Saya cuba mahu membawa jiwa-jiwa kita supaya menghayati satu tabiat seorang sahabat Nabi Muhammad SAW. Di mana jika beliau mendapat pujian ataupun ucapan kejayaan daripada manusia lain, seraya beliau terus menadah tangan kepada Allah SWT...
" Ya Allah, sentiasalah jadikan diriku lebih baik daripada apa yang mereka sangka."
Seperti kita sedia maklum, apabila kita mendapat kejayaan yang baik mahupun cemerlang, sudah tentu pujian akan bertalu-talu datang menghampiri diri kita.
Betul bukan?
Dengan segala bisikan syaitan inilah, yang akan membuat diri kita terasa sedikit bangga diri, sombong dan sebagainya sehinggakan kita lupa kepada Yang Maha Memberi kita kejayaan tersebut.
Seolah-olah kita merasakan bahawa, kejayaan yang kita tempa itu merupakan hasil usaha titik peluh dan susah-payah kita tanpa menghubungkaitkan kejayaan kita itu dengan Allah SWT.
Bila dipuji kejayaan kita
Sebenarnya bukan milik kita
Oleh itu sedarlah sentiasa
Semua itu dari Allah SWT
Hati gembira terasa bahagia
Itulah tanda nikmat dariNya
Ingat Allah SWT bersyukurlah padaNya
Wajiblah kita lafazkan Alhamdulillah
Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Munafiquun ayat 8.
" ............. Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasulnya serta bagi orang-orang yang beriman , akan tetapi orang-orang munafiq itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenar)"
Ayat di atas ini, menegaskan bahawa kejayaan itu milik Allah SWT dan RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman yakni kejayaan Islam itu sendiri.
Tidak peliklah kiranya ada dalam kalangan kita sendiri yang mengatakan bahawa
~ KEJAYAANKU ADALAH KEJAYAAN ISLAM ~
Sememangnya kita ini tidak lari daripada kejayaan dan kegagalan. Semua ini merupakan satu ujian daripada Allah SWT untuk menguji hamba-hambaNya.
" Sejauh manakah tahap keimanan kita kepada Allah SWT dan bagaimanakah kita membuktikan keimanan kita kepadaNya. "
Apabila berjaya, sememangnya bahaya bagi kita.
Kenapa?
Kerana Allah SWT benar-benar mahu menguji kita. Adakah dengan kejayaan yang kita kecapi itu, menambahkan lagi kesyukuran kita kepadaNya ataupun hubungan kita dengan Maha Pemberi itu semakin jauh?
Dan apabila kita menemui kegagalan, seperti biasa kita dengar - "Gagal itu tidak bererti kita gagal selama-lamanya. Mungkin Allah SWT menangguhkan kejayaan kita pada suatu masa di mana kita benar-benar sentiasa mengingatiNya. Atau Dia mahu menguji kita, adakah kita mempersalahkan Dia atas kegagalan kita?"
Buka mata buka hati.
" Jika kita mengingati Allah SWT, maka Allah SWT akan sentiasa mengingati kita. Ketahuilah bahawa Allah SWT bersama-sama kita "
Kejayaan kita pada hari ini belum menentukan kejayaan kita pada hari muka. Dan yang paling penting, adakah kita telah bersedia untuk kejayaan kita di 'alam kehidupan' kita yang kedua?
Ataupun kita mahu gagal di sana nanti?
Maka, kejayaan yang kita kecapi itu tak semuanya akan kekal. Hasrat yang terpendam dalam hati itu perlulah kita menghubungkaitkan dengan Allah SWT. Dan kegagalan itu merupakan titik tolak kepada kejayaan kita. Asalkan kita terus istiqamah dalam beramal. Kerana Allah SWT tidak akan bertanyakan kepada NATIJAH ( Hasil ) tetapi Dia akan bertanyakan kepada kita setakat mana kita berusaha.
Akhir kata dariku, sambutlah salam rindu dan salam tahniah dari diri hamba atas setiap usaha dan kejayaan sahabat-sahabat, mahupun kejayaan memujahadahkan diri. Moga-moga kita sama-sama menjaga HDA ( Hubungan Dengan Allah SWT ). Salam mahabbah.
assalaamualaikum nur..,izinkan saya mencedok kata-kata motivasi yang dilahirkan dalam blog awak untuk dikongsikan bersama anak-anak didik saya..( thanks in advance..)
ReplyDelete