


Liatnya kita untuk solat berjemaah di surau. Bangun pagi pun lepas azan suboh. Bila bulan Ramadhan semangat betul kita bangun awal, bersahur, solat sunat tahajjud dan ibadah yang lainnya. Namun kini, atas nama kesibukan kita pun larut dengan raja kemalasan.

Lalu tepi surau, pandang sebelah mata sahaja.

Usahlah persoalkan bilangan si hawa yang solat di surau, mari kita kira dahulu berapa batang tubuh kaum adam yang sanggup bermujahadah mendisplinkan diri solat di surau? Konsisten dalam jejak-jejak menuruti panggilan azan di surau?

Mereka ini bagai jejaka idaman yang paling termahal di abad ini. Susah nak jumpa orang macam ini lagi. Bagai terpupus ditelan dek duniawi. Bukan sahaja disukai ramai, malah Allah lebih suka dahulu kepada mereka.

Sabda Nabi SAW : "Solat bersama orang lain lebih baik daripada solat sendirian. Solat bersama dua orang lebih baik daripada solat bersama seorang. Semakin banyak (yang solat) semakin disukai Allah Azza wa Jalla. [Sunan Abu Daud: 467., Sunan an-Nasai: 834, Musnad Ahmad: 20312, Al-Mustadrak: 3/269 dan Sahih Ibn Khuzaimah:1477]

Kita akui, waktu kelas dan kuliah kita, tidak mengizinkan diri hadir di rumah Allah. Kita akui, setelah lama tidak menjejaki surau, kita agak segan nak pergi rumah Allah itu. Kita akui, hati sudah tawar, tidak cinta, tidak teruja untuk mencari ketenangan di rumahNya. Kita lebih suka solat di bilik sendirian. Memencilkan diri tanpa ghairah untuk mengejar pahala 27 kali ganda.

Sabda Rasulullah SAW "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tapi tahukah kita?

Di Palestin, bilamana solat Subuh jemaahnya sama bilangan hadirin yang hadir ke solat Jumaat! Subuh dengan dua kali azan, yang mana azan pertama untuk mengejutkan penduduk sekitar bangun bertahajjud, dan azan kedua untuk memanggil mereka keluar menuju masjid.

Mereka sangat menggiurkan kecintaan kepada Allah mengatasi kecintaan mereka kepada tidur dan mimpi. Tidak seperti kita. Enak dibuai mimpi indah dengan tilam yang empuk. Maka, tidak hairanlah, tiada apa yang dapat menghalang ummat Palestin melainkan kecintaan kepada syahid.

Buat kaum adam! Wahai kaum muslimin!

Terutamanya buat pemimpin negara atau pemimpin keluarga, solatlah berjemaah selagi mana berpeluang melakukannya. Jangan pernah meninggalkannya. Kerana solat berjemaah ini sumber kekuatan ummat Islam, ukhuwah pasti terikat dengan solat berjemaah. Mungkin sesekali kita terasa sebagai beban yang menyusahkan, tapi percayalah suatu hari nanti bila kita sudah tidak berpeluang, maka kita pasti akan rindukannya. Solatlah sebelum kita disolatkan.

Buat ahli harakah! Wahai ahli jemaah!

"Tanda mudah Yahudi boleh dikalahkan apabila terdapat di seluruh dunia umat Islam turun solat Subuh seperti mereka turun solat Jumaat yang seminggu sekali itu. Adakah sepenuhnya umat Islam sudah turun solat Jumaat? Ia dirasakan tidak."

Tanpa menunggu kedatangan Imam Mahadi, Yahudi Israel akan dapat dikecut-perutkan. Kalau Subuh tidak dapat dijadikan seperti Jumaat, satu demi satu bumi Islam menjadi bumi Yahudi atau menjadi orang yang diredai oleh Yahudi!

Usah bermimpi membina bi'ah solehah di kampus. Tak perlu berangan menegakkan daulah islamiyyah di negara ini andai solat berjemaah masih lagi lemah, tidak terjaga. Solat suboh berjemaah kita tidaklah segah apa yang kita ikrarkan. Andaikata kita ini begitu hebat dalam berorganisasi dan pelajaran, malangnya kita tidak melazimi solat jemaah, sebenarnya kita masih lagi tidak hebat. 

Segala yang kita war-warkan dalam kelas mahupun dalam mesyuarat hanya akan mendatangkan beban kepada diri sendiri, tiada izzah yang keluar dari tiap tutur bicara kita. Kerana daripada solat berjemaahlah kita boleh displinkan diri sekaligus membentuk peribadi muslim.

Benar!

Memang tiada nas yang jelas tentang alahnya, takutnya Israel apabila solat Subuh sudah seperti solat Jumaat. Ia bukan satu keyakinan seperti menunggu turunnya Imam Mahadi. Tetapi ia adalah satu semangat dan kepercayaan, Islam dapat dibangunkan bermula dengan menjadikan solat Subuh seperti solat Jumaat!


Ayuh! Mari kita jaga solat berjemaah sedaya upaya. Ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara. Di antara didikan sembahyang, menebalkan rasa kehambaan dan menajamkan rasa bertuhan


Solatlah walau TERPAKSA!
"Sesungguhnya sedikit manusia yang memahami, lebih sedikit manusia yang memahami dan mengamalkan, dan tersangat sedikit manusia yang memahami, mengamalkan dan sampai ke tujuannya. Allah, berilah kami kekuatan untuk itu."

READ MORE

HADIRNYA HIDAYAHMU

Cubalah renungkan seandainya otak tersebut tidak memperolehi oksigen secukupnya, akibatnya akan sel otak mati. Kemampuan otak akan menurun, daya fikir menjadi lemah. Begitu pula daya ingatan menurun drastik dan kita menjadi cepat lupa. Akhirnya urat saraf menjadi rosak dan mati!

Tiada kata yang dapat dibicarakan. Melainkan hati dan perasaan yang merasa. Kuasa Allah SWT tiada siapa yang menduga. Hadirnya hidayah pengubat jiwa yang bergelora. Kerana hidayah itu milik Allah dan Dia lah yang memegang hati setiap kita.

Sungguh, tatkala manusia tersujud, baru dia tahu langit itu tinggi atau rendah. Baru dia kenal siapa pencipta siapa hamba abdi. Kisahnya sudah menjadi realiti, "Keajaiban sujud – Islamnya Dr. Fidelma". Beliau bukannya calang-calang orang, seorang pakar saraf (neurologist) di Amerika yang banyak membuat kajian mengenai sains di dalam Al-quran. Setiap pertanyaan dari segi logik akal pasti ada jawapannya di dalam Al Quran dan hadis.

Allah SWT tidak mensyariatkan sesuatu tanpa kebaikan dan manfaat kepada hambaNya, sebagaimana Dia tidak menciptakan sesuatu dengan main-main dan dengan cara yang batil. Firman Allah, "... (Iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksaan api neraka." - (Ali-Imran: 191)



1. BAWA DARAH KE OTAK, BAGAIMANA?

Timbulnya penyakit pada umumnya disebabkan kerana peredaran darah yang tidak lancar. Pembuluh darah yang menyempit adalah salah satu penyebabnya. Olahraga dan sukan adalah salah satu jalan untuk meningkatkan kerja jantung yang optimal.

Sebab apa?

Jantung akan mengepam darah dengan kuat sehingga oksigen boleh disalurkan keseluruh bahagian tubuh. Aliran darah dapat diibaratkan sebagai aliran sungai. Jika sungai tersebut mengalir dengan lancar, maka air itu pun akan bersih, bening, tidak kotor dan bau.


Air yang kotor dan bau merupakan tanda-tanda rendahnya kandungan oksigen didalamnya. Ikan pun susah untuk hidup dengan normal, bahkan lebih banyak mati. Berbeza pula dengan air yang mengalir, banyak kehidupan di dalamnya.

Pelbagai ikan dan haiwan akan tumbuh dan berkembang dengan baik. Termasuk juga tumbuh-tumbuhan akan hidup dengan menghijau dan subur. Begitulah dengan darah yang mengalir lancar, akan memberikan kehidupan yang baik bagi tubuh manusia. Sel-sel badan akan berkembang, dan sel yang mati akan segera dibuang bersama dengan pengaliran darah.

Itulah salah satu manfaat peredaran darah.
Tetapi tahukah anda bahwa ada bahagian saraf yang berada dalam otak tidak boleh dialiri oleh darah?!

Kecuali?
Dalam keadaan sujud atau solat.

Kenapa? Bagaimana?

Posisi jantung yang letaknya berada di kiri dada tidak cukup kuat mengepam darah untuk sampai keseluruh bahagian otak. Otak berada di atas sedangkan jantung berada di bawah. (Bagi saya ini bertepatan dalam logik fizik dalam hukum graviti)

Posisi sujud yang menempatkan kepala berada di bawah dan jantung berada di atas, membuat darah mengalir dengan deras keseluruh bahagian otak. Seperti kereta yang bergerak pada jalan yang menurun, akan melaju dengan cepat walaupun minyak tidak diperah.






ALLAHUAKHBAR! HEBATNYA SUJUD!

Begitu pula dengan darah.

Mengalir cepat dengan membawa oksigen yang diperlukan oleh seluruh bahagian tubuh manusia. Inilah salah satu manfaat sujud!

Ternyata Allah memerintahkan solat bukan hanya sekadar beribadah semata, melainkan untuk kemaslahatan hidup manusia itu sendiri.

Menurut Prof Hembing, jantung hanya mampu mengepam darah sebanyak 20% kebahagian otak, sedangkan 80% lainnaya hanya dapat dilakukan pada waktu sujud atau solat.

Dengan demikian sewajibnya kita bersyukur kepada Allah SWT, kerana diperintahkan untuk solat. Bukan sebaliknya, bermalasan untuk solat, bahkan sebahagian kaum muslimin ada meninggalkannya sama sekali.

Cubalah renungkan seandainya otak tersebut tidak memperolehi oksigen secukupnya, akibatnya akan mati. Kemampuan otak akan menurun, daya fikir menjadi lemah. Begitu pula daya ingatan menurun drastik dan kita menjadi cepat lupa. Akhirnya urat saraf menjadi rosak dan mati!








ISLAM BUKAN HANYA IBADAH SEMATA

Seperti yang telah disebutkan sebelumnya, bahawa ada sebahagian saraf yang berada di dalam otak tidak pernah dialiri oleh darah yang membawa oksigen kecuali saat orang tersebut dalam posisi sujud. Hal ini sama dengan hasil penelitian Dr. Fidelma, seorang pakar saraf dari Amerika yang beragama Kristian!

Doktor tersebut sangat kagum terhadap hasil penyelidikannya. Aliran darah hanya dapat tersebar keseluruh bahagian otak hanya dalam keadaan sujud. Penyelidikan tersebut akhirnya membuka hatinya untuk mendapat hidayah, iaitu mengakui ketinggian dan kebenaran ajaran Islam. Penyelidikan tersebut mempengaruhinya untuk berhijrah ke agama Islam!

Inilah salah satu bukti kebesaran dan keagungan Allah melalui ajaran Islam yang mulia!

Seluruh ajaran atau syariat Allah selain dilakukan sebagai bentuk ibadah, ia juga merupakan berkat dan rahmat untuk kemaslahatan hidup manusia. Solat yang diperintahkan merupakan anugerah yang amat besar yang harus disyukuri, bukan ditolak dengan meninggalkanya!

Sesungguhnya, solat menjadikan seseorang menjadi sihat dan segar. Solat menjadikan otak manusia menjadi luar biasa, cerdas dan kuat. Orang meninggalkan solat bererti telah merosakkan fizikalnya sendiri. Orang yang meninggalkan solat bererti telah menzalimi diri sendiri.

