TERIMA KASIH KERANA SUDI BERKONGSI

BIARPUN TIDUR SEKATIL




"Ana takde tempat berteduh malam ni. Boleh ana tumpang bilik nta?" Pinta akhi Faruq selepas habis meeting di Balai Sri Melaka. Matanya yang kuyu menampakkan bateri otaknya perlu dicas semula sebelum suisnya meletup.

"Owhhh..nta nak tumpang bilik ana ye? Boleh je. Ana tak kisah pown. Tapi katil ana kecik je..insyaAllah muat rasanye untuk kita berdua." Senyum kambing akhi Hazrul membalas.

Malam itu mereka tidur bersama selepas membaca surah Al Mulk dengan penuh ketenangan. Paginya kelihatan bantal dan selimut bertebaran di atas lantai. Dengan mengosok-gosok mata akhi Hazrul mengejutkan sahabatnya untuk menunaikan solat subuh berjemaah dan membaca mathurat.

Sekadar bersarapan biskut kering dicicah dengan air teh kosong, mereka bergegas ke destinasi masing-masing meneruskan pencarian rezeki di bumi Allah.



AKHLAK ISLAMIYAH MUSLIM

Susah sekarang ini mencari sahabat yang boleh membantu ketika susah. Diibaratkan menunggu kelip-kelip datang bertandang di siang hari. Walau diri susah dan tidak berkemampuan masih lagi sudi menghulurkan bantuan.

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. [Al-Baqarah: 268]

Hati jadi terharu. Sayu. Berterima kasih yang teramat kepada Ilahi dihadirkan seorang yang amat pemurah hatinya. Malah sapaan lembut 'assalamualaikum' dengan senyuman yang terukir tidak pernah lekang di bibir. Begitu sejuk hati dibuai keasyikan akhlak islamiyah. Terpaut dengan keindahan penghayatan Islam.

Teringat kata-kata Imam Umar bin Abdul Aziz :

"Jangan engkau bersahabat dengan sahabat yang mana dia begitu berharap kepada engkau ketika mahu menyelesaikan masalahnya sahaja sedangkan apabila masalah atau hajatnya telah selesai maka dia memutuskan kemanisan persahabatan.
Bersahabatlah dengan mereka yang mempunyai ketinggian dalam melakukan kebaikan, memenuhi janji dalam perkara yang benar, memberi pertolongan kepada engkau serta memadai dengan amanahnya atau sikap bertanggungjawabnya terhadap engkau."

Diri ini bukanlah sahabat yang baik. Tetapi diri ini ingin menjadi sahabat yang baik kepada sahabat sekalian.

READ MORE

MEMILIH TEMPAT UNTUK MATI


Siapakah yang mampu melawan takdir saat malaikat Izrail sudah ‘ditugaskan’ untuk mengambil nyawa yang dipinjam. Banyak ceritera tentang kematian namun hanya beberapa minit ia terkesan di hati kecil. Kita tidak tahu, makwe pakwe kita pun tidak tahu, ibubapa kita tidak tahu, kawan kita juga tidak tahu. Tiada siapa tahu ajal masing-masing. Hanya Allah yang tahu.

Justeru, ingatlah kematian yang menanti. Bukan mengejar dan  mengutamakan dunia lebih daripada akhirat.

Siapa yang tidak lupa kubur dan kerosakan serta meninggalkan kelebihan daripada perhiasan dunia?
Siapa yang mengutamakan benda kekal daripada benda sementara dan rosak?
Siapa yang tidak menghitung-hitung harinya dan menganggap dirinya daripada golongan mati?

Buat renungan bersama.

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Andaikan dunia ini di sisi Allah SWT. menyamai nilai satu sayap nyamuk maka tidak akan diberikan kepada orang kafir walau seteguk air."

Syahr bin Hausyab dari Abdurrahman bin Usman berkata :

"Pada suatu malam Nabi Muhammad SAW sembahyang subuh di tempat pembuangan kotoran, maka melihat ulat bergerak dalam kotoran, maka Nabi Muhammad SAW menghentikan untunya menantikan orang-orang, lalu bertanya kepada orang-orang : 
"Apakah kamu mengetahui bahawa orang-orang di tempat ini jijik terhadap ulat ini?" Jawab mereka: "Benar, ya Rasulullah." Maka Nabi Muhammad SAW bersabda : "Demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tanganNya, sesungguhnya dunia ini lebih rendah (hina) di sisi Allah SWT melebihi dari hinanya ulat terhadap orang-orang yang mempunyai tempat ini."

Seorang mukmin meskipun adakalanya mewah dan nikmat, tetapi jika dibandingkan dengan nikmat dan kemewahan yang disediakan untuknya di syurga, maka seolah-olah ia berada di dalam penjara. 

Nabi Muhammad SAW bersabda : "Dunia sebagai penjara bagi orang mukmin dan kubur bagaikan bentengnya dan syurga tempat tinggalnya. Dan dunia ini sebagai syurga bagi orang kafir sedang kubur sebagai penjaranya dan neraka tempat tinggalnya."

Sebab seorang mukmin jika mati dan diperlihatkan kepadanya syurga dan kemuliaan yang ada di dalamnya, ia sedar bahawa selama di dunia seolah-olah dalam penjara. 

Sedang seorang kafir jika mati dan diperlihatkan kepadanya hukuman-hukuman dalam neraka, maka ia merasa bahawa ia tadi dalam syurga. 

Kerana itu seorang yang berakal tidak akan merasa gembira dalam penjara dan tidak akan mencari kesenangan dalam penjara. Maka seorang yang berakal harus memperhatikan apa yang telah dijelaskan Allah SWT mengenai dunia dalam ayat-ayat Al-Quran, sebab dalam ayat Al-Quran dan sabda Nabi Muhammad SAW cukup perumpamaan yang jelas supaya orang mukmin jangan tertipu oleh dunia.

Fikirkan ayat 24 Surah Yunus :

"Sesungguhnya perumpamaan kerosakan dunia ini bagaikan air yang Kami turunkan dari langit maka meresap kedalam tanah dan menumbuhkan makanan orang-orang dan binatang-binatang, sehingga apabila bumi ini telah berhias dengan segala hasilnya dan indah dan pemiliknya telah mengira ia sangat berkuasa atasnya, tiba-tiba datang siksa Allah di waktu malam atau siang hari, maka jadilah semua itu terketam habis, seakan-akan tidak ada apa-apa sejak kelmarinnya. Demikianlah contoh dunia ini. Kami jelaskan bagi orang-orang yang suka berfikir dan memperhatikan."

Yahya bin Mu'adz Arrazi pernah  berkata : "Dunia ini bagaikan ladang Tuhan Rabbul a'lamin dan manusia sebagai tanamannya sedang maut itu sebagai cangkulnya. Dan Malakulmaut itu sebagai pengetamnya dan kubur sebagai lombongnya dan kiamat sebagai lesungnya dan syurga atau neraka tempat pemuasnya, sebahagian syurga dan sebahagian dalam neraka Sa'ir."

Luqman Al hakim berkata kepada puteranya: "Hai anak, sesungguhnya dunia ini adalah lautan yang sangat dalam dan telah tenggelam di dalamnya kebanyakkan manusia, kerana itu jadilah perahu di dunia ini taqwa kepada Allah SWT"

Bermakna, andai muatan perahu kita adalah taqwa, maka kita akan selamat daripada lautan fitnah dunia. Pilihlah tempat untuk mati dengan biasakan kaki melangkah ke tempat-tempat beribadah. Belajar itu ibadah. Bekerja itu ibadah. Solat itu ibadah. Segala amalan kita adalah ibadah asalkan niat lillahi taala dan kena caranya.

READ MORE

JENAYAH DUNIA DAKWAH?

refocus pendekatan dan matlamat : dunia atau akhirat?


Dialek bahasa :

"Apa ni anta, anti, ana..tak rock la bro. Pakai la lu, gua. Masyuk sikit ngan orang muda."

Pakaian :

"Pak Ustaz, kalau nak kamceng ngan kami, kena tanggalkan serban, kopiah, jubah, dan janggut. Pakai baju fit sikit dengan seluar jin. Baru nampak ustaz rock!"

Amalan :

"Ceramah ape kes! Gua nak rilek-rilek la bro. Konsert lagi gempak bro. Layan gitar, youtube, futsal, facebook, angry bird sumpah tangkap cair bro! This is the best bro! Gua caya sama lu!"





KONSEP DAKWAH ISLAMIYAH DALAM REALITI MASA KINI


Ada apa dengan realiti? Ada apa dengan anak muda?

Realiti anak muda moden amat kenyang dengan suapan teknologi yang menggunakan pendekatan ringan, sempoi, santai, relax, mudah, sporting dan easy going tetapi menggemukkan. Gemuk kerana save energy dan kurang menggunakan daya pemikiran analitik dan kritikal yang memberi stress dalam memproses sesuatu maklumat. Semuanya mudah dicapai dengan satu klik di hujung jari tanpa membuka kelopak mata.

Para dai'e dilabel kolot, jumud, kuno, suka menghukum, "khemah bergerak", selekeh, syadid, terlalu "tsiqah", dan suka beretorik. Jika pemimpin ditsabitkan sebagai pemerintah kuku besi, taliban, tiada demokrasi, suka kafir mengkafir, hentam sana sini, melatah tidak tentu pasal dan sebagainya.

Cukup pelik. Cukup sakit hati. Rasa sensitif dengar kritikan sebegitu. "Sense of belonging" memuncak lantas mempersoalkan kewajaran memberi perumpamaan yang tidak masuk akal. Dikatanya tiada adab dan tidak berakhlak.

Dimensi era dakwah semasa cukup membunuh survival dunia dakwah andai salah mengambil rentak. Sama ada transformasi dakwah atau transformasi mad'u? Sama ada dai'e dikorban atau terkorban kerana prinsip?

Tibalah masanya PRINSIP dan REALITI berperang dingin antara satu sama lain.




WASATIYYAH : JENAYAH DUNIA DAKWAH?

Bila mana para dai'e kusut kepala otak brainstorming apakah pendekatan paling intim dan efektif untuk meruntuhkan kekebalan tembok "Kota Constantinople" orang muda, mereka terlupa untuk menjaga kemaslahatan bia'ah solehah yang kian pupus dek jenayah wasatiyyah.

Ayat al-Qur`an menegaskan pendekatan dakwah hendaklah secara `Bil-Hikmah wal Mau`izah al-Hasanah` (al-Nahl: 125). Ia adalah pendekatan dakwah yang lengkap, sempurna dan sesuai di mana-mana tempat dan bila-bila masa. 

Gagasan wasatiyyah (kesederhanaan) perlu diperhalusi bermula daripada binaan asas yang betul, yakni dasar dan paksi yang tidak bertentangan dengan prinsip Islam. Konsep keadilan, amanah dan berintegriti perlu diletakkan dengan menghayati seluruh sistem Islam kerana dasar Islam berpaksi kepada keadilan sejagat, tanpa mengira perbezaan warna kulit dan bangsa.

Pada dasarnya apa yang diketengahkan oleh para dai'e tentang konsep, method dan approach adalah track ulangan dari apa yang pernah dibincangkan, cuma ditokok tambah sebagai penambah rasa.

Sebenarnya kita berdepan dengan persoalan dakwah semasa dan praktikal yang banyak menuntut pelbagai pendekatan dan penyelesaian. Daripada pucuk pimpinan negara sehinggalah badan-badan NGO dan orang perseorangan. Peranan institusi dakwah secara berjemaah perlu menunjukkan taring yang kian lama tersembunyi. Dengan kaedah realistik bersumberkan situasi semasa merupakan sesuatu yang baru, segar dan informatif serta dapat menghidupkan perbincangan dan mencergaskan gerakan dakwah.




ASOSIASI PROFESION DAKWAH

Kerja dakwah adalah kerja mulia. Usah terperangkap dengan jenayah kejahilan tanpa memahami situasi dan tidak fokus pada autoriti. Orang yang bercakap dari hati akan singgah di hati sebaliknya yang bercakap di mulut setakat di mulut sahaja, tidak akan ke mana-mana.

Perlu diingat, Islam jangan ditonjol dengan identiti Melayu tetapi dari sudut universal islamisasi. Ini menarik Barat semakin menerima Islam, sebaliknya di negara kita dengan mengasosiasikan (menautkan) Melayu-Islam sebagai kelemahan dan kemunduran. Imej Islam sebegini perlu diperbaiki. Dan ditampilkan dengan pakej imejnya yang sempurna dan lengkap.

Identiti Melayu. Ianya dunia yang membutakan mata daripada kebenaran Islam. Kecelaruan dan kedegilan membuatkan manusia merasakan ketuanan bangsa duniawi inilah sebenarnya matlamatnya.

Masa depan wasatiyyah bergantung kepada sejauh mana ikatannya dengan dasar-dasar Islam di atas kefahaman dan praktikal yang jelas. Bukan sandiwara politik. Bukan jenama politik. Bukan sahaja tenggelam dalam cabaran era globalisasi dengan prinsip tergadai.




Tidak lagi mengecilkan diri, para dai'e perlu mendekati segenap lapisan masyarakat dengan kesuburan pendekatan wasatiyyah. Sikap konservatif, liberal dan sosialis yang keterlaluan menyimpang daripada manhaj dan tadarruj yang dikehendaki dalam Islam.

Gunakan ilmu dengan kefahaman bukan kejahilan yang membutakan kebenaran."Siapa yang mempelajari Al Quran, besar harga dirinya. Siapa mempelajari hadis tinggi martabatnya. Siapa yang mempelajari bahasa, lembut hatinya. Siapa yang mempelajari ilmu hisab, tajam pandangannya. Dan siapa yang tidak memelihara dirinya, tak bererti ilmunya" - Imam Shafi'e.

READ MORE

USAH BERKIRA DENGAN ALLAH


Malam itu aku rasa puas dan tenang. Bukan sebab kenyang makan sedap-sedap di program, tetapi rasa tenang semacam. Agaknya ini yang dinamakan "sakinah" yang Allah janjikan kepada hambaNya yang melakukan amal keranaNya.

Apabila balik, terasa hendak membaca lebih lagi agar minggu minggu mendatang aku dapat kongsikan lagi dengan adik-adik. Tak jemu-jemu hendak menimba ilmu. Seronok sangat mendengar ceramah dan pengisian dari pelbagai sumber. Moga Allah kekalkan semangat ini di dalam diri dan dalam diri sahabat-sahabat lain.

Tidak perlu berkira-kira dengan Allah. Walaupun penat, sibuk dengan jadual akademik, masa yang dilaburkan dan duit yang mengalir tidak henti-henti saban bulan untuk gerak kerja Islam. Kita sekadar menumpang di dunia ini. Selagi ada umur, selagi itu berusaha berbakti. Berbakti tidak semestinya setelah menggenggam segulung ijazah atau selepas peroleh emas segunung. 

Cubalah kita bayangkan. Kalaulah kita berhenti berprogram, berusrah, berkongsi ilmu dan berhenti melakukan kerja-kerja amal Islam yang lain, agaknya hidup ini akan menjadi boring dan membosankan. Pergi kuliah, balik kuliah, makan minum dan tidur. Nampak macam bahagia, namun hati kosong.

Diri rasa tidak cukup menunjukkan syukur yang sewajarnya kepada Allah. Apabila ketemu masalah kecil, dianggap masalah besar kerana pengharapan kepada Allah sudah makin tipis. Tapi jika kita masih bersama-sama dengan Allah, kita akan ada tempat mengadu.

Kita akan ada tempat kita memohon ketenangan. Akhirnya hidup ini dirasakan bagai satu medan ujian dan ketenangan akan dikurniakan Allah sepertimana tenangnya alam yang luas ini apabila mengikut apa yang ditetapkan Allah SWT. "Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan" (Al-Fatihah: 5)

Bayangkan dari bayi kita hidup mengharapkan belas kasih sayang daripada orang di sekeliling. Kemudian kita membesar, menghirup udara yang bersih. Kita sakit, kemudian disihatkan. Kita menemui pelbagai masalah dalam kehidupan dan berupaya menyelesaikannya.

Agak-agak selama ini, siapa di belakang kita yang menjadikan kita sebagai kita?

Allah telah bersama kita sejak kita belum dilahirkan sehingga kini. Namun untuk tunduk kepada Allah SWT kita berkira. Tetapi untuk memuaskan hawa nafsu, kita tidak berkira. Kita lupa suatu hari nanti kita akan dipanggil oleh Allah SWT. "Kerana itu, ingatlah kamu kepada-Ku niscaya Aku ingat (pula) kepadamu, dan bersyukurlah kepada-Ku, dan janganlah kamu mengingkari (nikmat)-Ku." (Al Baqarah : 152)

Aku bersyukur berada dalam jemaah kerana dikelilingi oleh sahabat yang baik-baik (soleh solehah) yang selalu mengingatkan. Kita tidak cukup baik tetapi bersama orang-orang baik, kita akan menjadi baik. Doa seorang sahabat kepada sahabat lain amat bermakna dalam erti berukhwah  “Tidaklah seorang hamba mukmin berdoa untuk saudaranya dari kejauhan melainkan malaikat berkata : Dan bagimu juga begitu.”(HR.Muslim)



BIAR SEDIKIT ASAL ISTIQAMAH

Maka menggerakkan program dan usrah merupakan sebahagian kecil sumbangan kita dalam Islam. Tetapi di sana rupanya banyak lagi manfaatnya. Keterlibatan remaja, yakni pemuda harapan ummah di dalam program-program anjuran Myconcern, masya Allah alangkah seronoknya berada di jalan ini. Moga Allah memudahkan lebih ramai lagi menyertai Myconcern dan melibatkan diri dalam program-program anjuran Myconcern.

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kalian orang-orang yang selalu menegakkan kebaikan karena Allah....." (Al Maidah : 8)

READ MORE

BILA HATI DIGORES


“Kadang-kadang hati sakit bila disindir, tapi itu adalah lebih baik daripada bercakap di belakang, bila disindir menangis sebentar tapi impak selepasnya amat besar. Perubahan diri yang ketara dan lebih baik dari sebelumnya. Belajarlah menerima sindiran walaupun sebenarnya tidak begitu beradab menyindir orang. Semuanya kerana di atas paksi kebaikan dan kemaslahatan yang lebih besar pada masa hadapan.“

Aku bukanlah manusia yang sempurna. Mungkin pada zaman silam aku pernah melukakan hati, mencabut rasa tenang. Mungkin kata-kataku sungguh menyakitkan hati, tiada apa yang aku persembahkan melainkan huluran tangan memohon seribu kemaafan. Maafkan aku bersama dengan doamu.

Ku menulis bukan untuk memberitahu diri ini baik.
Ku menulis hanya untuk memberitahu diri ini supaya menjadi baik.
Bersama menginsafkan diri dalam mencari keredhaan Ilahi.

Ambil hati. Sakit hati. Pedih hati. Terasa hati. Bila perasaan ini dibiarkan terlalu lama membengkak dalam hati, maka akan tidak sihatlah hati itu. Pemiliknya pun akan muram, jauh dari keceriaan. Lebih parah lagi, menjauhkan manusia dari Rabb-Nya.

Mengapa tidak untuk berhusnuzon, sedangkan itu lebih mulia?
Mengapa tidak memahami, sedangkan kita bersaudara.
Mengapa tidak bersikap positif, sedangkan ikhtilaf hati itu padah jawabnya.
Mengapa tidak bersama dalam perjuangan ini,sedangkan tanggungjawab kita adalah sama.
Mengapa tidak meluangkan masa bersama sedangkan, kita semua adalah dai’e.

Positif menjadikan kita bersangka baik. Bersangka baik lebih menenangkan hati. Orang hebat biasanya kerana dia hebat dalam hubungan dengan Allah. Tapi ada juga yang hebat dunia sahaja, hubungan dengan Allah entah ke mana. Dia tidak bersangka baik dengan Allah apatah lagi dengan makhluknya. Adab dan akhlak dalam pengurusan hati masih lagi samar untuk diiktiraf sebagai seorang dai’e.

Sekiranya semakin kita bijak, semakin jauh diri kita daripada- Nya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri. Jauhkanlah sifat itu dari dalam diri.

Apa pun, jangan resah andai ada yang membenci. Andai ada yang tidak berpuas hati. Andai ada yang tidak menyenangi. Kerana masih ramai yang mencintai kita di dunia. Resahlah andai Allah membenci kerana tiada lagi yang mencintai kita di akhirat.

Nabi SAW bersabda "Sesungguhnya Allah memberikan dunia kepada siapa yang dicintai-Nya dan siapa yang tidak dicintai-Nya, tetapi Allah tidak memberikan iman kecuali kepada siapa yang dicintai-Nya.”

READ MORE

MENGAPA PERLU BERSENDIRIAN?


Tit tit..

Kedengaran mesej masuk di handphone kawan sebelah.

Tit tit...

Mesej kedua masuk diiringi gelak miang. Aku sudah tarik muka bersabar.

Tit tit tit tiiiiiiit...

Bunyi mesej masuk kali ketiga. Kali ini seperti sengaja dibiarkan lama-lama. Wajahku sudah masam mencuka, hatiku bagai mahu memberontak. Ingin sahaja aku lemparkan handphone kawan aku. Bukan kerana mencuri ketenangan tetapi buat aku geram! Cemburu!

"Woi! Aku tahulah kau ada awek! Tak boleh blah la, macam satu dunia kau nak kecoh" Mahu sahaja aku menjerit kepadanya tetapi apakan daya suara aku tersekat sampai di kerongkong.


"Mat...Aku tengok kau syok betul dengan awek baru" tegurku perlahan.
"Haha...mana ada bro. Macam biasa je. Kau apa cite? Dah ade awek blom?"

"Aku? Emmm......Lum lagi bro"
"Kau tak tension ke? Tak rase sunyi pun? Orang lain berkepit dengan awek, kau berkepit dengan laptop siang malam. Time muda-muda camnilah kena cari awek. Baru hidup enjoy bro!"

Semangatnya dia bagi "ceramah" pada aku. Lagaknya seperti berkempen pilihanraya kampus, siap ada tunjuk nombor dua berulang-ulang kali.



Hati aku ini kosong sebenarnya. Kegersangan.

Sejak clash dengan awek cinta pertama, hatiku masih tertutup untuk menerima sesiapa. Aku tahu di luar sana bersepah-sepah awek cun. Di  facebook aku, hampir keseluruhannya awek-awek. Ada awek jelita, up to date, bergaya, cun melecun, seksi, hot, gedik, ayu malah ustazah pun ada! Tiap-tiap hari aku tatap gambar mereka tapi mereka semua seperti bukan selera aku.



Jauh aku termenung...mengintai sebuah episod keterlukaan.

Sebenarnya, aku masih sayangkan dia. Aku tidak berniat melukakan hatinya. Akulah cinta pertama dan terakhir dia. Sudah lama aku dan dia bersama, mengapa kesudahannya begini? Bukankah dia pernah berjanji akan mencintai aku sampai bila-bila? Takkan pernah meninggalkan aku? Aku mahu kembali kepada dia. Masihkan dia sudi menerima aku kembali setelah apa yang aku lakukan? 

Jika tidak, haruskah aku bersendirian? Mengapa pula aku perlu bersendirian?

Ah!!! Aku masih muda. Rupaku yang tampan dan segak bergaya amat digilai ramai oleh si jelitawan di kolejku. Petik sahaja jari, pasti ramai menadah hati untuk berkongsi cinta denganku.

Aku tidak lagi bersendirian di dalam hidup. Aku tidak perlu merasa cemburu dengan kawan-kawanku lagi. Hatiku bakal diisi dengan keindahan dan kebahagiaan cinta bersama si dia. Puas!

"Lonely
I'm Mr. Lonely
I have nobody
For my own


I'm so lonely
I'm Mr. Lonely
I have nobody
For my own
I'm so lonely"

Eh! Tak sedar aku handphone aku berbunyi. Tertera nama mak di skrin. Lantas aku menjawab.

"Assalamualaikum man. Anak mak sihat hari ini?"
"Waalaikumussalam mak. Man alhamdulillah sihat arini. Mak camne plak?"

"Mak pun alhamdulillah sihat. Man ape cite kat sane? Hari ni man solat cukup 5 waktu tak?
"Man biasa-biasa je mak. Takde yang istimewa pun. Hehe...mestilah cukup mak. Anak mak lah katakan."

Kami berdua ketawa bersama.

Lama juga aku berbual dengan mak. Sikap peramah dan prihatinnya kadang-kadang mengubat hati aku yang kekosongan. Tunjuk ajar, didikan, nasihat dan pesan mak ayah terutamanya tentang solat banyak mendisplinkan diri aku sejak dari kecil. Cuma kadang-kadang aku agak nakal dan suka berfoya-foya di belakang mereka.

Aku sepatutnya perlu bersyukur kerana masih ada mak sebagai teman hidupku setelah pemergian ayah. Dialah tempat aku berkongsi cerita dan mengubat duka. Haruskah aku mengecewakan hati mak apabila dia tahu segala perbuatanku?

Tidak! Aku perlu berhenti. Aku mesti berubah!

Biarlah aku hilang cinta manusia yang belum halal bagiku jika kasih sayang mak terbahagi dua. Terima kasih ya Allah, walaupun aku sudah banyak berdosa, Kau masih beri peluang kepadaku untuk aku berubah. Jiwa in terlalu rapuh, lemas dalam dugaan yang mendatang. Cuba untuk mendekatiMu tapi sayang hati tetap sama seperti dahulu.

Wahai si gadis yang cantik menawan di luar sana, jagalah maruah dan kehormatanmu. Usahlah post gambar-gambar dirimu semata-mata meraih pujian dan populariti dengan make up tebal-tebal, posing sana sini dan fesyen bertudung yang memelikkan. Pakaianmu untuk menutup auratmu bukannya membungkus bagai kain kapan. Aku ini sudah banyak berdosa janganlah kau tambah lagi dosaku. 

Ketahuilah “Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).


Takkan ku lamarmu jika tidak agamamu. Yang pasti, aku tetap dengan mujahadahku. Biarlah aku bersendirian menanti masanya. Aku yakin Allah ada bersama-sama denganku. Malah Dia amat dekat denganku. Buktinya, Dia masih hadirkan secebis iman untuk diukir kecintaan kepadaNya.

Ya Allah Ya Tuhanku.. Ampunkanlah segala kelekaan dan kealpaan diriku dalam mengejar cinta hal-hal dunia. Sesungguhnya aku telah lalai dengan keikhlasan hatiku sendiri. Mungkin itulah ujian dan dugaan untukku. Oleh itu, ampunkanlah segala dosa-dosaku..

READ MORE

SUDAHLAH TU!


Sudahlah. Sudahlah. Sudahlah tu sahabat semua, kita tak ada masa nak layan perasaan, nak layan kejiwangan, nak layan soal hati, nak layan isu dalaman, nak layan kontroversi, nak layan bermacam versi alasan untuk mengabaikan fokus. Cukup setakat itu berkhayal di ruang atmosfera. Berpijaklah di bumi nyata.

Bahawa masa yang tinggal terlalu sedikit dengan kapasiti amanah yang dipertanggungjawabkan. Masanya sudah sampai untuk agenda yang lebih besar. Sila tampar diri jika masih belum sedar dari lena!



MOOD PRU-13

Sedang BN diasak di segenap segi, PAS masih leka dan kusut dengan isu rumahtangganya. Malah lebih teruk lagi sebenarnya bukan Ustaz Nasharuddin dan Dr Hassan Ali yang terperangkap dalam jerat BN, tetapi PAS dengan bala tenteranya termasuklah lidah rasmi, Harakah melatah tidak tentu hala, habis terkena umpan media propaganda BN sehingga diambil peluang oleh musuh.




Isu besar yang sepatutnya menggali kubur kerajaan korupsi berjaya ditutup dek kelemahan diri sendiri. PAS dikatakan masih terkebelakang dalam membawa sesuatu isu dan diperlihat rakan PKR lain lebih terkehadapan. PAS dilihat hanya melayan isu-isu remeh sedang PKR dilihat mampu membawa isu yang ada value sehingga membuka mata-mata rakyat.


Sejarah tercipta, kejayaan anak muda, Soladiriti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan BEBAS :

Isu Tuntuntan Kebebasan Akademik : Adam Adli menurunkan bendera muka DS Najib


Dan 2 kejayaan besar Parti Keadilan Rakyat (PR) :

Berjaya membawa bukti Dr M pinjam bank dunia : Selepas nafi, Dr M mengaku

Isu National Feedlot Corporation (NFC) Dato' Shahrizat, terkini "Kondo Lembu"  Shahrizat di Singapura

PAS dan seluruh ahli PAS tidak perlu layan propaganda BN.

1. Selesaikan segala perselisihan pandangan melalui mekanisme dalaman dan tidak memberikan peluru kepada musuh.

2. Jaga akhlak dan adab sebagai seorang muslim dalam memberi pandangan berbeza, terutamanya anak muda. Cegah "sindrom cerdik pandai"  yang menunjukkan bunga-bunga hilang tsiqah dan ketidakikhlasan dalam memberi pendapat terutamanya di laman sosial.

3. Yakinlah! Seperti kata Tok Guru Nik Aziz, antara murabbi yang paling berpengalaman dalam sepak terajang arena politik, "apa yang berlaku kebelakangan ini hanyalah merupakan ribut kecil yang sengaja diperlihatkan kencang di dalam media massa. Apa yang pasti selepas ribut kecil ini, turunlah hujan yang menyejukkan, insya-Allah."

4. Utamakan fokus dan prioriti untuk memenangi pilihanraya. Katakan selamat tinggal polemik dan krisis. Menangislah kamu syaitan yang gagal untuk memecah belahkan gerakan Islam! - Ust Tantawi

5. "Andainya anda menyertai mana-mana jamaah Islam, lalu anda tidak menerima apa jua mehnah dan ujian, maka semak semula jamaah yang anda sertai itu, kerana mungkin ianya bukan jamaah yang menepati kriteria jamaah Islam.”

"Sekiranya setelah anda semak dan teliti, ternyata benar ianya adalah jamaah Islam, maka semak pula apakah anda bekerja untuk Islam atau tidak. Kerana mungkin kalau anda tidak menerima apa jua ujian atau mehnah, mungkin sebenarnya anda tidak bekerja untuk Islam, melainkan untuk diri sendiri.” - Tuan Ibrahim Tuan Man.




KEMUNCUP DALAM PERJUANGAN

Buat muhasabah bersama :

1. Apapun, ini hanyalah kemuncup dalam perjuangan. Kita mempunyai tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan. Ibarat bermain bola, jangan sibuk mencabut kemuncup yang lekat di seluar atau stokin; teruskan mainan sehingga selesai perlawanan ini. Tumpuan kepada usaha memenangi perlawanan menyebabkan kita tidak akan terasa adanya kemuncup di seluar dan stokin.


Jangan leka mencabut kemuncup sehingga gol terlopong tanpa penjaga!

2. Jika ada pemain yang dilihat semakin tidak menjadi team player dan menyusahkan seluruh pasukan kerana beliau tidak setuju dengan taktik 4-4-2 yang diputuskan, jurulatih pasukan terpaksa bertindak untuk menegur, dan sekiranya keadaan tidak berubah, menggantikannya dengan pemain lain yang lebih bersifat team player. 

3. Ini terpaksa dilakukan supaya pasukan itu dapat memfokuskan segala tenaganya untuk menembus gawang gol lawan daripada membazirkan masa menjawab dan memotivasikan pemain mengapa taktik 4-4-2 digunakan hanya kerana beliau lebih sukakan 6-4-0.



Masih lagi terfikir - tiada lagi pemimpin yang berkata : "walaupun apa jawatan yang diberikan kepada saya, saya terima seadanya tanpa kecewa dan sanggup berjuang menegakkan syiar islam bersama jemaah parti hingga ke akhir hayat."


Mari mengambil sikap membina bukan meruntuh. Husnuzonlah dalam setiap pertimbangan. Jangan salah sasar peluru kepada kawan sendiri. Ingat! Kita punya tugas dan kerja besar yang perlu dilakukan!

READ MORE

CERITA AKU NAK JADI DOKTOR

"Jangan biarkan hidup sehari berlalu tanpa menyumbang apa-apa kepada Islam" - Al marhum Ustaz Fadzil Noor




BERKONGSI UNTUK INSPIRASI

Setelah sekian lama penulis tidak pernah menyentuh secara khusus tentang kehidupan perubatan, walhal itu yang lebih utama kerana di bidangnya. Bukanlah mengelak untuk berbicara, tetapi tiada "hidayah" untuk dijadikan asbab. Jadi, minggu depan penulis akan berforum, lantaran "hidayah" itu perlu dihargai dan diberi nafas segar. Mohon maaf kerana banyak sangat soalan yang dihimpun selama ini tidak dijawab. Moga perkongsian ringkas ini menjadi inspirasi bagi yang sudi.

Serius tiada apa yang menarik tentang kehidupan penulis. Sederhana menjadi pilihan sejati walaupun berjiwa besar dan punya cita-cita tinggi. Lain yang diimpikan lain pula yang terjadi. Namun kini itu bukan lagi menjadi persoalan mahu pun dilema, sekali kaki melangkah, berpantang kewarasan menoleh ke belakang! meskipun badai merempuh dengan sadisnya!

Jalan menjadi doktor bukan satu kebanggaan. Jalan ini sangat sukar tetapi seronok. Sukar kerana bercita-cita menjadi doktor yang betul-betul bertaqwa dan tawadhu'. Merendah diri dengan ilmunya kepada semua orang, terutamanya kepada Allah SWT. Seronok kerana kita dapat belajar tentang diri kita. Ya, manusia tak akan cinta seseorang melainkan sudah kenal hati perutnya. Bila sudah kenal diri baru dia kenal Allah itu siapa. Maka lahirlah rasa kehambaan yang tinggi.



INI LANGKAHKU

Bermula langkah dengan 3A 2B UPSR, 8A PMR seterusnya 10A 2B SPM melayakkan penulis memasuki Kolej Matrikulasi Pahang. Sebenarnya bagi penulis, SPM bukanlah penentu segalanya. Kerana ada juga kawan yang dapat 2A tetapi mampu memperoleh 4 flat seperti penulis.

Kehidupan selepas SPM banyak membentuk peribadi penulis mengenal erti susah payah mencari duit. Sungguh, bekerja mencari duit sampingan sebagai persiapan ke matrikulasi banyak melakar pengalaman hitam dan putih. Lorong yang dipenuhi cacamarba, kejian, hinaan dan tangisan menguatkan semangat untuk bersunguh-sungguh dalam pelajaran demi menaiktaraf maruah keluarga di sisi masyarakat. Baru diri sedar daripada kesenangan dan keselesaan betapa pilu, pedih dan peritnya ayah dan ummi bekerja siang dan malam demi membesarkan anak-anak selama ini.

Setahun belajar di matrikulasi bukan tempat untuk berfoya-foya dan bermain mata. Ramai terlingkup gara-gara kawalan emosi yang terbabas kerana salah pilih kawan dan buah hati. Itulah pesan para guru penulis ketika di MRSM Pontian. 

Dengan memasuki kursus Sains Hayat penulis berusaha untuk fokus sehabis mungkin dengan memilih kawan untuk study group, rapat dengan pensyarah dan sentiasa menderma ilmu. Kita tahu kita tidak pandai melainkan banyak membuat latih tubi, rajin bertanya kepada pensyarah dan berkongsi ilmu dengan kawan-kawan. Cubaan pertama hidup di matrikulasi dengan keputusan 1A sahaja begitu mencabar sekali. Tetapi itu bukan sebab untuk putus asa malah bangkit daripada kekecewaan.

Memilih UKM kerana cikgu biologi penulis kelahiran UKM. Alhamdulillah hajat tercapai dengan bantuan kawan mendaftarkan kos perubatan di UKM sebagai pilihan pertama ketika sibuk kerja part time menunggu keputusan keluar




GELARAN MAHASISWI PERUBATAN

Dalam kejahilan penghayatan beragama, penulis merangkak hidup bernafas di UKM. Sungguh jahil merentasi dunia dakwah. Terasa diri ini hina dan kerdil, bagai langit dengan bumi. Berhingus lagi melihat para senior bertudung labuh, memakai stokin dan stongan. Benar hidayah itu perlu dicari. Ia tidak datang bergolek, tidak pula jatuh dari atap rumah.




Kebetulan di UKM KL di bawah persatuan BADAR semua tahun 1 wajib berusrah. Maka dengan langkah pertama penulis berjinak dengan usrah yang pertama sekali dengar dalam hidup, ditambah pula kemahuan rajin turun ke surau, serta pengalaman menjadi imam dan penceramah kaki lima di sekolah menengah, jadilah penulis seperti penulis yang sekarang.

Namun beringatlah selalu, tidak semua graduasi universiti usrah berkelayakan jika tidak memenuhi kriteria seperti yang boleh difikir logik akal. Asal komited, tadabbur dan proaktif berusrah, percayalah wahai pembaca sekalian roh usrah tersebut sudah mampu menjadikan hari-hari kita indah dan bertenaga.

Rangkaian silang tangan berukhwah, berkongsi masalah mahu pun berbincang isu akademik, kehidupan, negara, dan sebagainya adalah pra-syarat penentu keberhasilan keberadaan kita di menara gading. Carilah usrah dan rasailah getarannya.

Kesibukan belajar adalah igauan jahat dan malapetaka bagi yang suka merekacipta alasan untuk mengelak amanah dakwah. Tetapi menjadi keseronokan dan tarbiyyah (didikan) bagi yang sedar penuh faham akan hakikat amanah. Bukan bebanan tetapi hakikat amanah. Sama juga seperti belajar.

Jika belajar jadi ibadah, ia jalan taqarrub kepada Allah. Tidak tergamak menghambur dosa, amanah dibuat sedaya upaya. Biar sempit jalan keperluan, asalkan luas perjalanan mencapai tujuan.Teruskan cita-cita menjadi doktor. Teruskan cita-cita menjadi seorang hamba berguna. Ia cara terbesar, menzahirkan syukur kepada-Nya.

Tidak perlu menilai diri penulis, tetapi penulisannya, barulah diri terinspirasi. Ubah paradigma, betulkan nilai pada fokus dan gerak kerja amanah. Lajukan langkah, sama-sama menuju mardhotillah insyaAllah.

READ MORE

SEDANG MENCARI IDENTITI...

Sedang umat mencari identiti, perisai yang selama ini dipertahankan habis rakus dimamah anasir kebodohan dan kejahilan beragama. Angkuh dan dan sombong dengan Tuhan.


Krisis rohani yang mencampakkan diri umat Islam ke lembah kehinaan di sisi Allah SWT menyebabkan hilangnya keperibadian orang-orang yang beriman di mana suatu masa dahulu pernah dimiliki oleh para sahabat dan para salafus soleh yang datang selepas mereka. Kehilangan ini sekaligus melontarkan umat Islam kembali mengamalkan cara hidup yang berlandaskan norma-norma yang sememangnya telah wujud dan dipraktikkan oleh manusia di zaman jahiliyyah.

Oleh yang demikian, garis pemisah yang membezakan antara mereka dengan orang-orang kafir telah terhapus lalu kehidupan mereka juga tidak jauh berbeza dengan kehidupan orang-orang kafir. Akibatnya, turunlah azab Allah SWT ke atas mereka, sebagaimana yang sedang dihadapi oleh umat Islam di dunia sekarang ini.



DI MANA NASIB UMAT?

Lihatlah bagaimana nasib yang telah menimpa saudara seIslam kita di seluruh dunia. Mereka hidup dalam keadaan kesengsaraan yang mana mereka telah menerima penindasan yang cukup hebat dari golongan-golongan yang sememangnya benci dan tidak mahu melihat Islam gah di muka bumi ini.
Palestin yang ditindas


Malah terdapat juga orang-orang Islam yang telah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam supaya menjatuhkan serta menindas umat Islam yang lain. Pemimpin-pemimpin Islam yang zalim telah dijadikan sebagai boneka mereka untuk melaksana dan meneruskan cita-cita serta impian keemasan mereka selama ini.


Ini terjadi akibat tiada lagi kekuatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT serta sensiviti terhadap Islam itu sendiri sehingga sanggup mengabaikan kepentingan Islam semata-mata untuk mencapai dan memenuhi kepentingan diri sendiri.

Kita seharusnya mengimbau kembali sejarah perkembangan Islam di zaman Rasulullah SAW dan selepasnya agar ia dapat dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan. Menelaah dan meneroka sejarah adalah adalah salah satu faktor terpenting untuk pembentukan peribadi Muslim sejati serta dapat mengenal dengan lebih jauh lagi tentang keadaan umat islam itu sendiri.

Seseorang itu tidak akan dapat merasakan keterikatannya dengan umat melainkan ia telah menyatukan diri dengan sejarah umatnya. Jika pengetahuannya tentang umat sudah cukup baik, maka perasaan dan kesedarannya terhadap Islam akan berkembang. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadithnya yang bermaksud : “Barangsiapa yang tidak memerhatikan (memikirkan) masalah kaum Muslimin, maka dia bukan dari golongan mereka”. ( Riwayat Baihaqi dari Anas ).




MODEN YANG JAHIL 

Dalam keghairahan umat Islam ingin memajukan diri dan negara mereka sama ada dalam bidang teknologi atau ekonomi adalah penting untuk menumpukan perhatian yang berat terhadap Islam. Umat Islam hanya akan menjadi mulia sekiranya mereka mengamalkan Islam dalam kehidupan sebagai suatu cara hidup.

Malangnya umat Islam amat jumud pemikiran sehingga definisi Islam telah silap dan disempitkan tafsirannya. Mereka hanya memahami bahawa Islam hanya terhad kepada pengamalan ibadah seperti solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan sebagainya.

Sebenarnya Islam adalah amat luas ruang lingkupnya. Sekiranya sesuatu urusan atau pekerjaan yang dilakukan dengan landasan hukum-hukum mutlak Allah SWT maka ia pun dikira sebagai telah mengamalkan Islam.

Sebab itulah turunnya bala’ dari Allah SWT terhadap sekalian manusia sebagai suatu peringatan kerana tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan sehari-harian malah menggantikannya dengan pengamalan yang melanggari batas-batas hakikat perintah Allah SWT terhadap hamba-Nya.

Namun, yang menyedihkannya ada di kalangan umat Islam yang tidak mengaku bahawa kemudaratan yang telah ditimpakan ke atas mereka adalah suatu bala’ dari Allah SWT tetapi menganggap bahawa ia adalah suatu fenomena yang biasa sahaja.

Sebagai contoh di Kelantan, bumi serambi Mekah. Janganlah menganggap bahawa sekiranya mengamalkan Islam sampai bila-bila pun tidak akan maju. Ingatlah bahawa Islam tidak menghalang kemajuan tetapi kemajuan tersebut mestilah berlandaskan dengan hakikat perintah Allah SWT. Sekiranya kemajuan secara fizikal diimbangi dengan dengan kemajuan rohani di situ akan ada keberkatan dan keredaan dari Allah SWT.



Hanya dengan memberatkan kemajuan duniawi tanpa mengiraukan kemajuan rohani dan Islam akan mengakibatkan banyak masalah akan timbul dan muncul. Umpamanya, keruntuhan akhlak umat Islam dan institusi umat Islam yang langsung tidak mempunyai ciri-ciri keIslaman bahkan lebih mirip kepada keyahudian dan kenasrian.

Selain daripada itu, keyakinan umat Islam terhadap perintah Allah SWT telah pudar dan sebaliknya mereka telah mempermain-mainkan serta memperlekeh-lekehkan perintah-perintah Allah SWT sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Keyakinan terhadap hikmah perintah Allah SWT tidak lagi bertapak kukuh di hati-hati umat Islam adalah berpunca dari kelemahan iman yang tidak diperbaiki. Begitulah halnya berlaku terhadap hukum hudud di mata masyarakat jahiliyyah abad moden. 




BILA AMAR TANPA MAKRUF

Suasana yang melingkungi kehidupan orang-orang Islam pada hari ini telah menjadi buruk dan dicemari dengan perbuatan-perbuatan mungkar manusia. Keadaannya menjadi terlalu dahsyat sehinggakan di dalam masjid pun orang-orang Islam masih melakukan kemungkaran seperti bercakap-cakap mengenai hal ehwal keduniaan, mengumpat sehinggakan ada yang bergaduh dalam perubatan untuk menjadi ahli jawatankuasa masjid.

Sekiranya di dalam masjid pun masih wujud kemungkaran, bagaimana rahmat Allah SWT yang diharapkan akan turun ke atas umat ini ?




Rahmat Allah SWT inilah satu kurniaan yang amat berharga daripada-Nya di mana tanpa rahmat ini, tentu sekali kehidupan umat Islam akan hilang kehormatan, keizzahan, kemuliaan dan kesatuan.

Nu’man bin Bashir RA telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Terdapat segolongan manusia yang mentaati perintah-perintah Allah dan segolongan manusia yang lain melanggari batas-batas Allah. Perumpaan mereka adalah seperti dua golongan yang menaiki sebuah kapal di mana satu golongan berada di atas dan satu golongan lagi berada dalam perut kapal. Apabila golongan yang berada dalam perut kapal inginkan air mereka menyuruh golongan yang di atas supaya mengambilkan air untuknya sehinggalah mereka berkata : 
Adakah patut kita kita menyusahkan golongan di atas apabila kita memerlukan air sedangkan kita boleh mendapat air yang banyak dengan melubangi bahagian bawah kapal ini”. Maka sekiranya golongan di atas tidak mencegah mereka dari kebodohan ini, nescaya mereka akan karam kesemuanya”. ( Riwayat Bukhari dan At-Tirmidzi ).

Di dalam hadith di atas jelas menunjukkan bahawa perlu ada suatu golongan yang menyeru ke arah ma’ruf dan mencegah dari sebarang unsur kemungkaran. Kewajipan untuk melaksankannya dikuatkan lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Hendaklah ada di kalangan kamu satu umat yang menyeru ke arah makruf dan mencegah dari sebarang kemungkaran, sesungguhnya mereka itulah golongan yang berjaya”. ( Surah Ali Imran : 104 )

Apabila sesuatu maksiat dilakukan secara terang-terangan dan tidak dicegahi oleh masyarakat sekitarnya maka kesannya akan menimpai semua orang tidak kira yang melakukan maksiat atau tidak. Perkara ini adalah disebabkan fikiran orang-orang yang tidak melakukan maksiat mungkin akan terpengaruh kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain akibat suasana maksiat yang terserlah. Mereka yang tidak benci kepada maksiat pasti tidak akan mencegah maksiat oleh pelaku maksiat.

Umat Islam perlu diberikan kesedaran tentang Islam dan perbezaan antara ciri-ciri Muslim sejati dengan ciri-ciri Kuffar dari segi amalan-amalan dan iktiqad. Gerakan besar-besaran dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu dijalankan sebagai gesaan memperindahkan keimanan umat. Pengamalan baik dan mungkar adalah penentu keadaan kestabilan alam ini.

Pilihlah yang terbaik antara keduanya.

READ MORE

MAHASISWA SEPERTI BINATANG TERNAK


Membiaknya spesies mahasiswa yang alergi dengan politik adalah wabak yang mengundang kehancuran. Dalam sopan mereka oportunis, dalam diam mereka menjadi kaum yang manipulatif. Semuanya gara-gara mahu aman, tetapi tidak mahu berusaha dan menyumbang kepada keamanan. Mahu keselamatan tetapi tidak mahu memperbaiki apa-apa untuk kebaikan bersama.

Lantang mengkritik polisi-polisi yang membebankan tetapi terlalu malas untuk bertindak lebih sekadar mengkritik. Mereka menikmati keamanan hasil penat lelah orang lain, mereka menikmati keselamatan hasil jerih payah orang lain!


STIGMA KEHIDUPAN MAHASISWA 3K (KULIAH, KOLEJ, KAFETERIA) 

Kalaulah bumi boleh menangis, sudah lama ia akan mengatakan bahawa ia sedang menangis menyaksikan bagaimana kehidupan manusia yang menumpang di atas bumi Tuhan ini sudah huru hara dan menyimpang jauh daripada landasan islam.

Mereka tidak lagi cakna apa yang berlaku kepada umat. Tidak giur ambil tahu situasi semasa.

Cita-cita anak muda menjadi mahasiswa yang terpimpin, bukan mahasiswa yang terkongkong.dek stigma 3K (kampus, kafe dan kolej). Anak muda sebagai generasi yang akan memimpin masa hadapan perlu melihat lebih jauh terkehadapan dengan keadaan sekeliling, jangan hanya tunggu dan terus menerima, kita mesti memberi untuk perjuangan agama.

"Dengan jiwa mahasiswa, kita menggapai alam dewasa. Jiwa mahasiswa adalah semangat terus belajar dan mencabar seiring dengan kematangan dan kecerdikan seseorang dewasa. Jalan ini cuba untuk menyuluh umat dengan revolusi."

Kita mempunyai pemuda yang berjiwa muda, sama umur seperti kita. Pemuda itulah yang menyelamatkan Nabi Muhammad SAW daripada dibunuh oleh kafir Quraisy. Pemuda itulah yang memimpin bala tentera ketika Nabi kegeringan. Pemuda itulah yang membuka Kota Constantinople. Adakah anak muda sekadar mahu menjadi pelajar sahaja atau menjadi pemuda kebanggaan islam?

Mengambil roh daripada kata-kata Sayid Abu Al-A’la Al Maududi ketika memberi ucapan buat graduan-graduan yang sudah tamat universiti.

"Wahai pelajar! kamu telah melabur sekian lama masa kamu di universiti ini untuk mendapat pendidikan. Kamu telah lama menunggu saat di mana kamu akan menuai hasil usaha kamu itu dalam bentuk segulung jiazah. Aku merasai betapa tersentuhnya jiwa kamu dalam majlis sebegini, maka menjadi satu kesukaran buat aku berterus terang kepada kamu saat ini.
Walaubagaimanapun aku perlu berlaku jujur bahawa dalam menilai tempat kau dididik ini, malah kesemua tempat pendidikan yang bernama universiti ini tidak ubah seperti tempat penyembelihan berbanding tempat pendidikan. Ijazah yang dihulurkan tidak ubah seperti sijil kematian, diberikan apabila si pembunuh sudah berpuas hati kerana telah berjaya menyempurnakan penyembelihannya. Alangkah bertuahnya kepada mereka yang telah berjaya melarikan diri daripada penyembelihan terancang ini dengan sedikit cahaya kehidupan.

Aku tidak hadir ke sini untuk mengucapkan tahniah kepada kamu kerana telah menerima sijil kematian tersebut. Malah sebaliknya, aku berasa teramat sedih melihat kamu semua dalam keadaan teruk. Aku seperti seseorang yang sedang mencari manusia yang masih hidup dalam timbunan mayat disini."

Benarlah satu ungkapan “Havard produce genius but not soul”. Graduan hidup di dalam jasad, tapi mati hatinya. Tidak ubah seperti robot yang diprogramkan. Tidak ubah seperti mayat yang hidup tanpa jiwa.





REVOLUSI : SATU TUNTUTAN

Kemenangan sebenar adalah kemenangan mempertahankan yang benar itu benar dan yang salah itu tetap salah dalam apa juga keadaan dan situasi, walaupun dalam nilaian manusianya kita kalah.

Revolusi selalunya memerlukan pengorbanan. Pengorbanan masa, harta benda, keringat malah jiwa sekali pun. Segala rentak revolusi mahupun perubahan ini berlaku apabila rakyat sudah mula tidak tahan dengan pemerintah mereka yang bersikap zalim, diktator, menghalang kebebasan bersuara, rasuah, penyelewengan tidak adil, memanipulasi pilhanraya dan sebagainya.

Evaluasi realiti umat mungkinkah “dibenarkan dengan amal” masih tidak power aksinya dari umat Islam? Mari kita jujur merenung sebentar keadaan umat! Apa yang dapat dirumuskan? Situasi umat di Timur Tengah, di Palestin, di Sudan, di Indonesia, di Bosnia, di Iraq, di Selatan Thai dan di bumi tercinta Malaysia.

Dapatkah cluenya?

Menjauhi Islam dan Al-Quran dalam dipatuhi perintahnya dan siapa pula yang harus ditentang perintahnya, dengan siapa mereka harus memelihara hubungan dan dengan siapa tidak, siapa teman mereka dan siapa musuh mereka, di mana letak kehormatan, kesejahteraan dan keberuntungan mereka, dan di mana letak kehinaan, kegagalan dan kerugian mereka?

Rasulullah SAW dan para sahabat telah mencontohkan kepada kita. Sultan Al Fateh, Tariq Bin Ziad dan Salehuddin Al Ayubi pernah menemuinya, maka kini tiba giliran kita, para pemuda generasi baru. Mulakan dengan keaslian aqidah kita yang tetap, benar, diyakini dan dibuktikan dengan “total action”.

Ya, iman yang bukan mandul, tetapi iman dan aqidah yang melahirkan “total action”, berprestasi untuk Islam! Revolusi yang melahirkan natijah, bukan sekadar ilusi!

Anak muda pencetus revolusi. Akhirnya dunia ini anak muda yang punya!

READ MORE

TERTEKAN!

Tetap semangat walau tertekan!

Masihkah ada yang setia mendengar?
Masihkah ada insan yang merasa?

Di saat ini, aku akui aku tertekan dengan pelbagai perkara yang sememangnya sangat mengganggu aturan seharian. Aku cuba untuk tidak mengeluh kerana aku tahu semua ini Allah turunkan kerana aku layak dan mampu untuk menanggung.

Tetapi kadang kala aku letih untuk terus menahan perasaan tanpa membuka mulut bercerita. Terasa membengkak dan kesakitan dek nanah yang semakin membusuk. Hanya tunggu masa untuk meletup tetapi apakan daya aku?

Ingin diceritakan kepada teman, tiadalah yang sudi mendengar. Tiada siapa yang boleh membantu. Lagipun, aku masih ada Allah, Tuhan yang Maha Mendengar. Aku tahu, akan ada pahala buat aku selagi mana mulut tidak mengeluh dengan ujian yang diberikan.

Ya Allah! Sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, keputusan-Mu berlaku padaku, qadha-Mu kepadaku adalah adil, aku mohon pada-Mu dengan setiap nama baik-Mu, jadikanlah Al-quran sebagai penenang hatiku, cahaya bagi dadaku, pelenyap duka dan kesedihanku.

Allah benar akan janjinya. Allah telah menentukan sesuatu. Yang hilang tidak bermakna binasa. Yang pergi tidak bermakna kita hilang segalanya. Yang membebankan tidak bermakna kesusahan.

Kalau diukur banyak mana yang Allah ambil, dibanding dengan banyak mana yang Allah telah berikan sungguh jauh berbeza. “Kalau kita cuba hitung nikmat Allah, nescaya tidak akan terhitung banyaknya.” (QS Ibrahim 14: 34).

Pandang di sekitar, apa yang kurang? Tidak ada apa yang kurang.

Allah tarik balik sedikit sahaja daripada kurnia-Nya, mengapa harus berdukacita? Mengapa harus bersedih? Bukankah itu petanda bahawa Allah mungkin menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik?

Allah tarik sesuatu untuk Allah berikan sesuatu yang lain. Itu tidak mustahil.

Kerana Allah bersama orang yang sabar. Kerana hanya Iman yang akan meredhakan setiap yang berlaku. Walau apa pun yang terjadi, pastikan Allah yang disebut, daripada Dia ujian ini datang, daripada Dia juga jalan penyelesaian akan datang.


Ketika aku lelah dan tidak berdaya seperti usaha yang sia, Allah tahu betapa keras aku sudah berusaha.
Ketika aku fikir bahawa sudah berusaha dan tidak tahu hendak buat apa lagi. Allah ada jawapannya.
Ketika aku menangis sekian lama dan hati masih terasa pedih.. Allah sudah menghitung air mata aku.
Ketika aku merasa sendirian dan sahabatku terlalu sibuk. Allah sentiasa berada di sampingku.

Ulama' sufi pernah menyebut, "Makhluk yang meminta pertolongan kepada makhluk samalah seperti banduan yang terpenjara meminta bantuan daripada banduan yang juga terpenjara."

Harus ada sabar untuk ketemu kemanisan ujian. Harus bersangka baik untuk meraih redha Allah.
Aku perlu tabah dan kuat untuk hadapi semua ini. Semangat walau tertekan!

Tidaklah seseorang yang ditimpa masalah dan kesedihan lalu mengingati Allah sehingga menghilangkan duka laranya dan Allah gantikan tempatnya kegembiraan. Yakinlah! "Iaitu orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

READ MORE

DI MANA HARGA SEORANG WANITA?


Hingga kini dunia islam bagai hilang punca, tertanya-tanya apakah jalan keluar sebenarnya bagi krisis kemanusiaan seperti pembunuhan, rompakan dan rogol? Mengapa masalah itu timbul? Jawabnya tidak lain adalah kerana insannya tidak dibangunkan. Selama ini yang dititik beratkan hanya pembangunan fizikal dan material.

Akhirnya materialnya maju tetapi manusia hidup kalau tidak seperti haiwan, tak ubahnya seperti syaitan!

Ittaqullah! Takutlah kamu kepada Allah! Di antara tanda-tanda Hari Kiamat semakin hampir adalah kebanyakan wanita yang berpakaian tetapi hakikatnya telanjang! Seperti yang diriwayatkan dari Abu Hurairah RA : "Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang".

Terjadinya huru-hara dan peperangan yang semakin parah di dunia hari ini adalah bersumber dari jiwa manusia yang tidak didorong, dipandu dan disuburkan untuk cinta dan takut pada Allah. Hati dan jiwa yang jahat telah mencetuskan kekacauan yang berterusan. Walau ilmu tinggi melangit, pengalaman berpuluh tahun, namun selama hati jahat, selama itulah manusia tidak akan dapat mendamaikan dunia ini.

Mengapa manusia seolah-olah kembali kepada peradaban penghambaan? Menjadi hamba kepada nafsu dan syaitan? Dalam sabda Nabi SAW:

"Sejahat-jahat musuh engkau ialah nafsu, yang berada diantara dua lambung engkau". (Riwayat Al Baihaqi)



SYAITAN YANG KREATIF DAN KRITIS

Syaitan memiliki pelbagai cara strategi dalam menggoda manusia, dan yang sering dieksploitasi sebaik-baiknya oleh mereka adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan. Syaitan tahu kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Mengapa muslimah (wanita islam) menjadi sasaran utama syaitan?

Mungkin kita sering dengar di majlis-majlis agama, di surau-surau, di masjid, di dewan, para ustaz, mubaligh, guru dan pensyarah kerap menyatakan ungkapan ini, bahawa "kaum Lelaki mempunyai hanya 1 Nafsu tetapi mempunyai 7 Akal. Manakala kaum kanita memiliki 7 Nafsu dan hanya 1 Akal". Mungkin ada riwayat yang menyatakan hal ini tetapi pasti ianya hanya bersifat mendidik manusia.

Jadi, kita bertanya bagaimana dan apakah strategi syaitan menggoda muslimah?

Berikut adalah cara bertahap :



I. Menghilangkan Definisi Hijab

Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian, gaya hiasan atau fesyen ikutan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar'i, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian. Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian mengikut peredaran zaman.

Berbeza pula jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar'i (identiti keIslaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen). Biarpun hidup bila dan di mana saja, maka hijab syar'i tetap dipertahankan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, syaitan tetap tidak putus asa. Syaitan akan beralih dengan strategi yang lebih halus.

Caranya?

Pertama, Membuka Bahagian Tangan

Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). "Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik," Tu.. tidak apa-apa kan?


Kedua, Membuka Leher dan Dada

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. "Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu." Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf "V" yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya. Lelaki pula tidak kisah boleh melihat dan mengagak bentuk dan saiz dada muslimah mengikut kesukaannya.


Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, "Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, "cool",  jom cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ye?" Si wanita berfikir. "Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang. Bentuk badan kamu ramping dan kurus, kamu mesti serlahkan kecantikan agar lelaki tertawan denganmu," syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, dicarilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. "Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin," begitu dia menokok-nambah. Maka, pakaian tersebut akhirnya menjadi budaya ikutan di kalangan wanita muslimah, semakin hari semakin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat 'ariyat (berpakaian tetapi telanjang).


Keempat, Agak di Buka Sedikit

Setelah para muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru seperti "cool" dan "vogue", dibisiki wanita itu, "Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, bukankah sebaiknya dibelah hingga lutut atau mendekati paha?" Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energetik." Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata lebih selesa, terutamanya ketika duduk atau naik kenderaan. "Yah.... tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting selesa dan simple," katanya.


Inilah tahap-tahap awal syaitan merosak kaum wanita, sehingga ke tahap ini pakaian masih tetap kekal dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar'i yang sebenarnya. Maka kini syaitan memulakan tahap berikutnya.



II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit

Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih "power" dan berani, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya dan kelihatan seksi.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit

Syaitan Berbisik kepada wanita, "Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang selesa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki."

Ini baru agak longgar. "Oh...... ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala....... orang tetap menamakannya dengan jilbab."

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.


Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis

Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, "Terbukti manusia menyukai apa yang kamu lakukan, mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang selesa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Bukankah itu lebih seksi dan menggoda siapa sahaja lelaki yang melihat?

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.


Ketiga, Terbuka Seluruh Betis

Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berjaya membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak bertentangan dengan suruhan agama. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, "Ah zaman sudah berubah! Sekarang zaman moden, mesti ikut perkembangan fesyen terkini, nanti orang gelar ketinggalan zaman pula."

Tetapi? Apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki.
Fitnah?

Ah...... itu kan zaman dulu, ketika itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan "ooooh!" atau "wow! hot girl", bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama-sama suka? 

Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita moden di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita kampung.

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.


III. Serba Mini

Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian seharian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. "Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah."

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian rasmi, pakaian malam, petang, dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba.

Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang disebut "bikini". Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na'udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, "Menelanjangi Kaum Wanita."

"Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki dan di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu" Syaitan tak ingin ambil risiko.





PENUTUP

Demikian halusnya cara yang digunakan oelhsyaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa dan tidak perasan. Maka hendaklah kita semua, terutamanya orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita, bersegeralah diambil tindakan. Jangan biarkan berlarutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka akan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya.

Mencegah lebih baik daripada merawat.

Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.


Sumber idea dan buah fikiran: Kitab "At ta'ari asy syaithani"

READ MORE

"INSYALLAH" YANG KITA HINA



"Mat, kau ada pape tak sabtu ni? Jom pergi program kat Shah Alam"
"Sabtu ni aku ada hal. Tengoklah nanti...InsyaAllah"

Handphone berbunyi. Tertera satu mesej.

"Dik, usrah sabtu pagi nak?"
Dengan laju dia membalas, "InsyaAllah Abang Izat"





ISYAALLAH ORANG MELAYU

Orang Melayu suka sebut InsyaAllah walaupun tidak faham. Laju sungguh berjanji. Kadang-kadang yang paling kelakar, "Aku malaslah nak pergi, InsyaAllah lah..."

Faham ke tidak insyaAllah yang disebut?

Sebenarnya kita sudah jauh menyimpang falsafah insyaAllah yang sebenar. Sedangkan ia adalah doa, bukan bicara kosong. Bukan juga alat penyedap hati mahu pun alasan untuk mungkir janji seperti sifat orang munafiq. Seolah-olah kita telah menghina taraf insyaAllah demi kepuasan nafsu pemalas kita. 

Betapa bodohnya manusia mudah berjanji apabila dia yakin dan pasti tidak mampu buat sesuatu benda dengan berdoa insyaAllah. Walaupun 50-50. Dalam kata lain "Dengan izin Allah aku mahu lakukan perkara yang benar-benar aku tidak mahu lakukan, betul-betul aku tidak mampu buat" atau "Dengan izin Allah aku akan lakukan perkara ini sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh"

Secara tidak sedar, kita sedang mempermainkan doa dek kerana kejahilan. Jangan pula marah Tuhan kalau doa kita tidak dimakbulkan.

Lantaran itu, apa yang berlaku pada hari ini, InsyaAllah tidak lagi relevan dan menjadi keyakinan kepada muslim. Bila sahabat berjanji InsyaAllah, kita tidak percaya akan roh insyaAllah tersebut, tetapi kata-kata manusia biasa, "Boleh, nanti aku pergi." atau pun "Ok, nanti saya siapkan".

Namun, jika sahabat berkata insyaAllah, kita pula membalas "Kau ni betul-betullah, nak pergi ke tak nak?". Sungguh hina perkataan insyaAllah dalam kamus kita.

Hatta perkataan paling glamour digunakan dalam perbualan atau mesej hanya "ok". Begitulah nasib "InsyaAllah" gara-gara untuk menjimatkan kredit, masa dan tenaga.

Dari mana datangnya perkataan "ok" ini? Barat? Mana satu yang patut kita ikut sebenarnya?

Sesungguhnya, hakikat keislaman kita perlu dijiwai bukanlah sekadar dianuti. Apabila kita berjanji, dengan penuh yakin dan serius kita mengucap InsyaAllah, dengan izin Allah. Dengan doa itu kita berharap agar Allah merealisasikan apa yang benar-benar kita hendak buat.

Usah ber"insyaAllah" jika pemalas atau mahu mengelak. Lebih baik senyap dan berdiam diri. Sedarilah, kita sedang berjanji kepada Allah, Tuhan Segala Manusia bukan manusia yang terbatas. Hindarilah sikap munafiq yang dicela seperti dalam hadis Nabi SAW : "tanda-tanda orang munafik ada tiga, apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberiamanah dia khianati"

 “Dan penuhi (sempurnakanlah) perjanjian (dengan Allah dan manusia) sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”-(Al-Israk:34).

READ MORE

"ABANG, BUKAN MENCINTAIMU SEKADAR CINTA"



Membelek-belek album perkahwinan begitu mengasyikkan. Bahagia yang teramat sangat. Alhamdulillah, akhirnya aku dan abang selamat disatukan. Masih segar lagi di kotak minda bagaimana abang mendidik, memandu dan membantu aku cara bercinta. Ya, cinta kerana Allah.

"Sayang, sayang masih ingat lagi tak kata-kata abang sebelum kita nikah?" dengan sekuntum senyuman yang manis, bicaranya sungguh lembut mencuit kewanitaanku.

"Hehe..mestilah sayang ingat lagi abang. Siap tulis dalam diari sayang lagi. Abang beritahu sayang waktu tu dengan air muka penuh penegasan :

“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )

Sayang mengerti benar maksud abang. InsyaAllah abang, kita diikatkan kerana agama Islam. Hati kita ditautkan kerana mencari keredhaan Allah. Nafsu kita diikat bersama kerana takutnya kita kepada Allah. Iman kita saling diteguhkan kerana kita bermujahadah mencari cinta halal. Abang, kita saling jatuh cinta kerana jalan dakwah ini membawa cinta kita insyaAllah hingga ke istana syurga."

Suasana begitu sepi. Hanya kedengaran sayup-sayup dari luar bilik lagu nasyid "Lafaz Sakinah" yang dipopularkan oleh kumpulan nasyid Far east.

"Ya sayang...Di jalan dakwah ini abang menikahimu. Abang mahukan yang terbaik bagi kita. Cinta yang kita ukirkan perlu ada prinsip dan ketegasan agar tiada contengan fitnah di dahi seorang muslim seperti sabda Nabi SAW :

“Perempuan itu dinikahi karena empat faktor iaitu agama, martabat, harta dan kecantikannya. Pilihlah perempuan yang baik agamanya. Jika tidak, nescaya engkau akan menjadi orang yang rugi” (HR Bukhari dan Muslim).

Sayang, ayah abang sendiri juga berpesan untuk serius menjaga amanah dan kepercayaan ini. Berkali-kali dia mengingatkan abang, sayang :

"Siapa yang menikah kerana menginginkan kehormatan maka dia akan hina. Siapa yang menikah kerana harta maka dia akan menjadi miskin. Namun siapa yang menikah kerana agamanya maka Allah akan kumpulkan untuknya harta dan kehormatan di samping agama."

Sayang, wajah cantik dan sifat luaran tidaklah penting, yang paling penting adalah sebuah hati yang sungguh mencintai Allah dan memiliki keinginan untuk mendekati Allah. Abang tidak perlukan seorang isteri yang hanya mencintai abang dan menjadi teman hidup, tetapi dapat juga menasihati ketika abang berbuat kesalahan. Seorang isteri yang mencintai bukan kerana apa yang ada pada diri abang tetapi kerana hati abang.

Hati abang ini sayang sebenarnya sudah menduakanmu setelah lafaz akad nikah menjadi saksi kepada pengorbanan ini. Usahlah sayang terkejut. Abang percaya, kerana agama sayang sanggup dimadukan."

Sepi.

Diramasnya jari-jemariku dan dikucup berulang kali dengan penuh kasih sayang. Aduhai abang...betapa mulianya hatimu. Tiada yang lebih indah jika hidup bermadu abang.

"Sayang....sayang sudi melepaskan abang jika benar itu kehendak abang. Sayang percayakan abang."

Dengan tidak semena-mena air mata turun membanjiri pipiku. Teresak-esak aku menahan sendu. Sungguh, kau buat aku cair dan lemah dengan belaian cinta yang hadir ikhlas dari hatimu.

"Ish...kenapa menangis ni sayang? Kan dah tak comel gitu. Hehe...Sayang jangan salah faham pula ya. Abang menikahi sayang sebagai isteri kedua abang manakala isteri pertama abang adalah dakwah seperti kata-kata syeikh mustafa masyhur :

"Aku memiliki 2 isteri. Isteri pertamaku adalah dakwah. Isteri keduaku adalah isteriku sekarang. Jika bertembung antara keduanya, akan aku utamakan isteri pertamaku."



"Tidaklah sayang salah faham abang cuma sayang amat terharu dan bersyukur punya suami seperti abang. Kesetiaan abang kepada agama menambahkan kehangatan kebahagiaan baitul muslim kita. Sebagaimana abang berprinsip :

“Aku mencintaimu kerana AGAMA yang ada padamu, Jika kau hilangkan AGAMA dalam dirimu, hilanglah CINTAku padamu..” (Imam Nawawi )

Sayang juga redha abang.

Abang, kahwinilah sayang jika cinta abang kepada Allah melebihi cinta sayang. Tinggalkanlah sayang jika cinta abang kepada sayang melebihi cinta Allah."

"Sayang, abang sangat mencintai sayang kerana Allah. Abang amat menyayangi sayang kerana aqidahmu. Abang menghormati sayang kerana kesucian yang sayang pertahankan selama ini. Bantulah abang menjadi seorang imam yang lulus dalam ujian pengorbanan. Jadilah pemberi semangat, sehingga abang dapat mendukung amanah perjuangan setiap hari.

Emm...Malam makin larut sayang. Mari kita bersiap-siap dahulu sayang. Kita solat sunat berjemaah dahulu ya sebelum tidur. "

Dengan lirikan mata yang manja abang memimpin aku bangun untuk ke bilik wudhu'.

Betapa besarnya Allah SWT kerana Dia telah memberikan kepadaku seseorang yang dapat membuat hidupku menjadi lebih sempurna. Aku mengetahui bahawa Dia menginginkan kami bertemu di jalan dakwah dan membuat segala sesuatunya indah pada waktu yang telah Dia tentukan. Kerana sesungguhnya aku mencintai dirinya keranaMu Ya Allah.

“Ya Tuhan kami, jangan engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi engkau , kerana sesungguhnya engkaulah Maha Pemberi Kurniaan” (Ali Imran:8)
“Wahai Allah, aku meminta kepadaMu kecintaan kepadaMu. Kecintaan kepada orang yang mencintaimu. Serta aku meminta amalan yang dapat menghantarkan aku kepada cintaMu.”

Abang, aku mencintaimu bukan sekadar cinta. Ku bina mahligai cinta ini di atas tapak berasaskan dakwah.

READ MORE

KIAMAT 2012 : ISRAEL SEBAGAI HERO

Selepas teruja tengok forum Hari Kiamat 2012, apa yang kita dapat?
Selepas puas menonton filem, "2012, The End of The Day", apa perasaan kita?
Selepas membaca artikel dan buku mengenai dajjal, apa yang kita fikirkan?
Selepas duduk bersembang dengan kawan-kawan tentang hari tua, apakah perancangan kita?

Adakah sekadar rasa takut, gerun, seram, berdebar-debar, bimbang, insaf atau tidak rasa apa-apa pun? Tidak buat apa-apa pun?

"Mereka menanya kepadamu tentang Kiamat, Bilakah Terjadinya, 'Sesungguhnya pengetahuan tentang Kiamat itu adalah Di sisi Rabb-Ku, tidak seorang pun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat( huru-hara bagi mahkluknya) yang di langit dan di bumi. Kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba', mereka bertanya kepadamu seakan-akan kamu mengetahuinya. Katakanlah, 'Sesunguhnya pengetahuan tentang Hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia TIDAK MENGETAHUI" (Surah Al-A'raf : 187)

Sebagaimana bijak pandai mengkaji, berbahas dan membincangkan isu Hari Kiamat, kita yang tidak bijak pandai lagi bagaimana?

Sebagaimana bijak pandai mengkonklusikan isu dan propaganda Hari Kiamat pada hari ini adalah ciptaan Barat dan Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan akidah dan menakut-nakutkan ummat Islam, kita yang belum bijak pandai, bagaimana konklusinya?

Apakah penerimaan kita?

Sejauhmana konspirasi Kiamat 2012 mempengaruhi akidah dan kehidupan kita?

Ya, banyak persoalan saya sengaja ukirkan bagi miemudahkan para pembaca dan remaja di luar sana dalam proses belajar dan memahami. Bagi saya, propaganda Barat dan Israel ini ada keburukan juga kebaikannya. Sepertimana yang telah dikupas dan dibincangkan panjang lebar oleh bijak pandai, saya melihat mereka banyak menyentuh tentang bagaimana idea Kiamat 2012 muncul dan impak negatif terhadap ummat Islam.

Dalam penulisan ini, hanya perkongsian ringkas sahaja yang ingin saya titipkan. Saya banyak melihat isu ini dari sudut positif kerana saya merasainya sendiri dan ia lahir dari sebuah pengalaman. Mana tidaknya, selepas habis menonton filem berkaitan hari kiamat dan kemusnahan bumi, tidak tertahan-tahan air mata untuk menghadirkan rasa kehambaan dan keinsafan yang menggila. Yakin Allah itu Maha Berkuasa.

Allah SWT berfirman dalam surah ar-Rum ayat 56 bermaksud: “Dan berkatalah orang yang diberi ilmu pengetahuan dan keimanan. `Sesungguhnya kamu semua telah menanti (sesuai dengan keterangan) dalam kitab Allah (dalam kubur atau alam barzakh) sampai hari ba’ats’ (kebangkitan atau bangkit dari kematian).”

Saya mula berjinak membaca buku kisah dajjal sejak dari bangku sekolah rendah lagi. Kebetulan gelaran "dajjal" sangat terkenal di sekolah untuk kawan-kawan yang nakal. Membacanya sudah meromangkan bulu, seolah-olah berada di alam lain. Seronok baca. Banyak kisah yang diceritakan untuk kita ambil pengajaran . Ketagih pula untuk baca, baca dan baca lagi walaupun berulang kali.

Puncaknya apabila bergelar mahasiswi UKM, saya menjadi salah satu exco dalam program "Bersamamu Palestin". Di sinilah saya nampak dan yakin Israel adalah "hero". Hero kepada dunia. Mereka banyak mengkaji, mencipta teknologi dan memajukan ekonomi. Sangat bijak. Saya mengaku penuh sedar bahawa ummat Islam sangat jauh terkebelakang padahal banyaknya ummat Islam umpama buih-buih di lautan.

Kita tahu, tapi kita tidak sedar. Kita sedar, tapi kita tidak bertindak. "Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimana anjing-anjing yang mengelilingi hidangan makanan. Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat Islam yang sedikit? Baginda menjawab TIDAK, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di permukaan air banjir. Allah mengikis perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu 'al-wahan'. Sahabat bertanya apa dia wahan itu ya Rasulullah. Jawab baginda 'cintakan dunia dan bencikan akhirat."

Bagaimana kelompok Israel yang terpinggir dan sekelumit bilangannya mampu survive jika dibandingkan ummat Islam yang bersepah-sepah di peta dunia?

Dalam kebencian, saya kagum dan puji mereka!

Pada saat ini juga, saya masih kagum dengan mereka. Saya masih tidak percaya sahabat-sahabat rapat saya berusaha bersungguh-sungguh mengadakan forum bagi membincangkan dilema masyarakat malah dikira isu terhangat yang dicipta oleh mereka, iaitu Kiamat 2012. Bukankah itu sangat hebat?

Barang 5 minit berada di dalam forum itu sahaja, sudah terusik dengan usikan "Mahasiswa tidak perlu lagi susah-susah belajar, kiamat nak dekat dah". Mungkin sebagai bahan lawak untuk diraikan dengan gelak ketawa tetapi tidak sedarkah kita?

Perli.

1. Bagaimana dengan amalan dan persiapan kita?
2. Terutamanya solat kita, khusyukkah?
3. Jihad menuntut ilmu kita, apa khabar?
4. Apakah perancangan masa depan kita?
5. Tidakkah kita mahu mencabar keselesaan menjadi para ilmuwan dan pengkaji?
6. Akankah satu hari nanti giliran kita pula berada di atas pentas menggantikan ahli panel?
7. Bolehkah ummah mengharapkan kita untuk membelanya?

Setakat itu sahaja saya tinggalkan dengan persoalan-persoalan dan harapan untuk kita berubah, memperbaiki diri dan berani berjiwa besar demi ummah yang selama ini menderita kehilangan suara-suara agung dan para pejuangnya.


READ MORE

THE MOST POPULAR POST