"Selain Al-Quran dan perjuangan, satu-satunya harta yang paling berharga yang DIPINJAMKAN Allah SWT kepada saya ialah KELUARGA. Setiap kecintaan yang dilafazkan memang menuntut PENGORBANAN.
Ya Allah, peliharalah kami sekeluarga dalam rahmat dan kasih sayangMu. Permudahkanlah urusan kami untuk bercinta sampai ke syurga. Amiin..."
KELUARGA "SAKINAH MAWADDAH WA RAHMAH"
Apakah yang dimaksudkan dengan lafaz ikrar sakinah?
Apa pula yang digambarkan sebagai keluarga sakinah?
Bagaimana pula caranya untuk menjadikan sesebuah keluarga itu sebagai keluarga "sakinah mawaddah wa-rahmah"?
‘Sakinah’ bermaksud tenang dan tenteram.
‘Mawaddah’ pula memberi erti bahagia.
Manakala ‘wa-rahmah’ menyatakan maksud mendapat rahmat atau bahagia.
Gambaran takrifan tersebut ada dirakam dalam surah Ar-Rum, ayat 21:
“Dan di antara tanda-tandaNya bahawa Dia menciptakan jodoh untuknya daripada dirimu (bangsamu) supaya kamu bersenang-senang kepadanya, dan Dia mengadakan sesama kamu kasih sayang dan rahmat. Sesungguhnya yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang yang berfikir.”
Perkahwinan dalam Islam adalah untuk membentuk keluarga yang sempurna. Ini bermakna, keluarga sakinah bukan sahaja bererti keluarga yang tenang dan bahagia tetapi lebih daripada itu, iaitu perlunya cinta yang diberikan oleh suami kepada isteri dan keluarga dan juga sebaliknya, iaitu cinta dan taat setia isteri yang tiada berbelah bahagi terhadap suami dan keluarganya.
FORMULA BAITUL MUSLIM YANG BAHAGIA
Ketika ingin aman dan harmonis, gunakanlah formula 7 K :
1. Ketaqwaan
2. Kasih sayang
3. Kesetiaan
4. Komunikasi dialogis
5. Keterbukaan
6. Kejujuran
7. Kesabaran
Amalkan juga doa yang diajar oleh Rasulullah SAW :
“Ya Allah! berilah aku petunjuk berserta orang yang telah engkau beri petunjuk, berilah aku kesihatan yang sempurna berserta orang yang telah engkau beri kesihatan yang sempurna, pimpinlah aku berserta orang yang telah Engkau pimpin, berkatilah untukku apa yang telah Engkau berikan, peliharalah aku daripada apa yang telah Engkau tentukan.
Maka sesungguhnya Engkaulah yang memutuskan dan tiada yang dapat memutuskan atas Engkau, bahawa tidak akan hina siapa saja yang telah Engkau pimpin dan tidak akan mulia siapa saja yang engkau musuhi (benci). Maha Agung Engkau wahai Tuhan kami dan Maha Tinggi Engkau.”
BAGAIMANA MELAHIRKAN SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH ERA 20-an?
Baitul muslim juga menjadi tempat pengumpulan ilmu agar dapat menghasilkan insan-insan yang bijak dalam menilai sesuatu. Ilmu yang dikumpul boleh menghasilkan pusat nasihat-menasihati dalam keluarga yang sering menghadapi risiko pengaruh negatif dari luar. Insan-insan yang bijak yang lahir daripada keluarga sebegini akan menjadi masyarakat yang mantap akhlaknya, seterusnya membina pembangunan negara yang cemerlang.
Seterusnya, rumah tangga yang sakinah akan menjadi pusat kemuliaan bagi keluarga yang lain. Memastikan keluarga menjadi contoh kepada keluarga yang lain memerlukan kerjasama setiap ahli keluarga. Ini adalah dakwah yang paling besar yang boleh dilakukan oleh institusi kekeluargaan dalam membentuk masyarakat yang madani dan hadhari.
Kemuliaan dan keindahan dalam keluarga sakinah wujud hasil daripada nilai cinta kepada Allah secara berterusan. Penghayatan terhadap agama Islam secara konsisten dan tulus bermula daripada pekerti seorang suami dan isteri kepada anak-anaknya. Ketaatan kepada Allah menjadikan setiap hati manusia akan tunduk dan takut kepada seksaan di akhirat kelak.
Setiap individu harus mempertingkatkan kefahaman berkaitan dengan konsep penghayatan Islam secara menyeluruh merangkumi peranan mereka sebagai pendakwah dan khalifah Allah di muka bumi ini. Dengan penghayatan ini, bukan sahaja kita dapat membentuk keluarga sakinah dengan mudah, malah secara keseluruhannya dapat pula membina dan membentuk sebuah negara yang "sakinah mawaddah warahmah".
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."