TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

ISU AKIDAH YANG BERAT : MENJAWAB KRITIKAN



Persoalan yang sentiasa berlegar dikalangan manusia hari ini (samada muslim atau kafir) adalah mengenai Qada' dan Qadar. Mereka bertanya kalau sekiranya semua perkara atas dunia ini adalah ketetapan (Qada; dan Qadar) Allah dan bukan atas ikhtiar (Pilihan) manusia, adakah adil tuhan mengazab aku yang melakukan ma'siat kedalam neraka, sedangkan aku tidak mampu melakukan sebarang perbuatan melainkan apa yang telah ditetapkan? Mereka berpegang kepada dalil :

Firman Allah Taala bermaksud:
"Dan kamu tidak mempunyai sebarang kemampuan melainkan apa yang dikehendaki oleh Allah , Sesungguhnya Allah taala maha mengetahui lagi bijaksana". (Al-Insan - 30)

Firman Allah Taala bermaksud :
"Sesungguhnya Allah taala akan menyesatkan sesiapa yang ia kehendaki dan akan memberi pertunjuk kepada sesiapa yang ia kehendaki".( Al-Fatir - 8)

Adakah tepat dakwaan mereka itu?
Untuk menjelaskan ketepatan dakwaan mereka ,marilah kita bincangkan persoalan tersebut berdasarkan kepada noktah noktah dibawah:



MAKHLUK DAN IKHTIAR

Perkara utama yang perlu kita ketahui ialah Allah taala telah menjadikan semua makhluknya atas asas "Ikhtiar"( diberi pilihan untuk memilih) salah satu dari dua perkara iaitu:

1-Ma'hurah iaitu kekal dalam taat kepada Allah sepanjang hidup seperti malaikat.
2-Mukhtarah iaitu diberi peluang memilih antara melakukan ketaatan dan ma'siat seperti manusia.

Firman Allah Taala bermaksud :
"Sesungguhnya kami telah kemukan amanah keatas langit,bumi,dan gunung ganang maka semua enggan memikulnya,mereka khuatir akan mengingkarinya dan manusia menerima untuk memikul amanah tersebut.sesungguhnya manusia itu amat zalim lagi bodoh" (Al-Ahzab 72 ).

Menjelaskan kepada kita bahawa semua makhluk diberi pilihan untuk memilih salah satu dari dua perkara diatas. Manusia dan jin memilih yang kedua manakala makhluk Allah yang lain memilih yang pertama.

Adakah manusia memilih yang kedua itu atas pilihan manusia sendiri atau atas kehendak Allah Taala?
Jawapannya manusia dan jin memilih yang kedua atas kehendak Allah taala juga.
Persoalan sekarang kenapa Allah taala menghendaki manusia dan jin memilih "mukhtarah" tidak "ma'hurah“?






MANUSIA MAKHLUK IKHTIAR KERANA KASIH SAYANG ALLAH

Perlu diingatkan Allah taala bukan saja memiliki sifat qudrat, iradat dan lain lain sifat kesempurnaan bahkan Allah taala juga bersifat dengan mahbubiah(kasih sayang).

Sepertimana yang kita maklumi kasih sayang ini tidak timbul melainkan dari pilihan sendiri, tidak atas dasar paksaan.

Maka atas dasar sifat kasih sayang ,Allah Taala menghendaki manusia termasuk bahagian "mukhtarah", supaya manusia boleh berkasih kepada Allah dengan melakukan kataatan kepadaNya dan Allah kasih kepada manusia dengan mengurniakan berbagai kurnianNya. 
Tidak seperti malaikat,mereka beribadah kepada Allah bukan atas dasar kasih kepada Allah tetapi atas dasar taat kepada Allah sahaja ,kerana mereka tak ada pilihan selain daripada beribadah. Berbeza dengan manusia,mereka ada pilihan lain selain daripada taat iaitu maksiat,mereka boleh melakukan maksiat namun kerana kasih kepada Allah mereka melakukan ketaatan,semata –mata ingin menunjukan kasih sayang mereka terhadap Allah.

Allah Taala telah mengurniakan kepada manusia beberapa keistimewaan berbanding makhlukNya yang lain. Sebagai bukti kasih sayang Allah terhadap manusia, antaranya :

1- Allah Taala menjadikan semua makhluk diatas dunia ini berkhidmat untuk manusia tanpa perlu manusia mengarahkannnya ,sebagai memenuhi keperluan hidupnya. Sebagai contoh manusia perlu kepada matahari maka matahari setiap hari timbul dan tengelam tanpa perlu manusia arahkan, manusia perlu kepada tumbuhan sebagai bekalan makanan maka manusia hanya perlu berusaha menanamnya tanpa perlu arahkan pokok tersebut supaya tumbuh.

Ini bertujuan supaya manusia boleh menumpukan banyak masa untuk kasih kepada Allah.

2-  Makhluk yang berkhidmat kepada manusia, tidak mempunyai kemampuan untuk membantah. Sebagai contoh matahari tak boleh kata "hari ni aku tak nak timbul,lusa pula aku nak timbul."

* kedua dua perkara ini tunduk pada arahan dan ketetapan (Qada' dan qadar )Allah taala.

3-  Allah Taala menerangkan pula siapakah yang telah menjadikan makhluk dan mengarahkan makhluk tersebut supaya berkhidmat kepada manusia,supaya manusia dapat menumpukan kasih sayangnya kepada zat tersebut.( Pepatah arab maksudnya manusia sepanjang hayatnya akan menjadi hamba kepada budi)

4-  Bukan sekadar itu, bahkan Allah Taala terangkan jalan bagaimana cara berkasih kepadaNya, dengan melakukan amal makruf nahi mungkar.

5-  Tanda kasih sayang Allah terhadap manusia juga, Allah nyatakan kepada manusia bahawa kita tidak akan lari dari tipu daya syaitan yang sentiasa berusaha merubah kasih sayang manusia terhadap Allah kepada kasih kepada sesuatu yang lain.

6-  Allah taala menjadikan fitrah semula jadi manusia adalah beriman kepada Allah , dari iman(percaya, yakin)akan timbulnya kasih sayang.

Firman Allah Taala bermaksud:
"Dan ketika tuhan kamu menjadikan keturunan anak Adam merupakan kelebihan dan keadilan Allah kepada mereka yang bermuhasabah dan mengambil I'tibar.

Ambillah i'tibar dan pengajaran dari apa yang berlaku kepada kita.jangan lah merasa terlalu gembira dengan kebahagian hari ini sehingga kita tidak bersyukur dan jangan pula merasa terlalu sedih dengan kedukaan hari ni. Renungilah hikmah disebaliknya.



QADA' DAN PERUBAHAN

Terdapat dakwaan dari sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Qada' dan Qadar Allah Taala boleh diubah.

Dengan lain perkataan, apa yang Allah Taala telah tetapkan kepada makhluknya boleh berlaku perubahan.

Mereka berdalilkan dengan beberapa Hadis antaranya:

1) Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban bermaksud;
"Tidak boleh ditolak Qadar (ketentuan) Allah, melainkan dengan doa".

2) hadis yang diriwayatkan oleh Hakim bermaksud;
"Doa boleh menolak Qada'".

3) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi bermaksud;
"Tidak boleh ditolak Qada', melainkan dengan doa".

Ini diantara dalil-dalil yang digunakan oleh mereka yang mengatakan Qada' dan Qadar Allah Taala boleh diubah.

Adakah tepat dakwaan meraka?

Telah berkata Syeikh Hassan Ali Al-saqaf : Dakwaan yang mengatakan Qada' dan Qadar Allah boleh diubah adalah dakwaan yang tidak bersandarkan kepada nas yang kukuh. Ini kerana dalil yang mereka gunakan itu merupakan hadis yang sangat dhaif dan bertentangan dengan nas Al-quran dan hadis shohih.

Ulama telah bersepakat mengatakan bahawa Qada'dan Qadar Allah tidak akan berubah, berdalilkan :

1) Firman Allah Taala bermaksud ;
"Begitulah ketetapan (sunnah) Allah terhadap orang orang masa lampau dan tidak engkau dapati ketetapan itu akan berubah". (Al-Ahzab 62)

2) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bermaksud;
"Bahawa Nabi S.A.W bersabda : Aku telah pohon kepada Allah Taala tiga perkara, diperkenankan dua sahaja, satu lagi ditolak. Aku pohon kepada Allah supaya tidak dibinasakan ummat aku dengan kelaparan, maka Allah perkenankan. Aku pohon supaya tidak dibinasakan ummat aku dengan banjir besar maka Allah Taala perkenankan dan yang ketiga aku pohon supaya kebinasaan itu tidak datang dari diri mereka sendiri maka ditolak".

3) Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga bermaksud;
"Nabi S.A.W bersabda : Bahawa Allah Taala telah berfirman: Aku apabila telah aku putuskan (Qada') maka ia tidak akan berubah".

Timbul satu persoalan. Bagaimana pula dengan hadis ini? Iaitu,
"Sabda Nabi S.A.W bermaksud sesiapa yang suka diperluaskan rezekinya dan ditangguhkan baginya ketetapan Allah maka hendaklah ia sambung silaturrahim".

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang menunjukkan seolah-olah qada' boleh berubah?

Ibnu Hajar dalam kitab Fath Al-Bari menjelaskan maksud hadis ini dengan keberkatan. Iaitu umur tidak berubah tetapi keberkatan umur sahaja. Sekali pun umur pendek tetapi manfaatnya banyak.

Setelah kita mengetahui Qada' tidak boleh diubah.


Apa faedahnya berdoa? Kenapa Allah Taala minta kita berdoa dengan janji dia akan perkenankan doa tersebut?

Firman Allah Taala bermaksud;
"Dan Tuhan kamu telah berkata berdoalah kamu kepada aku nanti akan ku perkenankan permintaan mu sesungguhnya orang yang menyombong diri dari menyembah aku akan masuk neraka jahanam secara terhina". (Al-Mu'min 60 )




DOA DAN PERKENAN

Sekalipun kita mengetahui Qada' dan qadar Allah Taala tidak boleh diubah, apakah kita tahu qada' dan qadar Allah terhadap kita? Tahu kah kita akan mati dalam keadaan beriman atau tidak? Tahu kah kita akan berjaya atau gagal?

Justeru, inilah tujuan utama doa itu. Kita menaruh harapan mudahan kita termasuk dalam golongan yang diredhai Allah. Mudahan kita termasuk dalam golongan yang berjaya.

Firman Allah Taala dalam hadis qudsi bermaksud : "Aku mengikut sangkaan hamba aku terhadap aku"

Banyakan lah berdoa kepada Allah Taala, kerana orang yang kurang berdoa atau tidak berdoa merupakan orang yang sombong kepada Allah. Apabila kita diberi kekuatan oleh Allah Taala untuk berdoa maka kita sebenarnya dibuka jalan untuk diperkenankan doa.

Penutup.

Alhamdulillah dengan bantuan Allah Taala dapat juga penulis menyelesaikan perbincangan ini. Sebenarnya perbincangan ini terlalu besar, tidak layak bagi saya untuk memperbincangkan kerana saya bukan ahlinya, hal ini kerana terlalunya sedikit maklumat dan ceteknya kefahaman yang ada pada diri.

Oleh kerana mengharapkan redha Allah Taala, maka saya telah mencuba sedaya upaya dengan segala kemampuan yang dipinjamkan kepada saya untuk cuba mempersiapkannya juga.mudahan dengan kerja yang tidak seberapa ini dikira oleh Allah Taala sebagai amalan yang bermanfaat. Sekiranya terdapat kekurangan maka diharap pada yang mempunyai kefahaman yang luas terhadap masalah ini untuk memperbetulkan nya dan memaklumkan kepada penulis.

sekian Wassalam.

SUMBER : mymasjid.net


p/s : ilmu Allah itu maha luas lagi maha hebat. terasa indahnya Ayat-ayat Al-quran bersastera tinggi punya maksud yang sangat mendalam, terlalu sukar untuk manusia menembusi makna tersirat di sebalik bait-bait perkataan Allah. tapi memang agak seronok membaca dan belajar ilmu-ilmu sebegini , di luar garis silibus Barat.

Mungkinkah bakal lahir tokoh ilmuwan dan cendiakawan islam seperti ibnu sina dan sultan muhammad al fateh? belajar dan berpraktikal dengan displin ilmu yang pelbagai sama ada ilmu duniawi dan ukhrawi.

Mungkinkah sistem pendidikan Malaysia yang berkibatkan barat bakal digubal dan digantikan dengan sistem Islam?

Mungkinkah kerajaan sekarang perlu ditukar supaya sistem pentadbiran negara mencakupi sistem pendidikan berorientasikan islam dapat ditegak dna dipraktikkan? Satu persoalan besar yang menuntut pembaca melakukan perubahan secara bersungguh.

Bersama. Tunaikan kewajipan kita pada PRU-13 nanti.

Mungkinkah tiada lagi sekolah aliran sains dan sekolah aliran agama? Malah digantikan dengan sekolah ibnu sina, sekolah ibnu khaldun, sekolah sultan muhammad al-fateh?

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST