TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

MOTIVASI DIRI : BELAJAR ITU PAYAH tapi...

perjuangan menuntut ilmu : demi menegakkan syia'ar Islam (jihad fi sabilillah)

Bagi pencinta ilmu yang budiman, hamba yang kerdil ini bukanlah orang yang paling layak untuk menulis,sekadar ingin berkongsi sedikit maklumat dan pengalaman dengan kalian. Menuntut ilmu bukanlah suatu perkara yang mudah kerana ia memerlukan kekuatan untuk melawan nafsu.nafsu yang paling payah untuk kita lawan adalah pergi mengaji atau talaqi. Hamba tertarik untuk menyentuh topik ini atas permintaan sahabat hamba. Hadith Nabi SAW bermaksud apabila diminta nasihat, maka berilah nasihat.ad-deen nasihah.

Kenapa hamba kata menuntut ilmu itu suatu benda yang payah? Ujian orang yang ingin menuntut ilmu itu lebih banyak berbanding dengan orang yang mencari kekayaan dan lain-lain. Syaitan akan berusaha memujuk kita agar ikutkan nafsu dan meninggalkan majlis-amjlis ilmu, kerana seorang alim lebih bagus dari seribu ‘abid.
Sebab itu difardukan menuntut ilmu, sesuatu yang difardukan, menunjukkan ia sangat penting bagi kita umat islam. Perkara fardu ibarat rantai yang mengikat dan menarik umat islam ke dalam syurga, selagi kita tidak memutuskan rantai itu iaitu dengan meninggalkan fardu, maka kita akan selamat dari terjerumus ke lembah kebinasaan..

Guru hamba memberitahu ilmu ini ibarat gadis sunti yang sangat pemalu dan kuat cemburu.dia tidak akan mendampingi kita sekiranya kita tak bersungguh-sungguh melayannya, sentiasa menyebut-nyebutnya. Apabila kita tak menumpukan sepenuh perhatian kita padanya ,dia akan meninggalkan kita. Itulah ilmu yang bermanfaat dan berkat.yang boleh mengubah hidup orang yang menyintainya.cukup sukar diperolehi..



JANGAN SALAH FAHAM

Kadangkala, kita bersedia untuk menghadapi peperiksaan hingga sampai tahap kita merasakan bahawa kita telah faham atau merasakan bahawa kita telah mampu melakukan terhadap sesuatu perkara. Untuk soalan periksa kita rasa kita sudah boleh jawab semua jenis soalan. Untuk tugasan kerja kita rasa kita mampu melakukan apa sahaja yang mendatang.

Namun tiba-tiba, kita melakukan kesilapan. Apa yang kita faham rupanya tidak tepat. Apa yang kita siap sediakan rupanya tidak kena dengan apa yang dikehendaki dalam pekerjaan. Kita telah tersalah. Kita gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Kita gagal dalam melakukan kerja yang terbaik.

Di sini kalau keimanan itu wujud bersama kita, pertama sekali kita akan pulang bersangka baik kepada Allah SWT.
“Mustahil Allah nak zalim pada aku.”

Hal ini kerana, jelas wujud di dalam Hadith yang ke-24, dalam Hadith 40 Karangan Imam An-Nawawi Rahimahullah: Daripada Abu Zar al-Ghifaari r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia berfirman : “Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…” Hadith Riwayat Muslim.

Maka kita akan melihat semula kesilapan kita itu.
“Kenapa aku silap? Di mana aku silap? Macam mana aku boleh tersilap.”
Dan ketahuilah, apabila kita muhasabah semula, kita akan mendapat satu perkara baru. Pengajaran baru. Yang mana sekiranya Allah izin kita tidak silap dalam kesilapan kita tadi, kita tidak akan mempelajari pengajaran tersebut. Kita tidak akan mengetahuinya. Namun dengan kasih sayang Allah SWT, dengan hikmahNya yang tersangat luas, Allah ingin kita melihat sesuatu. Sebab itu disilapkan kita.

Tidakkah kita memerhatikan?



KEJAYAAN ATAS ANGIN

Tahukah apa itu kejayaan atas angin? Itulah dia kejayaan palsu.

Contoh, kita berjaya di dalam peperiksaan bukan kerana kita pakar atau faham dalam mata pelajaran tersebut. Tetapi bernasib baik. Bernasib baik kerana sudah ada soalan bocor. Nasib baik kerana apa yang kita baru baca pada malam peperiksaan masuk. Nasib baik kerana, pensyarah tambahkan markah. Nasib baik kerana, kita sudah buat banyak latih tubi, dan jenis-jenis soalan tersebut masuk periksa.

Ini adalah kejayaan yang pada saya tak ada maknanya. Sebab kita sebenarnya tidak akan mampu memanfaatkan ilmu di dalam hal ini. Kita sebenarnya tidak pakar. Kita sebenarnya bodoh. Kita hanya bernasib baik. Berbelas A, atau segulung ijazah tidak bermakna sekiranya kita berjaya demikian.
Maka, dalam situasi ini kalau kita gagal, kalau kita tidak mendapat markah yang baik, kadangkala itu lebih baik. Moga-moga apabila kita gagal itu, kita tergerak untuk belajar lagi, melihat semula mengapa kita gagal. Di mana kita gagal. Agar kita belajar lebih banyak lagi. Faham dengan lebih baik lagi.

Sebab itu kadang-kadang, orang-orang yang bermarkah rendah lebih memahami mata pelajaran, atau pengkhususan dalam kos yang diambilnya. Kerana bila mereka mendapat markah yang rendah, mereka mengulangkaji semula. Belajar semula. Memahaminya semula. Berbanding mereka yang ‘bernasib baik’, cemerlang dan kemudian tidak melihat semula.



HIKMAH MENUNTUT ILMU

Hukum belajar sesuatu ilmu itu, mengambil hukum amal perbuatan tersebut.contoh, sekiranya wajib fardu ain bagi seorang muslim solat, maka hukum belajar ilmu yang berkaitan dengan solat, syarat, rukun dll adalah fardu ain, sehingga dia boleh melakukan solat bertepatan dengan syara’.

Begitulah bagi seorang yang memang khusus dihantar belajar agama (sebagai contoh) dan akan dipanggil ustaz maka wajib fardu ain bagi dia untuk belajar ilmu-ilmu agama dengan lebih mendalam lagi..itulah amanah yang berat. Sekiranya dia tidak belajar betul-betul, tidak kuasai ilmu dan cara berfikir tidak bertepatan dengan Al-quran dan sunnah, takut-takut dia akan mengeluarkan pendapat-pendapat yang bercanggah dan merugikan umat islam, gara-gara untuk menutup aib diri yang masih jahil.

Begitu juga mahasiswa perubatan, zalim namanya jika ilmu yang diamanahkan tidak diaplikasikan sebaiknya kepada para pesakit. Malah mendatangkan mudharat yang besar sekiranya melibatkan nyawa sesorang manusia. Boleh juga diberi gelaran "pembunuh berlesen" yang dilaknat oleh agama!

Hanya orang yang berilmu yang takut pada Allah. Orang yang berilmu perlu menjadi model kepada masyarakat, menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah.

Jiwa seorang hamba perlu didekatkan dengan rumah-rumah Allah yang penuh barakah melahirkan jutaan ilmuan dan ulama'. Ilmu itu bukan hanya terletak pada buku. Allahlah yang mengajar hambaNya apa yang dikehendaki. Siapa yang bertaqwa dan mengamalkan ilmu yang ada Alliah akan beri dan permudahkan baginya menguasai ilmu lain. 

Dan haruslah kita ingat dalam menuntut ilmu, niat perlulah diluruskan. Bukan untuk menjadi manusia terpandai semata, bukan untuk mengejar profesyen yang hebat dan menjamin masa depan, tetapi hanyalah mengejar keredhaan Allah dalam berbakti kepada masyarakat dan agama. Semoga dengan ilmu yang diperolehi dapat memperbaiki diri dan mencintai Allah serta meminimakan rasa cinta pada dunia. Mengenali kebesaran ciptaan Allah itu pasti mendekatkan kita kepadaNya.

Semoga Allah memberi kita semua taufiq dan kesabaran menuntut ilmu..


p/s :

Apalah makna tulisan ini (atau : belajar ) jika sekadar dibaca tidak di amal, apalah ertinya amal jika tidak ikhlas, dan tidaklah diperintahkan kamu melainkan untuk menyembah Allah dengan ikhlas. Ya Allah berilah kami taufiq. Menuntut ilmu merupakan satu pakej, meningkat darjat, membersihkan hati, menghapus dosa dan menghilangkan kejahilan.

Penulisan ini amat bererti sekiranya :
1, amal datang dari ikhlas
2. ikhlas datang dari faham
3. dan faham diperoleh dengan membaca artikel ini
-rukun ba'iah teori Hassan al-Banna

Moga kita tergolong dalam golongan yang mendapat naungan di akhirat kelak, pemuda yang hatinya terikat dengan masjid, selalu mghadiri masjid. Ameen ya rabb. Matikanlah kami dalam khusnul iman.

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST