Dr. Raghib As Sarjani pernah menyebut dalam satu kuliah-kuliahnya yang berkait soal solat jemaah di kala subuh, "Salah seorang penguasa Yahudi menyatakan bahawa mereka tidak takut dengan orang Islam kecuali satu hal berlaku yakni bila jumlah jemaah solat Subuh menyamai jumlah jemaah solat Jumaat".
Atas dasar apa orang Yahudi itu berkata demikian, tidak pula dinyatakan secara pasti. Namun, jika kita sendiri melihat situasi ini lebih dekat, ada logik dan kebenarannya.
Terfikirkah kita, pada tahun 80’an pernah berlaku sebuah demonstrasi di negara akibat dari terjadinya satu tragedi besar dalam dunia Islam. Tentera Soviet Union (yang belum berpecah seperti sekarang) telah menyerang Afghanistan.
Pada ketika itu Nur Muhammad Taraki, Babrak Karmal dan lain-lain tali barut komunis telah menjadi musuh yang “menjemput” tentera Rusia menjajah Tanah Air mereka sendiri. Pelajar-pelajar Islam di universiti tempatan ketika itu bangun melancarkan demonstrasi. Para pemimpin pelajar telah membakar emosi dan menimbulkan rasa marah yang amat sangat kepada Komunis Rusia. Bendera Soviet, patung Breznev dan Babrak Karmal telah dibakar.
Ucapan yang berapi-api telah disambut oleh jeritan, “Allah hu Akbar! Allah hu Akbar!” telah bergegar di padang tempat berlakunya protes dan tunjuk perasaan.
Tiba-tiba keesokan harinya, sewaktu matahari sedang terpacak di langit yang paling tengah dia masih tidur lagi malah belum solat subuh pula.
Berhasilkah natijah demonstrasi semalam dengan melesukan diri dari perkara yang paling utama, wajib iaitu solat Subuh berjemaah, sedangkan waktu semangat yang memuncak, bagaikan semua telah bersedia untuk dihantar ke Afghanistan untuk membantu Mujahidin bagi melancarkan jihad?
Ke mana perginya semangat berapi-api semalam? Tidak ada laungan Allah hu Akbar lagi sekalipun untuk sekadar bertakbiratul Ihram.
Juga terfikirkah kita, pada tahun 90'an sebuah demonstrasi rakyat Malaysia pernah berlaku akibat dari seorang bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, tokoh negara, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dilucutkan jawatan kerana tuduhan-tuduhan yang tidak berasas. Termasuklah tragedi yang menimpa kepada Al Marhum Dato' Ishak Baharom, Mufti Selangor yang sangat kita sanjungi kerana keberanian dan tindakan wajarnya
Negara waktu itu kembali bergegar dengan laungan reformasi, jeritan bebaskan kehakiman di Malaysia, pulihkan demokrasi, hormati institusi ulama' dan sebagainya. Demonstrasi itu tidak salah, tetapi wajarkah pada keesokan harinya, kita tertinggal waktu Subuh berjemaah? Lantaran kepenatan semalaman menjerit dan berteriakan.
Ke mana perginya semangat berkobar-kobar semalam? Tiada lagi jeritan BEBAS dari keempukan bantal yang diperhambakan. Tiada lagi laungan supaya menghormati nasihat dan pesan ulama. Adilkah kita dengan kewajipan yang khusus Allah letakkan kepada diri kita? Terlunaskah demokrasi yang sewajibnya kita lakukan terhadap diri kita dahulu? Dan terfikirkah kita, 2-3 tahun sebelum ini kita pernah marah dan melonjakkan perasaan tersebut di demonstrasi jalanan. Kita berteriak dengan perkataan hancur dan jahannam Israel!!
Disebabkan kekejaman mereka, kezaliman Levni dan Olmert menghancur-lumat penduduk yang sah menghuni di Palestin. Bendera Israel dipijak-pijak, dibakar-bakar, dikoyak-koyak bagai perca kain yang bertaburan. Tetapi malangnya, pada keesokan hari kita masih terkandas Subuh berjemaah.
Cuba fikirkan mengapa terjadi demikian?
Akan gerunkah musuh Islam kepada umat yang tidak solat Subuh berjemaah ataupun tidak bangun Subuh langsung?
Pada hal demonstrasi hakiki yang benar-benar menggerunkan musuh (berdasarkan pengakuan penguasa Yahudi sendiri) ialah solat Subuh secara berjemaah yang dilakukan oleh majoriti umat Islam.
Tidak salah membakar bendera negara yang menzalimi umat Islam, tetapi alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu “membakar” selimut syaitan, selimut kejam yang menghalang kita dari bangun untuk solat Subuh berjemaah?
Tidak salah bertempik dan bertakbir bagi menunjukkan kemarahan kita terhadap musuh Islam, menyatakan yang hak ditengah-tengah umat supaya mereka berjaga-jaga dari bahayanya. Tetapi alangkah baiknya jika suara itu juga digunakan untuk bertabiratul Ihram dalam saff yang sama bersama imam, yakni solat Subuh secara berjemaah.
Mampukah orang yang “liat” bangun Subuh berjemaah demi cintanya kepada Allah berangkat ke medan jihad untuk memerangi musuh Allah? Atau musuh yang berselindung membenci agama Allah, jika kita sendiri masih berselindung di lipatan-lipatan selimut yang berkerak-kerak?
Marilah kita renungi dua hadis ini, pesanan untuk diri ini terutamanya :
1). Rasulullah SAW telah bersabda : “Barangsiapa yang solat Isyak berjemaah maka seakan-akan dia telah solat separuh malam. Dan barang siapa solat Subuh berjemaah (atau dengan solat Isyak seperti yang tertera dalam hadis Abu Daud dan Tirmizi) maka seakan-akan dia telah melaksanakan solat malam semalam penuh” (HR Muslim).
2). Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya dua solat ini (Subuh dan Isyak) adalah solat yang berat bagi orang munafik. Sesungguhnya, apabila mereka mengetahui apa yang ada dalam solat Subuh dan Isyak, maka mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak” (HR Ahmad dan An Nasa’ie)
sumber : tarbawi.my
p/s : artikel ini ditulis ketika demonstrasi BERSIH 2.0 semakin hampir dengan tarikh keramatnya, untuk memberkati keberhasilan sesuatu perkara atau pekerjaan termasuklah demonstrasi aman BERSIH 2.0, perlu didahulukan perkara yang wajib terutamanya demonstrasi suboh, yakni solat suboh berjemaah dan sebaiknya di masjid
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."