TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

APAKAH BENTUK MENGUMPAT YANG DIBENARKAN?


Jika kita lihat isu semasa tanah air kita di dada akhbar, televisyen, dalam ceramah agama mahu pun khutbah jumaat terlalu banyak limpahan isu yang berbaur fitnah, bersifat menyerang peribadi, saman menyaman, tuduh menuduh dan acara hentam menghentam. Soalnya, kita sebagai permerhati bagaimana kita menilai isu yang berbangkit dengan berlandaskan Al-quran dan sunnah? Bagaimana kita melihat isu politik dalam perspektif islam?

Soal memilih parti mana, itu perkara yang berasingan. Tetapi penulisan ilmiah di sini menyeru kepada kita semua agar cintakan kebenaran dan keadilan. Sebagaimana kita suka menyuburkan kebenaran di pelbagai peringkat kehidupan, kita juga perlu peka kepada lawan kebenaran itu. Kebatilan tidak boleh disembunyikan. Ia mesti diperkatakan! Malah keamanan tidak sesekali berkompromi dengan kebatilan. Yup! Islam itu agama kedamaian dan kesatuan, tetapi bukan atas nama kesatuan itu, perkara batil kita diamkan! - Ust Hasrizal

Mungkin permulaan sudah cukup untuk difahami, namun untuk olahan lebih lanjut secara ringkasnya akan membincangkan isu :

1. Mengumpat yang dibenarkan dalam islam
2. Cara menilai umpatan yang sahih (benar) dan bukan khabar angin
3. Pandangan penulis menjawab dilema si pemerhati



MENGUMPAT (GHIBAH) YANG DIBENARKAN DALAM ISLAM

Apakah hukum mengumpat?

Hukum asal (mengumpat) memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Namun dikecualikan bagi 6  situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin) :

A) Apabila diri dizalimi. Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

B) Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; "Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia".

C) Bertujuan mendapatkan fatwa (pandangan agama). Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; "Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?".

D) Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan. Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

E) Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

G) Untuk memperkenalkan seseorang. Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.




MENGUMPAT DALAM CERAMAH?

Secara praktikalnya, apa yang ingin ditekankan dalam kita menghadam setiap ucapan, isu dan kenyataan baik dari segi peribadi, parti politik atau sesuatu badan persatuan, adalah kenapa isu ini timbul?

Apa yang boleh saya berikan pandangan :

1. Supaya masyarakat tahu dan ambil tahu tentang situasi yang sedang berlaku di sekeliling mereka.

2. Supaya mereka tidak dizalimi dan tertipu oleh pemimpin dan golongan tersebut.

3. Jika ada gelaran buruk yang sering terbit dari bibir penceramah dalam ucapannya, dari sudut positif, mungkin sebagai perumpamaan, analogi atau bahasa yang paling mudah untuk difahami dalam melabelkan individu tersebut. Dari sudut negatif, perlu ditegur dan diperbaiki.

Mungkin niat penceramah, dan isi kandungan ceramahnya bersifat baik dan mulia, namun bila diselangselikan dengan gelaran tidak baik atau isu kontroversi yang belum sahih kebenarannya, ia perlu diselidiki dan ditegur secara berhemah agar tiada salah faham.

4.  Supaya masyarakat dapat menilai dan mengangkat pemimpin yang benar-benar bertaqwa, ikhlas dan BERSIH dalam memperjuangkan islam tanpa kompromi rasuah, kronisme, penyalahgunaan kuasa dan maksiat




CARA MENILAI UMPATAN YANG BENAR

A) Memerhati niat dalam hatinya. Apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja.

Jika hati benar-benar berkata; "Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah", maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; "Ini hanya keinginan nafsu sahaja", batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

B) Hendaklah mengukur natijah darinya. Adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

C) Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

D) Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain. Yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.




SATU PANDANGAN YANG KERDIL

Tak salah sebenarnya dalam mengikuti dan mendengar ceramah politik asalkan kita bijak menilai dan tidak cepat melatah. Pendek kata, harus perlu berdisplin dalam menuntut ilmu. Ceramah politik adalah salah satu pentas alterbatif untuk kita dapatkan pendedahan isu atau maklumat yang sebenar. Mungkin ada kelemahan dari segi teknikal tetapi harus diingat setiap ciptaan pasti ada kelemahan dan kitalah generasi yang perlu men-TRANSFORMASI-kannya ke arah keredhaan Ilahi.

Jangan disebabkan kelemahan ini, ia menjadi alasan dan penyebab untuk berseteru dan membelakangkan para ulamak dan golongan alim. Selagi mana ilmu mereka diiktiraf halal di sisi Islam dengan penilaian dari sudut kaca mata Al-quran dan bukannya mereka yang bernafsukan kuasa dan material, maka sewajarnya kita mengangkat, menghormati! serta meraikan kepelbagaian pendapat dan kuasa pemikir mereka. 

Kita sedar dan insaf bahawa zaman penuh fitnah ini sangat mudah untuk bergelumang dengan najis tipu daya syaitan jika mengabaikan lunas-lunas syariat. Itu adalah suatu kemestian sebagai manusia yang lemah. Andai kata kita ternampak kepelikan yang luar biasa daripada kebiasaan orang beragama, maka jalankanlah tanggungjawab kita.


Mungkin, sampai di sini sahaja coretan yang boleh dibangkitkan dalam keterbatasan waktu. InsyaAllah akan bersambung. Maaf sangat atas pendapat yang tipis.

Nota : untuk penjelasan lebih lanjut dan lebih hebat, telah diwartakan di sini (klik). Selamat membaca!

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST