TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

MENCINTAIMU SECARA DIAM


Tolonglah! Jangan seksa jiwa batin saya begini. Awak telah curi hati saya. Tapi awak tidak bertanggungjawab! Sanggup awak buat saya macam ni, gantung tidak bertali. Siang malam saya teringatkan awak. Awak hadir dalam mimpi saya. Dalam bayang-bayang saya. Apa yang perlu saya buat?

Awak di sana. Saya di sini. Saban waktu saya menunggu mesej daripada awak. Jantan yang ditunggu tidak kunjung tiba, jantan lain pula masuk line. Awak tak cemburukah? 3 tahun menunggu cukup lama. Saya tidak boleh tahan lagi. Tolonglah fahami perasaan saya.

Monolog aku sendirian.

Air mata ini kadang terlalu murah kerana cinta. Berendam hujan tidak kira siang malam. Jika dunia melihatku, betapa buruknya aku. Apatah lagi di hadapan Allah dan ibubapa. Aku malu. Cukup malu.

Tapi apakan dayaku?


Terlanjur mencintainya begitu menyeksakan. Telah ku serahkan hati ini kepadanya. Bila dia hadir dalam hidupku, hari-hariku berlalu dengan indah dan bahagia. Di dalam hati ini ada taman bunga yang hidup segar mewangi. Aku benar-benar menyayanginya. Dia sangat baik bagi pandangan mataku. Lengkap segala impian untuk dibina masjid bersama.

Apatah lagi berlatarbelakangkan agama sudah memberi kredit yang lumayan dalam menempah banglo besar di syurga kelak. Aku yakin dialah bakal suamiku. Tiada siapa yang dapat menghalang kami. Ya, aku dan dia adalah pasangan kekasih yang pasti dan pasti akan diijabkabulkan dan berkekalan hingga nafas terakhir.

Khayalanku semakin jauh menerobos tembok bilik. Buku di hadapan muka bukan lagi fokusku.

Arghhhhhhhh!!!!!!!

Berendam lagi aku malam ini. Esok ada kuliah pula. Kacau betullah! Ya Allah, bantulah aku hambaMu yang lemah. Aku tidak tahu apa sudah jadi pada diriku. Aku tak tahu nak buat apa. Aku rimas dalam dakapan bayang-bayang ini.

Allah………….

Ku tepis sekuat hati buku di hadapan jatuh ke lantai. Sambil teresak-esak aku mengambilnya kembali. Entah mengapa aku terlalu emosi malam ini.

Aku terkedu terlihat gambar keluarga di sebalik helaian buku yang jatuh. Gambar ketika aku mula-mula menjejakkan kaki ke sini, Universiti Kedoktoran Muslim (UKM). Semuanya tampak ceria. Ibu dan ayah seringkali berpesan agar pandai membawa diri dan belajar bersungguh-sungguh.

Oh! Kalaulah ibu dan ayah tahu apa yang aku lakukan selama ini, ketika ini tentu sahaja mereka kecewa. Tentu hati mereka tidak tenteram dan sakit melihat anaknya mengabaikan amanah. Aku berlaku curang di belakang mereka. Tidak setia kepada janji. Tewas dalam permainan perasaan.

Sungguh benar kata-kata teman sekolahku :


“Dadah kepada remaja adalah cinta. Sekali dirasa, pasti nak lagi. Sikap ketagih yang berterusan membawa kebinasaan jika dilayan tanpa kawalan. Inikan pula dibakar dengan amukan asmara dan sentuhan fizikal.


Remaja hakikatnya belum layak untuk bercinta. Di usia mentah ini sepatutnya mereka fokus untuk belajar demi memajukan diri, keluarga dan agama. Melainkan betul-betul sudah bersedia untuk berkahwin. Ingatlah, jangan berani bermain api jika diri tidak bersedia untuk dibakar.”

Awak..

Berat sungguh aku menyimpulkan rasa. Saya delete dan tukar akaun emel saya. Facebook saya. Nombor telefon saya. Serta apa-apa yang boleh membuka peluang untuk kita berhubung kecuali doa.

Cinta.

“Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang. Cukup cintai dia dalam DIAM. Kerana diammu adalah salah satu bukti cinta kepadanya. Kau ingin memuliakan dia dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang. Kau juga tidak mahu merosakkan kesucian dan penjagaan hatinya.”

Bercinta dalam diam?

Saya sudah penat bercinta. Saya nekad untuk berhenti sahaja di sini. Saya mahu cinta hanya selepas nikah. Saya mahu perasaan cinta yang dibina dihormati, dibelai dan paling penting diberkati oleh Pencipta Cinta. Mungkin saya sedar dosa-dosa yang telah saya lakukan kepada awak. Dosa-dosa yang telah kita lakukan bersama. Saya mahu sucikan semua itu.

Saya inginkan yang halal. Saya tak sanggup lagi mengingati awak dengan tangisan dan derita. Saya mahu bahagia yang sebenar, keberkatan Allah dan pahala yang berterusan apabila mengingati kekasih, suami saya.

Betul. Kalau saya ingat suami, saya dapat pahala. Tapi kalau saya ingat awak apa yang saya dapat?

Zina hati. Hati saya sudahlah kotor menjadi semakin kotor. Saya telah leka daripada Allah. Jauh. Terasa jauh benar saya denganNya. Inilah jalan paling terbaik. Lepaskan cinta ini pergi. Biarkan saya dengan cinta Allah.

Ya, banyak lagi perkara yang perlu kita sumbangkan terutamanya untuk ummah. Selagi umur muda masih ada. Kelak bila Allah tarik nikmat ini, tiada lagi penyesalan.

"Dan kepunyaanNyalah apa-apa yang di langit dan di bumi, semua makhluk tunduk kepada-Nya" (Surah al-Rum : 26)

Selamat tinggal kenangan lama. Setelah kubungkus, akan ku lemparkan ke mulut lori sampah. Aku nekad. Aku ingin menjadi hamba Allah, bukan hamba cinta.


"Jika Allah mengetahui ada kebaikan di dalam hatimu, nescaya Dia memberikan yang lebih baik daripada apa yang telah diambil darimu dan Dia akan mengampuni kamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Surah al-anfal : 70)

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST