TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

PERTAMA KALI SAYA LUAHKAN PERASAAN





Bismillahirrahmanirrahim. Dengan izin nama Allah, saya menulis artikel untuk kali ini dari hati ke hati. Ya. Dari hati ke hati. Walaupun bakal menjadi panjang lebar, tetapi bersabarlah membaca. Kerana saya perlu luahkan juga apa yang terbuku. Sudah lama saya simpan perasaan ini. Sekian lama saya memendam rasa.

Mungkin selama ini, ada sesetengah pembaca meluahkan hati, masalah dan kerisauan kepada saya. Jadi, kali ini tibalah giliran saya pula. Dengarlah isi hati saya pula. Saya ikhlas ingin mengajak pembaca rasa apa yang saya rasa. Faham apa yang saya fahami. Berfikrah seperti fikrah saya.





1. POLITIK. "Dulu berminat dengan blog Dr, selalu datang melawat menambah ilmu.. tapi bila dr dah mencampurkan isu poLitik, agak tersentap, dan semakin kurang rasa ingin menjejakkan kaki ke blog dr" :(

Saya tahu sejak akhir-akhir ini ramai tidak sudi berkunjung ke blog saya. Bukan sekali dua komen begini. Banyak kali. Ada yang menyindir. Ada yang kecewa membawa hati. Sedih. Geram. Memberontak.

Bila melihat situasi begini. Saya terkenang zaman di sekolah. Perasaan yang sama dilahirkan.

Rumah saya kecil dan sempit dahulu, hanya memuatkan saya dan abang untuk belajar di hadapan TV. Setiap hari saya mendengar berita di TV3. Tetapi saya kehausan. Mencari-cari sesuatu.

Ramai kawan pelik dan menyindir saya membaca Harakah. Gaya saya membaca Harakah lebih syok daripada membaca buku sekolah. Siap bergaris dengan pen merah dan mengamati satu baris ayat ke ayat lain. Berjam mengambil masa untuk menghayati Harakah.

Kalau orang lain sudah tentu bosan. Artikel yang panjang amat letih untuk dibaca. Tetapi saya cukup puas! Banyak informasi, ulasan, fakta, bukti dan hujah yang tiada di TV. Pantang saya kalau Harakah dijadikan bungkusan nasi lemak seperti Utusan. Cukup beza.

Hujah yang diselami ayat-ayat Al Quran begitu meyakinkan. Cukup dalam maksud tersirat di sebaliknya. Kebetulan saya pemidato sekolah. Menjadi habit saya membaca secara kritikal. Mengkaji bukti dan logik untuk berhujah.

Cuma peliknya di tingkatan 5, saya tak pernah buat "homework sekolah" tetapi saya suka buat homework rumah ini. Walaupun meja saya paling hadapan dan bertentangan dengan meja cikgu di kelas, saya tak pernah buat kerja rumah atau latihan Bahasa Melayu walaupun sesi pengajaran. Tetapi setiap peperiksaan Bahasa Melayu saya pasti dapat A dan kertas karangan saya diphotostat oleh kawan-kawan sekelas.

Saya berkongsi dengan kawan-kawan, pentas pengucapan awam seperti pidato, debat dan perhabasan menjadi kunci atau medium kejayaan. Bahasa Melayu hanya perlu banyak membaca mengikut etikanya. Maksudnya, membaca pelbagai sumber dan perlu dikaji bukti untuk menguatkan hujah sandaran.

Saya, ketika itu, membesar dalam keadaan tertanya-tanya :

a. Salahkah saya hanya membaca Harakah? Perlukah disorok-sorok?
b. Haramkah? Berdosa besarkah membaca Harakah? Saya pembangkang?
c. Persepsi begini siapa dan media mana yang cipta?
d. Di manakah kebebasan saya? Kebebasan media? Kebebasan bersuara?

Sejak daripada "trauma" sedemikian  saya rasa negara ini memang "lain macam".





2. KEADILAN. Perlukah keadilan dan kebenaran disembunyikan? Sebagaimana kita mahu orang lain adil kepada kita. Poltik begitu juga. Walhal politik banyak mentarbiyyah (mendidik) diri bahawa kebenaran perlu ditegakkan. Kebatilan perlu diperkatakan. Membuka aib dan bercerita keburukan pemimpin adalah harus dan boleh jatuh wajib berdasarkan kezaliman dan penindasan yang melampau.

Berkata benar walaupun pahit. Jika urustadbir amanah, bersih dan adil, tiada sebatang tubuh pun akan mengkritik kerajaan.

Adakah kerajaan kita terlalu maksum untuk dikritik?
Kenapa tidak dilayan kritikan secara berhemah dan profesional?
Di mana hak bersuara rakyat?

Banyak juga artikel politik yang saya tulis dalam blog ini. Baca, fahami dan kajilah sebaiknya.

Saya masih ingat satu ketika di tingkatan 3, dalam Harakah bahagian soal jawab bersama Timbalan Mursyidul PAS, Dato' Dr Harun Din, soalan dan isunya lebih kurang sama. Sampai sekarang saya masih ingat analogi mudah yang diberikan oleh beliau bahawa :

"Politik itu diibaratkan seperti tandas. Tandas yang baru siap pada permulaannya bersih tapi telah menjadi kotor dek sikap tidak bertanggungjawab pengguna tandas yang mengotorkannya sesuka hati"

Politik tidak kotor sahabatku.

Politik hanya menjadi kotor bila pengotor mengotorkannya. Merekalah orang yang langsung tiada integriti dan jauh daripada agama. Seperti yang diperli oleh Rasulullah SAW dalam 1 hadis popular, bahawa umat akhir zaman ini lebih cintakan dunia, takutkan mati. Mereka tidak tegakkan islam dalam diri dan keluarga mereka.

Apatah lagi masyarakat?

Sekali lagi saya ingatkan. Diri kita perlu bersikap adil dengan politik. Anda jauh dengan politik kerana kerajaan yang memerintah pada hari ini. Anda boleh salahkan mereka. Saya kupas secara rambang dari sudut individual, ideologi pembawaan, pengaruh sosial dan psikologi.

Bukti :

a. Nilai integriti politik kotor pemerintah. Mengamalkan rasuah, menyeleweng duit rakyat, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya. Terlalu banyak bukti kes berprofail tinggi yang rakyat sudah tahu. Tetapi masih tiada tindakan serius. Ibarat mengubati kanser tahap 4 menjadikan barah usus yang membusuk. Jika displin agama tidak ditegakkan dalam diri sendiri, bagaimana menegakkan agama dalam negara?

"Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah." Demikianlah ucapan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq ketika dilantik menjadi khalifah. 

b. Ideologi pembawaan. Dengan bertunjangkan ketuanan Melayu kononnya untuk mengembangkan islam. Kita boleh nilai sejauh mana keberkesanan ideologi ini dalam arus islamisasi. Tidak perlu dibawakan fakta yang terlalu sarat tentang peningkatan saban tahun statistik kes murtad, zina, anak luar nikah, penghidap AIDS/HIV dan kes jenayah yang lain.

Berkiblatkan fikiran logik manusia yang lemah dan menolak hukum Tuhan dalam menyelesaikan kerosakan yang dibuat oleh manusia sendiri. Tidak perlu sentuh bab hudud, undang-undang syariah yang sedia ada berkurun lamanya belum lagi dikuatkuasakan sepenuhnya. Malah orang agama sendiri boleh menyeleweng wang zakat demi kepentingan sendiri dan kes ini tidak diadili seperti selayaknya.

c. Pengaruh sosial. Setiap hari rakyat disajikan dengan hiburan yang melampau. Ideologi hedonisme yang menguntungkan duit poket. Tidak perlu saya cakap banyak lihat sahaja di lubang telinga remaja. Siang malam disumbatkan dengan earphone. Fesyen-fesyen terdedah dan songsang daripada syariah menjadi kegilaan setiap lapisan masyarakat. Masyarakat terdidik dengan habuan materialistik dan keduniaan.

Anak yang baru sahaja lahir telah menghirup udara kerosakan dan keruntuhan nilai moral. Mereka membesar dengan tidak normal. Tidak kenal agama. Jangan terkejut jika terjumpa stastistik tinggi menunjukkan pelajar sekolah rendah tidak reti solat dan sudah berpasangan. Malah ada yang mengaku dengan bangga tiada dara.

d. Psikologi. Suapan demi suapan keduniaan oleh pihak pemerintah menyebabkan rakyat mementingkan diri dan tidak cakna dengan kesedaran penghayatan beragama. Jika mereka sedar politik sebahagian daripada agama dan aqidah mereka, kerajaan sesekali tidak akan berani menyentuh wang rakyat! Mereka pasti takut melangar perintah Allah.

Tetapi sebaliknya berlaku. Mereka berjaya "psycho" rakyat dengan sogokan wang dan habuan dunia. Sama ada directly or indirectly. Rakyat terkunci. Diam membisu. Terhimpit antara miskin atau kaya. Antara benar atau salah. Seperti robot meneruskan kehidupan ala kadar. Jika seorang pelajar lebih gemar kepada 4K : Kafe, kuliah, katil dan "kapel".

Jika anda seronok membaca gosip. Atau hanya membaca ruangan agama tanpa politik, berhati-hati dengan pemahaman aqidah sebenar anda. Negara ini kita yang punya. Politik islam adalah cita-cita kita. Pemimpin islam berada di tangan kita. Ubahlah pemimpin yang terlalu kronik penyakit kedegilan beragama. Penyakit ini memang tiada ubatnya. Hanya tunggu saat pacakan dua batu nisan di atas kubur kezaliman. 

Mungkin setakat ini dahulu perkongsian saya dari hati ke hati. Bisa berhujah sudah lama terlucut dek ketidakbiasaan melontarkan pendapat lagi kerana dimamah masa kesibukan perubatan. Kamu beruntung. Punya masa yang banyak dengan kehidupan sosial. Saya tidak pasti apa perasaan ini. Pagi-pagi lagi dengar seorang doktor merungut, "belajar jadi doktor susah, nak jadi doktor pun lagi susah".

Yang pasti, doktor bukan sebarangan doktor. Doktor untuk ummah tidak akan berhenti menjadi hamba kepada hospital. Cita-citanya tinggi tetapi menuntut doa daripada kalian juga.

Sedikit pesanan saya.

1. Saya bukan Hilal Asyraf mahu pun blog Dr Cinta yang menulis hanya untuk cintan cintun, soal hati atau keagamaan dengan menolak tepi soal politik, isu semasa dan negara. Bakat ini untuk ummah bukan dipendam. Sampai bila diri kita nak maju terkehadapan bila tiap-tiap hari asyik berbincang topik cinta dan masalah hati. Negara dan islam sedang memerlukan pemikiran kritis anak muda.

2. Saya tidak kisah pengunjung blog, follower atau peminat blog ini makin berkurangan. Keadilan dan kebenaran memang pahit. Lagipun saya tidak rugi apa pun. Anda menolak kebenaran. Andalah rugi.

3. Sudah ditekan awal lagi. Blog ini sekadar berkongsi. Saya masih jahil dan bertatih dalam dunia termasuklah dalam bidang saya sendiri. Jadi saya mengambil stand bahawa, hakikat kejadian seorang dai'e bukanlah pengajak semata-mata tetapi berkongsi. 

Sebab apa? Kalau ajak, orang tak nak kita akan frust menonggeng. Akhirnya, kita sendiri angkat kaki tinggalkan dakwah. 

4. Jadilah pelahap dalam membaca. Bukan sekadar membaca melepaskan batuk di tangga tetapi kritis dan kritikal dalam menilai. Biasakan diri. Sudah tentu ketemu kebenaran. Seperti islam juga. Islam kita hanya diwarisi, kita perlu mencari kebenaran islam yang sebenarnya di dalam diri kita sendiri. Tiada istilah rehat mencari kebenaran.





9 comments:

  1. alhamdulillah.. moge kita sentiasa tetap dengan apa yg kita yakini selagi mana ia dilandasi dgn syariah. insyaALLAH

    ReplyDelete
  2. insyaAllah...
    luahan hati yang sangat memberi kesan pada jiwa..terima kasih doktor..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum dr,,, saya org yg menulis komen tersebut, Saya sekadar memberitahu apa yang saya rasa, mungkin saya masih terlalu muda, saya masih pelajar,,, Seribu kemaafan dipohon seandainya komen tersebut mengguriskan hati dr, saya hanya seorang insan yang tak lari dari kesalahan, maafkan saya dr...

    ReplyDelete
  4. luahan hati doktor sangat memberi kesan kepada saya untuk kembali berfikir sejenak dan renungkan kembali

    ReplyDelete
  5. :) saya suka & saya amat bersetuju . moga enti kuat dan tabah ya, moga thabat,, keep mujahadah,, insyaALLAH.. bersama seeking for mardhatillah.. :) may ALLAH bless

    ReplyDelete
  6. truskan usaha ^^ harap dpt jd doktor utk ummah juga! amin ya robb~

    ReplyDelete
  7. kagum dengan semangat saudari,
    teruskan perjuangan, jangan pernah berhenti.
    pernah satu ketika dulu, minda dijajah oleh media.
    pernah juga cuba menolak politik dari agama, alhamdulillah diri ini tersedar,
    Adalah tanggunjawab kita bersama membebaskan minda2 mereka yg dijajah.

    ReplyDelete
  8. yup... pemuda skrg terlalu ghairah dlm keduniaan sampai tak sedar tggungjwb pada agama dan negara.. kita terlalu dilalaikan dgn hiburan melampau, hilang jati diri, penakut, dan MALAS berfikir untuk ummah, untuk negara, untuk agama.. bila ad yg mula bersuara, menuntut hak, menuntut perubahan, menuntut kembali tenaga pemuda utk perjuangan demi masa depan kita, semua tuding jari, kamu salah! habiskan belajar dulu..! hakikatnya, kita semua sdg membazirkan masa dgn sekdr education semata yg tnpa sdr kita belajar utk jdi pentgkn diri, x kritis, x fkir psl rkyt, x peduli isu semasa...
    usah pandang jauh2, usah pandang semangat pemuda Mesir, Tunisia dan Syria yg sggup bermatian pertahan negara, agama, rakyat.. andai itu tidak kita mampu..

    pandang shj pd sejarah perjuangan pemuda malaysia, sejarah perjuangan mahasiswa suatu ketika dahulu, pndang peranan mereka, pndg peribadi mereka yg bukan pd buku semata, mrk mmpu bngkit membela rkyt, jdi jurubicara rakyat, membidas kerajaan, berani bersuara, teliti sejarah mereka, pndang peribadi dan pendirian mrk, kenapa mereka mampu berfkir utk negara, sdgkan kita x boleh.. kenapa kita harus belajar utk akademik semata..? kenapa kita x nak fikir? hakikatnya, kita lebih gemar bergosip ariff alfian dan amalina cek bakri drp berfkir isu negara yg entah mcm mana.. sdgkan itu mse dpn kite..
    kita sibuk berckp aib orang.. ibarat sepohon pkok yang daunnya rosak, and kita marah2 pd daun2 rosak itu tnpa lihat pd akar yg bermslh..

    andai kita berkata, dulu rkytnye miskin n perlu dibela, skrg semua sudah KAYA? hakikatnya, mslh sosial makin berleluasa, mane usaha kita nk membendungnya, mane kesedaran kita utk menyedarinya, mna kematangan kita utk fikir tentangnya? belum lagi masuk bab rasuah, judi, murtad, dan kita pandang jer..kan? geleng kpla, cegah dlm hati shj? x pn kutuk dlm fb..

    jom pemuda, bangkit, anda harus berani, berani utk bertanya, berani utk mengkaji, berani utk sedar, berani untuk bangun bertindak, berani utk bersatu, jgn pentingkan dri sendri lagi.. selamat berjuang untuk era kita, masa depan kita.

    *realitinya, aku dulu pn tidak mahu peduli sbb asyik fikir study, tp perkembgn terkini bt ak sedar, sesuatu harus dilakukan, kita penentunya*

    didik pemikiran, tingglkn dunia hiburan, jom berfikir utk ummah, agama, bangsa, dan negara, itu tggungjwb kita.. pemuda, jom kita peduli!

    ReplyDelete
  9. syabas kepada anda,

    di saat bertebaran blog milik wanita mengajak pembaca menerawang ke alam cinta,rintihan yang sepatutnya hanya perlu disimpan dan medan meluah perasaan yang terbungkam di hati dek tak ketemu pasangan, anda secara tidak langsung sedang 'membaiki' persepsi terhadap blogger wanita.

    Benar,realitinya pemikiran yang kritikal tidak ramai peminatnya; padahal kalau hendak dibuat perumpamaan; jikalau manusia itu sakitnya kritikal,perlukan rawatan,penjagaan dan pemerhatian rapi. Tetapi sekarang pemikiran kritikal hanya ditinggalkan dan terserah bulat-bulat kepada sosok pemerintah memanipulasikannya dan merendahkan pemikiran rakyat dari sehari ke sehari.

    Kami memerlukan lebih ramai lagi pejuang,pemikir dan penggerak seperti anda.syabas.ALLAHU AKBAR!!

    ReplyDelete

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST