TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

PENGORBANAN SEORANG AKU



Bagi saya, khutbah yang baik adalah khutbah yang banyak menyentuh isu-isu semasa bukannya menyentuh soal dasar dan hanya bersangkut paut untuk memuja si pemerintah. Tidak ada istilah khutbah dipolitikkan andai kita benar-benar memahami isi kandungan khutbah tersebut. Berikut adalah ringkasan isi khutbah bersempena Hari Raya Aidiladha 1432H yang sangat menarik untuk dikongsikan.

1. Sempena berada pada hari raya korban ini juga marilah kita sama-sama merenungi dan menghayati beberapa ayat daripada surah al-A’ala di mana ia antara surah yang selalu dibaca oleh nabi Muhammad SAW dalam solat hari raya. Antaranya Allah membenci mereka yang menjadikan dunia sebagai tujuan, sebaliknya mencintai mereka yang mengambil dunia sekadar keperluan atau cara meraih keredhaan-Nya.

PENYAKIT AL-WAHN (CINTAKAN DUNIA)

2. Jadual kehidupan umat Islam sendiri seperti rancangan TV iaitu pada awal kelahiran didengarkan
dengan laungan azan dan iqamat di telinga namun selepas itu hanyut dengan mengejar dunia sehingga tenggelam dalam najis maksiat sehingga bila tibanya saat kematian barulah dibacakan semula ayat-ayat al-Quran dan doa.

3. Ramai yang terlalu bimbang tentang apa yang akan dimakan oleh anak selepas kematian ibubapa berbanding apa bekalan akhirat yang bakal di bawa. Ramai ibubapa yang terlalu bimbang dengan persiapan dan hasil peperiksaan anak di sekolah dan universiti tetapi tidak menghiraukan apa yang bakal dijawab dengan soalan mungkar nakir dalam kubur dan hitungan atas neraca timbangan Allah di akhirat yang lebih dahsyat.


BUDAYA BERHUTANG

4. Pada hari ini umat Islam sanggup berhutang berhabis harta untuk mengejar kemewahan yang sementara. Dari saat di alam pengajian sehinggalah ke alam kerjaya,masyarakat Islam tidak sudah-sudah bermain dengan hutang. Kita dimaklumkan bagaimana seramai 38,357 individu berusia 25 hingga 41 tahun, diisytiharkan muflis di seluruh negara dalam tempoh 65 bulan sehingga Mei lepas yang berpunca daripada kegagalan menyelesaikan pinjaman sewa beli kenderaan, tidak dapat mengawal penggunaan kad kredit serta pinjaman peribadi.

5. Budaya berhutang bagaikan berjangkit daripada sikap pemimpin negara yang suka menimbun hutang dengan kehidupan mewah ketika rakyat semakin tersepit dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi. Ini boleh kita saksikan termasuk melalui Belanjawan 2012 yang baru dibentang yang menunjukkan bagaimana hutang dalam negara yang baru ditambah sebanyak RM 45.9 billion.

6. Menurut Laporan 4 Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion bagi hujung tahun ini. Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang pelan kukuh untuk menyelesaikannya. Ingatlah bagaimana nabi Muhammad SAW sentiasa berdoa agar dijauhi daripada bebanan dan bahaya amalan suka berhutang

Maksudnya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara dia berdusta, bila berjanji dia mengengkari"

7. Negara disalurkan dengan penuh amanah dan tidak hanya dikaut oleh sesetengah golongan sahaja. Kita begitu marah dan kecewa apabila melihat bukan sahaja amalan berhutang untuk bermewah dalam menguruskan harta Negara malah berdasarkan Laporan Audit Negara 2010 menunjukkan bagaimana berlakunya begitu banyak penyelewengan, pecah amanah, pembaziran yang melibatkan ratusan juta duit rakyat.

8. Ia bukan pertama kali berlaku malah berulang untuk sekian kalinya tapi akibat rakyat terus memberi mandat kepada golongan yang tidak amanah untuk mengurus Negara maka jadilah sebagaimana yang diberitahu oleh nabi iaitu harta kekayaan Negara dibahagikan seumpama harta rampasan perang yang berlegar sesama mereka sedangkan rakyat bawahan terus menanggung bebanan silih berganti. Negara kita bakal muflis bukan disebabkan subsidi yang diberi tetapi akibat penyelewengan dan pembaziran yang semakin tinggi.

9. Jika sebelum ini kita dikejutkan dengan orang Islam terpaksa meminta simpati gereja dan kuil untuk menyara hidup maka laporan audit membuktikan bagaimana peruntukan untuk miskin tegar tidak sampai kepada sasaran sebaliknya dinikmati oleh golongan yang sudah memiliki harta. Bila dunia menjadi matlamat hidup maka halal haram diketepi, dosa pahala tidak dihirau lagi, syurga neraka sudah tidak dipeduli.


MURTAD & HUDUD

10. Setiap kali berada pada hari raya korban maka kita sentiasa diperingatkan tentang pengorbanan besar yang dilakukan oleh nabi Ibrahim dan nabi Ismail berdasarkan kepada arahan Allah melalui mimpi. Kisah ini tidak memberi makna sekiranya kita gagal melaksanakan perintah wahyu Allah yang nyata iaitu al-Quran termasuk dalam melaksanakan hukum hudud yang pernah dilaksanakan di Negara kita sebelum kedatangan penjajah.

11. Nabi Ibrahim AS disuruh sembelih anak tersayang sebaliknya kita disuruh mengerat tangan pencuri ketika masalah ini semakin meruncing, bunuh orang murtad yang enggan bertaubat ketika isu ini semakin parah akibat fahaman sekulerisme yang disemai, sebat penzina ketika Kajian Isu Pembuangan Bayi oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IPPBM) pada September hingga November 2010 yang melibatkan seramai 5,016 responden yang dipilih secara rawak di mana seramai 2,260 responden mengakui pernah berzina. Manakala 1,922 daripada mereka mengetahui rakan mereka mempunyai sejarah hitam mengandung anak luar nikah. Setiap 3 daripada 6 remaja berumur antara 15 hingga 28 tahun di negara ini mempunyai rekod hubungan zina dan yang lebih mengecewakan ramai pelajar universiti yang turut terlibat sama dengan jenayah yang dahsyat ini!!

12. Alasan rakyat tidak faham sepatutnya disusuli dengan usaha memberi faham tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya termasuk Belanjawan 2012 tidak ditekan bantuan kepada pengajian agama dan program menangani masalah kerosakan akhlak. Apa yang lebih menyedihkan program hiburan yang merosakkan semakin subur termasuk lambakan filem seram yang menyuburkan amalan khurafat dan tahyul sedangkan ia merupakan antara perkara yang boleh merosakkan aqidah.

REVOLUSI KEBANGKITAN ISLAM

13. Musuh Islam sentiasa mengambil berat tentang pertukaran kepimpinan yang berlaku di Negara umat Islam agar ia bertepatan dengan citarasa mereka. Oleh itu menjadi kewajipan umat Islam menukar daripada system jahiliah kepada Islam, kegelapan kufur kepada terangnya iman. Sekiranya umat Islam tidak berani menukar sistem tersebut maka keadaan Negara hanya bertukar pemimpin yang akan meneruskan kezaliman dan penindasan. Kita doakan semoga pertukaran kepimpinan di Mesir, terbaru di Libya serta tidak ketinggalan kemenangan Parti Islam di Tunisia akan memberi sinar kepada Islam dan umatnya bukan meneruskan penderitaan seperti di Afghanistan dan Iraq sebelum ini

SEMBELIHAN CARA ISLAM

14. Sempena berada pada hari raya korban juga kita mengambil iktibar daripada tindakan kerajaan Belanda yang mengharamkan sembelihan cara Islam dan Yahudi atas alasan menyakitkan binatang. Mereka seolah menutup mata tentang kajian sainstis barat sendiri bagaimana penyembelihan dalam Islam terbukti jelas mematikan haiwan dengan cara yang mengurangkan kesakitan. Kajian saintifik diketuai oleh Profesor Wilhelm Schulze dari Jerman mendapati kaedah sembelihan dalam Islam terbaik kerana haiwan tidak mengalami kesakitan sewaktu disembelih berbanding kaedah kejutan elektrik yang digunakan di beberapa negara Barat.




15. Hasil pemerhatian Profesor Temple Grandin dari Universiti Negeri Colorado pula mendapati haiwan yang disembelih menggunakan pisau yang tajam dengan kaedah betul memberikan reaksi tenang dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika sedang disembelih. Dr Aisha El-Awady pula mengatakan pergerakan dan kekejangan yang berlaku selepas haiwan itu disembelih, bukan akibat kesakitan tetapi akibat denyutan diikuti keadaan tenang. Proses itu menyebabkan darah dikeluarkan dari badan sepenuhnya. Kaedah Islam juga memastikan saluran udara, kerongkong dan dua urat leher dipotong tanpa menjejaskan saraf tunjang. Kaedah ini membolehkan darah keluar membuak-buak dari badan haiwan dan menghasilkan daging yang bersih. Inilah keindahan Islam yang sentiasa menanamkan sifat ihsan termasuk ketika menyembelih binatang! (MASYAALLAH!!)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara paling sempurna, tajamkan pisau kamu supaya haiwan itu cepat dan mudah mati."






p/s :

1. full isi khutbah (klik)

2. maaflah terus terang saya katakan, saya lebih suka solat sunat hari raya di markas-markas PAS, dan lebih suka mendengar khutbah di sana kerana isi khutbah yang disampaikan memang benar-benar menyentuh masalah dan isu semasa rakyat, sangat banyak memberi input dengan pendedahan dan penerangan masalah ummah yang bersangkut paut dengan ayat-ayat Al Quran, ayat-ayat Allah.

Al-quran sendiri sedari dari awal lagi sudah memberi hint dan warning awal untuk kita sebagai umat islam perlu cakna dan lakukan perubahan serta pengorbanan sesuai dengan ibrah peristiwa tatkala Allah menyuruh Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya sendiri, Nabi Ismail AS.

3. Saya sedang berfikir dan di dalam planning untuk membawa aura kepimpinan Sultan Muhammad Al Fateh ke daerah saya, kampus tempat saya belajar, HUKM. Sedang mengaitkan nilai pengorbanan beliau jika mahu dibandingkan dengan kita sebagai seorang mahasiswa dan remaja.

Jika di umur 22 tahun Sultan Muhammad Al Fateh telah mengorbankan umur mudanya untuk islam, dengan menawan dan menakhluki Kota Constantinople, maka kita, termasuk saya sendiri, yang sudah menginjak usia ke 23 tahun, bagaimana pula?

Sebenarnya saya mahu menulis tentang itu. Walauapapun nantikan ceramah Ust Syaari mengenai isu ini, insyaAllah pada 15hb Nov (selasa) di surau ar razi, HUKM. Sudah lama saya impikan dan nantikan saat ini, alhamdulillah Allah beri peluang dan tercapai hajat jua untuk membawa aura pemimpin dunia no 1 ini di sini.

Saya suka poster ini dan aktiviti yang bakal diadakan. Sangat cemburu dengan mereka :)

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST