TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

Showing posts with label RAMADHAN. Show all posts
Showing posts with label RAMADHAN. Show all posts

RAMADHAN, AKU SEDIH



Kepada muslimat, jangan sedih andai ditakdirkan Ramadhan ini, signal merah telah diberi awal walau pecutan belum bermula.

Usah bergetar tubuhmu menahan kesayuan tatkala signal hijau menghijau sebelum panji kemenangan dikibarkan, sebelum takbir hari yang mulia bersahutan bersama kaum muslimin yang lain.

Dan usah bertambah bimbang serta sedih jika setiap tahun pun begitu.

Bukan soal adil tak adil.
Bukan soal pilih kasih.
Bukan soal lemah semangat.

Perjuangan tetap perjuangan.

Allah tetap sayangkan kita buat selamanya. Kasih-Nya tidak terjangkau apatah lagi muslimat berbakti menyediakan keperluan fizikal buat sang pejuang Ramadhan.

Rebutlah peluang dan maghfirah Allah. Ini Ramadhan adalah milik kita bersama.

Ayuh! Kuatkan hatimu.

Allah tahu kamu excited tunggu Ramadhan dan macam-macam preparation yang kamu buat. Maka, berpositiflah dengan sangkaan baik kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda :

"Barangsiapa yang mendirikan malam-malam dalam bulan Ramadhan kerana Iman dan mengharapkan pahala (dari Allah), nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.." (Hadith Muttafaq alaih)

Dirikan malammu dengan bermunajat kepada-Nya, berdoalah, menangislah, merataplah atas segala dosa yang telah menodai kesucian hati. Moga Allah angkat doa kita dan terbukalah hijab antara dua pencinta.

READ MORE

RAMADHAN SEMAKIN BERLALU, AKU SEMAKIN MALAS


Hati terasa pilu mendengar bacaan Tok Imam dalam solat terawih rakaat yang keempat. Benar-benar terkesan di jiwa akan bacaannya yang mendayu-dayu seolah-olah mengajak air mata untuk turun memaknai ayat yang diturunkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman.

" Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut ) . Sejahteralah malam ( yang barakah ) itu hingga terbit fajar " .

Surat al-Qadar ayat 1 hingga 5 sudah cukup untuk mengingatkan kita bahawa bulan Ramadhan yang mulia akan meninggalkan kita. Ya, sudah saatnya untuk Ramadhan pergi. Dan aku ditinggalkan masih begini. Syaitan akan bebas sedang imanku masih rapuh manakala nafsuku terus membuas.

Air mata menitis laju tatkala terkenangkan adakah Ramadhan ini kali terakhir buat aku atau jika dipanjangkan umur untuk Ramadhan akan datang, adakah aku masih seperti sekarang?
Tiada penambahan iman, hanya sekadar melalukan rutin-rutin yang sudah biasa dilakukan pada Ramadhan yang lepas?

Apakah ibadah puasa yang telah dilakukan selama ini telah diterima oleh Allah?
Apakah layak diberi ganjaran pahala oleh Allah? Atau sekadar lapar dan dahaga?
Apakah semakin bersemangat beramal ibadah atau semakin lalai dan meringankan ibadah?

Apakah pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan ini, diri semakin banyak membaca al-Quran, bersedekah, berzikir dan beristighfar?


Ataupun menghabiskan masa dengan membeli-belah, membuat persiapan hari raya yang berlebihan, meninggalkan sembahyang terawih, kurang membaca al-Quran dan berbual-bual kosong sehingga melupakan kelebihan di akhir Ramadhan?

Bagaimana pula Ramadhan ini mampu membentuk diri setelah ditinggalkannya nanti?
Inilah persoalan-persoalan yang perlu ditanya pada diri sendiri untuk sama-sama memuhasabah Ramadhan.





MALAS BERIBADAH, SEMANGAT BERSHOPPING


"Wan, jom kita gi solat terawih malam ni"
"Aku penatlah. Nak tido jap, siang tadi aku banyak berjalan, shopping baju raya"
"La...kan Ramadhan nak abes dah. Nanti dah tak leh solat terawih lagi"
"Takpelah..Bukannya wajib. Sunat pun. Aku dah mengantuk ni. Kau pergi je lah"

Di kala ini, kita sudah menghadapi fasa terakhir Ramadhan. Diibaratkan dalam pusingan akhir perlawanan bola sepak, pasukan iman masih bertungkus lumus berlawan dengan pasukan nafsu. Siapakah bakal pemenang?

Bagaimana pula puasa kita pada hari ini? Pada hari-hari yang lepas?
Adakah keimanan kita semakin bertambah atau semakin lemah dalam menjalani ibadah puasa tetapi bersemangat shopping raya?

Sebenarnya kita masih berlawan dengan nafsu kita sendiri walaupun di bulan ramadhan syaitan bercuti.
Hakikatnya, kita punya penyakit yang sangat bahaya iaitu malas, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini mentaliti masyarakat Melayu menganggap bulan puasa sangat meletihkan dan kita tidak mampu nak buat apa pun kerja.

Bagi mereka yang beriman, bulan Ramadhan adalah satu tembok yang tinggi untuk didaki.
Kenapa?

Kerana hanya hamba yang terpilih sahaja berjaya merentasinya.Mereka sedar bahawa bulan yang penuh barakah ini hanya datang sekali dalam setahun, dibiarkannya dengan keletihan dan kemalasan maka rugilah kita.



TAQWA : JANGAN BIARKAN RAMADHAN BERLALU PERGI

"Ada gembira di hati menyambut Aidilfitri dan melihat Ramadhan pergi, itukah tanda hati suci?" soal hati kecil.

Menyentuh soal taqwa, pelbagai cara kita boleh menghampiri ketaqwaan walaupun godaan dunia semakin hebat. Apabila Ramadhan hadir membuatkan diri terasa amat kerdil dan menyayangi Allah dengan sepenuh jiwa raga. Rasa kehambaan terpancar dari buah-buah ketaqwaan.

Tetapi Ramadhan tak akan tunggu tapi akan meninggalkan kita. Namun, andai taqwa masih bertakhta di hati, biarpun Ramadhan berlalu dan Syawal menjelma rasa cinta dan kasih kita kepada Allah tetap bercambah.





HAMBA ALLAH vS HAMBA RAMADHAN

"jadilah seorang HAMBA TUHAN bukannya HAMBA RAMADHAN" maksudnya jadilah kita hamba kepada Allah, bukan hamba kepada bulan Ramadhan. 

Tidak sepatutnya kita kuat beribadah hanya di dalam bulan Ramadhan sahaja namun seharusnya hendaklah sentiasa istiqamah.

Abdul Aziz bin Abi Daud berkata tentang para salafus soleh: “Aku mendapati mereka bersungguh-sungguh dalam beramal soleh. Ketika mereka telah melakukannya, mereka pun ditimpa kekhuatiran, apakah amalan mereka diterima atau tidak?”

Kita tidak boleh merasa cukup dengan amalan ibadah yang telah kita lakukan. Ingatlah bahawa di hari hisab kelak semua orang tak terkecuali akan merasa rugi dan menyesal, termasuklah orang-orang soleh. Mereka berangan-angan seandainya mereka dikembalikan ke dunia untuk beramal lebih banyak lagi dengan seikhlas-ikhlasnya.




LAILATUL QADAR : BERSEMANGATLAH DIRI!


Tidakkah kita terasa cemburu jika pada malam lailatul qadar, malaikat yang jumlahnya lebih banyak dari jumlah pepasir di muka bumi memberikan salam dan ucapan selamat kepada orang yang bersujud, bertadarrus, sedangkan pada saat itu kita enak dibuai mimpi indah selepas kenyang berbuka puasa dan moreh?

Atau mungkin masih membeli belah di tengah keramaian di mana kebanyakan manusia lalai dari mengingati Allah SWT,
larut dalam urusan dunia mengemas rumah,
atau bahkan melakukan maksiat?

Jadi sebagai seorang muslim yang komited dan sensitif dengan bulan Ramadhan, hendaklah kita meletakkan objektif khusus apa yang kita hendak capai pada diri kita apabila tamat Ramadhan kali ini.

Semoga dalam Ramadhan tahun ini kita termasuk orang-orang beruntung yang mendapat malam lailatul qadar dalam keadaan melakukan amal ibadah bersungguh-sungguh kerana Allah. Semoga Allah melindungi kita daripada melakukan perkara-perkara makruh, lagha (tidak berfaedah) dan maksiat. Na’udzubillahiminzalik

Beringatlah dengan teguran pedas dari Malaikat Jibrail dalam doanya.

“Aku telah didatangi oleh Jibril dan berkata kepadaku: Wahai Muhammad!, barangsiapa yang telah mendapatkan Ramadhan namun dia tidak diampuni maka Allah menjauhkan dirinya dari rahmatNya, maka aku menjawab: Aamiin…” (HR Ibnu Hibban)

Jangan sampai kita termasuk golongan yang telah penat lelah berpuasa di bulan Ramadhan namun dosa-dosa mereka tidak diampuni. Itu adalah alamat kecelakaan sebagaimana doa Jibril yang telah diaminkan oleh Rasulullah SAW.

Selagi Ramadhan masih ada, selagi itu peluang mencari malam lailatul qadar masih ada
Selagi Ramadhan masih ada, selagi itu peluang menjadi "bayi baru lahir" selepas Ramadhan masih ada
Selagi Ramadhan masih ada, selagi itu peluang menjadi graduan Universiti Tarbiyyah Ramadhan masih ada

Ya, mudah-mudahan kita menjadi graduan yang lulus cemerlang dari Universiti Tarbiyyah Ramadhan ini agar dapat menjadi bekalan kita menghadapi 11 bulan yang mendatang sebelum bertemu Ramadhan yang akan datang sekiranya dipanjangkan usia kita lagi oleh Allah SWT.

Ini kerana tidak lain dan tidak bukan....kita masih tidak pasti sama ada kita berpeluang atau tidak menyambut Ramadhan pada tahun hadapan.






READ MORE

CAMNE NAK SEMANGAT DALAM BELAJAR?



"Arghhh!!! Assignment lagi, bosanlah belajar! Masuk ni, dah 5 assignment pensyarah bagi. Mane satu aku nak siapkan dulu ni? Stress betullah!"

"Tak semangatlah nak belajar. Baca buku bukannya masuk, baik tengok TV lagi best. Takpun keluar jalan-jalan ke, tidur ke. Buat pening kepala nak watpe?"

"Mak, Ucu penatlah belajar, tak seronok langsung. Mak tak boleh paksa-paksa Ucu. Ucu tak minat bidang ni. Susah la. Senang-senang mak kahwinkan je Ucu ngan Abang Ehsan. Bolehlah makkk..."

Saban waktu kita sering mengeluh. Mengeluh dan mengeluh. Merungut semangat tidak kunjung jua. Motivasi diri tidak pernah di tahap memuaskan, hampir sahaja tidak stabil.




BELAJAR : MENGAPA TIDAK BERSEMANGAT?

1. Tidak minat!
2. Susah!
3. Selalu stress!
4. Tak suka dengan pensyarah!
5. Selalu gagal
6. Masalah peribadi (keluarga, boyfriend, kewangan)


Kenapa tidak minat pula?

1. Ibu bapa suruh belajar dan ambil bidang tersebut
2. Subjek susah nak skor
3. Pensyarah yang membosankan! atau garang!



DILEMA PELAJAR PERUBATAN

Bagi kehidupan seorang pelajar perubatan, masalah utama yang menjadi dilema untuk meneruskan pengajian pada peringkat permulaannya adalah paksaan.

Mungkin paksaan daripada ibu bapa, faktor ekonomi, sosial dan sebagainya. Mungkin juga berupa satu bentuk paksaan untuk mengubah nasib keluarga dan mengangkat darjat keturunan di mata masyarakat apabila berjaya menjejakkan kaki ke "kilang memproses doktor".

Itulah yang dinamakan kebanggaan duniawi!




KELIRU DENGAN NIAT 

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Gelaran pelajar perubatan di universiti terkemuka di tanah air memang cukup menyenangkan hati perut mak bapa. Namun, adakah dilema dan kekeliruan yang selama ini menghantui sudah berakhir?

Seringkali kita mendengar kes-kes senior pelajar perubatan walaupun sudah di tahun klinikal berhenti dan menukar kos. Tak kurang juga terpaksa masuk ward "psychiatry" kerana mengalami konflik diri atau stress yang melampau.

Itu adalah realiti!

Di manakah silapnya? Apakah puncanya? Bagaimana untuk mengatasinya?

Walauapapun kos atau bidang yang sedang kita ceburi, cuba cek balik apa niat kita?
Apa nawaitu kita? Matlamat serta pendorong utama kita?

Jika dahulu, di saat menjejakkan kaki ke menara gading kita adalah TERPAKSA
Jika dahulu, di saat mendaftarkan diri ke fakulti kita adalah HARAPAN KELUARGA
Jika dahulu, di saat menghantar borang kemasukan ke universiti pilihan kita adalah IKUT KAWAN




SEJAUH MANA KUASA NIAT?

Mungkin dalam fasa pertama kehidupan di universiti, kita masih kuat dan tabah kerana kita ada ayah ibu sebagai pembakar semangat, ada kawan-kawan di sekeliling dan paling istimewa punya kekasih hati sebagai teman di kala waktu senang mahupun susah.

Tetapi sampai bila ia mampu bertahan?

Mana tidaknya, setiap kali mendapat assignment kita merungut, setiap kali peperiksaan kita stress malah yang paling membimbangkan apabila melakukan kesalahan dan dimarahi oleh pensyarah kita berasa cepat "down" dan mula menanam sifat benci kepada pensyarah dan bidang tersebut!

Kita bukan robot yang boleh dikawal emosinya. Bukan juga robot yang tidak punya roh, semangat dan kekuatan ketuhanan.

Kita ada Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Penolong.

Sedarlah, apabila kita memulakan sesuatu langkah dengan niat yang salah dan tidak besertakan Tuhan dalam gerak geri, itu bermakna kita melupakan Allah dan RasulNya. Dan itu juga bermakna kita adalah hamba yang sombong! Sombong sebagai hamba yang kerdil tetapi malas meminta-minta daripada Tuhan yang menciptakannya.
Sedarlah jua, semangat dan motivasi belajar hanya dicampakkan Allah ke dalam jiwa-jiwa yang haus dan dahagakan ilmu. Hati mereka benar-benar ikhlas dalam berjuang menuntut ilmu tanpa mengharapkan sebarang balasan apatah lagi pujian. Di mana keberkatannya melimpah tatkala ilmu tersebut diamalkannya, dikongsikan bersama dan diajar kepada mereka yang tidak mengetahui.

Perlu ditanam di dalam kepala, tidak mengamalkan ilmu yang dipelajari merupakan penyebab hilangnya keberkatan ilmu, seperti yang dikatakan oleh Syaikh Muhammad bin Abdul Wahab :

"Kewajiban setiap muslim dan muslimah adalah mempelajari 4 perkara, yang pertama ilmu, kedua mengamalkannya, ketiga mendakwahkannya, keempat sabar dalam menghadapi gangguan ketikan mendakwahkannya”.

Mungkin sudah tiba saatnya, kita mulakan kamus hidup yang baru. Memperbaharui niat dengan membunuh penyakit "keliru niat". Cekalkan hati, satukan matlamat. Kita belajar kerana beribadah kepada Allah, ini adalah medan jihad kita sebagai seorang pelajar.

Jika di Palestin anak-anak berusia sebaya dengan kita berjihad dengan mengangkat batu dan senjata. Kita di Malaysia, hanya perlu mengangkat pena dan kertas. Bahkan anak-anak Palestin berjihad bermandikan darah dan air mata, kita di Malaysia hanya bermandikan peluh dan kadangkala kurang tidur.

Payahkah?

Ambillah peluang di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, kita bersihkan diri dan kembalikan niat baik dalam menuntut ilmu.

Ramadhan sebagai pemangkin perubahan. Satu titik tolak dimensi kehambaan yang luar biasa. Kita harus memulakannya.

Cuti semester semakin habis tetapi bagaimana pengisiannya?
Bersemangatkah kita bila naik semester nanti? Sudah ada azam yang baru?

READ MORE

NILAI SEGELAS AIR KOSONG


Tahukah anda sedekah apa yang paling mudah?
Tidak hanya dengan wang, makanan, senyuman malah dengan air kosong pun boleh disedekahkan?

Dan tahukah anda dengan sedekah air kosong sahaja boleh melayakkan diri kita ke syurga?
Pernah mendengarnya kisahnya?



KISAH SAHABAT NABI SAW

Dalam kitab Al-Mawaidh Al-‘Ufuriyah diceritakan, suatu hari Ali bin abu Thalib hanya mempunyai wang sebanyak 6 dirham. Dengan wang itu beliau ingin membelikan makanan buat kedua anaknya, Hasan dan Husain. Namun tiba-tiba ada seorang peminta sedekah yang mengadu kepadanya bahawa dia sangat miskin. Lalu serta merta Ali bin Abu Thalib memberikan semua wangnya.

Ketika pulang dengan tangan kosong, istrinya Fatimah Az-Zahra pun menanyakannya. Ali kemudian menjawab bahawa wangnya telah dipinjam oleh Allah SWT.

Tak lama kemudian Ali menemui Nabi SAW. Di tengah jalan beliau bertemu dengan seseorang yang sedang menunggang unta. Orang itu lalu menawarkan untanya kepada Ali.

“Aku tak punya wang,” jawab Ali.
“Bayarlah di kemudian hari bila engkau sudah punya wang, dengan harga 100 dirham,” kata lelaki yang tak dikenalnya itu.

Ketika Ali sedang menunggang untanya, ia bertemu dengan sekumpulan lelaki, dan menawar untanya dengan harga 300 dirham. Tanpa fikir panjang, Ali pun menjual untanya itu. Wang 100 dirham lalu diberikannya kepada lelaki pertama, manakala bakinya menjadi miliknya.

Ketika kemudian Ali menghadap Nabi SAW, baginda pun menjelaskan bahawa lelaki pertama tadi adalah malaikat Jibril, sedangkan lelaki kedua adalah malaikat Mikail. Agaknya itulah yang dimaksud dengan sedekah yang dilipat gandakan oleh Allah SWT, kerana menurut nabi sedekah itu mengundang datangnya rezeki

Sedekah kepada kaum dhuafa (khususnya fakir miskin) adalah ubat penyelamat. Nabi mengatakan, "ubatilah penyakitmu dengan sedekah!” 



BERSEDEKAHLAH WALAU DENGAN AIR

Sedekah, menurut Nabi SAW, juga melembutkan hati yang keras. “Barangsiapa mengalami kekerasan hati,” sabda baginda, ”Hendaklah memperbanyakkan sedekah”. “sedekah itu dapat mengelak bala musibah serta dapat memanjangkan usia,” tambah beliau.

Untuk bersedekah seseorang tidak perlu menunggu kaya, bahkan menurut Nabi SAW, "sedekah yang paling utama adalah dengan memberi air minum putih kepada orang lain", jika kita hanya memiliki air putih untuk diberikan.

Diriwayatkan, ada seorang wanita pelacur yang diampuni dosa-dosanya kerana menyelamatkan seekor anjing yang kehausan di padang pasir hanya dengan memberi minum.

Kita tentu sahaja dapat memulai dengan sesuatu yang kita miliki walau sekecil apapun. Sentiasalah beringat pesan Nabi kita :

"Apabila mati anak Adam maka terputuslah amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya untuknya.”

Dari hadis berkenaan membuka peluang untuk kita mendapatkan bekalan sebelum mata tutup buat selamanya.

Jika kita sedekahkan Al-Quran atau sejadah untuk kegunaan jemaah di masjid, selagi mana ia digunakan maka pahala tetap sampai kepada kita. Begitu juga apabila memberi makan, minum dan pakaian kepada anak yatim maka sudah tentu ganjarannya cukup besar terutamanya di bulan Ramadhan al-Mubarak.



READ MORE

BERDOA UNTUK MEMPERHAMBAKAN DIRI


Sungguh benar, doa senjata mukmin. Pernah seorang ustaz berkata,

“Doa itu senjata mukmin, benar! Namun perlu diingat selepas doa itu yang paling di lihat ALLAH swt. Sejauh mana kita yakin dengan ketentuanNYA selepas doa, dan sejauh mana kita bersabar di atas sabar, dan sejauh mana kita berusaha memperlihat istiqamah kita dalam menjaga benteng hijab yang mampu menghalang doa sampai kepadaNYA”.



DOA SENJATA MUKMIN

Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya):

"Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu..." (Surah al-Ghafir, ayat 60)

Firman Allah (mafhumnya):

"Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Doa seorang mukmin itu adalah senjata.
Kita tahu itu, tapi kita jarang praktikkan.

Doa seorang mukmin itu adalah senjata.
Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak.

