Ramai yang tidak tahu kapasiti kuasa sebenar di sebalik medium multimedia. Kadang-kadang realiti yang berlaku tidak terjangkau dek akal. Bagaimana satu titik perubahan keislaman hanya berlaku selepas menonton filem atau membaca artikel. Ia bagai roh yang meresap dan meruntuh ego seorang hamba.
Masa kini dakwah bisu menjadi amat popular sebagai bahan komunikasi yang paling mudah, murah, ringkas dan cepat. Persoalan-persoalan tauhid dan akidah juga secara tidak langsung banyak menjawab isu yang berlegar dalam kalangan masyarakat.
Lihat sahaja surat khabar I Luv Islam.
Lihat sahaja Majalah Solusi.
Lihat sahaja Facebook.
Lihat sahaja blog islamik.
Sungguh, medium yang paling hampir dengan seluruh umat manusia adalah telekomunikasi yang jika diperkecilkan lagi skopnya adalah menerusi medium hiburan yang berbentuk informasi dan dakwah santai.
Ternyata, medium inilah yang sekarang mencatat kedudukan tertinggi di hati insan yang tercari-cari roh bertuhan yang kian lemah dek kebuasan mengejar dunia.
DI MANA ORANG MUDA?
Bila mana kita melihat banyak akhbar, majalah dan rancangan televisyen kehilangan etika dan profesionalisme dengan memaparkan budaya konspirasi dan siri kelucahan, kita menjadi marah dan bising. Yang masih menegakkan benang yang basah satu hal, tetapi bagaimana pula yang hanya berdiam diri atau sekadar marah.
Tanya diri dulu, apa sumbangan kita?
Apa sumbangan kita kepada Islam? Kepada ummah? Kepada manusia sejagat? Berapa banyak sumbangan yang telah kita korbankan? Sejauh mana usaha yang telah kita laburkan untuk pembangunan ummah? Apakah kehidupan kita hanya belajar, bekerja, kahwin dan mati?
Di mana orang-orang muda kita hari ini?
Anda pasti setuju kalau saya katakan amat pelik jika masih ada orang muda yang tidak memiliki Facebook, Twitter mahupun YM. Blog dan kemahiran ICT yang lain merupakan perkara biasa. Orang muda sekarang tak pakai handphone cikai. Sekarang adalah era smartphone atau PDAphone yang mana internet boleh dilayari dari mana-mana sahaja, bila-bila sahaja.
Jadi, di mana dakwah Islamiyyah dalam dunia ICT dan multimedia?
Adakah longgokan dakwah bisu telah menjadikan orang muda bisu untuk bersuara dan berkarya? Atau kebisuan iman dan sikap tidak peduli mengunci kemas niat untuk berdakwah? Atau kerana tiada bakat menulis, membuat design, melukis komek, mengambil gambar atau kurang bersosial menyebabkan rasa berdakwah terus terbantut.
Bangunlah. Teruskanlah eksplorasi diri.
Kita masih tidak tahu potensi diri kita. Kita tidak tahu sejauh mana kita boleh pergi. Dalam erti kata lain, kita masih lagi tidak kenal siapa diri kita. Mungkin jauh di suatu sudut diri, kita mempunyai kemahiran dan potensi yang mampu memberi sumbangan yang berharga kepada Islam.
Mungkin impaknya lebih hebat dari mereka yang petah berkata-kata dan rancak di pentas dakwah. Ingatlah firman Allah yang tiada keraguan padanya,
"Dan orang-orang yang berjihad untuk Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik." (al-Ankabut : 69)
Tidak perlu berkira berapa banyak dosa untuk membuat kebaikan. Mana tahu dengan sebab kebaikan yang dibuat Allah akan angkat amalan tersebut dan menghapuskan dosa-dosa lalu. Ibaratnya suatu perniagaan yang amat menguntungkan. Merugilah jika masih ragu-ragu dengan diri sendiri.
Syurga Allah itu terlalu indah, tidak terliurkah kita?
"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih? Kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar." (as-Shoff:10-12)
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."