Pagi itu berlalu dengan penuh kesunyian. Seolah-olah meminta para penghuninya bangun malam bertahajjud. Sejadah dicapai melepaskan kerinduan Ramadhan padaNya. Adik-adik dikejutkan bagi memeriahkan lagi pesta kehambaan.
Seusai bersalaman zahir dan batin bersama ahli keluarga, hati luluh. Rasa rindu kepada dia semakin membuak-buak. Perasaan bercampur baur mencelarukan pemikiran waras.
"Kak, adik rindukan abang", si kecil menarik baju sambil mememekkan muka seposen.
Terkelu lidah melihat reaksi si adik yang masih tidak mengenal erti kehidupan alam barzakh. Hati terusik dengan gemersikan rindu, terasa hangat dan luar biasa.
Mengingati wajahmu, merindui sentuhan, suara dan gelak ketawamu....
"Sesungguhnya Ya Allah, Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah yang Maha Pengasih diantara semua pengasih."
KHAS UNTUKMU
Ringan kaki melangkah namun berat di hati merenung dalam 2 batu nisan terpacak di atas kubur insan yang sangat disayangi. Insan yang pernah berkelahi dan bergaduh setiap hari. Bermain, belajar, dirotan, dimarah, makan minum dan tidur bersama. Zaman hingusan yang mana dibazirkan dengan kenakalan dan keseronokan bersama si dia. Menjaga adiknya dengan penuh kasih sayang dan memberi contoh tauladan yang baik.
Saat-saat susah senang dia tidak pernah merungut. Pergi balik sekolah memimpin tangan agar keselamatanku terjamin. Kadang-kadang dia membonceng aku dengan basikal buruknya. Duit belanja sekolah yang hanya RM0.50 dan selalunya RM 0.20 diberi padaku supaya aku tidak lapar pada sesi sekolah agama di sebelah petangnya. Apabila dirotan ayah, abang selalu memujuk. Memberi kata-kata rangsangan dan menenangkan jiwa. Melapkan air mata dan menyapukan minyak di tempat luka.
Walaupun aku lebih sikit cerdik dan cerdas daripada abang, namun dialah yang selalu memberi semangat dan galakan. Walaupun aku berpangkat tinggi dalam kepimpinan pengawas, namun dialah pengawas yang paling membanggakan aku. Walaupun aku sering mendapat anugerah di setiap minggu perhimpunan sekolah, namun dialah anugerah terbaik buatku. Walaupun aku dimanjakan ummi ayah, namun dialah yang paling memanjakan aku.
Masih segar di ingatan bagaimana prihatinnya dia menjaga dan melayan karenahku ketika disahkan oleh doktor mengidap jangkitan virus Varicella Zoster. Seminggu tidak hadir ke sekolah sudah cukup menduga kasih sayangnya terhadap diri ini. Bersungguh dia membantu aku supaya cepat sihat, macam-macam yang dilakukan, walaupun sanggup berlapar demi membeli makanan kegemaranku. Demam campak tersebut akhirnya berjangkit kepada dia pula. Kesian dia.
Pernah juga satu ketika kami bergaduh besar dan itulah yang pertama dan terakhir dalam kehidupan ini. Tamparan kuat melekap di pipi beserta kata-kata pedih mencucuk-cucuk di setiap ruang jiwa. "Kalau kau tak tahu jaga adik, siapa nak jaga lagi? Esok nanti bila aku tiada, siapa yang boleh diharapkan!?"
Menangis....
Benar. Selang beberapa hari, akhirnya dia pergi jua tanpa sebarang kemaafan daripadaku.
Berita kemalangan dilanggar kereta tatkala keluar mencari sesuap nasi dengan menaiki motor pada belah tengaharinya begitu menggores perasaan ini. Hati bagai dikoyak rabak, disiat-siat sehingga hancur luluh. Pilu itu masih bersarang dan disimpan kemas di satu sudut hati ini.
Tamatlah kisah dua beradik yang sangat akrab Naim-Na'imah yang hampir terputus 9 tahun lamanya.
TERUSKAN KEHIDUPAN DEMI ALLAH
Bukanlah bermakna bila sudah tiada insan yang kita sayang, kita hilang arah tuju. Hidup ini demi Allah. Mati kita juga demi Allah. Ibadat kita juga demi Allah. Biar Allah uji kita dengan hilang semua insan yang kita sayang, tapi ketahuilah, Allah sediakan yang lebih baik dari itu semua! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Penyayang.
Saat jatuhnya air mata seorang abang, baru aku sedar insan bernama lelaki juga mampu menangis, walaupun tampak garang, walupun tegas mengatasi segalanya. Saat itu dia tertunduk, menyembunyikan air mukanya.
"Abang, usahlah risau, damailah kau di sana. Aku berjanji akan jaga adik-adik dan menggalas amanah abang sebagai anak pertama dengan sabar dan sentiasa mendoakan kesejahteraan dirimu agar abang sentiasa bahagia. Doakan aku juga agar terus kuat di samping menjadi hamba dan anak yang solehah".
"Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah mengetahui bahawa hati-hati kami telah bersimpuh mencurahkan kecintaan kepadaMu, maka kuatkanlah tautan persaudaraan kami dengan keindahan bertawakkal kepadaMu walaupun jasad kami di dunia yang berlainan. Di mana berakhirnya perjalananku ini, esok atau lusa bukan milikku. Oh Tuhanku, lindungilah hambaMu yang hina ini. Aku hanya berserah padaMu.."
erm...kita yang masih hidup..teruskan
ReplyDeletetabah lah Nur Na'imah.. Seperti namamu yang membawa amanah seorang Na'im.. Keep going sis.. :)
ReplyDelete