MONOLOG DIRI
Aku sering bertanya kepada diri, layakkah aku sebagai pejuang agama Allah? pembela agama Allah? pecinta agama Allah? rijalud dakwah? mujahid Islam? syabab ad-din?
Aku rasakan aku hanya bercakap banyak. Tiada apa yang dapat aku lakukan tambahan pula diri ini jauh dari bumi tarbiyyah. Kini, yang ada hanya sisa-sisa tarbiyyah yang perlu aku kuatkan dan mantapkan untuk aku kebalkan diri ini supaya tidak lari dari landasan yang sebenar.
Aku dambakan peribadi Nabi Muhammad SAW. Dulu dan kini aku jatuh cinta pada peribadi Rasulullah. Aku tertarik dengan ketabahannya menghadapi hidup dalam serba kekurangan namun kaya dengan cinta Ilahi. Aku? Mungkin kaya dengan dunia namun miskin dengan cinta Illahi. Inikah yang digelar pejuang?
Seorang pejuang, hatinya tulus. Berjuang dalam sendu redha. Redha dengan segala ketetapan Ilahi. Seorang pejuang merelakan hidupnya sibuk dengan urusan dakwah dan jihad. Dia tidak kisah masanya terbuang demi Islam. Dia tidak kisah wang ringgitnya habis demi Islam. Dia tidak kisahnya dirinya terkorban demi Islam.
Sahabat yang amat ana sayang, adakah kita sudah bersedia menjadi seorang pembela agama? Andai kita sudah bersedia kenapa kita masih asyik terbuai dengan badai duniawi? Ana gusar dengan diri ini jua kalian.
Kita bohong!
Kita hipokrit!
Kita kata kita cintakan perjuangan ini!
Tapi kita masih mementingkan diri sendiri.
Tika hendak turun berprogram, kita fikir banyak kali.
Tika infak duit untuk jemaah, kita fikir berpuluh kali.
Kita takut untuk keluarkan harta kita demi Islam.
Seorang pejuang yang cintakan syahid, malu tidak bertempat diketepikan. Kita tidak risau diri kita diketawakan dan dibenci apabila melontar idea dan kritikan di dalam program, meeting mahupun perbincangan. Kita tidak gusar kita dipandang sinis oleh sahabat yang lain. Apa yang ana lihat pada diri ana dan juga diri antum seperjuangan, kita seringkali memikirkan akibat sebelum berani mencuba. Kita tidak menjaja wajah islam yang sebenarnya di dalam setiap ucapan, perlakuan, di laman sosial FB, blog dan sebagainya. Adakah ini pembela agama? pejuang agama Allah? pemikir Islam?
Aku cintakan syahid Ya Allah. Jangan Kau tarik perasaan ini dari diriku. Aku tahu aku tidak sehebat mana. Namun, hanya ini yang mampu aku uraikan. Aku akan terus berjihad, melarikan pena di pentas penulisan ini dan membasahi lidahku dengan ilmu-ilmu yang sangat luas. Aku ingin bergelar pejuang Islam yang sanggup berkorban apa sahaja demi Islam.
Ada sesiapa yang ingin bersamaku untuk menyahut seruan suci ini?
Usah gentar duhai diri. Bukankah syahid impianmu?
Darahmu keringatmu berkesimbahan di bumi ini hanya untuk Islam tercinta.
Jadi apa tunggu lagi mujahid Umar
Bangkitkan roh jihad di dalam dirimu.
Belajar demi Allah dan ummat Islam
Dakwah demi tertegaknya Islam
Ya Allah, Kau simbahilah roh jihad di dalam diriku dan sahabat-sahabat. Aku tidak bohong Ya Allah, kami begitu mencintai syahid. Kami telah dan sedang lalui detik kesakitan yang Engkau berikan. Kami rasai perit derita kesakitan ini Ya Allah. Hadirnya perasaan untuk kami infakkan diri ini demi Islam semata. Mungkin inilah hikmah ujian yang Engkau timpakan buat diri kami hingga tertanam di sanubari.
Kami anak-anak Islam akan gegar dunia dengan semangat jihad!
Ini langkahku. Aku akan terus melangkah mencapai impianku itu. Aku akan bersama kalian dalam meneruskan perjuangan suci ini. Ayuh kita mara bersama sahabat seperjuanganku! - adaptasi nasyid "ini langkahku"
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."