TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

TIPS MENAHAN MARAH


“Saya rasa memakai tudung labuh itu hanya mengongkong pemikiran. Jumud!” kata seorang gadis.

“Bodoh! Berapa kali aku nak panggil engkau. Sini la!” jerit seorang senior.

Mustahil telinga tidak berdesing mendengar komen-komen di atas. Rasa terhiris dan mudah sahaja untuk bertindak balas. Kita ada seribu satu sebab untuk mengiyakan tindak balas kita sama ada dengan maki hamun semula, selinsing lengan atau kurangkan bercakap banyakkan tindakan, bagi sejibik… sebijik!

Tetapi secara khusus di bulan Ramadhan ini, Rasulullah SAW mengajar sebaliknya.

Bukanlah puasa itu (hanya) menahan diri dari makan dan minum. Sebaliknya ia juga harus tertahan dari perkara lagha dan lucah. Apabila kamu dimaki atau diperbodohkan, berkatalah AKU BERPUASA (riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068)

Apabila kamu dimaki hamun, jangan balas dengan maki hamun.
Apabila kamu diajak gaduh, jangan sahut dengan pergaduhan.
Andai kamu digelar bodoh atau dianggap bodoh, jangan tergesa-gesa mahu menunjuk pandai.

Sebaliknya berkatalah… AKU BERPUASA.

Apa ini?
Mengapa Rasulullah SAW mengajar begini?
Apakah Islam menyuruh kita untuk play victim?
Mampukah yang bertahan, menjadi Muslim yang tidak jantan dengan hanya berkata AKU BERPUASA?



JANTAN KITA

Ya, inilah persepsi kita. Bahawa yang jantan itu ialah pada yang pantang dicabar. Pada yang harimau tidur jangan diganggu. Itulah ukuran kejantanan kita.

Tapi hebat Nabi SAW bukan begitu. Sirahnya nyata berbeza.

Ketika seorang lelaki datang kepada Baginda SAW meminta izin untuk menjadi Muslim yang berzina, apakah anda kira Rasulullah SAW tidak terguris dengan permintaan kurang ajar begitu?
Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah SAW tiada sifat marah?

Tidak mampu marah adalah bacul, pasif ala si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan! Biarkan! Pasif!

Tetapi BagindaSAW tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.

Tetapi Baginda SAW itu gagah. Gagah tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah.
Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.

“Biar dia habiskan urusannya!”, kata Baginda tenang.

Lantas Baginda SAW meminta air dan sendiri membersihkannya.
Itulah jiwa kuat yang tulen.

Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!

Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda SAW mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.

Jangan pesimis, Covey menyebutnya sebagai PROAKTIF.
Inilah latihan puasa. Ramadhan datang dengan pakej latihan untuk mengajar kita cara mengawal diri.




LATIHAN RAMADHAN

Bukan puasa kerana tiada makanan. Tetapi puasa kerana melatih diri untuk terkawal. Tidak makan di depan makanan, kerana Tuhan. Bukan bertahan dari membalas kerana lemah dan berjiwa pondan. Tetapi belajar untuk memilih tindakan.

Marah itu perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan, hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidak setujuan, Ia tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.

Rasulullah SAW pernah marah, tetapi marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan sahabat mencari yang terbaik pada tindakan. Sebab marah itu emosi. Bila kita emosional, kita tidak rasional. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang sesalan.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang seorang fasiq kepadamu membawa satu berita, siasatlah terlebih dahulu. Agar jangan nanti kamu bertindak ke atas suatu kaum dengan kejahilan. Lantas semua itu akan mengheret kamu kepada penyesalan atas apa yang kamu lakukan” (Al-Hujurat : 6)
Bagaimana mahu menyiasat?
Bagaimana mahu bertindak dengan tepat?
Andai terlalu mudah melenting dan sentiasa membalas berita dengan tindakan tanpa usul periksa.

Inilah yang diajar oleh Ramadhan. Mengajar Muslim untuk kembali mampu mengawal diri. Tidak mudah terangsang. Tidak terburu-buru mengambil tindakan.

Khusus bagi pendakwah yang memperjuangkan Islam. Tugas kita bukan mencegah kemungkaran semata, tetapi harus berusaha mengubah suasana.

“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tanganmu…”
Apa yang dituntut bukan hanya menyatakan ketidak setujuan dan penentangan, tetapi harus berusaha mengubahnya. Sirah Nabi banyak mengajar kita bahawa jarang benar perubahan dapat dilakukan jika kita hanya tahu marah dan menunding salah.

Sesungguhnya, Ramadhan banyak mengajar kita supaya melatih diri menjadi mukmin bertaqwa lantas menggarap cita-cita menjadi penghuni syurga. Berjumpa kita di alam syurga! insyaAllah..

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST