TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

"INILAH BUKTI CINTA KITA"


Jika hati sudah suka semua benda perihal si dia mesti kita suka juga. Semakin bermakna apabila dapat dibuktikan. Deklarasi cinta yang disusuli dengan pembuktian amali tentu sahaja mencukupi untuk membentuk cinta sejati.

Bukti yang paling mudah dilihat, seseorang yang benar-benar mengasihi kekasihnya, akan mengutamakan insan yang dikasihinya daripada dirinya sendiri dan kehendak peribadinya. Jika tidak mencapai tahap ini hubungan tersebut belum layak dinamakan kasih sejati yang ikhlas-murni, tetapi baru sekadar dakwaan semata-mata.

Keutamaan mentaati dan mengutamakan orang yang dikasihi ini jelas dapat dilihat dalam ungkapan seorang pencinta Allah SWT dan Nabi-Nya SAW yang tidak asing lagi, Rabi’ah al Adawiyyah dalam syairnya “Sesungguhnya seorang kekasih itu akan taat-patuh kepada yang dikasihinya.”

Objektif pengutusan Rasulullah SAW oleh Allah SWT kepada umat manusia ini adalah untuk mengajar manusia tentang agama Islam. Di samping itu, sifat peribadi Rasulullah itu sendiri menjadi contoh tauladan kepada kita. Segala sifat, perbuatan, kata-kata dan perakuan baginda adalah sunnah. Baginda bercakap berpandukan ilham dan wahyu dari Allah, bukan dari hawa nafsu.

"Dan dia tidak berkata-kata daripada hawa nafsu melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya" (An Najm: 3-4)

Lantaran itu, Al Quran dan Al hadith kedua-duanya adalah sumber rujukan kita yang paling utama. Selari dengan ucapan syahadah yang kita sering ulang-ulang iaitu “aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang di sembah melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu Pesuruh Allah."

Inilah konsep dan objektif yang perlu di fahami oleh umat Islam.

Negara islam dipimpin oleh orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Pemimpin acuan Al Quran wajar dilentur sedari usia muda lagi. Jika sewatu di alam tadika anak-anak hanya menghafal fakta-fakta mudah mengenai peribadi nabi , maka di alam remaja dan dewasa sebagai seorang Muslim yang sudah baligh dan mukallaf, mereka perlu mempelajari bagaimana untuk memahami ajaran-ajaran yang dibawa oleh nabi. Bagaimana untuk menghayatinya dan bagaimana untuk menterjemahkannya dalam praktik amali kehidupan.

Kerana kita ingin melahirkan masyarakat yang faham.

Bukan hanya beremosi dan mengalirkan air mata apabila disebut-sebut tentang Rasulullah SAW. Bukan sekadar itu. Sedangkan banyak sunnah dan ajaran baginda yang diabaikan. Kita inginkan syafaat baginda di akhirat kelak, namun ajaran dan sunnahnya di dunia ini mestilah terlebih dahulu sudah terlaksana dengan sempurna.

Baginda wafat adalah realiti. Tapi itu tidak bermakna dunia kegelapan bagi ummah. Kita perlu hidupkan sunnah dan ajaran Nabi. Buktikan cinta kita kepadanya. Barulah dinamakan cinta yang tiada noktah.

Memang sedih mengenangkan generasi kita yang tidak berpeluang melihat kekacakan dan kehebatan baginda baik sebagai hamba mahu pun imej sebagai pemimpin. Syariat yang sempurna telah dibawa dan tiada lagi nabi selepas baginda. Justeru, kita perlu ambil semua itu secara total, tanpa pilih-pilih. Tidak hanya terhad dalam urusan nikah kahwin, poligami, makan minum dan pakaian sahaja.

Inilah sebahagian daripada bukti dan tanda yang harus ada pada para pencinta Nabi SAW. Oleh itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri, adakah kita ini pencinta sejati atau pendakwah semata-mata?

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST