TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

SAYA MALU BERDAKWAH, TIADA ILMU


SEJARAH 90-an

“Ana menyeru kepada semua sahabat sekalian agar berusaha dan mengoptimakan ruang dan peluang dalam memaksimakan kegiatan dakwah baik di dalam kampus mahupun dalam lapangan masyarakat”, ucap Presiden Persatuan Mahasiswa Islam dengan penuh bersemangat.

“Ahhh!! Aku ni bukan macam dia. Dia sape? Aku sape? Dia presiden, aku pengikut je. Tak pandai bercakap. Ilmu pun takde. Setakat dengar, meramaikan majlis ilmu boleh la. Kira menyumbang jugak pada agama”, bentak si muslimin.

“Ana ni muslimat. Ana malu cakap depan-depan, lebih lagi kalau cakap depan muslimin. Tak jadi keruan ana dibuatnya”, komen seorang muslimat.


SEJARAH 70-an

Pada era 70-an ramai ustazah yang tidak memakai tudung dan ada pula isteri ustaz termasuk ustaz pondok yang tidak memakai tudung. Ramai yang ada ilmu agama tapi pengamalan agamanya sekadar di masjid dan di surau. Ketika majilis pernikahan juga terdapat pelbagai program yang tidak Islamik.



MENTALITI DAN SIKAP

DAKWAH adalah kalimah agung yang menjadi corak kehidupan para dua'at. Dakwah juga menjadi “berisi” apabila intinya adalah tarbiyyah. Namun, tidak dinafikan hari ini ramai anak muda yang tidak berminat dengan dakwah. Cukuplah sekadar menghadirkan diri ke program dan seminar atau mungkin usrah. Selesai. Tidak berminat menyertai dakwah, apatah lagi gerakan dakwah. 
"Asyik-asyik dakwah .Bosan juga mendengarnya.
Masuk univerisiti untuk belajar bukan berdakwah. Ingat pesan mak ayah. Tak reti bersyukur langsung"

Kenapa marahkan dakwah?
Renungkan sejenak.

Jika bukan kerana dakwah, saat ini kita mungkin bukan Minhad, tetapi Michael. Bukan Khadijah, tetapi Katy. Ertinya kita bukan seorang Muslim. Mungkin hari ini kita sedang menyertai American Idol. Mungkin juga sedang mabuk arak. Atau sedang berada di kota metropolitan Jepun, membilang hari untuk membunuh diri akibat tekanan hidup.


Kita mungkin seperti mereka jika bukan kerana DAKWAH. Setuju?

Kita tidak mengenal Allah, RasulNya dan Quran jika bukan kerana DAKWAH. Kita mungkin penyembah matahari, patung seribu tangan, atau roh nenek moyang (nauzubillahiminzalik). Sebaliknya, hari ini kita bersujud para Rabb yang Esa, Allah SWT. Kerana berlakunya fenomena dakwah lalu kita berpeluang mengucap syahadah dan sehingga kini masih lagi subur dalam keimanan.

Alhamdulillah. Selautan syukur pada Allah.
Apakah antum bersyukur menjadi Muslim? Lafazkan Alhamdulillah.

Dan mungkin kita akan tertanya-tanya kenapa ada ilmu agama namun pengamalan Islamnya tidak menyeluruh?

Jawapannya tidak lain ialah kerana tidak adanya fikrah. Inilah yang berlaku ketika as-syahid Imam Hasan Al-Banna memulakan gerakan dakwah di Mesir bukanlah tiada Al-Azhar sebagai gedung ilmu dan ulama, tetapi yang tiada ialah fikrah dakwah wal haraki. Mempunyai ilmu tanpa fikrah dakwah wal haraki tidak mendatangkan manfaat kepada kehidupan diri dan masyarakat.


DIMENSI DAKWAH RASULULLAH

Rasulullah diutus ke dunia kerana urusan dakwah. Kita harus faham perkara ini. Bahkan empayar selepas kewafatan baginda dipertahankan kerana dakwah juga. Buktinya, kita melihat Rasulullah diberi ilmu melalui wahyu namun baginda juga diberi fikrah melalui wahyu. Surah pertama surah Al-Alaq dan surah kedua pula Al-Mudassir, menunjukkan kepentingan ilmu dan fikrah dakwah.

Firman Allah dalam Surah Al-Anbiya' ayat 107:
"Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."

Ada kalimah rahmat yang Allah sebutkan dalam ayat di atas. Rahmat hanya menaungi alam ini apabila Islam menguasai bumi. Maka, dengan dakwahlah Islam berkembang dalam jiwa-jiwa manusia oleh para dua'at di zaman Rasulullah seperti Abu Bakar r.a, Uthman Ibn Affan, Umar Al-Khattab, Mus'ab bin Umair, Saidina Ali dll diikuti pula ulama pada zaman berikutnya, Ibn Taimiyah, Ibn Jauzi, Imam Al-Banna dan seterusya.

Dan rahmat ini kita nikmati hari ini. Nikmat iman dan nikmat Islam. Itu kisah kita. Mari renungkan manusia disekeliling kita.




REALITI SEMASA

Kekuatan Islam semakin lama semakin tergugat dan pudar. Tersepit di celah undang-undang wadh’ei (buatan manusia) yang mengaburkan mata manusia. Hati-hati menjadi semakin malap dilindungi kilauan dunia yang palsu semata-mata. Masa semakin jauh menyedarkan kita tentang tugas dan tanggungjawab yang dipikul semakin berat.

Manusia semakin lalai, tidak sedar tentang tugas sebenar mereka. Kita tidak hairan jika mereka ini orang-orang kafir dan kufur dengan perintah Allah kerana mereka hanya menyeru kepada kemungkaran dan kesesatan yang nyata.

Amat menyedihkan apabila kita sedar bahawa mereka ini terdiri daripada ahli keluarga, sahabat karib dan masyarakat sekeliling kita yang beriman kepada Allah ta’ala dan rasulNya. Mereka bersikap nafsi-nafsi bak kata pepatah “kubur lain-lain”, hanya memperbaiki diri sendiri dengan tanggapan dapat melepaskan diri sendiri dari ancaman dunia dan akhirat.

Ada diantara mereka yang mempunyai tanggapan bahawa jika dia sudah memperbaiki dirinya maka ia sudah tidah berkewajipan lagi untuk memperbaiki orang lain. Hujah yang digunakan ialah ayat al-quran:

Firman Allah ta’ala: “Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu sendiri; dan tiadalah membahayakan kepadamu orang yang telah sesat bila kamu telah mendapat petunjuk.” (al-Maidah : 105)




TANGGUNGJAWAB DAKWAH

Melihat kerosakan masyarakat Islam yang semakin membarah tentunya memanggil jiwa orang-orang beriman untuk berfikir sejenak. Ia menuntut satu pengorbanan yang segera. Rasulullah SAW didatangkan ke dunia ketika masyarakat dunia hidup dalam kegelapan undang-undang hutan. Maka bermulalah dakwah secara sembunyi dan meningkat kepada dakwah terang-terangan.

Masyarakat mengenal iman, kasih-sayang, kesatuan, kepimpinan Islam, kesejahteraan dan kejayaan kekuasaan Islam. Angkatan yang dibina Rasulullah mempertahankan Islam dengan segala yang mereka miliki, kerana mereka cintakan dakwah.

Tentu kita tersentuh dengan kisah dakwah Mus'ab Ibn Umair, pemuda Mekah yang menjadi da'i pertama ke Madinah. Tugas beliau selepas Islamnya ialah menyampaikan Risalah Islam kepada penduduk Yathrib. Maka berangkatlah pemuda ini ke Yathrib, bersama rombongan pertama Madinah. Beliau seorang pemuda yang dipisahkan dengan keluarga dan harta kekayaan kerana urusan kalimah Lailahailallah. Di sinilah letaknya kemuliaan seorang Muslim.


APAKAH KITA MERASAINYA?

Hari ini kita sibuk dengan dunia kita. Begitu cetek kehidupan kita.

Dunia pelajar. Dunia doctor. Dunia guru. Dunia pensyarah. Dunia peniaga. Dunia jurutera. Dunia saintis. Bahkan dunia ustaz! Hingga kita terlupa bahawa sahabat-sahabat Rasulullah juga berniaga, belajar, penjelajah, penakluk kota, pemikir, dan pemimpin masyarakat. Tetapi mereka tidak pernah memisahkan kehidupan mereka dengan amar ma'ruf nahi mungkar. Mereka saling memperingati, ijnis bina nu'min sa'ah!

Jadilah sesiapa pun kita, janganlah kita memisahkan diri kita dengan tugas hakiki ini - mengajak manusia kepada Allah. Tentunya ia bermula dari dalam diri kita - mengajak aqal, nafsu dan nurani kepada pengagungan Allah. Kerjaya kita hanya ALAT manakala dakwah adalah MATLAMAT. Apalah gunanya kita sibuk mengejar alat jika matlamat kita TERABAI. Jika alat menyebabkan kita susah mencapai matlamat, kita harus BERANI MEMILIH. Rezeki Allah itu Maha Luas.



HARUSKAN PERUBAHAN

Ayuh sahabat, mari berdakwah! Mengajak manusia kepada Allah. Bangunlah para pemuda, janganlah terleka dengan urusan peribadi dan keluarga sehingga terlupa tanggungjawab khalifah.

Kita sudah ada kefahaman cuma semangat yang tiada. Jika ada pun macam “chipsmore”, sekejap ada sekejap tiada
Kita sudah ada kefahaman cuma ilmu tiada atau kurang. Disergah hanya basic seperti bab akidah kita terus mengalah dan tidak mahu mencuba.

Kita sudah ada kefahaman cuma tiada kelebihan bercakap dan menulis. Soft skill tiada.
Kita sudah ada kefahaman cuma mekanisme dan pendekatan selalu tersilap dan tidak kena pada tempat.

Dan banyak lagi alasan kita. Sesungguhnya, Al-quran awal-awal lagi sudah menjawab segala persoalan dan masalah kita.




Ana tidak layak?
“ Dan supaya Dia mengetahui orang-orang munafik apabila dikatakan kepada mereka, ‘Marilah berperang di jalan Allah, atau menangkislah.’ Mereka berkata, ‘Sekiranya kami mengetahui bagaimana hendak berperang, tentu kami mengikuti kamu.........”(3:167)

Itulah jawapan golongan munafik apabila disuruh kepada mereka untuk berperang. Maka, kita juga sekiranya memberikan alasan tidak mampu untuk berdakwah dan berjihad, maka berhati-hatilah. Golongan munafik itu tempatnya adalah di neraka paling azab.


Ana tidak mampu?
Tanggungjawab untuk berdakwah dan berjihad ini tergalas dibahu kita. Sekiranya telah dipertanggungjawabkan kepada kita maka pasti ia dalam batas kemampuan kita kerana itu janji Allah, bahawa dia tidak akan menguji kita lebih dari kemampuan diri

“Maka berperanglah kamu di jalan Allah; kamu tidak dibebani kecuali dengan diri kamu sendiri. Dan gesalah orang-orang mukmin, mudah-mudahan Allah akan menahan kekuatan orang-orang yang tidak percaya, dan Allah adalah lebih kuat dalam kekuatan, lebih keras dalam hukuman.” (4:84)


Ana Takut?
“........Kemudian sejurus setelah perang dituliskan bagi mereka, ada segolongan daripada mereka takut pada manusia seperti mereka takut kepada Allah atau dengan lebih takut, dan mereka berkata, ‘Wahai Pemelihara kami, mengapakah Engkau menetapkan perang untuk kami? Mengapa tidak Engkau menangguhkan kami ke suatu tempoh yang dekat? Katakanlah, ‘Kesenangan dunia ini sedikit dan akhirat adalah lebih baik bagi orang yang bertakwa dan kamu tidak akan dizalimi sedikit pun.’” (4:77)

Ketakutan itu adalah fitrah dan lumrah makhluk yang bernama manusia. Sahabat-sahabat Nabi SAW juga takut dan gerun apabila berperang. Namun, ketakutan itu bukanlah alasan menjadikan mereka lemah. Sebaliknya ketakutan itu dilawan dengan mujahadah untuk rindukan sebuah kematian bernama syahid. Dan Allah sering mengingatkan kita, matlamat kita yang paling utama adalah akhirat dan syurga itu sebaik-baik tempat untuk kembali.


Ana Lemah?
“Dan berapa ramainya Nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikutnya yang bertakwa dan mereka tidak menjadi lemah kerana apa yang menimpa mereka di jalan Allah, tidak patah semangat, tidak pula tunduk dan Allah menyukai orang-orang yang sabar.”(3:146)

Itulah janji Allah apabila Allah memberikan contoh para nabi sebelumnya yang telah diseru kepada mereka dan kaum mereka untuk berperang dan keyakinan mereka kepada Allah, bahawa Allah memelihara mereka dan tidak mensia-siakan usaha mereka, lantas mereka tidak merasakan lemah dan tidak tunduk kepada golongan yang ingkar kepada Allah.

Manusia itu memang diciptakan Allah secara semulajadi lemah. Akuilah kita insan yang lemah dan tidak berupaya tanpa pertolongan Allah. Namun, Allah tetap memilih kita untuk berperang dan berdakwah kerana itu adalah tanggungjawab. Maka, alasan lemah tidak sesekali diterima Allah di hari perhitungan kelak.


Ana berasa tidak cukup?
“Wahai Nabi, gesalah orang-orang mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh antara kamu orang-orang yang sabar, mereka akan mengalahkan dua ratus, jika ada antara kamu seratus, mereka akan mengalahkan seribu orang yang tidak percaya, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami.” (8:65)

Kita sentiasa merasakan diri serba kekurangan, tidak cukup harta, tidak cukup tenaga, tidak cukup orang untuk berperang bersama kita, tidak cukup masa, tidak cukup bekalan bersama kita.

Itulah alasan yang kerap kita berikan apabila diseru berperang dan berdakwah. Percayalah, jika kita benar ikhlas kerana Allah, Allah akan mencukupkan segalanya buat kita. Kecukupan bukan bermaksud apabila kita berperang kemudian kita menjadi kaya raya, diberi masa 48 jam sehari atau rakan taulan perjuangan yang berlipat ganda.

Kecukupan itu adalah kita sendiri merasakan syukur dan merasa cukup dengan semua nikmat yang telah Allah bagi sehingga kita tidak akan meminta-meminta itu dan ini dari sesiapa pun.



Ana tidak suka?
Diwajibkan ke atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui ( 2:216)

Fitrah manusia tiada siapa pun yang suka kacau-bilau, bunuh-membunuh dan huru-hara peperangan. Namun, Allah itu Maha Mengetahui apa yang terbaik. Telah ditentukan berperang itu jalan terbaik buat kita hamba-Nya maka itulah yang terbaik.

Kehidupan kita bukan berlandaskan apa yang kita suka. Rasa suka sepanjang masa itu adalah dicipta dari nafsu. Nafsu memang sukakan kesenangan dan tidak suka kepada kesusahan. Berperang dan berdakwah itu adalah sesuatu yang kita tidak suka maka ia adalah cara terbaik untuk bermujahadah menundukkan nafsu.



BANGKITKAN SEMANGAT DAN MOTIVASI

Fitrah manusia suka mencipta pelbagai alasan. Tidak ada manusia yang sempurna. penuh dengan khata' dan nisyaan. Kesalahan. Dosa. Kita bukanlah sekolompok jamaah malaikat. Setiap orang bakal melakukan kesalahan, lupa, tetapi yang penting proses pentarbiyyahan tidak ditinggalkan. Memperbaiki dan menyedarkan semua.

Lakukanlah setiap amal dengan penuh keikhlasan dan mujahadah. Penjagaan dari aspek ruhiyah sangat penting dalam membina ruh dakwah dalam diri. Kekuatan itu datang dari Allah, tiada siapa dapat memudharatkan kita selain izinya.
tarbiyyah maadalhayah

Sesungguhnya syurga itu manis, perjuangan itu pahit. Jom kita sama-sama berlari ke syurga. Ayuh sama-sama jadi jutawan akhirat.




p/s : panjang bebeno entri kali ini. harap bersabar dalam membaca dan boleh bertindak sejurus mengkhatamkan pembacaan.

No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST