TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

USAH BERKIRA DENGAN ALLAH


Malam itu aku rasa puas dan tenang. Bukan sebab kenyang makan sedap-sedap di program, tetapi rasa tenang semacam. Agaknya ini yang dinamakan "sakinah" yang Allah janjikan kepada hambaNya yang melakukan amal keranaNya.

Apabila balik, terasa hendak membaca lebih lagi agar minggu minggu mendatang aku dapat kongsikan lagi dengan adik-adik. Tak jemu-jemu hendak menimba ilmu. Seronok sangat mendengar ceramah dan pengisian dari pelbagai sumber. Moga Allah kekalkan semangat ini di dalam diri dan dalam diri sahabat-sahabat lain.

Tidak perlu berkira-kira dengan Allah. Walaupun penat, sibuk dengan jadual akademik, masa yang dilaburkan dan duit yang mengalir tidak henti-henti saban bulan untuk gerak kerja Islam. Kita sekadar menumpang di dunia ini. Selagi ada umur, selagi itu berusaha berbakti. Berbakti tidak semestinya setelah menggenggam segulung ijazah atau selepas peroleh emas segunung. 

Cubalah kita bayangkan. Kalaulah kita berhenti berprogram, berusrah, berkongsi ilmu dan berhenti melakukan kerja-kerja amal Islam yang lain, agaknya hidup ini akan menjadi boring dan membosankan. Pergi kuliah, balik kuliah, makan minum dan tidur. Nampak macam bahagia, namun hati kosong.

Diri rasa tidak cukup menunjukkan syukur yang sewajarnya kepada Allah. Apabila ketemu masalah kecil, dianggap masalah besar kerana pengharapan kepada Allah sudah makin tipis. Tapi jika kita masih bersama-sama dengan Allah, kita akan ada tempat mengadu.

Kita akan ada tempat kita memohon ketenangan. Akhirnya hidup ini dirasakan bagai satu medan ujian dan ketenangan akan dikurniakan Allah sepertimana tenangnya alam yang luas ini apabila mengikut apa yang ditetapkan Allah SWT. "Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan" (Al-Fatihah: 5)

Bayangkan dari bayi kita hidup mengharapkan belas kasih sayang daripada orang di sekeliling. Kemudian kita membesar, menghirup udara yang bersih. Kita sakit, kemudian disihatkan. Kita menemui pelbagai masalah dalam kehidupan dan berupaya menyelesaikannya.

Agak-agak selama ini, siapa di belakang kita yang menjadikan kita sebagai kita?

Allah telah bersama kita sejak kita belum dilahirkan sehingga kini. Namun untuk tunduk kepada Allah SWT kita berkira. Tetapi untuk memuaskan hawa nafsu, kita tidak berkira. Kita lupa suatu hari nanti kita akan dipanggil oleh Allah SWT. "Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku." (Al Baqarah : 152)

Aku bersyukur berada dalam jemaah kerana dikelilingi oleh sahabat yang baik-baik (soleh solehah) yang selalu mengingatkan. Kita tidak cukup baik tetapi bersama orang-orang baik, kita akan menjadi baik. Doa seorang sahabat kepada sahabat lain amat bermakna dalam erti berukhwah  “Tidaklah seorang hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan melainkan malaikat berkata : Dan bagimu juga begitu.”(HR.Muslim)



BIAR SEDIKIT ASAL ISTIQAMAH

Maka menggerakkan program dan usrah merupakan sebahagian kecil sumbangan kita dalam Islam. Tetapi di sana rupanya banyak lagi manfaatnya. Keterlibatan remaja, yakni pemuda harapan ummah di dalam program-program anjuran Myconcern, masya Allah alangkah seronoknya berada di jalan ini. Moga Allah memudahkan lebih ramai lagi menyertai Myconcern dan melibatkan diri dalam program-program anjuran Myconcern.

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kalian orang-orang yang selalu menegakkan kebaikan karena Allah....." (Al Maidah : 8)

1 comment:

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST