Hari ini aku patut belajar untuk berasa kecewa dan tidak bersemangat kerana kertas kerja forum yang telah dihantar 2 minggu yang lepas masih tidak lulus. Dan aku perlu belajar untuk terus bersabar melayan karenah birokrasi yang ada hypersensitivity dengan ahli "bukan sebulu" dengan mereka.
Adakala kita patut-patut sangat bersyukur kepada Maha Pencipta kerana sering memberi dugaan.Andai dengan dugaan yang diberikan itu akan lebih membuka mata yang memang tidak buta.Mudah-mudahan akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya yang sememangnya dekat.Hendaknya juga, kita sekalian hamba ini tidak terus terlena di dalam jaga – asyik dibuai keindahan kehidupan sementara
Allah berfirman, maksudnya: "Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun…."
(Surah al-Mulk, ayat 2)
Dalam mendepani ujian atau masalah, kita sentiasa diingatkan supaya bersabar dan terus bersabar. Menerimanya dengan hati terbuka serta penuh reda
"Apabila Allah mencintai sesuatu kaum, maka Dia menguji mereka. Sesiapa yang reda, ia akan mendapat keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah" (kitab Jami' al-Tirmizi, sabda Rasulullah saw)
Keredaan Allah bergantung kepada sikap kita dalam menerima segala ujian-Nya. Sekiranya kita reda, maka sudah pasti Allah akan meredai kita dan menunjukkan laluan yang mudah untuk kita. Jika kita marah dan menyumpah, nescaya diri kita tercampak dalam kebinasaan.
Khalifah Umar ibn Abdul Aziz sendiri pernah berkata "Keredaan terhadap sesuatu musibah adalah kedudukan yang tinggi. Namun, Allah menjadikan kesabaran sebagai jalan pilihan yang baik."
Muhammad ibn Idris al-Syafi'e, pula berkata Zubair ibn Ubad bercerita kepada kami daripada Sari ibn Hayyan, beliau berkata bahawa Abdul Wahid ibn Zaid berkata, "Keredaan ialah pintu Allah yang Maha Agung, syurga dunia dan lampu bagi ahli-ahli ibadah."
Kata-kata Abdul Wahid ini menjelaskan kepada kita bahawa keredaan kita terhadap setiap kurniaan Allah, suka dan duka, nikmat dan musibah, akan lebih mendekatkan kita kepada-Nya dan memberikan kita kehidupan yang penuh kebahagiaan di dunia ini.
Sekiranya kita menilai kedudukan diri kita ini yang begitu daif dan kerdil selain berharap hanya kepada Allah, kita akan menginsafi bahawa kita perlu menerima segala yang diberikan oleh-Nya. Siapakah kita untuk menolaknya dan siapakah kita untuk mencari-cari kekurangan pemberian berkenaan.
Rasulullah bersabda: "Demi Zat yang diriku ada di tanganNya, tiadalah Allah menentukan sesuatu keputusan kepada hambaNya yang mukmin melainkan akan membawa kebaikan kepadanya. Hal ini tidak berlaku kepada yang lain. Apabila Dia menimpakan kebaikan kepadanya, ia mensyukuriNya, maka hal itu membawa kebaikan kepadanya. Dan apabila Dia menimpakan penderitaan ke atasnya, ia lalu bersabar terhadapnya dan ini pun adalah baik baginya"
(hadis riwayat Muslim).
Setiap perkara yang diturunkan oleh Allah sememangnya berkaitan apa yang kita lakukan. Ini termasuk musibah, iaitu sekiranya kita melakukan atau terbabit dalam perkara-perkara bertentangan dengan perintah-Nya.
Sesungguhnya Allah tidak menimpakan musibah itu untuk memusnahkan diri kita dan bukan untuk menyeksa kita. Sebaliknya, ia semata-mata bertujuan menguji kesabaran dan keredaan, menguji kadar keimanan, mendengar permohonan ampun dan taubat selain melihat bagaimanakah caranya kita mengetuk pintu rahmat-Nya dengan hati yang khusyuk serta tangan menadah, memohon dipermudahkan laluan seterusnya.
Renungilah kata-kata Abdul Kadir al-Jailani kepada anaknya:
"Wahai anakku, sesungguhnya musibah itu datang bukan untuk merosakkan dirimu tetapi untuk menguji kesabaran dan keimananmu. Wahai anakku, takdir ialah seperti binatang buas dan binatang buas tidaklah memakan bangkai".
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."