TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

SAHABAT : JAGALAH IZZAH AGAMAMU

Aku titipkan sayang dan rindu untuk mu. Moga kau menjadi bidadari yang selalu menghembuskan nafas-nafas iman islammu. Moga kau menjadi wanita solehah yang selalu mendapat kasih sayangNya, Moga kau menjadi muslimah yang sentiasa menjaga izzah agamamu.

Pepatah ada menyatakan ‘sahabat baik umpama pohon rendang‘ membawa maksud rakan karib sanggup bersama ketika susah dan memberi bantuan tanpa mengira masa atau keadaan.

Justeru, Islam sentiasa menasihatkan umatnya berhati-hati memilih sahabat bagi mengelak berkawan dengan mereka yang membawa kemungkaran.

Firman Allah yang bermaksud:

“Janganlah engkau mengikut orang yang sudah Kami lupakan hatinya untuk mengingati (berzikir) pada Kami dan ia suka mengikut hawa nafsunya.” (Surah Kahf, ayat 29)

Jika kita memilih sahabat yang terlalu cintakan dunia dan mementingkan hawa nafsunya, ia merugikan terutama apabila kita turut terpengaruh dengan sikapnya. Oleh itu, pilih sahabat yang membimbing ke arah hidup lebih baik mengikut syariat agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Seseorang menurut agama (aturan) kekasihnya, oleh sebab itu baiklah seseorang daripada kamu semua itu meneliti orang yang dikasihinya.”

Sifat perlu ada pada seseorang yang ingin kita jadikan sahabat bolehlah dicontohi daripada wasiat al-Qamah kepada anaknya.

Katanya: “Hai anakku, jika engkau perlu untuk bersahabat dengan seseorang maka pilih yang mempunyai sifat jika engkau melayaninya ia suka melindungi, jika engkau bersahabat dengannya, ia akan menjadi hiasan bagi dirimu dan jika engkau dalam keadaan kekurangan nafkah, ia suka mencukupi keperluanmu.

“Pilih sahabat yang apabila engkau menghulurkan tanganmu untuk memberikan jasa baik atau bantuanmu, ia suka menerima dengan rasa terharu, jika ia melihat kebaikan yang ada pada dirimu, ia suka menghitung dan dianggapnya sangat berguna, sedangkan jika ia mengetahui keburukan dirimu lalu ia suka menutupinya.

“Pilih sahabat yang jika engkau meminta sesuatu daripadanya, pasti ia memberi, jika engkau diam, ia mulai menyapamu dulu dan jika ada sesuatu kesukaran dan kesedihan menimpa dirimu, ia suka membantu dan meringankan, ia suka membantu dan meringan kamu serta menghiburmu.

“Pilihlah sahabat yang jika engkau berkata, ia sukar membenarkan ucapanmu dan bukan selalu mempercayainya saja, jika engkau mengemukakan sesuatu persoalan berat, ia suka mengusahakannya, sedang jika engkau berselisih dengannya, ia suka sekali engkau berselisih dengannya, ia suka sekali mengalah untuk kepentinganmu.”

Saidina Ali menyatakan: “Sahabat yang sebenar-benarnya ialah orang yang di sampingmu. Ia suka membabitkan dirinya dalam bahaya demi untuk kesejahteraanmu.”

Saidina Ali membuktikan katanya dengan mengambil alih tempat tidur Rasulullah SAW ketika Baginda dan Saidina Abu Bakar merancang untuk berhijrah ke Madinah.

Walaupun Saidina Ali tahu risiko bakal dihadapinya kerana pemuda Quraisy bercadang menyerbu rumah Rasulullah SAW dan membunuh Baginda, Saidina Ali sanggup menghadapi bahaya itu semata-mata atas dasar kepentingan keselamatan sahabatnya.

Contoh persahabatan lain yang boleh diteladani ialah antara Saidina Abu Bakar dengan Rasulullah SAW. Saidina Abu Bakar sentiasa mempercayai dan mengiyakan apa yang Rasulullah SAW katakan.

Ketika Rasulullah SAW menceritakan perjalanan Israk dan Mikraj kepada orang Makkah, mereka tidak mempercayai cerita Rasulullah SAW, malah menuduh Baginda pembohong. Mereka berjumpa Saidina Abu Bakar untuk bertanya jika cerita itu benar atau sebaliknya.

Apabila Saidina Abu Bakar mendengar pertanyaan mereka, dengan tenang beliau bertanya: “Apakah benar Rasulullah SAW bercerita begitu”. Mereka menjawab ‘ya’. Maka tanpa ragu-ragu Saidina Abu Bakar menyatakan apa yang Rasulullah SAW katakan benar.

Sepanjang perjalanan dari Makkah ke Madinah, Saidina Abu Bakar sentiasa berada di depan dan di belakang Baginda SAW. Apabila Baginda bertanya hal ini, Saidina Abu Bakar menjawab:

“Aku berjalan di depanmu untuk memilih jalan yang baik selamat sementara aku berjalan di belakangmu untuk menjaga keselamatan daripada serangan musuh yang mengejarmu.”

Perhatikan nasihat Abu Sulaiman mengenai pentingnya memilih sahabat seperti yang dianjurkan Islam. Katanya: “Jangan sekali-kali engkau bersahabat melainkan salah satu daripada dua orang ini. Pertama, orang yang dapat engkau ajar bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur dan kedua, orang yang dijadikan sahabat itu dapat menambahkan kemanfaatan dirimu untuk akhiratmu.

Jika engkau suka bersahabat dengan orang yang selain dua orang ini, maka pastilah engkau memiliki kebodohan yang luar biasa besarnya.”

1 comment:

  1. syukran. pada mulanya, saya tidak pernah ada seorang sahabat. kerana saya takut utk menggalas tugas mjd seorang yg benar2 sahabat. tugasnya besar. saya takut jika saya tidak mampu mjd sahabat yg setia. tp akhirnya, seorg shbt muncul ddepan saya. menginginkan sy mjd shbtnya. saya terharu lalu mjd sahabatnya dgn penuh bersungguh2 hny kerana allah. ukhuwwah kami indah. segala kisah tawa, sedih, gembira & rahsia diri, segalanya kami kongsikan bsama. tp kini, dia menjauhkan diri dr saya. mungkin krn kata2 sya yg menyinggung perasaannya. tp, segalanya hny krn allah. sy hny ingin menyelamatkan shbt sy. saya rindukan sahabat saya. sy telah berjanji pd allah & juga diri, jika sy btemu dgn seorg sahabat, maka sy akn mnjd sahabat yg setia. shg kini, saya akan terus setia pdnya hga akhir hayat. biarlah allah shj yg tahu kesetiaan saya. ya allah, peritnya hati ini. disaat saya perlukannya, dia pergi menjauhi saya. stp ms, hny psahabatan kami yg mjadi luahan doa pd sang Pencipta.. agar Dia menjadikan kami sbg sahabat setia seperti dulu.. insyaAllah. ameen. :(

    ReplyDelete

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST