TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label FIKRAH. Show all posts
Showing posts with label FIKRAH. Show all posts

ROH UMMAH SUDAH TERCABUT


Dahulu kita sangat bangga dengan pencapaian umat islam. Mana tidaknya, 2/3 dunia pernah kita takhluki. Zaman kegemilangan islam melahirkan para cendiakawan, agamawan dan masyarakat yang berilmu. Orang bukan islam sangat tertarik dengan layanan baik yang diberikan oleh pemerintah dan masyarakat islam. Tetapi kini sudah berubah.

Umat islam tidak seperti sejarahnya. Mereka lebih cintakan dunia daripada menjejaki syurga. Mereka memakai tudung tetapi seolah-olah bertelanjang bulat. Mereka berkahwin dan beranak pinak tetapi keturunan mereka dibenci oleh Allah. Mereka menjadi ketua dalam keluarga tetapi tidak pernah menegur dan saling memperingati ahli keluarganya.

Bagaimana orang bukan islam hendak tertarik? Mereka keliru. Islam agama yang sempurna. Mengapa tidak umatnya?

Penganut agama islam adalah cerminan kepada agamanya. Jika akhlak, ibadah dan penghayatan islamnya hilang jadi ada apa dengan kalimah syahadahnya? Ada apa dengan puasanya? Hari rayanya? Sekadar sambut-sambutan untuk menzahirkan syahadahnya yang semakin goyah.




ROH UMMAH SUDAH TERCABUT

Umat islam sudah kehilangan roh yang sempurna. Apakah roh umat islam? IslamLah roh mereka. Islamlah kekuatan mereka. Roh mereka tidak sempurna jika islam mereka tidak sempurna. Roh yang sempurna dapat dihasilkan dengan mengambil islam secara keseluruhan seperti firman Allah dalam surah al Baqarah ayat 208 “ wahai orang-orang yang beriman , masuklah ke dalam islam secara KESELURUHAN…”

Kesempurnaan roh akan memberikan kekuatan yang luar biasa kepada pemiliknya. Pemiliknya akan mampu menghadapi segala mehnah dan tribulasi tanpa masalah. Cabaran iman pada abad moden ini begitu sadis dalam erti kata lain propaganda untuk memurtadkan umat berlaku secara halus dan perlahan-lahan tanpa sedar.

Iman mereka saban hari saban terhakis!

Seperti mana sahabat Rasulullah SAW dahulu, mereka tidak pernah merasa lemah di hadapan manusia dan mereka mampu menguasai dunia, islamlah yang telah memuliakan mereka di hadapan manusia kerana mereka yakin segala sesuatu yang wujud adalah datangnya dari Allah SWT. Setiap cabaran dan rintangan yang mereka hadapi adalah merupakan ujian dari Allah yang akan menambahkan iman mereka. Mematangkan mereka dan menambahkan pengertian mereka tentang hakikat kehidupan yang sebenar.

Zaman seperti sahabat Rasulullah SAW pasti akan kembali semula. Kebangkitan islam pada akhir zaman adalah janji Allah. Namun, persoalannya siapakah umat islam itu?

Adakah kita akan menjadi perintis dalam pergerakan revolusi tersebut? Ataupun kita hanya menjadi penonton sahaja? Renung-renungkan.

READ MORE

KENAPA IC KITA ISLAM?


Persoalan :

1. Mengapa orang islam ada yang bertudung dan ada yang tidak bertudung? Ada yang solat dan ada yang tidak solat?
2. Mengapa agama islam sangat sempurna tetapi tidak penganutnya?
3. Mengapa orang bukan islam tidak tertarik dengan islam sedangkan agama islam cukup indah dan agama yang terbaik dari semua hal?
4. Mengapa islam dipandang enteng dan buruk di mata masyarakat?

Bagi saya persoalan-persoalan ini saling berkait, iaitu menyentuh bab akidah dan iman. Tengok IC agama islam, tengok empunya tiada persis keislamannya. Mengapa?

Kita perlu tanya pada diri semula, "kenapa IC kita islam?"



ISLAMNYA KITA

Apabila kita telah dilahirkan dalam Islam, kita telah secara langsung terikat untuk berada di dalam lingkungan agama suci itu, dan menjadi penganutnya hingga hujung nyawa. Ini kerana, Islam adalah agama yang akhir dan benar yang akan membawa penganutnya ke destinasi terakhir yang kekal abadi, syurga.

Sepatutnya kita merasa beruntung apabila dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam, kerana melaluinya kita belajar mengenal Tuhan. Sebagai seorang Islam, kita mempunyai Al-Quran sebagai panduan utama yang merangkumi kesemua perkara dengan lengkap. Kita juga punya hadis-hadis sahih untuk dijadikan pegangan dan tauladan dalam menjalani kehidupan seharian.

Jadi soal mengapa mereka yang telah dilahirkan sebagai Islam tetapi tiada perwatakan sebagai seorang penganut islam sepatutnya difahami. Kerana pada dasarnya agama Islam itu sendiri telah sempurna dan lengkap, seperti firman Allah SWT :

"Dan pada hari ini telah Aku sempurnakan agama kamu, dan Aku redha Islam itu menjadi agamamu" (Al-Maidah:3)

Malah islam sesekali tidak pernah memaksa penganut agama lain untuk memasuki islam. Tidakkah ia melambangkan betapa mulianya agama yang kita anuti?

"Tiada paksaan untuk memasuki Islam" (Al-Baqarah : 256)



AGAMA NADI KEHIDUPAN

Agama akan membentuk akidah yang sahih. Agama melatih melalui ibadah yang berterusan dan kesan kehidupan beragamalah akan melahirkan akhlak mulia. Akidah, ibadah dan akhlak merupakan ramuan penting kerana gabungan inilah yang akan membentuk tanggungjawab seorang hamba yang istiqamah dalam mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya SAW.

Justeru, kita wajar menjadikan agama sebagai batu asas dalam soal membuat setiap pertimbangan kehidupan. Jika kita salah memilih jalan, maka kita akan tersesat. Segala urusan yang kita lakukan seharian, serba tidak kena.

Sebagai contoh :

Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina atas kepentingan diri masing-masing.

Tanpa iman, maka tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Jika kita pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, maka kita akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan.

Sebab itulah kita sering diingatkan supaya berhati-hati dalam setiap langkah kehidupan. Lahirnya jiwa yang baik akan membawa kebaikan, sebaliknya jiwa yang jahat membawa kemudaratan kepada empunya diri.

Sekejap level high
Sekejap level low.

Memang tidak stabil.
Hakikat Iman manusia ada TURUN NAIKnya

“ Wahai Tuhan yang sentiasa membolak-balikkan hati, Engkau tetapkanlah hati ini di dalam agamaMu ”.  Bila Allah sentiasa di dalam hati, setiap perkara akan menjadi ringan dan mudah. 

READ MORE

DRAFT IDEA : FORUM BLOG "AWESOME"

"Ilmu yang difahami dan diingati akan hilang akhirnya, tetapi ilmu yang DIFAHAMI dan DITULIS, maka yang ditulis akan berkekalan sepanjang zaman (Imam as-Syafie)  




1.Apakah perkembangan diri saudari sebagai seorang pelajar perubatan dan bagaimana saudari membahagikan masa antara pelajaran, ‘blogging’ dan tanggungjawab lain sebagai seorang muslim?

Sekarang saya sedang berpraktikal di Pusat Perubatan UKM (PPUKM) atau lebih dikenali Hospital UKM, Cheras oleh masyarakat setempat. Cintakan universiti bagi saya tidak cukup dengan belajar sahaja. Saya, kita patut menyumbang sesuatu. Jadi selain menjadi pelajar, saya juga aktif berpersatuan dalam Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) sebagai Exco Kebajikan Fakulti Perubatan PMUKM.

Dalam pengurusan masa pula, apa yang boleh saya kongsikan bersama adalah perkara yang paling penting niat. Minat tanpa niat hanya sia-sia. Niat tanpa minat boleh sahaja menjadi. Jika niat kita hanya suka dan main-main, sesuatu perkara itu tidak akan kekal lama dan boleh jadi membawa kemudharatan seperti leka dengan kewajipan sebagai seorang hamba, pelajar, anak dan sebagainya.

Sebaliknya, jika niat kita benar-benar ikhlas lillahi ta'ala. Jiwa kita tetap, matlamat telah dipasakkan sekuat hati. InsyaAllah Allah akan permudahkan apa jua urusan hamba-Nya. Sama ada untuk berkongsi, meringankan stress, mengajak ke arah kebaikan atau pun berdakwah, blog sememangnya adalah pilihan tepat untuk digilai.

Memetik hadis popular Nabi SAW "Sampaikanlah dariku walau satu ayat!". (Hadith Riwayat Al-Bukhari) Walau satu ayat! Bukankah Nabi kita sendiri telah memberi kata-kata semangat? Mengapa tidak kita sahut?

Walaupun suatu hari, blog kita akan menjadi sarang labah-labah atau sarang tikus menternak. Di atas pacakan azam, di atas dasar kesedaran tanggungjawab beragama, kita akan menulis blog juga, khasnya. Umumnya, tidak kira menulis di Facebook, Twitter, majalah dan sebagainya.



2. Pada pandangan saudari, di manakah indahnya Islam sehinggakan saudari sanggup menghabiskan masa untuk menghasilkan blog yang menceritakan tentang Islam itu sendiri?

Indahnya islam kerana sifatnya yang syumul iaitu menyeluruh, tidak hanya tertakhluk kepada ilmu perubatan sahaja. Saya boleh menulis sesuka hati saya. Sama ada luahan hati, motivasi diri, tazkirah, isu semasa sekali pun politik. Dan saya rasa sangat seronok. Bukankah ilmu Allah itu cukup luas?

Bagi sesiapa yang sudah melawat blog saya, pasti tidak percaya atau tertanya-tanya betulkah pemilik blog ini seorang pelajar perubatan? Alhamdulillah, komen saya terima setakat ini sangat memberangsangkan. Ada yang ucapkan tahniah, memberi kata-kata semangat sampai saya jadi teruja dan ada juga berkongsi masalah serta pandangan.

Dengan komen-komen beginilah memberi satu nafas dan dorongan untuk saya terus istiqamah. Saya akan balas komen-komen ini di dalam blog. Adakalanya dalam bentuk cerpen pendek, dialog atau artikel biasa. Yang terpenting saya pasti akan selitkan hadis atau firman walaupun hanya satu. Sebab kata-kata daripada langit tiada tandingnya berbanding kata-kata manusia.

Kita sudah terbiasa dengan tabiat bila ada masalah kita mengadu manusia, sedangkan itu bukan perkara pertama. Bak kata ayat 138, surah al imran " (Al Quran) ini adalah keterangan untuk manusia, sebagai petunjuk dan pengajaran bagi orang-orang yang bertaqwa."

Dan bila membaca ayat-ayat Allah biarpun berkali-kali, percayalah hati pasti menjadi lebih tenang dan terasa sangat aman.


3. Apakah teknik-teknik yang digunakan saudari bagi menyampaikan dakwah melalui penulisan saudari? Dan bagaimana saudari menarik minat remaja dan belia untuk membaca blog saudari?

Tidak banyak teknik yang saya gunakan, cuma saya suka buat poster. Saya mendapat ilham pun melalui gambar. Di sini bukan saya saya sehaja terkesan dengan menggunakan otak kiri dan kanan. Malah pembaca juga tertarik untuk membaca selanjutnya bile nampak poster atau gambar yang sweet, comel, cantik dan kata-kata yang merangsangkan.

Sesuai dengan jiwa remaja, saya sengaja melebihkan artikel tentang cinta, perasaan dan soal hati. Yang mana setiap hari termasuk saya sendiri, kita pasti bermain tentang persoalan-persoalan sebegini. Itu adalah fitrah. Suka atau tidak suka kita perlu terima jiwa kita sentiasa dahagakan peringatan seperti yang termaktub dalam surah al asr "berpesan-pesanlah ke arah kebaikan dengan kesabaran".

Tips termahal, menulis dengan hati bukan sahaja buat diri termotivasi bahkan boleh sahaja mengetuk pintu hati siapa sahaja. Yang tidak bertudung, boleh sahaja bertudung. Yang bertundung pendek, boleh sahaja bertudung labuh. Yang ingin berubah, boleh sahaja terus berubah. Semuanya kerja Allah. Hak insan adalah berdoa, berusaha dan bertawakkal.

Wallahu'alam.

READ MORE

APA STATUS DIA DI HATI SAYA?


Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha’ dan qadarNya serta kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya.( al-iman asasun binnajah )

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt. Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya.

"Terbuka mata hati memperlihatkan kepada kamu akan hampirnya Allah SWT. Penyaksian mata hati memperlihatkan kepada kamu akan ketiadaan kamu di samping wujudnya Allah SWT. Penyaksian hakiki mata hati memperlihatkan kepada kamu hanya Allah yang wujud. Tidak terlihat lagi ketiadaan kamu dan kewujudan kamu."

Hati kita ini kalau dekat dengan Allah SWT, semua pekerjaan yang di lakukan menjadi mudah. Dan apabila dugaan mendatang, kita boleh menanganinya dengan tenang dan sabar.

"Dan Ia (Allah) tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada." ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid)

Cuba kite bayangkan jika kita dekat dengan manusia dan cinta kepadanya melebihi cinta kita kepada Allah. Adakah manusia tersebut boleh membantu kita? Bolehkah memberi kita rezeki? Bolehkah memberi kita ketenangan apabila dalam keadaan susah mahupun senang?

Jawapannya tidak bukan?

Namun untuk berjiwa hamba, hati kita perlu bersih. Apabila hati sudah bersih maka hati akan menyinarkan cahayanya. Cahaya hati ini dinamakan Nur Kalbu. Ia akan menerangi akal lalu akal dapat memikirkan dan merenungi tentang hal-hal ketuhanan yang menguasai alam dan juga dirinya sendiri.

Renungan akal terhadap dirinya sendiri membuatnya menyedari akan perjalanan hal-hal ketuhanan yang menguasai dirinya. Kesedaran ini membuatnya merasakan betapa hampirnya Allah SWT dengannya. Lahirlah di dalam hati nuraninya perasaan bahawa Allah SWT sentiasa mengawasinya. Allah SWT setiasa melihat segala gerak-gerinya. Mendengar pertuturannya dan mengetahui bisikan hatinya.

Jadilah dia seorang Mukmin yang cermat dan berwaspada.

Namun, ya sahabat untuk berlegar di daerah ketuhanan, daerah kehambaan kena selesai dulu. Di antara daerah ketuhanan dan kehambaan, ada suatu daerah yang bukan daerah. Tidak lagi berlegar-legar. Disinilah berdirinya apa yang tiada, tidak lagi bicara, yang ada itulah terlebih terang dan nyata.

Kita ini ingin sangat hidup hanya untuk- Nya. Berdiri untuk- Nya. Makan untuk-Nya. Berjalan untuk-Nya. Bernafas hanya kerana-Nya. Bagaimanakah mahu mencapai tahap sebegini?

Bukanlah semudah menulis dan mengaturkan bicara. Cek semula apa status Dia di hati kita? Di mana kita meletakkan hak Allah dahulu sebelum hak hamba?

READ MORE

BENARKAH KITA BERKAWAN KERANA ALLAH?



Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat setia kepada perintah Allah, maka hal demikian itulah yang dikatakan bercinta kerana Allah.

Ataupun jika dia mencintai seseorang itu dan bersahabat dengannya kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk taat setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta kerana Allah.

Rasulullah bersabda : "Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai seseorang, tiada mencintainya melainkan kerana Allah."

Jika dia mencintai seseorang itu kerana membantunya dalam urusan keduniaan yang mana dengannya pula ia boleh mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk dalam bercinta kerana Allah.

Tetapi jika dia mencintai seseorang itu dan bersahabat dengannya kerana merasa senang berkawan dengannya. Dan dadanya terasa lapang bila duduk bersama-sama maka cinta serupa itu adalah cinta tabi', cinta biasa yang tiada kena mengena dengan Allah. Persahabatan itu timbul kerana kecenderungan diri semata-mata dan meskipun demikian ia tetap harus hukumnya, tidak lari daripada kebaikan.

Dalam satu kisah pula, hasil nukilan Imam al-Nawawi iaitu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Nasa'ie, Baginda berkata kepada salah seorang sahabat yang bernama Mu'az bin Jabal :

"Ya Mu'az demi Allah, sesungguhnya aku mengasihimu. Kemudian aku ingin berpesan kepadamu, jangan engkau lupa untuk membaca selepas solat doa berikut (yang bermaksud) ;" Wahai Tuhanku, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan mengelokkan ibadah untuk-Mu".

Lihat bagaimana Rasulullah SAW sendiri memberitahu Mu'az tentang kasih baginda sebagai seorang sahabat. Kemudian setelah itu baginda menunaikan tanggungjawab sebagai sahabat dengan memberi pesanan berkaitan doa yang amat baik dibaca selepas solat.

Itulah sikap seorang sahabat yang ikhlas dan inginkan kebaikan dunia dan akhirat bagi sahabatnya!

Ana sayang sahabat ana kerana Allah.
Kita berkawan. Kita bersahabat kerana Allah.

READ MORE

MENGAPA PERLU BERJEMAAH?



Ramai orang tertanya-tanya mengapa perlu terlibat kepada persatuan? Berintima’ kepada jemaah? Atau menjadi organisasi dakwah?

Analogi.

Situasinya sama ketika membeli insurans. Secara praktikalnya, insurans ini menaja lapisan-lapisan perlindungan yang hanya didapati apabila seseorang itu berada dalam organisasi dakwah.

Inilah kelebihannya.

Lapisan perlindungan ini mempunyai 2 benteng utama. Benteng pertama berada paling luar dan paling luas. Itulah dia HUBUNGAN manusia dengan organisasi dakwah berserta isinya.

Benteng kedua pula adalah benteng terakhir, lebih kecil daripada benteng pertama. Itulah dia diri manusia itu sendiri bersama dengan KOMITMEN dakwah dan tarbiyyahnya.

Berbicara tentang benteng ini, sangat sangat penting untuk kita fahami bahawa kedua-dua benteng ini amat berkait rapat. Andai rosak dan cacat salah satu daripadanya akan memberi impak kepada yang satu lagi.

Benteng pertama, iaitu hubungan manusia dengan organisasi dakwahnya berserta isinya. Isinya di sini merujuk kepada muslimin dan muslimat yang bersama menjadi penggerak kepada organisasi dakwah tersebut.

Keselamatan pada benteng ini bergantung kepada sejauh mana komitmen seseorang kepada aktiviti dakwah dan tarbiyyahnya. Ini termasuklah usrah, liqa’, rehlah, tamrin, mabit, khatibah, qiyam, aktiviti umum, khusus dan sebagainya.

Peleraian daripada program-program tarbiyyah dan dakwah akan meletakkan seseorang dalam situasi merbahaya, kerana dia dengan mudahnya akan terdedah kepada hasutan syaitan dan jatuh ke dalam gaung dunia yang dalam.

Hal-hal ini berlaku kerana kesibukan mengejar kelazatan dunia tanpa mengimani Pemiliknya dan memahami tuntutanNya, ataupun dia ditarik oleh hawa nafsu yang berkehendakkan bukan kepada ketundukan mutlak kepada Allah SWT.

Antara impak perkara ini, akan merengganglah hubungan ukhwah di antara individu. Alasan demi alasan dicipta untuk mengelak dirinya daripada terlibat secara langsung dalam mana-mana aktiviti tarbiyyah mahupun dakwah.