Kerana apa?

Kerana akan menyebabkan kerosakan dengan tanda-tanda seperti cepat pusing, sakit kepala, cepat marah dan timbulnya stress. Semoga kita dijadikan sebagai hamba Allah yang mendirikan solat dengan sabar dan syukur. InsyaAllah.

Wahai Tuhan ku...

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan itu (apabila) aku disuruh dan aku adalah tergolong dari golongan Islam"


READ MORE

SOLAT YANG SIA-SIA



Mengapa ramai orang solat tapi sia-sia?

Sudah sempurnakah solat kita?

Bagaimana usaha-usaha agar solat kita khusyuk dan diterima?

Nilailah solat kita hari ini. Adakah solat yang dilakukan sehari-hari masih terasa berat dan membebankan? Apakah matlamat solat jika solat 5 waktu telah ditunaikan, namun masih lagi melakukan dosa-dosa seperti menzalimi orang, mengumpat, tidak menutup aurat dan berjudi? Justeru, adakah solat tidak memberi kesan dalam jiwa kita.

Sudah sampai masanya kita menilai kembali solat dan mencari semula kemanisan dalam ibadah solat. Jangan biarkan solat yang kita lakukan sekadar solat yang sia-sia. Nauzubillah jika solat yang dilakukan berpuluh tahun itu menjadi solat yang tidak diterima di sisi Allah.

"Jika diri aku yang sudah menginjak ke usia 23 tahun, maka selama aku hidup, selama aku solat hanya sia-sia alangkah ruginya aku! Celakalah aku!"

Tidak ada seorang mukmin pun yang mengingkari wajibnya solat. Ini kerana, ia merupakan sebuah kewajipan, maka kita harus melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Namun, kita sering mendapati sebahagian orang melaksanakan solat sambil lewa, dalam erti kata, tidak memenuhi aturan yang telah ditetapkan dan diajarkan di dalam islam.

Hasilnya, kewajipan solat yang yang dilakukan hanyalah sia-sia nilainya di mata Allah SWT. Barangkali dia tidak mempersiapkannya sebaik yang mungkin sama ada zahir dan batin, tidak memasang niat dengan baik, tidak memahami tujuannya atau tidak memenuhi rukun-rukun wajib solat.


Bersama muhasabah diri semula.

Bagaimana dengan solat kita?
Sudahkah kita bersedia untuk melaksanakan solat dengan sempurna?
Sempurnakah solat kita selama ini?

Solat itu tiang agama. Tanpa solat yang kukuh maka akan runtuhlah tiang agama. Jangan bertangguh untuk memperbaiki solat kita. Lakukan anjakan paradigma yang terbaik dalam menjadikan solat sebuah ibadah yang sempurna, khusyuk dan sebagai bekalan amalan soleh yang akan dibawa ketika menghadap Tuhan Maha Pencipta.





~ Bersama menjadi seorang hamba yang melaksanakan kewajipan solat dengan sebaik mungkin melalui persiapan zahir dan batin, meraih nikmatnya solat dan menghindarkan diri daripada solat yang sia-sia.

READ MORE

HATI INI TERHARU DENGAN JAWAPANMU. TERIMA KASIH UNTUK ITU.

Berusahalah. Berusahalah. dan berusahalah mendapatkan solat yang khusyuk lantas diangkat ke langit dan diterima oleh Allah SWT. Sesungguhnya amalan yang pertama sekali dihisab di akhirat kelak ialah SOLAT kita.
Beringatlah selalu wahai hati.......


Jika kita cek balik diri kita banyak benda tak betul. Kalau ilmu di dada pula sepertinya ilmu feqah zero, ilmu tauhid minus 3, ilmu tasawwuf lagi minus 10, akhlak plus 1 sahaja, sedangkan semua ilmu itu kita pernah belajar ketika sekolah dulu. Kita lupa ilmu tersebut sebab kita tak amalkan.

Apatah lagi ilmu solat yang kita amalkan, praktiskan setiap hari 5 kali. Adakah solat tersebut berjaya atau sudah mampu membendung, mencegah, mahupun menjadi perisai kepada perkara maksiat dan dosa? Adakah solat tersebut mampu melenturkan diri kita menjadi seorang mukmin yang takut dan cinta kepada Allah.

Susah. Susah. Memang susah! tetapi berusahalah...tetaplah berusaha tanpa jemu. Sedangkan Allah tidak melihat kesan/hasil malah Allah mengira setiap usaha yang kita gigihkan dengan penuh kesabaran.

Itulah tarbiyyah (didikan) yang berharga daripada Allah SWT.





MARI INGAT SEMULA

Sudahkah kita ketahui faedah pertama dari solat? Mari cek balik.

1. “Mensucikan hati daripada segala dosa seperti penyakit-penyakit hati” : kerana pada solat itu kita menghayati kerendahan diri kita, berhajatnya dan terasa hina dan dina hati kita kepada kehebatan kebesaran Allah SWT. Sebabnya jiwa dan nafsu yang terkandung di dalam diri, karakter atau sifatnya adalah selalu ingin meninggi, takabur dan ingin megah. Maka dengan penghayatan di atas tadi di dalam solat, sucilah hati kita dari segala macam keaiban.

2. “Membuka pintu rahsia dari alam jabarut” : apabila kita hayati solat itu dengan khusyuk, ikhlas serta dengan penghayatan Al-Ihsan, Insyaallah rahsia dari alam yang tidak kita lihat dan rahsia kebesaran Allah akan disingkap dan dibukakan oleh Allah buat kita.

3. “Tempat munajat terhadap Allah” : Faedah ketiga yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Athaillah Askandary. Beliau merumuskan dalam Hakikat Kalam Hikmahnya yang ke-119 bahawa :

“Solat itu merupakan tempat berbisik-bisik (munajat) antara hamba dengan Allah SWT dan tambangan sesuatu yang sifatnya suci. Dalam solat terdapat berbagai lapangan rahsia dan begitu bersinar di dalamnya dengan berbagai sinar cahaya.”

Penjelasannya?

Dalam solat seseorang hamba dapat berdialog dengan berbisik, antaranya dengan Allah, dia membisikkan segala sesuatu kepada Allah melalui zikirNya, bacaannya yang diikuti dengan hati dan perbuatannya. Sedangkan tanggapan bisik yang sifatnya dialog itu dari Allah SWT.

Allah memberikan pemahaman ke dalam hati hambaNya sekalian dan membuka pada hati hambaNya rahsia-rahsia alam malakut dan jabarut sesuai dengan ukuran limpahanNya, melihat kepada besar kecilnya penghayatan hamba itu dalam pelaksanaan solatnya.

Inilah pengertian Hadis Nabi SAW yang berbunyi :

“Orang yang melakukan solat itu bererti berbisik-bisik yang bersifat dialog (munajat) terhadap TuhanNya.”

Dan inilah pula pengertian yang dapat kita fahami dari sabda Rasulullah SAW dalam Hadis Qudsi :

“Allah telah berfirman : Aku bahagikan solat itu antaraKu dan antara hambaKu dan berhaklah bagi hambaKu apa-apa ia mohonkan.


Apabila hamba itu berkata: Al-Hamdulillaahi rabbil ‘alamin
Allah menjawab: Aku telah dipuji oleh hambaKu.


Kemudian apabila hamba itu mengatakan : Arrahmanirrahiim
Allah menjawab: HambaKu telah memuliakan akan Daku.


Kemudian apabila dia mengatakan : Maaliki yaumiddiin
Allah menjawab : HambaKu telah menyerahkan (kedaannya) kepadaKu.


