KeranaMu Allah kami akan merdekakan seluruh sistem Islam untuk dilaksanakan..
KeranaMu Allah kami akan majukan negara berlandaskan Islam...
Sudah hampir 3 minggu terkurung di bumi Tanjung Karang untuk posting JKM (Jabatan Kesihatan Masyarakat) memang agak membataskan gerak langkahku. Kuda tunggangan pula sudah lama tidak dibawa bersiar-siar menghirup udara malam di kota metropolitan.
Sedih..satu sahaja ungkapan yang bisa diterjemahkan dalam bahasa penulisan. Tahun ini aku tidak boleh berpesta di masjid as-syakirin, KLCC seperti tahun-tahun yang sudah untuk menyambut kemerdekaan..
Terbayang wajah-wajah suci sahabat dan saudara muslimin muslimat berkumpul di rumah Allah mendambakan kehausan kemerdekaan dalam konteks syariat islam. Menyambut kemerdekaan secara islamik di dalam masjid dengan hidangan forum, konsert nasyid, persembahan puisi teragung dan kemuncaknya pada pukul 12 tengah malam dengan alunan syahdu doa syukur dan selawat puji-pujian ke hadrat Illahi.
Pesta bertambah kemaruk pada paginya sebelum qiam dengan acara meronda-ronda di sekitar masjid mencari pasangan-pasangan mencurigakan dalam memaknakan tugas sebagai daie. Pernah diuji dengan pelbagai format yang mendebarkan diperlakukan oleh para mad’u yang nakal.
Di situ aku banyak belajar. Melihat dengan mata kepala sendiri realiti kerosakan bangsa Melayu. Dalam rasa kecewa, sedih, marah, geram dan meluat aku terpaksa melayan dan menjadi saksi aksi-aksi memualkan anak-anak muda sebaya dengan ku.
Flyers bekalan di tangan diserahkan sambil mulut terkumat kamit berseloroh dengan mereka.
Bagaimana harus kita dekati hati-hati mereka ini?
Apakah erti kemerdekaan bagi mereka? Kita?
Banggakah aku, kita menjadi anak Malaysia? Banggakah kita dengan Malaysia?
Ya..soalan yang pernah dilontarkan kepada adik-adik sekolah ar-rahmah di suatu program tamrin anak Melaka. Dan aku sendiri sehingga kini masih lagi mencari jawapannya.
Jam hampir menunjukkan pukul 12 tengah malam, kedengaran gelak ketawa sahabat-sahabatku bermain bunga api. Bunyi mercun api berdentam dentum di kampung bersebelahan dan bunyi motorsikal berderam-deram merancakkan malam kemerdekaan.
Hanya aku....menyendiri di bangku sofa yang empuk. Berlagak seolah-olah terlalu seronok menonton “Fong Sai Yuk” lakonan Jet Li, itulah dunia kungfu yang pernah aku minati waktu di bangku sekolah dulu.
Kali terakhir aku bermain bunga api, bersama arwah abang 8 tahun yang lepas. Terlalu seronok. Tidak pernah seseronok melainkan hari tersebut. MasyaAllah…Sungguh cantik percikan bunga api secantik air mata anak palestin yang menderita.
Aku lalai dan leka pada amanahku. Menjadi manusia yang mementingkan diri. Aku lupa akan saudara seagamaku di sana. Teringat seketika dan lupa berpanjangan. Berteriak di tepi jalanan berdemonstrasi masih lagi tidak meninggalkan parut yang dalam di qalbu.
Ya Allah..Bagaimanakah keadaan mereka sekarang ini. Masih lagikah bermandikan darah dan najis kerakusan binatang?
Dan ingatlah ketika Kami berfirman : “ Masuklah kamu wahai bani Israel! Ke negeri ini (Baitul Maqdis) dan makanlah daripada hasil buminya yang banyak bagaimana kamu kehendaki dengan puas”. Dan masukilah pintu ini dengan sujud merendah diri dan katakanlah : “Bebaskanlah kami daripada dosa”, nescaya Kami mengampuni kesalahanmu dan kelak Kami akan menambah pemberian kepada mereka yang berbuat baik. (al-baqarah, ayat 58)
Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunanNya. Sesungguhnya Allah Amat Menerima taubat hambaNya. (an-nasru, ayat 3)
No comments:
Post a Comment
"Allahurobbi..Hakikatnya, sedikit kata-kata dan komen yang berterusan daripada pembaca dan sahabat sekalian sudah mampu memberi semangat dan dorongan kepada penulis yang sedang berperang dengan masa di 'daerah' ini."