Pertemuan dalam liqa’ adalah antara medium yang membantu untuk meneguhkan semula kaki-kaki untuk terus berdiri tegap dan teguh di atas jalan risalah ini. Sekali-sekala tidak dapat hadir kerana kesibukan yang tidak dapat dielakkan mungkin biasa. Namun kekerapan ketidakhadiran kerana ketersengajaan adalah luar biasa.

Dengan begitu, akan memahitkan manisnya liqa’ pada hati seseorang, lalu dia tidak lagi mampu untuk komited menghadiri pertemuan rohaninya yang mana ukhwah juga terjalin dalamnya.

Andai benteng pertahanan terakhir ini seseorang tidak mampu untuk pertahankan, maka akan berlakulah kerosakan dan kelemahan pada benteng tersebut. Apabila hatinya bukan lagi untuk risalah dakwah ini, maka dia akan mencicirkan (futur) dirinya sendiri daripada terus bersama di atas gerabak risalah.

Sudah tentulah perjalanan gerabak risalah ini amat jauh dan tidak akan berhenti dalam masa yang terdekat. Kadang-kadang kerana tidak sabar untuk tunggu lama, kita memilih untuk turun daripada gerabak tersebut.

Impak lemah dan rosaknya benteng ini maka secara automatiknya akan memberi kesan besar kepada benteng luarnya tadi. Dia tidak lagi mahu bertemu dengan sahabat-sahabiah. Atau dia tidak mahu lagi pergi ke mana aktiviti-aktiviti dakwah dan tarbiyyahnya.

Dengan kata mudah, dia tidak mahu lagi ada kaitan dengan organisasinya. Akan merugilah dirinya.

Semoga Allah kekalkan hamba-hambaNya sifat sabar dalam kesibukan mempertahankan keimanan diri dan umat islam yang lain. Demi islam diri harus kuat dan istiqamah dalam gerakan.

“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keridhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (karena) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” [Al-Kahfi, 18:28]

Renungkanlah kata-kata ini :

"Setiap anggota mestilah menggabungkan diri dan berintima' dalam saf perjuangan. Dengan intima' ini kita menjadi orang orang yang berjihad dan bukannya mereka yang duduk tanpa berjuang bahkan menunggu sambil melihat sahaja perkembangan yang berlaku seperti firman Allah dalam surah As-Saff ayat ke-4.

Seluruh kekuatan intelek dan sumber harta benda bahkan masa dan kelapangannya diguna untuk meningkatkan kualiti dan daya juang sebagai seorang muslim yang melaksanakan tanggungjawab fardu 'ain dan fardu kifayah." - Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

READ MORE

JIKA TAHU AMANAH ALLAH



Kau harapan islam
Kesederhanaanmu mengecap kebahagiaan dunia
Kau ulama' teragung
Ketaqwaan dirimu
Itu yang merantai jiwa ummah




PERIBADI TOK GURU NIK AZIZ

Ku ukir rasa kagumku dengan adaptasi sebuah penulisan. Biarpun gambar ketika makan, tiadalah yang dapat ku gambarkan bagaimana kesederhanaanmu meruntun pelbagai jiwa. Biarpun tidak mengenalimu sebagai seorang pemimpin, tetapi dengan hanya melihat dari sudut sebagai seorang manusia, auramu sudah cukup untuk dikagumi.

Mengapa saat melihat wajahmu bagai ada 'nur' terpancar di sebalik kedut-kedut tua?
Mengapa ramai orang suka menatap gambarmu apatah lagi mengumpulnya sebagai koleksi peribadi?
Mengapa menatap gambarmu begitu mengasyikkan? Terlalu bermakna untuk dihayati.
Mengapa keperibadianmu tiada tolok bandingnya?
Mengapa kesederhanaamu digilai rakyat marhaen?
Mengapa manusia suka menjadikan dirimu sebagai idola mereka? Dari sejak kecil?
Mengapa dirimu menjadi bualan masyarakat dunia? Dihormati oleh pelbagai kaum dan agama?

Jasadmu sentiasa dikenali sebagai seorang Menteri Besar yang paling zuhud dan warak. Pada hampir setiap masa, di mana-mana sahaja, jubah dan serban tidak pernah ditanggal.

Cukup terpana apabila pengakuan dibuat "bersolat dalam keadaan gelap di pejabat kerana tidak mahu menggunakan duit kerajaan untuk kepentingan diri".


Pemimpin yang tahu amanah Allah padanya, tidak sibuk menghimpun harta. Malah lebih mudah menyelami kesusahan hati rakyat. Begitulah kerendahan hati Tok Guru Nik Aziz menjaga kebajikan rakyatnya persis Khalifah Umar Al Khattab.


Cukup terasa apabila rumahmu hanyalah sebuah rumah kampung biasa seperti yang dimiliki oleh rakyat kebanyakan. Rumah yang tidak berpagar sama sekali dan tiada pengawal keselamatan yang diupah untuk menjaga.

Cukup terpikat dengan kezuhudan yang hadir membasahi bumi serambi Mekah. Kelantan bangun bukan bersifat materialistik duniawi tetapi dengan bertunjangkan rohani dalam payungan keberkatan dan keredhaan Allah.

Biar! Biar rakyat miskin harta jangan sekali-sekali miskin ilmu. Biar rakyat kaya amal soleh. Umpama bintang-bintang di langit, kehidupanmu diteladani buat ikutan umat. Susah untuk mencari pemimpin zuhud di fatamorgana ini, semoga tok guru kesayangan dunia diberi kesihatan yang baik.

Semoga di hujung halkum gigih berjuang membangunkan Islam. Dan kami akan terus bersama demi menegakkan Islam di mata dunia.

Ayuh teman! Jalankan amanah kita. Begitu pentingnya memilih pemimpin yang adil, bersih dan amanah apabila di"highlight"kan yang pertama sekali daripada 7 golongan yang akan diberi perlindungan Allah kelak di dalam Hadis Muttafaq'alaih.


Sabda Baginda SAW : "Tujuh golongan yang Allah berikan lindungan kepada mereka pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan Allah ; pemerintah yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan beribadah kepada Allah...

Kenapa pertama sekali teman? Penting sangatkah?


Dr Mustafa Said al Khin dalam kitab Nuzhah al Muttaqin menjelaskan sebab di dahulukan pemerintah yang adil daripada selainnya ialah kerana banyak kebaikan yang berkaitan dengannya. 

Menjadi tanggungjawab asas kepada setiap pemimpin memastikan keadilan ditegak dan dipelihara kerana ia akan memastikan banyak kebaikan dapat dinikmati masyarakat. Banyak sabda baginda menyuruh pemimpin bersifat adil. Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Ahli syurga itu ada tiga golongan: sultan atau pemimpin yang adil serta mendapat taufik, lelaki penyayang dan lembut hatinya terhadap kaum kerabatnya dan orang Islam, dan orang tidak kaya yang mempunyai tanggungan banyak tetapi menjaga kehormatan diri dengan tidak meminta-minta." - (Hadis riwayat Muslim)

READ MORE

IDAMAN PARA JEJAKA



Jika ditelusuri dalam lembaran al-Quran, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting.

1. Wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.

2. Wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

3. Wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.

Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini.

Mereka adalah wanita contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan Islam. Sehubungan itu, Baginda Rasulullah SAW bersabda :

"Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia ; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun ; Maryam binti Imran, ibunda Isa ; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah SAW dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda." (Riwayat Bukhari)

Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah. Meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.

Maryam pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah. Wanita ini mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.

Manakala Khadijah pula adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam. Berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah.

Akhirnya, Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah. Anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya. Isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita dan juga seorang wanita mithali yang setiap detik kehidupan yang dilaluinya.

Sewajarnya dijadikan ikutan para Muslimah.

Demikianlah antara beberapa profil wanita Muslimah contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Apa yang paling penting ialah wanita yang bergelar isteri solehah. Menjadi pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya. Penyejuk hati ibu bapa dan saham akhirat yang pahalanya berkekalan, biarpun ibu bapanya lama meninggal dunia.

Dengan agamanya itu, seseorang ibu akan “mewariskan” segala ilmu agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat. Bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah.

Lantaran itu, agama inilah ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi seseorang hamba. Perhiasan akhlak terpuji, pengisi ruang kekosongan jiwa dengan keimanan dan ketakwaan. Pembimbing kehidupan ke arah keredaan Ilahi.

Wanita solehah.

Allah tidak selalu memberi apa yang kita harapkan, tetapi Allah memberikan apa yang Dia inginkan. Itulah jalan Allah.

READ MORE

BUKAN SEKADAR DOKTOR BIASA


Hijrah. Setiap hari adalah hari baru untuk sebuah kehidupan. Seorang mu’min yang beriman, hari ini semestinya lebih baik dari semalam. Statik bukan ciri orang mu’min, bahkan ia bersifat dinamik dan terus berkembang tiada hujungnya sehinggalah ia kembali kepada Tuhannya.

Justeru, hijrah adalah interpretasi kepada dinamiknya Islam. Dinamiknya ia, bukan ke arah kejatuhan sebaliknya yang dituntut adalah hijrah kepada kebaikan dan peningkatan selaras kehendak wahyu.

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

“ Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.” [Al-Bukhari & Muslim]


Begitulah sifat yang seharusnya didokong oleh sebuah gerakan Islam.

Diibaratkan kenderaan yang menjadi alat pengangkutan hijrah kita ke destinasi akhir. Kita sebagai pengemudi kenderaan, seharusnya bukan sahaja lengkap dengan ilmu bagaimana ingin mengendalikan enjin, tayar kenderaan, bahkan tentunya perlu jelas ke mana sebenarnya ingin dibawa kenderaan tersebut. Tiada guna, kereta yang punya enjin berkuasa tinggi lengkap dengan pelbagai aksesori, namun kerana buta dengan jalan, berakhir riwayatnya dalam gaung.

Kilang memproses doktor-doktor yang beriman dan bertaqwa adalah peluang terbesar. Produknya mempunyai potensi yang luar biasa. Tidak sama dengan produk doktor biasa-biasa. Kepuasannya terjamin.

Masakan tidak. Enjinnya adalah enjin terhebat di pasaran. Besi buatannya adalah yang termahal. Aksesorinya mengalahkan seluruh produk yang direka. Pendek kata, tiada satu pun kereta yang mampu mengalahkannya. Kini, tinggal sahaja siapa pemandu dan penumpangnya. Andai hebat pemandu dan penumpangnya, maka bertambah ‘gah’ kilang ini di seluruh pasaran dunia.

Begitulah harapan seorang doktor muslim.

Semestinya kita perlu mempunyai wawasan yang tinggi dan jauh. Jika rendah wawasan kita, maka usaha ke arahnya jua tidak sekuat mana. Sebaliknya, jika tinggi misi kita, automatik usaha dan ikhtiar kita akan lebih agresif dan bersungguh untuk sampai kepada wawasan yang dituju. Justeru kita melihat kebanyakan orang yang hebat, wawasan mereka bukan kecil-kecil, bahkan kadang-kadang tidak pernah terfikir pun oleh orang biasa.

Setiap orang berpeluang menjadi orang yang hebat. Apatah lagi kita sebagai orang Islam, tentunya ia adalah dituntut bagi meninggikan syiar agama Allah di muka bumi. Befungsi di posisi masing-masing. Pakar, ‘master student’, ‘medical officer’, ‘houseman’, ‘staff nurse’, pegawai farmasi dan kesihatan, kesemuanya ada potensi untuk menyumbang.

Kita mahukan, seorang professor yang boleh memberi arahan kepada ‘MO dan HO’ nya ketika pembedahan, untuk ‘unscrub’ dan pergi menunaikan solat. Kita mahukan, seorang ‘best student postgrad’ yang mengepalai ‘HO’ bertanyakan ibadah pesakit ketika ‘ward round’. Kita mahukan ‘excellent’ HO yang tidak mengabaikan waktu solatnya ketika berada di ‘labour room’. Kita mahukan semuanya menjadi yang terbaik, seiring kebaikan dunia dan akhirat.

Ayuh, tidak perlu lagi kita toleh ke belakang, hadapi hari ini dan bersedia untuk hari esok. Semoga hari-hari baru muncul dengan sinar yang lebih cerah. Behijrahlah!

Pastikan kita adalah yang terhebat! Hebat yang menyeluruh, mengikut acuan Al-Quran dan As-Sunnah.

READ MORE

SIAPAKAH WANITA PERTAMA MASUK KE SYURGA?




Perempuan dicipta untuk lelaki, dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam.

Allah tahu. Allah Maha Tahu. Adam tidak betah keseorangan. Lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri. Hawalah penghibur. Hawa jua racun berbisa. Bila mana iblis gagal menggoda Adam, lalu diganggunya Siti Hawa. Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa.

Lantas dicampakkan ke dunia. Dunia yang penuh kekejaman. Penuh noda. Penuh sengsara. Itulah wanita. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya.

Adam jatuh kerana Siti Hawa. Habil, dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga tersungkur kerana seorang wanita.

Begitulah. Hebatnya penangan seorang wanita.

Jangan disangka tangan yang menghayun buaian tidak mampu menundukkan dunia. Malah air mata jantan dan ketebalan ego sudah banyak tersungkur layu sujud di kaki seorang wanita.

Sejarah mempopularkan kehebatan wanita setaat Siti Muthiah. Cuba bayangkan. Bagaimana Saidatina Fatimah kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya.

Siapakah dia?
Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah SAW?

Dialah Siti Muthiah. Wanita agung yang sentiasa mentaati suaminya. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.

" Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?" Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain, dan sebatang rotan di sampingnya.

" Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku, dan anak-anak."

" Bagaimana pula dengan rotan?"
" Jika layananku tidak memuaskan hatinya, aku rela dipukulnya."
" Adakah dia sering memukulmu?"
" Tidak. Bahkan dia hanya memelukku di sisinya."
" Kamu memang layak masuk syurga," bisik hati Fatimah.

Akhirnya, Rasulullah SAW pernah bersabda :

"Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang, yang memelihara kehormatannya, yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya, yang menghormati suaminya, menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta, memelihara diri daripada pandangan orang lain, yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya. Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain." - (Riwayat Al-Tausi)

Subhanallah. Indahnya kejadian seorang wanita.

Tidak ada apa yang lebih manis dalam kehidupan ini melainkan apabila berjaya memperoleh kemanisan iman dan cinta Ilahi.

READ MORE

AKU "SINGLE" KERANA ALLAH


Aku single kerana Allah.

Bukan aku jual mahal. Sibuk atau cerewet memilih. Tidak pula aku takut bercinta atau belum bersedia. Aku juga bukan menunggu seseorang atau menanti calon pilihan ibubapa.

Aku tetap aku.

Cinta bagi aku bukan mudah untuk dilafazkan pada sesiapa, bila-bila masa, atau di mana jua. Perkataan cinta terlalu dalam, mahal dan berharga untuk diserahkan. Tidak ingin dikotori dengan debu hawa nafsu atau dinodai oleh cinta islamik yang palsu.

Aku khuatir cinta manusia moden. Bahkan cinta islamik.

Begitu murah. Mudahnya cinta diucapkan. Mudahnya bibir melafaz aku jatuh cinta padamu. Mudahnya menulis message cinta. Ironinya, cinta kerana Allah, tetapi hakikatnya?

Adakah manusia benar-benar mengerti. Benar-benar memahami takrif cinta kerana Allah?
Bagaimana kita mahu mengenal pasti cinta kerana Allah?

Benar. Hati orang bukannya boleh dibaca. Ada juga yang lebih mengenali orang lain daripada diri sendiri. Lalu tertanya sendirian, keliru dengan kehendak hati, lalu berteka-teki sendirian..

"Adakah aku benar-benar yakin bercinta dengannya kerana Allah?"

Tanyalah kepada diri.

Apakah dosa atau ketaatan yang telah dilakukan sehingga melayakkan diri menerima ungkapan "aku cinta dirinya kerana Allah!"

Ramai manusia tewas. Apabila berhadapan dengan lelaki atau wanita yang mengucapkan kata-kata cinta yang suci menggunakan nama Allah SWT, mereka lupa dan terburu-buru untuk melihat dan menilai dengan kaca mata iman.

Apakah ianya membawa fitnah dan kelalaian atau memberikan manfaat kebaikan dan menjauhkan diri daripada dosa? Apakah cinta tersebut mendekatkan diri kepada Allah? Benarkah cinta tulus dan ikhlas untuk disambut dan dibelai dengan kasih?

Aku percaya.

Allah mengurniakan cinta kepada manusia. Pasti bukan untuk disia-siakan. Sewajarnya, manusia perlu memurnikan kembali pandangan terhadap cinta.

Cinta bukan matlamat. Hidup ini bukan untuk cinta semata-mata. Cinta hanya alat. Allahlah segala matlamat.

Tidaklah Allah mengurniakan cinta itu, melainkan agar ia memudahkan manusia mencapai matlamat hidup kita.
Apa matlamat hidup kita?

"Dan tidak aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu." - (Surah Adz-Dzariyat, 51: 56)

Dan aku tetap aku.

Aku amat amat menghormati perasaan cinta dan hubungan terjalin antara adam dan hawa. Selagi bukan masanya, aku teguh berpegang bahawa "berfikir tentang umat berkali ganda lebih baik daripada berfikir tentang soal hati!".

Diceritakan suatu hari, Rasulullah sedang duduk bersendirian. Tetiba, baginda menitiskan air mata, menangis teresak-esak sehingga basah janggut baginda. Menyedari kejadian itu, para sahabat mendekati baginda dan bertanya mengapa baginda menangis. Lalu Rasulullah menjawab “Aku sedang memikirkan nasib ummatku”.

Begitu sekali Rasulullah memikirkan keadaan umat. Bandingkan dengan kita, apa yang sering bermain di fikiran? Di manakah letaknya agenda umat dalam kotak pemikiran kita? Mendahului kepentingan peribadi?

Inilah sikap dan pemikiran yang individualistik.  

Lupakah kita pada hadis nabi, ”Barang siapa tidak ambil berat urusan umat Islam, dia bukan dari kalanganku”?


Fikir jauh lagi. Berfikir secara futuristik.
Dan aku tetap aku. Aku single kerana Allah.

READ MORE

PERTAMA KALI SAYA LUAHKAN PERASAAN





Bismillahirrahmanirrahim. Dengan izin nama Allah, saya menulis artikel untuk kali ini dari hati ke hati. Ya. Dari hati ke hati. Walaupun bakal menjadi panjang lebar, tetapi bersabarlah membaca. Kerana saya perlu luahkan juga apa yang terbuku. Sudah lama saya simpan perasaan ini. Sekian lama saya memendam rasa.

Mungkin selama ini, ada sesetengah pembaca meluahkan hati, masalah dan kerisauan kepada saya. Jadi, kali ini tibalah giliran saya pula. Dengarlah isi hati saya pula. Saya ikhlas ingin mengajak pembaca rasa apa yang saya rasa. Faham apa yang saya fahami. Berfikrah seperti fikrah saya.





1. POLITIK. "Dulu berminat dengan blog Dr, selalu datang melawat menambah ilmu.. tapi bila dr dah mencampurkan isu poLitik, agak tersentap, dan semakin kurang rasa ingin menjejakkan kaki ke blog dr" :(

Saya tahu sejak akhir-akhir ini ramai tidak sudi berkunjung ke blog saya. Bukan sekali dua komen begini. Banyak kali. Ada yang menyindir. Ada yang kecewa membawa hati. Sedih. Geram. Memberontak.

Bila melihat situasi begini. Saya terkenang zaman di sekolah. Perasaan yang sama dilahirkan.

Rumah saya kecil dan sempit dahulu, hanya memuatkan saya dan abang untuk belajar di hadapan TV. Setiap hari saya mendengar berita di TV3. Tetapi saya kehausan. Mencari-cari sesuatu.

Ramai kawan pelik dan menyindir saya membaca Harakah. Gaya saya membaca Harakah lebih syok daripada membaca buku sekolah. Siap bergaris dengan pen merah dan mengamati satu baris ayat ke ayat lain. Berjam mengambil masa untuk menghayati Harakah.

Kalau orang lain sudah tentu bosan. Artikel yang panjang amat letih untuk dibaca. Tetapi saya cukup puas! Banyak informasi, ulasan, fakta, bukti dan hujah yang tiada di TV. Pantang saya kalau Harakah dijadikan bungkusan nasi lemak seperti Utusan. Cukup beza.

Hujah yang diselami ayat-ayat Al Quran begitu meyakinkan. Cukup dalam maksud tersirat di sebaliknya. Kebetulan saya pemidato sekolah. Menjadi habit saya membaca secara kritikal. Mengkaji bukti dan logik untuk berhujah.

Cuma peliknya di tingkatan 5, saya tak pernah buat "homework sekolah" tetapi saya suka buat homework rumah ini. Walaupun meja saya paling hadapan dan bertentangan dengan meja cikgu di kelas, saya tak pernah buat kerja rumah atau latihan Bahasa Melayu walaupun sesi pengajaran. Tetapi setiap peperiksaan Bahasa Melayu saya pasti dapat A dan kertas karangan saya diphotostat oleh kawan-kawan sekelas.

Saya berkongsi dengan kawan-kawan, pentas pengucapan awam seperti pidato, debat dan perhabasan menjadi kunci atau medium kejayaan. Bahasa Melayu hanya perlu banyak membaca mengikut etikanya. Maksudnya, membaca pelbagai sumber dan perlu dikaji bukti untuk menguatkan hujah sandaran.

Saya, ketika itu, membesar dalam keadaan tertanya-tanya :

a. Salahkah saya hanya membaca Harakah? Perlukah disorok-sorok?
b. Haramkah? Berdosa besarkah membaca Harakah? Saya pembangkang?
c. Persepsi begini siapa dan media mana yang cipta?
d. Di manakah kebebasan saya? Kebebasan media? Kebebasan bersuara?

Sejak daripada "trauma" sedemikian  saya rasa negara ini memang "lain macam".





2. KEADILAN. Perlukah keadilan dan kebenaran disembunyikan? Sebagaimana kita mahu orang lain adil kepada kita. Poltik begitu juga. Walhal politik banyak mentarbiyyah (mendidik) diri bahawa kebenaran perlu ditegakkan. Kebatilan perlu diperkatakan. Membuka aib dan bercerita keburukan pemimpin adalah harus dan boleh jatuh wajib berdasarkan kezaliman dan penindasan yang melampau.

Berkata benar walaupun pahit. Jika urustadbir amanah, bersih dan adil, tiada sebatang tubuh pun akan mengkritik kerajaan.

Adakah kerajaan kita terlalu maksum untuk dikritik?
Kenapa tidak dilayan kritikan secara berhemah dan profesional?
Di mana hak bersuara rakyat?

Banyak juga artikel politik yang saya tulis dalam blog ini. Baca, fahami dan kajilah sebaiknya.

Saya masih ingat satu ketika di tingkatan 3, dalam Harakah bahagian soal jawab bersama Timbalan Mursyidul PAS, Dato' Dr Harun Din, soalan dan isunya lebih kurang sama. Sampai sekarang saya masih ingat analogi mudah yang diberikan oleh beliau bahawa :

"Politik itu diibaratkan seperti tandas. Tandas yang baru siap pada permulaannya bersih tapi telah menjadi kotor dek sikap tidak bertanggungjawab pengguna tandas yang mengotorkannya sesuka hati"

Politik tidak kotor sahabatku.

Politik hanya menjadi kotor bila pengotor mengotorkannya. Merekalah orang yang langsung tiada integriti dan jauh daripada agama. Seperti yang diperli oleh Rasulullah SAW dalam 1 hadis popular, bahawa umat akhir zaman ini lebih cintakan dunia, takutkan mati. Mereka tidak tegakkan islam dalam diri dan keluarga mereka.

Apatah lagi masyarakat?

Sekali lagi saya ingatkan. Diri kita perlu bersikap adil dengan politik. Anda jauh dengan politik kerana kerajaan yang memerintah pada hari ini. Anda boleh salahkan mereka. Saya kupas secara rambang dari sudut individual, ideologi pembawaan, pengaruh sosial dan psikologi.

Bukti :

a. Nilai integriti politik kotor pemerintah. Mengamalkan rasuah, menyeleweng duit rakyat, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya. Terlalu banyak bukti kes berprofail tinggi yang rakyat sudah tahu. Tetapi masih tiada tindakan serius. Ibarat mengubati kanser tahap 4 menjadikan barah usus yang membusuk. Jika displin agama tidak ditegakkan dalam diri sendiri, bagaimana menegakkan agama dalam negara?

"Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah." Demikianlah ucapan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq ketika dilantik menjadi khalifah. 

b. Ideologi pembawaan. Dengan bertunjangkan ketuanan Melayu kononnya untuk mengembangkan islam. Kita boleh nilai sejauh mana keberkesanan ideologi ini dalam arus islamisasi. Tidak perlu dibawakan fakta yang terlalu sarat tentang peningkatan saban tahun statistik kes murtad, zina, anak luar nikah, penghidap AIDS/HIV dan kes jenayah yang lain.

Berkiblatkan fikiran logik manusia yang lemah dan menolak hukum Tuhan dalam menyelesaikan kerosakan yang dibuat oleh manusia sendiri. Tidak perlu sentuh bab hudud, undang-undang syariah yang sedia ada berkurun lamanya belum lagi dikuatkuasakan sepenuhnya. Malah orang agama sendiri boleh menyeleweng wang zakat demi kepentingan sendiri dan kes ini tidak diadili seperti selayaknya.

c. Pengaruh sosial. Setiap hari rakyat disajikan dengan hiburan yang melampau. Ideologi hedonisme yang menguntungkan duit poket. Tidak perlu saya cakap banyak lihat sahaja di lubang telinga remaja. Siang malam disumbatkan dengan earphone. Fesyen-fesyen terdedah dan songsang daripada syariah menjadi kegilaan setiap lapisan masyarakat. Masyarakat terdidik dengan habuan materialistik dan keduniaan.

Anak yang baru sahaja lahir telah menghirup udara kerosakan dan keruntuhan nilai moral. Mereka membesar dengan tidak normal. Tidak kenal agama. Jangan terkejut jika terjumpa stastistik tinggi menunjukkan pelajar sekolah rendah tidak reti solat dan sudah berpasangan. Malah ada yang mengaku dengan bangga tiada dara.

d. Psikologi. Suapan demi suapan keduniaan oleh pihak pemerintah menyebabkan rakyat mementingkan diri dan tidak cakna dengan kesedaran penghayatan beragama. Jika mereka sedar politik sebahagian daripada agama dan aqidah mereka, kerajaan sesekali tidak akan berani menyentuh wang rakyat! Mereka pasti takut melangar perintah Allah.

Tetapi sebaliknya berlaku. Mereka berjaya "psycho" rakyat dengan sogokan wang dan habuan dunia. Sama ada directly or indirectly. Rakyat terkunci. Diam membisu. Terhimpit antara miskin atau kaya. Antara benar atau salah. Seperti robot meneruskan kehidupan ala kadar. Jika seorang pelajar lebih gemar kepada 4K : Kafe, kuliah, katil dan "kapel".

Jika anda seronok membaca gosip. Atau hanya membaca ruangan agama tanpa politik, berhati-hati dengan pemahaman aqidah sebenar anda. Negara ini kita yang punya. Politik islam adalah cita-cita kita. Pemimpin islam berada di tangan kita. Ubahlah pemimpin yang terlalu kronik penyakit kedegilan beragama. Penyakit ini memang tiada ubatnya. Hanya tunggu saat pacakan dua batu nisan di atas kubur kezaliman. 

Mungkin setakat ini dahulu perkongsian saya dari hati ke hati. Bisa berhujah sudah lama terlucut dek ketidakbiasaan melontarkan pendapat lagi kerana dimamah masa kesibukan perubatan. Kamu beruntung. Punya masa yang banyak dengan kehidupan sosial. Saya tidak pasti apa perasaan ini. Pagi-pagi lagi dengar seorang doktor merungut, "belajar jadi doktor susah, nak jadi doktor pun lagi susah".

Yang pasti, doktor bukan sebarangan doktor. Doktor untuk ummah tidak akan berhenti menjadi hamba kepada hospital. Cita-citanya tinggi tetapi menuntut doa daripada kalian juga.

Sedikit pesanan saya.

1. Saya bukan Hilal Asyraf mahu pun blog Dr Cinta yang menulis hanya untuk cintan cintun, soal hati atau keagamaan dengan menolak tepi soal politik, isu semasa dan negara. Bakat ini untuk ummah bukan dipendam. Sampai bila diri kita nak maju terkehadapan bila tiap-tiap hari asyik berbincang topik cinta dan masalah hati. Negara dan islam sedang memerlukan pemikiran kritis anak muda.

2. Saya tidak kisah pengunjung blog, follower atau peminat blog ini makin berkurangan. Keadilan dan kebenaran memang pahit. Lagipun saya tidak rugi apa pun. Anda menolak kebenaran. Andalah rugi.

3. Sudah ditekan awal lagi. Blog ini sekadar berkongsi. Saya masih jahil dan bertatih dalam dunia termasuklah dalam bidang saya sendiri. Jadi saya mengambil stand bahawa, hakikat kejadian seorang dai'e bukanlah pengajak semata-mata tetapi berkongsi. 

Sebab apa? Kalau ajak, orang tak nak kita akan frust menonggeng. Akhirnya, kita sendiri angkat kaki tinggalkan dakwah. 

4. Jadilah pelahap dalam membaca. Bukan sekadar membaca melepaskan batuk di tangga tetapi kritis dan kritikal dalam menilai. Biasakan diri. Sudah tentu ketemu kebenaran. Seperti islam juga. Islam kita hanya diwarisi, kita perlu mencari kebenaran islam yang sebenarnya di dalam diri kita sendiri. Tiada istilah rehat mencari kebenaran.






READ MORE

JENAYAH DUNIA DAKWAH?

refocus pendekatan dan matlamat : dunia atau akhirat?


Dialek bahasa :

"Apa ni anta, anti, ana..tak rock la bro. Pakai la lu, gua. Masyuk sikit ngan orang muda."

Pakaian :

"Pak Ustaz, kalau nak kamceng ngan kami, kena tanggalkan serban, kopiah, jubah, dan janggut. Pakai baju fit sikit dengan seluar jin. Baru nampak ustaz rock!"

Amalan :

"Ceramah ape kes! Gua nak rilek-rilek la bro. Konsert lagi gempak bro. Layan gitar, youtube, futsal, facebook, angry bird sumpah tangkap cair bro! This is the best bro! Gua caya sama lu!"





KONSEP DAKWAH ISLAMIYAH DALAM REALITI MASA KINI


Ada apa dengan realiti? Ada apa dengan anak muda?

Realiti anak muda moden amat kenyang dengan suapan teknologi yang menggunakan pendekatan ringan, sempoi, santai, relax, mudah, sporting dan easy going tetapi menggemukkan. Gemuk kerana save energy dan kurang menggunakan daya pemikiran analitik dan kritikal yang memberi stress dalam memproses sesuatu maklumat. Semuanya mudah dicapai dengan satu klik di hujung jari tanpa membuka kelopak mata.

Para dai'e dilabel kolot, jumud, kuno, suka menghukum, "khemah bergerak", selekeh, syadid, terlalu "tsiqah", dan suka beretorik. Jika pemimpin ditsabitkan sebagai pemerintah kuku besi, taliban, tiada demokrasi, suka kafir mengkafir, hentam sana sini, melatah tidak tentu pasal dan sebagainya.

Cukup pelik. Cukup sakit hati. Rasa sensitif dengar kritikan sebegitu. "Sense of belonging" memuncak lantas mempersoalkan kewajaran memberi perumpamaan yang tidak masuk akal. Dikatanya tiada adab dan tidak berakhlak.

Dimensi era dakwah semasa cukup membunuh survival dunia dakwah andai salah mengambil rentak. Sama ada transformasi dakwah atau transformasi mad'u? Sama ada dai'e dikorban atau terkorban kerana prinsip?

Tibalah masanya PRINSIP dan REALITI berperang dingin antara satu sama lain.




WASATIYYAH : JENAYAH DUNIA DAKWAH?

Bila mana para dai'e kusut kepala otak brainstorming apakah pendekatan paling intim dan efektif untuk meruntuhkan kekebalan tembok "Kota Constantinople" orang muda, mereka terlupa untuk menjaga kemaslahatan bia'ah solehah yang kian pupus dek jenayah wasatiyyah.

Ayat al-Qur`an menegaskan pendekatan dakwah hendaklah secara `Bil-Hikmah wal Mau`izah al-Hasanah` (al-Nahl: 125). Ia adalah pendekatan dakwah yang lengkap, sempurna dan sesuai di mana-mana tempat dan bila-bila masa. 

Gagasan wasatiyyah (kesederhanaan) perlu diperhalusi bermula daripada binaan asas yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam. Konsep keadilan, amanah dan berintegriti perlu diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

Pada dasarnya apa yang diketengahkan oleh para dai'e tentang konsep, method dan approach adalah track ulangan dari apa yang pernah dibincangkan, cuma ditokok tambah sebagai penambah rasa.

Sebenarnya kita berdepan dengan persoalan dakwah semasa dan praktikal yang banyak menuntut pelbagai pendekatan dan penyelesaian. Daripada pucuk pimpinan negara sehinggalah badan-badan NGO dan orang perseorangan. Peranan institusi dakwah secara berjemaah perlu menunjukkan taring yang kian lama tersembunyi. Dengan kaedah realistik bersumberkan situasi semasa merupakan sesuatu yang baru, segar dan informatif serta dapat menghidupkan perbincangan dan mencergaskan gerakan dakwah.




ASOSIASI PROFESION DAKWAH

Kerja dakwah adalah kerja mulia. Usah terperangkap dengan jenayah kejahilan tanpa memahami situasi dan tidak fokus pada autoriti. Orang yang bercakap dari hati akan singgah di hati sebaliknya yang bercakap di mulut setakat di mulut sahaja, tidak akan ke mana-mana.

Perlu diingat, Islam jangan ditonjol dengan identiti Melayu tetapi dari sudut universal islamisasi. Ini menarik Barat semakin menerima Islam, sebaliknya di negara kita dengan mengasosiasikan (menautkan) Melayu-Islam sebagai kelemahan dan kemunduran. Imej Islam sebegini perlu diperbaiki. Dan ditampilkan dengan pakej imejnya yang sempurna dan lengkap.

Identiti Melayu. Ianya dunia yang membutakan mata daripada kebenaran Islam. Kecelaruan dan kedegilan membuatkan manusia merasakan ketuanan bangsa duniawi inilah sebenarnya matlamatnya.

Masa depan wasatiyyah bergantung kepada sejauh mana ikatannya dengan dasar-dasar Islam di atas kefahaman dan praktikal yang jelas. Bukan sandiwara politik. Bukan jenama politik. Bukan sahaja tenggelam dalam cabaran era globalisasi dengan prinsip tergadai.




Tidak lagi mengecilkan diri, para dai'e perlu mendekati segenap lapisan masyarakat dengan kesuburan pendekatan wasatiyyah. Sikap konservatif, liberal dan sosialis yang keterlaluan menyimpang daripada manhaj dan tadarruj yang dikehendaki dalam Islam.

Gunakan ilmu dengan kefahaman bukan kejahilan yang membutakan kebenaran."Siapa yang mempelajari Al Quran, besar harga dirinya. Siapa mempelajari hadis tinggi martabatnya. Siapa yang mempelajari bahasa, lembut hatinya. Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya. Dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tak bererti ilmunya" - Imam Shafi'e.

READ MORE

SUDAHLAH TU!


Sudahlah. Sudahlah. Sudahlah tu sahabat semua, kita tak ada masa nak layan perasaan, nak layan kejiwangan, nak layan soal hati, nak layan isu dalaman, nak layan kontroversi, nak layan bermacam versi alasan untuk mengabaikan fokus. Cukup setakat itu berkhayal di ruang atmosfera. Berpijaklah di bumi nyata.

Bahawa masa yang tinggal terlalu sedikit dengan kapasiti amanah yang dipertanggungjawabkan. Masanya sudah sampai untuk agenda yang lebih besar. Sila tampar diri jika masih belum sedar dari lena!



MOOD PRU-13

Sedang BN diasak di segenap segi, PAS masih leka dan kusut dengan isu rumahtangganya. Malah lebih teruk lagi sebenarnya bukan Ustaz Nasharuddin dan Dr Hassan Ali yang terperangkap dalam jerat BN, tetapi PAS dengan bala tenteranya termasuklah lidah rasmi, Harakah melatah tidak tentu hala, habis terkena umpan media propaganda BN sehingga diambil peluang oleh musuh.




Isu besar yang sepatutnya menggali kubur kerajaan korupsi berjaya ditutup dek kelemahan diri sendiri. PAS dikatakan masih terkebelakang dalam membawa sesuatu isu dan diperlihat rakan PKR lain lebih terkehadapan. PAS dilihat hanya melayan isu-isu remeh sedang PKR dilihat mampu membawa isu yang ada value sehingga membuka mata-mata rakyat.


Sejarah tercipta, kejayaan anak muda, Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan BEBAS :

Isu Tuntuntan Kebebasan Akademik : Adam Adli menurunkan bendera muka DS Najib


Dan 2 kejayaan besar Parti Keadilan Rakyat (PR) :

Berjaya membawa bukti Dr M pinjam bank dunia : Selepas nafi, Dr M mengaku

Isu National Feedlot Corporation (NFC) Dato' Shahrizat, terkini "Kondo Lembu"  Shahrizat di Singapura

PAS dan seluruh ahli PAS tidak perlu layan propaganda BN.

1. Selesaikan segala perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

2. Jaga akhlak dan adab sebagai seorang muslim dalam memberi pandangan berbeza, terutamanya anak muda. Cegah "sindrom cerdik pandai"  yang menunjukkan bunga-bunga hilang tsiqah dan ketidakikhlasan dalam memberi pendapat terutamanya di laman sosial.

3. Yakinlah! Seperti kata Tok Guru Nik Aziz, antara murabbi yang paling berpengalaman dalam sepak terajang arena politik, "apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-Allah."

4. Utamakan fokus dan prioriti untuk memenangi pilihanraya. Katakan selamat tinggal polemik dan krisis. Menangislah kamu syaitan yang gagal untuk memecah belahkan gerakan Islam! - Ust Tantawi

5. "Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.”

"Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.” - Tuan Ibrahim Tuan Man.




KEMUNCUP DALAM PERJUANGAN

Buat muhasabah bersama :

1. Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk mencabut kemuncup yang lekat di seluar atau stokin; teruskan mainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin.


Jangan leka mencabut kemuncup sehingga gol terlopong tanpa penjaga!

2. Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. 

3. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.



Masih lagi terfikir - tiada lagi pemimpin yang berkata : "walaupun apa jawatan yang diberikan kepada saya, saya terima seadanya tanpa kecewa dan sanggup berjuang menegakkan syiar islam bersama jemaah parti hingga ke akhir hayat."


Mari mengambil sikap membina bukan meruntuh. Husnuzonlah dalam setiap pertimbangan. Jangan salah sasar peluru kepada kawan sendiri. Ingat! Kita punya tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan!

READ MORE

KIAMAT 2012 : ISRAEL SEBAGAI HERO

Selepas teruja tengok forum Hari Kiamat 2012, apa yang kita dapat?
Selepas puas menonton filem, "2012, The End of The Day", apa perasaan kita?
Selepas membaca artikel dan buku mengenai dajjal, apa yang kita fikirkan?
Selepas duduk bersembang dengan kawan-kawan tentang hari tua, apakah perancangan kita?

Adakah sekadar rasa takut, gerun, seram, berdebar-debar, bimbang, insaf atau tidak rasa apa-apa pun? Tidak buat apa-apa pun?

"Mereka menanya kepadamu tentang Kiamat, Bilakah Terjadinya, 'Sesungguhnya pengetahuan tentang Kiamat itu adalah Di sisi Rabb-Ku, tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat( huru-hara bagi mahkluknya) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba', mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu mengetahuinya. Katakanlah, 'Sesunguhnya pengetahuan tentang Hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia TIDAK MENGETAHUI" (Surah Al-A'raf : 187)

Sebagaimana bijak pandai mengkaji, berbahas dan membincangkan isu Hari Kiamat, kita yang tidak bijak pandai lagi bagaimana?

Sebagaimana bijak pandai mengkonklusikan isu dan propaganda Hari Kiamat pada hari ini adalah ciptaan Barat dan Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan akidah dan menakut-nakutkan ummat Islam, kita yang belum bijak pandai, bagaimana konklusinya?

Apakah penerimaan kita?

Sejauhmana konspirasi Kiamat 2012 mempengaruhi akidah dan kehidupan kita?

Ya, banyak persoalan saya sengaja ukirkan bagi miemudahkan para pembaca dan remaja di luar sana dalam proses belajar dan memahami. Bagi saya, propaganda Barat dan Israel ini ada keburukan juga kebaikannya. Sepertimana yang telah dikupas dan dibincangkan panjang lebar oleh bijak pandai, saya melihat mereka banyak menyentuh tentang bagaimana idea Kiamat 2012 muncul dan impak negatif terhadap ummat Islam.

Dalam penulisan ini, hanya perkongsian ringkas sahaja yang ingin saya titipkan. Saya banyak melihat isu ini dari sudut positif kerana saya merasainya sendiri dan ia lahir dari sebuah pengalaman. Mana tidaknya, selepas habis menonton filem berkaitan hari kiamat dan kemusnahan bumi, tidak tertahan-tahan air mata untuk menghadirkan rasa kehambaan dan keinsafan yang menggila. Yakin Allah itu Maha Berkuasa.

Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 56 bermaksud: “Dan berkatalah orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan. `Sesungguhnya kamu semua telah menanti (sesuai dengan keterangan) dalam kitab Allah (dalam kubur atau alam barzakh) sampai hari ba’ats’ (kebangkitan atau bangkit dari kematian).”

Saya mula berjinak membaca buku kisah dajjal sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Kebetulan gelaran "dajjal" sangat terkenal di sekolah untuk kawan-kawan yang nakal. Membacanya sudah meromangkan bulu, seolah-olah berada di alam lain. Seronok baca. Banyak kisah yang diceritakan untuk kita ambil pengajaran . Ketagih pula untuk baca, baca dan baca lagi walaupun berulang kali.

Puncaknya apabila bergelar mahasiswi UKM, saya menjadi salah satu exco dalam program "Bersamamu Palestin". Di sinilah saya nampak dan yakin Israel adalah "hero". Hero kepada dunia. Mereka banyak mengkaji, mencipta teknologi dan memajukan ekonomi. Sangat bijak. Saya mengaku penuh sedar bahawa ummat Islam sangat jauh terkebelakang padahal banyaknya ummat Islam umpama buih-buih di lautan.

Kita tahu, tapi kita tidak sedar. Kita sedar, tapi kita tidak bertindak. "Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimana anjing-anjing yang mengelilingi hidangan makanan. Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat Islam yang sedikit? Baginda menjawab TIDAK, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di permukaan air banjir. Allah mengikis perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu 'al-wahan'. Sahabat bertanya apa dia wahan itu ya Rasulullah. Jawab baginda 'cintakan dunia dan bencikan akhirat."

Bagaimana kelompok Israel yang terpinggir dan sekelumit bilangannya mampu survive jika dibandingkan ummat Islam yang bersepah-sepah di peta dunia?

Dalam kebencian, saya kagum dan puji mereka!

Pada saat ini juga, saya masih kagum dengan mereka. Saya masih tidak percaya sahabat-sahabat rapat saya berusaha bersungguh-sungguh mengadakan forum bagi membincangkan dilema masyarakat malah dikira isu terhangat yang dicipta oleh mereka, iaitu Kiamat 2012. Bukankah itu sangat hebat?

Barang 5 minit berada di dalam forum itu sahaja, sudah terusik dengan usikan "Mahasiswa tidak perlu lagi susah-susah belajar, kiamat nak dekat dah". Mungkin sebagai bahan lawak untuk diraikan dengan gelak ketawa tetapi tidak sedarkah kita?

Perli.

1. Bagaimana dengan amalan dan persiapan kita?
2. Terutamanya solat kita, khusyukkah?
3. Jihad menuntut ilmu kita, apa khabar?
4. Apakah perancangan masa depan kita?
5. Tidakkah kita mahu mencabar keselesaan menjadi para ilmuwan dan pengkaji?
6. Akankah satu hari nanti giliran kita pula berada di atas pentas menggantikan ahli panel?
7. Bolehkah ummah mengharapkan kita untuk membelanya?

Setakat itu sahaja saya tinggalkan dengan persoalan-persoalan dan harapan untuk kita berubah, memperbaiki diri dan berani berjiwa besar demi ummah yang selama ini menderita kehilangan suara-suara agung dan para pejuangnya.


READ MORE

SOLATLAH WALAU TERPAKSA!


Liatnya kita untuk solat berjemaah di surau. Bangun pagi pun lepas azan suboh. Bila bulan Ramadhan semangat betul kita bangun awal, bersahur, solat sunat tahajjud dan ibadah yang lainnya. Namun kini, atas nama kesibukan kita pun larut dengan raja kemalasan.

Lalu tepi surau, pandang sebelah mata sahaja.

Usahlah persoalkan bilangan si hawa yang solat di surau, mari kita kira dahulu berapa batang tubuh kaum adam yang sanggup bermujahadah mendisplinkan diri solat di surau? Konsisten dalam jejak-jejak menuruti panggilan azan di surau?

Mereka ini bagai jejaka idaman yang paling termahal di abad ini. Susah nak jumpa orang macam ini lagi. Bagai terpupus ditelan dek duniawi. Bukan sahaja disukai ramai, malah Allah lebih suka dahulu kepada mereka.

Sabda Nabi SAW : "Solat bersama orang lain lebih baik daripada solat sendirian. Solat bersama dua orang lebih baik daripada solat bersama seorang. Semakin banyak (yang solat) semakin disukai Allah Azza wa Jalla. [Sunan Abu Daud: 467., Sunan an-Nasai: 834, Musnad Ahmad: 20312, Al-Mustadrak: 3/269 dan Sahih Ibn Khuzaimah:1477]

Kita akui, waktu kelas dan kuliah kita, tidak mengizinkan diri hadir di rumah Allah. Kita akui, setelah lama tidak menjejaki surau, kita agak segan nak pergi rumah Allah itu. Kita akui, hati sudah tawar, tidak cinta, tidak teruja untuk mencari ketenangan di rumahNya. Kita lebih suka solat di bilik sendirian. Memencilkan diri tanpa ghairah untuk mengejar pahala 27 kali ganda.

Sabda Rasulullah SAW "Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda). (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tapi tahukah kita?

Di Palestin, bilamana solat Subuh jemaahnya sama bilangan hadirin yang hadir ke solat Jumaat! Subuh dengan dua kali azan, yang mana azan pertama untuk mengejutkan penduduk sekitar bangun bertahajjud, dan azan kedua untuk memanggil mereka keluar menuju masjid.

Mereka sangat menggiurkan kecintaan kepada Allah mengatasi kecintaan mereka kepada tidur dan mimpi. Tidak seperti kita. Enak dibuai mimpi indah dengan tilam yang empuk. Maka, tidak hairanlah, tiada apa yang dapat menghalang ummat Palestin melainkan kecintaan kepada syahid.

Buat kaum adam! Wahai kaum muslimin!

Terutamanya buat pemimpin negara atau pemimpin keluarga, solatlah berjemaah selagi mana berpeluang melakukannya. Jangan pernah meninggalkannya. Kerana solat berjemaah ini sumber kekuatan ummat Islam, ukhuwah pasti terikat dengan solat berjemaah. Mungkin sesekali kita terasa sebagai beban yang menyusahkan, tapi percayalah suatu hari nanti bila kita sudah tidak berpeluang, maka kita pasti akan rindukannya. Solatlah sebelum kita disolatkan.

Buat ahli harakah! Wahai ahli jemaah!

"Tanda mudah Yahudi boleh dikalahkan apabila terdapat di seluruh dunia umat Islam turun solat Subuh seperti mereka turun solat Jumaat yang seminggu sekali itu. Adakah sepenuhnya umat Islam sudah turun solat Jumaat? Ia dirasakan tidak."

Tanpa menunggu kedatangan Imam Mahadi, Yahudi Israel akan dapat dikecut-perutkan. Kalau Subuh tidak dapat dijadikan seperti Jumaat, satu demi satu bumi Islam menjadi bumi Yahudi atau menjadi orang yang diredai oleh Yahudi!

Usah bermimpi membina bi'ah solehah di kampus. Tak perlu berangan menegakkan daulah islamiyyah di negara ini andai solat berjemaah masih lagi lemah, tidak terjaga. Solat suboh berjemaah kita tidaklah segah apa yang kita ikrarkan. Andaikata kita ini begitu hebat dalam berorganisasi dan pelajaran, malangnya kita tidak melazimi solat jemaah, sebenarnya kita masih lagi tidak hebat. 

Segala yang kita war-warkan dalam kelas mahupun dalam mesyuarat hanya akan mendatangkan beban kepada diri sendiri, tiada izzah yang keluar dari tiap tutur bicara kita. Kerana daripada solat berjemaahlah kita boleh displinkan diri sekaligus membentuk peribadi muslim.

Benar!

Memang tiada nas yang jelas tentang alahnya, takutnya Israel apabila solat Subuh sudah seperti solat Jumaat. Ia bukan satu keyakinan seperti menunggu turunnya Imam Mahadi. Tetapi ia adalah satu semangat dan kepercayaan, Islam dapat dibangunkan bermula dengan menjadikan solat Subuh seperti solat Jumaat!


Ayuh! Mari kita jaga solat berjemaah sedaya upaya. Ingatlah 5 perkara sebelum 5 perkara. Di antara didikan sembahyang, menebalkan rasa kehambaan dan menajamkan rasa bertuhan


Solatlah walau TERPAKSA!
"Sesungguhnya sedikit manusia yang memahami, lebih sedikit manusia yang memahami dan mengamalkan, dan tersangat sedikit manusia yang memahami, mengamalkan dan sampai ke tujuannya. Allah, berilah kami kekuatan untuk itu."

READ MORE

DAKWAH BUKAN HOBI




Adik : Kak, dakwah tu wajib ke?
Kakak : Ye dik. Dakwah tu wajib bagi semua umat islam. Seperti hadis Nabi SAW "sampaikanlah dariku walau 1 ayat". Adik seronok tak jadi umat Islam?

Adik : Mestilah seronok kak. Saya seronok sangat dapat berpuasa di bulan Ramadhan, beraya di bulan Aidilfitri, seronok dengar nasyid, fesyen busana muslimah pun cantik-cantik malah orang-orang islam banyak yang baik hati. Hehe...
Kakak : Kalau mahu seronok, kenalah berkorban untuk Islam dik.  Komited dalam pengorbanan. Tak bolehlah seronok untuk dapatkan kepuasan nafsu kita sahaja, tapi dakwah ala kadar. Macam sikap orang Melayu "senang aku buat, susah aku tinggalkan". Menyembah Allah janganlah hanya di tepi. 


“Dan di antara manusia ada yang menyembah Allah hanya di tepi, maka jika dia memperoleh kebaikan (kesenangan dunia) dia merasa puas, dan jika dia ditimpa suatu cobaan (musibah) dia berbalik ke belakang (murtad). Dia rugi di dunia dan di akherat. Itulah kerugian yang nyata.” [QS. al-Hajj: 11]


Adik : Tapi kan kak, kite kan bz. Macam-macam benda nak kena buat.
Kakak : Emm...kita kena bezakan ikut prioritilah dik. Mana satu yang lebih utama?

Adik : Antara study dengan dakwah ke? Hari tu, adik ada dengar 1 pengisian, study no 1 tapi dakwah bukan no 2. Kak, boleh tak kita buat kerja dakwah bila free je?
Kakak : Ha...cuba adik fikirkan dakwah ni amanah, tanggungjawab, minat atau hobi?

Adik : Tentulah amanah kak. Tanggungjawab bagi setiap muslim yang telah mengucap syahadah.
Kakak : Tanggungjawab bukanlah penghalang untuk meminati sesuatu mahu pun mengembang minat. Minat seharusnya ditambah seiring dengan hobi. Walaupun hobi itu jarang sekali dilaksana. 


Dakwah juga bukanlah penghalang untuk teruskan hobi yang sudah sebati dalam diri kita. Hobi dan minat mungkin sebenarnya satu wasilah untuk dakwah. Apa hobi adik ye?


Adik : Err...adik suka menulis blog kak, kadang-kadang suka edit video. Tapi suka-suka je kak.
Kakak : Baguslah begitu. Tak salah bukan kalau kita gunakan hobi untuk berdakwah pula. Lagipun kita sedang berada dalam generasi Y dan Z, iaitu generasi celik internet. Jadi, dakwah kita pun kenalah lebih inovatif dan kreatif.

Adik : Owhhh....baru saya faham kak. Minat saya sebenarnya ada tiga. Tiga bidang yang cukup berbeza dalam tiga dunia yang berbeza. Perubatan, agama dan sains komputer. Antara logik, wahyu dan kreatif. Sebenarnya, agak sukar sekali nak menemukan tiga dunia ini. Tapi alhamdulillah bagi saya, ia satu kelebihan. Saya dapat kaitkan dan hubungjalinkan "mereka" bertiga di kotak minda saya yang satu.

Kakak : Allahuakhbar! Hebatnya adik! Dakwah kita ini dakwah hati. Untuk berdakwah, sememangnya kita harus memenangi hati manusia, selagi mana ia tidak berkompromi dengan prinsip Islam yang kita imani. Kalau kita gunakan medium-medium Barat mahu pun menciplak teknologi Yahudi untuk memperluaskan agenda islamisasi, itu adalah satu kemestian.


Sungguh, tidak ada dakwah tanpa kasih-sayang. Kalau kita tidak dapat mengasihi manusia itu, kita tidak akan mampu mendakwahnya membawanya kepada Allah. Hinggakan, kerana kasih-sayang ini, kita tidak akan fikir dua kali pun untuk mengorbankan duit kita, tenaga dan masa, demi membawanya kepada Allah Taala. Apa saja. Mintalah masa ini untuk ummah. 


Dakwah itu satu kewajipan bagi setiap insan muslim yang mengaku bersaksi dengan kalimah suci Laailahaillallah Muhammadurrasulullah.
'
"Kenapa perlu berdakwah? Bukankah kita ini Khalifah? Manusia ini tak sempurna, ada sahaja kesilapan yang sengaja dibuat ataupun betul-betul terbuat. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak terus berdakwah. Manusia bebas menggunakan apa sahaja wasilah yang ada, selagi ia tidak bercanggah dengan syara'."

Dakwah : Antara amanah dan hobi?
Apa pilihan anda?

"Sesungguhnya BAI'AH (sumpah setia) dalam perjuangan bukan sekadar pada LAFAZ yang disaksikan. Bukan hanya tandatangan dan mengisi borang. Namun yang paling penting, bila mana kita berbai'ah, diri kita bukan lagi diri kita yang SEBELUMnya. Diri kita bukan lagi MILIK diri kita SEPENUHnya, tetapi diri kita milik sepenuhnya kepada "PERJUANGAN ISLAM", di mana ada tuntutan Jihad, di situlah kita akan berada dan bekerja hingga ke akhir hayat kita dengan meletakkan sepenuhnya Al-Jihad Fi Sabiluna:"

Komited dalam pengorbanan.

READ MORE

TIDAK USAH BERMIMPI...


"Seribu orang tua hanya dapat bermimpi, satu orang pemuda dapat mengubah dunia."- Soekarno.

Di era globalisasi ini hukum rimba masih tetap berlaku, siapa yang beradaptasi dan menonjol di antara sekian banyak persaingan yang ada, tentu dialah pemenangnya. Mungkin dalam hal ini persaingan yang dimaksudkan bukanlah persaingan mendapatkan makanan atau kebutuhan pokok, akan tetapi lebih kepada persaingan inovasi, bahasa sederhananya: perang idea.

Seperti yang kita ketahui, pemuda adalah sesosok karakter yang berada pada fasa yang paling bersemangat dalam hidupnya, berani bermimpi, berani membuat perubahan, suka akan ujian dan cabaran, serta semangat suka mencuba sesuatu yang baru.

Pertanyaannya cuma satu :

“Beranikah setiap pemuda mengambil langkah awal yang menjadi batu pijakan bagi mereka untuk berlari mengejar mimpinya?” 

Pertanyaan yang cukup direfleksikan dalam diri masing-masing tiap generasi muda.

Bercermin dari karakteristik pemuda yang energetik dan selalu ingin tahu, seterusnya akan muncul bermacam bentuk inovasi yang mungkin belum pernah terpikirkan oleh generasi sebelumnya. Biasanya, langkah awal dari para pemuda untuk mewujudkan inovasi ini adalah dengan mencari pengetahuan yang seluas-luasnya dari organisasi.

Ya, tidak selamanya passion yang dimiliki tiap pemuda sesuai dengan kuliah, untuk itu keperluan media yang mampu membuat para pemuda mampu menggali potensi diri masing-masing dan melakukan inovasi yang mereka impikan. Media tersebut adalah organisasi.

Jenis organisasi memang banyak. Sama ada organisasi di dalam sebuah persatuan, jemaah mahu pun sesuatu institusi. Akan tetapi yang kini dimahukan para pemuda adalah sebuah organisasi yang mampu mencakupi segenap pemikiran global, fokus kepada perkembangan jati diri, dan pengasahan kemampuan leadership masing-masing, tentu dengan harapan akan terciptanya suatu inovasi di kehidupan yang akan datang.



APAKAH KAMU PEMUDA YANG BERANI MENGUBAH?

Terakhir sekali, hanya satu persoalan yang ingin difikirkan bersama, tatkala usia Sultan Muhammad Al Fateh menginjak ke umur 22 tahun, beliau mampu menyahut seruan hadis Nabi Muhammad SAW ketika Baginda sedang menggali parit dalam peperangan Khandaq, "...Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera..." (Hadis riwayat Imam Ahmad)


Siapakah Sultan Muhammad Al-Fateh? Apakah kehebatan baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut "sebaik-baik raja" dan "sebaik-baik tentera" dalam hadis tersebut?

Sultan Al Fateh telah memecah tembok kemalasan dan menundukkan nafsu kepemudaannya dengan menawan sejarah bahawa pemuda seperti kita tidak gentar melakar sejarah yang lebih hebat. Kota Konstantinople bukanlah sejarah teragung di abad ini, kerana pemuda harapan Islam di saat ini sudah melampaui zaman teknologi canggihnya untuk mengubah dunia.

Bisakah kita berani berubah?

Hanya untuk islam....



READ MORE

THE MOST POPULAR POST