Kemudian apabila dia mengatakan: Iyyaaka na’budu wa iyyaka nasta’in
Allah menjawab: Inilah antaraKu dan antara hambaKu (dia menyembahKu dan Aku membantunya).


Kemudian apabila dia mengatakan: Ihdinash-shiraathal mustaqim, (hingga akhir ayat)
Allah menjawab: Inilah buat hambaKu dan berhaklah bagi hambaKu apa-apa yang ia mohonkan.”



Terharu kita.
Seronok bukan bila kita sudah tahu akan jawapan-jawapan Allah kepada setiap lafaz yang kita ungkapkan?
Ibarat seorang kekasih yang sedang seronok berbalas sms dengan pasangannya.

Dengan demikian maka jelas bahawa kita bersolat, ertinya bermunajat kepada Allah, memohonkan pendekatan diri kita kepadaNya. Mantaplah kecintaan hati kita itu, yang mana bersih daripada kekeruhan, kekerasan, sehingga bersambunglah kecintaan kita dengan Allah yang kita cintai dalam keadaan kemurnian dan kesucian.

4. “Tambangan atau tempat kesucian hati dan jiwa” : oleh sebab itu maka munajat kita dalam solat bertolak daripada hati yang suci dan jiwa yang murni. Kesucian hati dan kemurnian jiwa adalah lebih tinggi dan lebih halus daripada munajat itu sendiri. Kerana itulah maka salah seorang ahli fikir Islam dan Tasawuf bernama Umar Ibnul Faaridh (1180-1234H.) kelahiran Kaherah mengungkapkan syairnya sebagai berikut :

“Dan sungguh benar aku bersunyi diri serta yang tercinta, dan antara kami rahsia yang lebih halus dari angin segar apabila berhembus”.

Inilah kesucian hamba terhadap Tuhannya sehingga Dia tidak mempertaruhkan hambaNya kepada lainNya. Apabila jalinan kesucian ini telah sempurna dan kecintaan dari hamba kepada Allah merupakan kecintaan yang agung, barulah jiwa si hamba dibersihkan Allah dari segala macam hijab dan terbukalah pintu antara hamba dengan Tuhannya. Pada waktu itu jiwanya tidak sempit lagi menghadapi segala macam ujian.

5. “Keluasan lapangan berbagai rahsia dari alam maya” : kerana jiwa orang bersolat telah merasa tenang dan senang. Ia dapat berfikir dalam keluasan cahaya dari jiwa itu sendiri berkelana dalam alam malakut dan alam jabarut.

6. “Terpancar padanya cahaya rahsia Dzat Allah dan cahaya daripada sifat-sifat Allah” : dengan demikian terarahlah penghayatan batin seorang hamba kepada Allah sehingga ia lupa selainNya. Ini disebut dengan “Al-Fana”. Dan kerana sifat-sifat Allah mempengaruhi batinnya maka dia lupa dia adalah manusia dan inilah yang disebut dengan “Al-Baqa”. Maka di satu sudut dia sangat berpegang kepada Hablun minallaah dan di sudut lain dia tidak meremehkan Hablun minannaas.




MUHASABAH DIRI

Alangkah indahnya solat, pada lahiriahnya memanglah merupakan perintah Allah wajib terhadap hamba-hambaNya. Tetapi pada hakikatnya solat merupakan hubungan yang intim dan indah antara hamba dengan yang Maha Pencipta. Maka solat itu nilai dasarnya merupakan kesyukuran kita selaku hambaNya, yang dibezakan Allah dari makhluk-makhluk lainnya, sehingga jadilah kita ini sebagai khalifahNya, khususnya di atas permukaan bumi ini.

Semoga keindahan solat dapat kita rasakan dengan izin Allah dan redhaNya. Amin.



Sumber: Buku Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf (Al-Hikam) oleh Prof. Dr. K.H. Muhibbudin Waly


p/s : ini perkara/ilmu pertama yang saya belajar di pondok buruk itu...tentang solat dan ketenangannya.

READ MORE

THE MOST POPULAR POST