"Giler la kau! Hahaha...! Buat lawak ke ape ni? Zaman skang ni mane ade lagi istilah uzlah-uzlah ni. Zaman Nabi je orang gi uzlah. Tu pun dalam gua, atas gunung..Kau nak wat ape gi uzlah? Best sangat ke?"
Ada apa dengan "uzlah"?
Uzlah maksudnya mengasingkan diri. Apa yang aku faham, dalam konteks ibadah membawa maksud mengasingkan diri daripada dunia untuk mencari akhirat, mencari ketenangan di sebalik kesibukan menggila dunia dan paling penting mencari keredhaan Allah.
Dengan cara?
Beribadah. Tak kisahlah nak baca Al-quran atau nak perbaiki cara bacaan dan tajwid kita. Berzikir, solat sunat, puasa sunat, berdamping dengan orang-orang 'alim, membuat kerja kebajikan dan sebagainya. Kalau nak perbaiki solat kita juga boleh. Menghafal ayat-ayat Al-quran dan belajar cara tadabbur dan praktisnya.
Bestkan? Jom-jom!
Relevan ke uzlah di zaman moden sekarang ini?
Memanglah zaman Nabi dulu, zaman para sahabat, mereka beruzlah di tempat-tempat terpencil seperti gua, gunung, desa, hulu kampung, dan di mana sahaja asalkan tempat tersebut di ceruk-ceruk dunia yang jauh daripada manusia gila bandar. Manusia yang Nabi panggil dalam hadis sebagai manusia berpenyakit wahan, manusia gilakan dunia, yang mana penyakit maut ini akan semakin meliar (highly contagious) apabila kiamat semakin dekat, seperti sekaranglah.
Jadi, manusia zaman moden perlu sentiasa berhati-hati agar tidak menjadi hamba kepada manusia dan tidak seperti robot, tunggang tonggek solat tapi roh solat itu sendiri tidak meresap masuk ke dalam jiwa, lantas memperhambakan sepenuh jiwa raga kepada Allah SWT.
Lama tak kalau nak beruzlah?
Suka hatilah. Sehari? Sebulan? Setahun? Seumur hidup? Asalkan uzlah tersebut efektif dan tidak mendatangkan kemudharatan pada diri sendiri.
Pelik, kenapa pula?
Yelah. Kalau niat dah suci murni tapi caranya tak betul, sia-sia juga. Contoh? Pergi beruzlah dengan meninggalkan anak bini di rumah kelaparan dan urusan rumahtangga terbengkalai. Kan aniaya namanya tu?
Ingat, dalam Islam `matlamat sekali-kali tidak menghalalkan cara’ atau `al ghayah la tubarrirul wasilah’
Kena bayar tak? Hehe...
TIDAK! Ustaz pondok tersebut takdelah cakap "Nak, kalau nak duduk sini satu hari kenalah bayar RM5". Tapi, faham-fahamlah. Apa salahnya infaq, sedekah di jalan Allah, mana tahu dengan sedekah tersebut melancarkan perjalanan kita mendaki titan siratul mustaqim. Bagilah lebih sedikit mengikut kemampuan kita, duit tersebut akan menjadi darah daging budak-budak tahfiz di pondok yang akan sentiasa mendoakan kesejahteraan hidup kita. InsyaAllah...
Kat mana tempat yang paling best?
Tak semestinya di pondok, pusat tahfiz, sekolah agama, di dalam bilik sendiri pun boleh. Cuma pastikan tidak menganggu kekhusyukkan ibadah dan target uzlah kita. Kalau nak cari tenaga pengajar yang berbisa biasanya orang suka pergi pondok. Setiap negeri ada pondok masing-masing. Paling popular negeri Kelantan dan Kedah.
Kalau di Melaka, di Pondok Baitul Qurra' Sungai Udang. Sesiapa yang berminat boleh contact Ust Zul, 013-6135206. Sebar-sebarkan, Ust suruh aku ajak sahabat-sahabat lain juga.
Kenapa aku bertekad nak pergi?
Memanglah pernah terdetik hati cemburu dengan sahabat-sahabat dan adik sendiri yang pernah pergi. Kami ni ambil kos berbeza, dan seperti biasa cuti budak medik sangat pendek dan tak sama dengan cuti sahabat dari kos lain. Ada yang pergi sebulan, seminggu, tapi dapat 5 hari alhamdulillah cukuplah, syukur. Yang penting dapat isi masa dengan efektif tanpa mensia-siakan sesaat pun yang berlalu!
Niat wajib kena betulkan. Salah niat maka celakalah diri! Allah laknat kita sampai kiamat. Jangan pergi semata-mata sebab sahabat ajak. Terpaksa rela pun cuba hindarkan. Cubalah ikhlaskan hati seikhlas-ikhlasnya kerana Allah. Kita nak perbaiki diri, solat, bacaan al-Quran dan amalan ibadah kita, yang mana semakin lama semakin tidak bernafsu.
Bila dah dilekakan dengan kesibukan duniawi kita tidak lagi ghairah beribadah kerana Allah. Cinta Allah SWT pun susah kekal bertakhta di dalam hati.
Hati kita ini sentiasa kotor dengan debu dan kotoran degil yang dinamakan dosa. Sesibuk mana pun kita, sntiasalah mencari peluang dan ruang untuk sentiasa membersihkannya dan memperbaiki diri kita.
Abu Hamid al-Ghazali pernah berkata :
"Setiap orang yang tidak mengenal Allah di dunia, tidak akan melihatNya di akhirat. Dan setiap orang yang tidak pernah merasai kelazatan mengenal Allah di dunia, tidak akan merasai kelazatan memandang Allah di akhirat. Seseorang tidak akan menuai kecuali apa yang disemai."
Semoga Allah menjadikan kita hamba-hambaNya yang diperkenankan merasai keindahan mengenal Allah dan hidup bersamaNya di kehidupan duniawi, sehingga mendapatkan kelazatan tidak terkira apabila hijab disingkap dan memandang wajahNya dalam kehidupan ukhrawi.
p/s : Seminggu blog bakal tidak diupdate. Kat pondok takde tenet - displin daripada ketagihan blogging. :)
Topik yang sering bermain difikiran...bila agaknya nak jadi realiti..uzlah
ReplyDeleteAnda adalah Blogger yang membuat huraian secara berpijak dibumi nyata. Mampu menterjemahkan keributan emosi dalam bentuk perkataan. Alhamdulillah.