Siapakah kita sekalian hamba ini?
Satu persoalan yang kita sekalian hamba ini harus tahu dan mesti mencari jawapannya.
Di mana, ke mana dan bagaimana kita sekalian hamba ini dapat mencari jawapan kepada persoalan tersebut?
Segalanya ada di dalam diri kita sekalian hamba ini.
Tempoh perjalanan kehidupan di dunia ini cukup singkat. Memang kita sekalian hamba mungkin merasakan hidup 60 atau 70 tahun itu sebagai suatu masa yang agak panjang. Namun hakikatnya kebanyakan kita sekalian hamba ini lebih banyak membuang usia sia-sia berbanding menggunakan setiap detik yang ada itu penuh dengan kemanfaatan.
Seorang ulama’ mursyid bermadah “Masa itu adalah umur kita, kalau kita tidak mengisi masa dengan sebaik-baiknya bererti kita telah mensia-siakan umur kita”
Mudah-mudahan apa saja yang kita sekalian hamba ini lakukan tidak akan tergelincir dari landasan, tidak terpesong dari jalan yang telah diberi. Memang mudah memberi alasan, bahawa kita sekalian hamba ini insan nan lemah, serba kekurangan dan sentiasa tidak dapat lari dari kesilapan. Bagaimanapun, kita sekalian hamba ini tentu mengerti antara membiar diri tergelincir dengan berusaha mengelak diri dari tergelincir.
Jika tidak, masakan lahir ungkapan-ungkapan berkias bagi menggambarkan keadaan, bagi menilai situasi sebenar yang berlaku. Jangan bermain dengan api jika takut terbakar. Sifat api itu memang membakar, namun kita sekalian hamba inilah yang perlu pandai menggunakan dan mengawal api jika tidak mahu terbakar olehnya.
Namun kita sekalian hamba ini memang sukar untuk diramal cara pemikirannya, sukar diduga apa yang ada di dalam kepala serta hatinya. Malahan kita sekalian hamba ini juga kadangkala tidak mengerti tentang diri sendiri, apatah lagi ingin memahami orang lain. Bagaimana pun kita sekalian hamba ini saling memerlukan, saling mencukupkan mana-mana yang kurang. Kerana kita sekalian hamba ini bukan hidup sendirian.
Bila kita sekalian hamba kembali kepada persoalan ‘siapakah kita’, maksudnya. Mungkin kita boleh jadi sesiapa saja, boleh jadi seperti apa pun dalam kehidupan orang lain.
Makanya, setiap kita sekalian hamba ini harus merenungkan – are you here with the solution, or are you here part of the problem?
Alangkah indah, alangkah manis kehidupan ini andai kita sekalian hamba ini sentiasa membahagiakan orang lain, dan begitulah sebaliknya. Apapun, kehidupan yang kita sekalian hamba sedang lalui ini merupakan kehidupan fana, kehidupan sementara. Sedangkan kehidupan manis itu adalah kehidupan abadi yang masih jauh untuk kita sekalian hamba ini kecapinya.
Tiada sesuatu yang akan kita sekalian hamba ini perolehi dengan percuma. Apa jua, memerlukan usaha atau mungkin kita sekalian hamba ini harus membayarnya. Namun ada hal-hal yang kita sekalian hamba ini ingin perolehi tak boleh bayar dengan wang ringgit berjuta – kerana bukan itu nilainya. Mungkin sesuatu itu akan kita sekalian hamba perolehi hanya dengan keimanan, ketakwaan, keikhlasan, kejujuran atau segala macam bentuk nilai kejiwaan.
Belayar di lautan kehidupan, biarpun kita sekalian hamba ini tahu ke mana arah yang hendak di tuju. Kita sekalian hamba ini telah di arah yang harus di tuju. Telah disediakan kemudi, telah di beri pendayung, tinggal cuma melayarkan bahtera kehidupan sahaja.
Namun, kita sekalian hamba jangan lupa pada badai yang bakal melanda, pada taufan yang menggila. Bagaimana sekalipun gelora yang melanda, selagi kita sekalian hamba tetap berpandu pada arah, tetap tidak melepas kemudi, pastinya kelak sampai jua pelabuhan nan dicari.
Adakala kita sekalian hamba ini patut-patut sangat bersyukur kepada Maha Pencipta kerana sering memberi dugaan. Andai dengan dugaan yang diberikan itu akan lebih membuka mata yang memang tidak buta. Mudah-mudahan akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya yang sememangnya dekat. Hendaknya juga, kita sekalian hamba ini tidak terus terlena di dalam jaga – asyik dibuai keindahan kehidupan sementara.
Mungkin kita sekalian hamba patut renungkan seketika – dugaan dan kesusahan itu suatu nikmat, sedangkan kesenangan itu suatu cabaran dan tanggungjawab berat.
Memikirkan kembali, kita sekalian hamba ini dijadikan kerana apa, untuk apa.
Berapa ramai di antara kita sekalian hamba ini menyedari bahawa kita sekalian hamba ini sepatutnya menjalankan tugas sebagai hamba-Nya?
Berapa ramai di antara sekalian kita hamba ini yang tersesat di jalan nan terang?
Teraba-raba mencari arah di jalan nan lurus?
Atau berapa ramaikah di antara kita sekalian hamba ini yang tersungkur di lantai yang rata?
Hidup dan kehidupan di alam fana ini singkat – cukup singkat sebenarnya
Namun biar sesaat atau sehari sekalipun kita sekalian hamba ini dihidupkan, sudah cukup memadai andai setiap detik yang diberikan itu dipenuhi dengan keberkatan. Berbanding apalah gunanya jika bernafas sejuta tahun sekalipun, tetapi tak ada sekelumit pun keberkatan yang melekat.
Kualiti atau kuantiti yang kita sekalian hamba ini perlukan?
Mudah-mudahan kita sekalian hamba ini mempunyai hidup dan kehidupan yang berkualiti. Menjadi seorang hamba yang disayangi oleh Maha Pencipta, juga disenangi oleh sesama hamba. Sentiasa senang dan tenang berbakti kepada Pencipta Maha Agung, juga sentiasa senang dan tenang berurusan dengan sesama makhluk.
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."