Lihat sahaja betapa Nabi begitu mementingkan aspek doa di dalam kehidupan beliau lalu meninggalkan kita dengan doa-doa yang beliau amalkan dalam setiap aspek kehidupan.

Tinggal kita praktik sahaja.

Dari doa bermulanya dari bangun tidur sehinggalah kita tidur semula. Mungkin dulu, semasa zaman kanak-kanak kita selalu mengamalkan doa-doa ini, tapi kini setelah sekian lama kita tinggalkan maka doa tersebut semakin dilupai ditelan zaman.

Mungkin kita boleh sama-sama buat checklist..Mana doa yang kita buat dan mana doa yang kita jarang buat atau senang kata kita tinggalkan..

1. Doa bangun dari tidur dan doa nak tidur
2. Doa sebelum makan dan selepas makan
3. Doa sebelum masuk ke tandas dan keluar tandas
4. Doa sebelum keluar rumah dan masuk rumah
5. Doa melihat cermin.
6. Doa memakai pakaian dan doa ketika menanggalkannya
7. Doa sebelum belajar dan selepas belajar
8. Doa sebelum mula baca Al-Quran dan selepas baca
9. Doa menaiki kenderaan
10.Doa ketika sedang menghadapi ujian
11.Al-Ma’thurat
12.Dan banyak lagi doa.

Ini juga bukti kita cintakan Nabi melalui doa yang diamalkannya.

Tidak kirala nak baca doa dengan bahasa apa pun, semuanya boleh. Allah itu Maha Memahami semua bahasa.

Yelah, siapa lagi yang cipta semua bahasa atas muka bumi ini, kalau bukan Allah?

Kalau baca doa dengan Bahasa Arab, pastikan kita tahu apa yang kita baca, supaya kita dapat minta bersungguh-sungguh dan moga Allah perkenankan permintaan kita.

Ada masalah, ceritakan pada Allah. Minta Allah kuatkan kita, bantu kita selesaikan masalah ini.

Ada 2 pilihan atau banyak pilihan depan mata, beristikharah dan berbincanglah dengan orang yang telah berilmu dan banyak pengalaman, nescaya kita akan jumpa pilihan yang terbaik.

Tak tahu, mana nak cari doa-doa di atas? Search je kat internet, nescaya ada. Buku-buku berkaitan doa amalan seharian pun banyak terjual di kedai-kedai. Cuma tinggal kita nak cari, hafal dan amal.

Moga dengan ini hidup kita lebih berkat dan lebih bermakna. InsyaAllah. Selamat berdoa.




p/s : rebutlah ruang dan peluang yang melimpah di bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan ibadah seperti berdoa. Sesungguhnya, doa orang yang berpuasa adalah MUSTAJAB! Doalah sebanyak-banyaknya dan pastikan berdoa dalam keadaan beretika sebagai seorang hamba Allah yang kerdil.

Allah sudah tahu apa yang akan kita doakan kerana sifatNya yang Maha Mengetahui tetapi Allah mahu dan suka mendengar rintihan serta doa yang ikhlas daripada hamba-hambaNya.

Berdoalah.



READ MORE

PUASA MENYEKAT PERGERAKAN SYAITAN DALAM SALURAN DARAH?



Bulan kemuliaan yang dikurniakan ini usah dibiarkan berkatnya berlalu sia-sia saja. Ia hadir bagai air bak membasuhi daki dunia. Maka sambutlah ramadhan dengan jiwa terbuka seperti ketibaan orang yang kita cinta  dengan ucapan ahlan wasahlan marhaban ya Ramadhan. Allahu Akbar!! Sollu 'ala Nabi...!!

Menurut Allahyarham Profesor Dr. Hamka, perintah puasa seperti juga perintah Allah yang lain, bukanlah satu perintah yang kaku dan kering kerana ibadah puasa berupaya mengetuk hati, iman dan akidah. Amalan puasa dapat menyatukan akal dan perasaan, jiwa dan sanubari.

Ada dua sudut utama yang boleh kita lihat daripada amalan puasa ini, iaitu sudut kerohanian (agama) dan sudut sosial. Dari sudut kerohanian, ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Amalan puasa yang dilaksanakan dengan penuh penghayatan akan dapat membangun dan menyuburkan nilai ketakwaan dan kemanusian.

Dalam pengertian yang lain, puasa di bulan Ramadhan adalah jalan atau cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia dapat dilakukan melalui pelbagai amalan yang digalakkan kita melakukannya di bulan Ramadhan seperti bertadarus al-Quran, bertarawih, bertahajud, beriktikaf, memperbanyakkan zikir dan memperbanyakkan sedekah.

Segala bentuk amalan mulia itu dapat meninggalkan kesan positif dalam jiwa kita. Untuk menghidupkan Ramadhan (ihya' Ramadhan) dengan pelbagai bentuk ibadah perlukan kepada 'al-mujahadah' atau bersungguh-sungguh melawan hawa nafsu.

'Al-mujahadah' dapat membantu kita ke arah pembentukan jiwa yang sentiasa takut (khauf) akan 'balasan akhirat' dan 'pengadilan Ilahi' di Padang Masyar nanti.

Berlapar dan dahaga semasa berpuasa dapat menjernihkan fikiran, mendorong kita lebih banyak beramal dan memperoleh al-hikmah (kebijaksanaan).

Luqmanul Hakim pernah menasihati anaknya: "Wahai anakku, jika perut terisi penuh, fikiran akan tidur, hikmah tidak akan muncul dan anggota tubuh akan malas melaksanakan ibadah".

Dari sudut sosial pula, ibadah puasa dapat mendidik kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri. Sifat kehidupan dunia hari ini yang meletakkan hidup dalam lingkungan persaingan telah mendorong ramai di kalangan manusia menjadi individu yang egoistik dan individualistik.

Jati diri manusia mudah tenggelam di tengah-tengah keegoan dirinya sehingga penyakit rohani seperti iri hati, hasad dengki, dendam dan permusuhan sesama manusia semakin berleluasa dalam masyarakat.

Justeru, puasa yang dilakukan dengan penuh penghayatan akan membawa kita kembali untuk hidup bermasyarakat. Ketika berpuasa, semua kehendak nafsu akan dirasionalkan oleh akal sehingga lapar dan dahaga yang dirasai itu mampu menghapus rasa keangkuhan diri.

Kesedaran ini akan menumbuhkan rasa kasih sayang dan tanggungjawab sosial. Sifat ini akan menjadikan kita lebih peka terhadap orang kurang bernasib baik serta mereka yang berada dalam kesulitan dan musibah.

Sifat belas ihsan ini akan mendorongnya menghulurkan pertolongan, terutamanya terhadap golongan yang hidup di bawah paras kemiskinan (fakir dan miskin).

Kesannya akan wujudlah hubungan harmonis antara golongan kaya dan golongan miskin. Ia sekali gus menolak fahaman Marxisme yang mengatakan golongan kaya dan miskin akan selalu bertentangan (bermusuhan) antara satu sama lain kerana si kaya selalunya menindas si miskin.

Hakikatnya, Islam adalah satu-satunya agama yang dapat menempatkan manusia dalam keadaan yang sama-sama lapar dan dahaga melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Justeru, di bulan Ramadhan yang mulia ini tunjukkanlah kemurahan dan kedermawan kita dengan mengeluarkan sedekah, infak dan zakat. Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan, tetapi puncak kedermawanan baginda adalah di bulan Ramadhan.

Justeru, orang mukmin yang ikhlas hatinya akan berlumba-lumba menghulurkan pertolongan kepada golongan yang memerlukan. Hayatilah maksud firman Allah SWT, "Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebaikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai." (ali-Imran :92).

Apabila kita memberi kepada seseorang maka hendaklah kita beri yang baik-baik kualitinya sesuai dengan apa yang dinyatakan al-Quran, "Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu nafkahkan darinya." (al-Baqarah:267).

Ibadah puasa yang dilakukan dengan penuh ikhlas dan keimanan juga akan dapat memupuk persaudaraan dan silaturahim sesama umat Islam. Inilah masanya hubungan dan perpaduan sesama umat Islam yang telah terjejas dipereratkan kembali.

Untuk mencapai semua kebaikan puasa itu maka perlulah kita laksanakan ibadah puasa kita itu dengan sempurna mengikut lunas-lunas al-Quran dan as-Sunah supaya amalan puasa Ramadan ini membawa kita kepada matlamat akhir iaitu menjadi insan yang bertakwa (al-Baqarah: 183).

Amalan puasa tidak sepatutnya dicemari dengan amalan keji seperti buruk sangka, kebencian, permusuhan, hasad dengki dan iri hati. Hendaklah kita menjauhi marah, mencaci dan mengata nista.

Rasulullah SAW pernah ditanya, "Apakah yang menyebabkan puasa itu menjadi sia-sia?" Lalu baginda menjawab, "bercakap dusta dan mengumpat".

READ MORE

MENYEMBAH ALLAH atau LAILATULQADAR?




“Aku rasa macam malam tadi lah”
“Ish, mana ada. Takkan malam  tadi”
“A’ah la, ko ni memandai je lah”


DURIAN RUNTUH?

 “Sesungguhnya Kami menurunkannya di dalam malam Al-Qadr, dan adakah kau tahu apa itu Malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turunlah para malaikat, dan Ruh(Jibril) dengan izin Tuhan mereka untuk segala urusan. Sejahteralah malam itu sehingga terbitnya fajar” (Al-qadr, ayat 1-5)



Ramai orang mencari-cari malam Al-Qadr ini. Mahu ibadahnya dikira seperti beribadah lebih dari 1000 bulan seperti yang diumumkan oleh Allah swt. Maka bermacamlah caranya orang berusaha mendapatkan malam ini.
Ada yang pada 10 malam terakhir ini, dia bersungguh-sungguh buat ibadah tanpa henti, mengisi waktunya dengan sebenar-benar pengisian. Tak kurang juga yang hanya pilih malam ganjil sahaja, malam genap dia tak sungguh-sungguh. Ada pula yang hebat dalam kira-kira, membuat pengiraan matematik, menjangka bila datangnya Malam Al-Qadr untuk tahun ini dan tahun mendatang.
Macam-macam. Mungkin kita daripada sebahagian dari yang banyak-banyak berusaha itu.
Jadi, setakat hari ini. Sahabat dah jumpa Lailatulqadar? Atau hanya menanti sahaja?



PERSEPSI NEGATIF
 “Betul la. Semalam lailatul qadar. Aku dapat rasa. Tak caya tanya mamat”
“Yelah, aku dapat rasa "sesuatu". Tak sama dengan hari biasa”
“eh, ko ni merepek. tak kan lah!”

Satu pihak menidakkan. Satu pihak lagi mengiyakan.
Menidakkan kerana pada malam itu tidak bangkit, tidak bersungguh-sungguh beribadah pada malam  itu.
Mengiyakan kerana pada malam itu terbangkit tetapi berkemungkinan hari lain tidak bangkit. Jadi hari yang terbangkit, itulah lailatulqadar. Hari yang tak bangkit, itu bukan lailatulqadar.


MENCARI atau MENANTI?
“Menyesal aku makan banyak sangat time berbuke. Tu yang liat sangat bangun malam. ”
“Adoi...kenapalah aku tak kunci jam ni”
“Mah!  Nape ko tak kejutkan aku bangun sahur ha?”
“Gile...macam mane aku leh terlajak suboh gajah nie?”

Macam-macam  Mungkin akan terlintas dalam hati kita yang terlepas lailatulqadar kan?
Sebenarnya, lailatulqadar bukan  kita perlu  tunggu-tunggu atau menanti. Maksudnya, kita tidak sepatutnya menunggu dan mencari-cari tandanya, barulah beribadah.  Jika begitu lagaknya, yang kita sembah adalah lailatulqadar, bukan Allah swt.
Berfikir. Tentu ada hikmah kenapa Allah tidak nyatakan secara spesifik bila dan masa malam yang penuh barakah ini. Yakni, dalam hal lain, sama sepertinya mengapa Allah tidak memberitahu bilakah kita akan mati.


Sebabnya....



 “…Untuk melihat, siapakah antara kamu yang terbaik amalannya…” (Al-Mulk ayat 2)


LAILATULQADAR: LUCKYDRAW
“Loh. Lailatulqadar ni macam luck je. Kalo dapat, dapat. Kalo tak dapat, sudah le”
“Eh. Bukan rezeki Allah nak bagi mana yang Dia suke ke?”
Sebenarnya, lailatulqadar adalah salah satu daripada rezeki-rezeki Allah swt kepada hambaNya yang TERPILIH.
Terpilih bukan bermakna good luck
Tidak terpilih bukan bermakna bad luck

Tetapi terpilih kerana kesungguhnnya, terpilih kerana mungkin ada amalnya yang terangkat di sisi Allah, terpilih kerana dia memang meminta kepada Allah swt dengan penuh KEIKHLASAN dan KECINTAAN.

Agak-agak, adakah gandaan pahala, gandaan amal yang lebih baik dari 1000 bulan itu, Allah akan bagi pada kita, dalam keadaan kita ini lalai kepada-Nya? Dalam keadaan kita ini jauh daripada-Nya? Dalam keadaan kita ini tidak bersungguh-sungguh langsung mendekati-Nya?


SALAH BERDOA 
Siapakah antara kita yang berdoa:
 “Ya Allah, berikanlah aku rezeki dapat beribadah pada malam lailatul qadar”
“Ya Allah, Kau temukanlah aku pada malam lailatul qadar pada Ramadhan kali ini”
Sekadar berjumpa, memang semua kita akan berjumpa dengan lailatul qadar. InsyaAllah tak akan miss punya, melainkan kita tidur dari lepas asar sampai pukul 7.00 pagi esoknya, setiap hari, pada 10 malam terakhir.
Tapi masalahnya, siapa yang diizinkan Allah, dipilih oleh Allah SWT untuk beribadah, memohon apa yang ingin dipohon, pada malam yang mulia ini?
Inilah ruginya orang yang tidak bersungguh-sungguh sejak dari awal Ramadhan lagi. Yang dia tahu, menunggu 10 malam terakhir. Tapi bila tiba 10 malam terakhir, dia tetap tidak mampu bersungguh-sungguh. Kenapa? Kerana dia telah lemah selama 20 hari. Mustahil orang yang tidak pernah makan nasi, boleh makan nasi sebanyak 10 pinggan dalam masa sejam!




MENYEMBAH LAILATULQADAR
 “Ala, kalau sungguh-sungguh daripada awal, tapi kalau malam lailatul qadar tu tertido , sia-sia jugak”
Mungkin?
Tak mengapa. Terlepas pun tak mengapa kalau kita dah sungguh-sungguh dari awal. Bukankah orang yang bersungguh-sungguh dari awal, dia nampak dan faham, terang jelas dan nyata,  kenapa dia beribadah, kenapa dia bersungguh-sungguh.
Dia menyembah Allah, mengharap redha Allah. Bukannya dia menyembah lailatul qadar, mengharap redha malam itu kepadanya.

Dan jangan kita pandang rendah rahmat Allah swt kepada orang yang berusaha mendekatiNya dengan bersungguh-sungguh. Percayalah, bahawa Allah swt tidak akan dan tidak pernah sesekali mensia-siakan hambaNya yang bersungguh-sungguh. Orang yang bersungguh-sungguh, pastinya hanya Allah akan berikan yang terbaik untukNya.

Kalau tak dapat lailatul qadar, tapi dapat redha Allah, dapat pengampunan Allah, bukankah itu sudah dikira cukup bagus? Cukup bernilai?
Kalau dapat lailatul qadar, malam-malam berikutnya tidak bangun qiam. Apa nilainya? Kualiti ibadah pula semakin surut dek teruja sudah mendapat pahala 1000 beribadah.
Padahal bukanlah lailatul qadar itu yang memberikan pahala. Bahkan Allah jualah yang memberikan pahala kepada kita.

Kita masih ada sisa berbaki Ramadhan. Masih sempat perbaiki niat, perbaiki matlamat untuk kita raih redha dan pengampunan Allah swt dalam Ramadhan ini. Mungkin kita terlepas lailatul qadr pada malam 21 atau 23. Tapi pengampunan dan redha Allah itu masih terbuka.
Mari kita bersungguh-sungguh, mendekatiNya, meminta agar Dia membenarkan kita menjadi hambaNya yang terbaik! Yang soleh dan solehah! Bersungguh dan bersemangat dalam beribadah untuk mencapai cinta Allah swt



READ MORE

TIPS MENAHAN MARAH


“Saya rasa memakai tudung labuh itu hanya mengongkong pemikiran. Jumud!” kata seorang gadis.

“Bodoh! Berapa kali aku nak panggil engkau. Sini la!” jerit seorang senior.

Mustahil telinga tidak berdesing mendengar komen-komen di atas. Rasa terhiris dan mudah sahaja untuk bertindak balas. Kita ada seribu satu sebab untuk mengiyakan tindak balas kita sama ada dengan maki hamun semula, selinsing lengan atau kurangkan bercakap banyakkan tindakan, bagi sejibik… sebijik!

Tetapi secara khusus di bulan Ramadhan ini, Rasulullah SAW mengajar sebaliknya.

Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA (riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)

Apabila kamu dimaki hamun, jangan balas dengan maki hamun.
Apabila kamu diajak gaduh, jangan sahut dengan pergaduhan.
Andai kamu digelar bodoh atau dianggap bodoh, jangan tergesa-gesa mahu menunjuk pandai.

Sebaliknya berkatalah… AKU BERPUASA.

Apa ini?
Mengapa Rasulullah SAW mengajar begini?
Apakah Islam menyuruh kita untuk play victim?
Mampukah yang bertahan, menjadi Muslim yang tidak jantan dengan hanya berkata AKU BERPUASA?



JANTAN KITA

Ya, inilah persepsi kita. Bahawa yang jantan itu ialah pada yang pantang dicabar. Pada yang harimau tidur jangan diganggu. Itulah ukuran kejantanan kita.

Tapi hebat Nabi SAW bukan begitu. Sirahnya nyata berbeza.

Ketika seorang lelaki datang kepada Baginda SAW meminta izin untuk menjadi Muslim yang berzina, apakah anda kira Rasulullah SAW tidak terguris dengan permintaan kurang ajar begitu?
Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah SAW tiada sifat marah?

Tidak mampu marah adalah bacul, pasif ala si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan! Biarkan! Pasif!

Tetapi BagindaSAW tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.

Tetapi Baginda SAW itu gagah. Gagah tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah.
Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.

“Biar dia habiskan urusannya!”, kata Baginda tenang.

Lantas Baginda SAW meminta air dan sendiri membersihkannya.
Itulah jiwa kuat yang tulen.

Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!

Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda SAW mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.

Jangan pesimis, Covey menyebutnya sebagai PROAKTIF.
Inilah latihan puasa. Ramadhan datang dengan pakej latihan untuk mengajar kita cara mengawal diri.




LATIHAN RAMADHAN

Bukan puasa kerana tiada makanan. Tetapi puasa kerana melatih diri untuk terkawal. Tidak makan di depan makanan, kerana Tuhan. Bukan bertahan dari membalas kerana lemah dan berjiwa pondan. Tetapi belajar untuk memilih tindakan.

Marah itu perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan, hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidak setujuan, Ia tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.

Rasulullah SAW pernah marah, tetapi marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan sahabat mencari yang terbaik pada tindakan. Sebab marah itu emosi. Bila kita emosional, kita tidak rasional. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang sesalan.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq kepadamu membawa satu berita, siasatlah terlebih dahulu. Agar jangan nanti kamu bertindak ke atas suatu kaum dengan kejahilan. Lantas semua itu akan mengheret kamu kepada penyesalan atas apa yang kamu lakukan” (Al-Hujurat : 6)
Bagaimana mahu menyiasat?
Bagaimana mahu bertindak dengan tepat?
Andai terlalu mudah melenting dan sentiasa membalas berita dengan tindakan tanpa usul periksa.

Inilah yang diajar oleh Ramadhan. Mengajar Muslim untuk kembali mampu mengawal diri. Tidak mudah terangsang. Tidak terburu-buru mengambil tindakan.

Khusus bagi pendakwah yang memperjuangkan Islam. Tugas kita bukan mencegah kemungkaran semata, tetapi harus berusaha mengubah suasana.

“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tanganmu…”
Apa yang dituntut bukan hanya menyatakan ketidak setujuan dan penentangan, tetapi harus berusaha mengubahnya. Sirah Nabi banyak mengajar kita bahawa jarang benar perubahan dapat dilakukan jika kita hanya tahu marah dan menunding salah.

Sesungguhnya, Ramadhan banyak mengajar kita supaya melatih diri menjadi mukmin bertaqwa lantas menggarap cita-cita menjadi penghuni syurga. Berjumpa kita di alam syurga! insyaAllah..

READ MORE

THE MOST POPULAR POST