TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

BUKAN HANYA SEKADAR SEMANGAT


Dunia ini adalah ciptaan Tuhan dan seluruh isinya termasuk manusia adalah ciptaanNya juga. Oleh itu siapa dapat menafikan bahawa dunia dan seluruh isinya adalah kepunyaan dan milik Tuhan. Manusia hanya menumpang sementara waktu di atas muka bumi ini.

Oleh yang demikian adalah tidak logik dan tidak masuk akal bahawa Allah yang bersifat Rahman (pemurah) kepada hamba-hambaNya, demi kebaikan dan keselamatan hambaNya tidak membuat peraturan untuk manusia hidup di bumi ini. Tentulah Allah membuat peraturan. Takkanlah manusia yang menumpang ini pula yang membuat peraturan.

Sebagai contoh, kalau kita duduk di rumah tumpangan, apakah kita yang berhak membuat peraturan dan menentukan disiplin atau yang empunya rumah itu yang berhak membuat peraturan dan disiplin?

Tentulah akal kita boleh menerima dan patut menerima yang punya rumah itulah yang berhak membuat peraturan. Kita yang menumpang tidak boleh memandai-mandai membuat peraturan di rumah tumpangan itu. Ertinya Allah jua yang berhak membuat peraturan di dunia dan bukannya manusia.

Setiap bangunan yang hendak dijadikan tempat orang menumpang seperti hotel, hospital, guest house, tidak pernah berlaku tuan punyanya tidak menetapkan peraturan. Demi keselamatan rumah itu bahkan demi keselamatan penumpang sudah tentu tuan punya rumah itu membuat peraturan.

Apatah lagi Tuhan Pencipta alam yang Maha Bijaksana yang sangat kasih terhadap hamba-hamba-Nya, demi keselamatan hamba-Nya sudah pasti Dia membuat peraturan. Tidak munasabah Tuhan mencipta makhluk-Nya tanpa peraturan dan undang-undang.


Tidak masuk akal, setelah makhluk dicipta kemudian Tuhan biarkan tanpa peraturan. Sedangkan manusia pun bila membuat sesuatu diadakan peraturannya.


ALLAH MENCIPTA PERATURAN KERANA KASIH

Demikian pula dalam perjalanan kehidupan ini, tidak ada yang ingin celaka, rosak binasa dan sengsara. Semuanya ingin sihat lahir dan batin, selamat dalam mencapai tujuan.

Agar perjalanan yang ditapaki lurus dan selamat, perlu dibuat sebuah peraturan yang mengikat setiap individu.

Tempat kembali apabila ditemukan perselisihan. Itulah syariat (hukum) yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia dengan perantaraan NabiNya. Hukum yang bersumber dariNya adil dan bijaksana. Tidak memihak. Tidak seperti hukum buatan manusia. Ia bagaikan hukum pisau. Tumpul untuk kalangan atas, tajam untuk level grass root. Melukai rasa keadilan kaum dhu’afa dan mustadhafin (tertindas).
Allah mencipta peraturan, hukum dan undang-undang kerana kasihNya kepada hambaNya, supaya manusia tidak menyimpang juah daripada landasan kebaikan dan kebenaran.



TEGAKKAN HUKUM ISLAM DI DALAM DIRI

“Dirikanlah daulah Islam dalam jiwa kamu, nescaya akan tertegaklah ia di atas bumi kamu” -  Kata-kata keramat ini diambil daripada muqaddimah tulisan Al- Marhum Ustaz Fathi Yakan yang bertajuk "bahtera penyelamat dalam kehidupan duat".

Ucapan ini pernah diucapkan oleh Hassan Hudhaibi, salah seorang mursyidul am dalam satu gerakan Islam yang masyhur- Ikwanul muslimin. Kiranya ungkapan ini perlu diperingatkan semula kepada mereka yang mendukung dan menyokong gerakan Islam.




SEMANGAT TANPA KEFAHAMAN


Contoh. Kita semangat pergi dengar ceramah politik nak bina Negara Islam. Takbir kuat dah. Alhamdulillah. Tapi sayang! Masa angkat tangan nak takbir rokok terselit di celah jari! Apa benda ni? 
Contoh lagi. Kita dok sibuk bini pemimpin negara tak tutup aurat tapi bini kita pun tak tutup aurat juga.
Contoh lain, Kita semangat bertakbir "Allahuakhbar!" ketika demonstrasi aman di jalan raya, tetapi semangat takbir tersebut hilang kerana tidak terkesan di jiwa dengan mengamalkan pemujian kebesaran Allah dalam kehidupan seharian. 
Contoh keempat. Kita rajin pergi ke kuliah-kuliah agama, tak pernah miss kuliah maghrib. Tapi susah bebeno nak jaga solat suboh berjemaah, solat wajib yang lain pula kadangkala dilaksanakan tidak di awal waktu.

Solat berjemaah adalah perkara paling asas yang perlu dititik beratkan oleh mereka yang nak perjuangkan Islam. Di mana kita masa azan dilaungkan? Bukankah Nabi SAW sebut :

"Ditanya kepada  Nabi SAW , apakah amalan yang terbaik, maka jawab Nabi : Solat di awal waktu" ( Riwayat At-Tirmidzi dan Abu Daud, Albani : Sohih


Kita kena muhasabah balik. Praktik Islam yang kita boleh buat bagi diri sendiri dahulu.. Kalau tak dapat perintah Negara maka perintah dulu keluarga kita.

Tegakkan Islam dalam keluarga. Pastikan wanita tutup aurat. Para lelaki solat jamaah di masjid. Adab kehidupan yang islami perlu ditegakkan. Pastikan suasana rumah bersih dari sarang lagha (melalaikan dan tidak berfaedah).

Payah sangatkah?



No comments:

Post a Comment

"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."

THE MOST POPULAR POST